You are on page 1of 1

Tumbuhnya pertubuhan Islam yang non-partisan seperti cendawan dapat dilihat dengan ketara

dalam awal 1970-an. Antara yang paling terkenal dan berpengaruh ialah Angkatan Belia Islam
Malaysia, singkatnya ABIM. ABIM yang ditubuhkan dalam tahun 1971 oleh Anwar Ibrahim bersama
sekumpulan graduan universiti, telah mengemukakan wawasan sebuah masyarakat Islam,
menggabungkan kemanjuran ilmu sains dan teknologi dengan nilai-nilai Islam. ABIM telah menarik
ramai orang Melayu Islam yang berpendidikan tinggi, yang mendalam minatnya, untuk
membangunkan diri, negara, dan masyarakat mereka, dengan sekali-kali tidak mengorbankan atau
meminggirkan identiti Islam mereka. Di antara 1971 dan 1981 ABIM berkembang pesat
menjadikannya sebuah kuasa yang disegani, sebahagiannya kerana status pertubuhan itu yang tidak
memihak mana-mana parti politik ketika negara ini tidak sanggup bertoleransi dengan pertubuhan
politik Islam, manakala sebahagian lain pula disebabkan kedinamikan Anwar Ibrahim yang menjadi
presiden pertubuhan itu sejak 1972 hingga 1982. ABIM dianggarkan tumbuh dari kira-kira sembilan
ribu keanggotaan dalam tahun 1972 menjadi tiga puluh lima ribu dalam tahun 1980. Namun,
peletakan jawatan Anwar daripada ABIM dalam tahun 1982 untuk bertanding dalam pilihan raya di
bawah tiket UMNO dan bukan PAS, telah mengucar-ngacirkan, melesukan, dan mematikan
pertumbuhan gerakan berkenaan.

Meskipun ABIM tidak bersikap memihak mana-mana parti politik jika dilihat dari sudut bahawa
pemegang jawatan pertubuhan itu tidak bertanding dalam pilihan raya, hakikatnya ialah bahawa
ABIM memberi pengaruh kuat terhadap politik dan di bawah kepimpinan Anwar dapat mengenakan
tekanan hebat ke atas kerajaan sehingga sampai ke satu tahap ABIM mampu mempengaruhi dasar
awam negara. Komitmen ABIM untuk menerapkan prinsip Islam "amar makruf nahi mungkar"
("mengajak kepada kebaikan dan mencegah kemungkaran") dan membendung korupsi/rasuah, telah
menjadikan pertubuhan itu tidak boleh mengelak daripada bertembung dengan UMNO. Kemuncak
aktivisme politik ABIM datang pada akhir tahun 1970 apabila pertubuhan itu, di bawah kepimpinan
Anwar, telah mengadakan demonstrasi besar-besaran menyokong pekebun kecil Melayu miskin di
negeri Perlis terhadap rancangan kerajaan untuk mengusir mereka keluar dari tanah mereka tanpa
menawarkan pampasan secukupnya. Bagaimanapun, Anwar telah ditangkap di bawah undang-
undang drakonian /undang-undang rimba `Akta Keselamatan Dalam Negeri' (ISA) yang membenarkan
polis menahan orang yang dituduh membahayakan keselamatan negara hingga tempoh dua tahun
tanpa bicara.

You might also like