You are on page 1of 4

Minggu Praktikum : 10

Tarikh : 10 September 2017

Tajuk Jurnal : Murid Tidak Mengangkat Tangan Semasa Menjawab Soalan

1. Isu Yang Difokuskan


Semasa saya menjalankan sesi Pembelajaran dan Pemudahcara (PdPc) bagi mata
pelajaran Reka Bentuk dan Teknologi di kelas 4 Ibnu Battutah, saya mendapati keseluruhan
murid tidak mengangkat tangan masing-masing apabila ingin menjawab soalan yang
dikemukakan oleh saya. Murid-murid yang terdiri daripada 28 orang murid itu seringkali
menjawab soalan secara langsung tanpa mengangkat tangan sehingga menyebabkan
suasana kelas menjadi bising dan sukar dikawal.

2. Analisis Isu Yang Difokuskan (Punca Dan Kesan Isu)


Hasil daripada analisis isu yang telah dilakukan, saya mendapati punca terjadinya isu
ini ialah saya tidak memaklumkan murid-murid tentang peraturan berada di dalam kelas
terutamanya apabila ingin menjawab soalan. Sebagai contoh, saya tidak memberitahu
mereka terlebih dahulu bahawa mereka perlu mengangkat tangan dan menunggu giliran
apabila ingin menjawab sebarang soalan. Justeru, hal ini telah menyebabkan murid sering
tidak mengangkat tangan dan menunggu giliran untuk menjawab soalan yang diajukan oleh
saya.
Selain itu, saya juga mendapati masalah ini terjadi disebabkan saya kurang
membiasakan murid untuk mengangkat tangan apabila ingin menjawab soalan atau
mengutarakan sesuatu pendapat. Tambahan pula, murid-murid terlalu teruja untuk
menjawab soalan yang diberikan sehingga mereka tidak dapat menunggu giliran dan
membuat bising. Tidak kurang juga dengan murid yang menjawab soalan tanpa
mengangkat tangan dengan tujuan ingin mendapatkan perhatian daripada guru. Keadaan
ini telah menyebabkan suasana kelas menjadi agak bising serta sukar dikawal dengan
jawapan-jawapan yang diberikan secara serentak oleh murid seterusnya menyebabkan
proses PdPc terganggu.

3. Kajian Lampau
Menurut Canter (1976), guru yang asertif ialah seorang yang jelas, yakin dan
menyatakan jangkaan dan arahan yang konsisten dengan tegas.

1
4. Cadangan Dan Idea Penyelesaian Masalah
Terdapat beberapa idea penyelesaian masalah yang boleh saya cadangkan
berdasarkan isu yang telah saya kenal pasti bagi membendung masalah ini daripada
berlarutan. Antaranya ialah:
a) Saya hendaklah mempraktikkan ciri-ciri seorang guru yang asertif. Saya akan
menyatakan dengan jelas dan tegas kemahuan saya terhadap tingkah laku murid.
Sebagai contoh, saya akan menerangkan peraturan kelas yang perlu dipatuhi oleh
murid-murid terlebih dahulu sebelum memulakan aktiviti PdPc dengan jelas. Saya
juga akan menerangkan akibat-akibat yang munasabah sekiranya mereka
melanggar peraturan.
b) Saya hendaklah mengambil berat dan berlaku adil terhadap semua murid
disamping memberikan arahan dengan jelas dan tegas. Misalnya, saya hendaklah
memberitahu murid supaya mengangkat tangan terlebih dahulu sekiranya mereka
ingin menjawab soalan yang diajukan. Contoh arahan ialah:
i) “Peraturan kelas kita ialah angkat tangan untuk menjawab soalan”.
ii) “Angkat tangan dan tunggu dengan senyap, cikgu akan panggil awak”.

