You are on page 1of 26

See

discussions, stats, and author profiles for this publication at:


https://www.researchgate.net/publication/305224350

Teknologi pembinaan Candi di Kedah Tua:


perkembangan dan pentarikhannya

Chapter May 2012

CITATION READS

1 56

1 author:

Zuliskandar Bin Ramli


National University of Malaysia
218 PUBLICATIONS 96 CITATIONS

SEE PROFILE

Some of the authors of this publication are also working on these related projects:

Archaeological Excavation of Candi Kampung Baru, Kota Kuala Muda, Kedah View project

All content following this page was uploaded by Zuliskandar Bin Ramli on 13 July 2016.

The user has requested enhancement of the downloaded file.


IPKandungan.indd 1 5/19/2012 1:04:34 PM
IPKandungan.indd 2 5/19/2012 1:04:34 PM
Penyunting

Nik Hassan Shuhaimi Nik Abdul Rahman


Asyaari Muhamad
Zuliskandar Ramli

Institut Alam dan Tamadun Melayu (Atma)


Universiti Kebangsaan Malaysia
Bangi 2012
http://www.atma.ukm.my/

IPKandungan.indd 3 5/19/2012 1:04:35 PM


Cetakan Pertama / First Printing, 2012
Hak cipta / Copyright Universiti Kebangsaan Malaysia, 2012

Hak cipta terpelihara. Tiada bahagian daripada terbitan ini


boleh diterbitkan semula, disimpan untuk pengeluaran atau ditukarkan
ke dalam sebarang bentuk atau dengan sebarang alat juga pun, sama ada
dengan cara elektronik, gambar serta rakaman dan sebagainya
tanpa kebenaran bertulis daripada Institut Alam dan Tamadun Melayu (ATMA),
Universiti Kebangsaan Malaysia terlebih dahulu.

All rights reserved. No part of this publication may be reproduced or


transmitted in any form or by any means, electronic or mechanical
including photocopy, recording or any information storage and retrieval
system, without permission in writing from Institut Alam dan
Tamadun Melayu (ATMA), Universiti Kebangsaan Malaysia.

Diterbitkan di Malaysia oleh / Published in Malaysia by


INSTITUT ALAM DAN TAMADUN MELAYU (ATMA)
Universiti Kebangsaan Malaysia
43600 UKM Bangi, Selangor Darul Ehsan, Malaysia
Tel: 03-8921 5520 Faks: 03-8921 3018

Penyelaras
Zuliskandar Ramli
Anuar Ahmad Mohd Taqi

Diatur huruf oleh / Typeset by


CARD INFORMATION SDN. BHD.
49, Jalan 31/10A,
Taman Perindustrian IKS, Mukim Batu,
68100 Kuala Lumpur, Malaysia
Tel: 603-6185 4008 Faks: 603 6187 4008

Dicetak di Malaysia oleh / Printed in Malaysia by


PENERBIT UKM / UKM PRESS
Universiti Kebangsaan Malaysia
43600 UKM Bangi, Selangor Darul Ehsan, Malaysia
http://www.penerbit.ukm.my

Perpustakaan Negara Malaysia Data-Pengkatalogan-dalam-Penerbitan /


Cataloguing-in-Publication Data

Isu-isu pentarikhan tapak warisan & artifak budaya alam Melayu / penyunting Nik Hassan
Shuhaimi Nik Abdul Rahman, Asyaari Muhamad, Zuliskandar Ramli.
Mengandungi indeks
1. Archaeological dating--Malay Archipelago. 2. Archaeology--Research--Malay Archipelago.
3. Malay Archipelago--Antiquities. I. Nik Hassan Shuhaimi Nik Abdul Rahman, 1944-.
II. Asyaari Muhamad. III. Zuliskandar Ramli.
930.1072059

ISBN 978-983-2457-43-5

IPKandungan.indd 4 5/19/2012 1:04:35 PM


Kandungan

Prakata 7

1 Kaedah Pentarikhan Relatif dan Pentarikhan Mutlak dalam


Penyelidikan Arkeologi 9
Nik Hassan Shuhaimi Nik Abdul Rahman, Asyaari Muhamad &
Zuliskandar Ramli

2 Teknologi Pembinaan Candi di Kedah Tua: Perkembangan


dan Pentarikhannya 24
Zuliskandar Ramli, Nik Hassan Shuhaimi Nik Abdul Rahman,
Adnan Jusoh & Yunus Sauman

3 Seramik Vietnam di Tapak Kota Kuno Majapahit Trowulan 41


Yusmaini Eriawati

4 Kaedah Pentarikhan Prasasti di Indonesia 66


Titi Surti Nastiti

5 Sriwijaya Sebelum Prasasti Kedukan Bukit 79


Nurhadi Rangkuti

6 Gendang Dongson di Semenanjung Malaysia dan Pentarikhan Relatifnya 96


Adnan Jusoh, Yunus Sauman, Nik Hassan Shuhaimi Nik Abdul Rahman
& Zuliskandar Ramli

7 Pentarikhan Inskripsi-inskripsi Tak Bertarikh dari Kompleks


Percandian Agama Buddha di Batujaya 112
Hasan Djafar

8 Pentarikhan Melalui Gaya Seni Arca 138


Bambang Budi Utomo & Nik Hassan Shuhaimi Nik Abdul Rahman

9 Pertanggalan dalam Prasasti-prasasti Bali Kuno 154


I Gusti Made Suarbhawa

10 Prasasti Sungai Mas I: Satu Tinjauan Semula 161


Nasha Rodziadi Khaw, Mohd Mokhtar Saidin, Nazarudin Zainun
& Nik Hassan Shuhaimi Nik Abdul Rahman

11 Beberapa Permasalahan Penentuan Umur Artifak Logam


dalam Penelitian Arkeologi 172
Timbul Haryono

IPKandungan.indd 5 5/19/2012 1:04:35 PM


12 Kaedah Analisis Keranda Kayu Balak di Sabah dan Pentarikhannya 181
Yunus Sauman @ Sabin, Adnan Jusoh & Zuliskandar Ramli

