You are on page 1of 15

Pengenalan- Pembinaan Negara Bangsa

Pembinaan negara bangsa merupakan suatu asas yang disandarkan bagi menggapai
kelangsungan taraf negara maju. Melalui konsep ini, sesebuah negara akan menjadi lebih kuat
dengan corak mentaliti dan kesepaduan yang ada dalam diri masyarakat tersebut. Sistem
pendidikan merupakan medium yang terbaik untuk digunakan bagi merealisasikan impian ini. Hal ini
demikian kerana pendidikan merupakan asas transisi kepada penghasilan modal insan untuk
memacu ke arah pembinaan negara. Tanpa pendidikan, proses pembinaan negara yang diimpikan
tidak akan tercapai dengan jayanya. Dalam konteks pembinaan negara bangsa, pendidikan
merupakan satu pendekatan yang terbaik bagi memastikan perencanaan konsep negara bangsa itu
menjadi satu kenyataan. Dalam hal ini, negara memerlukan pendidik yang seimbang dari setiap
aspek seperti jasmani, rohani, emosi dan intelektual.

Hal ini menuntut agar warga pendidik peka dengan konsep negara bangsa yang menekankan
kewujudan sebuah negara yang berdaulat dengan rakyatnya hidup bersatu padu menerusi satu
identiti yang sama tanpa menghilangkan identiti asal setiap kaum. Bertunjangkan semangat
perpaduan antara kaum yang diwarisi sejak separuh abad yang lalu, pendidik boleh bertindak
sebagai instrumen untuk menerapkan konsep negara bangsa ke dalam sanubari setiap
warganegara. Walaupun timbul pelbagai cabaran dalam usaha merealisasikan negara ke arah
mencapai status tertinggi, golongan pendidik harus bersiap siaga untuk menangani setiap isu yang
timbul. Antara isu yang dilihat paling ketara dalam proses pembinaan negara bangsa, termasuklah
isu bahasa, kebudayaan, pendidikan dan demokrasi. Fokus perbincangan kali ini akan
mengetengahkan keempat-empat isu yang sering dikaitkan berlandaskan konsep dan pengertian
pembinaan negara bangsa. Selain itu, satu kupasan turut diketengahkan berkaitan cabaran dan
pendekatan yang diambil bagi menyelesaikan isu-isu yang berbangkit dengan bersandarkan kepada
perkembangan dunia pendidikan di Malaysia.

2.0 Konsep dan Pengertian Negara Bangsa

Negara bangsa merupakan suatu keadaan tertinggi yang ingin dijelmakan oleh sesebuah negara.
Konsep ini mengetengahkan gabungan makna daripada dua frasa menjadi satu pengertian iaitu
frasa negara dan frasa bangsa. Berdasarkan autoriti Kamus Dewan Edisi Keempat, negara merujuk
kepada suatu komuniti yang menduduki kawasan tertentu dan diperintah oleh kerajaan manakala
frasa bangsa merujuk kepada suatu komuniti yang mempunyai identiti budaya, fahaman, agama
dan bahasa tersendiri. Tuntasnya, konsep negara bangsa dilihat sebagai bangsa idaman yang
diimpikan oleh sesebuah negara melalui konsep satu bangsa, satu identiti. Secara ilmiahnya,
konsep ini menjurus kepada sebuah negara yang berdaulat dengan rakyatnya hidup bersatu padu
tanpa dipisahkan oleh sentimen perkauman, keturunan, agama, bahasa, budaya, wilayah dan
sebagainya yang dilihat boleh membawa kepada perpecahan. Berakarumbikan semangat
perpaduan, konsep negara bangsa cuba direalisasikan melalui Wawasan 2020 yang mengimpikan
Malaysia berstatus negara maju pada tahun 2020. Hal ini merujuk kepada buah fikiran yang
diutarakan oleh mantan Perdana Menteri Keempat, Tun Dr. Mahathir Mohamad dalam
pembentangan kertas kerja beliau yang bertajuk, Malaysia: Melangkah ke Hadapan, pada 28
Febuari 1991.

Matlamat utama pembinaan negara bangsa adalah mencapai status negara maju pada tahun 2020.
Bagi mencapai matlamat ini, masyarakat harus sedar bahawa perpaduan adalah teras utama yang
menunjangi konsep ini. Oleh sebab itu, pelbagai aspek perlu diberikan penekanan khususnya yang
berkaitan dengan semangat perpaduan kerana tanpa kesepakatan dan permuafakatan dalam
kalangan masyarakat, sudah pasti hasrat mencapai taraf negara maju menemui jalan buntu.
Sekiranya komuniti hari ini mampu bersatu hati dalam semua perkara, maka usaha untuk
memajukan negara menjadi semakin mudah. Hal ini demikian kerana kekuatan sesebuah negara
bukan sahaja bergantung kepada struktur pentadbirannya semata-mata tetapi ia turut dinilai melalui
kekuatan moral yang dimiliki oleh sesebuah masyarakat yang mendiami di dalam sesebuah negara
tersebut. Oleh hal yang demikian, masyarakat harus bersedia untuk berfikiran liberal dengan melihat
setiap perangkaan yang dirancang oleh pihak kerajaan adalah demi kebaikan bersama.
Jepun merupakan satu model terbaik yang telah berjaya dalam pembinaan negara bangsa. Hari ini,
Jepun merupakan salah sebuah negara termaju di dunia dan disegani oleh segenap masyarakat
antarabangsa khususnya di benua Asia. Keupayaan yang dimiliki oleh Jepun pada hari ini adalah
hasil kesepaduan masyarakat mereka yang bersedia dan sanggup berada dalam kelompok satu
identiti. Oleh sebab itulah, masyarakat dunia tidak berasa hairan dengan kekuatan yang dimiliki oleh
Jepun khususnya ketika Jepun menyerang Amerika Syarikat dan British pada Perang Dunia Kedua.
Tanpa berjaya membina negara bangsa, sudah pasti agak mustahil untuk Jepun berani menyerang
negara kuasa besar dunia seperti Amerika Syarikat dan British dan mencapai taraf negara maju.

Melihat pada keadaan semasa, konsep negara bangsa dilihat alternatif paling efektif dalam
merealisasikan impian yang dibina. Melalui konsep ini, masyarakat disemai dengan semangat
patriotik yang tinggi bagi melahirkan masyarakat yang sanggup berkorban apa sahaja demi
kepentingan dan kemajuan negara. Kesepaduan dan pemuafakatan yang terjalin dalam kalangan
sejagat akan memudahkan misi dan visi untuk mencapai taraf negara maju yang hanya tinggal satu
dekad sahaja lagi sebelum tempoh yang ditetapkan dalam wawasan 2020 terlaksana. Oleh sebab
itu, Tun Dr. Mahathir turut meletakkan asas untuk mencapai impian ini perlu dilihat melalui
kesanggupan dan kesediaan masyarakat dalam membentuk generasi yang liberal dan bertolak-
ansur serta bebas mengamalkan adat, kebudayaan dan agama masing-masing. Dalam hal ini,
corak mentaliti umum adalah tunjang utama yang perlu diubah agar tidak wujud pertikaian dan
persoalan berbangkit ketika usaha pembinaan negara bangsa dilakukan.

Sememangnya tidak dapat dinafikan, banyak isu yang berbangkit sepanjang proses pembinaan
negara bangsa dilaksanakan. Hal ini termasuklah isu bahasa, kebudayaan, pendidikan dan
demokrasi. Isu bahasa merupakan isu yang sering dibangkitkan oleh masyarakat kita khususnya
dalam kalangan yang optimis terhadap bahasa kaum masingmasing. Mereka menafikan usaha
kerajaan untuk mengangkat satu bahasa sebagai satu identiti bagi satu bangsa kerana bimbang
bahasa ibunda mereka tergugat. Isu kebudayaan pula menampakkan kesukaran kepada pihak
kerajaan untuk menyatukan kesemua kebudayaan yang ada untuk dilabelkan sebagai satu identiti.
Masyarakat kita pada hari ini masih lagi tidak memahami konsep negara bangsa kerana mereka
tidak sanggup untuk berkongsi budaya dengan meletakkan kebudayaan yang ada sebagai hak milik
bersama. Selain itu, isu pendidikan cuba dibangkitkan oleh sesetengah aktivis kaum yang menuduh
kerajaan cuba memanipulasikan sistem pendidikan demi memartabatkan satu kaum sahaja.
Sementara itu, isu demokrasi yang dilaksanakan melalui sistem pemerintahan di Malaysia dikatakan
tidak telus dan kerajaan cuba menggunakan sistem ini untuk kepentingan sendiri. Natijahnya, wujud
politik berunsur perkauman yang menyukarkan lagi proses pembinaan negara bangsa dilakukan.

Justeru, konsep negara bangsa dikatakan perlu dibina dari akar umbi bagi memastikan
kelangsungan proses pembinaannya berlaku secara berterusan. Sistem pendidikan dilihat menjadi
wahana terbaik dalam merealisasikan hasrat ini. Hal ini demikian kerana pendidikan merupakan
asas kepada pembentukan sesuatu bangsa yang berdaulat kerana bangsa yang berdaulat
merupakan bangsa yang berilmu dan berjaya menggunakan akal sebaik mungkin bagi memperoleh
kesempurnaan dalam kehidupan. Perkembangan dalam dunia pendidikan di Malaysia pada hari ini,
menjadi jambatan terbaik dalam menjana generasi yang mampu meletakkan negara bangsa
sebagai teras kemajuan negara. Hal ini merujuk kepada kapasitikapasiti yang terdapat dalam sistem
pendidikan yang membolehkan penekanan diberikan secara berterusan bermula pendidikan rendah
sehingga pendidikan tinggi dalam proses menjana generasi yang diinginkan.

