You are on page 1of 2

pa itu Hak Kanak-kanak?

Menurut Akta Kanak-kanak 2001, kanak-kanak didefinisikan sebagai individu yang berumur di
bawah 18 tahun. Hak kanak-kanak pula adalah hak-hak yang telah disenaraikan di dalam
Konvensyen mengenai Hak Kanak-kanak (Convention on the Rights of the Children).

Konvensyen mengenai Hak Kanak-kanak


Konvensyen mengenai Hak Kanak-kanak merupakan instrumen antarabangsa yang mempunyai
ratifikasi paling banyak antara instrumen PBB yang lain. Konvensyen ini telah diterima pakai
pada Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu pada 20 November 1989 bagi
mengiktiraf hak kanak-kanak. Malaysia telah meratifikasi konvensyen ini pada 17 Februari
1995, namun masih mengekalkan reservasi kepada Perkara 1, 2, 7, 13, 14, 15, 28(1)(a) dan 37.

Konvensyen ini menuntut agar kita menjadi lebih peka terhadap keperluan kanak-kanak dan
mewujudkan persekitaran yang harmoni dan penyayang. Ia menggariskan hak kanak-kanak di
seluruh dunia tanpa mengira jantina, agama, bangsa, kefahaman atau perbezaan. Tanggungjawab
bagi memastikan perlindungan terhadap hak-hak ini terletak kepada kerajaan Negara-negara
Pihak dan juga masyarakat.

Perjanjian ini menggariskan empat pengelasan hak utama iaitu;

Kehidupan
Hak kanak-kanak kepada kelangsungan hidup dan keperluan-keperluan asas untuk hak tersebut
seperti makanan, air bersih dan tempat tinggal.

Ibu bapa mestilah menyediakan keperluan-keperluan asas kepada kanak-kanak mengikut


kemampuan mereka. Kanak-kanak memerlukan tempat tinggal yang baik, pemakanan yang
seimbang dan air yang bersih, Persekitaran yang positif, harmoni dan penyayang perlulah
diwujudkan bagi memastikan kanak-kanak dapat membesar dengan baik.

Ibu bapa juga perlu menyediakan pemakanan seimbang dan berkhasiat yang mengandungi zat
seperti karbohidrat, protein, vitamin dan mineral dalam memangkinkan tumbesaran kanak-kanak.
Ibu bapa harus mengajar kanak-kanak untuk memilih makanan yang berkhasiat daripada
memakan makanan ringan yang kurang berkhasiat.

Perkembangan
Hak kepada pembangunan potensi individu menyeluruh seperti hak kepada pendidikan, hak
untuk bermain dan hak untuk menyuarakan pendapat.

Ibu bapa mestilah memberikan pendidikan kepada kanak-kanak. Pendidikan ini termasuklah
mengenali tuhan, nilai-nilai murni dan persekolahan. Ibu bapa harus memupuk minat membaca
dan cintakan ilmu kepada kanak-kanak. Ilmu-ilmu yang baik dan bermanfaat ini adalah untuk
menyediakan kanak-kanak pada masa hadapan.

Kanak-kanak juga diberikan kebebasan untuk bermain mengikut kesesuaian. Melalui interaksi
bermain, kanak-kanak dapat mempelajari sesuatu yang bermanfaat. Sebagai contoh, mereka
dapat belajar menghormati orang lain; sesuatu yang mudah seperti beratur ketika bermain atau
berkongsi alat permainan bersama-sama rakan.

Kanak-kanak juga perlu didengari. Pendapat mereka yang diambil kira oleh ibu bapa akan
membuatkan mereka berasa dihargai. Dengan ini mereka bersedia untuk meluahkan perasaan
atau masalah kepada ibu bapa. Terdapat banyak kes yang menunjukkan kanak-kanak atau remaja
yang lebih mempercayai rakan sebaya daripada ibu bapa sendiri dalam berkongsi masalah. Ini
disebabkan oleh kurangnya komunikasi di antara kanak-kanak tersebut dengan ibu bapa mereka
sehingga menyebabkan kanak-kanak ini tidak berminat untuk menceritakan masalah mereka
kepada ibu bapa dan keluarga.

Perlindungan
Hak kepada perlindungan daripada pengaruh-pengaruh tidak baik seperti penderaan, eksploitasi
dan sebagainya.

Kanak-kanak berhak kepada perlindungan daripada sebarang keadaan yang berbahaya seperti
penderaan, pencabulan dan eksploitasi. Kanak-kanak tidak seharusnya dijadikan mangsa kepada
sesuatu masalah. Mereka perlu dilindungi daripada dicederakan dari segi emosi ataupun dari segi
seksual.

Mereka tidak seharusnya diabaikan dan dianiaya oleh sesiapa pun. Mereka juga tidak sepatutnya
didiskriminasi hanya kerana perbezaan yang terdapat pada mereka. Jika terdapatnya salah laku
terhadap kanak-kanak ini, pihak-pihak berwajib harus campur tangan dan melindungi mereka
melalui undang-undang yang telah diperuntukkan.

Penyertaan
Hak kepada penyertaan sepenuhnya dalam keluarga, budaya dan kehidupan sosial masyarakat
setempat.

Kanak-kanak perlu diberi hak untuk mengambil bahagian dalam hal ehwal dan pembesaran
mereka. Contohnya mereka ingin mendapatkan sesuatu barangan, sekiranya difikirkan sesuai,
ibu bapa perlulah menyediakan barangan tersebut.

Ibu bapa juga perlu menyertakan kanak-kanak dalam aktiviti kemasyarakatan supaya dapat
memupuk sifat-sifat murni dalam diri kanak-kanak. Selain itu, kanak-kanak juga perlu dididik
untuk berbuat baik dan bertoleransi dengan anggota masyarakat.

Ibu bapa merupakan individu yang paling hampir kepada kanak-kanak. Seharusnya menjadi
tanggungjawab ibu bapa dalam memastikan kanak-kanak ini dapat menjalani kehidupan yang
baik. Kesedaran terhadap hak kanak-kanak perlulah dipupuk ke dalam diri setiap individu agar
mereka mengerti bahawa setiap dari kita mempunyai hak tersendiri. Kesedaran ini juga perlu
dalam mengurangkan tindakan-tindakan tidak berperikemanusian sesetengah individu terhadap
kanak-kanak.

You might also like