You are on page 1of 4

GAMELAN PAHANG

Pahang merupakan negeri Melayu yang pertama melahirkan seni persembahan bersifat
esemble istana sejak awal kurun ke 19. Penggiat-penggiat muzik gamelan seperti Haji
Mubin Sheppard dan Dr. Harun Mat Piah dalam tulisan mereka, menyatakan muzik
gamelan buat pertama kalinya diperdengarkan di Tanah Melayu semasa majlis
perkahwinan di antara Tun Esah (Adik Bendahara Ali-pemerintah Pahang) dengan
Tengku Hussin putera Sultan Johor-Riau pada tahun 1811. Satu rombongan penari dan
pemain gamelan telah didatangkan khas dari Penyengat bagi memeriahkan lagi majlis
perkahwinan tersebut. Sir Frank Swettenham, seorang pegawai British di Pahang juga
pernah menulis tentang persembahan Joget Pahang yang disaksikannya di istana
Pahang atas jemputan Bendahara Ahmad pada tahun 1875 di dalam artikelnya yang
bertajuk The Joget. Hal ini menguatkan lagi pandangan bahawa golongan istana
sememangnya memainkan peranan penting dalam mengembangkan kesenian gamelan
di Tanah Melayu. Kesenian gamelan yang dibawa oleh golongan istana ini amat berbeza
dari kesenian gamelan yang dibawa ke Tanah Melayu oleh orang-orang Jawa kerana ia
lebih dikenali sebagai Gamelan Melayu. Kesenian gamelan ini dikatakan dicipta di istana
Kerajaan Srivijaya dalam abad ke 7-13 Masihi. Ia kemudiannya berkembang ke Istana
Kesultanan Riau dan akhirnya dibawa masuk ke Istana Pahang dalam abad ke 19. Seni
muzik yang diwarisi dari istana ke istana ini dipelihara dengan baik dengan
mengekalkan gerak tari-gerak tari yang lemah gemalai bersama iringan muzik gamelan
yang penuh syahdu. Statusnya sebagai seni muzik istana yang hanya dipersembahkan
khusus untuk tetamu-tetamu Diraja dan majlis-majlis di istana terus dikekalkan.

Kesenian gamelan dibawa masuk ke Istana Pahang oleh Sultan Ahmad I kerana
minat baginda yang mendalam terhadap kesenian tradisi tersebut. Walaupun Sultan
Ahmad I yang bertanggungjawab memperkenalkan muzik gamelan tersebut, tetapi
peranan yang lebih besar dimainkan oleh golongan wanita istana bagi memastikan Joget
Pahang ini dapat terus dihidupkan. Pengaruh istana begitu kuat hingga memungkinkan
survival kepada kesenian gamelan tersebut. Isteri-isteri baginda bukan sahaja melatih
pelapis bagi pemain gamelan malah turut melatih pelapis bagi penari Joget Pahang yang
terdiri daripada budak-budak istana. Selain daripada isteri-isteri sultan, isteri-isteri
pembesar istana juga mempunyai kumpulan gamelan mereka sendiri. Kumpulan yang
aktif ialah kumpulan yang berada di bawah pimpinan isteri ketiga Sultan Ahmad I iaitu
Che Zubaidah dan anakandanya Tengku Mariam. Sebagai salah seorang puteri Sultan
Ahmad I, Tengku Mariam turut mewarisi minat yang mendalam terhadap kesenian
gamelan dan merupakan penggiat muzik gamelan yang aktif.

Pada tahun 1913, hubungan diplomatik di antara Pahang dengan Terengganu


telah renggang disebabkan oleh keruntuhan rumahtangga Sultan Zainal Abidin III,
Sultan Terengganu dengan puteri Sultan Ahmad 1. Hubungan ini kembali pulih apabila
Sultan Sulaiman Badrul Alam Syah, putera Sultan Zainal Abidin III, melangsungkan
perkahwinan dengan Tengku Mariam, Perkahwinan ini bukan sahaja memulihkan
kembali perhubungan kedua buah negeri tetapi turut menyumbang kepada
perkembangan kebudayaan negeri Terengganu apabila Tengku Ampuan Mariam turut
membawa bersamanya kumpulan penari, pemain gamelan dan satu set alat muzik
gamelan ke negeri tersebut. Negeri Terengganu telah menerima sesuatu yang cukup
berharga dari Pahang. Rakyat Terengganu bukan sahaja menerima seorang Tengku
Ampuan yang bijak dan cantik tetapi turut menerima satu bentuk kebudayaan baru
yang akhirnya menjadi satu bentuk kesenian yang diterima oleh seluruh lapisan rakyat
Terengganu. Minat yang mendalam terhadap kesenian gamelan ini telah mendorong
Tengku Ampuan Mariam dan Sultan Sulaiman Badrul Alam Syah mencipta lagu-lagu dan
gerak tari baru seperti yang terkandung di dalam masuskrip yang ditulis sendiri oleh
Tengku Ampuan Mariam bertajuk Joget Pahang. Manuskrip ini merupakan sebuah
dokumen yang cukup berharga kerana tidak terdapat satu bentuk dokumen
seumpamanya di Malaysia yang dapat membuktikan kewujudan gamelan dan
perkembangannya di Tanah Melayu. Walaupun manuskrip tersebut kemudiannya
ditukar oleh Sultan Sulaiman Badrul Alam Syah kepada Joget Gamelan Terengganu,
hakikat bahawa kesenian gamelan yang terdapat di Terengganu kini adalah
kesinambungan dari kesenian gamelan Pahang tetap tidak berubah.