13 Penelitian Arkeologi dan Pentarikhan Situs Liang Bua, Flores, Indonesia 193
Thomas Sutikna

14 Skriptoria Masa Majapahit Akhir: Identifikasi Berdasarkan


Persebaran Prasasti 209
Ninie Susanti

Indeks 219

IPKandungan.indd 6 5/19/2012 1:04:35 PM


Prakata

Syukur ke Hadrat Yang Maha Esa kerana dengan limpah kurnia-Nya dapat buku
ini disunting dan disiapkan untuk terbitan umum.
Makalah yang dikumpulkan dalam buku ini adalah hasil daripada satu seminar
yang bertajuk Persidangan Antarabangsa Sains dan Budaya Material ke Arah
Kronologi Terpimpin Dalam Penyelidikan Arkeologi yang diadakan pada 29
Disember 2010 yang membincangkan tajuk khusus mengenai isu-isu pentarikhan
tapak dan artifak budaya di Alam Melayu yang telah dihadiri oleh pemakalah dari
Malaysia dan Indonesia.
Pentarikhan merupakan satu aspek yang amat penting apabila kita membicarakan
tentang penyelidikan arkeologi. Tanpa pentarikhan tapak atau artifak, sesuatu
kajian arkeologi itu dikira tidak lengkap kerana kronologi sesuatu tapak atau artifak
tersebut tidak dapat dilakukan. Pentarikhan dalam arkeologi boleh dibahagikan
kepada dua teknik yang utama iaitu pentarikhan relatif dan pentarikhan kronometrik
yang selalunya melibatkan aplikasi sains. Pentarikhan relatif menggunakan kaedah
secara stratigrafi, tipologi, pentarikhan seriasi (urutan bersiri) dan pentarikhan silang
manakala pentarikhan kronometrik melibatkan teknik seperti teknik radiokarbon,
spektrometri jisim tepat (AMS), termo perdar kilau (TL) pendar kilau rangsangan
optik (OSL), resonan spin elektron (ESR), kesan belahan (FT), dendrokronologi,
pentarikhan kalium-argon, kaedah siri uranium dan lain-lain.
Bahagian pertama buku ini membincangkan tentang kaedah pentarikhan relatif
dan pentarikhan mutlak dalam penyelidikan arkeologi yang disorot oleh Nik Hassan
Shuhaimi Nik Abdul Rahman, Asyaari Muhamad dan Zuliskandar Ramli. Teknik yang
digunakan dan kajian lepas yang melibatkan teknik tertentu dibincangkan dengan
lebih khusus dalam bahagian ini. Bahagian seterusnya melibatkan penyelidikan yang
pelbagai sama ada tapak, inskripsi ataupun artifak budaya yang diperoleh dari tapak
arkeologi sama ada di Malaysia ataupun di Indonesia.
Isu pentarikhan relatif inskripsi atau prasasti boleh dilihat daripada perbincangan
tentang asas pentarikhan inskripsi atau prasasti seperti yang telah disorot oleh Titi
Surti Nastiti. Hassan Djafar telah membincangkan tentang pentarikhan inskripsi-
inskripsi tidak bertarikh dari Kompleks Percandian Agama Buddha di Batujaya di
mana beliau telah menggunakan pendekatan pentarikhan relatif dan pentarikhan
kronometrik dalam menentukan tapak di Batujaya. Beliau menyimpulkan bahawa
tapak di Batujaya boleh diberi pentarikhan antara abad ke-7 hingga akhir abad ke-8
Masihi. I Gusti Made Suarbhawa pula membincangkan tentang pentarikhan inskripsi
atau prasasti Bali Kuno yang diperoleh hasil penyelidikan arkeologi di Bali. Beliau
telah mengelompokkan pentarikhan inskripsi Bali yang berjumlah 246 buah dan
dibahagikan kepada tiga iaitu jenis yumu pakatahu, jenis i saka dan jenis punah.
Nasha Rodziadi Khaw dan rakan-rakan pula membincangkan tentang tinjauan atau
kajian semula terhadap Inskripsi Sungai Mas I berdasarkan kepada pentarikhan
relatif. Berdasarkan kepada penelitian beliau, Inskripsi Sungai Mas I boleh diberi
pentarikhan antara abad ke-6 hingga abad ke-7 Masihi. Inskripsi atau prasasti yang

IPKandungan.indd 7 5/19/2012 1:04:35 PM


terdapat di Majapahit pula dibincangkan oleh Ninie Susanti dan antara inskripsi yang
dibincangkan adalah inskripsi yang terdapat di Kompleks Candi Sukuh.
Pentarikhan yang melibatkan tapak arkeologi pula telah disorot oleh Zuliskandar
Ramli dan rakan-rakan mengenai teknologi pembinaan candi di Kedah Tua
berdasarkan kepada perkembangan dan pentarikhannya. Pentarikhan tapak candi di
Kedah Tua melibatkan dua kaedah iaitu secara pentarikhan relatif atau pentarikhan
kronometrik. Antara tapak tertua yang terdapat di Kedah Tua adalah tapak Candi
Bukit Choras (Tapak 1) yang diberi pentarikhan pada abad ke-4 Masihi dan juga
tapak di Sungai Mas iaitu Candi Sungai Mas (Tapak 32/34) dan Candi Bikut
Meriam (Tapak 26) yang diberi pentarikhan antara abad ke-5 hingga abad ke-6
Masihi. Nurhadi Rangkuti pula menyoroti tentang kerajaan Sriwijaya berdasarkan
kepada jumpaan puluhan inskripsi yang kebanyakannya ditemui di Telaga Batu.
Inskripsi utama yang menceritakan tentang kerajaan Srwijaya ini ialah Inskripsi
Kedukan Bukit yang ditemui di tapak Kota Kapur di Bangka yang bertarikhan Jun
682 Masihi. Penelitian tapak arkeologi di Liang Bua, Flores, Indonesia telah disorot
oleh Thomas Sutikna. Penemuan di Liang Bua membawa kepada penemuan menarik
iaitu makhluk seperti manusia kerdil yang telah diberi pentarikhan antara 840,000
hingga 700,000 tahun dahulu.
Pentarikhan artifak budaya boleh dijalankan sama ada dengan menggunakan
pentarikhan relatif ataupun pentarikhan kronometrik. Timbul Horyono misalnya
telah membincangkan tentang beberapa permasalahan penentuan umur artifak
logam dalam kajian arkeologi. Beliau menyimpulkan bahawa teknik pentarikhan
kronometrik untuk artifak logam amat terhad kerana bahan logam tersebut mudah
mengalami proses pengaratan atau pengoksidaan. Adnan Jusoh dan rakan-rakan pula
telah membincangkan tentang artifak logam yang ditemui di Semenanjung Malaysia
iaitu gendang Dongson. Beliau telah menggunakan pendekatan pentarikhan relatif
dalam menentukan kronologi jumpaan artifak gendang Dongson yang ditemui.
Yusmaini Eriawati pula telah menyorot tentang jumpaan seramik Vietnam di Tapak
Kota Kuno Majapahit-Trowulan di mana beliau mendapati terdapat pelbagai jenis
seramik Vietnam diperdagangkan di kerajaan Majapahit selain daripada seramik
China dan Seramik Thailand. Yunus Sauman dan rakan-rakan pula menerangkan
dengan lebih khusus tentang jumpaan keranda kayu balak di Sabah berdasarkan
tipologi dan pentarikhan mutlak. Beliau menyimpulkan bahawa pentarikhan
kronometrik keranda kayu balak ini haruslah seiring dengan pentarikhan relatif
seperti teknik tipologi, seriasi dan juga pentarikhan silang.
Berdasarkan kepada makalah-makalah yang terkumpul dalam buku ini, kami
berharap ia akan menjadi panduan kepada sesiapa sahaja yang berminat tentang
arkeologi dan sejarah di Alam Melayu ini. Buku ini juga diharapkan akan menjadi
panduan kepada mereka yang terlibat dengan arkeologi dan pentarikhan yang sesuai
digunakan dalam menentukan tarikh sesuatu tapak atau artifak budaya.

Nik Hassan Shuhaimi Nik Abdul Rahman


Asyaari Muhamad
Zuliskandar Ramli

IPKandungan.indd 8 5/19/2012 1:04:35 PM


2
Teknologi Pembinaan Candi di Kedah Tua:
Perkembangan dan Pentarikhannya
Zuliskandar Ramli1, Nik Hassan Shuhaimi Nik Abdul Rahman1,
Adnan Jusoh2 & Yunus Sauman2
1
Universiti Kebangsaan Malaysia
2
Universiti Pendidikan Sultan Idris

