You are on page 1of 23

Warkah Suci Putih Hati, Daripada Sultan

1
Ibrahim Kepada Francis Light
Abdur-Rahman Mohamed Amin
Kumpulan Kajian Perak, Pulau Pinang dan Asia Tenggara, Jabatan Pengurusan dan Kemanusiaan,
Universiti Teknologi PETRONAS, Tronoh, Perak.
Email: urrahman_amin@petronas.com.my; Telefon: 019-2526121; Fax: 05-3656280

Abstrak:
Kertas ini membincangkan tentang kandungan lapan pucuk surat-surat terpilih yang dihantar oleh Sultan
Ibrahim, iaitu Sultan Selangor kepada Gabenor Jeneral Inggeris di Benggala dan juga Francis Light
sebagai Gabenor Pulau Pinang yang pertama. Kesemua surat-surat ini ialah manuskrip asal yang ditulis
dalam Bahasa Melayu bertulisan jawi yang tersimpan di perpustakaan School of Oriental and African
Studies, University of London. Secara keseluruhannya, terdapat sejumlah 46 pucuk surat telah dikirim
oleh Sultan Ibrahim yang boleh ditemui dalam koleksi ini. Namun, hanya 8 pucuk surat sahaja yang
dipilih dalam kajian ini berdasarkan cop rasmi Sultan Ibrahim yang tertera pada surat-surat ini. Kesemua
8 pucuk surat ini telah dikirim antara 7 Disember 1785 sehinggalah 8 Julai 1787. Surat-surat ini telah
dianalisis bermula dari cop mohor sultan, kepala surat, mukadimah, kandungan serta penutup surat.
Kandungan surat-surat ini menceritakan dengan jelas hubungan antara kesultanan Selangor dengan
Inggeris serta Belanda dan dengan negeri-negeri Melayu yang lain iaitu Kedah, Perak dan Acheh.
Keadaan politik di Selangor yang tidak stabil pada masa itu dapat dilihat dengan jelas apabila Sultan
Ibrahim kerapkali mendesak Francis Light untuk menjalin hubungan diplomatik antara Selangor dengan
British. Kegiatan ekonomi Selangor turut dibincangkan iaitu melibatkan jualan barangan komoditi
seperti timah, lada hitam, lilin dan rotan. Sultan Selangor turut meminta untuk membeli senjata seperti
senapang, meriam serta peluru sebagai persediaan untuk menghadapi serangan balas dari Belanda.
Baginda juga turut meminta bantuan Francis Light untuk menumpangkan rakyatnya menaiki kapal untuk
menunaikan haji di Mekah. Ringkasnya, surat-surat ini merupakan bahan sejarah bertulis yang penting
bagi negeri Selangor kerana kandungannya yang memaparkan suasana yang berlaku di Selangor
berdasarkan sumber bertulis daripada kesultanan Selangor sendiri.

Kata Kunci: Sultan Ibrahim, Francis Light, Surat Sultan Selangor, Cop Mohor Selangor.

Pendahuluan:
Surat-surat koleksi Francis Light merupakan antara koleksi surat-surat alam Melayu yang masih disimpan
dengan baik di perpustakaan School of Oriental and African Studies, University of London dengan
menggunakan nombor rujukan MS 40320. Koleksi ini mempunyai bilangan dokumen dan surat-surat

1
Kertas kerja ini telah dibentangkan pada Seminar Kesultanan Selangor Dalam Arus Sejarah Malaysia, 18
November 2014, Muzium Sultan Alam Shah, Shah Alam, Selangor.

1
yang mencecah 1200 pucuk yang telah disimpan oleh Francis Light sepanjang tempoh beliau berada di
Kepulauan Melayu terutamanya ketika beliau bertugas sebagai Superintendan Syarikat Hindia Timur
Inggeris di Pulau Pinang sehinggalah beliau meninggal dunia pada tahun 1794. Kesemua manuskrip ini
telah ditulis dengan tulisan jawi dan masih tersimpan dengan baik. Namun demikian, terdapat
sebahagian kecil dokumen daripada koleksi ini yang sebenarnya tidak berkaitan secara langsung dengan
koleksi surat-surat Francis Light kerana ia mengandungi cerita-cerita hikayat yang berkemungkinan
berasal dari Sumatera.
Secara umumnya, 11 jilid koleksi surat-surat Francis Light ini boleh dibahagikan kepada lima kategori
menurut pendapat Kratz (1987). Kategori pertama ialah surat-surat yang dikirim kepada Francis Light,
kategori kedua ialah surat-surat yang dikirim kepada rakan perniagaannya iaitu Kapten James Scott,
kategori ketiga ialah surat-surat asal, salinan dan draf yang dikirim oleh Francis Light, kategori keempat
ialah surat-surat dalaman yang dikirim dan diterima oleh individu-individu di alam Melayu dan kategori
kelima ialah dokumen-dokumen yang tidak termasuk dalam kategori di atas.
Dalam beberapa kajian berkaitan koleksi surat-surat Francis Light, koleksi ini telah dikaji dan diterbitkan
sebahagiannya oleh Marsden seawal tahun 1812 dalam bukunya berkaitan tatabahasa Bahasa Melayu
bertajuk A Grammar of the Malayan Language with an Introduction and Praxis (Marsden, 1812).
Dulaurier turut memasukkan sepucuk surat dari koleksi ini dalam bukunya berkaitan surat-surat Melayu
pada tahun 1845 (Kratz, 1987). Sebuah kajian juga telah dilakukan oleh Andaya pada tahun 1978 yang
menggunakan koleksi ini untuk mengkaji tentang Saudagar Raja dan Russell Jones pada tahun 1981
yang membuat kajian tentang dua pucuk surat oleh Sultan Muhammad Jiwa kepada Francis Light (Kratz,
1987). Annabel Teh Gallop (1994) pula telah menerbitkan beberapa transkripsi koleksi surat-surat
Francis Light di dalam bukunya yang bertajuk Warisan Warkah Melayu. Beliau juga telah
menggunakan koleksi surat-surat Francis Light sebagai sebahagian sumber utamanya dalam tesis
peringkat ijazah kedoktoran beliau terhadap penggunaan cop mohor di alam Melayu (Annabel, 2002).
Di kalangan pengkaji tempatan, Jelani Harun (2008) pula telah mengkaji beberapa pucuk surat Francis
Light yang berkaitan dengan undang-undang di Alam Melayu, begitu juga dengan Jelani Halimi (2006)
yang telah menyentuh beberapa pucuk surat Francis Light terutamanya surat-surat cit yang berkaitan
dengan perdagangan di antara Francis Light dan Saudagar Raja. Dalam sebuah buku bertajuk Umpama
Sebuah Bahtera, Jelani Harun (2011) sekali lagi telah membuat analisis ringkas berkaitan sepucuk surat
yang dikirim daripada Sultan Perak iaitu Sultan Alauddin Mansur Shah kepada Francis Light. Dalam kajian
dari segi penggunaan bahasa, Abdul Razak Abdul Karim (1996) pula telah mengkaji aspek kosa kata
dengan memilih sebelas pucuk surat daripada koleksi surat Francis Light dalam kajian beliau
termasuklah surat-surat daripada Sultan Kedah, Raja Muda Kedah, Laksamana Kedah, Bendahara Muda
Kedah dan sepucuk surat daripada isteri kepada Tunku Raja Muda Selangor.
Setakat ini, belum terdapat lagi kajian yang menyeluruh telah dilakukan terhadap kesemua dokumen
yang terkandung dalam koleksi ini melainkan hanya beberapa surat-surat terpilih sahaja,
memandangkan bilangan dokumen dalam koleksi ini yang banyak sehingga menjangkau 1200 pucuk
surat. Koleksi surat-surat ini bukan hanya terdapat di perpustakaan School of Oriental and African
Studies sahaja, malah sebahagian koleksi asalnya turut boleh didapati di British Library dan
perpustakaan Universiti Cambridge.
Bahkan, surat-surat ini turut disalin oleh beberapa sarjana barat. Menurut Jelani Harun (2014), terdapat
kira-kira 100 dokumen daripada koleksi surat-surat Francis Light ini yang telah disalin sendiri oleh
seorang sarjana Perancis iaitu Eduord Dulaurier dan disimpan di perpustakaan Richelieu, Perancis
dengan nombor rujukan manuskrip Mal-Pol 97. Sebahagian daripada koleksi surat-surat ini turut disalin
dan disimpan pula di Bibliotheque Municipale de Tournus, Perancis. Koleksi ini dengan nombor rujukan
2
manuskrip M 30 mengandungi 38 salinan surat-surat Francis Light daripada manuskrip Mal-Pol 97.
Ternyata bahawa manuskrip asal koleksi surat-surat ini berada di Britain, namun sarjana Perancis telah
berusaha untuk menyalin sebahagian manuskrip ini dan menyimpannya di Perancis.
Selain itu, kajian terhadap surat-surat Sultan Selangor kepada Francis Light pula belum pernah
dibincangkan secara terperinci. Hanya sepucuk surat sahaja yang pernah dimasukkan transkripsinya oleh
Annabel Teh Gallop di dalam bukunya yang bertajuk Warisan Warkah Melayu (1994) iaitu surat yang
bernombor SOAS MS 40320/11 f.39. Begitu juga beberapa pucuk surat dari Sultan Selangor kepada
Francis Light yang telah dipilih oleh Marsden untuk dimasukkan dalam bukunya bertajuk A Grammar of
the Malayan Language with an Introduction and Praxis (1812). Di dalam buku tersebut, Marsden telah
menulis nama Selangor sebagai Silangur.
Justeru, kajian ini telah dijalankan dengan tujuan untuk meneliti dan mengkaji isi kandungan surat-surat
yang dihantar oleh Sultan Selangor iaitu Sultan Ibrahim kepada Francis Light. Berdasarkan 11 jilid koleksi
surat-surat Francis Light yang terdapat di perpustakaan School of Oriental and African Studies, terdapat
86 pucuk surat-surat dan dokumen yang berkaitan dengan Selangor yang dapat ditemui. Kesemuanya
bercampur aduk di dalam jilid 1, 3, 4, 5, 6, 7 dan 11. Kebanyakan surat-surat dari Selangor boleh ditemui
dalam jilid 4 dan jilid 11. Daripada kesemua dokumen ini, sebanyak 46 pucuk surat telah didapati dikirim
oleh Sultan Ibrahim manakala selebihnya dihantar oleh pembesar-pembesar Selangor dan orang-
perseorangan seperti Raja Muda, Syahbandar, isteri Raja Muda dan Kapitan Cina Selangor. Bagi surat-
surat yang dikirim oleh Sultan Ibrahim, ia dapat dikenali melalui cop mohornya yang terdapat pada surat
ataupun melalui nama dan jawatannya sebagai Duli Yang Dipertuan Selangor yang tertulis di bahagian
mukadimah surat. Cop mohor yang digunakan dalam surat-surat Sultan Ibrahim pula boleh dibahagikan
kepada dua jenis, iaitu cop mohor yang tertulis nama baginda iaitu Al-Sultan Ibrahim dan juga cop
mohor yang tertulis Raja Selangor Badaruddin sanah 1177. Majoriti surat-surat yang dikirim oleh
Sultan Ibrahim menggunakan cop mohor yang tertulis Raja Selangor Badaruddin sanah 1177.
Dalam kajian ini, penulis telah memilih surat-surat yang hanya menggunakan cop mohor yang tertulis
nama Sultan Ibrahim di dalamnya dan juga sepucuk surat yang tidak mengandungi cop mohor sultan.
Terdapat sejumlah lapan pucuk surat kesemuanya. Tujuh pucuk surat adalah surat yang dihantar kepada
Francis Light sementara terdapat sepucuk surat yang dihantar kepada Gabenor-Jeneral Inggeris di
Benggala iaitu surat yang bernombor MS 40320/11 folio 40. Kajian ini telah dijalankan dengan
menganalisis kandungan surat-surat ini dari aspek cop mohor, kepala surat, mukadimah, kandungan dan
penutup surat. Kesemua lapan manuskrip ini ialah sebahagian daripada sebelas jilid koleksi Surat-surat
Francis Light dengan nombor rujukan seperti berikut: SOAS MS 40320/1 folio 24, SOAS MS 40320/4 folio
53, SOAS MS 40320/11 folio 36, SOAS MS 40320/11 folio 39, SOAS MS 40320/11 folio 40, SOAS MS
40320/11 folio 43, SOAS MS 40320/11 folio 44 dan SOAS MS 40320/11 folio 45.

