You are on page 1of 5

ALEA 33 INDIGENOUS PEOPLE MINORITY & SOCIAL CHANGE

PERUBAHAN SOSIAL DALAM MASYRAKAT PRIBUMI


(MASYARAKAT ORANG ASLI JAHAI)

PENGENALAN

Terdapat kira-kira 140,000 Orang Asli di Malaysia, kebanyakannya bertumpu di


Semenanjung Malaysia. Masyarakat Orang Asli merupakan komuniti kecil di Malaysia dan
mereka adalah penduduk pribumi negara ini. Orang Asli merupakan masyarakat yang
mempunyai beberapa suku kaum yang berbeza-beza. Secara rasminya masyarakat Orang asli
dibahagi kepada tiga kumpulan yang terbesar iaitu Negrito, Senoi dan Melayu Asli. Suku Senoi
terdiri daripada enam suku iaitu suku Che Wong, Jah Hut, Mah Meri, Semai, Semoq Beri, dan
Temiar, Manakala Negrito pula diklasifikasikan kepada enam suku kecil yang terdiri daripada
suku Kensiu, Kintak, Lanoh, Jahai, Mendriq dan Bateq. Suku Melayu Asli pula dipecahkan
kepada tujuh suku kecil iaitu suku Jakun, Kanaq, Orang Kuala, Orang Seletar, Semelai, dan
Temuan. Oleh kerana terdapat pelbagai suku kaum di kalangan masyarakat Orang Asli, maka
terdapat banyak perbezaan dari segi cara hidup dan pertuturan bahasa yang digunakan.
Kebudayaan dan adat resam mereka juga berbeza-beza dan mempunyai keunikan yang
tersendiri.

Masyarakat Orang Asli mengandungi 3 buah rumpun bangsa yang terbentuk daripada
19 buah suku kaum. Setiap suku kaum adalah sebuah entiti etnik yang tersendiri dan kaya
dengan budaya masing-masing. Mereka wujud sebagai sebuah masyarakat yang justeru
dibendung teguh oleh adat dan nilai yang diwarisi daripada generasi dahulu (Juli Edo, nd.).
Takrifan Orang Asli dalam Perlembagaan Malaysia telah termaktub dalam Perkara 160(2) yang
menyatakan bahawa Orang Asli adalah merujuk kepada Orang Asli Semenanjung Tanah
Melayu. Mengikut Akta 134 (Akta Orang Asli 1954) dibawah Fasal 3 menjelaskan bapanya
adalah seorang dari rumpun bangsa Orang Asli, yang bercakap dalam bahasa Orang Asli dan
lazimnya mengikut cara hidup Orang Asli dan adat kepercayaan Orang Asli, dan termasuklah
seseorang keturunan melalui lelaki itu mana-mana orang dari apa-apa kaum yang diambil
sebagai anak angkat semasa masih kanak-kanak oleh Orang Asli dan telah dididik sebagai
seorang Asli, lazim mengikut cara hidup Orang Asli dan adat kepercayaan Orang Asli dan
adalah seseorang itu dari sesuatu masyarakat Orang Asli ; atau anak dari apa-apa penyatuan
antara seorang perempuan Orang Asli dengan seorang lelaki dari satu kaum lain, dengan syarat
bahawa anak itu lazim bercakap dalam bahasa Orang Asli, lazim mengikut cara hidup Orang
Asli dan adat kepercayaan Orang Asli dan masih lagi menjadi seseorang dari masyarakat Orang
Asli. Orang Asli juga dikenali sebagai Aslian dan seringkali dinamakan sebagai Sakai
walaupun sebenarnya penggunaan nama tersebut tidak digalakkan. Hal ini kerana menurut
persepsi umum, Sakai adalah kelompok manusia yang hidup di dalam hutan dan masih
meneruskan gaya hidup yang bersifat primitif. Mereka juga dikatakan tidak mempunyai agama
yang khusus dan tiada peraturan hidup dan dianggap sebagai bodoh dan tidak mahu menerima
kemajuan malah ada yang mengatakan bahawa masyarakat ini hidup liar dan ganas (Er Ah
Choy et al. 2010).