Keupayaan yang kita miliki melalui sistem pendidikan harus dimanfaatkan sebaik mungkin bagi
memastikan setiap perancangan dapat direalisasikan. Sistem pendidikan bukanlah tempat untuk
kita menjalankan ujikaji sebaliknya kita semua harus yakin bahawa perkembangan sistem
pendidikan yang berlaku pada hari ini telah meletakkan keupayaan untuk kita melahirkan generasi
yang betul-betul memahami konsep negara bangsa. Justeru, adalah tidak wajar kita menggunakan
sistem pendidikan sebagai medium untuk menjaga kepentingan pihak-pihak tertentu kerana melalui
sistem inilah akan melahirkan masyarakat yang mampu mempertahankan kedaulatan negara pada
masa akan datang.

3.0 Isu-isu berkaitan Pembinaan Negara Bangsa


Dalam proses pembinaan negara bangsa, gerakan yang dilakukan haruslah selari dengan setiap
matlamat yang digariskan agar setiap cabaran yang mendatang dapat ditempuh dengan jayanya.
Oleh itu, setiap isu yang berbangkit harus dilihat secara klinikal dan tidak boleh dipandang enteng
kerana isu-isu ini menuntut kita melihat cabaran-cabaran yang timbul dan pendekatan yang diambil
sebagai jawapan kepada setiap cabaran. Melalui kajian ini, empat isu dilihat sesuai untuk dikupas
berlandaskan kepada perkembangan sistem pendidikan di Malaysia. Antara isu tersebut adalah isu
bahasa, kebudayaan, pendidikan dan demokrasi yang kesemuanya berakarumbikan integrasi
nasional.

3.1 Isu Bahasa

Bahasa merupakan alat komunikasi yang digunakan oleh manusia dalam perhubungan sesama
jenis. Melalui bahasa, manusia dapat menyampaikan buah fikiran, perasaan dan hasrat kepada
individu lain. Menurut Ghosh (1972), manusia sebagai „social being’ terpaksa hidup dalam
sesebuah masyarakat dan untuk hidup bermasyarakat, manusia perlu menggunakan wahana
bahasa untuk berinteraksi dan berkomunikasi bagi mengeratkan persahabatan dan persaudaraan.

Isu bahasa merupakan suatu isu yang sering dibangkitkan dalam pembinaan negara bangsa. Hal ini
demikian kerana dalam proses pembinaan negara bangsa, bahasa Melayu diangkat sebagai
bahasa rasmi melalui Perkara 152, Perlembagaan Persekutuan. Dalam keadaan ini, struktur bahasa
Melayu dapat dilihat pada legistimasinya sebagai bahasa pengantar tunggal dalam Sistem
Pendidikan Kebangsaan. Sementara itu, bahasa Melayu turut dijadikan sebagai bahasa
Kebangsaan yang meletakkan bahasa Melayu sebagai maruah dan citra negara. Oleh sebab itu,
pelbagai peruntukan sama ada dalam bentuk material (kewangan) mahupun bukan material (dasar-
dasar tertentu) diwujudkan untuk tujuan pemupukan bahasa Melayu. Melihat kepada keadaan ini,
bahasa Melayu dikatakan mempunyai kuasa, pengaruh dan kewibawaan untuk menentukan tempat
dan kekuatannya dalam negara ini.

Hakikatnya, bahasa Melayu sebenarnya ingin dijadikan medium utama sebagai alat komunikasi
dalam membina negara bangsa. Hal ini selaras bagi melahirkan satu bangsa, satu bahasa. Namun
begitu, apa yang dihasratkan sebenarnya kian kabur dari segi pencapaiannya. Kini, bahasa
penjajah mula mengambil alih posisi bahasa ibunda. Kalau sebelum merdeka, British mentadbir
negara dengan meletakkan bahasa Inggeris sebagai bahasa utama, kemudiannya, kita telah
berjaya memartabatkan kembali bahasa Melayu pada era pasca merdeka. Namun begitu, situasi ini
seolah-olah mengulangi semula sejarah lampau setelah timbul persepsi serong segelintir
masyarakat mengenai kedudukan bahasa Melayu dengan bahasa Inggeris berkaitan keperluan
negara dan kepentingan antarabangsa. Konflik kedudukan bahasa ini telah membuka ruang kepada
kaum yang wujud di Malaysia untuk turut sama memperjuangkan bahasa mereka. Konflik ini tidak
hanya berhenti di sini, perjuangan melalui ideologi dan sentimen perkauman digunakan dalam
memartabatkan bahasa kaum masing-masing. Bahasa Inggeris dijadikan „kambing hitam‟ iaitu
sebagai asas perjuangan mereka setelah negara cuba mengangkat bahasa Inggeris sebagai
bahasa kedua demi memenuhi tuntutan semasa. Hal ini berterusan sehingga kini khususnya
kepada golongan yang optimis kepada kaum sendiri tanpa mahu berfikiran terbuka demi
kepentingan integriti nasional.

Siddiq(1991) berpendapat bahawa konsep negara bangsa ini akan wujud apabila timbul
keseragaman dan kesatuan identiti melalui salah satu kesepakatan luar akidah iaitu bahasa
Kebangsaan. Pembinaan negara bangsa sebenarnya akan menghapuskan identiti bahasa sesuatu
kaum kerana dalam konteks ini hanya satu bahasa sahaja yang ingin dilambangkan untuk satu
bangsa. Namun begitu, penghapusan identiti bahasa ini tidak meletakkan penghapusan secara
mutlak kerana ia hanya diimplementasikan dalam konteks pembinaan negara bangsa sahaja.
Dalam erti kata sebenar, bahasa sesuatu kaum itu tidak akan hilang dalam penggunaan kehidupan
seharian tetapi satu bahasa sahaja yang akan dijadikan identiti bagi mewakili semua kaum di
Malaysia.

Tuntasnya, masyarakat kita masih lagi tidak sedar bahawa pembinaan negara bangsa melalui
penggunaan satu bahasa amat penting dalam mewujudkan persefahaman. Menurut Tunku Abdul
Rahman, “kita berhak menghendaki bahasa kita sendiri. Apabila kita mempunyai bahasa
Kebangsaan sendiri, kita akan bersatu dan mempunyai watak sendiri”. Isu bahasa akan terus
menjadi penghalang dalam menjayakan proses pembinaan negara bangsa selagi masyarakat kita
tidak cuba memahami konsep sebenar negara bangsa. 3.2 Isu Kebudayaan

Budaya adalah sesuatu yang melibatkan perlakuan dan tabiat yang dilakukan oleh seseorang.
Namun begitu, apabila perlakuan ini melibatkan ruang lingkup yang lebih besar atau melibatkan
masyarakat maka keadaan ini dipanggil sebagai kebudayaan. Secara ilmiah, kebudayaan
merangkumi pengetahuan, kepercayaan, kesenian, undang-undang, akhlak, adat resam dan lain-
lain keupayaan yang wujud dalam sesuatu komuniti (Mohd Syariefudin,2009). Umum mengetahui
bahawa Malaysia merupakan salah satu negara yang unik di dunia kerana mempunyai masyarakat
yang terdiri daripada pelbagai kelompok ras dan etnik atau dikenali sebagai masyarakat plural.
Kewujudan masyarakat majmuk merupakan satu cabaran yang besar bagi membina sebuah negara
bangsa kerana kemajmukan yang wujud akan menimbulkan pelbagai percanggahan, konflik dan
paksaan. Menurut Furnivall, masyarakat majmuk terdiri daripada pelbagai kaum yang mempunyai
kebudayaan, agama, bahasa dan adat resam tersendiri. Kenyataan ini disokong oleh seorang lagi
ahli falsafah iaitu Van Den Berhe yang berpendapat bahawa masyarakat majmuk mempunyai ciri-ciri
yang boleh membawa impak negatif dalam proses membina sesebuah negara yang aman dan
maju. Hal ini merujuk kepada ciri-ciri setiap kaum yang mempunyai identiti masing-masing.

Namun begitu, pandangan yang diutarakan oleh kedua-dua ahli falsafah ini agak bercanggah
dengan realiti sebenar kehidupan masyarakat majmuk di Malaysia. Sememangnya setiap kaum
mempunyai identiti tersendiri yang harus dipertahankan, namun, keadaan ini tidak pernah menjadi
batu penghalang bagi mewujudkan sebuah negara yang aman dan maju. Malaysia sebagai sebuah
negara yang mempunyai kepelbagaian kebudayaan hasil daripada kepelbagaian kaum dan etnik
melihat proses pembentukan kebudayaan nasional memerlukan perancangan yang teliti dan rapi
bagi mewujudkan corak hidup yang bersifat keMalaysiaan. Perancangan yang dilakukan adalah
berteraskan kepada nilai-nilai murni bagi menjaga pembinaan bangsa dan keutuhan pembinaan
negara. Dalam konteks ini, semua kaum dibenarkan mengamalkan adat dan kebudayaan kaum
masing-masing dan anggota masyarakat diingatkan supaya saling menghormati adat dan
kebudayaan kaum lain. Dasar Kebudayaan Malaysia yang digubal merupakan asas kepada
pemeliharaan dan pemuliharaan sesuatu kebudayaan di Malaysia. Kerajaan optimis bahawa
dengan kelebihan memiliki masyarakat majmuk, menuntut kita untuk meletakkan nilai-nilai
kebudayaan yang wujud dalam satu-satu kaum dikongsi bersama kaum lain bagi mengukuhkan nilai
perpaduan dalam kalangan sejagat.

Rangkumannya, perkongsian nilai-nilai kebudayaan ini akan dapat memastikan kelangsungan


proses pembangunan negara yang mengimpikan taraf negara maju pada tahun

2020. Dasar yang diwujudkan akan menjadi garis panduan dalam membentuk serta mewujudkan
satu bangsa yang bersatu padu serta mengekalkan identiti negara di pentas dunia. Namun
demikian, usaha giat perlu terus dilaksanakan bagi memastikan pembinaan negara bangsa dapat
direalisasikan kerana sehingga hari ini Malaysia hanya berjaya memujuk masyarakat untuk
berkongsi budaya tetapi pada masa yang sama negara masih lagi gagal membentuk satu identiti
kebudayaan bagi bangsa Malaysia.