Sultan Ibrahim:
Sultan Ibrahim ibn Sultan Salahuddin merupakan sultan yang kedua memerintah negeri Selangor selepas
kemangkatan ayahandanya. Ayahandanya iaitu Raja Lumu telah didaulatkan sebagai Sultan Selangor
dengan menggunakan nama Sultan Salahuddin oleh Sultan Mahmud Syah dari Perak pada bulan
November 1766 (Andaya, 1979). Dalam masa yang sama, Sultan Mahmud Syah juga sebenarnya baru
sahaja menaiki takhta di Perak selepas kemangkatan kekandanya Sultan Iskandar Zulkarnain pada 15
Julai 1765. Peristiwa bersejarah antara Sultan Mahmud Syah dari Perak dan Sultan Salahuddin dari
Selangor ini telah berlaku di Perak dan ia telah menjadi asas kepada permulaan pemerintahan
kesultanan Selangor secara rasmi sebagai sebuah negeri berdaulat.

3
Sultan Ibrahim merupakan anak sulung kepada Sultan Salahuddin dan telah menaiki takhta
pemerintahannya pada tahun 1781 ataupun 1782 masihi. Meskipun terdapat banyak pendapat yang
berbeza berkaitan tahun permulaan pemerintahannya, namun tahun yang tertera pada cop rasmi
baginda ialah tahun 1196 hijrah yang bersamaan dengan tahun 1781 ataupun 1782 masihi. Justeru,
tahun baginda menaiki takhta Selangor adalah sekitar tahun tersebut. Adinda baginda yang bernama
Raja Nala telah dilantik menjawat jawatan Raja Muda.

Antara perkara menarik yang berlaku semasa pemerintahan baginda ialah bagaimana Belanda telah
menyerang dan berjaya merampas Selangor. Baginda sultan telah dipaksa berundur hingga ke Pahang.
Namun, baginda telah berusaha untuk menyerang semula kubu Belanda dan berjaya merampas semula
Selangor dan seterusnya menghalau Belanda dari bumi Selangor. Serangan ini telah berjaya dilakukan
dengan bantuan Bendahara Abdul Majid dari Pahang pada malam 27 Jun 1785 (Winstedt, 1938).
Meskipun demikian, Belanda telah bertindak balas dan akhirnya satu perjanjian damai telah termeterai
antara Belanda dengan baginda sultan.

Sultan Ibrahim telah meninggal dunia pada tahun 1826 dan digantikan oleh anakanda baginda yang
menaiki takhta sebagai Sultan Selangor yang ketiga iaitu Sultan Muhammad Shah.

Penentuan Tarikh Surat:


Tarikh kesemua surat-surat ini ditulis dapat dikesan berdasarkan tarikh hijrah yang telah ditulis di
bahagian penutup oleh penulis surat. Jadual berikut memaparkan tarikh hijrah yang telah ditulis beserta
hari, serta tarikh masihi yang bersamaan dengannya. Surat-surat berikut telah disusun mengikut turutan
tarikh hijrah dari yang terawal sehinggalah yang terakhir.

Jadual 1: Tarikh Surat


No. Nombor Rujukan Surat Tarikh Hijrah Hari Persamaan Tarikh Masihi
Arba (Rabu),
1 SOAS MS 40320/11 f.40 4 Safar 1200 7 Disember 1785 (Rabu)
pukul 3

2 SOAS MS 40320/11 f.39 6 Jamadil Akhir 12 Isnin 3 April 1786 (Isnin)

Malam Jumaat,
3 SOAS MS 40320/11 f.43 30 Syawal 1200 25 Ogos 1786 (Jumaat)
pukul 7

4 SOAS MS 40320/11 f.45 8 bulan haji 1200 Tiada 1 Oktober 1786 (Ahad)

5 SOAS MS 40320/11 f.44 1 Safar 1201 Tiada 22 November 1786 (Rabu)

Jumaat, pukul 8
6 SOAS MS 40320/11 f.36 15 Rabiul Awal 1201 5 Januari 1787 (Jumaat)
pagi

7 SOAS MS 40320/1 f.24 3 Syaban 1201 Isnin 21 Mei 1787 (Isnin)

SOAS MS 40320/4 f.53


8 22 Ramadhan 1201 Tiada 8 Julai 1787 (Ahad)
(Tiada cop mohor)

4
Berdasarkan jadual 1 di atas, didapati bahawa surat yang terawal ialah surat yang dihantar kepada
Jeneral Inggeris di Benggala bertarikh 7 Disember 1785. Surat terawal yang telah dihantar kepada
Francis Light pula ialah pada 3 April 1786 sementara surat yang terakhir pula ialah 8 Julai 1787.

Berdasarkan susunan nombor rujukan surat, ternyata ia tidak disusun dalam satu jilid dan susunannya
juga tidak mengikut tarikh penghantaran surat. Dua pucuk surat dari Sultan Ibrahim telah diletakkan
dalam jilid 1 dan 4 berbanding dengan enam pucuk surat-surat lain yang disimpan dalam jilid 11. Perkara
ini mungkin berlaku disebabkan kesukaran oleh penyimpannya untuk mengasingkan dokumen-dokumen
yang sama dalam bilangan yang menjangkau ribuan helai mengikut negeri dan tarikh penghantarannya.

Cop Mohor Sultan Ibrahim:


Cop mohor merupakan antara lambang kebesaran bagi Sultan-sultan di alam Melayu. Cop mohor adalah
penting bagi membuktikan kesahihan identiti pengirim surat tersebut. Daripada lapan pucuk surat yang
dihantar oleh Sultan Ibrahim kepada Francis Light, kesemuanya telah diletakkan cop baginda Sultan
melainkan sepucuk surat sahaja yang didapati tiada cop daripada baginda iaitu manuskrip bernombor
MS 40320/4 f.53. Kesemua cop-cop ini telah diletakkan di sebelah kanan surat sama ada sebaris dengan
mukadimah atau sedikit di sebelah atas mukadimah surat.

Cop mohor Sultan Ibrahim sangat menarik kerana bukan sahaja terdapat nama Sultan Ibrahim yang
diukir di dalamnya, tetapi terdapat juga potongan ayat al-Quran yang telah diletakkan mengelilingi cop
ini. Di tengah-tengah cop ini telah diukir dengan lima baris tulisan jawi yang tertulis: al-Mutawakkil bi al-
Malik al-Haq al-Mubin al-Sultan Ibrahim Huwa Ajdar al-Muwarithin ibn al-Marhum al-Sultan Salih al-Din
sanah 1196.