Pengenalan
Salah satu tinggalan berharga kerajaan Kedah Tua yang masih boleh dilihat pada hari
ini ialah tinggalan-tinggalan berupa monumen candi yang menjadi bukti kewujudan
masyarakat Kedah Tua yang sudah menyerap pengaruh Hindu-Buddha ke dalam
kehidupan mereka sejak abad ke-4 Masihi lagi. Berdasarkan kajian sebelum ini
terdapat dua jenis bentuk atau seni bina candi di Lembah Bujang iaitu candi yang
berunsur Buddha yang dapat dikenal pasti dengan terdapatnya struktur stupa dan
orientasi arah struktur monumennya adalah utara-selatan di mana pintu masuk
utamanya adalah dari utara. Candi berunsur agama Hindu pula dikenal pasti dengan
struktur vimana dan mandapa dan orientasi arah struktur candi tersebut adalah
timur-barat di mana pintu masuk utamanya ialah dari arah timur.
Candi-candi awal di Kedah Tua diperbuat daripada batuan semula jadi yang
diperoleh dari kawasan tidak jauh daripada masyarakat itu menetap. Sebelum
penggunaan bata, batu-batu semula jadi seperti batu laterit, batu shal, batu lumpur dan
batu sabak digunakan untuk membina candi-candi di Lembah Bujang atau kerajaan
Kedah Tua. Batu-batu besar ini dipotong menjadi blok-blok batu yang lebih kecil
dan ini memperlihatkan kepada kita betapa mahir masyarakat di Kedah Tua pada
masa itu sudah mahir dalam kerja-kerja memotong batuan besar menjadi blok-blok
yang lebih kecil, mahir dalam pengukuran saiz, seni bina dan matematik. Kemahiran
dan kebolehan masyarakat di Kedah Tua ketika itu dapat dilihat dengan jumpaan-
jumpaan candi-candi yang mana walaupun bersaiz kecil jika hendak dibandingkan
dengan di Sumatera tetapi sudah cukup untuk membuktikan kepada kita kebolehan
dan penguasaan mereka dalam bidang sains dan teknologi.
Perkembangan teknologi seni bina candi di Kedah Tua akan dilihat dengan teliti
dalam aspek teknologi penggunaan bahan-bahan binaan dan evolusinya. Teknologi
pembinaan candi di Kedah Tua pada tahap awal dibina dengan menggunakan batuan
semula jadi seperti batu laterit, batu lumpur dan batu sabak. Tahap berikutnya
candi di Lembah Bujang dibina dengan menggunakan batu granit, batu sungai dan

IPBab 2.indd 24 5/19/2012 12:55:22 PM


Teknologi Pembinaan Candi Di Kedah Tua / 25

batu bata. Tahap ini di kelaskan berdasarkan pentarikhan relatif yang dibuat ke
atas artifak-artifak yang berasosiasi dengan tapak terutamanya jumpaan-jumpaan
inskripsi dan seramik perdagangan.
Teknologi bahan binaan candi di Lembah Bujang amat unik kerana candi pada
tahap awal iaitu antara abad ke-4 hingga ke-6 Masihi, masyarakat di Lembah Bujang
menggunakan batuan semula jadi sebagai bahan binaan terutamanya batu laterit,
batu lumpur atau batu sabak. Ini dapat dilihat pada binaan candi di Bukit Choras
(Tapak 1) dan Kampung Sungai Mas (Tapak 32). Ekskavasi yang dijalankan oleh
penyelidik-penyelidik dari Universiti Kebangsaan Malaysia di Kampung Sungai Mas
pada tahun 2007 telah mendedahkan keseluruhan struktur candi yang dibina dengan
menggunakan batu laterit, batu lumpur, batu sabak, batu granit dan bata. Terdapat
dua tahap pembinaan di Candi Kampung Sungai Mas, tahap pertama menggunakan
bahan binaan yang terdiri daripada batuan semula jadi seperti batu laterit, batu lumpur
dan batu sabak manakala tahap kedua candi ini di naik taraf dengan menggunakan
bahan binaan seperti bata dan batu granit dan dipercayai penggunaan bata sudah
mulai meluas digunakan sejak abad ke-6 Masihi. Pada ketika ini, evolusi dalam
pembinaan candi telah pun bermula dengan transformasi ilmu dalam masyarakat
tempatan yang dapat menguasai teknologi pembuatan bata. Ini dibuktikan dengan
kajian saintifik yang dijalankan ke atas bata yang terdapat di Kampung Sungai Mas
(Tapak 32) yang dihasilkan oleh masyarakat tempatan dan sumbernya diperoleh di
sepanjang lembangan Sungai Muda (Zuliskandar et al. 2008).
Walaupun penggunaan bata secara meluas sudah digunakan sejak abad ke-6
Masihi, pembinaan candi dengan menggunakan batuan semula jadi masih diteruskan.
Penggunaan batuan laterit sebagai candi seperti yang dapat dilihat pada binaan-
binaan candi di Tapak 1 (Bukit Choras), Tapak 2 (Sungai Bujang), Tapak 5 (Candi
Sungai Batu), Tapak 15 (Candi Sungai Bujang), Tapak 16 (Candi Kampung Pendiat),
Candi Kampung Pasir (Tapak 31), Tapak 33 (Kampung Sungai Mas), Candi Bendang
Dalam (Tapak 50). Binaan-binaan candi yang menggunakan batuan pebel sungai
boleh dilihat pada binaan-binaan candi di Sungai Batu iaitu di Tapak 3, dan Tapak
11. Candi yang menggunakan batu granit sebagai bahan binaan asasnya boleh dilihat
pada binaan Candi Bukit Batu Pahat (Tapak 8) dan di Tapak 9 (Gunung Jerai). Tapak-
tapak candi yang menggunakan dua jenis atau lebih bahan binaan yang berlainan
untuk struktur utama ialah di Tapak 4 (Candi Sungai Batu) yang menggunakan batu
pebel dan batu laterit sebagai bahan binaan utama, Candi Sungai Bujang (Tapak 10)
yang menggunakan batu sungai dan batu bata sebagai bahan binaan utama, Candi
Bukit Gajah Mati (Tapak 7) yang menggunakan batu laterit dan bata sebagai bahan
binaan utama dan Candi Kampung Sungai Mas (Tapak 32) yang pada peringkat awal
menggunakan batu laterit dan batu sabak sebagai bahan binaan utama. Tapak-tapak
candi yang lain di Lembah Bujang telah menggunakan bata sebagai bahan binaan
utama, contohnya Candi Pengkalan Bujang (Tapak 18, Tapak 19, Tapak 20, Tapak
21, Tapak 22 dan Tapak 23), Candi Bukit Pendiat (Tapak 17), Tapak 24 (Candi
Tikam Batu), Tapak 25 (Candi Bukit Penjara), Tapak 26 (Candi Bukit Meriam),
Tapak 2211 (Kampung Pengkalan Bujang) dan Bukit Kecil. Penggunaan bata sebagai

IPBab 2.indd 25 5/19/2012 12:55:22 PM


26 / Isu-Isu Pentarikhan Tapak Warisan dan Artifak Budaya Alam Melayu

bahan binaan utama candi dipercayai diperkenalkan kemudian apabila keperluan


untuk membina rumah ibadat semakin tinggi dan transformasi ilmu masyarakat
setempat yang telah berjaya menguasai teknologi pembuatan bata dari masyarakat
Melayu di sebelah utara.

