You are on page 1of 4

KARANGAN 11 : PERANAN IBU BAPA MEMBENTUK KELUARGA BAHAGIA

Pendahuluan:

•Keluarga merupakan institusi yang amat penting dalam sesebuah masyarakat.

•Keluarga juga merupakan wahana kebahagiaan dalam kehidupan seseorang

•Daripada keluarga, terpancarnya sinar kasih sayang antara ahlinya.

•Daripada keluarga, lahir rasa menghormati dan saling memerlukan yang tidak terucap.

•Daripada keluarga, lahirnya insan yang bertanggungjawab terhadap dirinya serta kepada insan lain
yang memerlukan.

•Baiti Jannati’ atau ‘Rumahku Syurgaku’ - rumah merupakan tempat terperciknya sinar kebahagiaan
dalam kehidupan seseorang.

•Rumah tangga yang bahagia dan ceria akan melahirkan warga yang juga memiliki ciri-ciri kejiwaan yang
sihat seperti gembira, yakin akan kebolehan diri dan sebagainya. Seseorang yang dibesarkan dalam
keluarga yang bahagia akan sentiasa dihargai dan diberi sokongan moral dalam apa-apa jua perkara
yang dilakukannya. Galakan dan perangsang daripada ibu bapa yang penyayang dan adik-beradik yang
memahami akan membentuk jati diri yang sempurna dalam kalangan ahli keluarga itu.

•Setiap ahli dalam sesebuah keluarga itu perlu bersedia memainkan peranan masing-masing untuk
saling bertolak ansur, saling memahami serta saling menghormati antara mereka. Apabila sifat ini dapat
diwujudkan oleh setiap ahli dalam sesebuah keluarga, maka suasana yang harmoni akan dapat
diwujudkan.

Persoalannya………………..

Isi

1. Sebagai suri teladan kepada anak-anak

- Peranan ibu bapa dalam usaha membentuk keluarga sakinah adalah amat penting. Ibu bapa perlu
menjadi ‘role-model’ kepada anak-anak. Mereka harus sentiasa menunjukkan teladan yang baik untuk
dicontohi oleh anak-anak.
-Sebagai contoh, seorang bapa perlu berinteraksi dengan sopan dan lemah-lembut dengan isteri dan
anak-anaknya. Ibu dan bapa juga perlu saling menghormati antara satu sama lain. Apabila anak-anak
melihat keharmonian kedua-dua orang tua mereka, mereka juga akan meneladani sikap baik itu apabila
berinteraksi sesama mereka kerana bapa borek, anak rintik.

-Contoh yang negatif diperlihatkan oleh ibu bapa kepada anak-anak, seperti pertengkaran, maki hamun
serta penderaan suami terhadap isteri bukan sahaja akan menjejaskan perkembangan jiwa anak-anak,
tetapi juga akan menjejaskan hubungan dalam kalangan anak-anak. Mereka juga akan sentiasa
bertengkar dan tidak menghormati satu sama lain. Jika hal ini terjadi, rumah akan menjadi neraka
kepada anak-anak. Apabila kebahagiaan di rumah tidak dapat dinikmati, maka anak-anak akan berusaha
mendapatkannya daripada kawan-kawan dengan berpelesiran serta melepak di pusat-pusat beli belah.
Adalah lebih malang lagi jika apabila anak-anak itu berumah tangga kelak, mereka akan mengulangi
sejarah yang tidak berkesudahan yang telah diwarisi oleh mereka daripada kedua-dua orang tua
mereka.

2.Melengkapkan diri dengan ilmu keibubapaan

-Ibu bapa perlu melengkapkan diri mereka dengan pengetahuan keibubapaan bagi memahami
tanggungjawab besar yang terletak di atas bahu mereka dalam memastikan kebahagiaan keluarga
mereka.

-Hal ini boleh dilakukan oleh bakal-bakal ibu dan bapa dengan mengikuti kursus-kursus praperkahwinan
serta kursus selepas berkahwin yang dikendalikan oleh pejabat agama daerah masing-masing. Dalam
kursus-kursus tersebut, suami isteri akan mendapat ilmu untuk melahirkan sebuah keluarga yang
bahagia melalui ceramah dan bengkel-bengkel yang dikendalikan oleh penceramah-penceramah yang
berwibawa. Selepas mendapat ilmu tersebut, perkara yang lebih penting adalah bagi mereka
mempraktikkannya untuk melahirkan sebuah rumah tangga yang penuh dengan sinar kebahagiaan.

3.Memberikan perhatian dan kasih sayang/meluangkan masa

-Pada era yang penuh dengan persaingan yang sengit ini, masyarakat bertambah sibuk dengan usaha
mencari nafkah bagi meningkatkan taraf hidup masing-masing. Hal ini disebabkan kos sara hidup masa
kini yang semakin meningkat.