Berdasarkan ukiran tersebut, terdapat beberapa perkataan dalam bahasa Arab yang perlu diberikan
maknanya dalam bahasa Melayu. Perkataan Al-Mutawakkil bermaksud seseorang yang bertawakal (Ibn
Manzur, 1990) dan berserah diri kepada bi al-Malik al-Haq al-Mubin, iaitu nama-nama Allah yang
bermaksud Tuhan yang Maha berkuasa memerintah, Tuhan yang bersifat dengan sifat yang Maha benar
dan sangat jelas kebenaranNya. Frasa Al-Sultan Ibrahim Huwa Ajdar al-Muwarithin pula bermaksud
Sultan Ibrahim, dialah sultan yang paling layak mewarisi takhta, sementara sanah pula bermaksud
tahun.

Daripada cop ini, didapati bahawa nama Sultan Ibrahim telah dicatatkan dengan jelas, begitu juga
dengan nama ayahandanya iaitu Sultan Salahuddin. Tahun pemerintahan Sultan Ibrahim juga telah
dicatatkan iaitu pada tahun 1196 hijrah bersamaan hujung tahun 1781 ataupun tahun 1782 masihi.
Tarikh yang tercatat pada cop mohor ialah tarikh seseorang sultan ataupun pemerintah itu menaiki
takhta ataupun tarikh cop mohor itu ditempa (Annabel, 2002). Kebiasaannya, kedua-dua perkara ini
berlaku serentak, iaitu tahun permulaan pemerintahannya adalah waktu untuk baginda menempa cop
mohor rasmi beliau yang baru sebagai seorang Sultan.

Di sekeliling cop mohor ini terdapat ayat al-Quran yang tertulis atiu Allah wa atiu al-rasul wa uli al-
amri minkum (Surah al-Nisa: Ayat 59) serta ayat lillah al-amr min qabl wa min bad (Surah al-Rum:
Ayat 4). Ini ialah antara perkara yang menarik kerana tidak banyak cop-cop sultan dari negeri lain yang
5
mempunyai ayat-ayat al-Quran yang ditulis bersama cop nama mereka. Terdapat juga cop yang
diletakkan kalimah syahadah, doa, nama-nama Allah dan Nabi Muhammad di sekelilingnya, namun amat
sedikit cop yang diletakkan ayat al-Quran di dalamnya. Antara cop yang terdapat ayat al-Quran ialah cop
mohor dari Sultan Alauddin Ahmad Shah (Acheh), Sultan Abdul Jalil Jalaluddin (Siak), Sultan Sharif Kasim
(Siak), Sultanah Siti Salimah (Sulawesi), Sultanah Siti Salihah (Sulawesi) dan yang paling banyak adalah
dari kesultanan Selangor iaitu Sultan Ibrahim, Sultan Muhammad, Sultan Alauddin Sulaiman Shah dan
Sultan Hisamuddin Alam Shah. Kesemua maklumat umum berkaitan cop mohor di atas boleh didapati di
dalam tesis oleh Annabel (2002).

Berdasarkan cop mohor itu, ayat al-Quran yang terdapat dalamnya iaitu dari surah al-Nisa, ayat 59 boleh
diterjemahkan iaitu Taatlah kamu kepada Allah dan taatlah kamu kepada Rasulullah dan kepada Ulil-
amri (orang-orang yang berkuasa) dari kalangan kamu (Abdullah Basmeih, 1998). Secara umumnya ia
berkaitan tentang arahan untuk mentaati perintah Allah dan Rasul-Nya serta para pemerintah yang
telah dilantik dari kalangan umat Islam. Menurut ibn Kathir, perintah taatlah secara langsung hanya
wujud untuk Allah dan Rasul dan tidak kepada para pemerintah. Ini ialah kerana ketaatan secara mutlak
adalah kepada Allah melalui perintah-Nya dalam al-Quran dan ketaatan kepada Rasul adalah melalui
hadis baginda, sementara ketaatan kepada pemerintah adalah secara bersyarat iaitu ketaatan hanya
diberikan kepada pemerintah selagi mana perintah mereka adalah untuk mentaati perintah Allah dan
Rasul. Sebaliknya, perintah mereka tidak perlu dipatuhi apabila ia melibatkan arahan melakukan maksiat
kepada Allah (Ibn Kathir, 2001). Berdasarkan maklumat dalam Sulalat al-Salatin ataupun Sejarah
Melayu, ayat al-Quran ini juga amat terkenal kerana telah dimasukkan sebagai salah satu wasiat
daripada Bendahara Paduka Raja sebelum beliau meninggal dunia pada zaman pemerintahan Sultan
Alauddin di Melaka pada abad ke-14 (Abdur-Rahman et.al., 2011).

Dalam satu lagi ayat al-Quran daripada cop mohor iaitu surah al-Rum, ayat 4, ia membawa maksud
kepada pentadbiran Allah jua terpulang segala urusan, sebelum berlakunya dan sesudah berlakunya
(Abdullah Basmeih, 1998). Ayat ini berkaitan dengan kekalahan tentera Rom kepada tentera Parsi pada
masa itu serta kemenangan tentera Rom pada masa akan datang terhadap Parsi. Dalam ayat ini,
terdapatnya penegasan terhadap sifat kudrat Allah terhadap sesuatu yang telah ataupun akan berlaku,
bahawa segala-galanya adalah datang daripada kehendak dan kekuasaan Allah (al-Qurtubi, 1993). Dialah
satu-satunya kuasa yang mampu memenangkan dan mengalahkan mana-mana pemerintahan yang
berada di atas dunia ini.

Kesimpulannya, cop mohor Sultan Ibrahim memaparkan dengan jelas nama penuh baginda iaitu Sultan
Ibrahim ibn al-Marhum Sultan Salahuddin serta puji-pujian terhadapnya dalam Bahasa Arab iaitu al-
Mutawakkil bi al-Malik al-Haq al-Mubin iaitu sultan yang bertawakal kepada Allah. Tahun yang
dicatatkan pula dipercayai tahun baginda memulakan pemerintahannya iaitu pada tahun 1196 Hijrah
bersamaan tahun 1781 atau 1782 Masihi. Ayat al-Quran yang terdapat dalam cop mohor ini adalah
berkaitan secara langsung dengan perintah mentaati pemimpin yang taat kepada perintah Allah dan
Rasul serta ayat yang berkaitan dengan keyakinan terhadap kudrat Allah yang menentukan jatuh dan
bangunnya sesebuah kerajaan. Pemilihan dua ayat ini serta puji-pujiannya dalam Bahasa Arab dalam cop
rasmi kesultanan Selangor menunjukkan pengaruh agama Islam yang kuat dalam pemerintahan baginda
serta kefahaman yang tinggi oleh baginda serta para penasihatnya terhadap ayat-ayat al-Quran yang
berkaitan dengan pemerintahan dan kerajaan.

6
Kepala Surat
Kesemua surat-surat ini telah menggunakan kepala surat yang tertulis di bahagian tengah atas surat
dengan tulisan al-shams wa al-qamar melainkan surat bernombor SOAS MS 40320/4 f.53 yang tidak
mempunyai kepala surat. Terdapat kemungkinan bahawa surat ini telah dipotong di bahagian atasnya
yang mengandungi kepala surat. Namun, berdasarkan penelitian, didapati sememangnya surat ini
berada dalam keadaan yang asal dan tidak terdapat sebarang potongan di bahagian atasnya. Bahkan,
surat ini juga tidak memiliki cop mohor di dalamnya.

Perkataan al-shams merupakan perkataan bahasa Arab yang bermaksud matahari dan al-qamar pula
bermaksud bulan (Ibn Manzur, 1990). Sekiranya frasa ini digabungkan, al-shams wa al-qamar membawa
maksud matahari dan bulan.

Kaedah meletakkan kepala surat seperti ini juga boleh dikesan dalam penulisan surat-surat dari wilayah
pemerintahan Islam yang lain seperti di India, Iran dan Turki. Perkara ini boleh dilihat sepertimana yang
pernah ditulis oleh Sultan Sulaiman ketika zaman pemerintahannya pada kurun ke-16 di Turki (Annabel,
1994). Meskipun asal usul adat ini boleh dikaitkan dengan adat penulisannya di wilayah Islam yang lain,
namun dalam konteks penggunaannya di alam Melayu, ia sebenarnya turut dipengaruhi oleh faktor
kesufian yang wujud di alam Melayu (Ahmat Adam, 2009).

Dalam pemilihan kepala surat bagi surat-surat daripada kepulauan Melayu, perkataan-perkataan yang
berkaitan dengan ketuhanan telah ditonjolkan dan diletakkan di atas surat sebagai simbol
penghormatan kepada Allah, Tuhan sekalian alam. Antara perkataan lain yang diletakkan sebagai kepala
surat ialah Qawluh al-Haq (Kata-Nya yang benar), Ya Aziz al-Karim (Wahai Tuhan yang Maha Perkasa
dan Maha Mulia), Ya Fattah (Wahai Tuhan yang Maha Pembuka) dan lain-lain lagi bergantung kepada
identiti pengirim dan penerima (Annabel, 1994). Dalam penulisan surat daripada Sultan Ibrahim ini,
perkataan seperti al-shams wa al-qamar ialah gandingan perkataan yang boleh didapati di dalam al-
Quran yang membuktikan kekuasaan Allah mencipta segala-galanya termasuklah matahari dan bulan.
Pergerakan kedua-duanya adalah menurut kiraan dan masa yang tertentu menurut sistem yang telah
ditentukan oleh Allah sebagai pencipta alam. Contoh penggunaan kedua-dua perkataan ini di dalam al-
Quran boleh dilihat dalam surah al-Anam ayat 96, surah al-Araf ayat 54 dan surah Yunus ayat 5 serta
dalam surah-surah yang lain.