3.3 Isu Pendidikan

Hari ini, warganegara Malaysia perlu berbangga dengan pendidikan di Malaysia yang bertaraf
dunia. Namun, dalam mengimpikan sistem pendidikan yang mulus dan cerlang, kita perlu melihat
keadaan yang sebenar bermulanya sistem pendidikan di Malaysia. Bagaimana perkembangan
pendidikan di Malaysia bermula dan adakah hala tuju pendidikan di Malaysia menunjukkan keadaan
yang positif? Umum mengetahui bahawa sistem pendidikan di Malaysia sudah bermula dengan
kewujudan sistem pendidikan yang tidak formal sebelum kedatangan British di Tanah Melayu.
Perkembangan sistem pendidikan di Malaysia diteruskan lagi dengan kedatangan British sebagai
kuasa Imprealisme yang memperkenalkan sistem pendidikan yang lebih sistematik dan berformal.
Setelah Malaysia bebas daripada belenggu penjajahan barat pada 31 Ogos 1957, sistem
pendidikan di Malaysia semakin berkembang untuk melahirkan bangsa yang berpengetahuan tinggi.
Bertujuan meningkatkan mutu pendidikan di Malaysia, pelbagai usaha telah dilakukan oleh kerajaan
dengan memperkenalkan pelbagai dasar pendidikan.

Selepas Malaysia memperoleh kemerdekaan pada tahun 1957, langkah utama yang diambil oleh
kerajaan adalah mengubah dasar pendidikan di Malaysia yang dahulunya berteraskan sistem
pendidikan Kolonial. Hal ini jelas menunjukkan bahawa dasar-dasar pendidikan yang diwujudkan
bersandarkan perlembagaan dan undang-undang di Malaysia. Dasar-dasar ini dilaksanakan bagi
mengelakkan wujudnya pertikaian-pertikaian berkaitan hak kaum masing-masing malah Dasar
Pendidikan Kebangsaan telah mengambil kira cadangan laporan sebelumnya iaitu Laporan Fenn-
Wu dan Laporan Barnes. Atas kesedaran inilah, lahir satu Dasar Pendidikan (Pelajaran)
Kebangsaan melalui Penyata Razak 1956 dan dimaktubkan dalam Ordinan Pelajaran 1957. Dasar
pendidikan ini telah disemak semula dalam tahun 1960 yang menghasilkan Laporan Rahman Talib.
Laporan Rahman Talib ini kemudiannya dimaktubkan dalam Akta Pelajaran 1961. Kemudian,
sebuah Jawatankuasa Kabinet telah ditubuhkan dalam tahun 1974 untuk mengkaji semula Dasar
Pendidikan Kebangsaan dengan tujuan untuk memperbaiki pelaksanaannya supaya matlamat untuk
melahirkan satu masyarakat yang bersatupadu dan berdisiplin tercapai serta memenuhi keperluan
sumber tenaga terlatih bagi pembangunan negara. Laporan Jawatankuasa ini telah diterbitkan
dalam tahun 1979.

Kedatangan British sebelum Malaysia merdeka telah memberi impak yang lebih positif terhadap
sistem pendidikan di Malaysia. Pada zaman Kolonial ini, pendidikan formal mula diperkenalkan oleh
British berasaskan Dasar Pecah Perintah. Perkara ini dapat dilihat melalui galakkan British terhadap
penubuhan empat jenis aliran pendidikan sekolah mengikut kaum dan kawasan seperti sistem
pendidikan sekolah Melayu, sekolah Inggeris, sekolah Cina, sekolah Tamil. Melalui Dasar Pecah
Perintah, Dasar Penyekatan, Dasar Terbuka dan Dasar Memelihara Status Quo, tiap-tiap sekolah
bercorak perkauman ini mempunyai dasar, tujuan, kurikulum, bahasa pengantar, sukatan pelajaran,
buku teks dan sekolah-sekolah yang berlainan. Apakah tujuan sebenar British memperkenalkan
sekolah yang bercorakkan sistem pendidikan perkauman? Yang jelas, motif utama penubuhan
sekolah ini adalah untuk mengelakkan kaum-kaum di Malaysia bersatu padu menentang dasar
penjajahan yang telah digagaskan oleh pihak British di Tanah Melayu. Secara ringkasnya,
penubuhan sistem pendidikan bercorak sekolah perkauman menyebabkan kaumkaum terbesar di
Malaysia iaitu kaum Melayu, Cina dan India telah berpecah belah dari segi fahaman dan ideologi.

Penubuhan sekolah yang berbeza aliran ini masih lagi diteruskan sehingga ke hari ini. Malah masih
lagi terdapat konsep pendidikan pada zaman Inggeris digunakan iaitu sistem pendidikan di sekolah
rendah yang menggunakan bahasa ibunda masing-masing sebagai bahasa pengantar utama.
Sebenarnya, sistem pendidikan yang diamalkan oleh penjajah ini berjaya mencapai objektif
penubuhannya kerana sehingga hari ini kerajaan masih lagi gagal menghapuskan sistem
pendidikan ini untuk digantikan dengan sistem pendidikan satu aliran. Hal ini demikian kerana wujud
penentangan daripada kaum lain khususnya kaum Cina yang bimbang pelaksanaan sekolah satu
aliran akan menghapuskan identiti bahasa Cina. Hakikatnya, rancangan penubuhan sekolah satu
aliran bertujuan untuk melahirkan satu bangsa yang mempunyai satu fahaman dan satu ideologi,
masih lagi sukar diterima. Isu penghapusan identiti bahasa sesuatu kaum sepatutnya tidak relevan
untuk dibangkitkan kerana walaupun kerajaan meletakkan bahasa Melayu sebagai bahasa
pengantar utama namun pembelajaran bahasa-bahasa lain tidak pernah disekat.

Konklusinya, konsep sekolah satu aliran juga bertujuan menyeragamkan silibus dan sukatan
matapelajaran yang sebelum ini diatur secara berbeza mengikut aliran masingmasing. Sukatan
pembelajaran yang berbeza sebelum ini telah menimbulkan jurang antara pelajar mengikut kaum
masing-masing. Kaum Cina dikatakan mempunyai pencapaian yang lebih maju berbanding kaum-
kaum lain dalam bidang akademik. Hal demikian kerana pada era penjajahan lagi berlaku revolusi
dan pemodenan di negara China. Natijahnya, kebanyakan sekolah Cina di Tanah Melayu mula
menggunakan sukatan pelajaran yang baru iaitu ajaran Confusius dan Barat. Oleh sebab itu,
kerajaan cuba menyeragamkan sukatan pelajaran yang terdahulu dengan memperkenalkan
Kurikulum Bersepadu Sekolah Rendah (KBSR) dan Kurikulum Bersepadu Sekolah Menengah
(KBSM) di semua sekolah kebangsaan dan sekolah jenis kebangsaan di seluruh negara. Hal ini
bertujuan memastikan semua rakyat mendapat taraf pendidikan yang sama sekali gus merapatkan
jurang pendidikan antara kaum bagi merealisasikan impian membentuk negara bangsa.

3.4 Isu Demokrasi

Demokrasi merupakan suatu bentuk kerajaan yang mempunyai kuasa menggubal undang-undang
dan struktur pentadbirannya ditentukan oleh rakyat. Sesebuah negara atau kerajaan yang
mengamalkan sistem demokrasi dipanggil negara atau kerajaan demokratik. Demokrasi secara
ekstrim boleh dilihat dalam struktur kerajaan seperti Anarkisme dan Komunisme. Namun begitu,
Malaysia mengamalkan Sistem Demokrasi Berparlimen. Sistem pentadbiran yang diamalkan ini
menjadikan Malaysia sebagai salah satu contoh negara yang berjaya mengamalkan Sistem
Demokrasi Berparlimen dengan baik. Sistem Demokrasi Berparlimen merupakan suatu sistem
pentadbiran yang meletakkan perlembagaan sebagai tunjang utama dalam struktur pemerintahan.
Dalam hal ini, undang-undang digubal oleh rakyat atau wakil yang dipilih oleh rakyat melalui
pilihanraya yang diadakan. Secara implisitnya, sistem ini menekankan hak kebebasan asasi dan
kesamarataan tanpa berlaku diskriminasi yang bersandarkan kepada perbezaan kaum, jantina,
keturunan, agama dan status hidup.

Namun begitu, timbul pelbagai persoalan dalam kalangan masyarakat kita yang menyifatkan sistem
pentadbiran yang dijalankan tidak telus dan tidak berlandaskan kepada konsep demokrasi yang
sebenar. Persoalan yang dibangkitkan ini ada asasnya kerana kalau dikaji dengan teliti, sistem
pemerintahan yang sedia ada seolah-olah berpihak kepada sebelah pihak sahaja. Malah,
masyarakat juga boleh merasakan setiap tindakan yang diambil oleh pemerintah adalah untuk
menjaga kepentingan pihak-pihak tertentu. Perlembagaan Malaysia sememangnya ada
memperuntukkan hak kebebasan bersuara kepada masyarakat melalui peruntukan Perkara 10.
Namun begitu, peruntukan ini masih lagi tertakluk kepada beberapa syarat yang digariskan dalam
peruntukan Perkara 10(2), 10(3) dan 10(4). Dari satu segi, sememangnya perlu untuk diwujudkan
peruntukan ini bagi menjamin keselamatan dan keamanan negara serta menjaga kedaulatan
institusi di raja tetapi apabila pelaksanaan peruntukkan ini disalahgunakan oleh pihak-pihak tertentu
maka keadaan ini menimbulkan pertikaian dalam kalangan masyarakat yang merasakan diri mereka
tidak diberi hak untuk bersuara. Contohnya, Akta Universiti dan Kolej Universiti 1971 (AUKU) yang
merupakan salah satu undang-undang yang diluluskan di Parlimen.