Bata Sebagai Bahan Binaan


Secara umumnya, bata ialah blok berbentuk segi empat tepat yang dihasilkan
daripada tanah liat. Tanah liat yang menjadi asas pembuatan bata ini mudah didapati
di lembah-lembah sungai dan paya. Bata secara umumnya dapat didefinisikan
sebagai sebuah bongkah daripada tanah liat berbentuk segi empat tepat dan dibakar
pada suhu tertentu dan digunakan untuk tujuan binaan. Bata telah digunakan dalam
pembinaan sejak lebih kurang lima ribu tahun dahulu dan masih kekal menjadi bahan
asas pembinaan yang penting pada hari ini. Bata digunakan untuk membina pelbagai
jenis binaan seperti tembok, dinding, tiang, lantai, tangga, jalan dan sebagainya.
Penciptaan bata adalah salah satu cetusan idea yang membawa kepada satu
perubahan yang besar kepada sejarah manusia dalam bidang pembinaan. Cetusan
idea ini mungkin terhasil apabila manusia memikirkan bagaimana untuk membina
sebuah bangunan ataupun binaan yang tahan lama dan tidak mudah rosak apabila
berhadapan dengan keadaan cuaca yang kadangkala tidak menentu dan ekstrem.
Pembinaan bangunan ataupun kediaman menggunakan kayu sebagai bahan asas
tidak dapat bertahan dalam tempoh masa yang lama, mudah rosak serta terdedah
kepada ancaman apabila berlaku kebakaran. Justeru itu, penciptaan bata adalah
alternatif terbaik kerana sifatnya yang tahan lama serta tahan kepada keadaan cuaca
yang ekstrem. Sumber kayu yang kurang juga merupakan salah satu faktor di mana
manusia berusaha mencipta bahan binaan berasaskan sumber yang lain seperti batu
dan juga bata. Penciptaan bata juga menunjukkan manusia telah mahir dalam bidang
matematik kerana untuk membina bangunan daripada bata bukanlah mudah dan ia
memerlukan kemahiran dalam bidang matematik, kejuruteraan dan juga seni bina.
Pembinaan bangunan daripada bata melibatkan banyak pengiraan dan ukuran-ukuran
yang digunakan mestilah tepat untuk memastikan bangunan yang didirikan adalah
stabil dan selamat untuk diduduki. Walau bagaimanapun, sejarah juga menunjukkan
bahawa manusia sudah pun menguasai bidang matematik, kejuruteraan dan seni
bina apabila manusia berjaya menghasilkan bangunan yang besar iaitu piramid.
Piramid adalah salah satu binaan yang cukup hebat dan menjadi antara benda ajaib
ciptaan manusia di dunia ini. Ketepatan pengiraan matematiknya adalah sangat
mengagumkan di mana faktor-faktor seperti keadaan tapak binaan dan beban yang
perlu ditanggung dan perlu dipastikan dengan tepat.
Bukti arkeologi telah menunjukkan bahawa bata mula dicipta kira-kira pada
abad ke-3000 SM lagi di Timur Tengah iaitu kira-kira 5000 tahun dahulu. Bata ini
dibuat daripada tanah liat atau lumpur yang tidak dibakar tetapi dijemur pada cahaya
matahari. Keadaan fizikal bata yang tahan kepada keadaan suhu dan kelembapan

IPBab 2.indd 26 5/19/2012 12:55:22 PM


Teknologi Pembinaan Candi Di Kedah Tua / 27

persekitaran membolehkan bangunan yang kekal dapat dibina di Timur Tengah pada
masa itu. Menjelang abad ke-13 Masihi, penggunaan bata telah meluas merentasi
kawasan Eropah, Asia dan dari kawasan Atlantik ke Pasifik. Di India dan China,
penggunaan bata telah digunakan kira-kira 4500 tahun dahulu. Tamadun purba Mesir
dan Tamadun Lembah Indus telah menggunakan bata secara giat seperti yang boleh
dilihat pada runtuhan di Buhen, Mohenjo-daro dan Harappa.
Malaysia juga kaya dengan monumen-monumen bersejarah yang menggunakan
bata sebagai bahan binaan utama. Penggunaan bata sebagai bahan binaan boleh
dilihat pada tinggalan-tinggalan candi di Lembah Bujang, Kedah. Binaan daripada
bata dengan seni bina yang sama juga boleh dilihat di Pattani, Chaiya dan Takuapa
di Thailand manakala di Sumatera runtuhan candi-candi yang dibina daripada batu
bata boleh dilihat di Palembang dan Jambi. Pada masa itu tiada sempadan geo-
politik yang memisahkan kawasan-kawasan ini dan orang Melayu pada ketika itu
bebas bergerak ke kawasan-kawasan ini tanpa halangan. Inilah yang dikatakan
dunia Melayu. Berdasarkan pentarikhan secara relatif penggunaan bata sebagai
bahan binaan bermula di Candi Kampung Sungai Mas (Tapak 32) dan pentarikhan
tapak ini adalah dari abad ke-5 Masihi sehingga 14 Masihi (Nik Hassan Shuhaimi
& Kamaruddin 1990). Walau bagaimanapun kajian terbaru yang telah dijalankan
di Tapak 32 Kampung Sungai Mas menunjukkan bahawa bata yang digunakan
sebagai bahan binaan candi di sini dihasilkan pada pada zaman yang agak lewat.
Bata digunakan di Sungai Mas mungkin pada abad ke-8 Masihi berdasarkan jumpaan
struktur binaan candi di Sungai Mas yang dibina pada dua zaman yang berbeza.
Ini berdasarkan jumpaan artifak di bawah lapisan bata dan juga jumpaan struktur
stupa yang dibina menggunakan dua bahan yang berbeza. Bahan binaan awal yang
digunakan untuk membina candi di Sungai Mas ialah terdiri daripada batu syal, batu
sabak (slate stone) dan batu laterit manakala tahap kedua pembinaan, bahan yang
digunakan adalah batu granit dan bata. Tahap pertama candi ini dibina pada abad
ke-5 Masihi berdasarkan jumpaan artifak yang berasosiasi dengan lapisan
kebudayaan candi. Artifak-artifak tersebut ialah jumpaan kalam semah yang berimej
Buddha dan juga inskripsi batu bertulisan Pallava.
Antara candi di Lembah Bujang yang menggunakan bata sebagai bahan binaan
ialah di Pengkalan Bujang iaitu di Tapak 18, Tapak 19, Tapak 21/22 dan Tapak 23
dan di Tapak 17 Bukit Pendiat. Dua lagi tapak yang menggunakan bata sebagai
bahan binaan ialah di Bukit Meriam dan tapak di Bukit Penjara. Tapak-tapak ini
berdekatan dengan Tapak 32 iaitu Kampung Sungai Mas. Tapak-tapak baru yang
dijumpai dan menggunakan bata sebagai bahan binaan ialah tapak di Bukit Kechil,
Tapak 2211 yang terletak berhampiran di Sungai Bujang dan tapak di Sungai Batu
yang baru dijumpai.
Pembinaan bangunan dengan menggunakan bata secara ekstensif ialah ketika
berkembangnya imperialisme British di Tanah Melayu iaitu mulai abad ke-18 Masihi.
Sehingga kini, tinggalan bangunan-bangunan zaman British masih lagi boleh dilihat
seperti di Taiping, Ipoh, Kuala Lumpur, Pulau Pinang dan beberapa negeri lain.
Tinggalan bangunan ini adalah berupa rumah kediaman, rumah kedai, bangunan

IPBab 2.indd 27 5/19/2012 12:55:23 PM


28 / Isu-Isu Pentarikhan Tapak Warisan dan Artifak Budaya Alam Melayu

pejabat, masjid dan sebagainya. Kebanyakan bangunan ini masih dikekalkan dan
dipulihara kerana nilai sejarah dan estetikanya.
Namun begitu, ketika zaman imperialisme Barat di Tanah Melayu, sudah
terdapat kota-kota Melayu yang menggunakan bata sebagai bahan asas binaan.
Contohnya ialah Kota Long Jaafar, jutawan bijih timah di Perak yang dibina sekitar
tahun 1850 (Abdul Halim 1990), Kota Ngah Ibrahim yang dibina pada tahun 1855
(Nik Hassan Shuhaimi 1990), Fort Cornwallis dan Kota Kuala Kedah yang dibina
untuk menghadapi serangan Siam. Dua buah kota yang dibina di negeri Selangor
juga meninggalkan kesan-kesan penggunaan bata sebagai bahan binaan tetapi tidak
digunakan sebagai tembok kota. Kota-kota Melayu ini berfungsi sebagai pusat
kediaman, perdagangan, pentadbiran dan pertahanan.
Dalam konteks penggunaan bahan binaan daripada bata di Lembah Bujang,
didapati bahawa pada tahap awal iaitu di antara abad ke-6 hingga abad ke-9 Masihi,
saiz bata yang digunakan adalah pelbagai dan saiz bata tersebut selalunya besar.
Candi yang dibina dengan menggunakan bata pada abad ke-6 hingga ke-9 Masihi
tidak mempunyai saiz piawai dan saiz bata pada candi ini kadang-kadang mempunyai
antara lapan hingga 9 saiz bata yang berlainan. Bata yang paling besar selalunya
diletakkan pada bahagian dasar candi, pada bahagian lapisan tengah dinding atau
tembok serta pada lapisan paling atas. Bata yang paling besar yang selalunya
berfungsi sebagai pemberat untuk menampung struktur dinding atau tembok candi
agar kukuh dan tidak mudah jatuh. Candi yang dibina dengan menggunakan bata
antara abad ke-10 hingga 13 Masihi di dapati menggunakan bata yang lebih nipis
dan bersaiz kecil serta mempunyai saiz piawai. Candi ini juga mempunyai seni bina
yang lebih baik berbanding candi pada zaman sebelumnya dan cara susunan bata
itu juga nampak teratur dan sistematik.