Kata-kata Aluan:
Dalam bahagian mukadimah surat, pengirim akan menulis nama serta pangkat kebesarannya beserta
nama penerima surat serta puji-pujian terhadapnya. Dalam surat-surat Sultan Ibrahim, didapati bahawa
Sultan Ibrahim telah menggunakan gelaran Maulana Paduka Seri Sultan Ibrahim Khalifah al-Mukminin
dalam 2 pucuk surat, sementara dalam kebanyakan surat, baginda menggunakan gelaran Maulana
Paduka Seri Sultan atau Maulana al-Sultan ataupun Seri Paduka Sultan. Dalam satu pucuk surat, baginda
turut menggunakan gelaran Duli Yang Dipertuan Yang Maha Mulia. Sebagai penambahan, kesemua
surat baginda menggunakan istilah Selangor Darul Khusus dan bukannya Darul Ehsan sebagaimana yang
digunakan pada hari ini. Berdasarkan gelaran yang baginda gunakan, ia menunjukkan bagaimana
baginda telah merujuk dirinya sebagai ketua kerajaan yang berjawatan Sultan yang memerintah negeri
Selangor. Menariknya, pengaruh Islam dalam pemerintahan baginda turut dapat dilihat apabila baginda
menggunakan perkataan Khalifah al-Mukminin dalam surat-surat baginda.

7
Bagi gelaran penerima pula, baginda Sultan membahasakan Francis Light sebagai sahabat kita. Antara
pangkat kebesaran yang digunakan untuk Francis Light ialah Gobernador Mister Light, Kapitan Light,
Gabenor, Senyur Gabenor dan Senyur Gubernador. Senyur ialah perkataan yang berasal dari bahasa
Portugis yang bermaksud Tuan (Kamus Dewan, 2013). Terdapat sepucuk surat yang telah dihantar
kepada Gabenor Jeneral Syarikat Hindia-Timur Inggeris yang berpusat di Benggala pada waktu itu, iaitu
kepada pemangkunya iaitu John Macpherson yang turut dibahasakan sebagai sahabat kita.

Sekiranya diteliti, dalam surat yang terawal kepada Francis Light iaitu pada tarikh 3 April 1786, Francis
Light sudah pun dipanggil dengan gelaran Gabenor Inggeris di Pulau Pinang. Ini bermakna bahawa
Francis Light telah pun masuk dan mentadbir Pulau Pinang sebelum daripada tarikh 3 April 1786. Hal ini
adalah munasabah memandangkan terdapat catatan bahawa Francis Light telah pun melakukan tinjauan
awal keadaan di Pulau Pinang bersama-sama dengan orang tempatan yang bernama Bapu Alaidin pada
tahun 1785 (Wazir Jahan Karim, 2013). Tambahan pula, berdasarkan tulisan Francis Light kepada John
Macpherson sebagai Gabenor Jeneral Inggeris di Benggala pada awal tahun 1786, beliau memaklumkan
bahawa beliau telah menggunakan pengaruh dan kelebihan persahabatannya dengan sultan dan
pembesar Kedah untuk mendapatkan geran pendudukan di Pulau Pinang dari Sultan Kedah. Berdasarkan
sumber dari keputusan mesyuarat Syarikat Hindia Timur Inggeris di Benggala pada 2 Mac 1786, mereka
telah memutuskan untuk menerima tawaran pendudukan Pulau Pinang oleh Sultan Kedah. Mesyuarat
itu juga telah bersetuju bahawa Francis Light dilantik sebagai Superintendan Pulau Pinang yang pertama
(Marcus Langdon, 2013).

Bahkan, sebelum daripada tahun 1785, Francis Light sudah pun berada di Alam Melayu bersama-sama
dengan rakan perniagaannya iaitu Kapten James Scott sebagai Country Trader kepada Syarikat Hindia
Timur Inggeris. Beliau pernah berada di Phuket yang dahulunya lebih dikenali dengan nama Ujong
Salang ataupun Junk Ceylon seawal tahun 1771 (Simmond, 1963). Pengalamannya dalam urusan jual beli
di Alam Melayu telah memberikannya kelebihan ketika berurusan dengan pembesar Melayu,
terutamanya apabila beliau dapat menguasai Bahasa Melayu dan Thai serta dapat memahami adat
tempatan dengan baik.

Kandungan:
Kandungan surat-surat Sultan Ibrahim secara tidak langsung telah memberikan petunjuk kepada
suasana yang telah berlaku pada waktu itu di Selangor di antara tahun 1785 hinggalah tahun 1787.

Dalam surat pertama bertarikh 7 Disember 1785, baginda sultan telah menghantar surat kepada
Gabenor Jeneral Inggeris di Benggala bagi memaklumkan bahawa baginda sultan pernah menghantar
surat kepada beliau melalui Francis Light, bagi memberitahu bahawa satu perjanjian telah pun dibuat
antara baginda dan Francis Light tiga bulan yang lepas iaitu pada hujung bulan Ogos atau awal
September 1785. Malangnya surat itu tidak mendapat sebarang maklum balas dan Francis Light tidak
datang ke Selangor seperti yang dijanjikan. Justeru, baginda sultan menghantar sekali lagi surat ini
melalui Kapten Banggul kepada Gabenor Jeneral Inggeris di Benggala. Di dalam surat ini, baginda sultan
memohon bendera kompeni Inggeris sebagai tanda persahabatan antara kedua-dua buah kerajaan.
Segala hasil negeri Selangor iaitu timah, lada, lilin dan rotan diberikan kepada Gabenor Jeneral sebagai
tanda persahabatan.

Dalam surat kedua yang bertarikh 3 April 1786, baginda sultan telah meminta pertolongan Francis Light
untuk menumpangkan paderi yang bernama Haji Kasim beserta dua orang anaknya untuk menunaikan
8
haji di Mekah. Kemungkinan kapal yang ingin ditumpangkan itu ialah kapal kompeni Inggeris yang
bertolak dari Pulau Pinang ke Benggala. Dari Benggala, mereka akan menaiki kapal yang lain pula untuk
meneruskan perjalanan ke Jedah dan Mekah.

Dalam surat ketiga yang bertarikh 25 Ogos 1786, baginda sultan memaklumkan kepada Francis Light
bahawa baginda telah pun berdamai dengan Belanda. Baginda sekali lagi mengingatkan janji Francis
Light untuk datang ke Selangor selepas dua bulan perjanjian dibuat. Namun, sehingga sekarang, sudah
dua belas bulan baginda menunggu tentang kehadiran Francis Light ke Selangor seperti yang dijanjikan.
Baginda juga meminta Francis Light untuk memaklumkan kepada Nakhoda Sumbawa untuk kembali
segera ke Selangor. Baginda sultan juga memohon untuk membeli 60 pucuk senapang beserta dua
hingga tiga ribu batu senapang ataupun peluru dan barangan besi sebanyak satu peti.

Surat keempat merupakan surat yang bertarikh 1 Oktober 1786. Dalam surat ini, baginda sekali
mengingatkan Francis Light berkaitan perjanjian yang sudah setahun baginda menanti untuk ditunaikan.
Baginda sekali lagi memohon agar dihantarkan bendera kompeni Inggeris ke Selangor sebagai tanda
persahabatan. Baginda juga seolah-olah amat bergantung kepada Francis Light dengan menyerahkan
segala dagangan utama di Selangor seperti timah, lada hitam dan rotan kepada Francis Light. Bahkan
baginda turut menjemput Francis Light untuk terus tinggal di Selangor. Dalam surat ini, baginda juga
memaklumkan berkaitan rakyat Selangor seramai 615 orang yang sudah lari ke negeri Kedah dan
meminta Francis Light untuk mengadili perkara ini dan berharap agar mereka ini dipulangkan semula ke
Selangor. Baginda telah meminta untuk membekalkan sebanyak 50 hingga 100 biji peluru meriam.
Baginda turut meminta untuk membeli sepasang atau dua pasang meriam besar bersama pelurunya
serta 60 pucuk senapang bersama 1000 biji batu senapang.

Surat kelima pula bertarikh 22 November 1786. Dalam surat ini, baginda memaklumkan bahawa baginda
telah meminta Nakhoda Sumbawa bertemu dengan Orang Kaya Seri Maharaja Dewa di Kedah bagi
meminta beliau mengambil sebuah kapal dari Selangor. Baginda turut mengingatkan Francis Light
berkaitan bendera dan pas dari kompeni yang dijanjikan dahulu yang sudah lama belum diterimanya.
Begitu juga dengan meriam, senapang dan batu senapang yang diminta dahulu agar dapat diuruskan
pembeliannya dengan kadar segera. Baginda juga menghantar sedikit timah kepada Francis Light dan
meminta tolong untuk menjualnya di Pulau Pinang.