Akta ini telah diwartakan pada 24 Febuari 1971 dan diluluskan pada 18 Mac 1971 dan kemudiannya
berlaku pindaan pada 1975 dan 1983. AUKU pada amnya digubal ekoran wujud pelbagai peristiwa
bersejarah yang melibatkan perjuangan gerakan mahasiswa universiti tempatan. Pada awal tahun
1960-an, mahasiswa bergerak aktif di Universiti Malaya dengan tumpuan kepada isu-isu dalam
kampus dan perkara yang melibatkan kebajikan pelajar. Hal ini termasuklah peristiwa Hamid Tuah
berkaitan masalah sosial dan kenaikan yuran pengajian. Penubuhan Universiti Kebangsaan
Malaysia, Universiti Teknologi Malaysia dan Universiti Putra Malaysia pada 1969 mengukuhkan lagi
pengaruh gerakan mahasiswa. Kemuncak kepada gerakan politik kampus berlaku pada 13 Mei
1969 yang menggoncangkan negara. Dalam peristiwa ini, mahasiswa secara terbuka membuat
penentangan kepada pemimpin negara. Suasana kampus menjadi tegang apabila wujud semangat
perkauman yang berpunca daripada krisis politik pelajar berhubung dengan isu anti-Tunku dan isu
perlaksanaan bahasa Malaysia di kampus.

Tuntasnya, AUKU digubal bagi menjaga kelangsungan keamanan dan keharmonian negara. Namun
berapa orang anggota masyarakat yang mengetahui sejarah penubuhan AUKU? Oleh sebab itu,
sehingga hari ini masih lagi wujud pertikaian mengenai sekatan yang diwujudkan di dalam AUKU
sedangkan tindakan yang diambil kerajaan adalah berlandaskan kepada sistem demokrasi yang
diamalkan. Masyarakat kita sebenarnya masih lagi kabur dengan konsep sebenar sistem demokrasi
berperlembagaan yang diamalkan oleh Malaysia.

Pada masa yang sama, masyarakat juga terikat dengan sistem politik perkauman yang wujud di
Malaysia. Struktur politik yang mengamalkan konsep wakil kaum masing-masing telah menyukarkan
usaha mencapai matlamat untuk menyatupadukan rakyat. Di Malaysia terdapat 31 parti politik yang
kebanyakannya berunsurkan perkauman. Sebagai contoh, parti United Malays National
Organization (UMNO) dan Parti Islam Semalaysia (Pas) yang mewakili golongan Melayu, parti
Malaysian Chinese Association (MCA), Democratic Action Party (DAP) dan Malaysian People‟s
Movement (GERAKAN) yang mewakili kaum Cina dan parti Malaysian Indian Congress (MIC) serta
Parti kongres Indian Muslim Malaysia (KIMMA) yang mewakili kaum India. Malah struktur politik di
Sabah dan Sarawak turut dibahagikan mengikut kawasan tertentu seperti Parti Bersatu Sabah
(PBS), United Pasokmomogun Kadazandusun Murut Organisation (UPKO), Sarawak National Party
(SNAP) dan State Reform Party (STAR). Hakikatnya, kehadiran parti politik ini menyukarkan lagi
usaha membina negara bangsa kerana corak dan fahaman parti politik ini adalah berlandaskan
kepada kepentingan kaum yang diwakili.

Kesimpulannya, secara eksplisit struktur masyarakat berpecah mengikut fahaman dan ideologi parti
politik masing-masing. Walaupun dari sudut luaran negara kita aman dan masyarakat dikatakan
bersatu tetapi hakikat yang sebenarnya berlaku keadaan sebaliknya kerana sehingga hari ini masih
wujud pertikaian antara kaum berkaitan hak masing-masing. Setiap masalah yang timbul ini
dibangkitkan melalui parti politik kaum masing-masing. Akibatnya, Malaysia ini hanya indah khabar
dari rupa kerana secantik manapun kulit luaran ia masih tidak dapat memberi jaminan tentang kualiti
isi yang tersimpan di dalam.

4.0 Cabaran berkaitan Isu-isu Pembinaan Negara Bangsa

4.1 Cabaran berkaitan Isu Bahasa

Dalam pembinaan negara bangsa, isu bahasa merupakan masalah yang tidak penah selesai.
Meskipun dalam Perlembagaan Persekutuan yang merupakan undang-undang tertinggi negara
telah jelas meletakkan bahasa Melayu sebagai bahasa Kebangsaan yang tidak boleh diganggu
gugat kedudukannya, namun, kedudukan bahasa Melayu masih lagi goyah dalam keadaan semasa.
Jika disingkap tabir sejarah negara, kerajaan telah melakukan pelbagai usaha untuk memartabatkan
kembali bahasa ibunda. Antaranya, Penyata Razak yang diangkat menjadi Ordinan Pelajaran 1957
yang mengesyorkan pengakuan matlamat akhir bahasa Kebangsaan iaitu bahasa Malaysia menjadi
bahasa pengantar utama di semua institusi pendidikan. Usaha ini dilihat memberi kesan apabila
orang Melayu sedar akan kepentingan memartabatkan kembali bahasa ibunda.

Cabaran pertama yang dikenalpasti pada era globalisasi adalah berkaitan dengan kedudukan
bahasa. Timbul persoalan mengenai kepentingan bahasa Melayu di dunia moden dengan keperluan
bahasa Inggeris sebagai memenuhi tuntutan antarabangsa. Disebabkan tuntutan globalisasi,
bahasa Inggeris kini dilihat lebih mendominasi dan mula mengambil alih kedudukan bahasa
Kebangsaan. Sekalipun kedudukan bahasa Kebangsaan dijamin kedudukannya mengikut
Perlembagaan Malaysia, namun, realiti sebenar dalam kehidupan seharian seolah-olah
meminggirkan bahasa ibunda. Dasar yang digubal oleh pihak kerajaan tidak selari dengan tindakan
yang dilakukan dan sering kali dilihat bertentangan dengan peruntukan yang disediakan. Adakah
kedudukan bahasa Kebangsaan hanya terjamin di atas kertas tetapi tidak pada realiti kehidupan
yang sebenar? Hal ini telah menimbulkan pertikaian dan ketidakpuasan hati banyak pihak
khususnya kaum Cina. Persoalan yang dilemparkan adalah mengenai kewajaran bahasa Inggeris
diangkat menjadi bahasa kedua negara yang kini hampir melampaui batas kedudukan bahasa
Kebangsaan dari segi penggunaannya. Kaum Cina membuat tuntutan supaya bahasa mereka
dimartabatkan seampuh peranan dan fungsi bahasa Inggeris. Rasional yang mereka perjuangkan
adalah bahasa Cina dikatakan lebih relevan dalam konteks negara Malaysia kerana penduduk
berbangsa Cina itu sendiri yang merupakan penduduk kedua paling ramai di negara ini. Bertitik
tolak daripada isu bahasa Inggeris inilah, timbul pertikaian daripada kaum Cina yang berjuang untuk
memastikan bahasa ibunda mereka mendapat hak dan jaminan daripada pihak kerajaan.

Selain itu, cabaran kedua merujuk kepada dasar kerajaan pada tahun 1968 yang ingin
menghasilkan 60% kepakaran dalam bidang sains dan 40% kepakaran dalam bidang kemanusiaan.
Hal ini kerana acuan kerajaan yang lebih menekankan aspek Sains dan Teknologi dilihat lebih
memberi tekanan kepada kedudukan bahasa Kebangsaan. Dek kerana ingin memenuhi tuntutan
global, bahasa ibunda dijadikan cagaran. Begitulah sebenarnya senario yang berlaku di Malaysia.
Pelaksanaan Dasar 60:40 yang dilaksanakan oleh pihak kerajaan sebenarnya mampu menghakis
kedaulatan bahasa Kebangsaan. Pelaksanaan program pembelajaran Sains dan Matematik dalam
bahasa Inggeris (PPSMI) menzahirkan tindakan kerajaan yang tidak peka dengan isu semasa.
Tanpa berfikir panjang, satu tindakan yang dikatakan mampu meranapkan hampir keseluruhan
pelajar Melayu khususnya yang tinggal di luar bandar dilaksanakan demi memenuhi tuntutan
semasa. Sedar ataupun tidak, tindakan seumpama ini bukan sahaja menjejaskan kedaulatan
bahasa Melayu malah turut membesarkan lagi jurang pendidikan Sains dan Matematik antara
pelajar luar bandar dengan bandar khususnya yang melibatkan pelajar Melayu. Umpamanya negara
Jepun, meskipun mereka maju dan berjaya dalam bidang sains dan teknologi, namun, mereka tetap
menjunjung bahasa ibunda sebagai bahasa utama. Secara rangkumannya, persoalan berkaitan
keperluan antara memenuhi tuntutan nasional dengan tuntutan antarabangsa tidak wajar dijadikan
alasan untuk meminggirkan bahasa ibunda kerana keadaan ini akan membangkitkan isu kewajaran
untuk bahasa daripada kaum lain turut digunakan dalam pembelajaran Sains dan Matematik yang
mampu merenggangkan lagi semangat perpaduan.