Fungsi kesenian gamelan di Terengganu tidak banyak berubah seperti yang


terdapat di negeri Pahang. Ia masih lagi sebahagian daripada acara kesenian dan
kegiatan-kegiatan istana terutamanya dalam pesta-pesta dan perayaan-perayaan di raja.
Umumnya kesenian gamelan dipersembahkan sempena merayakan pertabalan, majlis
perkahwinan, berkhatan, bertindik, ulangtahun keputeraan dan majlis-majlis jamuan
yang istimewa. Selain dari itu, alunan muzik gamelan juga dimainkan untuk hiburan raja
dan permaisuri bersama kaum kerabat serta rakan-rakan baginda.

Kesenian gamelan di Pahang mula mengalami zaman kemerosotan untuk


beberapa ketika selepas perkahwinan Tengku Mariam. Usaha menghidupkan tradisi
gamelan Pahang terutamanya dari golongan istana kelihatan agak sukar kerana
ketiadaan minat dan kesungguhan yang mendalam terutamanya selepas kemangkatan
Sultan Ahmad I. Pewaris-pewaris baginda, Sultan Mahmud dan Sultan Abdullah tidak
mewarisi minat baginda terhadap kesenian gamelan. Akhirnya pada tahun 1930 muzik
gamelan kembali berkumandang di istana Pahang semasa majlis pertabalan Sultan Abu
Bakar pengganti kepada Sultan Abdullah. Kemudiannya pada tahun 1973, Sultan Abu
Bakar telah membeli dan membawa balik alat gamelan yang dipinjam oleh Tengku
Ampuan Mariam dari Terengganu. Peristiwa ini dilihat sebagai titik mula kebangkitan
tradisi bermain gamelan di Pahang. Walaupun terdapat usaha menghidupkan semula
tradisi gamelan ini, tetapi tetap tidak semeriah semasa kesenian ini mula-mula bertapak
dahulu. Gamelan kini hanya dimainkan dalam majlis tertentu sahaja terutamanya yang
melibatkan keberangkatan keluarga Diraja. Ibarat hidup segan mati tak mahu, irama ini
terus berkumandang walaupun sekadar mengisi kekosongan majlis-majlis rasmi. Joget
Pahang jarang sekali ditarikan kerana tidak ramai yang mengetahui kesenian ini.

Kebimbangan akan kehilangan kesenian gamelan ini telah mendorong Kebawah


Duli Yang Teramat Mulia Tengku Puan Pahang, Tunku Azizah Aminah Maimunah
Iskandariah binti Sultan Iskandar Al-Haj meneruskan peranan istana dalam memastikan
kesenian gamelan terus kekal menjadi tradisi muzik istana yang suatu ketika dahulu
pernah menjadi kebanggaan rakyat Pahang. Peranan istana di dalam mengembangkan
bidang kesenian dan kesusasteraan terus berlangsung walaupun dalam keadaan
masyarakat yang semakin kompleks. Secara tidak langsung selain sultan yang
memerintah, peranan wanita dalam istana tidak kurang pentingnya dalam usaha
memenuhi fungsi istana di zaman lampau mahupun dalam dunia moden. Sememangnya
agak sukar untuk mengembalikan zaman kegemilangannya tetapi usaha untuk
mendokumentasikan beberapa perkara penting yang berkaitan dengan gamelan Pahang
adalah satu langkah perlu bagi menyediakan satu bentuk rujukan yang berguna untuk
semua pada masa kini dan akan datang. Justeru tidak hairanlah sekiranya kesenian
gamelan memerlukan pendekatan yang lebih menarik untuk memastikan
kesinambungannya. Jika dahulu ia dimainkan dalam keraian majlis istana sahaja, kini
kesenian gamelan perlu pergi kepada rakyat bagi memastikan semakin ramai orang
mengetahui dan menguasai ilmu bermain gamelan dan Joget Pahang yang pernah
menempa zaman kegemilangannya pada lebih 100 tahun yang lalu.

SET ALAT MUZIK GAMELAN PAHANG

Berikut adalah set Gamelan Pahang berusia hampir 200 tahun yang masih lagi
dipamerkan di Galeri Sejarah dan Kesultanan Melayu Pahang, Muzium Sultan Abu Bakar,
Pekan, Pahang. Semoga kesenian muzik tradisi ini bukan sahaja akan terus terpelihara
tetapi turut dinikmati oleh generasi akan datang sebagai salah satu daripada khazanah
warisan Diraja Pahang.