Dalam surat keenam yang bertarikh 5 Januari 1787, baginda memaklumkan bahawa baginda telah
menerima surat dari Francis Light berserta hadiah yang dibawa oleh Nakhoda Sumbawa. Berkaitan
dengan 615 orang Selangor yang lari ke Kedah, baginda meminta agar Francis Light tidak menyebelahi
mana-mana pihak sama ada kepada kerajaan Kedah atau Selangor dalam masalah ini. Baginda
memohon agar diberikan beras yang boleh memuatkan 3 buah perahu. Baginda turut memesan
perkakasan seperti besi sebanyak 3 pikul serta meriam. Harga meriam dan senapang yang dipinta
dahulu akan dibayar menggunakan timah. Justeru, baginda meminta agar dimaklumkan segera apabila
tibanya kapal dari Benggala yang membawa senapang dan meriam tersebut agar boleh baginda
mengumpul timah untuk membayar harganya.

Surat ketujuh adalah bertarikh 21 Mei 1787. Baginda menyatakan hasratnya kepada Francis Light untuk
bertemu dengannya. Baginda juga memberitahu kepada Francis Light tentang keinginannya ke Acheh
untuk mencari peluang perniagaan bagi rakyat baginda.

9
Dalam surat yang terakhir iaitu surat kelapan yang bertarikh 8 Julai 1787, baginda menyatakan telah
menerima surat Francis Light yang dibawa oleh Penghulu Jeram. Baginda meminta agar ditetapkan
harga timah iaitu satu bahara bersamaan 48 ringgit, agar boleh baginda menghantar dan menjual semua
timah di Selangor ke Pulau Pinang. Baginda juga meminta agar memaklumkan tentang keputusan jual
beli senapang serta meriam agar tidak baginda ternanti-nanti tentang ketibaan senjata tersebut.
Baginda turut meminta agar Francis Light mencarikan permaidani buatan Surati sebanyak 10 helai.

Perbincangan Kandungan:
Kewujudan surat-surat di atas dalam koleksi Surat-surat Francis Light telah menunjukkan bahawa
sememangnya Sultan Ibrahim telah menghantar 7 pucuk surat kepada Francis Light dan sepucuk surat
kepada Gabenor Jeneral Inggeris di Benggala. Namun, setakat yang diketahui melalui surat-surat di atas,
Sultan Ibrahim hanya memaklumkan telah menerima balas 2 pucuk surat sahaja daripada Francis Light
iaitu dalam surat yang bertarikh 5 Januari 1787 dan dan 8 Julai 1787. Apa yang lebih menarik, Sultan
Ibrahim sendiri telah pun membuat perjanjian dengan Francis Light pada bulan September ataupun
Oktober 1785 sebelum Francis Light dilantik sebagai Gabenor Pulau Pinang secara rasmi oleh Syarikat
Hindia Timur Inggeris pada tahun 1786. Ia secara tidak langsung menunjukkan bahawa Francis Light
telah pun menduduki Pulau Pinang lebih awal daripada tahun 1786.

Daripada keseluruhan koleksi surat-surat ini, kandungan surat-surat ini boleh dibahagikan kepada
beberapa bahagian iaitu kandungan dari segi politik, ekonomi, persenjataan dan sosial. Dari segi politik,
didapati bahawa Sultan Ibrahim amat mengharapkan hubungannya dengan Inggeris berjalan dengan
lancar. Baginda turut menjemput Francis Light untuk tinggal di Selangor. Baginda bahkan meminta agar
dihantarkan bendera kompeni Inggeris sebagai tanda persahabatan antara Inggeris dan Selangor.
Hubungan dengan Inggeris adalah penting bagi mengimbangi kuasa Belanda di Selat Melaka. Berkaitan
dengan hubungannya dengan Belanda, baginda secara jelasnya telah memaklumkan kepada Francis
Light bahawa baginda telah menandatangani perjanjian damai dengan Belanda.

Berdasarkan tulisan Winstedt (1934), didapati bahawa sememangnya Francis Light pernah menerima
permintaan daripada Sultan Ibrahim untuk memohon kebenaran mengibarkan bendera British di negeri
Selangor. Francis Light menulis kepada Gabenor Jeneral British di Benggala tentang peristiwa kekalahan
Belanda kepada Sultan Ibrahim pada bulan Jun 1785 dan susulan perkara yang berlaku selepasnya.
Francis Light menyatakan bahawa beliau hampir-hampir tiba di Selangor bagi mengadap Sultan Selangor
namun terpaksa membatalkannya apabila beliau mendapat maklumat risikan yang menyatakan bahawa
armada laut Belanda dengan kekuatan yang terdiri daripada 3 kapal perang dan 14 buah sulab,
sudahpun bergerak menuju ke Selangor. Sultan Ibrahim pada ketika itu tidak dapat mencari sokongan
yang kuat untuk meneruskan penentangan melawan Belanda terpaksa menandatangani perjanjian
damai dengan Belanda. Perjanjian ini telah memaksa Selangor untuk menjual semua hasil timah kepada
Melaka dan seterusnya berdamai dengan Belanda. Belanda juga turut merampas semula semua senjata
milik mereka daripada kubu Belanda yang telah ditawan di Kuala Selangor.

Justeru, tidak hairanlah apabila Francis Light mengambil dasar tunggu dan lihat berkaitan hubungannya
dengan Selangor, memandangkan suasana politik yang tidak stabil antara Selangor dan Belanda antara
tahun 1785 dan 1786. Pada masa itu, British baru sahaja memulakan operasi pelabuhan baru mereka di
Pulau Pinang. Oleh itu, fokus kepada kerja-kerja Francis Light sudah terarah untuk meningkatkan urusan
perdagangan di Pulau Pinang dan melindungi Pulau Pinang daripada sebarang bentuk serangan
10
ketenteraan. Berdasarkan sebab ini, sudah tentulah Francis Light tidak mahu mencampuri urusan politik
di Selangor yang turut melibatkan kuasa armada laut Belanda yang sudah lama menguasai perairan Selat
Melaka. Di dalam surat-surat Sultan Ibrahim, ternyata bahawa baginda sultan sentiasa menunggu-
nunggu jawapan daripada Francis Light berkaitan hubungan politik antara Selangor dan British. Ini
adalah kerana dasar British pada masa itu yang tidak mahu masuk campur terhadap urusan antara
Selangor dengan Belanda.

Dari segi ekonomi, terdapat beberapa hasil-hasil negeri Selangor yang boleh didapati daripada surat-
surat ini. Antaranya ialah Selangor merupakan pengeluar untuk timah, lada, lada hitam, lilin dan rotan.
Timah adalah antara barangan yang amat berharga di Selangor. Ia telah dijadikan sebagai hadiah
baginda kepada Francis Light. Baginda juga pernah meminta agar ditetapkan harga timah iaitu satu
bahara bersamaan 48 ringgit. Sementara barang yang pernah diminta untuk dibawa masuk ke Selangor
ialah beras dan besi.

Dari segi pengamalan Islam di Selangor, didapati bahawa sistem menunaikan haji ke Mekah
menggunakan kapal telah pun bermula di Selangor. Justeru, tidak hairanlah sekiranya agama Islam
berkembang dengan baik di Selangor kerana baginda sultan sendiri yang mengambil berat serta turut
sama membantu rakyatnya untuk menunaikan haji ke Mekah. Apa yang lebih menarik, baginda Sultan
telah menghantar surat kepada Francis Light, iaitu seorang yang bukan beragama Islam, untuk
membantu membawa bakal haji tersebut ke Mekah.

Hubungan Selangor dengan Kedah turut boleh dilihat apabila terdapat seramai 615 orang penduduk
Selangor yang telah melarikan diri ke Kedah. Sultan Selangor telah meminta agar Francis Light tidak
masuk campur dengan menyebelahi Kedah dalam masalah ini. Begitu juga hubungan antara Selangor
dengan Perak, Sultan Selangor telah memaklumkan kepada Francis Light agar tidak mengganggu negeri
ini kerana persetiaan yang wujud antara ayahanda Sultan Selangor dengan Perak sebelum ini, iaitu
merujuk kepada pertabalan Sultan Salahuddin oleh Sultan Perak.

Dari segi persenjataan, ternyata bahawa Sultan Ibrahim telah meminta untuk membeli senjata-senjata
seperti meriam, senapang dan peluru serta besi. Kemungkinan kesemua ini ialah sebagai persediaan
baginda untuk mempertahankan Selangor daripada serangan Belanda yang masih berada di Selat
Melaka meskipun mereka telah pun menandatangani perjanjian damai. Berdasarkan catatan Francis
Light (Winstedt, 1934), didapati bahawa semua senjata milik Belanda yang telah berjaya dirampas oleh
Sultan Ibrahim telah dipulangkan semula kepada Belanda selepas sahaja perjanjian damai
ditandatangani. Justeru, Sultan Ibrahim sememangnya memerlukan senjata yang baru sebagai
persediaan menghadapi serangan oleh musuh.

Dalam bahagian penutup surat, kesemua penutup surat mengandungi tarikh, bulan serta tahun hijrah
yang ditulis menggunakan nombor arab. Terdapat beberapa pucuk surat yang mencatatkan jam surat ini
diselesaikan termasuk tempat surat ini ditulis iaitu di Bukit Selangor. Ternyata bahawa baginda sultan
menjadikan Bukit Selangor ataupun lebih dikenali sebagai Bukit Melawati sebagai istana baginda.

Kesimpulan:
Surat-surat ini memaparkan dengan jelas hubungan antara Sultan Ibrahim, sultan yang memerintah
negeri Selangor dengan Francis Light, seorang gabenor Inggeris yang dilantik sebagai pentadbir Pulau

11
Pinang. Berdasarkan kandungan lapan pucuk surat Sultan Ibrahim ini, terdapat beberapa perkara yang
boleh disimpulkan daripada hasil analisis surat-surat ini.

