You are on page 1of 1

Negara kita dikenali sebagai syurga perayaan kerana mempunyai banyak perayaan yang disambut oleh

masyarakatnya yang berbilang kaum. Kita mempunyai Tahun Baru Cina, Hari Raya, Krismas, Deepavali
dan banyak lagi perayaan yang disambut oleh penduduk negara ini. Perayaan ini telah memberi satu
dimensi baru kepada masyarakat kita dan luar tentang erti perayaan sebenar. Kepelbagaian perayaan di
negara ini turut membuka banyak kebaikan kepada negara dan masyarakat yang mendiami negara tercinta
ini.

Kesan yang paling ketara ialah perayaan ini telah meningkatkan hubungan dan interaksi antara penduduk
yang berbilang kaum ini. Semua pihak memahami dan terlibat dalam perayaan yang disambut oleh kaum
lain. Lawatan ke rumah terbukaa yang diamalkan telah mengeratkan hubungan antara kaum. Jadi,
kekerapan interaksi ini menyebabkan wujudnya perpaduan yang utuh di negara ini yang menjadi
sanjungan masyarakat luar.

Selain itu, golongan remaja mampu memahami erti perpaduan kepada negara ini. Mereka yang tidak
mengalami kesusahan ketika era awal kemerdekaan mungkin memandang enteng perpaduan. Namun,
apabila mereka melihat suasana perayaan barulah mereka memahami dan menyanjungi erti perpaduan.
Keadaan ini menyebabkan remaja yang dilahirkan merupakan remaja berwawasan dan terbilang.
Semuanya gara-gara wujudnya perayaan yang pelbagai di negara ini. Cuba bayangkan tiadanya sambutan
perayaan di negara ini?

Pandangan masyarakat terutama orang luar turut berubah. Negara akan dilihat sebagai mempunyai
keunikan perayaan yang tidak mampu dilihat di negara lain. Kepelbagaian perayaan ini memberi satu
bentuk unik dalam pandangan orang asing terhadap negara ini. Lantaran itu kehadiran pelancong asing
turut bertambah kerana mereka ingin dan berpeluang melihat pelbagai perayaan dalam sebuah negara
daripada pergi ke beberapa negara untuk melihat pelbagai perayaan. Malaysia satu negara tetapi banyak
perayaan.

Malahan, kepelbagaian perayaan ini menyebabkan ekonomi negara terus berkembang. Keadaan ini wujud
kerana pelbagai pesta pembelian akan dijalankan untuk setiap perayaan yang disambut oleh masyarakat di
sini. Kekerapan masyarakat negara untuk berbelanja setiap kali perayaan amatlah tinggi dan memberi
ruang kepada ahli perniagaan untuk mengaut keuntungan. Sudah pasti situasi ini menjana pertumbuhan
ekonomi negara.

Kesimpulannya, perayaan yang ada di negara kita bukanlah sesuatu kekangan tetapi satu rahmat yang
harus digunakan dengan sebaik mungkin. Kita harus menjadikan perayaan itu sebagai cubaan untuk
merapatkan hubungan dan mengurangkan perbezaan antara kaum. Kalau itu mampu diccapai sudah pasti
kemakmuran negara akan berkekalan. Sememangnya Malaysia sebuah negara yang melambang erti benua
Asia kerana mempunyai pelbagai keturunan dan perayaan.

You might also like