Istilah Candi
Istilah candi telah digunakan di Lembah Bujang untuk merujuk kepada kuil-kuil
Hindu-Buddha yang pernah digunakan oleh masyarakat Kedah Tua. Istilah ini
digunakan untuk membezakan candi-candi dengan kuil Hindu-Buddha yang baru
(Mohd Sopian 2002). Istilah candi berasal daripada perkataan Candika iaitu nama
salah satu isteri Dewa Siwa yang bernama Durga (atau dikenali sebagai Dewi Maut).
Candi juga diambil daripada perkataan Candika-Graha iaitu rumah (kuil) untuk
Dewi Candika. Terjemahan daripada Kamus Dewan Bahasa dan Pustaka memberi
maksud seperti yang berikut:
Bangunan purba yang diperbuat daripada batu (tempat orang Hindu atau Buddha
menyembah berhala, menyimpan abu mayat dan lain-lain.
Kamus Istilah Arkeologi 1 yang telah diterbitkan di Jakarta pula memberi
maksud perkataan candi seperti yang berikut:

IPBab 2.indd 28 5/19/2012 12:55:23 PM


Teknologi Pembinaan Candi Di Kedah Tua / 29

Cinandi bererti dimakamkan padahal arti harafiahnya adalah dicandikan.


Pendapat yang telah dikemukakan oleh ahli-ahli arkeologi pula boleh
dibahagikan kepada dua kategori yang berikut:
i. Tempat untuk memuliakan orang yang telah mati terutamanya raja, golongan
pembesar atau para Brahmin. Abu mayat selalunya ditempatkan di tengah-tengah
bahagian candi iaitu bahagian vimana sebagai penghormatan. Pada kebiasaannya
abu mayat diletakkan dalam cepu batu atau relikuari dan juga dalam tembikar
tanah.
ii. Tempat untuk menjalankan upacara keagamaan sama ada upacara harian atau
upacara yang disambut secara tahunan.
Ahli arkeologi yang berpendapat bahawa candi digunakan sebagai tempat untuk
tujuan pemakaman adalah berdasarkan hasil penyelidikan awal yang telah dilakukan
oleh Ijerman di Candi Prambanan Larajonggrang. Hasil daripada penelitian beliau,
sebuah cepu batu telah ditemui di bahagian tengah candi (perigi candi) yang
berisi abu mayat. Sehubungan dengan jumpaan ini, Soekmono telah mengaitkan
dengan istilah dharma dan sudharma yang digunakan dalam kitab Pararaton dan
Nagarakertagama sebagai dimakamkan abu jenazahnya di dalam sebuah candi
(Soekmono 1973).
Ahli arkeologi yang berpendapat bahawa candi digunakan untuk tujuan upacara
keagamaan pula merujuk kepada penemuan cepu batu atau relikuari yang tidak
kesemuanya mengandungi abu mayat tetapi lebih kerap dijumpai ialah barangan
berharga seperti patung yang diperbuat daripada logam emas, batu permata dan disertai
dengan saji-sajian. Barang peninggalan ini dinamakan sebagai peripih. Bahan berharga
tersebut sering dihubungkaitkan dengan pergabungan antara roh para pembesar dengan
dewa yang menjadi anutan semasa hayatnya. Secara tidak langsung ini merupakan
perlambangan jiwa raga dan roh para dewa (Soekmono 1973).
Beberapa kes di Asia Tenggara, candi telah digunakan sebagai tempat untuk
memperingati raja yang dianggap sebagai wakil tuhan untuk memerintah dunia.
Contohnya di Indonesia, bahagian tengah candi terutamanya di bahagian vimana,
kerap diwujudkan patung raja yang telah mati dengan bercirikan unsur-unsur
kedewaan. Raja Airlangga sewaktu kematiannya telah diwujudkan menunggang
garuda yang merupakan vahana kepada dewa Wisnu. Unsur yang sedemikian juga
dikenali dengan konsep dewaraja (M. Hutauruk 1988). Di Indonesia, berdasarkan
kajian para sarjana, candi tidak berperanan sebagai tempat pemakaman tetapi lebih
cenderung sebagai:
i. Bangunan kuil (tempat kegiatan/upacara keagamaan)
ii. Sebagai mata rantai perkembangan kebudayaan Indonesia sejak Zaman
Prasejarah (untuk menunjukkan sebelum kemasukan pengaruh Hindu-Buddha
di Indonesia telah ada budaya yang berkembang sendiri).

Dalam ajaran Buddha, candi lebih ditekankan sebagai tempat untuk ibadah.
Secara tidak langsung, tidak ditemui sebarang peripih untuk tujuan pemakaman

IPBab 2.indd 29 5/19/2012 12:55:23 PM


30 / Isu-Isu Pentarikhan Tapak Warisan dan Artifak Budaya Alam Melayu

secara khusus. Walau bagaimanapun, abu para bhiksu yang terkemuka sahaja
ditempatkan di dalam stupa separuh bulat berbentuk bujur. Abu mayat para bhiksu
ini juga tidak ditempatkan di tengah-tengah bangunan candi seperti ajaran Hindu
melainkan pada stupa yang berada di sekeliling bangunan candi dan juga berada
pada luar bahagian vimana atau stupa yang berada di bahagian vimana. Keadaan
ini bergantung kepada darjat seseorang bhiksu tersebut.

Candi- Candi di Kedah Tua dan Pentarikhannya


Kebanyakan candi-candi di Lembah Bujang tinggalan kerajaan Kedah Tua telah
ditemui semasa kerja-kerja ekskavasi yang dijalankan oleh Quaritch-Wales sejak
dari tahun 1936 hingga 1937 yang telah membongkar sebanyak lebih kurang 30 buah
tapak di sekitar Lembah Bujang (Quaritch-Wales 1940). Sukar untuk menentukan
berapa banyak tapak arkeologi yang ditemui sehingga kini tetapi lebih daripada 60
buah tapak arkeologi dijumpai di Lembah Bujang. Takrif yang diberikan terhadap
tapak di Lembah Bujang juga tidak muktamad dan masih longgar. Kadangkala
apabila ditemui sebuah atau dua buah pelapik tiang di sesuatu kawasan tersebut
maka ia telah diklasifikasikan sebagai tapak. Istilah paling tepat bagi tapak di
Lembah Bujang dapat diberikan jika sebuah struktur monumen atau candi ditemui
di sesuatu kawasan yang dikaji.
Kebanyakan candi-candi yang ditemui di Lembah Bujang telah musnah akibat
daripada kegiatan pertanian dan candi yang terdapat di tebing sungai musnah
akibat runtuh masuk ke dalam sungai. Jabatan Muzium dan Antikuiti (Selepas 2005
dikenali dengan nama Jabatan Muzium Malaysia) telah berjaya membina semula
lapan buah candi iaitu Candi Bukit Batu Pahat (Tapak 8), Candi Pengkalan Bujang
(Tapak 19), Candi Pengkalan Bujang (Tapak 21 & 22), Candi Sungai Batu (Tapak
5 dan Tapak 11 dan 11/3), Candi Kampung Pendiat (Tapak 16) dan Candi Bendang
Dalam (Tapak 50). Candi yang berjaya di ekskavasi dan dibiarkan secara insitu
ialah Candi Bukit Pendiat (Tapak 17), Tapak 23 (Candi Pengkalan Bujang), Tapak
31 (Kampung Pengkalan Pasir), Tapak 32 (Kampung Sungai Mas) dan Tapak 33
(Kampung Sungai Mas).
Dalam aspek pentarikhan tapak-tapak candi di Lembah Bujang kebanyakan
penyelidik menggunakan kaedah pentarikhan relatif. Pentarikhan relatif dibuat
berdasarkan jumpaan-jumpaan seperti inskripsi, arca agama (berdasarkan gaya arca)
dan jumpaan seramik perdagangan yang berasosiasi dengan struktur candi. Dalam
aspek saiz bata yang digunakan sebagai bahan binaan utama candi, didapati bahawa
bata yang bersaiz kecil dan nipis dihasilkan pada abad selepas 10 Masihi manakala
bata yang bersaiz besar pula dihasilkan sebelum abad ke-10 Masihi. Aspek ini bila
dikaji dan diberi perhatian, ia berlaku sama ada di Lembah Bujang, Sumatera dan
juga Jawa. Selalunya kaedah pentarikhan relatif memberikan tarikh pada julat yang
agak besar iaitu antara 200 hingga 300 tahun.