Surat-surat ini merupakan bahan sejarah yang penting untuk memahami suasana yang berlaku di
Selangor semasa pemerintahan Sultan Ibrahim yang berpusat di Bukit Selangor sekitar tahun 1785
sehinggalah tahun 1787. Surat ini merupakan bukti bertulis dari perspektif Sultan Selangor sendiri
tentang hubungan antara Selangor dan kuasa-kuasa asing seperti Belanda dan Inggeris serta hubungan
antara Selangor dengan kesultanan Melayu yang lain seperti Kedah, Perak dan Acheh. Suasana politik
yang tidak stabil di Selangor boleh dilihat daripada surat-surat yang ditulis oleh Sultan Ibrahim antara
tahun 1785 sehinggalah tahun 1787. Surat ini juga telah memaparkan sumber ekonomi Selangor pada
masa itu yang amat bergantung kepada pengeluaran timah serta barangan komoditi yang lain seperti
lada hitam, lilin dan rotan. Komoditi ini dibawa oleh nakhoda yang telah dilantik oleh sultan untuk
diniagakan di Pulau Pinang sebagai pelabuhan yang masyhur pada masa itu. Pengaruh agama Islam turut
dapat dilihat dengan jelas dalam surat-surat ini. Antaranya ialah perjalanan mengerjakan haji
menggunakan kapal yang secara tidak langsung menunjukkan hubungan yang sekian lama terjalin antara
dunia Islam yang berpusat di Mekah dengan alam Melayu. Tambahan pula, cop baginda sultan yang
turut terukir ayat-ayat al-Quran serta penggunaaan bahasa Melayu bertulisan jawi dan penggunaan
tarikh hijrah menggambarkan dengan jelas identiti Islam di alam Melayu yang digunakan dalam surat
menyurat dengan kuasa Inggeris.

Sebagai penutup, surat-surat Sultan Selangor ini telah mempamerkan seni persuratan dan nilai estetika
yang tinggi untuk dihayati oleh generasi hari ini. Surat-surat ini merupakan sumber dan tapak galian
yang amat berharga sebagai bahan sumber utama untuk memahami sejarah, identiti dan falsafah
tamadun Melayu terutamanya yang berkaitan dengan negeri Selangor. Justeru, diharapkan pada masa
akan datang, banyak lagi kajian-kajian berkaitan surat-surat dari Sultan Ibrahim yang lain dapat
diketengahkan kepada masyarakat agar bahan-bahan bertulis ini dapat membantu membina perspektif
yang lebih menyeluruh terhadap sejarah institusi kesultanan Selangor khususnya dan alam Melayu
secara umumnya.

12
Rujukan:

Abdul Razak Abdul Karim. 1996. Manuskrip surat-surat Francis Light: suatu analisis aspek kosa kata.
Jurnal Filologi Melayu, 5, ms 1-24.

Abdullah Basmeih. 1998. Tafsir Pimpinan al-Rahman Kepada Pengertian al-Quran. Kuala Lumpur: Dar al-
Fikr.

Abdur-Rahman Mohemad Amin, Muhammad Ridhuan Tony Lim Abdullah dan Raja Ahmad Iskandar Raja
Yaacob. 2011. The Malay World: An Analysis of Quranic verses in Sulalat al-Salatin. Proceedings of
International Conference on Social Sciences and Society. 318-323.

Ahmad Jelani Halimi. 2006. Perdagangan dan Perkapalan Melayu di Selat Melaka. Kuala Lumpur: Dewan
Bahasa dan Pustaka.

Ahmat Adam. 2009. Letters of Sincerety. Selangor: MBRAS.

Annabel Teh Gallop. 1994. The Legacy of the Malay Letter. London: British Library.

Annabel Teh Gallop. 2002. Malay Seal Inscriptions: A Study in Islamic Epigraphy from Southest Asia. Tesis
Phd. University of London.

Barbara Watson Andaya. 1979. Perak, the Abode of Grace. Kuala Lumpur: Oxford University Press.

E.H.S. Simmonds. 1963. The Thalang letters, 1773-94: Political aspects and the trade in arms. Bulletin of
the School of Oriental and African Studies. 26 (3) pp. 592-619.

Ernst Ulrich Kratz. 1987. Some Malay letters on trade. Indonesia Circle, 44, 3-16.

Ibn Kathir, Muhammad bin Amru (2001). Tafsir al-Quran al-Azim. Riyad: Maktabah al-Rushd.

Ibn Manzur, Muhammad bin Mukram (1990). Lisan al-Arab. Beirut: Dar Sadir.

Jelani Harun. 2008. Kajian Naskhah Undang-Undang Adat Melayu di London. SARI, 26, 127-148.

Jelani Harun. 2011. Umpama Sebuah Bahtera. Kuala Lumpur: Arkib Negara Malaysia.

Jelani Harun. 2014. Pulo Ka Satu. Kuala Lumpur: Perpustakaan Negara Malaysia.

Kamus Dewan. 2013. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

Marcus Langdon. 2013. Penang the Fourth Presidency of India. Penang: Areca Books.

Qurtubi, Muhammad bin Ahmad al-. 1993. Al-Jami li Ahkam al-Quran. Beirut: Dar al-Fikr.

R.O. Winstedt. 1934. A History of Selangor. Journal of the Malayan Branch of the Royal Asiatic Society.
Vol. 12, No. 3, pp. 1-34.

Wazir Jahan Karim. 2013. The discovery of Penang Island at Tanjong Tokong before 1785: Bapu Alaidin
Meera Hussein Lebai and Captain Francis Light. Journal of the Malaysian Branch of the Royal Asiatic
Society. Vol. 86 (1), No. 304, pp. 1-29.

13
William Marsden. 1812. A Grammar of the Malayan Language with an Introduction and Praxis. London.

Manuskrip:

School of Oriental and African Studies, MS 40320/1, f.24.

School of Oriental and African Studies, MS 40320/4, f.53.

School of Oriental and African Studies, MS 40320/11, f.36.

School of Oriental and African Studies, MS 40320/11, f.39.

School of Oriental and African Studies, MS 40320/11, f.40.

School of Oriental and African Studies, MS 40320/11, f.43.

School of Oriental and African Studies, MS 40320/11, f.44.

School of Oriental and African Studies, MS 40320/11, f.45.

14
Transkripsi Surat 1 (SOAS MS 40320/11 f.40) Rabu, 7 Disember 1785

Al-Shams wa al-qamar

Bahawa ini surat tulus serta ikhlas suci hati yang putih iaitu daripada hadrat Maulana Paduka Seri Sultan
Ibrahim Khalifah al-Mukminin yang semayam di atas takhta singgahsana kerajaan di dalam daerah
bandar negeri Selangor Darul Khusus, barang disampaikan Tuhan seru sekelian alam, apalah kiranya
datang kepada sahabat kita Jenderal yang memerintahkan di dalam bandar negeri Benggala serta
dengan teluk rantaunya, ialah yang setiawan, bijaksana daripada melakukan sahabat bersahabat dengan
handai taulannya , qarib wa al-baid , lagi murah kepada segala fakir miskin adalah seumpama sepohon
kayu yang besar di tengah padang, lagi rendang dahannya, lagi harum bau bunganya, dengan lazat rasa
buahnya. Itulah tempat pernaungan segala hamba Allah, menghilangkan lapar dahaganya, wa badah.

Daripada itu maka adalah kita melayangkan sekeping kertas kepada sahabat kita menyatakan hal seperti
surat kita dahulu yang dibawa oleh Kapitan Light kepada sahabat kita, perjanjian Kapitan Light dengan
kita umur tiga bulan. Ia datang ke Selangor sekarang ini, suatu khabar pun tiadalah kita dapat. Di dalam
pada itu, maka berjumpalah kita dengan satu Kapitan Banggul namanya. Maka kita kasi pula satu surat
ini. Syahdan barang tahu kiranya sahabat kita jikalau ada belas kesian serta kasih sayang lagi kepada
negeri Selangor serta dengan kita, melainkan kita pintalah seboleh-bolehnya kepada sahabat kita
bendera Kompeni Inggeris serta dengan pesan itulah akan tanda kita bersahabat. Dan lagi, seperti mana
yang keluar dari dalam negeri Selangor itu seperti timah dan lada dan lilin dan rotan, sekeliannya itu kita
berikan kepada sahabat kita dengan sesuci-suci hati kita memulangkan sekaliannya itu serta hendak
bersahabat. Sebab itulah maka kita perbuatkan surat perjanjian ini, kita kasikan kepada sahabat kita
bahawa sungguh dengan nyatanya. Maka adalah cap kita di atas kertas ini.

Tersurat di atas Bukit Selangor kepada empat hari bulan Safar kepada hari arba waktu jam pukul tiga.
Tarikh sanah 1200. Tamat al-kalam, bi al-khair wa al-salam.

15
Transkripsi Surat 2 (SOAS MS 40320/11 f.39) Isnin, 3 April 1786

al-Shams wa al-qamar

Bahawa ini warkah al-ikhlas yang terbit daripada hati yang putih lagi jernih, iaitu daripada hadrat
Maulana al-Sultan Ibrahim, raja yang memerintah di dalam bandar negeri Selangor Darul Khusus, barang
disampaikan Tuhan seru sekelian alam kepada sahabat kita Gobernador Mister Light yang memegang
perintah kompeni Inggeris di dalam bandar kota Pulau Pinang yang telah masyhur namanya kepada
segala negeri yang di barat dan negeri yang di timur, dan lagi mengasih orang yang miskin dan anak
dagang yang keluar masuk di dalam bandarnya, amma bad.

