You are on page 1of 12

Kelonggaran syarat lulus BM gugat bahasa

kebangsaan
4 JULAI 2017

MELAKA - Kelonggaran syarat kelayakan lulus Bahasa Melayu (BM) di peringkat Sijil Pelajaran Malaysia
(SPM) bagi tujuan lantikan secara kontrak Pegawai Perubatan UD41 di Kementerian Kesihatan mampu
mengganggu gugat kedudukan BM sebagai Bahasa Kebangsaan di negara ini.
Pengerusi Biro Pendidikan Umno, Senator Tan Sri Prof Dr Ibrahim Shah Abu Shah berkata, BM sebagai
Bahasa Kebangsaan telah termaktub di dalam Perlembagaan Persekutuan di bawah Artikel 161 dan
Artikel 152 yang diguna pakai sama ada melalui medium urusan kerajaan atau lain-lain agensi di
Malaysia.
Beliau berkata pihaknya memandang serius kenyataan yang dikeluarkan Ketua Pengarah Kesihatan
Datuk Dr Noor Hisham Abdullah baru-baru ini, berhubung isu berkenaan.
"Jika Bahasa Melayu ini boleh dipermainkan sekarang, sudah pasti banyak lagi perkara di dalam
Perlembagaan Malaysia akan disentuh dan dihapuskan oleh pihak yang tidak bertanggungjawab.
"Seharusnya, sebagai pemimpin di peringkat tertinggi kementerian harus meneliti dan mengkaji kesan
sesuatu keputusan itu dilaksanakan terutama apabila melibatkan perkara yang terkandung di dalam
Perlembagaan Negara," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.
Beliau berkata, ia bukanlah sesuatu perkara yang boleh diubah sesuka hati kerana kesannya akan
berlaku pada 10 atau 20 tahun akan datang.
Katanya walaupun penguasaan Bahasa Inggeris penting bagi menghadapi cabaran pada masa hadapan
terutama bagi mencapai Dasar Transformasi Nasional 2050 (TN50), ia bukanlah alasan untuk golongan
doktor perubatan tidak menguasai BM kerana masih ramai rakyat di negara ini yang tidak fasih
berbahasa Melayu termasuk Adun dan ahli Parlimen.
Ibrahim Shah berkata, penguasaan BM bukan hanya terhad kepada komunikasi tetapi pihaknya yakin
jika ilmu sains dan kedoktoran dapat dikuasai dengan baik dalam bahasa kebangsaan, ia akan mampu
melahirkan ramai doktor profesional dalam kalangan rakyat Malaysia.
Beliau berkata penguasaan BM sudah pasti menjadi lebih penting kepada mereka yang akan berkhidmat
sebagai penjawat awam lebih-lebih lagi golongan perubatan kerana mereka akan menjadi barisan
hadapan berkhidmat kepada rakyat.
"Kita mampu melahirkan generasi pengamal perubatan yang lebih mesra kepada rakyat di negara ini
terutama penduduk di luar bandar yang kurang fasih dalam penguasaan Bahasa Inggeris.
"Pelaksanaan 'Bahasa Jiwa Bangsa' harus terus dipupuk seiring dengan kemajuan teknologi agar rakyat
Malaysia terus disegani dan dihormati bukan sahaja dalam negara, malahan disanjungi masyarakat
dunia," katanya.
Beliau berkata pihaknya tidak mahu negara hanya bergantung kepada Bahasa Inggeris dan lebih
memalukan jika bahasa rojak diguna pakai dalam komunikasi generasi anak muda akan datang.
Katanya, Malaysia telah mempunyai identiti dan acuan tersendiri di dalam kepimpinan di peringkat
tertinggi negara, namun tindakan berkenaan mampu merosakkan generasi akan datang selain akan
merencatkan perjalanan dan proses pembangunan di negara tercinta ini. - Bernama

Sinar Online : http://www.sinarharian.com.my/nasional/kelonggaran-syarat-lulus-bm-gugat-bahasa-kebangsaan-1.697156


Bahasa Melayu, bahasa rojak
SYAJARATULHUDA MOHAMAD ROSLI
2 FEBRUARI 2015

GEORGETOWN - Masih ada segelintir pihak kurang mahir menggunakan bahasa Melayu
dengan betul.
Dakwaan itu disokong apabila masih terdapat papan tanda premis dan papan iklan
menggunakan 'bahasa Melayu rojak' atau bahasa Melayu yang dicampur aduk dengan bahasa
lain. Ikuti tinjauan Sinar Harian di sekitar bandar Georgetown mengenai isu ini.

