You are on page 1of 7

Falsafah Barat(Pendidikan)

Falsafah Pendidikan Barat


Falsafah Pendidikan Barat mengandungi unsur-unsur falsafah tradisional dan juga
aliran moden. Di antara falsafah pendidikan tradisional yang utama
ialah perenialisme dan essensialisme.Manakala, falsafah pendidikan moden yang
berpengaruh ialahprogresivisme, rekonstruktivisme, dan eksistensialisme.

Perenialisme
Perenialisme berasas daripada falsafah tradisional yang banyak dipengaruhi oleh
fahaman idealisme Plato (427-347 SM) dan Aristotle (384-322 SM). Sebagai aliran
falsafah pendidikan moden, perenialisme ini adalah dipelopori oleh R. M. Hutchins
(1899-1977), Mortimer J. Alder (I802-?) dari Amerika Syarikat, dan Jacques Maritain
(1882-1973) dari Perancis.
Mengikut ahli-ahli perenialisme, oleh kerana pengaruhmaterialisms, pragmatisme dan
fahaman sains, nilai moral dan rasional manusia semakin merosot. Untuk menyelamat
tamadun manusia daripada kelenyapan, fungsi asas pendidikan hendaklah
mengutamakan perkembangan potensi rasional individu, menolong mereka menemui
prinsip-prinsip mutlak, dan daripada itu, memahami dunia yang sebenar. Maka, tugas
utama dalam prosespendidikan ialah mendisplinkan mental dan jiwa pelajar, di
samping mengembang potensi menaakul. Sehubungan ini, membaca bahan-
bahan tulisan agung dari masa lampau merupakan tugas yang penting
bagi seseorang pelajar. Ahli perenialisme berpendapat, melalui pembacaan tulisan-
tulisan cendekiawan zaman lampau, pelajar dapat bersemuka secara tidak langsung
dengan pemikiran mereka dan mempelajari cara memikirseperti mereka. Maka, tugas
pendidikan ialah memupuk kelakuan moral, menguasai alat pembelajaran, melatih
pelajar dalam 3M, iaitu membaca, menulis dan mengira, serta mengingat petikan-petikan
daripada karya-karya agung sebagai asas kehidupan yang rasional dan matang pada
masa depan. Di samping itu, mereka berpendapat pula bahawa pendidikan
kemanusiaan, termasuk agama, ialah mata pelajaran yang penting dan
hendaklah dipelajari terlebih dahulu daripada pendidikan sains.
Essensialisme
Essensialisme pula berasas daripada falsafah tradisional.Pandangan pendidikan ahli-
ahli essensialisme banyak dipengaruhi oleh falsafah idealisme dan realisme. Falsafah
pendidikanessensialisme ini adalah dipelopori oleh William C. Bagley (1874-1946) dari
Amerika Syariklat pada tahun 1938. Penyokong-penyokong essensialisme ialah
Thomas Briggs, Frederick Breed dan Issac L. Kandel. Selepas Russia berjaya
menghantar satelitnya ke angkasa lepas pada tahun 1957, essensialisme semakin
diutamakan sebagai pertimbangan asas dalam inovasi kurikulum sekolah.