Maka, ada pun kemudian daripada itu, akan ahwal kita melayangkan sekeping surat menyatakan tanda
tulus dan ikhlas kepada sahabat kita kerana tiada jua kita menaruh lupa akan sahabat kita seperti
bersahabat dahulu hingga sampai sekarang jua adanya. Maka, sekarang ini kita minta tolong kepada
sahabat, ada paderi kita bernama Haji Kasim serta membawa anak-anak dua orang, hendak naik haji ke
negeri Makkah, minta tolong tumpangkan. Jikalau ada kapal [kompeni] atau negeri lain, boleh lekas
dapat kapal ke negeri Mukha (Mekah?) atau negeri Judah (Jedah) itu, kita minta tolong kepada sahabat
kita. Ahwal itulah adanya.

Tamat al-kalam. Tersurat pada hari Isnin, pada enam haribulan Jamadil Akhir, sanah 12.

16
Transkripsi Surat 3 (SOAS MS 40320/11 f.43) Jumaat, 25 Ogos 1786

Al-Shams wa al-qamar

Bahawa inilah surat tulus serta ikhlas suci putih hati iaitu daripada hadrat Duli Yang Dipertuan Yang
Maha Mulia yang semayam di atas takhta singgahsana kerajaan di dalam bandar negeri Selangor Darul
Khusus, barang disampaikan Tuhan semesta sekalian alam apalah kiranya datang kepada sahabat kita
Kapitan Light yang ada duduk di dalam bandar negeri Kedah Darul Aman, ialah yang amat setiawan dan
dermawan antara sahabat bersahabat serta dengan murahmya kepada fakir miskin, wa badah.

Kemudian daripada itu, maka adalah kita melayangkan kertas sekeping kepada sahabat kita, akan hal
seperti kita dengan Kompeni Wilanda sudahlah berdamai. Ada pun dahulu perjanjian sahabat kita di
dalam surat yang dibawa tandil mengatakan dua bulan akan ketikanya melainkan adalah sahabat kita
datang mendapatkan kita ke Selangor. Sekarang ini sampai dua belas bulan sudah lamanya kita nanti
sahabat kita, tiada juga datang sekarang ini. Adalah lagi terpegang seperti perjanjian dahulu atau tiada.
Jikalau ada pun hendaklah sahabat kita memberi khabar, jikalau tiada sekalipun, melainkan hendaklah
sahabat kita memberi khabar kepada kita supaya boleh kita ketahui. Sebagai lagi, seperti Nakhoda
Sumbawa itu, hendaklah sahabat kita suruhkan ia kembali ke Selangor dengan segeranya. Dan lagi, kita
minta bicarakan senapang yang baik-baik kompeni barang enam puluh dan batu senapang barang dua
ribu atau tiga ribu. Dan lagi perkakas besi barang satu peti.

Tersurat kepada tiga puluh haribulan Syawal kepada malam Jumaat, waktu jam pukul tujuh. Tamat al-
kalam. Tarikh sanah 1200.

17
Transkripsi Surat 4 (SOAS MS 40320/11 f.45) 1 Oktober 1786

Al-Shams wa al-qamar

Bahawa inilah surat tulus dan ikhlas serta suci putih hati iaitu daripada hadrat Maulana Paduka Seri
Sultan yang semayam di atas takhta singgahsana kerajaan di dalam bandar negeri Selangor Darul
Khusus. Barang disampaikan Tuhan semesta sekalian alam apalah kiranya datang kepada sahabat kita
Gabenor yang memerintah di dalam kota Pulau Pinang, ialah yang amat setiawan daripada antara kasih
berkasihan, sahabat bersahabat serta dengan memeliharakan kepada segala dagang yang pergi datang
serta dengan murahnya kepada fakir miskin. Maka masyhurlah warta ihsannya pada sekalian negeri-
negeri yang lain, wa badah.

Kemudian daripada itu, maka adalah kita melayangkan kertas sekeping kepada sahabat kita dibawa oleh
mata-mata dengan Si Amat, menyatakan hal seperti perjanjian sahabat kita dahulu. Ada pun perjanjian
sahabat kita umur tiga bulan, sekarang ini sampailah setahun kita nanti juga melainkan sekarang ini
jikalau ada kasih sayang lagi sahabat kita kepada kita, melainkan kita pintalah kepada sahabat kita
bendera kompeni Inggeris serta dengan pasnya. Ada pun sekarang ini sangatlah kita hendak bergantung
kepada sahabat kita akan seperti timah yang di dalam Selangor sekaliannya kita pulangkan kepada
tangan sahabat kita, baik lada hitam dan rotan sekaliannya, mana yang ada dagangan di dalam Selangor,
mana yang sahabat kita suka semuanya kita pulangkan kepada sahabat kita. Dan jikalau sahabat kita
mahu duduk bersama-sama dengan kita di dalam negeri Selangor pun kita lebih lagi suka. Jikalau
sahabat kita tolak sekali pun kita sekali ini, melainkan kita hendak bergantung juga kepada sahabat kita,
melainkan Allah jua yang amat mengetahuinya akan hati kita kepada sahabat kita.

Sebagai lagi, tatkala kita dapat negeri Selangor, maka adalah orang kita lari ke Kedah banyaknya kecil
besar laki-laki perempuan sekaliannya enam ratus lima belas orang, melainkan kita minta tolong kepada
sahabat kita bicarakan orang itu kerana ada sudah dahulu kita memberi surat ke Kedah katanya, sama
Kedah sama Selangor. Sebagai lagi, seperti mata-mata dengan Si Amat itu, serta kita suruh ia pergi
mencari Nakhoda Sumbawa itu rosak khabarnya. Itulah kita suruh ia pergi mencari sampai ke Kedah.
Sebagai lagi, kita minta kepada sahabat kita peluru meriam barang seratus atau lima puluh. Besarnya
adalah ukurannya kepada mata-mata itu, jikalau tiada kepada sahabat kita melainkan kita minta carikan
kepada sahabat kita. Sebagai lagi, kita minta carikan meriam besar barang dua pasang atau sepasang
dengan pelurunya sekali. Itu pun ada juga ukurannya kepada mata-mata. Sebagai kita minta carikan
senapang yang baik-baik buatan kompeni barang enam puluh dan batu senapang barang seribu.
Kemudian suatu pun tiada alamat al-hayat, hanya timah ada setengah bahara.

Tersurat di atas Bukit Selangor kepada delapan haribulan haji. Tamat al-kalam, bi al-khair wa al-salam.
Tarikh sanah 1200.

18
Transkripsi Surat 5 (SOAS MS 40320/11 f.44) Rabu, 22 November 1786

Al-Shams wa al-qamar

Bahawa inilah surat tulus serta ikhlas suci putih hati iaitu daripada hadrat Maulana Paduka Seri Sultan
yang semayam di atas bukit takhta kerajaan di dalam daerah bandar negeri Selangor Darul Khusus,
barang disampaikan Tuhan semesta segala alam. Apalah kiranya datang kepada sahabat kita Senyur
Gabenor yang memerintahkan di dalam kota Pulau Pinang, ialah yang amat setiawan dan dermawan,
arif bijaksana daripada melakukan antara sahabat bersahabat, kasih berkasihan, setia pakat muafakat
serta dengan mengasihi segala fakir miskin dan memeliharakan segala dagang yang pergi datang, qarib
wa al-baid. Maka adalah seumpama syams dan qamar yang menerangkan alam dunia ini, adalah
seumpama sepohon kayu yang besar di tengah padang yang amat rendang dahannya, serta dengan
amat lazat buahnya, serta dengan harum bau bunganya. Itulah tempat pernaungan segala hamba Allah
serta dengan menghilangkan lapar dahaganya. Maka masyhurlah warta ihsannya kepada tiap-tiap negeri
yang lain, wa badah.

Kemudian daripada itu, maka adalah kita melayangkan sekeping kertas dibawa oleh Nakhoda Sumbawa
kepada sahabat kita, menyatakan hal seperti Nakhoda Sumbawa itu kita suruh dianya pergi ke Kedah
mendapatkan Orang Kaya Seri Maharaja Dewa, menyatakan seperti kapal Keling (Kelang?) di dalam
negeri Selangor, serta kita suruh ambil kepada Orang Kaya Seri Maharaja Dewa kapal itu. Ada pun kapal
itu tatkala ia masuk ke dalam negeri Selangor, suatu pun tiada hartanya yang cacat binasa, jarum
patahnya pun tiada yang hilang. Sekarang ini hendak pun kita lepaskan dianya berlayar kapal itu, siapa
tahu entah rosak di laut, entah dirompak orang, menjadi nama kita juga yang buruknya kepada tiap-tiap
negeri yang lain. Sebab itulah maka kita, sebab itulah maka kita suruh ambil kapal itu kepada Orang Kaya
Seri Maharaja Dewa di Kedah. Lagi pun anak buah kepada dianya supaya jangan tinggal setia kepada
kita.