Cabaran ketiga adalah berkaitan penggunaan bahasa Melayu dalam kalangan orang Melayu itu
sendiri. Dalam era globalisasi kini, orang Melayu sendiri dilihat kurang memartabatkan bahasa
ibunda sendiri. Hal ini jelas dapat dilihat melalui perbualan seharian yang lebih cenderung
menggunakan campuran bahasa Melayu dan bahasa Inggeris atau dikenali sebagai „bahasa rojak‟.
Lebih malang lagi apabila masyarakat hari ini berasa malu bertutur dalam bahasa Melayu dan
berbangga sekiranya dapat bertutur dalam bahasa Inggeris yang dikatakan melambangkan status
sosial yang tinggi. Hakikatnya, semangat cinta akan bahasa ibunda sudah semakin terhakis dalam
jiwa masyarakat Melayu dek pemodenan yang datang menempa. Tetapi keadaan sebaliknya
berlaku apabila kaum lain terus berusaha memartabatkan bahasa ibunda mereka tanpa mengambil
kira cabaran yang datang. Dalam keadaan inilah, usaha membina negara bangsa menjadi semakin
sukar.

4.2 Cabaran berkaitan Isu Kebudayaan

Apabila berbicara soal kebudayaan, Malaysia sememangnya terkenal dengan kepelbagaian budaya
yang ada. Namun begitu, setiap budaya yang ada hanya mewakili identiti sesuatu kaum atau etnik
yang wujud di Malaysia. Usaha untuk melambangkan kepelbagaian budaya di bawah satu identiti
seolah-olah sukar dicapai tatkala semua kaum takut akan kehilangan identiti budaya masing-
masing. Mentaliti masyarakat kita pada hari ini masih lagi dikongkong dengan pemikiran penjajah
yang sengaja mewujudkan sentimen perkauman yang sebelum ini wujud melalui Dasar Pecah dan
Perintah. Oleh sebab itu, usaha kerajaan yang cuba mengukuhkan semangat perpaduan melalui
perkongsian budaya tidak menampakkan hasil seperti yang diharapkan kerana masyarakat masih
tidak berfikiran liberal. Perkongsian satu budaya itu dilihat sekadar di mulut dan tidak dihayati
sepenuhnya oleh masyarakat. Walhal, untuk merealisasikan taraf negara bangsa, semangat
perpaduan perlu untuk terus dikukuhkan sebagai kubu pertahanan daripada serangan anasir-anasir
luar.

Cabaran yang kedua bersandarkan kepada sistem pendidikan yang langsung tidak mendokong
usaha mengukuhkan perpaduan melalui perkongsian budaya. Sistem pendidikan yang
berorientasikan peperiksaan telah mewujudkan kelompangan berkaitan memartabatkan
kebudayaan dalam kalangan pelajar. Sepatutnya, sesi pembelajaran kebudayaan yang ada di
Malaysia perlu diwujudkan dalam sistem pendidikan sama ada secara praktikal mahupun teori.
Namun, keadaan yang berlaku adalah sebaliknya. Penekanan kepada aspek kebudayaan kepada
para pelajar hanya dijadikan sebagai sampingan dan para pelajar tidak diterangkan tentang peri
pentingnya perkongsian kebudayaan. Lantas kerana itulah mentaliti masyarakat kita lebih
mementingkan hak dan identiti kaum masing-masing. 4.3 Cabaran berkaitan Isu Pendidikan

Dalam bidang pendidikan, kerajaan sememangnya tidak memandang sepi terhadap keperluan
pendidikan semasa. Bermula dengan Penyata Razak 1956 yang diangkat menjadi Ordinan
Pelajaran 1957, intisari yang ditekankan sememangnya dilihat untuk memantapkan Sistem
Pendidikan Negara. Antaranya, berkenaan permasalahan sukatan pelajaran. Sebelum Laporan
Razak, Malaysia tidak mempunyai satu asas atau sistem pendidikan nasional. Terdapat empat aliran
pendidikan yang berbeza iaitu Sekolah Aliran Inggeris, Melayu, Cina dan India. Kesemua sekolah ini
menggunakan sukatan pelajaran yang berbeza mengikut kurikulum negara asal masing-masing.
Keadaan ini dilihat menjadi penghalang kepada perpaduan dan rasa cinta kepada negara yang utuh
dan tidak berbelah bahagi kerana kurikulum pelajaran yang sedia ada dilihat mendorong semangat
cinta akan negara masingmasing dan bukan kepada negara Malaysia. Menyedari kelompangan ini,
Ordinan Pelajaran 1957 yang dilaksanakan sebagai permulaan kurikulum sekolah yang
berorientasikan Malaysia di semua jenis sekolah dilihat masih gagal untuk mengukuhkan semangat
perpaduan dalam kalangan masyarakat. Hal ini demikian kerana penghayatan para pelajar masih
lagi menjadi pertikaian kerana berdasarkan Laporan Jawatankuasa Kabinet yang mengkaji
pelaksanaan Dasar Pelajaran (1979) menyatakan bahawa keadaan ini berlaku disebabkan guru dan
murid selalu terdesak untuk menghabiskan sukatan pelajaran terutamanya apabila ada peperiksaan
dan sesi pembelajaran juga dikatakan terlalu bergantung kepada buku teks yang disediakan oleh
pihak kementerian. Akibatnya, penghayatan golongan pelajar dan pendidik tidak wujud. Jadi,
perkembangan pendidikan tidak berlaku kerana pelajar hanya menghafal untuk lulus peperiksaan
sahaja. Persoalannya, bagaimana kita hendak melahirkan negara bangsa sekiranya warganegara
hanya cinta kepada negara sekadar di atas kertas untuk mendapat ganjaran tetapi tidak dengan
sepenuh hati?

Dalam merealisasikan hasrat membina negara bangsa, cabaran seterusnya adalah berkaitan sistem
pendidikan yang diperkenalkan oleh penjajah yang masih dipraktikkan sehingga ke hari ini.
Meskipun telah ada pembaharuan dalam aspek-aspek tertentu, namun, kita tidak boleh menafikan
bahawa masih wujud konsep dan kaedah perlaksanaan yang diteruskan dari zaman penjajahan
lagi. Umpamanya, sehingga hari ini masih wujud sekolah vernakular, iaitu Sekolah Jenis
Kebangsaan Cina (SJKC) dan Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT). Sekolah-sekolah ini masih
menggunakan bahasa ibunda masing-masing sebagai bahasa pengantar di sekolah. Selain itu,
tidak dinafikan bahawa sebahagian besar masyarakat India dan Cina di negara ini masih berasa
ragu untuk menghantar anak-anak mereka ke sekolah kebangsaan. Keadaan ini disebabkan
mentaliti mereka yang masih berasa bimbang akan kehilangan identiti dan jati diri kaum masing-
masing. Pembentukan sekolah satu aliran yang menjadi agenda dalam Penyata Razak 1956 kurang
mendapat sokongan daripada anggota masyarakat khususnya yang bukan Melayu. Pembinaan
sekolah satu aliran ini telah disalah ertikan oleh segelintir ahli masyarakat yang menyifatkan
kewujudan sekolah ini hanya untuk menjaga kepentingan kaum Melayu sahaja dan cuba
menghilangkan identiti kaum-kaum lain yang ada di Malaysia.

Bagaimana kita hendak mencipta negara bangsa mengikut acuan sendiri jika masih wujud sistem
pendidikan yang tidak seragam? Bahkan, keadaan masyarakat yang masih berpegang kepada
persepsi lama dan tidak memberi sokongan terhadap sekolah satu aliran ini masih jelas dapat dilihat
hingga ke hari ini. Misalnya, isu pembinaan Sekolah Integrasi dan Sekolah Wawasan yang
meletakkan Sekolah Kebangsaan serta Sekolah Jenis Kebangsaan dalam satu kawasan yang
sama. Namun, setiap jenis aliran sekolah mempunyai bilik darjah dan autoriti pentadbiran masing-
masing tetapi bersama-sama merancang, menyelaras, dan melaksanakan aktiviti kokurikulum serta
menggunakan konsep perkongsian kemudahan sekolah. Bahasa Melayu pula dijadikan sebagai
bahasa rasmi yang digunakan di luar bilik darjah sebagai bahasa pengantar dalam interaksi sosial,
perhimpunan, aktiviti kokurikulum, hari penyampaian hadiah dan sebagainya. Walau bagaimanapun,
hasrat murni kerajaan yang ingin memupuk dan mengeratkan lagi persefahaman, semangat
kerjasama dan perpaduan pelbagai kaum ini tidak begitu berkesan dek kerana mentaliti masyarakat
yang takut kehilangan identiti dan jati diri bangsa masing-masing. Buktinya, terdapat penentangan
daripada sesetengah pihak terutama bangsa Cina kerana takut kehilangan identiti sekolah Cina.
Misalnya, penentangan ini telah dilakukan oleh Gabungan Persatuan Guru-guru dan Lembaga
Pengelola Sekolah Cina serta Dong Jiao Zong, seorang pendidik. Hal ini menunjukkan bahawa
masyarakat kita tidak bersedia untuk hidup di bawah satu bumbung.

Untuk membina negara bangsa, timbul satu cabaran besar yang perlu diatasi oleh pihak kerajaan
iaitu cabaran mengatasi kadar buta huruf dalam kalangan masyarakat. Ilmu menjadi elemen penting
dalam mencapai taraf negara maju. Malah, dengan ilmu jugalah masyarakat akan lebih memahami
konsep sebenar negara bangsa. Oleh sebab itu, kerajaan sedar bahawa setiap warganya perlulah
berilmu dan sekurang-kurangnya mempunyai penguasaan literasi. Hal ini kerana masalah
penguasaan literasi merupakan masalah yang serius dalam kalangan rakyat negara ini terutama
pada awal kemerdekaan dahulu. Namun begitu, masih terdapat ramai lagi ibu bapa yang tidak
mementingkan pendidikan. Anak-anak tidak dihantar ke sekolah tetapi disuruh membantu ibu bapa
mencari nafkah.

