You are on page 1of 4

Bioteknologi Pertanian

Skop Penyelidikan

Bioteknologi pertanian telah dikenalpasti sebagai salah satu teknologi penting yang
diperlukan dalam proses transformasi pertanian. Kepakaran dalam pelbagai bidang
bioteknologi pertanian seperti biologi molekul, kejuruteraan genetik, diagnostik, teknologi
bioreaktor dan biokeselamatan dapat menjana teknologi terkini dalam sektor pertanian.

Terdapat tiga skop penyelidikan di bawah kluster bioteknologi pertanian iaitu:

1. Biologi Molekul dan Kejuruteraan Genetik (BT01)

Skop Penyelidikan

1. Biologi Molekul dan Kejuruteraan Genetik

Biologi Molekul dan Kejuruteraan Genetik berperanan untuk membangun dan


mempromosikan teknologi kejuruteraan genetik bagi meningkatkan kualiti dan produktiviti
tanaman dan hasilannya. Di antara teras penyelidikan yang terlibat adalah teknologi omik,
kejuruteraan genetik tumbuhan, teknologi kultur tisu dan penanda molekul.

Teknologi ’Omics’ merangkumi disiplin yang luas seperti sains dan kejuruteraan genetik
untuk menganalisis perhubungan interaksi maklumat biologi termasuk genomik, proteomik
dan metabolomik. Matlamat utama ’Omics’ ialah pemetaan gen-gen, protein dan metabolit;
memanipulasi tapakjalan untuk memahami jaringan pengawalaturan sistem biologi.

Kejuruteraan genetik tumbuhan membolehkan manipulasi gen dalam keadaan terkawal


terhadap sesuatu tumbuhan dengan tujuan penambahbaikan hasil, meningkatkan kandungan
bahan aktif berfaedah, kerintangan terhadap penyakit dan serangan serangga perosak serta
toleransi terhadap keadaan persekitaran melampau.

Kultur tisu pula melibatkan pertumbuhan dan pemeliharaan sel, tisu dan organ primordial
secara in vitro untuk penghasilan bahan tanaman tulen/klon, pembiakan mikro,
pembiakbakaan tumbuhan secara besar-besaran dan penghasilan bahan tanaman bebas
penyakit. Proses ini juga diperlukan dalam transformasi dan kejuruteraan genetik tumbuhan.

Penanda biomolekul merupakan fragmen DNA yang boleh dikenalpasti pada lokasi yang
spesifik di dalam genom. Ia digunakan untuk menanda kedudukan gen tertentu atau pewarisan
ciri spesifik yang berkait kepada penanda molekul dalam kacukan hibrid. Matlamat utama
adalah untuk membolehkan pemilihan individu-individu yang mempunyai ciri-ciri yang
diingini.

Antara penyelidikan yang sedang dijalankan bertujuan:

1) Meningkatkan kualiti tanaman;

 Pemanjangan tempoh jangka hayat buah betik Eksotika


 Pemanjangan tempoh segar bungaan orkid
 Mengubahsuai warna kulit buah limau bali

2) Menghasilkan tanaman yang rintang terhadap penyakit;

 Menghasilkan baka betik Eksotika rintang terhadap `Papaya Ring Spot Virus’ (PRSV)
 Menghasilkan varieti markisa rintang terhadap virus (Passion fruit Mosaic Virus,
PVMV)
 Menghasilkan buah nenas rintang terhadap penyakit ‘Black heart’
 Menghasilkan varieti padi rintang terhadap penyakit merah padi dan penyakit hawar
seludang

3) Penerokaan bidang genomik dan bioinformatik dalam pencarian gen-gen baru;

 Gen-gen berkaitan peningkatan hasil daripada spesies padi liar O. rufipogon


 Profil ekspresi gen yang terlibat dalam kemasakan buah betik eksotika
 Profil ekspresi gen yang terlibat dalam penghasilan penyakit dieback pada buah betik
 Profil ekspresi gen yang terlibat dalam penghasilan haruman pada bunga cempaka
 Pengasingan gen anti-fungal daripada bakteria dan tumbuhan
 Pengekstrakan bahan anti virus daripada pokok dukung anak