IPBab 2.indd 30 5/19/2012 12:55:23 PM


Teknologi Pembinaan Candi Di Kedah Tua / 31

Pentarikhan mutlak atau kronometrik juga dijalankan untuk menentukan usia


candi tersebut. Pentarikhan mutlak pernah dijalankan ke atas tapak Candi Bukit
Batu Pahat (Tapak 8) di mana raksa yang ditemui dalam relikuari dijalankan analisis
pentarikhan mutlak dan hasilnya tapak tersebut dicadangkan dibina pada abad
ke-12 hingga 13 Masihi (Treloar & Fabris 1975). Tetapi pentarikhan relatif yang
diberikan terhadap tapak ini berdasarkan aksara yang terdapat pada kepingan emas
menunjukkan aksara abad ke-9 Masihi (Lamb 1960; Bosch 1961). Kebanyakan
tapak lain di Kedah Tua diberi pentarikhan relatif sahaja tanpa menjalankan analisis
kronometrik. Pentarikhan relatif terhadap tapak-tapak candi di Lembah Bujang
boleh dirujuk dalam Jadual 1.
Dalam membincangkan mengenai pentarikhan tapak-tapak candi di Lembah
Bujang beberapa persoalan yang kadangkala menjadi perdebatan hangat timbul iaitu
kaedah mana yang paling tepat dan relevan. Adakah pentarikhan kronometrik yang
saintifik sesuai digunakan ataupun kaedah pentarikhan relatif yang sudahpun diguna
pakai sejak dahulu dan masih relevan. Kaedah pentarikhan mutlak jika melibatkan
tapak prasejarah tidak ada masalah tetapi ia menjadi masalah kepada tapak-tapak
proto-sejarah yang berusia antara 1000 hingga 1600 tahun. Jika penyelidikan itu
hanya menjurus kepada pentarikhan mutlak tanpa mengambil kira jumpaan-jumpaan
seperti inskripsi dan seramik perdagangan yang berasosiasi dengan struktur candi
maka berkemungkinan data yang diberikan itu kurang tepat.
Penyelidikan arkeologi di satu kawasan yang dinamakan Sungai Batu telah
menemukan satu struktur yang diperbuat daripada bata yang dipercayai sebagai
sebuah stupa. Sekumpulan ahli arkeologi dari Universiti Sains Malaysia telah
menjalankan penyelidikan dan pentarikhan tapak yang telah diberikan ialah 110
Masihi dan ia adalah hasil daripada pentarikhan yang menggunakan Teknik Pendar
Kilau Rangsangan Optik (OSL). Penyelidik-penyelidik USM telah mengisytiharkan
bahawa tapak Sungai Batu adalah tapak tertua di Asia Tenggara berdasarkan
pentarikhan mutlak yang dianggap saintifik dan tidak boleh disanggah. Dalam
konteks ini jumpaan-jumpaan artifak yang berasosiasi dengan jumpaan struktur
tersebut seperti inskripsi yang tercatat mantera Buddha dan seramik perdagangan
Dinasti Sung tidak digunakan. Daripada segi binaan candi dan saiz bata candi ia
menunjukkan persamaan dengan Candi Pengkalan Bujang (Tapak 21, 22 dan Tapak
19) yang telah diberikan pentarikhan relatif antara abad ke-11 Masihi hingga 13
Masihi. Bata yang digunakan untuk membina candi di Sungai Batu adalah lebih
kecil dan mempunyai saiz yang hampir sama antara satu sama lain. Penelitian
terhadap candi di Lembah Bujang menunjukkan bahawa candi yang dibina dengan
menggunakan bata yang bersaiz kecil boleh diberi pentarikhan selepas abad ke-10
Masihi. Kajian arkeologi di Sungai Batu ini lebih cenderung untuk memperoleh
tarikh yang paling lama tanpa mengambil kira jumpaan-jumpaan arkeologi yang lain
terutamanya jumpaan-jumpaan arkeologi di Kampung Sungai Mas yang menemukan
jumpaan-jumpaan inskripsi seperti Inskripsi Sungai Mas 1, Inskripsi Sungai Mas
2, makara, wajah Buddha daripada batu shal yang beribu-ribu jumpaan manik dan

IPBab 2.indd 31 5/19/2012 12:55:23 PM


32 / Isu-Isu Pentarikhan Tapak Warisan dan Artifak Budaya Alam Melayu

Jadual 1: Taburan tapak arkeologi Lembah Bujang dan pentarikhannya

No Tapak/Tempat Pentarikhan Penyelidikan Ekskavasi


(relatif)/ Organisasi Kajian
1 Bukit Choras 4 Masihi JMA 1954
2 Sungai Bujang 6 Masihi Wales 1936/37
3 Sungai Batu 5-6 Masihi JMA 1972/73
4 Sungai Bujang 6-7 Masihi Wales 1936/37
5 Sungai Batu 6-7 Masihi JMA 1972/73
6 Sungai Bujang 6-7 Masihi Wales 1936/37
7 Bukit Gajah Mati 6-7 Masihi Wales 1936/37
8 Bukit Batu Pahat 8-9 Masihi Lamb (UM) 1959
9 Gunung Jerai 8 Masihi Wales 1936/37
10 Sungai Batu 9 Masihi Wales 1936/37
11 Sungai Batu 9-10 Masihi JMA 1972/73
12 Sungai Bujang 9 Masihi Wales 1936/37
13 Sungai Bujang 9 Masihi Wales 1936/37
14 Sungai Bujang 9 Masihi Wales 1936/37
15 Sungai Bujang 10 Masihi Wales 1936/37
16 Kampung Pendiat 9-10 Masihi JMA 1970&1972
17 Kampung Pendiat 8-9 Masihi JMA 1978
18 Sungai Bujang 11-12 Masihi Wales 1936/37
19 Pengkalan Bujang 12-13 Masihi JMA 1974
20 Sungai Bujang 12 Masihi Wales 1936/37
21 Pengkalan Bujang 11-12 Masihi JMA 1976
22 Pengkalan Bujang 11-12 Masihi JMA 1976
23 Pengkalan Bujang 11-12 Masihi JMA/UKM 1985-2006
24 Sungai Muda Tidak pasti Wales 1936/37
25 Bukit Penjara 6-7 Masihi Wales 1936/37
26 Bukit Meriam 6-7 Masihi Wales 1936/37
27 Sungai Terus Tidak pasti Wales 1936/37
28 Kota Srokam 14 Masihi Wales 1936/37
29 Kota Aur 15 Masihi Wales 1936/37
30 Sungai Batu 14 Masihi Wales 1936/37
31 Permatang Pasir 12-13 Masihi Lamb/JMA 1961/84
32 Kampung Sireh 11-13 Masihi Sullivan 1960
33 Sungai Mas - ASEAN 1985
34 Sungai Mas 5-6 Masihi ASEAN/JMA 1985
49 Telaga Sembilan - JMA 1972
50 Bendang Dalam 12-13 Masihi JMA 1983/84
51 Bukit Batu Pahat 12-13 Masihi JMA 1983/84