Ahli-ahli falsafah pendidikan essensialisme, seperti James B. Conant (1893-1978) dan
Hyman George Rickover (1900-?), berpendapat fitrah manusia sebenarnya kekurangan
nilai-nilai murni yang sempurna. Sama ada dapat dibaiki untuk menjadi insan yang baik
adalah bergantung kepada pengaruh kebudayaan masyarakat, iaitu melalui latihan
intelek dan mental untuk membentuk personaliti dan mental mereka ke tahap
keharmonian dan penyempurnaan. Mengikut mereka, guru memainkan peranan yang
utama dalam proses pendidikan, membantu pelajar memperolehi keperluan dan kualiti
kehidupan orang dewasa, agar mereka dapat berjaya hidup dalammasyarakat secara
terus menerus. Guru hendaklah mengamalkan sikap pimpinan demokratik, mengambil
inisiatif untuk menjalankan tugas sebagai pengajar, kreatif membentuk iklim kondusif untuk
aktiviti pengajaran dan pembelajaran, dan mahir menggunakan teknik peneguhan ataupun
ganjaran dan denda. Sehubungan ini, guru hendaklah mempunyai kelayakan akademik
yang berpatutan, emosi stabil, dan juga memahami psikologi perkembangan kanak-
kanak dan remaja. Mengikut ahli-ahli essensialisme, ilmu diperolehi dengan berkesan
adalah bergantung kepada kerajinan dan tumpuan perhatian pelajar. Minat bukan kunci
kejayaan dalam pembelajaran. Minat boleh dipupuk selepas berusaha bersungguh-
sungguh daripada bimbingan guru secara terus-menerus. Pelajar
hendaklah memahami dan mematuhi kewibawaan dan pimpinan guru. Di
dalam bidang kurikulum, ahli-ahli essensialisme menyarankan kurikulum
sekolahhendaklah dibentuk berdasarkan keperluan masyarakat; bahan-bahan pelajaran
hendaklah disediakan secara rapi dan logikal; aktiviti pengajaran dan pembelajaran
hendaklah dirancang secara sistematik dan mengikut sekuen yang sesuai; dan kriteria
kenaikan darjah hendaklah ditetapkan secara rapi mengikut pencapaian peperiksaan. Di
dalam peringkat sekolah rendah, pendidikan 3M, (iaitu membaca,
menulis dan mengira) merupakan perkara-perkara yang asas diikuti dengan mata
pelajaran tambahan seperti sejarah, ilmu alam, sains dan bahasa asing. Mata pelajaran
yang kurang penting ialah pendidikan seni, pendidikan jasmani dan muzik. Di sekolah
menengah, pendidikan membaca dan menulis yang lebih khusus
hendaklahdiperkembangkan, diikuti dengan mata pelajaran arithmetik, algebra,
geometri, trigonometri dan kalkulus, fizik, kimia, biologi dan geologi.Seperti sekolah
rendah, mata pelajaran yang kurang penting ialahpendidikan seni, pendidikan jasmani
dan muzik, ditambah dengan mata pelajaran vokasional dan aktiviti luar bilik darjah
(iaitu aktiviti kokurikulum).
Ahli-ahli essensialisme pula menyarankan nilai-nilai masyarakat termasuk nilai-nilai
sosial, kebudayaan, politik, cerdekiawan dan penulisan yang terkenal hendaklah diajar
sepanjang peringkat persekolahan. Sehubungan ini, guru hendaklah mempunyai
kelayakan dan kemahiran dalam bidang nilai-nilai masyarakat tradisi dan masyarakat
moden.
Progresivisme
Progresivisme berasas daripada falsafah naturalisme danpragmatisme. Falsafah
naturalisme adalah dipelopori oleh Jean J. Rousseau (1712-1778: Perancis), Heinrich
Pestalozzi (bangsa Swiss : 1746-1827) dan Freidrich Froebel (bangsa Jerman : 1782-
1852), semasa zaman reformasi di antara tahun 1712hingga 1860.
Mengikut Rousseau, kelahiran manusia adalah suci dan semula jadi seperti kain putih,
dan coraknya pada masa depan adalahdipengaruhi dan ditentukan oleh alam
sekitarnya. Maka, Teori Pembelajaran Semula Jadi, yang berasaskan daripada falsafah
pendidikan Rousseau ini, menekankan hasil pembelajaran seseorang adalah dipengaruhi
dan ditentukan oleh alam sekelilingnya. Teori pembelajaran ini bercanggah dengan
memaksa pelajar belajar seperti yang disarankan dalam Teori Disiplin Mental. la
sebaliknyamenyarankan agar menunggu timbul minatnya terhadap pembelajaran.
Maka, Teori Pembelajaran Semula Jadi menekankan keberkesanan pembelajaran
bergantung kepada kesediaan pembelajaran seseorang, yang telah menjadi salah satu
prinsip pengajaran dan pembelajaran yang utama dalam masakini.
