You are on page 1of 5

TUGASAN 1: PENULISAN AKADEMIK

Malaysia merupakan sebuah negara yang merdeka dan berdaulat dengan mempunyai ciri-ciri
tertentu dalam pelbagai aspek kenegaraan yang kadangkala menjadikan Malaysia sebagai
sebuah negara yang unik. Malaysia sebagai sebuah negara yang merdeka dan berdaulat boleh
ditinjau melalui aspek perlembagaan. Perlembagaan ialah sebuah dokumen yang mengandungi
semua susunan peraturan dan undang-undang dasar yang dianggap sangat penting bagi
pemerintahan dan pentadbiran sesebuah negara. Abdul Aziz Bari (2001), menyatakan bahawa
perlembagaan di dunia ini ada bermacam-macam. Ada yang ditulis dan disusun dalam suatu
naskhah seperti perlembagaan Amerika Syarikat, India dan juga Sri Lanka. Ada pula yang tidak
tersusun seperti perlembagaan United Kingdom yang berasaskan kepada piagam-piagam yang
akan dibuat dari semasa ke semasa. Malaysia juga merupakan sebuah negara yang
mempunyai perlembagaan tersendiri di mana Malaysia mengamalkan perlembagaan bertulis.
Sejarah pembentukan perlembagaan Malaysia telah bermula sebelum zaman penjajahan iaitu
semasa zaman Kesultanan Melayu Melaka di mana kerajaan Melayu Melaka mempunyai dua
buah undang-undang bertulis iaitu Hukum Kanun Melaka dan Undang-Undang Laut Melaka.
Sementara itu, negeri-negeri Melayu lain juga turut mempunyai undang-undang yang menjadi
asas kepada pemerintahan dan pentadbiran masing-masing. Negeri-negeri ini masing-masing
menggubal adat dan undang-undang yang berasaskan Adat Perpatih di Negeri Sembilan
manakala negeri-negeri Melayu lain pula berasaskan kepada Adat Temenggung (Mohamed
Salleh, 1997). Perlembagaan moden hanya diperkenalkan setelah Tanah Melayu mencapai
kemerdekaan pada tahun 1957 dan diperkemas setelah terbentuknya Persekutuan Malaysia
pada tahun 1963 dengan mengandungi 183 perkara yang tergolong dalam 15 bahagian.
Dengan kesungguhan dan usaha gigih daripada tokoh-tokoh perjuangan negara, akhirnya
Malaysia telah terbentuk dengan perlembagaannya sendiri.

Perlembagaan memainkan peranan yang sangat penting kepada sesebuah negara yang
sudah mencapai kemerdekannya. Seperti itu juga, perlembagaan Malaysia memainkan peranan
yang sangat penting kepada negaranya dengan membantu mewujudkan satu bentuk
pemerintahan yang adil dan tidak menjurus kepada sesetengah kaum sahaja. Malaysia
kebiasannya dikenali sebagai sebuah negara yang unik disebabkan oleh penduduknya yang
berbilang kaum dan etnik. Bilangan masyarakat Malaysia sehingga tahun 2013 dianggarkan
melebihi 28.25 juta penduduknya. Daripada bilangan penduduk ini, bangsa bumiputera Melayu
meliputi 50.4%, Cina 23.7%, dan India 7.1% serta selebihnya adalah kaum-kaum bumiputera
Sabah dan Sarawak seperti Iban, Kadazandusun, Minangkabau, Bajau, Murut dan sebagainya.
Dengan adannya pelbagai kaum dan etnik, sudah tentulah mereka mempunyai bahasa ibunda
yang masing-masing. Sehubungan dengan perkara ini, para pemimpin negara menyedari
bahawa perlu mewujudkan satu bahasa kebangsaan sebagai wadah komunikasi atau bahasa
pertuturan umum bagi menyatupadukan rakyat yang terdiri daripada pelbagai kaum. Hasil
permuafakatan perlembagaan, bahasa Melayu diterima sebagai bahasa kebangsaan dalam
Perkara 152 Perlembagaan Malaysia. Rasional pemilihan bahasa Melayu sebagai bahasa
kebangsaan adalah kerana bahasa Melayu menjadi lingua franca di Nusantara sejak berabad-
abad lamanya, lebih mudah dipelajari dan bersifat lebih tekal dari segi istilah dan sebutan
berbanding dengan bahasa lain (Mohd Salleh Abas, 1985). Walau bagaimanapun, kewujudan
bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan tidak akan menjejaskan bahasa ibunda kaum lain
malah bahasa ibunda mereka di jamin oleh Perlembagaan Malaysia. Sebagai contohnya,
murid-murid Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan Tamil (SRJKT) dan Sekolah Rendah Jenis
Kebangsaan Cina (SRJKC) boleh bebas menggunakan bahasa ibunda mereka walaupun
subjek Melayu wajib dipelajari di sekolah. Perkara ini dengan jelasnya membuktikan bahawa,
dengan adanya perlembagaan Malaysia setiap kaum boleh menikmati satu keadaan yang adil
tanpa menjurus kepada sesetengah kaum sahaja. Hal ini sudah tentu membantu rakyat
Malaysia bersatu padu di bawah satu negara dengan mempunyai perpaduan yang kukuh,
sehingga sukar diganggu-gugat oleh apa juga anasir negatif yang cuba memecah-belahkan
kita. Apabila wujudnya perpaduan, maka terjaminlah kesejahteraan masyarakat majmuk dan
seterusnya akan melahirkan pula sebuah negara dan bangsa Malaysia yang bersatu,
demokratik, liberal, dan saintifik tanpa mengira keturunan dan kepercayaan. Tegasnya, jelas
sekali pemerintahan yang adil tanpa menjurus kepada sesetengah kaum berdasarkan
kandungan perlembagaan Malaysia sudah tentu dapat memelihara dan mengekalkan
keharmonian dan perpaduan kaum bagi kesejahteraan rakyat dan kemakmuran negara
Malaysia itu sendiri.

