You are on page 1of 9

Kelangsungan Maqasid Dalam Cabaran

Realiti Dan Perundangan, Di Malaysia


Oleh:
Mohd Mustaffa Bin Jusoh @ Yusoff
Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor, Bangi Selangor

Dr Wan Abdul Fattah Bin Wan Ismail


Universiti Sains Islam Malaysia, Nilai, Negeri Sembilan

Dr Mohammad Ibrahim Neghasy,


Universiti Islam Antarabangsa, Gombak, Selangor

Abstrak

Malaysia sebagai negara yang sering terkedepan dalam isu muslim global seperti Palestin,
Rohingya, Syria dan Bosnia. Mutakhir ini dilihat masyarakat Islam negara ini mula tercabar
dengan isu yang menyentuh sensitiviti kemasyarakatan dan agama, antaranya seperti isu murtad,
syiah, dna babi, sentuhan anjing dan transgender. Kajian ini cuba untuk melihat titik perbezaan
yang menjustifikasikan penghakiman berkaitan isu trangender yang diputuskan oleh panel
mahkamah rayuan Putrajaya pada 7hb November 2014 dari sudut maslahah umum. Kajian ini
cuba melihat kemampanan perundangan yang diwar-diwar-warkan berasaskan maqasid syariah
melibatkan ulasan perundangan dan kenyataan yang disiarkan dalam media massa serta rujukan
perundangan dan maqasid. Antara implikasi yang merintang adalah peruntukan perundangan
sedia ada yang berbeza diperingkat kerajaan persekutuan, negeri serta kemungkinan kekangan
birokrasi di pihak legaslatif.. Dapatannya adalah mengenalpasti ruang-ruang mempan yang perlu
ditambahbaik dalam memastikan kelangsungan syariah Islamiah sebagai asas anutan utama
negara ini.

Muqadimah

Sebagai sebuah negara majmuk yang punya berbilang etnik bangsa dan budaya disamping
beberapa kepercayaan agama selain bangsa dan budaya melayu sebagai teras utama, dominasi
Islam sebagai agama rasmi seperti mana yang dinyatakan dengan jelas dalam perlembagaan
diharapkan boleh menjadi tunjang yang dapat menjamin dan memastikan kedudukan umat Islam
di Malaysia ini. Perkara 3(1) Perlembagaan Persekutuan memperuntukkan bahawa Islam ialah
agama bagi persekutuan, tetapi agama-agama lain boleh diamalkan dengan aman dan damai di
mana-mana bahagian persekutuan1.

Islam dan disiplin ilmu yang mendasarinya begitu sinonim di nusantara terutamanya di
negara ini. Sebelum merdeka, kewujudan Islam di Tanah Melayu adalah bermula sekitar kurun
ke 13 lagi apabila kerajaan melayu Kedah pada masa itu menerima Islam sebagai agama anutan

1
Hashim Yeop A.Sani, Our Constitution, The Law Publishers(M) Sdn. Bhd. 1980. m.s 151.
2

di negeri itu. Namun impak islamisasi yang besar terhadap gaya hidup masyarakat adalah pada
kurun yang ke 15 di era Kerajaan Melayu Melaka2.

Beberapa rekod yang ditemui juga mencatatkan pengamalan Islam dalam budaya
masyarakat setempat. Kerajaan Melayu Melaka sebagai contoh, sebelum ditakluki oleh Portugis
telah pun melaksanakan undang-undang Islam dalam bentuk yang lebih luas daripada apa yang
diperuntukkan dalam Perlembagaan Persekutuan.Undang-undang yang dipraktikkan pada ketika
itu adalah termaktub dalam Kanun Melaka 3. Undang-undang Melaka merangkumi aspek
jenayah, muamalah ataupun sistem ekonomi, kekeluargaan, keterangan serta acara, begitu juga
undang-undang Islam di Trengganu sebagaimana yang tercatat di dalam penemuan batu
bersurat4.