5. Tempoh Masa Penyelesaian


1 Minggu

2
Minggu Praktikum : 10

1. Tindakan Susulan
Saya akan mengambil tindakan pembetulan dengan melaksanakan cadangan-
cadangan yang telah dikemukakan supaya murid-murid dapat mengangkat tangan terlebih
dahulu apabila ingin menjawab soalan yang saya kemukakan. Saya akan mengamalkan
ciri-ciri seorang guru yang asertif bagi membentuk satu sistem pengurusan tingkah laku
yang menggalakkan kerjasama dengan murid-murid. Saya akan menetapkan serta
menerangkan rutin dan peraturan kelas dengan jelas terhadap murid-murid sebelum
memulaka sesi PdPc, terutamanya mengenai peraturan mengangkat tangan untuk
menjawab soalan.
Saya juga akan menyatakan arahan yang konsisten dengan tegas dan bersikap adil,
namun bukanlah bermakna saya harus membawa imej garang, kasar atau terlampau tegas.
Saya akan menyatakan dengan tegas dan jelas tingkah laku murid yang diingini. Sebagai
contoh, saya mengatakan “Peraturan kelas kita ialah angkat tangan untuk menjawab
soalan”. Kemudian, saya juga akan menerangkan akibat murid tidak mengikut peraturan
seperti saya hanya akan membenarkan murid yang mengikut peraturan untuk menjawab
soalan. Manakala murid yang tidak mengikut peraturan tidak akan dibenarkan menjawab
soalan sehingga murid tersebut mula mengikut peraturan yang telah dinyatakan.

2. Tarikh Tindakan Susulan Dilaksanakan


17 September 2017

3. Keberkesanan Langkah Yang Dicadangkan


Setelah melaksanakan cadangan penyelesaian yang saya kemukakan, saya
mendapati tindakan tersebut menunjukkan hasil yang memberangsangkan. Hal ini dapat
dilihat melalui kelancaran pelaksanaan sesi PdPc yang telah dijalankan di kelas tersebut.
Dengan bersikap tegas semasa memberikan arahan yang konsisten, saya mendapati
murid-murid berjaya mengikut peraturan yang saya tetapkan sekaligus membolehkan
suasana kelas berada dalam keadaan tenang dan tidak bising seperti sebelum ini. Saya
juga mendapati murid-murid dapat memahami bentuk-bentuk tingkah laku yang membawa
kepada kejayaan dan kegagalan apabila mereka mula sedar sebab peraturan sebegitu
diadakan serta tahu akan kesan yang bakal mereka hadapi apabila tidak mematuhi

3
peraturan. Hal ini dapat dilihat apabila murid mula mengikut peraturan apabila menyedari
guru tidak mengendahkannya dan tidak membenarkan murid menjawab soalan apabila
murid tidak mengangkat tangan terlebih dahulu. Justeru itu, murid-murid dapat menjalani
satu proses PdPc yang efektif dalam suasana kelas yang kondusif dan tenang bagi
menyokong pembelajaran mereka disamping dapat membina hubungan saling
mempercayai antara guru dan murid-murid.

4. Kesimpulan/ Refleksi (Kesan Tindakan (Perlu) dan Halangan (Jika Ada)


Saya berasa bersyukur kerana saya dapat melaksanakan suatu PdPc yang efisien
dan efektif tanpa berhadapan dengan gangguan yang boleh mengganggu kelancaran sesi
PdPc. Saya berasa berpuas hati kerana saya bukan sahaja dapat menangani masalah
murid tidak mengangkat tangan untuk menjawab soalan sehingga mewujudkan suasana
yang bising, malah saya juga dapat menggalakkan kerjasama dan membantu murid-murid
mempraktikkan tingkah laku yang diingini. Secara tidak langsung, saya dapat memenuhi
hak saya sebagai seorang guru untuk mengajar tanpa gangguan, manakala murid-murid
pula dapat memenuhi keperluan mereka untuk mendapat suasana pembelajaran yang
teratur dan tenang.

RUJUKAN

Haliza Hamzah, Joy Nesamalar Samuel. (2016). Pengurusan Bilik Darjah dan Tingkah Laku
Edisi Kedua. Selangor Darul Ehsan: Oxford Fajar Sdn. Bhd.

You might also like