- Statistik telah menunjukkan bahawa hampir 90 peratus ibu yang bekerja hanya bercakap dengan anak-
anak mereka selama empat minit sehari. Hal ini merupakan perkara yang amat menyedihkan kerana
anak-anak merupakan golongan yang memerlukan kasih sayang dan perhatian yang secukupnya
daripada ibu bapa mereka. Hukuma-hakama Arab pernah mengatakan anak- anak yang kehilangan kasih
sayang daripada ibu bapa yang sibuk adalah yatim. Oleh itu, demi membentuk keluarga yang bahagia,
ibu bapa yang merupakan peneraju kehidupan dalam sesebuah keluarga perlu meluangkan masa yang
berkualiti bersama-sama dengan anak-anak mereka.
- Pada masa ini, kerajaan telah mengumumkan hari Sabtu sebagai cuti umum. Manakala pihak swasta
pula turut memberikan pelepasan kepada para pekerja mereka pada Sabtu pertama setiap bulan.
Seharusnya, ibu dan bapa merebut kesempatan ini untuk bermesra dengan keluarga sambil merehatkan
minda setelah penat bekerja. Menghabiskan waktu cuti dengan berkelah atau berekreasi bersama
keluarga akan memberi peluang kepada ahli keluarga untuk berhibur di samping meluangkan masa
untuk mengeratkan hubungan di antara mereka. Sekiranya masa yang berkualiti untuk bersama-sama
dengan anak-anak, tidak mustahil kebahagiaan dalam sesebuah keluarga akan dapat diwujudkan

4. Memberikan didikan agama dan moral

- Didikan agama dan moral yang sempurna dalam kalangan generasi muda juga dapat menyumbang ke
arah pembentukan sebuah keluarga yang bahagia. Hal ini disebabkan, pegangan agama serta nilai moral
yang kuat dapat membentuk nilai sahsiah yang tinggi di kalangan generasi muda. Kualiti ini akan
melahirkan ibu dan bapa yang bertanggungjawab serta dapat memikul tugas membangunkan rumah
tangga dengan efektif. Golongan yang berpendidikan agama ini akan mampu mewujudkan
persefahaman dan perasaan tolak ansur sesama suami isteri. Kesabaran kerana iman yang tebal juga
akan mengelakkan keluarga daripada bercerai-berai disebabkan alasan yang kadangkala tidak
munasabah.

- Sebagai ibu dan bapa, kita perlu memberi didikan agama yang kukuh serta menerapkan nilai-nilai
akhlak dan moral dalam kalangan anak-anak. Anak-anak yang sopan akan menghormati orang tua
mereka serta saling bekerjasama sesama adik beradik bak kata peribahasa, yang berat sama dipikul,
yang ringan sama dijinjing dan hati kuman sama dicecah, hati gajah sama dilapah. Maka, jika semangat
ini dapat diwujudkan dalam jiwa setiap ahli keluarga oleh ibu bapa, sudah pasti sebuah keluarga yang
mantap dan harmoni akan dapat dilahirkan.

5.Mengawasi perlakuan dan memantau kegiatan anak-anak

- Ibu bapa harus mengawasi perlakuan dan memantau kegiatan luar anak-anak supaya mereka yang
baru berumur setahun jagung, darah setampuk pinang tidak terjebak dalam kancah negatif. Ibu bapa
harus memastikan anak-anak tidak bergaul dengan rakan sebaya yang buruk akhlak. Keluarga yang
bahagia akan sentiasa menjaga maruah ahli keluarganya. Anak-anak tidak akan terjebak dalam kancah
kehinaan jika mendapat pemantauan yang rapi daripada ibu bapa kerana perbuatan mereka itu akan
menconteng arang ke muka ahli keluarga dan sekali gus akan meruntuhkan kebahagiaan yang dikecapi

6. Setiap ahli keluarga saling menghormati antara satu sama lain.

-Ahli keluarga sewajarnya mengelakkan daripada mencetuskan pertelingkahan terutamanya antara ibu
bapa dengan anak-anak kerana keluarga bahagia tidak seharusnya ada sikap seperti ini dan hal ini boleh
mencemarkan nama baik keluarga secara tidak langsung.Ramai orang mengatakan bahawa keluarga
yang bahagia ialah keluarga yang harmoni,aman dan damai.Sebagai ahli keluarga yang prihatin dan
mengambil berat terhadap keluarga,mereka haruslah mewujudkan situasi ini dalam keluarga agar
keluarga kita dihormati oleh masyarakat luar dan tidak dipandang serong serta dipandang hina.Ahli
keluarga haruslah bahu-membahu antara satu sama lain. Seandainya dalam keluarga itu ada seorang
yang lemah dalam subjek Matematik,haruslah dibantu oleh adik beradik yang lain kerana sikap bantu
membantu ialah sikap yang baik dan mulia. Orang yang kedekut ilmu selalunya merupakan orang yang
rugi kerana mereka tidak ingin membantu memajukan generasi akan datang,malah mereka lebih rela
melihat generasi akan datang dipijak oleh penjajah.Kita haruslah mengamalkan sikap "berat sama
dipikul ringan sama dijinjing" dan "ke gunung sama didaki,ke lurah sama dituruni".Tegasnya,setiap ahli
keluarga bahagia di samping membangunkan generasi akan datang agar sesebuah institusi keluarga itu
menjadi keluarga

Penutup

- Keluarga yang harmoni dan bahagia hanya akan dapat diwujudkan jika setiap individu yang
menganggotainya telah melalui pelbagai proses pemupukan kejiwaan yang berkesan sejak kecil.
Kesediaan setiap anggota untuk bersedia berkorban dan bertolak asur sesama mereka akan
memudahkan proses pemupukan keluarga harmoni dan bahagia ini. Sesungguhnya keluarga bahagia
merupakan asas pembentukan masyarakat yang penyayang dan masyarakat yang maju. Jika pincang
keluarga maka pincanglah masyarakatnya. Semoga impian negara untuk mewujudkan masyarakat yang
penyayang akan dapat direalisasikan demi kebaikan barsama

You might also like