Penulisan ini cuba untuk melihat dari sudut pemahaman umum akademik berkenaan isu-
isu yang dilihat mencabar sensitiviti masyarakat dan agama secara umumnya, dengan meneroka
beberapa fakta yang berligar di kalangan masyarakat umum, di samping mengukur realiti itu dan
kesesuaiannya dari kaca mata maqasid syariah, bukan dari sudut perbahasan perundangan secara
terperinci kerana penafsiran undang-undang memerlukan ahlinya yang berkredibiliti.

Masyarakat dan sensitiviti Islam di Malaysia

Bangsa Melayu di Malaysia hampir seluruhnya beragama Islam sejak turun temurun. Namun
demikian, sisa-sisa unsur agama Hindu dan animisme masih dapat dilihat dalam sistem
kebudayaan. Islam tidak dapat menghapuskan seluruh unsur kepercayaan tersebut. Proses
sinkretisme terjadi di mana unsur kepercayaan sebelum Islam ada secara laten atau disesuaikan
dengan unsur Islam. Proses ini jelas dapat ditemukan dalam ilmu perbomohan Melayu
(pengobatan tradisional), dan dalam beberapa upacara adat.

Memang begitulah realiti masyarakat Islam di Malaysia. Agama tidak ditinggalkan, tetapi
pada masa yang sama ada juga unsur-unsur yang bertentangan agama diamalkan. Namun
ironisnya dalam masa yang sama sensitiviti dan keprihatinan terhadap bangsa dan agama tetap
ada, cuma mungkin kejelasan tentang garis pemisahan antara adat budaya dan agama ada
masanya sedikit bercelaru, dan ada masanya juga agak selari dengan norma budaya.

Kesan kecelaruan inilah yang telah berakar sejak zaman berzaman, di samping
kedangkalan pengetahuan tentang budaya masyarakat bukan Islam yang telah menjadi
sebahagian dari masyarakat berbilang kaum telah menyebabkan timbulnya beberapa perssepsi
pasif. Sebagi contoh, sebahagian besar masyarakat Melayu Islam tidak mahu mepelajari budaya
masyarakat lain-lain bangsa dan kaum walhal ianya adalah merupakan satu tuntutan Islam seperti
yang terakam dalam Surah al-Hujurat:13:

2
Syed Muhammad al-Naquib al-Attas, General Theory of the Islamization of the Malay-Indonesian Archipelago,
Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, 1969.
3
Liaw Yock Fang, Undang-undang Melaka, The Hague: Martinus Nijhoff, 1976.
4
Perbincangan-perbincangan dari nota kaki 43 hingga 54 adalah berdasarkan makalah yang ditulis oleh Hamid
Jusoh, Pemakaian Undang-undang Islam Kini dan Masa Depannya di Malaysia, Al-Ahkam Jilid I, Undang-undang
Malaysia Kini, cetakan pertama, Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur, 1990. m.s 63 -65.
3

            
“Wahai umat manusia! Sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu dari lelaki dan perempuan,
dan Kami telah menjadikan kamu berbagai bangsa dan bersuku puak, supaya kamu berkenal-
kenalan (dan beramah mesra antara satu Dengan Yang lain). “

Tidak dapat dinafikan toleransi dan integrasi budaya diperlukan dalam konteks
masyarakat majmuk di Malaysia pada hari ini. Walaubagaiamanapun, ianya bukan bermakna kita
boleh bertolak ansur secara buta dalam semua aspek budaya, terutamanya yang bertentangan
dengan ajaran Islam.

Usaha dalam membentuk toleransi dan integrasi budaya dalam masyarakat majmuk di
Malaysia telah pun berlaku sejak merdeka dalam beberapa aspek. Ini dapat dilihat dalam amalan
perkongsian perayaan pelbagai agama di dalam negara ini. Walaubagaimanapun, proses ini tidak
wajar bersifat “fleksible” dalam segala-galanya.

Justeru, Islam amat memperihatinkan persoalan akidah dan halal haram dari aspek
syari’ah dan dalam masa yang sama ‘urf kebiasaan setempat juga diambil kira. Meskipun
demikina, masih ada maklumat-maklumat terperinci yang perlu kita garap untuk mengetahui
kedudukan pelbagai budaya di negara ini. Para ilmuan Muslim perlu menanganinya dengan
menggunakan segala sumber yang terdapat di dalam al-Qur’an, al-Sunnah, Sirah Nabi dan
khulafa’, ilmu fiqh, usul al-fiqh serta lain-lain sumber yang boleh dimanfaatkan.