 Gen-gen yang terlibat dalam pembungaan awal pokok duku

2. Biopemprosesan (BT02)

Skop Penyelidikan

2. Biopemprosesan

Penyelidikan dalam bidang Biopemprosesan memfokuskan kepada penggunaan sumber


biologi seperti mikroorganisma, enzim, sel tumbuhan dan haiwan bagi menukarkan bahan
mentah atau substrat kepada pelbagai jenis produk makanan serta produk bukan makanan
baru yang ditambah nilai. Objektif penyelidikan dalam bidang biopemprosesan ialah untuk
menghasilkan teknologi dan produk baru yang mudah, mampu diperolehi serta tahan lama.
Penyelidikan biopemprosesan tertumpu kepada tiga teras utama iaitu teknologi fermentasi dan
mikrob, teknologi enzim, serta teknologi kultur sel dan metabolit tumbuhan.

Teknologi fermentasi dan mikrob melibatkan penggunaan sumber organik oleh


mikroorganisma bagi penghasilan sel mikrob, enzim dan metabolit. Teknologi fermentasi juga
telah digunakan untuk meningkatkan kualiti dan kuantiti produk makanan melalui proses
pengawetan (penapaian) makanan, penghasilan produk baru berasaskan biologi (bahan bio-
ramuan) serta bahan perisa makanan. Kajian teknologi fermentasi dan mikrob kini telah
beralih kepada “pembangunan makanan berfungsi” (functional food) dan makanan yang
berasaskan kesihatan (health oriented food) atau nutraseutikal. Antara kajian yang dijalankan:

 Penghasilan komponen anti-oksidan daripada buah-buahan peraman.


 Membangunkan enzim penghadaman baru daripada sumber mikrob yang diperolehi
daripada makanan peraman tradisional.
 Membangunkan enzim penghadaman daripada buah-buahan dan tumbuhan tempatan.
 Penghasilan komponen anti-kolesterol daripada pemeraman beras merah.
 Membangunkan cendawan tempatan yang berpotensi bagi penghasilan b-glucan.
 Membangunkan hidrolisat kanji sebagai substrat bagi penghasilan bakteria asid laktik
sebagai makanan tambahan.
 Membangunkan penghasilan etanol daripada nira nipah.

Teknologi enzim melibatkan penggunaan enzim bagi menukarkan substrat kepada produk
baru dan mempunyai nilai tambah, memperbaiki citarasa dan ciri fizikal sesuatu produk
supaya ia boleh digunakan dalam proses atau industri seperti industri makanan, kosmetik dan
farmaseutikal. Teknologi enzim telah diaplikasikan bagi menjalankan projek-projek berikut :

 Pengubahsuaian minyak kelapa bagi meningkatkan kandungan monolaurin.


 Bioprospek, penambahbaikan dan penghasilan enzim lipase baru bagi pengubahsuaian
minyak.
 Penambahbaikan minyak kelapa dara dengan ciri antimikrob.
 Penghasilan enzim transglutaminase halal dari Physarum polycephalum menerusi
teknologi rekombinan.

Teknologi kultur sel dan metabolit tumbuhan digunakan bagi menghasilkan produk bernilai
daripada sumber tumbuhan di dalam makmal berbanding di ladang melalui sistem kultur sel
dan bioreaktor. Kaedah ini dapat menjimatkan masa serta mengatasi segala masalah yang
timbul di ladang.