IPBab 2.indd 32 5/19/2012 12:55:24 PM


Teknologi Pembinaan Candi Di Kedah Tua / 33

seramik perdagangan yang menunjukkan Sungai Mas sebagai pusat pemerintahan


dan perdagangan awal kerajaan Kedah Tua.
Kajian arkeologi di Sungai Mas juga telah menggunakan pendekatan pentarikhan
kronometrik. Pentarikhan radiokarbon C 14 menunjukkan bahawa arang yang
berasosiasi dengan bata candi yang berada di luar konteks menunjukkan pentarikhan
1720 50 BP manakala lapisan budaya pracandi yang ditemui banyak tembikar
tanah dan tiang-tiang rumah daripada batang kayu menunjukkan pentarikhan 1810
50 BP (Beta 229409). Walau bagaimanapun bila dikaji dalam konteks struktur
candi yang sedia ada dengan jumpaan-jumpaan artifak yang berasosiasi dengan
candi menunjukkan bahawa Candi Sungai Mas (Tapak 32/34) hanya boleh diberi
pentarikhan pada abad ke-5 atau 6 Masihi berdasarkan aksara di Inskripsi Sungai Mas
1 dan wajah Buddha yang mempunyai gaya era Gupta. Kajian arkeologi di Sungai
Mas agak kompleks apabila ada bukti yang menunjukkan bahawa terdapat dua tahap
pembinaan candi di tapak yang sama. Pada tahap awal dipercayai abad ke-5 Masihi,
pembinaan candi menggunakan bahan binaan seperti batu laterit, batu lumpur dan
batu sabak. Tahap kedua pembinaan iaitu dipercayai abad 6 atau 7 Masihi, candi
ini di naik taraf dengan menggunakan bahan binaan seperti bata dan batuan granit.
Pentarikhan relatif ini dibuat berdasarkan kepada jumpaan Inskripsi Sungai Mas
2 yang berdasarkan pada aksaranya dipahat pada abad ke-6 atau ke-7 Masihi dan
juga berdasarkan lapisan stratigrafi Inskripsi Sungai Mas 2 yang sezaman dengan
struktur candi yang dibina menggunakan bata. Jika hendak menggunakan tarikh
yang lebih lama maka kita boleh menggunakan tarikh yang diperoleh berdasarkan
pentarikhan relatif tetapi jika kita melihat konteks struktur candi dengan jumpaan-
jumpaan arkeologi maka difikirkan bahawa pentarikhan relatif lebih sesuai digunakan
untuk mentarikhkan tapak Candi Sungai Mas (Tapak 32/34).
Berdasarkan pentarikhan relatif yang dibuat berdasarkan aksara pada inskripsi,
gaya pada arca yang ditemui, perbandingan struktur candi dan taburan seramik
asing di tapak kajian, dapat ditentukan bahawa struktur binaan candi berunsur
Buddha didapati merupakan candi yang lebih awal dibina berbanding dengan candi
berunsur Hindu. Candi Bukit Choras (Tapak 1) dan Candi Sungai Mas (Tapak
32/34) merupakan dua candi Buddha yang terawal iaitu dibina di antara abad ke-4
hingga ke-5 Masihi berdasarkan jumpaan inskripsi. Candi berunsur Hindu banyak
dibina pada abad ke-9 Masihi dan berterusan hingga abad ke-14 Masihi. Walau
bagaimanapun pentarikhan relatif bukan sesuatu pernyataan yang mutlak dan boleh
ditafsir semula jika bukti baru berupa artifak ditemui.

Candi-candi di Kedah Tua, Bahan Binaan dan


Teknologinya
Adalah dipercayai bahawa teknologi pembinaan candi-candi di Lembah Bujang
dipelopori oleh masyarakat tempatan hasil daripada proses akulturasi pembudayaan
India dan transformasi ilmu pengetahuan yang bermula pada abad ke-4 Masihi.

IPBab 2.indd 33 5/19/2012 12:55:24 PM


34 / Isu-Isu Pentarikhan Tapak Warisan dan Artifak Budaya Alam Melayu

Proses ini mengambil masa yang agak lama kerana hubungan dagangan dengan
pedagang India sudahpun bermula sejak abad sebelum Masihi lagi berdasarkan
jumpaan manik di tapak prasejarah akhir. Bijak pandai tempatan akhirnya dapat
mengeksploitasikan sumber yang ada untuk digunakan untuk keperluan harian
mereka termasuk untuk membina rumah ibadat mereka.
Teknologi memotong batuan semula jadi sudahpun dikuasai oleh masyarakat
tempatan sejak abad ke-4 Masihi. Candi-candi awal di Lembah Bujang dibina dengan
menggunakan batuan semula jadi seperti batu laterit, batu sabak, batu granit, batu
lumpur dan pebel sungai. Semua bahan binaan ini diperolehi tidak jauh daripada
kawasan petempatan mereka. Penggunaan pelapik tiang dan tiang kayu serta atap
nipah atau genting merupakan satu inovasi bijak pandai tempatan untuk membina
candi-candi demi memenuhi keperluan rohani mereka.
Berdasarkan pentarikhan relatif yang dibuat ke atas tapak-tapak candi di Lembah
Bujang, didapati bahawa pada tahap awal candi-candi di Lembah Bujang dibina
dengan menggunakan batu laterit sebagai bahan utama. Selain itu, penggunaan
pelapit tiang telah menggunakan bahan seperti batu, granit dan batu lumpur di
samping penggunaan tiang kayu dan atap berdaun nipah. Binaan-binaan candi
menggunakan batu laterit ini terdapat di Tapak 1 (Bukit Choras), Tapak 2 (Sungai
Bujang), Tapak 5 (Candi Sungai Batu), Tapak 15 (Candi Sungai Bujang), Tapak 16
(Candi Kampung Pendiat), Candi Kampung Pasir (Tapak 31), Tapak 33 (Kampung
Sungai Mas), Candi Bendang Dalam (Tapak 50).
Binaan-binaan candi yang menggunakan batuan pebel sungai boleh dilihat
pada binaan-binaan candi di Sungai Batu iaitu di Tapak 3, dan Tapak 11. Candi
yang menggunakan batu granit sebagai bahan binaan asasnya boleh dilihat pada
binaan Candi Bukit Batu Pahat (Tapak 8) dan di Tapak 9 (Gunung Jerai). Tapak-
tapak candi yang menggunakan dua jenis atau lebih bahan binaan yang berlainan
untuk struktur utama ialah di Tapak 4 (Candi Sungai Batu) yang menggunakan batu
pebel dan batu laterit sebagai bahan binaan utama, Candi Sungai Bujang (Tapak 10)
yang menggunakan batu sungai dan batu bata sebagai bahan binaan utama, Candi
Bukit Gajah Mati (Tapak 7) yang menggunakan batu laterit dan bata sebagai bahan
binaan utama dan Candi Kampung Sungai Mas (Tapak 32) yang pada peringkat awal
menggunakan batu laterit dan batu sabak sebagai bahan binaan utama.
Tapak-tapak candi yang lain di Lembah Bujang telah menggunakan bata sebagai
bahan binaan utama, contohnya Candi Pengkalan Bujang (Tapak 18, Tapak 19,
Tapak 20, Tapak 21, Tapak 22 dan Tapak 23), Candi Bukit Pendiat (Tapak 17), Tapak
24 (Candi Tikam Batu), Tapak 25 (Candi Bukit Penjara), Tapak 26 (Candi Bukit
Meriam), Tapak 2211 (Kampung Pengkalan Bujang) dan Bukit Kecil. Perkembangan
teknologi pembinaan candi dengan menggunakan bata juga mengalami evolusi dari
segi saiz dan bentuknya. Candi-candi yang menggunakan bata pada tahap awal
mempunyai bentuk yang segi empat panjang dan bata digunakan untuk membina
lantai dan dinding atau tembok candi. Saiz bata juga adalah besar dan mempunyai
ketebalan lebih daripada 6cm. Candi-candi berunsur Buddha dan Hindu pada abad
ke-11 hingga ke-13 Masihi mengalami perubahan dalam aspek pembinaan dengan