Dalam perkembangan mutakhir era millennium di Malaysia, konsep toleransi cuba


digunakan sebagai alasan untuk mengusik sensisitiviti masyarakat muslim yang majoritinya
melayu. Antara isu yang telah keluar adalah seperti penghasilan produk-produk makanan yang
dikatakan tidak mematuhi amalan pengilangan Islam yang ditetapkan seperti ayam yang tidak
disembelih, mee dan roti dan coklat yang dikatakan kotor pembuatannya serta terdapat campuran
bahan larangan, isu logo halal, penjualan arak sempena majlis berbuka puasa, kempen
menghilangkan rasa taboo pada anjing.

Tak kurang juga isu yang begitu terasa mencabar, bukan saja sensitiviti budaya dan
masyarakat, bahkan juga cubaan untuk mencalar keharmonian syariat Islam dan menguji tahap
kemampanan perundangan sedia ada, atas alasan kebebasan dan kemanusiaan, contohnya seperti
isu penerbitan dan penyebaran bible dalam bahasa Melayu, permohonan penukaran agama,
fahaman syiah, ajaran sesat dan yang terkini, isu transgender.

Tanda tanya awal yang timbul adalah bagaimana isu-isu sebegini boleh, dengan begitu
mudah lolos dari kawalan institiusi perundangan dan agensi kerajaan yang bertanggung jawab?
Apakah kerana kelemahan penguatkuasaan, atau terdapat lompang dalam peruntukan
perundangan sedia ada, atau pun kebijaksanaan pihak-pihak berkenaan dalam memanipulasikan
sistem sedia ada, atau pun ada agenda tersembunyi yang cuba menguji sejauh mana kemampanan
sistem sedia ada dan tahap keprihatinan masyarakat secara umum.
4

Sebelum membincangkan isu transgender sebagai sampel permasalahan, adalah wajar


untuk melihat kedudukan Islam dan bideang kuasa yang diperuntukkan untuk menjadikan
keberkesanan peranannya dalam perlembagaan persekutuan

Realiti Islam sebagai asas perundangan di Malaysia

Oleh kerana Islam diterima sebagai agama Persekutuan, maka kerajaan Negeri dan Persekutuan
ada kebebasan, kuasa dan keistimewaan mengujudkan atau menyenggarakan institusi-institusi
Islam atau menyediakan atau membantu dalam menyediakan latihan dalam agama Islam dan
menanggung perbelanjaan-perbelanjaan yang perlu bagi maksud-maksud tersebut.5

Walaupun demikian kedudukan undang-undang Islam dalam konsep federalisma dilihat


begitu rapuh dan sedolah-olahnya tidak begitu penting. Ini berdasarkan fakta bahawa kuasa-
kuasa tersebut adalah dinyatakan dalam bahagian Senarai Negeri Jadual Kesembilan
Perlembagaan Persekutuan6.

Berdasarkan peruntukan inilah kuasa-kuasa membuat undang-undang berkaitan dengan


orang-orang Islam mengenai perkara-perkara yang dinyatakan dalam Senarai Negeri itu adalah
di bawah bidangkuasa kerajaan negeri. Oleh kerana tiap-tiap negeri ada kuasa, maka adalah
merupakan satu hakikat bahawa Enakmen Undang-undang Islam adalah berbeza antara satu
negeri dengan negeri yang lain. Bahkan fatwa mengenai beberapa isu, berbeza-beza antara satu
negeri dengan negeri yang lain 7.

