You are on page 1of 5

MINGGUAN: Sesetengah pihak mengatakan masalah buli melibatkan

pelajar hanya isu terpencil. Benarkah?

LAM THYE: Saya berpendapat masalah ini amat serius kerana statistik
Kementerian Pendidikan menunjukkan terdapat lebih daripada 14,000 kes buli
di sekolah-sekolah di seluruh negara antara tahun 2012 dan 2015 dan
sebahagian besar melibatkan penderaan fizikal.

Timbalan Menteri Pendidikan, Datuk P. Kamalanathan baru-baru ini turut


berkata terdapat peningkatan dalam kes buli yang dilaporkan di sekolah
menengah iaitu daripada 0.06 peratus pada tahun 2015 kepada 0.11 peratus
pada tahun lepas.

Menurut Nobullying.com sebuah forum dalam talian yang bertujuan untuk


menghentikan kes buli, kira-kira 84 peratus kanak-kanak di Malaysia
mempunyai pengalaman dibuli.

Berdasarkan kajian Stop Cyberbullying 2017 di bawah program Digi


CyberSAFE, sekurang-kurangnya satu dalam dua belia mengakui telah
mengalami pembulian siber di Malaysia.

Berdasarkan statistik CyberSecurity Malaysia pula, buli siber dalam kalangan


pelajar berlaku hampir setiap hari dengan 250 kes dilaporkan pada tahun
2012 manakala pada tahun 2013 terdapat 389 kes; 2014 (291 kes); 2015 (256
kes) dan 2016 (338 kes).

Walaupun bilangannya adalah rendah berbanding dengan lebih daripada


lima juta pelajar di seluruh negara, saya ingin menegaskan bahawa statistik
itu hanya berdasarkan kes yang dilaporkan.

Bagaimana kita dapat mengenal ciri-ciri pembuli dan apakah yang


menyebabkan mereka menjadi sedemikian?
LAM THYE: Pembuli ini biasanya merupakan kanak-kanak atau remaja yang
bersifat impulsif dan mudah marah. Mereka akan berasa seronok apabila
melihat mangsa dalam keadaan takut setiap kali bertembung.

Sesetengah pelaku pula kekurangan empati dan gembira melihat orang lain
dalam kesakitan.

Pembuli juga terdorong untuk menunjukkan kuasa dan bangga apabila dapat
menundukkan orang lain.
Kebanyakan kanak-kanak dan remaja terjebak ke dalam jenayah seperti buli
akibat pengaruh negatif rakan sebaya, kurangnya bimbingan ibu bapa,
pengaruh buruk daripada Internet dan penularan unsur-unsur samseng.

Pembuli selalunya berasal daripada keluarga yang pincang, di mana kasih


sayang dan keterbukaan amat terbatas.

Saya percaya ramai pelajar dan belia terlibat dalam buli selepas mereka
menyaksikan sikap agresif ibu bapa mereka terhadap rakan-rakan, adik-
beradik atau ahli keluarga yang lain.

Masalah kesihatan mental juga berkemungkinan menjadi sebab utama


kejadian buli dan keganasan boleh berlaku.

Kajian Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan pada tahun 2015 menunjukkan


kira-kira 4.2 juta rakyat Malaysia yang berumur 16 tahun ke atas, atau 29.2
peratus daripada jumlah penduduk, mengalami pelbagai masalah mental.

Jumlah tersebut membimbangkan kerana ia menunjukkan peningkatan


sebanyak 11.2 peratus berbanding tahun 2006.

Lebih merisaukan, masalah itu turut melibatkan pelajar apabila nisbah mereka
yang menghadapi masalah mental telah meningkat daripada satu dalam 10
orang pada tahun 2011 kepada satu dalam lima individu pada 2016.

Apakah kesan buli terhadap psikologi mangsa? Jika dibuli, apakah


tindakan yang harus dibuat?
LAM THYE: Selain kecedaraan fizikal, mangsa buli juga berkemungkinan
akan berubah secara drastik menjadi pendiam, takut, tidak gembira, muram
atau kurang selera makan. Apa yang lebih membimbangkan adalah kesan
jangka panjang psikologi secara batin seperti kebimbangan, kemurungan dan
cepat putus asa, manakala kesan pada zahir yang boleh dilihat
adalah tingkah laku yang agresif.

Mereka juga menjadi pendendam atau bersikap agresif terhadap orang yang
lebih muda.

Menurut Pensyarah dan Pakar Psikologi, Kolej Universiti Sains Perubatan


Cyberjaya (CUCMS), Profesor Datin Dr. Noran Fauziah Yaakub, mangsa
yang tidak berkelakuan agresif terhadap orang lain akan berubah menjadi
cepat cemas dan tertekan.

Ia juga boleh mendorong mangsa untuk membunuh diri seperti mana yang
dilaporkan di dalam negara dan negara lain seperti Jepun, Korea Selatan,
Kanada, Norway, England, Hong Kong dan Amerika Syarikat (AS).