Kepentingan perlembagaan Malaysia yang seterusnya ialah dapat mengelakkan daripada


berlakunya penyalahgunaan kuasa oleh seseorang pemerintah. Menurut Shamsul Amri
Baharuddin (2007), pemerintah bermaksud seseorang yang memiliki kecekapan dan kelebihan
khususnya dalam bidang tertentu sehingga beliau mampu memimpin sesuatu kumpulan,
persatuan mahupun negara. Dengan adanya perlembagaan, segala tindakan para pemimpin
sama ada baik ataupun buruk dapat diketuai oleh seluruh masyarakatnya. Hal ini demikian
kerana, segala tindak-tanduk mereka hendaklah berdasarkan kepada perlembagaan yang telah
tersedia ada dan tidak boleh bertindak mengikut sewenang-wenangnya. Sebagai contohnya,
perlembagaan Malaysia turut menggariskan beberapa perkara untuk Yang di-Pertuan Agong
bagi mengelakkan daripada berlakunya penyalahgunaan kuasa. Menurut Perkara 34(3), Yang
di-Pertuan Agong tidak boleh melibatkan diri secara aktif dalam apa-apa perusahaan komersil.
Hal ini bagi mengelakkan baginda mengunakan kuasa yang ada untuk mengaut keuntungan
yang bersifat peribadi. Baginda boleh didakwa atas sifat peribadinya iaitu melibatkan diri secara
aktif dalam perusahaan komersial, dengan keizinan Peguam Negara di Mahkamah Khas Raja.
Yang di-Pertuan Agong merupakan tunggak utama kepada negara Malaysia di mana baginda
merupakan ketua parlimen, ketua pemerintah, pemerintah tertinggi angkatan tentera, ketua
hakim negara dan sebagainya. Walau bagaimanapun, baginda mempunyai kuasa tertinggi
dalam ketiga-tiga cabang kerajaan iaitu perundangan, kehakiman dan pemerintahan, baginda
masih perlu menjalankan tugasnya sepertimana yang tertakluk dalam perlembagaan. Situasi ini
dengan jelasnya menujukkan bahawa, kuasa perlembagaan merupakan kuasa yang tertinggi
dimana Yang di-Pertuan Agong juga tertakluk kepada ketinggian yang dimiliki oleh
Perlembagaan (Mohamed Suffian, 1984). Sekiranya pemerintah menjalankan tugasnya tanpa
menyalahgunakan kuasa yang ada, sudah tentu keadaan ini secara tidak langsung dapat
menjamin kesejahteraan rakyat dan kemakmuran negara. Dengan kata lain, sebuah negara dan
bangsa Malaysia yang aman dan damai boleh dibentuk atau dilahirkan dengan senangnya.
Muhammad Yusof Hashim (2006) turut menyatakan bahawa, negara yang aman dan damai
boleh diwujudkan dengan senangnya apabila sesebuah negara diperintah menurut undang-
undang dan prinsip-prinsip perlembagaan dan prosedur pemilihan pemerintah itu selari dengan
peraturan dan panduan perlembagaan. Tegasnya saya berpendapat bahawa, perlembagaan
merupakan kunci kepada sesebuah negara di mana ia dapat menjamin agar pihak pemerintah
tidak menyalahgunakan kuasa yang dipertanggungjawabkan kepada mereka demi mendirikan
sebuah negara yang makmur dan utuh.

