You are on page 1of 1

Kempen 'Zero POLYSTERIN' galak warga UMP bawa

bekas makanan sendiri


Pekan, 28 November – Universiti Malaysia Pahang (UMP) kampus Pekan menganjurkan
Kempen “Zero Polysterin' kepada warga kampus sebagai menyokong hasrat universiti ke arah
kampus hijau bagi mengurangkan pencemaran alam sekitar serta mengamalkan budaya hidup
sihat. Pengarah program yang merupakan pelajar tahun empat Sarjana Muda Kejuruteraan Elektrik
dan Elektronik, Mohd Amirullah Anuar berkata, kempen ini telah dimulakan sejak setahun lalu
dengan menetapkan setiap hari Selasa dan Rabu di Kolej Kediaman sebagai hari tanpa polisterin.
Namun, bemula bulan November, kempen ini dipergiat pada setiap hari bermula Isnin hingga Ahad
dan diselaraskan di seluruh kampus UMP di Pekan.

“Kempen ini merupakan sebahagian usaha mahasiswa dalam sama-sama merealisasikan hasrat
universiti untuk menjadikan sebuah universiti berteknologi hijau selain membantu menjaga
kelestarian alam sekitar," katanya. Tambah beliau, lebih bermakna apabila kempen ini juga adalah
salah satu inisiatif dalam menyedarkan golongan mahasiswa bahawa penggunaan polisterin boleh
memberi impak yang negatif terhadap manusia dan alam sekitar terutamanya kesan terhadap
manusia yang telah dikenalpasti mengakibatkan penyakit kanser. Bahan kimia yang ada dalam
polistirin akan meresap ke dalam makanan dan akan mengakibatkan pelbagai jenis kanser.
Tambahan pula, kesan polistirin terhadap alam sekitar menyebabkan peningkatan jumlah sampah
serta kadar pemanasan global. Justeru itu, alternatif bagi penyelesaian masalah ini adalah
menggantikan polisterin dengan bekas makanan yang berkualiti dan mempunyai kelulusan
daripada Jabatan Kesihatan.

"Usaha ini tidak lagi boleh ditangguhkan kerana tindakan menggunakan polisterin secara
berleluasa akan mendatangkan impak negatif terhadap kesihatan dan alam sekitar pada masa
hadapan. "Bahan polisterin dan plastik sukar dilupuskan dan memakan masa lebih 100 tahun untuk
diuraikan, jadi saya amat berharap usaha ini mendapat kerjasama warga kampus kepada usaha
melestarikan alam sekitar yang lebih mapan di masa hadapan," katanya.

Menurut seorang staf UMP, Nor Hafizah Fadzillah berkata sebagai staf kami turut menyokong
usaha murni ini yang secara tidak langsung dapat menjaga kesihatan diri serta membawa sendiri
bekas makanan ke kafeteria. Manakala menurut pelajar Ang Poi Xing, 20, Ijazah Sarjana Muda
Mekanikal Automotif, kempen ini sangat bagus dipraktikkan di universiti. Majlis perasmian
dihadiri bekas Pengetua Kolej Kediaman Kelima, Dr. Saiful Anwar Che Ghani bertempat di Pusat
Aktiviti Pelajar, UMP Pekan baru-baru ini. Kempen bakal diperluas kepada seluruh warga
universiti dalam menerapkan kesedaran tentang bahaya penggunaan polisterin serta menggalakkan
membawa bekas makanan sebagai alternatif.

You might also like