You are on page 1of 2

Catatan Seorang Guru

Oleh Wan Buanan Wan Hussain pada pada 14hb Mei 2011 pukul 6.01 ptg
Seorang pujangga pernah menukil cheritera,
Jika hari ini seorang Perdana Menteri berkuasa
Jika hari ini seorang Raja menaiki takhta
Jika hari ini seorang Presiden sebuah negara
Jika hari ini seorang ulama yang mulia
Jika hari ini seorang peguam menang bicara
Jika hari ini seorang penulis terkemuka
Jika hari ini siapa sahaja menjadi dewasa;
Sejarahnya dimulakan oleh seorang guru biasa
Dengan lembut sabarnya mengajar tulis-baca.

Kata orang,
Dialah kandil kemerlap pada malam gelita
Diala purnama berkaca dalam cerah cahaya
Dialah dian yang membakar diri
Dialah memberi tanpa meminta balasnya budi
Dialah menghulur tanpa diketahui tangan kirinya
Dialah anak jati yang bersemangat tinggi
Dia, guru itu
Saban hari, kerjanya mengajar tulis, baca, kira
Di situ, anak-anak mengenal erti huruf dan suku kata
Di situ, anak-anak mengerti makna kata dan gunanya
Di situ, anak-anak memahami erti, ilmu itu apa?
Wajah hatinya sebersih wajah nabi.

Dialah, guru itu


Dialah yang melukis dengan berus cinta dan kanvas putihnya
Dialah yang mencorak garis, kotak, bulat, bujur dan segala bentuknya
Dialah yang menghias bunga, daun, ranting dan segala bentuk pohonnya

Dialah, guru itu


Dialah nanti orang panggil guru meski jalannya bertongkat kayu
Dialah nanti orang panggil guru meski nanti hanya tinggal nisan kaku.
CERITA KITA, GURU
Ini kisah kita, kisah yang kita catat dan kisahkan sendiri
Dari sepohon sejarah yang tumbuh di halaman rumah panjang itu
Ketika kita sama-sama menyemai benih
Meski dalam pijar mentari semangat
Gaya pahlawan purba nan perkasa merembas segala nista pendusta
Atau lembut gemalai bak tari ilalang mempersembah inang;
Kitalah yang kisahkan cerita kita.

Kitalah orangnya yang suka-suka menerima dan mengiyakan


Bahawa inilah amanah dan tanggungjawab yang menghimpun
Segala kemurnian dan ketulusan
Hingga darjatpun diangkat ke arasy
Sedang kita hanyalah penemu-penemu di jalan,
Lalu kita terima sebuah bilik lukis hayat,
Dan kita sapukan warna-warna latar di kain
Lalu kita calitkan dalam gaya yang berbeza-beza
Dan disitulah tercoraknya sebuah lukisan.

Adakah demkian yang tersirat?


Berkenalan dan berjalan-jalan di taman
Sambil menguis-nguis manja bunga-bunga yang tumbuh mekar
Haruman nan tertebar dan putik-putik hidup
Tumbuh melata di mana-mana
Ya, di mana-mana sekarang.

Inilah kisah kita, yang kita ceritakan bersama


Kerana kita punya cita yang sama
Dan mimpi yang sama
Kerana cerita kita ialah cerita yang sama.

Inderapura, Kuantan
Mei 2011

You might also like