Antara projek penyelidikan yang melibatkan teknologi kultur sel dan metabolit tumbuhan;

 Pembangunan teknologi bioreaktor tumbuhan untuk penghasilan sebatian wangian


daripada Cempaka Putih (Michelia alba)

 Penghasilan produk kaya antioksidan daripada buah-buahan tempatan

3. Biodiagnosis dan Biokeselamatan (BT03)

Skop Penyelidikan

3. Biodiagnosis Dan Biokeselamatan

Penyelidikan dalam bidang biodiagnostik dan biokeselamatan bertujuan bagi memenuhi


keperluan pembangunan dan penghasilan alat diagnostik tempatan untuk diaplikasikan dalam
sektor pertanian dan makanan. Pembangunan teknologi diagnostik dan biosensor memainkan
peranan penting dalam proses pemantauan bahan tercemar dalam makanan dan hasil pertanian
seperti penggunaan antibiotik secara berlebihan bagi haiwan ternakan, mengesan sisa racun
perosak organofosfat di dalam sayur-sayuran dan pengesanan awal penyakit Ganoderma
boninense pada pokok kelapa sawit. Gabungan kedua-dua teknologi ini membolehkan proses
pemantauan dijalankan dengan lebih cepat, tepat, murah dan tidak merbahaya kepada
persekitaran. Penyelidikan tertumpu kepada tiga teras utama iaitu biodiagnostik, biosensor
dan nanoteknologi.

Biodiagnostik menekankan kepada pembangunan produk-produk biodiagnostik tempatan.


Pembangunan produk-produk biodiagnostik ini berasaskan antibodi poliklonal, asid
deoksiribonukleik (DNA) dan enzim. Bagi pembangunan produk diagnostik berasaskan
antibodi poliklonal, proses pengimunan bagi penghasilan antibodi poliklonal perlu dilakukan
di rumah haiwan dan keberkesanan antibodi yang terhasil boleh diuji menggunakan kaedah
asai immunoserapan berangkai-enzim (ELISA) . Bagi produk-produk biodiagnostik yang
melibatkan DNA dan enzim, keberkesanan produk biodiagnostik yang terhasil boleh diuji
menggunakan kaedah tindakbalas berantai polimerase (PCR) dan pengasaian enzim.
Pembangunan produk-produk ini bukan sahaja boleh mengurangkan kos import malah ianya
setanding dengan produk sediada di pasaran antarabangsa.

Biosensor memainkan peranan yang penting khususnya dalam bidang kawalan kualiti dan
keselamatan makanan serta hasil pertanian. Teknologi biosensor merupakan gabungan antara
reseptor biomolekul contohnya antibodi, enzim, mikrob dan jaringan sel dengan
mikroelektronik.Perubahan sifat fizikal-kimia pada reseptor biomolekul tersebut akan
mengekspreskan maklumat yang akan diterjemahkan menjadi isyarat elektronik. Kelebihan
penggunaan teknologi biosensor bukan sahaja pada penjimatan masa dan kos yang jauh lebih
murah, tetapi ianya juga adalah mudah alih di mana penggunaan teknologi ini tidak terhad
hanya di dalam makmal sahaja, malah turut boleh digunakan di kawasan kajian lapangan.

Nanoteknologi merupakan satu bidang penyelidikan baru. Ia didefinisikan sebagai satu


bidang kajian dan penghasilan alat atau perkakas bersaiz nanometer iaitu satu perbililion
meter. Bidang penyelidikan ini tidak hanya terhad kepada bioteknologi sahaja, tetapi ia juga
boleh diperluas dan diaplikasi kepada beberapa cabang penyelidikan lain
termasuk “nanomaterial” dan “nano-chips” yang boleh diaplikasikan dalam proses
pemantauan dan kawalan makanan dan hasilan pertanian.

Antara penyelidikan yang sedang dijalankan bertujuan bagi:

 Mengesan sisa racun perosak organofosfat di dalam sayur-sayuran menggunakan


teknologi sol-gel.
 Mengesan sisa antibiotik dalam produk daging ayam segar.
 Mengesan makanan terubahsuai secara genetik (GM) dalam produk kacang soya.
 Mengesan serangan awal kulat Ganoderma boninense pada pokok kelapa sawit.
 Mengesan bahan pencemar pertanian menggunakan alat biosensor gentian optik.

http://www.mardi.gov.my/biopertanian/skop

You might also like