4.4 Cabaran berkaitan Isu Demokrasi

Dalam pembinaan negara bangsa, aspek demokrasi memang tidak dapat dipisahkan. Sebagai
sebuah negara berdaulat yang mengamalkan prinsip Demokrasi Berparlimen, aspek demokrasi
sememangnya menjadi landasan dalam menentukan corak negara bangsa yang ingin diwujudkan.
Bidang politik negara sememangnya akan dipelopori oleh golongan intelektual. Jadi golongan
intelektual ini seharusnya diberi pendedahan sejak awal lagi. Sebagai pelapis kepimpinan politik
negara, golongan pelajar di universiti dan kolej universiti sememangnya digalakkan untuk memikul
tanggungjawab bagi menerajui kepimpinan negara dengan cemerlang pada masa akan datang.

Namun, cabaran pertama yang dilihat dalam isu ini adalah berkaitan penyalahtafsiran AUKU.
Sememangnya ramai dalam kalangan anggota masyarakat khususnya golongan mahasiswa yang
menafikan sekatan-sekatan yang wujud dalam AUKU. Namun, pertikaian yang ditimbulkan ini tidak
pernah dikaji oleh mereka mengenai sejarah penubuhan AUKU. Hari ini, ramai pihak yang begitu
lantang dalam melontarkan buah fikiran tetapi daripada jumlah mereka, berapa orangkah yang
benar-benar memahami tentang kewujudan AUKU ini pada 1971? Hakikatnya, masyarakat lebih
gemar mendengar khabar angin yang menyatakan AUKU menyalahi hak asasi manusia. Tanpa
membuat usul periksa, masyarakat kita terus mengkritik pihak kerajaan yang dituduh sengaja
mewujudkan AUKU demi kepentingan mereka. Sekali pun wujud sekatan-sekatan yang tidak
relevan dengan keadaan semasa, masyarakat masih lagi gagal dalam mencari jalan penyelesaian
terbaik bagi menyatakan bantahan kepada pihak kerajaan. Kini, apabila timbul persoalan tidak
berpuas hati, masyarakat terus mengambil tindakan melulu dengan mengadakan demonstrasi
jalanan dan perhimpunan haram di sesuatu tempat. Kegagalan masyarakat dalam memahami
konsep sebenar sistem demokrasi di Malaysia hampir menutup peluang untuk kita membina negara
bangsa. Hal ini kerana dalam membina negara bangsa, kita memerlukan mayarakat yang berfikiran
kelas pertama dan mampu bertindak mengikut kewarasan akal fikiran.

Cabaran yang kedua dalam aspek demokrasi adalah berkaitan masalah politik perkauman. Isu ini
semakin ketara pada masa kini apabila parti-parti politik yang wujud dilihat lebih memperjuangkan
kaum masing-masing seolah-olah menidakkan kepentingan nilai perpaduan. Umpamanya, pada hari
ini kita dapat lihat parti-parti di bawah Barisan Nasional lebih memperjuangkan kepentingan kaum
masing-masing berbanding kepentingan bersama. MCA dilihat cenderung memperjuangkan
kepentingan kaum Cina, MIC pula dengan agenda kaum India dan begitu juga UMNO yang
memperjuangkan kaum Melayu. Walhal, untuk membina negara bangsa, semua warganegara perlu
bersatu dalam sebuah negara yang mengamalkan demokrasi.

Namun begitu, permainan politik dalam kalangan parti politik ini dilihat telah mengganggu gugat
usaha ke arah mencapai demokrasi yang mantap untuk membina negara bangsa. Terdapat juga
ahli-ahli politik yang tidak menjunjung ketinggian perlembagaan yang melarang untuk menyentuh
isu-isu yang dikategorikan sebagai sensitif seperti hal-hal berkaitan kedudukan bahasa Melayu
sebagai bahasa rasmi, kedudukan Raja-raja Melayu dan kedudukan agama Islam sebagai agama
rasmi. Sebagai contoh, seorang ahli parlimen berbangsa Cina dari parti Democratic Action People
(DAP), Teresa Kok Suh Sim, telah mencetuskan rasa tidak puas hati kaum Melayu apabila beliau
menyentuh isu berkaitan agama Islam. Beliau telah membuat tuntutan supaya laungan azan
diperlahankan. Jadi, ahli politik pada hari ini dilihat tidak lagi menjaga sentimen perkauman.
Sedangkan untuk membina negara bangsa, kesepaduan dengan nilai-nilai murni seperti saling
menghormati antara kaum amat penting. Tambahan pula, dalam konteks negara Malaysia yang
mempunyai pelbagai kaum, politik perkauman menjadi ancaman yang besar dalam agenda
membina negara bangsa ini kerana dari sinilah bermulanya perpecahan ideologi berlaku.

5.0 Pendekatan kepada Cabaran yang timbul bagi Isu-isu berkaitan Pembinaan Negara Bangsa
5.1 Pendekatan kepada Cabaran bagi Isu Bahasa

Berdasarkan kepada cabaran yang timbul, perkembangan sistem pendidikan pada hari ini dilihat
tepat pada masanya. Hal ini kerana perkembangan sistem pendidikan akan membantu dalam usaha
menambah nilai kualiti masyarakat yang ada bagi menyelesaikan cabaran-cabaran yang timbul.
Cabaran yang wujud berkaitan isu bahasa mampu diselesaikan melalui pendekatan sistem
pendidikan. Pendekatan pertama yang boleh digunakan adalah meningkatkan pemahaman pelajar
tentang kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa Kebangsaan. Para pelajar boleh didedahkan
secara terperinci berkaitan peruntukanperuntukan yang disediakan dalam Perlembagaan Malaysia.
Oleh sebab Perlembagaan Malaysia ditulis dengan menggunakan lunas undang-undang maka
adalah wajar golongan pendidik memainkan peranan sebagai medium untuk memahamkan pelajar.
Apabila para pelajar sudah memahami kedudukan sebenar bahasa Kebangsaan maka tidak akan
timbul lagi soal kedudukan bahasa Kebangsaan yang semakin terhakis kerana kedudukan bahasa
Kebangsaan telah pun dilindungi dan dijamin oleh undang-undang tertinggi negara. Selain itu,
persoalan mengenai bahasa Inggeris yang dikatakan mampu menggugat bahasa Kebangsaan
harus diperjelas secara terperinci kepada pelajar agar tidak timbul golongan yang anti-bahasa
Inggeris. Kerajaan telah pun melancarkan satu program melalui Kementerian Pelajaran Malaysia
iaitu, “ Memantapkan Bahasa Ibunda, Mengukuhkan Bahasa Inggeris”.

Pendekatan seterusnya boleh diambil bagi mengatasi isu PPSMI yang sering digembar-gemburkan
oleh banyak pihak. Masyarakat harus difahamkan mengenai kepentingan ilmu sains pada era kini.
Kemajuan dan kemodenan yang kita kecapi pada hari ini adalah berlandaskan kepada
perkembangan dalam dunia sains dan teknologi. Oleh itu, sekolah menjadi elemen penting dalam
menyampaikan wadah ini kepada pelajar agar kita dapat melahirkan golongan yang mampu
mempelopori dunia sains sama ada di peringkat domestik mahupun antarabangsa. Soal
penggunaan bahasa Inggeris dalam mata pelajaran Sains dan Matematik harus dilihat secara
positif. Kerajaan bertindak sedemikian kerana cuba memenuhi tuntutan global yang meletakkan
perkembangan dalam dunia sains barat sebagai sandaran. Oleh sebab itu, banyak bahan dan alat
yang memerlukan pengaplikasian bahasa Inggeris digunakan. Namun begitu, menyedari kelemahan
dan tahap kemampuan rakyat yang lemah dalam penguasaan bahasa Inggeris, kerajaan telah pun
memansuhkan program ini tetapi Dasar 60:40 masih lagi diteruskan dengan cara kerajaan cuba
mengimplimentasikan teknologi maklumat dalam sistem pendidikan. Malah, guru-guru yang
berkelulusan dalam bidang ini turut dihantar ke kawasan pedalaman bagi menyeimbangkan
perkembangan sains dan teknologi ke seluruh pelusuk negara.

Peranan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) juga tidak boleh dipandang remeh. Agensi ini
memainkan peranan penting dalam usaha ke arah pembinaan negara bangsa melalui aktiviti
pemantapan dan perancangan bahasa, sastera kebangsaan dan penerbitan. DBP yang ditubuhkan
pada 22 Jun 1956 hasil daripada persidangan Kongres Bahasa dan Persuratan Melayu ke-3 di
Johor Baharu dan Singapura merupakan suatu badan khas yang ditubuhkan oleh kerajaan bagi
menjaga kedaulatan bahasa Melayu. Masalah yang timbul berkaitan sikap masyarakat Melayu yang
tidak lagi berbangga dengan bahasa ibunda merupakan suatu keadaan yang kritikal. Jadi, DBP
telah pun menjalankan kerjasama dengan Kementerian Pelajaran Malaysia dalam menganjurkan
aktiviti-aktiviti bertujuan memartabatkan bahasa seperti pertandingan Forum Remaja, Debat Ala
Parlimen, Pidato Di Raja dan sebagainya. Penglibatan pelajar dari peringkat sekolah rendah
sehingga ke peringkat pengajian tinggi cuba dilibatkan agar proses memartabatkan bahasa Melayu
ini dilihat secara menyeluruh. Malah, di peringkat antarabangsa juga Pertandingan Pidato Bahasa
Melayu turut diadakan yang melibatkan peserta dari seantero dunia. Pendekatan yang dilakukan ini
dikatakan mampu memberi rangsangan kepada semua pelajar khususnya pelajar Melayu dalam
memartabatkan bahasa Melayu. Langkah DBP menerbitkan majalahmajalah seperti Dewan
Masyarakat, Tunas Cipta, Kosmik dan lain-lain adalah amat tepat kerana masyarakat tanpa mengira
kaum boleh mendapatkan banyak info berkaitan dunia bahasa dengan lebih tepat. Malah, melalui
penerbitan ini jugalah, masyarakat boleh didedahkan tentang kepentingan bahasa sebagai wahana
perpaduan. 5.2 Pendekatan kepada Cabaran bagi Isu Kebudayaan