Setiap masyarakat mempunyai ciri-ciri budaya sendiri yang menjadi lambang identiti
mereka. Pembentukan budaya sesuatu masyarakat dibentuk berdasarkan keperluan dan
persekitaran semulajadi. Walau bagaimanapun sesuatu budaya yang menjadi amalan
masyarakat akan mengalami proses akulturasi dan asimilasi sehingga akhirnya menyebabkan
perubahan berlaku. Oleh itu, setiap masyarakat dan kebudayaan pasti akan mengalami
perubahan. Contohnya perubahan terhadap sistem demografi, sistem ekonomi, sistem politik,
sistem kepercayaan dan lain-lain lagi. Secara umumnya maksud perubahan di sini ialah apabila
sesuatu kumpulan manusia itu telah menjalankan sesuatu aktiviti kehidupan yang berbeza
daripada yang telah dilakukan oleh generasi sebelumnya (Rohana Yusof, 2010). Proses
transformasi yang melanda kawasan perkampungan Orang Asli seringkali dijadikan isu
perdebatan dalam usaha ke arah mencapai kesejahteraan manusia sejagat. Hal ini kerana proses
tersebut mampu memberi impak positif dan juga negatif kepada Orang Asli termasuklah dari
aspek sosiobudaya mereka. Aspek sosiobudaya tersebut termasuklah berkenaan dengan adat
resam dan ritual, pantang larang, makanan, hubungan sosial dan identiti dan simbol (Mustaffa
Omar, 2009). Tradisi dan cara hidup komuniti berterusan diancam oleh tekanan pembangunan
negara yang menuju ke arah pemodenan. Aspek tersebut yang membawa nilai-nilai baru dan
asing kian menghakis dan menjadi ancaman kehilangan identiti budaya dan warisan. Tambahan
lagi sikap komuniti tempatan sendiri yang masih kabur mengenai kepentingan pemeliharaan
budaya (Faridatul Akma dan Siti Rasidah, 2005).

Dalam konteks pembangunan Orang Asli, terdapat dua pihak yang terlibat iaitu pihak
yang membangunkan dan juga pihak yang dibangunkan. Pihak yang membangunkan merujuk
kepada pihak kerajaan yang memerintah manakala pihak yang dibangunkan pula merujuk
kepada Orang Asli. Hal ini bertepatan dengan teori sosiologi struktur fungsionalisme yang
mengandaikan pelbagai aspek atau bahagian dalam sesuatu masyarakat mempunyai fungsi-
fungsi tersendiri yang saling berkait dan bergantungan untuk mencapai keharmonian,
kesepaduan, kestabilan dan keseimbangan dalam proses perkembangan masyarakat yang
berkenaan. Pihak kerajaan berperanan besar dalam membangunkan masyarakat Orang Asli.
Segala rancangan pembangunan yang telah dilaksanakan kini dilihat telah menyebabkan
berlakunya perubahan terutamanya dari aspek sosial dan ekonomi mereka. Perubahan ini boleh
dihuraikan dengan teori sosiologi, perubahan sosial. Itam Wali (1993) menyatakan terdapat
dua jenis perubahan sosial yang boleh berlaku dalam masyarakat ataupun sesebuah negara.
Perubahan sosial yang pertama ialah perubahan yang dirancang untuk membangunkan
sesebuah komuniti manakala kedua ialah perubahan yang berlaku hasil daripada sesuatu
pembangunan (Nor Aseken, 2009).

Kaum Asli Jahai merupakan antara masyarakat nomad yang mendiami Semenanjung
Malaysia. Suku bangsa Jahai merupakan satu daripada Suku Kaum Negrito iaitu suku kaum
yang terkecil berbanding dengan kaum Senoi dan Proto-Malay (Melayu Asli). Mereka tinggal
di Perak, terutama dikawasan Hulu Perak iaitu Banun, Sungai Tiang dan Persisiran Empangan
Temenggor. Manakala di Kelantan pula, mereka bertumpu di Sungai Rual dan Jeli di Hulu
Kelantan. Pada amnya rupa paras orang Jahai seakan-akan Orang Habsyi atau Negro di Afrika,
Kaum Andaman dan Aeta di Filipina. Kebanyakannya tinggal di kuala sungai dan persisiran
tasik dengan kehidupan yang sederhana dan amat mengetahui selok-belok belantara.
Kehidupan yang serba sederhana menyebabkan kadar survival masyarakat Orang Asli Jahai
amat tinggi dan bergantung sepenuhnya kepada sumber hutan sama ada untuk makanan dan
juga kesihatan menerusi pelbagai surnber tumbuhan herba. Bagaimanapun,arus permodenan
sedikit sebanyak menyebabkan ilmu berkenaan tumbuhan herba semakin terhakis. Rumah
mereka berbentuk pisang sesikat yang dibina daripada buluh dan beratapkan daun bertam dan
tepus. Suku bangsa Jahai suka membuat rumah yang ringkas kerana mereka mengamalkan cara
hidup berpindah-randah. Mereka berpindah dari satu tempat ke satu tempat apabila berlaku
kematian, penyakit ganjil, perbalahan kecil kerana keperluan makanan dan pertambahan
penduduk. kini, amalan berpindah-randah semakin kurang diamalkan. Seperti juga masyarakat
Orang Asli yang lain. mereka kini sudah memiliki penempatan sendiri dan terbela dari segala
sudut kehidupan melalui bantuan-bantuan oleh pihak kerajaan. Masyarakat suku Asli Jahai ini
juga mengalami pembangunan sehingga berlaku transformasi dan perubahan sosial dalam suku
Jahai ini.