Menurut Dr. Noran Fauziah, kajian yang beliau jalankan membabitkan 5,000
kanak-kanak di seluruh Malaysia mendapati dua kes mangsa buli berniat
untuk membunuh diri.

Mangsa atau mereka yang melihat aktiviti buli tidak sepatutnya


menyembunyikan kejadian tersebut dan seharusnya melaporkan segera
kepada guru, pensyarah warden atau ibu bapa.

Tidak ada siapa suka dibuli. Tapi mangsa buli biasanya


menyembunyikan apa yang berlaku daripada pengetahuan ibu bapa dan
pihak berwajib. Apa sebabnya?
LAM THYE: Terdapat pelbagai sebab, bergantung kepada di mana ia
berlaku. Di sekolah-sekolah berasrama sebagai contoh, ia telah menjadi satu
budaya yang diwariskan oleh pelajar senior kepada junior.

Pelajar junior sering menjadi mangsa ragging apabila mereka dipaksa untuk
melakukan kerja-kerja seperti membasuh dan menggosok pakaian senior,
melakukan perbuatan yang memalukan selain dihina serta dipukul tanpa
sebab.

Kurangnya pengawasan memudahkan tingkah laku buli berlaku di sekolah


atau IPT. Kebanyakan kes tidak dilaporkan kerana mangsa percaya ia
merupakan sebahagian budaya yang telah diamalkan sekian lama dengan
restu guru, pensyarah atau warden.

Mereka juga takut diejek, dipulau atau dipukul jika melaporkan kejadian buli
tersebut.

Buli di sekolah dan IPT bukan isu baharu. Kenapa masalah itu sukar
dibendung?
LAM THYE: Kajian yang dibuat beberapa pihak menunjukkan peningkatan
kes buli berkait rapat dengan kelemahan dan keruntuhan institusi keluarga.

Menurut Kumpulan Bertindak Ibu Bapa untuk Pelajaran (PAGE), pembuli


datang dari keluarga yang pincang dan memilih pelajar yang lemah untuk
melepaskan geram akibat kurangnya kawalan, kasih sayang atau perhatian di
rumah.

Sikap ibu bapa di rumah juga menjadi ikutan termasuk penggunaan bahasa
kasar dan penghinaan berterusan.

Kanak-kanak yang datang dari keluarga pincang sebegini, di mana


pertengkaran, masalah kewangan, penyalahgunaan dadah dan alkohol
merupakan perkara biasa.

Selalunya mereka akan membentuk kumpulan di sekolah dan mudah


terjebak dalam kegiatan tidak bermoral seperti buli.

Satu lagi sebab mengapa kes buli sukar dibendung adalah kerana
kecenderungan pelajar untuk mendapatkan rasa hormat daripada rakan-rakan
mereka. Pembulian dilakukan kerana mereka percaya ia dapat meraih
populariti daripada rakan-rakan mereka.

Apa yang berlaku di sekolah dan IPT sebenarnya adalah cerminan kepada
keadaan masyarakat pada masa ini yang semakin kurang sikap toleransi
serta mudah bertukar menjadi ganas.

Sesuatu perlu dilakukan segera bagi menghentikan gejala tidak sihat ini
daripada terus berlaku dalam kalangan pelajar. Apakah cadangan Tan
Sri?
LAM THYE: Saya percaya bahawa kerajaan, bersama-sama dengan pihak
berkepentingan yang lain, perlu mencari punca mengapa remaja kita
berkelakuan ganas dan tidak menghormati undang-undang?

Kita memerlukan campur tangan pihak kerajaan dan sokongan daripada


semua pihak berkepentingan termasuk ibu bapa, ahli psikologi dan
pertubuhan bukan kerajaan, untuk membantu menangani masalah ini.

Kes buli boleh dikurangkan jika kita mengambil pendekatan holistik termasuk
menangani masalah kesihatan mental yang melanda masyarakat kita pada
masa ini.

Kementerian Pelajaran, dengan bantuan guru dan kaunselor, perlu mengenal


pasti pelajar terdedah kepada keganasan dan memulakan program
kaunseling intensif.
Program yang bertujuan untuk membantu individu-individu tersebut sebelum
mereka memusnahkan kehidupan seseorang pada masa depan atau
mengambil kehidupan mereka sendiri.

Ibu bapa dan guru perlu menggalakkan anak-anak dan pelajar mereka
melakukan pemeriksaan di hospital bagi memastikan mereka bebas daripada
masalah kesihatan mental, yang dijangka menjadi masalah kesihatan yang
kedua terbesar di Malaysia selepas penyakit jantung pada tahun 2020.

Pihak sekolah dan universiti juga tidak boleh bertolak ansur dengan masalah
disiplin seperti ponteng kelas, salah laku, kecurian dan pergaduhan kerana ia
merupakan bibit-bibit kepada masalah buli dan keganasan.
Semua pihak perlu melihat kelemahan masing-masing dan mengambil
langkah untuk menanganinya dengan baik.

You might also like