Sungguhpun dikatakan kerajaan negeri mempunyai kuasa membuat undang-undang bagi


orang-orang Islam dan menguatkuasa atas mereka ia hanyalah mengenai undang-undang diri dan
keluarga sahaja, dan jika ianya undang-undang jenayah adalah tertakluk kepada Akta
Mahkamah-mahkamah Islam (Bidangkuasa Jenayah) 1965. Ini bermaksud sungguh pun kerajaan
negeri boleh menetapkan hukuman bagi kesalahan-kesalahan jenayah dalam Islam,
bidangkuasanya masih lagi terbatas 8. Pada lazimnya apabila berlaku pertentangan antara undang-
undang bertulis dan undang-undang Islam, seringkali undang-undang bertulis akan mengatasi
undang-undang Islam.

Pada tahun 1988 Perkara 121 Perlembagaan Persekutuan Perlembagaan Persekutuan


yang menjelaskan bahawa Mahkamah Sivil tidak lagi mempunyai bidangkuasa berkenaan apa-
apa perkara yang Mahkamah Syariah mempunyai bidangkuasa telah dipinda dengan
memasukkan perkara 121(lA). Pindaan Perkara 121 (1A) ini menyatakan mahkamah-mahkamah
dalam fasal(1) tidak ada bidangkuasa mengenai perkara yang terjatuh dalam bidangkuasa
Mahkamah Syariah jika:
i) pihak-pihak terlibat adalah Muslim;

5
Tun Hj. Mohd. Salleh Abbas, Traditional Elements of the Malaysian Constitution, F.A Trindade & H.P Lee(eds.), The
Constitution of Malaysia Further Perspectives and Developments, Essays in Honour of Tun Mohamed Suffian,
Singapore Oxford University, Press, 1986. m.s 8.
6
Lihat Senarai Satu, Senarai Persekutuan Jadual Kesembilan Perlembagaan Persekutuan.
7
Othman Hj. Ishak, Fatwa dalam Perundangan Islam, Kuala Lumpur, Penerbit Fajar Bakti 1981, dipetik dari F.A
Trindade & H.P Lee, op.cit., m.s 86.
8
. Lihat perenggan pertama, Senarai Dua, Senarai Negeri, Perlembagaan Persekutuan.
5

ii) perkara-perkara yang dipertikaikan atau yang akan didengar adalah dalam bidangkuasa
Mahkamah Syariah.

Dari segi bidangkuasa, sebenarnya perkara 121(1A) tidak memperluaskan bidangkuasa


Mahkamah Syariah. Bidangkuasa mahkamah samada jenayah atau sivil masih lagi sama, dan
sebenarnya peruntukan tersebut hanyalah mengenai pemisahan bidangkuasa, selain dari itu
adalah jelas bahawa mahkamah sivil masih mempunyai bidangkuasa mengenai perkara-perkara
yang tidak termasuk dalam Senarai 2 Jadual Kesembilan Perlembagaan Persekutuan 9.

Kerajaan negeri juga tidak boleh melaksanakan dan menguatkuasakan Undang-undang


10
Islam selain dari yang disebutkan dalam Senarai Negeri kerana ini akan bertentangan dengan
peruntukan di dalam Perlembagaan Persekutuan yang berbunyi: 11

“Dengan tidak menyentuh apa-apa kuasa yang diberi kepada Badan Perundangan Negeri
untuk membuat undang-undang mengenai apa-apa perkara lain, Badan Perundangan Negeri
boleh membuat undang-undang mengenai mana-mana perkara yang disebutkan dalam
Senarai Negeri (iaitu senarai kedua yang dinyatakan dalam jadual kesembilan) atau Senarai
Bersama.”

Sekiranya ini berlaku maka undang-undang tersebut akan diputuskan tidak sah oleh
mahkamah kerana undang-undang yang bertentangan dengan perlembagaan adalah batal dan
tidak sah.Ini dinyatakan di dalam peruntukan perlembagaan yang berbunyi:12

“Perlembagaan ini adalah undang-undang utama Persekutuan dan apa-apa undang-undang


yang diluluskan selepas Hari Merdeka dan yang berlawanan dengan Perlembagaan ini
hendaklah terbatal setakat yang berlawanan itu.”