PERUBAHAN SOSIAL YANG BERLAKU DALAM MASYARAKAT ASLI JAHAI

Orang Asli suku kaum Jahai kaya dengan pelbagai budaya yang unik dan tersendiri.
Arus globalisasi kini, telah memberi kesan kepada pengamalan kebudayaan warisan mereka
dalam kehidupan seharian. Hal ini disebabkan kurangnya penglibatan daripada generasi muda
hari ini. Pelbagai program transformasi telah dilaksanakan oleh pihak kerajaan secara
berperingkat-peringkat. Kini pembangunan tersebut dilihat lebih menyeluruh sehinggakan
komuniti Orang Asli juga turut tidak ketinggalan untuk menerima tempiasnya. Hal ini akan
menimbulkan persoalan tentang impak yang diperolehi oleh Orang Asli ini sama ada lebih
menerima impak positif atau sebaliknya. Pembangunan yang telah dilaksanakan kini dilihat
telah menyebabkan berlakunya perubahan terutamanya dari aspek sosial dan ekonomi suku
Jahai. Perubahan ini boleh dihuraikan dengan teori sosiologi, perubahan sosial.

Teori difusi yang ditonjolkan dalam kajian berdasarkan Tylor (1871) seperti yang
dirujuk oleh Norazit Selat (1993) menjelaskan bahawa perubahan budaya adalah dipengaruhi
oleh kemasukan budaya luar. Difusi ialah suatu proses yang dipilih iaitu sama ada mahu
menerima atau menolak kemasukan budaya luar yang membawa kepada perubahan budaya
secara positif dan negatif. Masalah difusi budaya dari luar ke dalam boleh menjadi masalah
bagi mengekalkan sosiobudaya dalam Orang Asli Jahai.Generasi muda dari komuniti Orang
Asli Jahai pada hari ini juga dilihat semakin melupakan warisan budaya komuniti mereka
akibat arus pembangunan dan pemodenan. Perubahan sosial yang berlaku dalam suku Jahai
melibatakan pelbagai aspek iaitu perubahan budaya, tempat tinggal, pakaian, perubahan
agama, pendidikan, bahasa, pemakaian, sistem kekeluargaan, sektor pertanian, teknologi dan
amalan perubatan tradisional

a) Perubahan Budaya
Budaya menjadi identiti dan jati diri sesuatu masyarakat. Budaya adalah cara
hidup sesuatu masyarakat. Budaya diwarisi secara turun-temurun dari satu generasi ke
generasi yan lain. Budaya boleh berubah dari masa ke semasa dan boleh terhakis
sekiranya generasi muda dalam sesebuah masyrakat tidak lagi memelihara dan
mengamalkan budaya mereka dalam kehidupan seharian. Dalam Orang Asli Jahai
budaya yang paling dominan ialah amalan perubatan tradisional. Seperti yang diketahui
Orang Asli Jahai dahulu tinggal di hutan. Hutan sangat penting dalam kehidupan
seharian Orang Asli kerana di dalamnya terdapat dusun-dusun saka dan sememangnya
mereka sudah terikat dengan alam semulajadi yang terdapat di hutan (Ali@Zainal
Abidin, 2006). Kawasan hutan rimba adalah kediaman asal mereka dan sangat
mempunyai hubungan rapat dengan kehidupan harian mereka (Saiful Bahri
Kamaruddin, 18 Oktober 2012). Oleh kerana mereka ini tinggal di hutan maka kadar
sara diri mereka sangat tinggi dan Orang Asli Jahai ini sangat bergantung dengan
sumber hutan sama ada untuk makanan dan kesihatan (perubatan). Orang Asli Jahai
mempunyai pelbagai ilmu yang luas tentang hutan, tumbuhan herba dan amalan
perubatan tradisional. Dahulu amalan perubatan tradisional ini diturunkan dari satu
generasi ke generasi yang lain. Biasanya perubatan tradisional ini dilakukan oleh
seorang yang dipanggil dukun Namun kini hanya beberapa orang sahaja yang masih
mengamalkannya dan bilangannya sangat sedikit. Contohnya, di perkampungan Sungai
Tiang, amalan perubatan tradisional masih lagi diamalkan oleh beberapa orang dukun
tua.
Orang Asli Jahai kini semakin melupakan amalan tersebut kerana kebanyakan
mereka tidak lagi tinggal di hutan maka ilmu tentang hutan dan tumbuhan hutan
semakin berkurang. Generasi muda kini juga tidak berminat lagi untuk mempelajari
ilmu perubatan tradisional dari nenek moyang mereka. Mereka lebih suka mengambil
atau membeli ubat di hospital atau klinik yang disediakan oleh pihak kerajaan. Keadaan
ini menyebabkan budaya amalan perubatan tradisional yang diamalkan nenek moyang
mereka dahulu semakin terhakis. Jika pengetahuan mereka tentang ilmu perubatan ini
tidak direkodkan, tidak mustahil suatu hari nanti segalanya akan pupus kerana mereka
juga sedang mengalami proses berubah menjadi moden seperti dunia luar.
b) Tempat tinggal
Seterusnya perubahan dapat diihat dari segi tempat tinggal.

You might also like