Naturalisme merupakan teras falsafah pendidikan Rousseau. Beliau menegaskan,
untuk membentuk manusia yang ideal, kita harus ; melaksanakan pendidikan bercorak
naturalisme. Di dalam alam sekitar, mengikut kajian beliau, kedudukan orang dewasa
dengan kanak-kanak adalah berlainan. Oleh itu, di dalam aspek pendidikan, kedua-dua
kumpulan mereka hendaklah dipandang berlainan. Tambahan pula, kanak-
kanak hendaklah diajar cara yang sesuai mengikut peringkat perkembangan umur mereka.
Kanak-kanak akan menjadi mangsa sekiranya mereka dipaksa belajar mengikut
pendidikan orang dewasa.
Manakala, pragmatisme adalah dipelopori oleh John Dewey (1859-1952), William H.
Kilpatrik (1871-1965), Boyd H. Bode (1873-1953), dan Harold V. Rugg (1886-1960) dari
Amerika Syarikat.
Falsafah pragmatisme adalah dilahir daripada andaian bahawa ilmu pengetahuan
dapat diperolehi melalui cara perhubungan manusia dengan alam sekitarnya. Ahli
falsafah yang menggunakan pendekatan pragmatik ini berpendapat bahawa sesuatu
idea, prinsip atau fakta hanya boleh dikatakan benar dan bermakna apabila idea,
prinsip atau fakta itu telah diuji secara objektif serta saintifik, dan membawa hasil yang
memuaskan. Dengan perkataan lain, kebenaran sesuatu idea, prinsip atau hukum
bergantung kepada hasil yang diperhatikan secara objektif dalam sesuatu penyelidikan
yang dijalankan.
Ahli-ahli falsafah pragmatisme, seperti Pierce dan John Dewey,berpendapat pula
bahawa cara yang paling berkesan untuk memperolehi ilmu pengetahuan ialah
menggunakan kaedah penyelesaian masalah. Mengikut mereka, usaha mencari
penyelesaian sesuatu masalah dilahir daripada keperluan dan minat.Aktiviti
menyelesaikan masalah akan dapat dilaksanakan dengan berkesan apabila timbulnya
keperluan dan minat untuk menyelesaikan masalah tersebut. Di bawah konteks
pendidikan,pendekatan pragmatik pula menjadi sesuatu kaedah mengajar dalam aktiviti
pengajaran dan pembelajaran. Dengan penggunaan kaedah penyelesaian masalah,
pelajaran akan menjadi lebih mudah, lebih menarik dan lebih bermakna kerana pelajaran
adalah dirancang mengikut keperluan dan minat pelajar.
Kemunculan aliran progresivisme pada tahun 1930-an adalah bertujuan menentang
pendidikan tradisional yang disifatkan sebagai pasif dalam pembelajaran, kerana ia
mengutamakan kemahiran mengingat dan latihan yang rapi. Lantaran ini, John Dewey
dan ahli-ahli progresivisme yang lain menyarankan progresivisme untuk menentang
aliran perenialisme, khasnya mengritik autoriti guru dalam proses pengajaran dan
pembelajaran. Di dalam fahaman progresivisme, pelajar merupakan peranan utama
dalam pembelajaran. Mereka berpendapat segala aktiviti pengajaran dan pembelajaran
hendaklah dirancang berdasarkan minat, keperluan dan kebolehan pelajar. Mereka
menggambarkan pelajar sebagai individu yang berpengalaman, bermotivasi kendiri dan
mempunyai naluri ingin tahu. Oleh itu, mereka harus diajar dengan pendekatan kajian
sosial, projek, penyelesaian masalah dan ujikaji. Guru yang berkesan adalah guru
yang memainkan peranan sebagai pembimbing dan penasihat dengan membimbing
pelajar menggunakan kaedah inkuiri dan penemuan untuk memperolehi ilmu pengetahuan
melalui usaha diri sendiri. Sehubungan ini, pcrkara-perkara yang hendak disampaikan
patutlah berlandaskan minat pcngalaman dan kebolehan pelajar.
