You are on page 1of 3

Grafik Dalam Pembelajaran

(Oleh: Aminordin bin Che Lah)


Dalam bidang pendidikan, penggunaan grafik sebagai media pengajaran telah
lama digunakan untuk menyalurkan maklumat (Jamalludin & Zaidatun). Penekanan
terhadap penggunaan bahan grafik dalam kaedah pengajaran tradisional bertujuan untuk
meningkatkan proses pengajaran dan pembelajaran (Yusup). Penggunaan grafik dalam
PBK dapat menyampaikan maklumat dengan lebih berkesan kerana segala bentuk mesej
yang diterima oleh manusia melalui penglihatan mempunyai daya ketahanan serta daya
ingatan yang lebih tinggi (Jamalludin, Baharuddin & Zaidatun) sekiranya direka bentuk
dengan tepat (Alesandrini). Selain itu, penggunaan grafik sama ada grafik statik atau
grafik animasi dalam PBK untuk menjadikan konsep dan idea lebih mudah difahami dan
diingat (ChanLin & Chan).
Kajian secara intensif penggunaan grafik dalam pembelajaran berlaku antara
tahun 1960-an dan 1980-an. Kelebihan maklumat berbentuk imej atau grafik, grafik dan
teks berbanding hanya maklumat perkataan apabila dikod dalam memori mengikut Paivio
ialah:
a. Maklumat grafik lebih mudah untuk diingat kembali daripada maklumat
perkataan.
b. Kewujudan kedua-dua kod (iaitu grafik dan perkataan) meningkatkan
kemungkinan mengingat kembali kerana jika salah satu kod hilang dari
memori tetapi satu kod lagi masih ada.
c. Ingatan meningkat apabila grafik dipersembahkan dan digabungkan
dengan teks.
d. Maklumat dapat disimpan lebih lama dalam bentuk imej atau grafik
daripada maklumat berbentuk perkataan.
Penggunaan grafik banyak membantu pemahaman bagi pengajaran berbentuk
abstrak yang sukar difahami oleh pelajar (Taylor), konsep yang tidak dapat diterangkan
dengan teks (Rozinah), tajuk yang sukar (Gropper) dan memudahkan proses ingat
kembali (Alessi & Trollip). Malah Sponder & Hilgenfeld lebih optimis penggunaan
grafik dengan berpendapat grafik boleh digunakan untuk menjelaskan hampir sebarang
fakta, konsep atau prosedur. Penggunaan grafik membolehkan maklumat disampaikan
dengan pantas serta disimpan dalam ingatan untuk tempoh yang lama (Jamalludin &
Zaidatun). Kajian turut mendapati grafik lebih baik berbanding teks untuk mengingat
konsep konkrit (Rieber).
Walaupun penggunaan grafik pada umumnya didapati mampu mempengaruhi
pembelajaran, namun penggunaan grafik dalam pengajaran perlu mengambil kira
kesesuaian peranan grafik dan objektif yang ingin dicapai. Grafik patut digunakan untuk
tujuan pengajaran dan bukan hiasan (Norhashim, Mazenah & Rose Alinda). Grafik akan
membantu pembelajaran sekiranya grafik tersebut berkait dan kongruen dengan bahan
teks tetapi grafik akan mengganggu pembelajaran dan menjemukan sekiranya tidak
berkait dengan teks, terlalu kompleks dan berlebihan, semata-mata perhiasan atau untuk
menghasilkan kesan yang menarik (Willowes; Hazen).
Grafik jika dipilih dengan betul dan tepat dapat menambahkan kefahaman dalam
pembelajaran berbanding hanya menggunakan teks kerana dalam keadaan tertentu
grafik dapat mengurangkan kepayahan membaca teks (Levie & Lentz; Schwier &
Misanchuk; Rieber), membantu menumpukan perhatian serta dapat membantu
memahami perkaitan antara konsep (Mayer) dan meningkatkan keberkesanan dalam
proses pembelajaran (Norhashim, Mazenah & Rose Alinda).
Kajian ke atas golongan dewasa mendapati apabila mereka didedahkan dengan
grafik yang releven sama ada sebelum atau semasa sesi pembelajaran memudahkan
pembelajaran sains terutama bagi pembelajaran konsep yang rumit. Penggunaan grafik
juga didapati membentuk sikap yang lebih positif terhadap pelajaran dan merangsang
imej mental pelajar bagi bahan pelajaran yang baru (Rigney & Lutz).
Pembelajaran akan menjadi lebih bermakna sekiranya maklumat teks
digabungkan bersama maklumat grafik berbanding pembelajaran melalui maklumat teks