Pihak berwajib perlu beri contoh baik


Pensyarah Bahasa Melayu Universiti Sains Malaysia (USM), Razalina Md Radzi berkata, bagi
memperkasakan bahasa Melayu, ia bukan hanya dengan cakap kosong sebaliknya pihak
berwajib perlu memulakannya dahulu. Menurutnya, kerajaan perlu menitik beratkan perkara
itu sebelum orang luar memperlekehkan negara kita. “Pihak atasan perlu memainkan peranan
dengan memberi kesedaran serta contoh yang baik. Jika dilihat, menteri sendiri guna bahasa
Melayu yang salah dalam ucapan ketika berucap di hadapan rakyat. “Jika di peringkat atas
tidak cekap menggunakan bahasa Melayu, apa yang akan berlaku kepada rakyat? Mereka
sepatutnya memberi contoh yang baik, guna perkataan dan ayat yang betul. Contoh paling
ketara, kebanyakan menteri suka menggunakan perkataan ‘mereka-mereka’. Mengapa perlu
menggandakan perkataan yang sudah menunjukkan bilangan yang banyak (mereka)?” katanya.

Tunjuk teladan kepada orang luar


Razalina berkata, sebagai rakyat Malaysia, penggunaan bahasa Melayu khususnya di papan
iklan atau papan billboard tidak boleh dipandang ringan. Ini kerana, kini makin ramai pelajar
luar negara yang berminat untuk mempelajari bahasa Melayu dengan lebih mendalam.
“Saya sendiri mengajar ramai pelajar luar antaranya Jepun dan Korea. Mereka beritahu saya,
mereka sangat meminati bahasa Melayu kerana bagi mereka, bahasa kita sangat unik. Mereka
belajar dengan bersungguh-sungguh. Jangan terkejut jika bahasa Melayu mereka lebih baik
dari rakyat Malaysia sendiri.
“Saya agak terkilan apabila pelajar saya mempersoalkan penggunaan ayat di papan kenyataan
dan papan iklan yang mereka lihat disekitar bandar ini. Menurut mereka, mengapa apa yang
saya ajar, tidak sama seperti yang tertera di papan iklan?Contohnya, perkataan Pulau Pinang.
Ada papan kenyataan yang menggunakan bahasa rojak, ayat dalam bahasa Melayu, tetapi guna
‘Penang’ tidak guna Pulau Pinang,” katanya. Menurutnya, usaha guru sepertinya untuk
memartabatkan bahasa Melayu sukar kerana sesetengah pihak tidak menggunakannya dengan
betul dan sesuai.,“Saya dan guru-guru lain sedaya upaya mahu memartabatkan bahasa Melayu
dengan menerapkan penggunaan betul kepada pelajar, namun dengan adanya pihak yang
masih tidak mengendahkan perkara ini, maka usaha kami itu dilihat sia-sia,” katanya