Gong
Gong merupakan sejenis alat muzik yang diperbuat daripada gangsa, berbentuk bulat
dan berongga dengan tepinya melengkung ke bawah. Ia berdinding tebal dengan cembul
ditengah-tengah bahagian permukaannya. Dalam set alat muzik gamelan terdapat dua
jenis gong berlainan saiz yang digantung secara bersemuka pada kayu berhias dengan
ukiran tebuk. Gong-gong ini dipalu dengan menggunakan pemalu gong yang diperbuat
daripada kayu dengan hujungnya dibalut dengan getah skrap dan disarung dengan kulit
atau kain. Di antara semua alat muzik gamelan, gong merupakan alat muzik yang
menggalunkan nada paling rendah dan berfungsi sebagai bass.

Gambang
Gambang dikategorikan sebagai alat muzik jenis xilofon yang terdiri daripada 20
kepingan kayu. Kepingan-kepingan kayu tersebut diselaraskan ukuran panjang dan
tebalnya mengikut nada-nada tertentu. Kepingan kayu yang lebih pendek dan tebal
mempunyai nada yang lebih tinggi manakala kepingan kayu yang lebih panjang dan
nipis mempunyai nada yang lebih rendah. Gambang dipukul dengan menggunakan
sepasang pemukul yang pemegangnya diperbuat daripada rotan dan kepalanya
diperbuat daripada kayu yang dibalut agar tidak merosakkan kepingan kayu. Oleh
kerana gambang diperbuat daripada kayu maka bunyi yang dihasilkan adalah lebih unik
dan berbeza berbanding dengan alat-alat muzik gamelan yang lain.

Saron dan Demong


Bentuk saron hampir menyerupai gambang kerana kedua-duanya dikategorikan dalam
alat muzik jenis xilofon. Walau bagaimanapun, saron berbeza daripada gambang kerana
kepingan saron diperbuat daripada gangsa dan ia dimainkan dengan menggunakan satu
pemukul berbentuk seperti tukul yang kepalanya diperbuat daripada kayu atau tanduk
kambing. Kepingan saron yang berjumlah enam keping ini dilaraskan dan diatur
berbaris di atas kotak gema kayu yang berbentuk sampan kecil. Saron menghasilkan
nada yang tinggi.

Demong mempunyai bentuk yang sama dengan saron tetapi saiznya lebih besar. Alat
muzik ini menghasilkan nada yang lebih rendah daripada saron. Satu lagi perbezaan di
antara demong dan saron ialah bilah demong lebih lebar dan nipis berbanding bilah
saron. Demong juga dimainkan dengan menggunakan pemukul yang sama seperti saron.

Gendang
Gendang merupakan sejenis alat muzik yang mempunyai dua permukaan berlainan saiz.
Muka gendang yang besar mengeluarkan nada besar doh manakala muka gendang
yang kecil mengeluarkan nada kecil cak dan cang. Badan atau baluh gendang
diperbuat daripada kayu atau batang kelapa yang ditebuk berlubang pada kedua-dua
mukanya. Permukaan yang lebih kecil ditutup dengan kulit kambing manakala
permukaan yang lebih besar ditutup dengan kulit lembu. Gendang merupakan satu-
satunya alat muzik gamelan yang tidak memerlukan sebarang kayu pemukul tetapi
hanya menggunakan kedua-dua belah tapak tangan dan ia dilaraskan dengan
mengetatkan atau mengendurkan tali yang terdapat pada badannya. Gendang
merupakan alat muzik asli penduduk rantau Asia.

Kenong
Set gong unik ini terdiri daripada tiga biji gong besar berbentuk periuk yang diperbuat
daripada gangsa. Ia diatur secara melintang berbentuk L di atas tali yang direntang
serta diikat dari tombol-tombol kecil dan besar yang terdapat di atas permukaan kotak
gema kayunya. Kedudukan kenong di atas tali membolehkan ia menghasilkan bunyi
yang lebih baik dan unik. Kenong dimainkan dengan menggunakan satu kayu pemukul
lurus dan berbalut dengan lilitan tali yang rapi di hujungnya.

Keromong / Bonang
Keromong merupakan alat muzik gamelan yang terdiri daripada sepuluh buah gong
gangsa berbentuk seperti kenong dengan saiz yang lebih kecil. Ia diatur dalam dua baris
secara selari di atas tali yang direntangkan dengan ketat pada rangka kayu yang agak
rendah. Alat muzik ini dimainkan dengan menggunakan sepasang kayu pemukul seperti
pemukul kenong tetapi dengan saiz yang lebih kecil. Keromong agak sukar untuk
dimainkan dan memerlukan kemahiran yang tinggi.

You might also like