Mahkamah Agung Malaysia pernah menegaskan perkataan Islam yang terdapat dalam
perkara 3 Perlembagaan Persekutuan itu hanya terhad kepada upacara-upacara dan adat istiadat
agama, oleh sebab itulah mahkamah-mahkamah sivil masih lagi menegaskan bahawa dalam
bidang-bidang tertentu mereka masih mempunyai bidangkuasa, contohnya dalam mentafsirkan
Enakmen undang-undang Islam yang telah dibuat oleh kerajaan-kerajaan negeri13.

9
Kamal Halili Hassan, The Shari'ah Court and Art. 121(lA) of The Federal Constitution, Jurnal Perundangan, Jilid I
Bil. I, ABIM. 10-4, Jalan 14/22, 46100 Petaling Jaya, Selangor Darul Ehsan, November 1989. m.s 40.
10
Hairuddin Bin Megat Latif, Status Dan Kedudukan Undang-Undang Islam Di Malaysia Sehingga Kini, [1992]
2 CLJ iii.
11
Perlembagaan Persekutuan, perkara 74(2).
12
Perlembagaan Persekutuan, perkara 4(1).
13
M. Suffian Hashim, "The Relationship Between Islam and the State in Malaya", Intisari Shirle Gardon(ed.),
Singapore Malayan Sociological Research Institute Ltd. jil. 1, no. 1 hlm. 8.
6

Sampel Permasalahan; Isu Penghakiman Trangender

Muhammad Juzaili Mohd Khamis, Shukor Jani dan Wan Kay Yusof Wan Ismail yang
merupakan wanita transgender ditangkap beberapa kali oleh penguatkuasa Jabatan Agama Islam
Negeri Sembilan dan didakwa di mahkamah syariah Negeri Sembilan kerana melanggar
enakmen negeri. Mereka akhirnya memfailkan semakan kehakiman untuk mengisytiharkan tidak
berperlembagaan sebuah fatwa syariah yang melarang lelaki daripada “memakai pakaian
perempuan” atau “menyamar sebagai seorang wanita” di Negeri Sembilan. Ekoran itu
Mahkamah Tinggi Seremban pada bulan Oktober 2012 memutuskan mereka perlu mematuhi
undang-undang kerana mereka Muslim dan dilahirkan lelaki.

Pada 7 November 2014, Mahkamah Rayuan Malaysia telah secara sebulat suara
mengisytiharkan bahawa seksyen 66 Enakmen Jenayah Syariah (Negeri Sembilan) 1992 (satu
undang-undang yang dibuat oleh Dewan Undangan Negeri Sembilan) adalah bercanggah dengan
beberapa peruntukan Perlembagaan Persekutuan14. Panel Mahkamah yang terdiri daripada Yang
Arif-Yang Arif Hakim-hakim Mahkamah Rayuan Dato’ Mohd Hishamuddin bin Mohd Yunos,
Dato’ Aziah binti Ali dan Datuk Lim Yee Lan.

Seksyen 66 memperuntukkan “mana-mana orang lelaki yang memakai pakaian


perempuan atau berlagak seperti perempuan di mana-mana tempat awam adalah melakukan satu
kesalahan dan hendaklah apabila disabitkan dikenakan hukuman denda tidak melebihi satu ribu
ringgit atau penjara selama tempoh tidak melebihi enam bulan atau kedua-duanya.”

Antara alasan yang diberikan oleh Mahkamah Rayuan adalah Seksyen 66 dirangka untuk
mencegah kesan negatif kepada masyarakat, yang antaranya membendung kegiatan homoseksual
dan lesbian yang menyebabkan penyebaran HIV, sedangkan kes ini adalah berkenaan lelaki
Islam dengan keadaan perubatan yang dikenali sebagai GID 15.

Menurut Dato’ Mohd Hishamuddin hujah bahawa Mahkamah Sivil tidak seharusnya
terlibat dalam kes ini kerana Artikel 121A Perlembagaan Persekutuan adalah tidak betul kerana
isu di sini bukan isu bidang kuasa tetapi adakah sesuatu undang-undang itu bercanggah atau
tidak bercanggah dengan Perlembagaan16.