Tindakan perlu diambil


Tinjauan mendapati, masih banyak papan iklan menggunakan 'bahasa rojak' malah ada juga
mempamerkan nya dengan kesalahan ejaan. Mereka seperti tidak bersalah mempamerkan
papan iklan sedemikian. Lebih menyedihkan, papan kenyataan milik Kerajaan Pulau Pinang juga
mempamerkan 'bahasa rojak'. Perkara itu tidak perlu berlaku kerana sebagai kerajaan negeri,
mereka perlu menjadi contoh kepada rakyat tambahan pula, Pulau Pinang adalah negeri yang
menjadi tumpuan pelancong luar.
Guru, M Somunaidu, 29, berkata, kerajaan pusat dan Kerajaan Pulau Pinang perlu mengambil
langkah drastik bagi memastikan penggunaan bahasa Melayu digunakan dengan betul oleh
rakyat.
Menurutnya, ini kerana, ramai pelancong luar datang ke negara ini berminat untuk belajar
bahasa Melayu. “Perkara ini tidak boleh diambil ringan, sebagai rakyat Malaysia, kita perlu
memartabatkan bahasa kebangsaan kita. Kita boleh ambil Jepun sebagai contoh, rakyat mereka
sangat mengagungkan bahasa ibunda sehinggakan siapa sahaja yang mahu berurusan dengan
mereka, perlu belajar bahasa Jepun. “Jika Jepun boleh, mengapa Malaysia tak boleh? Perkara
ini perlu diambil perhatian oleh kerajaan . Mengapa orang luar boleh nampak keistimewaan
bahasa Melayu tetapi bukan kita?” katanya.
Sementara itu, Pegawai Pemasaran, Eddy Elhamddy Eddris, 33, berkata, sikap sesetengah pihak
yang mengagungkan bahasa asing berbanding bahasa kebangsaan amat memalukan.
“Sebagai orang Malaysia, kita perlu bangga dengan bahasa kebangsaan kita. Mengapa perlu
mengagungkan bahasa asing sedangkan bahasa Melayu juga mempunyai banyak
keistimewaan?
“Saya berharap, kerajaan menyedari perkara ini dan mengambil langkah segera agar bahasa
Melayu tidak terus dirojakkan,” katanya.
Pelajar, Mohd Azhari Ajit, 19, berkata, ibu bapa juga memainkan peranan penting dalam
penggunaan bahasa Melayu di kalangan anak-anak mereka. Menurutnya, sikap sesetengah ibu
bapa yang mementingkan bahasa Inggeris sehingga sanggup menghantar anak ke kelas khas
adalah satu faktor mengapa penggunaan bahasa Melayu yang teruk di kalangan remaja masa
kini.
“Sikap ibu bapa yang gemar menghantar anak ke kelas bahasa Inggeris kerana bimbang
ditinggal arus pembangunan amat menyedihkan. Mereka tidak mengutamakan bahasa
kebangsaan malah menyedihkan, langsung tidak tahu tahap penggunaan bahasa Melayu anak-
anak mereka.
“Situasi ini jelas menunjukkan, bahasa Melayu semakin dipinggirkan. Jika bukan kita, siapa lagi?
Jika ini dibiarkan, martabat bahasa Melayu akan runtuh sekali gus akan ditelan zaman,” katanya.

Sumber: Sinar Online http://www.sinarharian.com.my/edisi/utara/bahasa-melayu-bahasa-rojak-