Sejak negara kita mencapai kemerdekaan, isu tentang kebudayaan masih lagi hangat diperkatakan
sehingga hari ini. Masalah ini boleh diselesaikan dengan baik sekiranya semua pihak mampu
bersepakat menerima kebudayaan Kebangsaan sebagai kebudayaan setiap kaum di negara ini.
Budaya melambangkan satu identiti bagi sesebuah negara. Amalan masyarakat majmuk di Malaysia
harus dipelihara agar menjadi satu warisan kepada anak bangsa akan datang. Persoalannya,
masyarakat hari ini ingin memartabatkan budaya masingmasing sehingga menimbulkan perpecahan
antara satu sama lain. Langkah kerajaan untuk memperkenalkan satu kebudayaan kebangsaan
amatlah wajar bagi memupuk perpaduan dalam kalangan masyarakat majmuk di Malaysia.
Pengenalan Dasar Kebudayaan Kebangsaaan merupakan satu medium bagi kerajaan untuk
menanam semangat cinta dan sayang akan tanah air dan bangsa sendiri. Melalui dasar ini, ia dapat
memupuk perpaduan menerusi satu gaya hidup dan nilai-nilai yang dipersetujui bersama oleh
semua kaum. Kerajaan telah menitikberatkan pembentukan secara beransur-ansur daripada
pelbagai kebudayaan yang dimiliki oleh masyarakat Malaysia berteraskan kebudayaan asli
tempatan.

Kerajaan melalui Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan telah menjalankan


pelbagai aktiviti untuk mengeratkan perpaduan dalam kalangan rakyat. Antaranya ialah penganjuran
rumah terbuka bagi setiap perayaan di Malaysia. Sebagai contoh kerajaan telah menganjurkan
majlis Rumah Terbuka Malaysia Tahun Baru Cina 2009 yang bertemakan “Perpaduan Melalui
Perayaan”. Kerajaan cuba untuk mengukuhkan perpaduan melalui seni budaya warisan sesebuah
masyarakat dengan penyertaan dan penglibatan semua kaum. Melalui penganjuran rumah terbuka
ini, kita dapat melihat semua penduduk tanpa mengira bangsa dan agama keluar bersama-sama
meraikannya dengan suasana gembira. Apabila perayaan-perayaan utama di Malaysia seperti Hari
Raya Aidilfitri, Deepavali, Krismas dan lain-lain lagi disambut secara beramai-ramai maka ia akan
mencerminkan semangat kekitaan dan perpaduan serta keharmonian sesebuah masyarakat.
Pendekatan ini diambil sebagai langkah awal untuk mengubah mentaliti masyarakat tentang konsep
perkongsian budaya menjadi satu identiti.

Usaha sama antara Kementerian Penerangan, Komunikasi, dan Kebudayaan (KPKK) dengan
kementerian-kementerian lain juga dapat memantapkan lagi usaha-usaha ke arah memupuk
perpaduan. Sebagai contoh, kerjasama antara KPKK dengan Kementerian Pelajaran (KPM). Melalui
kerjasama ini subjek budaya dan warisan boleh diperkenalkan di sekolah rendah mahupun
menengah. Tujuannya untuk memberi pendedahan awal mengenai budaya masyarakat Malaysia
kepada golongan pelajar. Kata orang “melentur buluh biarlah dari rebungnya”. Apabila perpaduan ini
telah pun mantap sejak dari kecil, sudah tentu ia tidak akan mudah goyah apabila berlaku sesuatu
yang perkara yang boleh meleburkan ikatan perpaduan rakyat Malaysia. KPKK juga boleh
membekalkan tenaga pengajar untuk mengajar subjek ini di sekolah dengan memberi peluang
kepada penuntut Akademi Seni dan Budaya Kebangsaan (Aswara) berkhidmat sebagai guru untuk
mengajar subjek sampingan ini.

Di samping itu, KPKK juga boleh menjalinkan kerjasama dengan Kementerian Pengajian Tinggi
(KPT) dalam melaksanakan beberapa program atau acara yang boleh mengeratkan hubungan
mahasiswa dan mahasiswi universiti yang berbilang kaum. Tambahan pula, penuntut universiti
terdiri daripada pelbagai latar belakang yang berbeza dari segi agama, budaya, dan fahaman.
Contohnya pada tahun 2007, Universiti Malaysia Sabah (UMS) telah mengadakan program Indian
Cultural Nite (ICN) yang bertujuan untuk memperkenalkan budaya masyarakat India kepada umum.
Sebagai pewaris kepimpinan negara, semua mahasiswa dan mahasiswi perlu menguasai ilmu
pengetahuan di samping mengetahui adat budaya masyarakat pelbagai kaum di negara ini supaya
mereka mampu memimpin diri sendiri, agama, bangsa dan negara.

Budaya menyatupadukan bangsa. Kepelbagaian kaum yang terdapat di Malaysia telah lama
menjadi simbol kekuatan negara. Kementerian Pelancongan dan KPKK telah memperkenalkan
sejenis tarian iaitu “Tarian 1 Malaysia”. Tarian ini merupakan hasil gabungan beberapa tarian
termasuk tarian Melayu, Cina, India serta tarian etnik dari Sabah dan Sarawak. Menurut Timbalan
Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Senator Heng Seai Kie, melalui program
kebudayaan seumpama ini akan dapat menjadi jambatan untuk mengeratkan hubungan antara
kaum ke arah mencapai matlamat gagasan 1 Malaysia. Selain itu juga, ia dapat mempromosikan
keunikan kebudayaan Malaysia bagi meningkatkan industri pelancongan negara. Tarian yang julung
kali diadakan di Dataran Bandaraya Ipoh itu berjaya mencatatkan penyertaan masyarakat paling
ramai iaitu seramai 10 000 orang yang terdiri daripada pelbagai bangsa dan kaum. Ternyata,
elemen penyatuan dan integrasi antara kaum terserlah apabila kita dapat melihat masyarakat Cina
dan India serta etnik Sabah dan Sarawak menari tarian tradisional Melayu dan begitu juga
sebaliknya. Melalui seni tari, semua perbezaan dan permasalahan masyarakat bagaikan hilang dan
hanyut dalam setiap gerak langkah gemalai peserta sewaktu menari.

5.3 Pendekatan kepada Cabaran bagi Isu Pendidikan

Peristiwa berdarah 13 Mei 1969 merupakan tragedi hitam yang terpahat dalam ingatan seluruh
rakyat Malaysia. Keamanan negara tergugat seketika dek kerana kealpaan masyarakat kita sendiri.
Sikap acuh tak acuh yang diamalkan oleh masyarakat ketika itu, akhirnya telah memakan diri
sendiri. Lantaran daripada peristiwa itu, pemimpin-pemimpin negara telah bertungkus-lumus
membendung masalah ini agar tidak menjadi semakin parah. Oleh sebab itu, mantan Perdana
Menteri Malaysia Keempat, Tun Dr. Mahathir Mohammad telah mencadangkan agar diwujudkan
satu sistem persekolahan yang lebih bersifat kolektif dan bercirikan keharmonian kaum iaitu
pembinaan “ Sekolah Wawasan”.

Penubuhan Sekolah Wawasan ini adalah selaras dengan cabaran pertama Wawasan 2020 iaitu
untuk mewujudkan bangsa Malaysia yang bersatu serta dapat hidup dengan aman dan bahagia
serta sentiasa taat setia kepada negara Malaysia. Namun, pada hari ini, idea penubuhan sekolah
wawasan ini tidak mendapat sambutan secara kolektif khususnya daripada masyarakat Cina.
Sebenarnya masyarakat harus melihat dari sudut positif mengenai kewujudan sekolah ini. Suatu
ketika dahulu kita boleh bersatu untuk menuntut kemerdekaan daripada pihak penjajah. Kita juga
boleh bersatu dalam bidang ekonomi melalui penubuhan Dasar Ekonomi Baru (DEB). Oleh itu, kita
juga mampu untuk berada di bawah satu bumbung dalam bidang pendidikan.

Bagi merealisasikan semula idea ini, masyarakat khusunya kaum Cina dan India harus berfikiran
terbuka bahawa penubuhan Sekolah Wawasan tidak akan menghapuskan identiti SRJK, tetapi
Sekolah Wawasan adalah gabungan ketiga-tiga sekolah rendah iaitu SRK (Sekolah Rendah
Kebangsaan), SJKC (Sekolah Jenis Kebangsaan Cina), SJKT (Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil).
Di sekolah ini, murid-murid akan berkongsi kemudahan seperti padang, kantin, perpustakaan,
dewan serta lain-lain kemudahan yang boleh dikongsi bersama. Namun begitu, setiap sekolah tetap
mempunyai bangunan pentadbiran mereka sendiri bagi memudahkan urusan pengurusan sekolah.
Murid-murid akan dibiarkan bergaul, berinteraksi dan bermain bersama-sama. Program integrasi
dan asimilasi ini akan berlaku secara semulajadi sehingga dapat memecahkan tembok pemisah
serta mengurangkan jurang yang wujud di antara kaum.

Kerajaan melalui KPM perlu merancang satu program yang boleh dipraktikkan dalam memastikan
konsep sekolah ini berhasil dan tidak akan berkubur begitu sahaja. Perancangan, pengkajian, dan
penyelidikan berterusan adalah amat perlu bagi menjamin mutu Sekolah Wawasan ditingkatkan.
Pendedahan dan penjelasan secara meluas kepada masyarakat umum berkaitan Sekolah
Wawasan dari aspek konsep pelaksanaan, objektif penubuhan dan faedahfaedah yang bakal
diperolehi oleh murid, kakitangan sekolah dan masyarakat sekeliling perlu dilakukan dengan
sistematik bagi meyakinkan orang ramai khususnya masyarakat Cina mengenai idea
penubuhannya. Penubuhan Sekolah Wawasan ini adalah satu medium untuk merapatkan jurang
perkauman bagi melahirkan bangsa Malaysia selaras dengan Wawasan 2020.