Mengikut Dewey, pendidikan di sekolah merupakan sebahagian kehidupan harian
pelajar. Maka, sekolah bukan sahaja tempat untuk memperolehi ilmu pengetahuan,
tetapi juga sesuatu tempat untuk pelajar bckerja dan hidup secara bermasyarakat.
Sehubungan ini, beliau menyarankan mata pelajaran seperti Kemahiran Hidup
diperkenalkan dan tlipelajari dengan kaedah praktik di dalam bengkel sekolah, demi
memupuk kemahiran daya cipta di kalangan pelajar.
Sebagai masyarakat kecil, sekolah hendaklah berperanan untuk mendorongkan
kerjasama di kalangan anggota-anggotanya di samping mengamalkan kepimpinan
demokratik dalam hal pengurusan dan pelaksanaan aktiviti pengajaran dan
pembelajaran. Dengan perkataan lain, ahli-ahli progresivisme menyokong
penggunaan strategi kolaboratif dan koperatif dalam aktiviti-aktiviti pendidikan. Guru
hendaklah menggalakkan pelajar mengambil inisiatif sendiri dan menggunakan kaedah
kerja praktik dan pengalaman sedia ada untuk memperolehi ilmu pengetahuan dan
menguasai kemahiran menyelesaikan masalah. Ilmu sains sahaja merupakan ilmu yang
sebenar. Oleh itu, proses pengajaran dan pembelajaran hendaklah dilaksanakan
berdasarkan langkah-langkah kajian sains, termasuk aplikasi prinsip "membuat sambil
belajar".Kaedah sains merupakan kaedah koperatif, dan di bawah aplikasinya dalam
kehidupan bermasyarakat ialah sesuatu kaedah bersifat demokratik. Ini bermakna,
mengikut mereka, sekolah hendaklah beroperasi sebagai organisasi yang bercorak
demokratik.

Rekonstruktivisme
Rekonstruktivisme merupakan falsafah pendidikan yang dipecahkan daripada aliran
fahaman progresivisme dan menjadi suatu falsafah sendiri. Pelopor utama aliran
fahaman rekonstruktivisme ialah George S. Counts (1899-1974) dam Harold O. Rugg
(1886-1960), kedua-duanya adalah penyokong pragmatisme John Dewey.
Ahli-ahli rekonstruktivisme berpendapat falsafah pendidikan progresivisme hanya
sesuai digunakan dalam masyarakat yang stabil; oleh itu, adalah perlu mengadakan
sesuatu falsafah 'krisis'seperti rekonstruktivisme untuk menyelamat kebudayaan
masyarakat yang kian diancam dan menghadapi masalah keruntuhan. Tambahan pula,
mengikut mereka, progresivisme terlalu mementingkan pendekatan dan proses
pendidikan, hingga mengabaikan objektif dan hasilnya. Mereka berpendapat, tugas
utama pendidikan hams mengandungi objektif eksplisit, iaitu membentuk "Order Baru
Masyarakat" sebagai objektif yang ideal, membaiki masyarakat, merealisasikan
demokrasi untuk masyarakat dan sarwa jagat, demi membawa kebajikan dan
kesejahteraan untuk manusia.
Aliran fahaman rekonstruktivisme mula menjadi perhatian di dalam tahun 1950-an,
apabila Theodore Burghard Hurt Brameld (1904-?) menggabungkan teori
progresivisme dengan behaviorial sains sebagai asas rekonstruktivisme. Beliau
berpendapat pengalaman sebenarnya ialah hasil interaksi manusia dengan elemen-
elemen dalam alam persekitaran dan alam sosial, di mana pengalaman individu
merupakan tempat utama dalam proses interaksi tersebut. Nilai berubah mengikut
perubahan masyarakat. Nilai yang tertinggi akan dapat dicapai apabila individu dan
masyarakat memperolehi kepuasan dalam peringkat penyempurnaan. Sehubungan ini,
sekolah seharusnya menjadi sesuatu organisasi yang mengamalkan
prinsip rekonstruktivisme. Hal ini memerlukan pelajar mematuhi segala prinsip tingkah
laku yang ditentukan dan berusaha mempertingkatkan kualiti pembelajaran mereka.