1.356380
KRISIS KEYAKINAN BAHASA MELAYU
SYUKRI SHAARI (pengarang@utusan.com.my)
26 Januari 2017 6:02 PM
BAHASA jiwa bangsa. Itu ungkapan yang sentiasa digunakan setiap kali berbicara
mengenai bahasa Melayu, bahasa kebangsaan negara ini.
Sejak merdeka lagi, kerajaan telah merangka pelbagai program bagi memastikan bahasa
Melayu terus dimartabatkan selaras dengan Perkara 152 (1) Perlembagaan Persekutuan
yang memperuntukkan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan Malaysia.
Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) ditubuhkan pada 1956 bagi tujuan memperkasakan
bahasa Melayu. Tidak setakat itu sahaja, Dasar Bahasa Kebangsaan turut dirangka bagi
memelihara bahasa Melayu.
Pada Oktober setiap tahun pula, DBP akan ‘meraikan’ Bulan Bahasa Kebangsaan dengan
pelbagai program diatur untuk menyemarakkan sambutannya.
Dalam erti kata lain, banyak langkah telah diambil dalam usaha memartabatkan bahasa
Melayu sebagai bahasa kebangsaan negara.
Bagaimanapun, sejak beberapa tahun kebelakangan ini, wujud kebimbangan dalam
kalangan pakar dan pencinta bahasa terhadap masa depan bahasa Melayu.
Kebimbangan itu bertitik-tolak daripada perkembangan semasa yang memperlihatkan
peningkatan dalam penggunaan bahasa Inggeris sebagai bahasa pertuturan harian,
majlis rasmi, termasuklah di papan-papan iklan.
Bukan sahaja pakar bahasa, kebimbangan itu turut dizahirkan oleh Sultan Perak, Sultan
Nazrin Muizzuddin Shah yang pada Oktober tahun lalu bertitah supaya usaha
memartabatkan bahasa Melayu terus diperkasakan.
Pada pandangan bekas Ketua Pengarah DBP, Datuk Dr. Awang Sariyan, isu peminggiran
bahasa Melayu yang berlaku pada hari ini tercetus berikutan krisis keyakinan dalam
kalangan rakyat khususnya generasi muda terhadap penggunaan bahasa kebangsaan itu.
Lebih mengecewakan, menurut Awang, krisis keyakinan itu turut melibatkan sebahagian
pelaksana dasar negara, terutamanya berkaitan Dasar Bahasa Kebangsaan.
Beliau menegaskan bahawa sepatutnya dasar yang telah diputuskan melalui
Perlembagaan, akta serta peraturan diperkasakan secara berterusan dan bukannya
mengurangkan peranan bahasa Melayu.
“Dalam tempoh tertentu sesudah mencapai kemerdekaan, negara kita telah
membangun dengan bahasa Melayu sebagai wahana komunikasinya, seperti digunakan
dalam sistem pendidikan dan pentadbiran.
“Jadi, tiada sebab kita berundur ke belakang, sebaliknya wajar meningkatkan dan
meluaskan peranan bahasa Melayu dalam sektor-sektor yang belum mantap serta
meluas penggunaannya seperti undang-undang dan ekonomi,” katanya kepada Utusan
Malaysia.
Awang yang juga penyandang Kursi Profesor Pengajian Melayu di Universiti Kajian Ehwal
Luar Beijing (BFSU), China menjelaskan bahawa pengalaman negara maju dalam
pemerkasaan bahasa negara harus menjadi teladan kepada kita.
“China misalnya, tetap mengutamakan bahasa kebangsaannya iaitu Mandarin walaupun
penguasaan bahasa asing diberi penekanan.
“Dalam hubungan diplomatik, mereka tetap mengutamakan bahasa Mandarin. Dalam
bidang media, mereka mempunyai media sosial utama yang berwahanakan bahasa
Mandarin, begitu juga dalam urusan pentadbiran semua peringkat,” jelas beliau.
Seorang lagi bekas Ketua Pengarah DBP, Datuk Termuzi Abdul Aziz turut senada dengan
Awang apabila menyelar pemikiran pihak tertentu kononnya penggunaan bahasa
Melayu adalah bersifat ketinggalan dan lapuk kerana dunia hari ini memberi keutamaan
kepada penguasaan bahasa Inggeris.
Beliau menempelak pihak-pihak terbabit apabila menjelaskan bahawa waima negara-
negara maju di Eropah memberi keutamaan kepada bahasa masing-masing.
“Di Eropah, rakyatnya sedar bahawa bahasa itu identiti bangsa mereka. Jadi mereka
angkat, tumpu penggunaan bahasa negara sendiri dan bahasa Inggeris hanyalah bahasa
kedua yang menjadi sokongan.
“Kita sebagai rakyat Malaysia, orang Melayu sendiri tidak guna bahasa Melayu, di mana
identiti kita?” ujar beliau.
Menyedari tindakan drastik perlu diambil bagi mengelakkan bahasa Melayu terus
tersisih, Kumpulan Utusan dengan kerjasama Majlis Perundingan Melayu (MPM) dan
Gabungan Persatuan Penulis Nasional (Gapena) tampil menganjurkan Wacana Bahasa
Melayu Wasiat Keenam Raja-Raja Melayu baru-baru ini.
Wacana tersebut yang antara lainnya menampilkan Penasihat Sosiobudaya Kerajaan,
Tan Sri Dr. Rais Yatim telah mengemukakan resolusi yang menggariskan 18 perkara bagi
memartabatkan bahasa Melayu. Penganjur berjanji akan membawa resolusi tersebut
kepada Majlis Raja-Raja.
Adalah menjadi harapan supaya resolusi tersebut mendapat perhatian raja-raja Melayu
dengan satu ketetapan dapat diambil bagi memastikan krisis keyakinan terhadap bahasa
Melayu beberapa tahun kebelakangan ini dapat diatasi.
Semoga resolusi Wacana Bahasa Melayu Wasiat Keenam Raja-Raja Melayu bukan
sekadar tinggal di atas kertas untuk tatapan umum sahaja tetapi berhasil
mengembalikan ‘kedaulatan’ bahasa Melayu di kedudukan yang sepatutnya selaras
dengan Perlembagaan Persekutuan.