sahaja. Kedua-dua teori ini mencadangkan teks dan perkataan akan mengaktifkan sistem
mengekod dengan cara yang berbeza. Apabila maklumat dikodkan dalam dua cara,
(sistem verbal dan sistem visual) kemungkinan mengingat kembali adalah tinggi dan
kekal lama. Keadaan ini berlaku disebabkan terdapat dua perwakilan mental yang saling
melengkapi, maka pelajar lebih mudah membina hubungan rujukan (Mayer & Anderson)
dengan mengintegrasikan perwakilan visual dan perwakilan verbal (Mayer). Oleh itu,
maklumat grafik (dikodkan dalam dua cara) memudahkan dan mempercepat pencapaian
sesuatu tugas pembelajaran.
Maklumat teks dan grafik yang dipersembahkan serentak akan meningkatkan
kemungkinan pelajar membina hubungan antara perwakilan mental verbal dan visual,
manakala persembahan grafik dan teks secara berasingan berkemungkinan menyukarkan
pelajar membentuk hubungan rujukan (Mayer & Sim). Oleh itu, pembelajaran menjadi
lebih bermakna apabila grafik membekalkan maklumat yang lebih banyak atau
melengkapkan maklumat teks yang kurang jelas (Park & Hannafin).
Dapatan kajian Arnold dan Dwyer mendapati menggabungkan grafik bagi
maklumat teks fisiologi jantung menghasilkan pencapaian yang tinggi bagi pengetahuan
dan ujian kefahaman ke atas pelajar sekolah tinggi. Selain itu, pelajar memperoleh
pencapaian yang memberangsangkan (Mayer & Anderson; Mayer & Moreno) dan
membantu proses ingat kembali (Mayer; Hooper & Hannafin) apabila didedahkan
maklumat grafik dan teks secara serentak. Keadaan ini mengikut Mayer, grafik dapat
membantu menumpukan perhatian serta memahami perkaitan antara konsep. Selain itu,
kajian Mayer & Gallini dan Winn turut menyokong kelebihan menggabungkan grafik dan
teks.
Pembelajaran bahasa kedua dalam persekitaran pembelajaran multimedia yang
menggabungkan maklumat teks dan grafik juga menunjukkan kesan positif terhadap
pencapaian dan proses ingat kembali (Mayer, Chun & Plass). Dapatan ini secara
umumnya menunjukkan pelajar secara aktif memilih maklumat verbal dan visual,
kemudian menyusun maklumat ke dalam perwakilan mental yang koheren, dan
mengintegrasikan kedua-dua perwakilan mental tersebut.
Satu kajian oleh Norizan bagi topik Sistem Peredaran Darah konsisten dengan
dapatan kajian di atas. Pencapaian pelajar lebih tinggi apabila maklumat teks
dipersembahkan secara bersama dengan grafik. Pelajar berupaya memproses maklumat
teks dan grafik secara serentak tanpa perlu mencari maklumat tertentu dan padankannya
secara mental dengan maklumat lain yang berkaitan. Oleh itu beban kognitif adalah
rendah.
Walaupun menggabungkan grafik dan teks dalam penyampaian diakui
mendatangkan kesan positif ke atas pembelajaran, tetapi keberkesanannya bergantung
kepada tahap pengalaman pelajar (Mayer & Sim), tugas pembelajaran (Rieber & Kini)
dan kemampuan pelajar membentuk perwakilan mental yang tepat (Bennet & Dwyer).
Satu tinjauan penggunaan grafik di dalam perisian pendidikan di Malaysia, Abtar
Kaur mendapati hanya tiga daripada lapan perisian yang ditinjau mempunyai grafik yang
sesuai dengan kandungan pelajaran manakala yang lain-lainnya menggunakan grafik
semata-mata untuk tujuan perhiasan. Tambahnya, walaupun keseluruhan perisian yang
ditinjau sangat kreatif dan padat dengan grafik tetapi tidak bernilai dari aspek pengajaran.
Kajian Sabrina bagi topik Pecahan mendapati penggunaan bahan grafik telah
meningkatkan pencapaian pelajar dan perubahan sikap yang lebih baik. Begitu juga,
kajian Toh mendapati grafik memudahkan pelajar memahami pengetahuan prosedural.
Dapatan kajian ini jelas menunjukkan bahawa penggunaan bahan grafik yang sesuai
amatlah penting bagi menentukan objektif pelajaran dapat dicapai. Manakala sebarang
grafik yang tidak kongruen dengan teks berpotensi mengganggu pembelajaran (Rieber).

You might also like