Presiden Persatuan Peguam Peguam Muslim Malaysia (PPMM), Datuk Zainul Rijal Abu
Bakar dalam mengulas keputusan itu berpendapat yang Mahkamah Rayuan telah khilaf dalam
membuat keputusan tersebut dan ianya jelas tidak sejajar dengan beberapa peruntukan
Perlembagaan Persekutuan seperti Perkara 3 yang meletakkan Islam bukan sekadar agama rasmi
tetapi agama bagi Persekutuan. Menurutnya, Mahkamah Rayuan juga gagal mengambil kira
norma masyarakat Melayu Islam yang merupakan teras kepada jati diri kebangsaan, ini kerana
Islam dan Melayu merupakan sebahagian daripada struktur asas yang membentuk Perlembagaan
Persekutuan. Pada pandangan beliau keputusan tersebut seolahnya memusnahkan struktur asas

14
Rujuk Artikel 5, 8, 9, dan 10 dalam Perlembagaan Persekutuan.
15
Gender Identity Disoder, kecelaruan identity jantina.
16

http://www.malaysianbar.org.my/berita/komen_undang_undang/keputusan_mahkamah_rayuan_dalam_kes_tran
sgender.html
7

yang ada dan ini akan mengakibatkan jati diri dan kerangka Perlembagaan Persekutuan itu
sendiri terpecah17.

Bekas Ketua hakim negara, Tun Abdul Hamid Mohammad dalam ulasan peribadi beliau
semasa merujuk kepada alasan penghakiman yang dibuat merasakan bahawa sandaran yang
digunakan jelas tidak sesuai kerana nilai-nilai yang terdapat dalam penafsiran perundangan
nampak lebih cenderung kepada barat dan gagal mengambil kira kepada latar belakang
Perlembagaan negara Malaysia yang mempunyai peruntukan-peruntukan khusus mengenai
agama Islam. Justeru, ianya menjadi sangat liberal dalam mendefinasikan skop kebebasan 18.

Tambah beliau lagi, “apabila hukum syarak boleh dicabar atas alasan ianya
“unreasonable” kepada sesaorang Hakim, termasuk yang bukan Islam, maka hukum syarak akan
sentiasa terdedah kepada kemungkinan diisytiharkann tak sah” seperti poligami, minuman keras,
zina dan liwat, dan antara implikasi yang paling dekat adalah perkahwinan sesame jenis atas
alasan pengesahan perubatan berkenaan GID19.

Ulasan Dari Sudut Maqasid Syariah

Perlu diambil perhatian, bahawa antara fakta yang dibawa di dalam kes ini adalah;

1- cubaan untuk mencabar dan membatalkan peruntukan enakmen syariah seperti seksyen
66 atas alasan kerana ianya bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan.
2- bidangkuasa mentafsir Perlembagaan Persekutuan terletak di bawah bidangkuasa
Mahkamah Sivil yang boleh mengisytihar sesuatu undang-undang itu tak sah kerana
bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan.
3- penghakiman Mahkamah Rayuan tersebut tidak mempertikaikan bahawa kesalahan itu
adalah satu kesalahan terhadap “perintah” (“precepts”) agama Islam tetapi ianya tidak
dilihat sebagai satu jenayah di dalam tafsiran peruntukan perlembagaan yang terletak di
bawah bidangkuasa Persekutuan.
4- Mahkamah mendapati peruntukan Seksyen 66 itu tak sah kerana ia melanggar takrifan
kebebasan mengikut tafsiran para Hakim sebagaimana yang disebut dalam Perkara 5(1)
(kebebasan diri), 8(1) (kesamarataan), 8(2)2 (diskriminasi), 9(2) (kebebasan bergerak)
dan 10(1)(a) (kebebasan bercakap dan bersuara), yang mana sandaran yang digunakan
terlalu liberal dan gagal untuk mengambilkira suasana dan kebiasaan setempat.
5- Penghakiman itu menimbulkan persoalan sejauh mana kedudukan Islam di dalam negara
terpelihara dan berdaulat. Keputusan ini juga jelas memberi maksud undang-undang
enakme Islam berkaitan yang diamalkan di negeri dan Wilayah Persekutuan juga batal
dan tidak sah.keputusan itu sekali gus memberi implikasi besar termasuk menjadi kes