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/rencana/utama/krisis-keyakinan-bahasa-


melayu-1.436503#ixzz5BKNYVodv
© Utusan Melayu (M) Bhd
Mengangkat bahasa Melayu dalam TN50
Rajmah Hasan
15 April 2017 12:05 PM
KETIADAAN dasar jelas tentang bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu, perdagangan,
perundangan dan pembelajaran tinggi menyebabkan bahasa kebangsaan berada di
tahap cacamarba.
Nilai utiliti atau nilai kepenggunaan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan
menyebabkan aspek cinta negara dan cinta negara bangsa semakin merosot dari semasa
ke semasa.
Lebih membimbangkan orang Melayu sendiri ramai tidak boleh bercakap bahasa
Melayu dengan betul. Bahasa Melayu kini boleh dianggap sebagai bahasa
‘melayuinggeris’ yang mencerminkan kerosakan bahasa yang amat serius.
Dasar Program Dwibahasa atau Dual Language Programme (DLP) misalnya dilihat hanya
memperhebatkan bahasa Inggeris, manakala bahasa Melayu tidak digalakkan.
Lantaran tiada pembelaan bersungguh-sungguh maka bahasa Melayu sebagai bahasa
ilmu dan perdagangan terus terabai. Keadaan ini dijangka melarat kepada keadaan yang
mana tanah air kita hilang identiti asas dan kepentingan bahasa sendiri.
Justeru perjuangan memartabatkan bahasa Melayu adalah antara tujuh resolusi yang
akan diserahkan kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pada Kongres
Budaya 2017 diadakan di Universiti Kebangsaan Malaysia hari ini.
Penganjuran Kongres Budaya 2017 ini adalah yang kedua selepas Kongres Kebudayaan
peringkat nasional terakhir diadakan pada 1971, yang dirasmikan Perdana Menteri
Malaysia kedua, Allahyarham Tun Abdul Razak.
Kira-kira 18 resolusi berkaitan kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan
akan dikemukakan pada Kongres Budaya 2017 untuk dipertimbangkan bagi pelaksanaan
Transformasi Nasional 2050 (TN50).
Isu bahasa diketengahkan kerana mutakhir ini banyak pihak tidak menghormati
kedudukan dan martabat bahasa Melayu dalam Perlembagaan Persekutuan. Lebih
menyedihkan apabila orang Melayu sendiri menganaktirikan bahasa Melayu.
Menurut Pengerusi Sektor Memartabatkan Bahasa Melayu Kongres Budaya 2017,
Profesor Datuk Seri Dr. Md. Salleh Yaapar, pihaknya mencadangkan beberapa resolusi
termasuklah mewajibkan semua pihak agar mentaati Wasiat Raja-Raja Melayu yang
menetapkan bahasa kebangsaan ialah bahasa Melayu.
“Kongres juga akan menuntut agar DLP yang secara terang-terangan bercanggah dengan
Dasar Pendidikan Kebangsaan, dan merampas hak bahasa Melayu hendaklah dihentikan
segera.
“Pengalaman negara melaksanakan Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik
dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) untuk meningkatkan prestasi pelajar dalam bahasa
Inggeris terbukti gagal, malah dimansuhkan,” katanya pada pembentangan rumusan
resolusi itu pada Sesi Khas Prakongres Budaya 2017: Pembudayaan Tamadun Tinggi
Dalam TN50 di Universiti Malaya, Kuala Lumpur, baru-baru ini.
Mengulas lanjut, Md. Salleh berkata, pihaknya juga membantah apa sahaja usaha untuk
memperkenalkan dasar dua aliran dalam sistem pendidikan kebangsaan.