IPBab 2.indd 34 5/19/2012 12:55:24 PM


Teknologi Pembinaan Candi Di Kedah Tua / 35

menggunakan bata di mana bata yang digunakan mempunyai ukuran yang lebih
kecil dan ketebalannya antara 5cm hingga 4cm. Senarai tapak-tapak candi dengan
bahan binaan utamanya boleh dirujuk dalam Jadual 2.

Jadual 2: Tapak-tapak candi dan bahan binaannya

No Tapak/tempat Pentarikhan Bahan Binaan


(Relatif)

1 Bukit Choras 4 Masihi Batu Laterit
2 Sungai Bujang 6 Masihi Batu Laterit
3 Sungai Batu 5-6 Masihi Batu Pebel
4 Sungai Bujang 6-7 Masihi Batu Laterit dan Batu Pebel
5 Sungai Batu 6-7 Masihi Batu Laterit
6 Sungai Bujang 6-7 Masihi Batu Laterit dan Bata
7 Bukit Gajah Mati 6-7 Masihi Batu Laterit dan Bata
8 Bukit Batu Pahat 8-9 Masihi Batu Granit
9 Gunung Jerai 8 Masihi Batu Granit
10 Sungai Batu 9 Masihi Bata dan Batu Pebel
11 Sungai Batu 9-10 Masihi Batu pebel
12 Sungai Bujang 9 Masihi Batu Laterit
13 Sungai Bujang 9 Masihi Bata
14 Sungai Bujang 9 Masihi Bata
15 Sungai Bujang 10 Masihi Batu Laterit
16 Kampung Pendiat 9-10 Masihi Batu Laterit
17 Kampung Pendiat 8-9 Masihi Batu Bata
18 Sungai Bujang 11-12 Masihi Bata, Batu Laterit dan Batu Pebel
19 Pengkalan Bujang 12-13 Masihi Bata
20 Sungai Bujang 12 Masihi Bata
21 Pengkalan Bujang 11-12 Masihi Bata
22 Pengkalan Bujang 11-12 Masihi Bata
23 Pengkalan Bujang 11-12 Masihi Bata
24 Sungai Muda Tidak pasti Bata dan Batu Laterit
25 Bukit Penjara 6-7 Masihi Bata
26 Bukit Meriam 6-7 Masihi Bata
28 Kota Srokam 14 Masihi Bata dan Batu Laterit
29 Kota Aur 15 Masihi Bata dan Batu Laterit
31 Permatang Pasir 12-13 Masihi Batu Laterit
32 Kampung Sireh 11-13 Masihi Bata
33 Sungai Mas - Batu Laterit
34 Sungai Mas 5-6 Masihi Bata, Batu Laterit, Batu Sabak, Batu Granit
49 Telaga Sembilan - Batu Granit dan Pegmetit
50 Bendang Dalam 12-13 Masihi Bata Laterit

IPBab 2.indd 35 5/19/2012 12:55:24 PM


36 / Isu-Isu Pentarikhan Tapak Warisan dan Artifak Budaya Alam Melayu

Kesimpulan
Teknologi pembinaan candi di Lembah Bujang menunjukkan terdapat evolusi
dalam pembinaan candi terutamanya candi-candi yang menggunakan bata
sebagai bahan utamanya tidak kira sama ada candi tersebut berunsur Hindu atau
Buddha. Evolusi ini dapat dilihat berdasarkan saiz bata tersebut dan bentuk candi
yang dibina lebih kompleks berbanding sebelumnya. Pentarikhan candi-candi di
Lembah Bujang banyak menggunakan kaedah Pentarikhan Relatif berdasarkan
asosiasi artifak dan bentuk candi tersebut. Ada usaha untuk menjalankan kaedah
pentarikhan kronometrik yang dilihat lebih saintifik dan datanya yang mutlak tetapi
jika dibandingkan dengan jumpaan-jumpaan arkeologi yang ada didapati bahawa
jurang tarikh yang diberikan agak besar dan datanya berkemungkinan tidak tepat.
Struktur candi yang paling tua adalah di Candi Bukit Choras dan Candi Sungai Mas
(Tapak 32/34) yang memberikan pentarikhan antara abad ke-4 hingga ke-5 Masihi.
Di Kedah Tua didapati bahawa masyarakatnya pada tahap awal menganuti ajaran
Buddha antara abad ke-4 hingga ke-11 Masihi dan ajaran Hindu mula diamalkan
antara abad ke-9 hingga 14 Masihi.

Rujukan
Bosch, F.D.K. 1961. Review of: A. Lamb, Chandi Bukit Batu Pahat; a report on the
excavation of ancient tample in Kedah, 1960 & A. Lamb. Chandi Bukit Batu
Pahat. Three additional notes, 1961. BKI 117(4): 485-491.
Lamb, Alastair. 1960. Report on the excavation and reconstruction of Chandi Bukit
Batu Pahat, Central Kedah. FMJ 5: X-108.
Mohd Sopian Sabtu. 2002. Tamadun Awal Lembah Bujang. Kuala Lumpur: Dewan
Bahasa dan Pustaka.
Soekmono, R. 1973. Pengantar Sejarah Kebudayaan Indonesia II. Yogyakarta:
Penerbit Kanisius.
Treloar, F.E. & Fabris G.J. 1975. Evidence for the contemporary existence of two
Kedah sites. JMBRAS XLVII(1): 74-77.
Zuliskandar Ramli, Nik Hassan Shuhaimi Nik Abdul Rahman, Mohd Zobir Hussein,
Asmah Yahaya & Kamaruddin Zakaria. 2008. Kajian komposisi dan fizikal
bata purba di Kampung Sungai Mas (Tapak 32). Jurnal Arkeologi Malaysia
21: 100-127.

IPBab 2.indd 36 5/19/2012 12:55:24 PM


Teknologi Pembinaan Candi Di Kedah Tua / 37

Candi Bukit Batu Pahat (Tapak 8)

Candi Pengkalan Bujang (Tapak 19)

Candi Pengkalan Bujang (Tapak 21)

IPBab 2.indd 37 5/19/2012 12:55:27 PM


38 / Isu-Isu Pentarikhan Tapak Warisan dan Artifak Budaya Alam Melayu

Candi Pengkalan Bujang (Tapak 22)

Candi Estet Sungai Batu (Tapak 5)

Candi Bendang Dalam (Tapak 50)

IPBab 2.indd 38 5/19/2012 12:55:31 PM


Teknologi Pembinaan Candi Di Kedah Tua / 39

Candi Bukit Pendiat (Tapak 17)

Candi Bukit Choras (Tapak 1)

Candi Sungai Batu (Tapak 11/3)

IPBab 2.indd 39 5/19/2012 12:55:34 PM


40 / Isu-Isu Pentarikhan Tapak Warisan dan Artifak Budaya Alam Melayu

Candi Sungai Mas (Tapak 32/34)

Candi Sungai Batu

IPBab 2.indd 40 5/19/2012 12:55:36 PM

You might also like