Sebagai lagi, seperti bendera dengan pas kompeni yang kita pinta kepada sahabat kita dahulu, jangan
tiada sahabat kita tolong bicarakan. Dan lagi, seperti meriam dan batu senapang dan kerpai dan
senapang yang kita pinta dahulu, seboleh-bolehnya sahabat kita tolong bicara dengan segeranya.
Sebagai lagi, kita janganlah sahabat kita lupakan dari hati sahabat kita. Apabila sahabat kita lupakan kita,
menjadi orang jahatlah kita kerana tiadalah lagi tempat kita bergantung, hanya sahabat kita sahaja.
Kemudian lagi, ada timah kita sedikit-sedikit dibawanya, kita minta tolong jualkan kepada sahabat kita.

Pergi surat kepada sehari bulan Safar. Intaha al-kalam, bi al-khair, wa salam. Sanah 1201.

[Bahagian tepi]

Kemudian lagi kita minta carikan kertas tebal buatan pundi-pundi meriam barang-barang seribu helai.
Dan lagi, besi lantai barang sepuluh pikul. Dan lagi, besi baja barang tiga pikul. Sebagai lagi kita pinta
tolong bicarakan ringgit barang lima ribu. Kemudian kita bayar kepada sahabat kita dengan timah.
Jikalau sudah dapat riyal itu, hendaklah sahabat kita serahkan kepada tangan Nakhoda Sumbawa itu.

19
Sebagai lagi, ada kita mendengar khabar orang mengatakan sahabat kita hendak memukul negeri Perak,
melainkan kita pintalah kepada sahabat kita negeri Perak itu. Adapun negeri Perak dengan Selangor
sama, sebab ada setia orang tua kita dengan Raja Perak, turun kepada kita sekarang ini. Demikian juga
setia itu tiada berubah, sebab pun tiada orang Perak itu membantu Selangor tatkala perang ini kerana
tiada dianya empunya kuasa. Itulah maka tiada ia menolong ke Selangor.

20
Transkripsi Surat 6 (SOAS MS 40320/11 f.36) Jumaat, 5 Januari 1787

Al-Shams wa al-qamar

Bahawa inilah surat tulus serta ikhlas, suci putih hati iaitu daripada hadrat Maulana Paduka Seri al-Sultan
Ibrahim Khalifah al-Mukminin yang semayam di atas takhta singgahsana kerajaan di dalam bandar
negeri Selangor Darul Khusus. Barang disampaikan Tuhan semesta sekelian alam, apalah kiranya kepada
sahabat kita Gabenor yang memerintahkan di dalam kota Pulau Pinang, ialah yang amat setiawan dan
dermawan serta dengan arif bijaksana daripada melakukan kasih berkasihan antara sahabat bersahabat
serta dengan mengasihi segala fakir miskin, qarib wa al-baid. Maka masyhurlah warta ihsannya kepada
tiap negeri yang lain, wa badah.

Kemudian daripada itu, akan hal seperti warkah al-ikhlas daripada sahabat kita yang dibawa oleh
Nakhoda Sumbawa serta dengan hadiah daripada sahabat kita telah sampailah kepada kita dengan
sejahteranya. Maka kita sambutlah dengan beberapa kesukaan dan (kere?baan) kepada saad yang
kebajikan. Maka adalah kita menyuruhkan Nakhoda Sumbawa itu berdua dengan Panglima dalam
mendapatkan sahabat kita, menyatakan seperti orang-orang kita yang enam ratus lima belas orang yang
di dalam Kedah itu. Apabila tiada ia mahu memulangkan kepada kita orang-orang itu melainkan diamlah
sahabat kita, sama Kedah pun jangan sahabat kita masuki dan sama kita pun jangan sahabat kita masuki,
melainkan sahabat kita lihatkan sahajalah antara kedua pihaknya supaya tentu salah benarnya.

Sebagai lagi, kita pinta tolong seboleh-bolehnya kepada sahabat kita bicarakan beras barang berapa
termuat perahu yang tiga buah itu. Dan lagi kita pinta bicarakan besi barang enam pikul dan lagi bom
barang dua pasang atau sepasang dan lagi meriam penembak anggur barang dua pasang dan jikalau
tiada sahabat kita jual sekalipun, melainkan kita pinjamlah kepada sahabat kita, sebab negeri banyak
susah, melainkan Nakhoda Sumbawa itulah membawanya ke Selangor seperti perkakas yang tersebut di
dalam surat ini. Sebagai lagi, jikalau sudah datang kapal perang dari Benggal, hendaklah sahabat kita
berkirim surat kepada kita supaya boleh kita kumpulkan timah di dalam Selangor akan pembayar harga
meriam dan senapang mana yang kita pinta dahulu sekaliannya itu.

Tersurat di atas Bukit Selangor kepada lima belas hari Rabi al-Awwal, hari Jumaat, waktu jam pukul
delapan, siang hari. Intaha al-kalam, bi al-khair, wa al-salam. Tarikh sanah 1201.

[Di bahagian tepi]

Sebagai lagi, akan hal seperti beras itu melainkan kita pintalah kepada sahabat kita bagaimana belian
sahabat kita.

21
Transkripsi Surat 7 (SOAS MS 40320/1 f.24) Isnin, 21 Mei 1787

Al-Shams wa al-qamar

Warkah al-ikhlas serta suci putih hati iaitu daripada hadrat Seri Paduka Sultan yang semayam di atas
takhta singgahsana kerajaan di dalam negeri Selangor Dar al-Khusus. Barang disampaikan Tuhan
semesta alam kepada sahabat kita Senyur Gubernador yang memerintahkan di dalam bandar negeri
kota Pulau Pinang Darul Aman, ialah yang amat arif bijaksana daripada melakukan kesukaan dengan
segala handai taulannya. Maka masyhurlah warta ihsannya kepada tiap-tiap negeri yang lain, wa badu.

Kemudian daripada itu, maka adalah kita menyuruhkan Penghulu Jeram itu mendapatkan sahabat kita
dengan satu sampan-sampan. Adapun kepada niat hati kita selama ini serta dengan mudah-mudahan
kita hendak berjumpa dengan sahabat kita, serta kita hendak bertanyakan seperti kehendak kita dahulu,
jikalau kan ada pun hendaklah kita ketahui, jikalau kan tidak sekalipun hendak jugalah kita ketahui.
Sebab itulah maka sangat kita hendak berjumpa dengan sahabat kita supaya boleh kita mendengar
perkhabaran yang sah daripada sahabat kita, lagi jangan ketaksiran kita kepada sahabat kita. Adapun
niat hati kita hendak pergi ke Acheh, pergi meminta tempat kepada Raja Acheh serta meminta kici akan
tempat-tempat orang-orang kita. Kemudian suatu pun tiada burhan al-hayat, hanya timah ada dua biji
buku.

Pergi surat kepada tiga hari bulan Syaban, hari Isnin. Tamat al-kalam, sanah 1201.

[bahagian tepi]

Sebagai lagi, adapun maka tiada kita lalu kepada sahabat kita kerana susah menyeberang. Jikalau dari
Pulau Pinang, lebih baik menyeberang dari Pulau Sembilan kerana musim selatan. Sebagai lagi, jikalau
boleh, dengan bolehnya kita hendak berjumpa dengan sahabat kita di laut, barang di mana sahabat kita
suka.

22
Transkripsi Surat 8 (SOAS MS 40320/4 f.53) Ahad, 8 Julai 1787

Warkah al-ikhlas serta suci putih hati iaitu daripada hadrat Maulana Paduka Seri Sultan Ibrahim yang
semayam di atas takhta singgahsana kerajaan di dalam bandar negeri Selangor Darul Khusus, barang
disampaikan Tuhan seru alam apalah kiranya kepada sahabat kita Gabenor yang memerintahkan negeri
Kota Pulau Pinang yang amat setiawan daripada melakukan antara sahabat bersahabat serta dengan
mengasihi segala orang yang miskin dagang senteri yang pergi datang. Maka, masyhurlah warta
ihsannya kepada tiap-tiap negeri yang lain, wa bad.

Kemudian daripada itu, adalah kita menyuruhkan Nakhoda Syawal itu dengan satu sampan serta ada
timah sedikit-sedikit dibawanya mendapatkan sahabat kita. Akan hal seperti surat sahabat kita yang
dibawa oleh Penghulu Jeram dahulu mengatakan boleh naik-naik sedikit harga timah, melainkan
sekarang ini kita pinta tentukanlah kepada sahabat kita harga timah di dalam satu bahara empat puluh
delapan ringgit, supaya bolehlah kita suruh hantarkan timah kepada sahabat kita kerana kita pun sudah
(berbunyikan?) dengan Raja Perak, melainkan jikalau sudah tertentu oleh sahabat kita harga timah itu,
mana yang kepada kita semuanya kita hantarkan ke Pulau Pinang.

Sebagai lagi, akan hal seperti meriam dengan senapang dan bom itu, jikalau tiada pun, hendaklah
sahabat tentukan supaya kita ketahui. Jikalau kan ada pun, bolehlah kita suruh ambil kerana sahabat kita
pun tahulah negeri orang banyak susah, supaya jangan kita ternanti-nanti. Sebagai lagi, seperti duit itu,
melainkan lagi sekali kita menyuruh, baharulah kita ambil. Sebagai lagi, kita pinta carikan permaidani
buatan Surati yang lebar empat hasta atau tiga hasta barang sepuluh helai. Sebagai lagi, seperti ubat
(bedil?) itu yang kita pesankan dahulu. Jikalau sudah ada melainkan serahkanlah kepada tangan
Nakhoda Syawal itu serta dengan permaidani itu sekali.

Intaha al-kalam. Pergi surat pada dua likur haribulan Ramadhan, tarikh sanah 1201.

23

You might also like