Tambah beliau, kongres juga sekeras-kerasnya menolak cadangan mengiktiraf Sijil
Peperiksaan Bersepadu (UEC) anjuran Sekolah Menengah Persendirian Cina (SMPC) atau
mana-mana sistem pentaksiran yang tidak akur dengan kehendak Dasar Pendidikan
Kebangsaan untuk kemasukan ke universiti awam dan perkhidmatan awam Malaysia.
“Kongres juga mahu menuntut agar penggunaan bahasa Melayu sebagai bahasa
perundangan dimantapkan bermula daripada penggubalan undang-undang, Mahkamah
Majistret sehinggalah ke Mahkamah Persekutuan terutama dari segi pengurusan kes
dan penghakiman.
“Semua dokumen, surat perjanjian yang berkaitan undang-undang hendaklah dalam
bahasa Melayu dan versi antarabangsanya hendaklah ada dalam bahasa Melayu,”
katanya.
Md. Salleh berkata, bagi mendaulatkan bahasa kebangsaan, kongres juga akan
mendesak tindakan konkrit diambil agar semua transaksi dan dokumen rasmi dalam
perniagaan dan perdagangan mematuhi peruntukan dalam Perlembagaan Persekutuan.
Selain itu, katanya, kongres turut mendesak supaya salah satu kriteria kenaikan pangkat
pensyarah atau ahli akademik di universiti awam adalah kebolehan mengajar sesuatu
kursus dalam bahasa Melayu dan penerbitan makalah jurnal dan buku dalam bahasa
Melayu.
“Kongres juga mahu mencadangkan warga asing yang datang untuk belajar dan bekerja
di Malaysia perlu menduduki peperiksaan untuk Sijil Kemahiran Bahasa Melayu dengan
Dewan Bahasa dan Pustaka diberi peranan khusus mengendalikan sijil kemahiran itu,”
katanya.
SEMPENA KONGRES BUDAYA 2017 DI UNIVERSITI KEBANGSAAN MALAYSIA HARI INI
1. Bahasa Melayu
- Menolak UEC yang tidak menepati aliran pendidikan
kebangsaan
- Tulisan Jawi jadi komponen utama kurikulum sekolah
- Wujudkan peperiksaan khas bahasa Melayu untuk pelajar
dan pekerja warga asing
2. Warisan Budaya dan Industri Kandungan Kreatif
- Memperbanyakkan aktiviti dan program budaya dalam
industri kreatif
- Dasar Industri Kreatif Negara diaktifkan dan dikaji semula
- Wujudkan dana untuk penerbit, karyawan dan pengeluar
bagi menghasilkan karya berbentuk budaya
3. Warisan Seni Rupa Bangsa
- Giatkan usaha pemuliharaan seni bina tradisional tempatan
- Wujudkan biasiswa untuk pelajar pengajian bidang manuskrip
- Mendigitalkan manuskrip lama Melayu
- Tubuhkan pangkalan data seni bina tradisional
4. Warisan dan Institut Adat Melayu
- Memartabatkan institusi raja Melayu
- Memartabatkan institusi adat Melayu
- Karya sastera diberi penekanan dalam kurikulum pendidikan
5. Pengajian Warisan dan Budaya
- Wajibkan kursus pengajian warisan dan budaya di IPT
- Wajibkan universiti menggunakan bahasa Melayu dalam
hal ehwal pentadbiran
- Wujudkan Dasar Budaya Kebangsaan
- Penyampaian pengajaran wajib menggunakan bahasa Melayu
6. Bina Budaya Ekonomi Bumiputera
- Bahasa Melayu sebagai bahasa ekonomi
- Wajibkan pemegang sektor ekonomi menjalani khidmat nasional
7. Pembudayaan Tamadun Tinggi Dalam TN50
- Mencadangkan penubuhan Majlis Penasihat Kebudayaan
Negara sebagai penasihat pembinaan budaya bangsa
- Pengajian Sejarah Melayu dan manuskrip lama sebagai inti
pati utama pembelajaran di IPT
- Elemen budaya dalam masyarakat berbilang kaum khususnya
Melayu perlu diterapkan dalam pelaksanaan TN50