Bagi mengeratkan lagi hubungan perpaduan antara kaum, kerajaan di bawah pimpinan Dato‟ Seri
Najib Tun Abd. Razak telah merancang untuk membina asrama berkonsepkan 1 Malaysia pada
tahun 2010. Idea penubuhan asrama 1 Malaysia ini diharap dapat menyelesaikan pelbagai masalah
yang dihadapi oleh para pelajar khususnya yang datang dari keluarga miskin dan yang tinggal di
kawasan pedalaman. Selain dari mengeratkan hubungan sesama pelajar, ia juga dapat
menyelesaikan isu pembaziran yang tidak efektif dari segi bilangan muridnya seperti SRJK Tamil
Ladang Sungai Timah, Teluk Intan Perak yang hanya mempunyai seorang murid sahaja. Menurut
Dato Seri Mohd Najib, “Kita masih belum lagi memikirkan nama asrama itu tetapi ia akan menjadi
yang pertama seumpamanya yang menempatkan pelajar semua kaum hidup bersama-sama”.
5.4 Pendekatan kepada Cabaran bagi Isu Demokrasi

Sistem pemerintahan negara Malaysia berlandaskan kepada konsep Demokrasi Berparlimen.


Melalui konsep ini, sistem kerajaan ditentukan oleh rakyat melalui proses pilihan raya. Wakil-wakil
rakyat dipilih bagi mewakili suara mereka untuk diketengahkan di peringkat tertinggi negara.
Persoalannya, bagaimanakah sistem demokrasi ini dapat menyatukan kaum di Malaysia ini melalui
pendidikan? Sistem pendidikan di Malaysia seharusnya menjadi satu medium atau pemudah cara
bagi memberikan maklumat atau pendedahan awal tentang amalan sistem demokrasi negara.
Kerajaan boleh menggunakan pendekatan ini di semua institut pengajian tinggi awam mahupun
swasta serta sekolahsekolah rendah dan menengah.

Dunia kampus atau kehidupan di kampus tidak akan lengkap sekiranya tidak melibatkan pimpinan
mahasiswa. Para pemimpin mahasiswa ini menganggotai Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) yang
dipilih oleh warga kampus melalui Pilihan Raya Kampus (PRK) yang diadakan setiap dua tahun
sekali. Namun begitu, aktiviti pilihan raya kampus ini masih lagi tertakluk di bawah Akta Universiti
dan Kolej Universiti 1971 (AUKU). Hakikatnya, AUKU ini telah melemahkan golongan mahasiswa
kerana suara dan pandangan mereka telah disekat dan hal ini bertentangan dengan Perkara 10,
Perlembagaan Persekutuan. Namun, akibat desakan demi desakan, maka akhirnya akta ini telah
dipinda sekali lagi pada tahun 2008 merangkumi Seksyen 15 dan 16.

Melalui pindaan yang telah dibuat maka kelonggaran telah diberikan kepada mahasiswa untuk
berpolitik tetapi mereka harus sedar tujuan asal mereka berada di universiti. AUKU sebenarnya
berperanan mendidik mahasiswa mengenai hak-hak mereka untuk berhubung dengan masyarakat
dan bersuara mengikut nas undang-undang. Semangat kewarganegaraan dalam kalangan
mahasiswa dapat dipupuk dengan baik dan mampu melahirkan pemimpin berkualiti yang akan
mewarisi kepimpinan negara pada masa akan datang. Secara amnya, pindaan AUKU ini merupakan
tindak balas positif kerajaan untuk mendengar suara generasi muda supaya mereka memahami
dengan jelas konsep demokrasi serta tanggungjawab mereka selaku seorang warganegara.

Selain itu, pendekatan demokrasi ini juga boleh dilakukan di sekolah-sekolah bagi mendidik
golongan pelajar mengenai kepentingan demokrasi. Ia dapat dilihat sebagai satu asas permulaan
bagi pelajar untuk mengetahui sistem politik negara. Hal ini bukanlah bermaksud untuk mengajak
anak-anak muda ini berpolitik di usia muda tetapi ia sekadar pendedahan dari aspek pendidikan
mengenai sistem politik negara. Dalam subjek sejarah umpamanya, sudah ada tajuk mengenai
politik negara tetapi ia tidak diaplikasikan secara sewajarnya di peringkat sekolah. Oleh itu, adalah
lebih baik jika pihak sekolah mengikut langkah universiti dengan menjalankan pilihan raya dalam
pemilihan ketua pelajar atau ketua murid di setiap sekolah. Mereka juga boleh menubuhkan Majlis
Perwakilan Pelajar sendiri dan peranan mereka juga adalah sama dengan badan pengawas yang
bertindak membantu guru dalam aspek disiplin. Umpamanya, Sekolah Kebangsaan Taman Tun Dr
Ismail yang telah menjalankan pemilihan ketua muridnya melalui proses pilihanraya.

Tuntasnya, demokrasi ini perlu dilihat sebagai satu ruang dan peluang kepada golongan muda dan
mahasiswa untuk belajar memahami serta berdepan sendiri dengan cabaran politik semasa apabila
mereka berumur 21 tahun nanti. Pindaan AUKU yang dilakukan oleh kerajaan juga telah memberi
nafas baru kepada golongan mahasiswa untuk lebih aktif sesuai dengan aliran politik generasi
muda. Maka dengan itu pembentukan negara bangsa akan menjadi lebih mudah kerana rata-rata
golongan muda ini telah boleh berfikir dan bertindak selaras dengan hasrat kerajaan untuk
mencapai taraf negara maju pada tahun 2020. Di samping itu, pendedahan awal tentang sistem
demokrasi ini akan membantu menjana masyarakat yang bermaklumat tentang sistem
pemerintahan yang diamalkan. Secara implisitnya, masyarakat akan lebih bersatu padu di bawah
sistem pemerintahan demokrasi yang diamalkan di Malaysia.

6.0 Kesimpulan Pembinaan Negara Bangsa

Seawal pembukaan konsep membina negara bangsa, kita dapat melihat gambaran awal tentang
betapa pentingnya nilai dan semangat perpaduan untuk diperkukuh dan dipertahankan. Pembinaan
negara yang berteraskan kepada semangat perpaduan ketika ingin mendapatkan kemerdekaan
membuktikan bahawa semangat perpaduan ini menjadi akar umbi kepada pembentukan negara.
Justeru itu, adalah tidak wajar sekiranya tanah air yang telah terbentang selama lebih separuh abad
ini dimusnahkan hanya kerana sikap segelintir di antara kita yang cuba menjadi hero kepada kaum
masing-masing dalam realiti hidup yang sebenar. Tanpa kesepaduan dan kesepakatan
sememangnya agak mustahil untuk kita mewujudkan sebuah negara yang aman dan maju. Melihat
kepada pembinaan negara bangsa untuk kepentingan bersama, masyarakat harus berganding bahu
untuk menyokong impian ini kerana kejayaan membina negara bangsa akan memberi manfaat
kepada semua sejagat. Namun begitu, untuk membina sesuatu yang baik kita harus menempuh dan
mengharungi liku-liku berduri. Isu-isu yang berbangkit harus segera ditangani bagi melicinkan
proses pembinaan ini.

Isu bahasa yang dibangkitkan kerana sering timbul pertikaian, membawa satu cabaran baru untuk
diselesaikan kerana setiap kaum cuba memartabatkan bahasa ibunda masingmasing. Namun,
dengan kudrat yang ada, satu pendekatan yang wajar sudah mampu untuk menyelesaikan masalah
ini iaitu dengan memberi pendidikan awal kepada generasi muda tentang kedudukan bahasa yang
sebenar dan kepentingan meletakkan satu bahasa melambangkan satu bangsa. Isu kebudayaan
pula menampakkan suatu keadaan yang semakin runcing untuk diselesaikan kerana setiap kaum
tidak mahu kehilangan identiti budaya masing-masing. Namun, melalui pendekatan yang
berteraskan Dasar Kebudayaan Negara yang bertindak sebagai pelindung kepada identiti semua
budaya yang ada di Malaysia, dilihat mampu untuk menyakinkan semua masyarakat bahawa
perkongsian budaya tidak menghilangkan identiti sebenar sesuatu budaya.

Selain itu, isu pendidikan yang dijadikan isu utama untuk diselesaikan telah pun mendapat satu
pendekatan terbaik melalui penubuhan Sekolah Wawasan. Walaupun pendekatan ini tidak
mendapat sokongan secara kolektif daripada masyarakat, namun, usaha yang diambil ini dilihat
paling efektif dalam merapatkan jurang pendidikan antara kaum. Terakhir, berkaitan isu demokrasi
yang diamalkan di Malaysia. Amatlah penting sebenarnya masyarakat kita mengetahui hakikat
sebenar perjalanan sistem demokrasi di Malaysia kerana salah faham tentang sistem pentadbiran
boleh mencetuskan perpecahan sama ada antara interkaum mahupun intrakaum. Menyedari
kepentingan dan manfaat yang bakal dimiliki melalui pembinaan negara bangsa, masyarakat tidak
perlu lagi berfikir panjang untuk menyatakan sokongan tetapi sudah menjadi tanggungjawab yang
perlu digalas di pundak kita bagi merealisasikan impian ini. Sesungguhnya, konsep satu bangsa,
satu identiti akan membawa sejuta pengertian buat kita dan generasi akan datang.

You might also like