Mengikut mereka, teori progresivisme yang menyarankan kaedah penyelesaian masalah
tidak mempunyai objektif dan nilainya, dan cara yang berkesan untuk mengkaji masalah
sosial ialah teknik perbincangan, yang akan dapat mencapai matlamat penyelesaian
masalah sosial, dan seterusnya membentuk masyarakat sosial yang harmoni
dan sempurna. Maka, teori rekonstruktivisme, di dalam usaha membina masyarakat
baru, menumpukan usaha kepada perkembangan ekonomi dan kebajikan sosial
manusia. Mereka percaya bahawa sekolah bolehmemainkan peranan membentuk
semula masyarakat yang harmoni dan sempurna. Maka, peranan guru bukan sahaja
menyampaikan ilmu pengetahuan, tetapi juga, yang lebih pentingnya, membawa isu-isu
sosial yang penting untuk dibincang dan diselesaikan secara usahasama. Ringkas kata,
teori rekonstruktivisme menekankanteknik perbincangan dan penggunaaan kemahiran
berjikir kritis dan kreatif dalam penyelesaian masalah. Untuk mencapai matlamat
pendidikan ini, bahan-bahan pelajaran hendaklah distrukturkan secara sistematik dan
bersepadu. Mata pelajaran kemanusiaan hendaklah menjadi fokus utama dalam
rancangan kurikulum sekolah, agar membentuk pelajar yang berperikemanusiaan,
berlandaskan kebudayaan masyarakat yang ideal.
Eksistensialisme
Aliran fahaman eksistensialisme merupakan falsafah pendidikan Barat yang
berasaskan naturalisme Rousseau dan mazhab humanis,adalah dipelopori oleh Carl
Rogers (1902-1987), dengan mengutamakan pembelajaran kendiri dan bukan ilmu
pengetahuan. Ahli-ahli eksistensialisme berpendapat pelajar tidak patut
mengorban individualiti mereka untuk memperolehi ilmu pengetahuan. Maka,
pembelajaran yang berkesan harus mempunyai makna kepada individu yang
berkenaan. Hanya melalui cara ini, pelajar barulah berupaya bertindak berdasarkan
ilmu pengetahuan dan kefahamannya dalam situasi mengikut masa dan keadaan yang
sesuai. Mereka menekankan kurikulum yang menjadi fokus utama hendaklah
dipindahkan daripada perkara alam dunia kepada dunia personaliti. Ini bermakna bahan
pembelajaran, cara belajar, kuantiti pembelajaran dan nilai-nilainya hendaklah
ditentukan oleh pelajar sendiri. Pemilihan dengan tepat atau silap adalah
tanggungjawab pelajar sendiri. Guru hendaklah menghormati pandangan dan pemilihan
pelajar dan tidak patut memaksa pelajar menerima nilainya. Permainan yang
mempunyai unsur kreatif dan pendidikan seni mengandungi nilai etika dan estetik yang
tinggi, kerana kedua-duanya membongkar konflik di antara individualiti dengan alam
persekitaran, mencetuskan perasaan dan emosi pelajar, dan oleh itu, membolehkan
pelajar mengembangkan potensi mereka dengan sempurna. Maka, sekolah hendaklah
menyediakan peluang untuk pelajar menemui kendiri diri dan memupuk kemahiran
berfikir secara reflektif untuk menilai diri serta keupayaan disiplin diri. Amalan falsafah
pendidikan eksistensialisme banyak didapati daripada sekolah-sekolah terbuka di
Amerika Syarikat, Taiwan, Jepun dan model Sekolah Summerhill di United Kingdom.

You might also like