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/rencana/utama/mengangkat-bahasa-melayu-


dalam-tn50-1.469732#ixzz5BKNu4PAL
© Utusan Melayu (M) Bhd
Cabaran dan masa depan bahasa Melayu
M. Jasni Majed
30 Mac 2017 12:15 PM
PENASIHAT Sosiobudaya Kerajaan, Tan Sri Dr. Rais Yatim antara lain menjelaskan
bahawa pada masa ini orang Melayu sudah hilang budaya dan warisannya. Tambah
beliau, orang Melayu sudah hilang bahasanya. Mereka juga sudah hilang pelbagai
aspek dalam budaya dan menjadi pak turut budaya barat.

Isu tentang bahasa dan kecelaruan berbahasa yang dialami di negara ini ternyata
bukan mudah untuk diselesaikan. Ia berkait rapat dengan osmosis budaya,
keyakinan dan kerapuhan jati diri dalam kalangan masyarakat di Malaysia terutama
golongan muda yang menganggap isu bahasa sangat remeh dan tidak perlu
diperbesar-besarkan, sedangkan ia amat bermakna untuk mengangkat martabat
bahasa, budaya dan nama negara.

Seorang penulis, Zaitul Azma Zainon Hamzah dalam Pelita Bahasa antara lain
pernah menyebut dalam rencananya ‘Bahasa SMS menconteng bahasa standard’
bahawa keghairahan masyarakat kini terutamanya golongan remaja telah mengikis
keupayaan bahasa rasmi negara untuk berada di tahap yang sepatutnya.

Kegilaan remaja dengan bahasa SMS, bertutur bercampur aduk antara bahasa
sendiri dengan bahasa asing memburukkan keadaan dan menjejaskan imej bahasa
sendiri. Malah, dalam rancangan-rancangan realiti televisyen yang berbahasa
Melayu juga mengalami nasib yang sama seolah-olah bahasa Melayu tidak
berperanan langsung.

Penulis yang berpengalaman mengajar subjek Bahasa Melayu selama 30 tahun


dapat menyaksikan pelbagai ragam anak-anak murid dan bekas anak-anak murid
apabila bertemu semula dengan penulis. Walaupun mendapat pangkat A dalam
subjek tersebut dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) suatu masa dahulu, jika
bertemu semula dan bertutur dalam bahasa Melayu, penggunaan bahasa Melayu
mereka sudah mula tunggang-langgang, bercampur-aduk dengan istilah asing dan
sebagainya.

Sikap pelajar-pelajar yang mempelajari bahasa Melayu hanya untuk mendapat


sekeping sijil sahaja tambah memburukkan keadaan. Selepas lulus atau mencapai
kecemerlangan dalam subjek Bahasa Melayu, mereka mengabaikan bahasa
Melayu.

Pernah berlaku seorang juri rancangan realiti televisyen memberitahu penonton


bahawa beliau menggunakan bahasa Inggeris ketika memberi komen kerana
rancangan itu bukan hanya disaksikan oleh orang Melayu tetapi turut digemari oleh
bangsa-bangsa lain di Malaysia.

Alasan ini tidak kukuh kerana semua bangsa boleh bertutur dalam bahasa Melayu
di negara ini kerana subjek Bahasa Melayu wajib dipelajari oleh semua pelajar.

Kongres Budaya 2017 yang bakal diadakan 15 April nanti dijangka dapat merungkai
pelbagai permasalahan tentang bahasa dan budaya di negara ini yang sedang
meruncing. Perbincangan mesti dilakukan untuk mencapai kata sepakat bagaimana
mahu mengembalikan kegemilangan bahasa Melayu dalam arus pemodenan yang
pesat, disertai kemasukan pelbagai teknologi dari luar, pertembungan budaya,
bahasa dan sebagainya.

Usaha-usaha juga mesti dilakukan untuk melindungi budaya yang diwariskan sejak-
temurun tanpa menolak kemasukan budaya luar. Pengaruh budaya luar dapat
ditangkis dengan kemantapan jati diri dan budaya tempatan yang sudah lama
berakar umbi dalam diri masyarakat negara ini.

Guru-guru turut memainkan peranan penting menaikkan imej bahasa Melayu dalam
kalangan pelajar sejak di tadika sampailah ke institusi pengajian tinggi awam dan
swasta. Tugas ini bukan hanya terletak di bahu guru subjek Bahasa Melayu sahaja,
tetapi semua guru yang sewajarnya memahami kedudukan bahasa kita yang
semakin terpinggir.

Masa depan bahasa Melayu bergantung kepada pengamal dan penuturnya. Bahasa
Melayu akan mantap bukan sahaja kerana wujud pertuturan atau komunikasi dalam
kalangan masyarakat, tetapi kualiti berbahasa itu lebih penting.

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/rencana/utama/cabaran-dan-masa-


depan-bahasa-melayu-1.463536#ixzz5BKOM5Mx1
© Utusan Melayu (M) Bhd

You might also like