Tambahan pula, menjamin keamanan dan kestabilan negara juga merupakan salah satu
kepentingan perlembagaan Malaysia. Dengan adanya perlembagaan segala masalah yang
timbul dapat diselesaikan dengan lebih mudah di mana ia membantu rakyatnya berpegang
teguh kepada satu matlamat dalam mengutuhkan negara. Perlembagaan yang berperanan
sebagai alat penyelesaian masalah, dapat mengawal kedudukan rakyat dengan memberi
jaminan undang-undang kepada semua masyarakat bahawa tidak sama sekali akan berlaku
penindasan terhadap mana-mana kaum yang terdapat di negara Malaysia ini. Manakala tanpa
mengira kaum dan kepercayaan setiap rakyat akan mendapat kebebasan dan keistimewaan
tertentu sepertimana yang terkandung dalam perlembagaan Malaysia. Keadaan ini sudah tentu
dapat menjamin keamanan dan kestabilan negara dengan tahap yang maksimum. Salah satu
kebebasan yang diberikan kepada rakyatnya berdasarkan perlembagaan Malaysia adalah,
setiap warganegara Malaysia berhak mengamalkan agama masing-masing dalam kehidupan
seharian mereka, sungguhpun perlembagaan Malaysia memperuntukkan agama Islam sebagai
agama rasmi persekutuan (perkara 11). Rasional pemilihan agama Islam sebagai agama
persekutuan Malaysia kerana ia merupakan agama yang telah bertapak lebih 600 tahun lampau
dan banyak mempengaruhi cara hidup dan pemikiran orang Melayu sehingga sekarang
berbanding dengan agama lain. Bukti inilah yang menjadikan agama Islam sebagai agama
persekutuan Malaysia. Walaupun agama Islam memainkan peranan yang sangat penting di
negara Malaysia dengan mempunyai kedudukan yang kukuh, tetapi kaum-kaum lain masih
boleh mengamalkan agamanya dengan bebas tanpa menerima atau mengalami sebarang
gangguan daripada mana-mana pihak. Kebebasan dan keistimewaan tertentu kepada setiap
kaum sepertimana yang terkandung dalam perlembagaan Malaysia dapat membantu
mengelakan daripada berlakunya persengketaan dan pergaduhan antara kaum yang boleh
mencemarkan nama baik negara dimana ia akan jelas menunjukkan negara gagal dalam
menyatupadukan penduduknya dalam kalangan negara lain. Dengan adanya keamanan dan
kestabilan dalam sesebuah negara, sudah tentu ia akan menyatupadukan rakyat di bawah satu
bumbung iaitu bangsa Malaysia. Tegasnya saya berpendapat bahawa, perlembagaan
memainkan peranan yang sangat penting kepada sesebuah negara di mana ia membantu
mengekalkan keamanan dan kestabilan negara. Jika tiada kestabilan dalam sesebuah negara
sudah pasti usaha membina negara bangsa akan terhalang. Malah sesebuah negara atau
bangsa yang telah membina tamadun juga akan menemui kegagalan jika keadaan ini tidak
wujud dalam negara berkenaan. Oleh itu, adalah wajar untuk menyatakan bahawa
perlembagaan merupakan komponen terpenting untuk menstabilkan negara.

Secara kesimpulanya, kewujudan perlembagaan sebagai asas undang-undang


sesungguhnya mempunyai peranan yang sangat penting dalam membentuk perjalanan
pemerintahan dan pentadbiran di negara ini. Walaupun perlembagaan negara merupakan
sebuah perlembagaan yang terlalu panjang dan terperinci, setakat ini ia telah berjaya
membawa negaranya ke arah kemajuan dan kecemerlangan. Justeru, warganegara yang
menikmati keselamatan, keistimewaan, kemewahan dan pelbagai peluang dibawah payung
perlembagaan wajarlah menghormati semua peraturan negara yang dibuat berpandukan
perlembagaan Malaysia itu sendiri. Dengan itu, generasi muda boleh melayarkan bahtera dan
melebarkan sayap dengan aman dan damai demi meneruskan perjuangan untuk memajukan
bangsa dan negara pada masa hadapan.

You might also like