17
Sinar Harian, seksyen Nasional, bertarikh 8 November 201

18
http://www.tunabdulhamid.my/index.php/speech-papers-lectures/item/738-ulasan-penghakiman-kes-muhamad-
juzaili.
19
ibid.
8

rujukan di mahkamah pada masa depan yang menggugat keabsahan undang-undang


Syariah.
6- Ia akan membuka ruang untuk lebih banyak pihak tampil mempertikaikan keabsahan
undang-undang Syariah yang digubal di peringkat negeri. Ia juga membuka ruang untuk
golongan yang melakukan amalan bercanggah dengan Islam berpesta kerana merasakan
dilindungi oleh Perlembagaan Persekutuan.

Jelas di sini betapa sempit dan rapuhnya ruang dan peranan yang boleh dimainkan oleh
maqasid syariah dalam mendasari asas perundangan di Malaysia, kerana bidang kuasa
perundangan syariah jelas masih terkongkong walaupun pada zahirnya bidang kuatkuasanya
terpisah dari perundangan sivil.

Bidangkuasa penafsiran perundangan yang terletak ditangan mahkamah sivil, maka


ruang-ruang untuk mengetepikan atau mengabaikan nilai-nilai maqasid begitu luas sekali, impak
dari liberalisasi dan justifikasi yang mungkin bercanggah dengan prinsip asas maqasid syariah,
seperti penafsiran kebebasan dalam mengamalkan praktis agama seperti ibadah, etika
berpakaian, skop pergaulan dan nilai kemasyarakatan, tatacara dan perundangan perkahwinan,
perhubungan kekeluargaan, muamalat dan jenayah.

Prinsip asas maqasid dalam realiti justifikasi perundangan sedia ada mudah sekali dicabar
dan dipertikaikan kerana ianya bukan dibina atas asas liberalisasi yang dilihat sebagai signifikan
dengan aliran pemikiran dan justifikasi logika semata-mata tetapi berdasarkan panduan wahyu
rabbani dan petunjuk Rasulullah s.a.w. yang diproses dan disusun oleh para ulama’ mengikut
disiplin ilmu yang teratur rapi.

Kemungkinan untuk berlaku percanggahan dalam pemahaman dan takrifan dalam


peruntukan perundangan, konflik penghakiman dan kekangan implementasi atau
penguatkuasaan, dan limitasi atau pengabaian terhadap prinsip asas maqasid syariah yang lima
yaitu menjaga kemaslahatan agama, kehidupan, akal, keturunan dan harta dalam perjalanan dan
pertikaian proses perundangan di Malaysia, berdasarkan realiti semasa adalah begitu
membimbangkan.

Lantaran itu satu usaha perlu difikirkan untuk memastikan kefahaman dan interpretasi
yang jelas, pindaan atau penggubalan dalam peruntukan Perlembagaan dan langkah-laqngkah
yang dilihat perlu di peringkat eksekutif dan legislatif.

Usul-usul untuk memastikan perkara ini perlu dibentangkan dan dibincang dengan serius,
demi memastikan kelangsungan syariat Islam dan prinsip maqasid dalam mendepani cabaran
realiti di negara Malaysia tercinta ini kekal dan releven hingga ke akhirnya. Kajian dan
pemerhatian yang serius terutamanya di peringkat akademik perlu bebas dari sebarang
kongkongan dan kekangan seperti politik, kepentingan tertentu dan seumpamanya.

Institiusi Perundangan Syariah yang diwakili oleh enakmen negeri-negeri perlu


diselaraskan dan diperkasa di samping menilai semula kekangan dan halangan samada di
peringkat negeri dan persekutuan.
9

Moga konflik yang menyentuh kredibiliti Syariat Islam sebagai teras sensitiviti
kemasyarakatan dan nilai-nilai perundangan dapat terus dijaga dan dipertahankan kedaulatan dan
kelangsungannya di bumi Malaysia yang bertuah ini hingga ke akhir dunia.

You might also like