You are on page 1of 5

Sulaiman Al Rajhi: Jutawan Islam Yang Kaya Dunia Dan Akhirat

“Bagaimana anda boleh memuaskan nafsu lapar anda sedangkan jiran anda menghabiskan malam
mereka dalam keadaan kelaparan?”

Pada bulan Mei 2011, Sulaiman Al Rajhi telah melemparkan soalan ini kepada sekumpulan ahli
perniagaan di hadapannya. Pada bulan yang sama juga, dunia telah digemparkan dengan
pengumuman beliau untuk memindahkan sebahagian besar harta kekayaannya yang dianggarkan
Forbes bernilai USD 7.7 bilion itu kepada anak-anak beliau dan sebahagian besar yang lain kepada
badan-badan amal dan kebajikan. Dengan bantuan agensi-agensi yang berkaitan, pengagihan harta
perniagaannya termasuklah saham dan hartanah miliknya telah berjaya dilakukan dan seterusnya
menjadikan beliau insan yang ‘miskin’ semula dan hanya tinggal ‘sehelai sepinggang’. Kata Sulaiman
Al Rajhi, jalan yang dipilihnya ini, telah membuatkan jiwanya menjadi lebih tenang dan gembira.
Beliau menganggap dirinya hanyalah penjaga bagi seluruh harta kekayaannya, dan pemilik kekal
adalah Allah S.W.T. Dengan melakukan pengagihan hartanya, beliau juga dapat mengelakkan
perebutan harta dan seterusnya permusuhan dalam kalangan anak-anaknya sekiranya beliau pergi
meninggalkan dunia tanpa mengagihkan hartanya terlebih dahulu. Sesuatu yang tidak diingininya
adalah melihat perpecahan antara anak-anaknya sendiri, seperti yang kerap berlaku dalam
masyarakat sekarang yang seterusnya pada fikirannya akan merugikan keluarga, masyarakat dan
negara. Pengagihan harta ini juga dibuat agar beliau boleh memastikan pewarisnya boleh
menguruskan perniagaan dan pelaburan yang telah dibuatnya. Dengan cara ini juga, beliau
berpeluang untuk memberi tunjuk ajar kepada anak-anaknya, sekiranya mereka menghadapi
masalah dalam mentadbir perniagaan yang diwarisi. Sulaiman Al Rajhi juga berharap dengan
mewariskan sebahagian besar daripada hartanya ke jalan Allah, beliau telah dapat menunaikan
tanggungjawab menjaga saudara-saudara Islam yang lain dan seterusnya menjadi bekalan pahala
untuk dirinya di akhirat kelak.

Latar Belakang Sheikh Sulaiman bin Abdul Aziz Al Rajhi – Daripada Padang Pasir Akhirnya Ke Mata
Dunia

Sulaiman Al Rajhi lahir pada tahun 1920, merupakan seorang tokoh korporat dan jutawan berbangsa
Arab Saudi. Beliau menerima pendidikan terakhirnya daripada Universiti King Abdul Aziz di Arab
Saudi. Beliau merupakan pengerusi kepada Bank Al Rajhi, salah satu syarikat terbesar di Arab Saudi
dan bank Islam yang terbesar di seluruh dunia. Sulaiman Al Rajhi merupakan seorang jutawan Arab
yang hebat. Pada tahun 2011, Forbes telah menyenaraikan beliau sebagai seorang yang
berpengaruh dan merupakan orang yang ke 120 terkaya di dunia. Beliau juga dikatakan antara 10
orang yang terkaya di Arab Saudi.

Sulaiman Al Rajhi bukanlah seorang yang lahir dalam keluarga yang berada dan bukan juga seorang
yang berketurunan diraja. Beliau membesar di padang pasir Nejd dan bersama-sama saudara
kandungnya, Saleh Al Rajhi telah memulakan perniagaan menukar wang untuk pengembara yang
merentasi padang pasir ke Bandar Mekah dan Madinah. Banyak syarikat yang telah ditubuhkan oleh
Sulaiman Al Rajhi antaranya ialah Bank Al Rajhi, Pusat Penternakan Ayam al-Watania dan Pusat
Pertanian Al-Watania. Sulaiman Al Rajhi juga merupakan pengasas kepada Yayasan Kebajikan
Sulaiman Al Rajhi yang juga dikenali sebagai Yayasan SAAR yang merupakan sebuah organisasi
kebajikan dan amal yang terkemuka di dunia. Kini selepas pengagihan hartanya dibuat, fokus
Sulaiman Al Rajhi lebih kepada kerja-kerja amal seperti menguruskan hal-hal yang berkaitan dengan
Yayasan SAAR.

Walaupun usianya sudah mencecah lebih 90 tahun, Sulaiman Al Rajhi masih lagi aktif dalam
menguruskan hal-hal perniagaan beliau.

Bank Al Rajhi – Perbankan Secara Islam

Di kala usia mudanya, beliau berpengalaman dalam aktiviti penukaran mata wang. Pengalaman
yang dikutipnya ini dijadikan asas dan panduannya untuk menubuhkan Bank Al Rajhi, dan seterusnya
menjadikannya pemegang saham terbesar untuk syarikat itu. Abang beliau Sheikh Saleh Bin Abdul
Aziz Al Rajhi juga turut menjadi tulang belakangnya dalam merancang penubuhan serta
menguruskan Bank Al Rajhi. Sulaiman Al Rajhi adalah seorang yang bijak mentadbir dan
menjalankan urusan perniagaannya sehingga Bank Al Rajhi dilaporkan mencatat keuntungan yang
paling tinggi jika dibandingkan dengan bank-bank lain di Arab Saudi.

Menceritakan semula detik permulaan perbankan secara Islam, melalui satu wawancara media yang
dibuat oleh Muhammad Al-Harbi daripada Al-Eqtisadiah Business Daily, Sulaiman Al Rajhi telah
menceritakan bagaimana pada lebih 30 tahun dahulu, beliau telah mengambil keputusan untuk
berjumpa dengan Pengurus Bank of England untuk berbincang mengenai perbankan secara Islam.
Beliau menegaskan bahawa bayaran ‘faedah’ adalah riba yang haram bagi kedua-dua agama Islam
dan Kristian, dan mengesyorkan perbankan secara Islam sebagai penyelesaian yang terbaik bagi
menaikkan taraf ekonomi dunia. Setelah idea dan fakta-fakta yang dibincangkan ini diterima, beliau
kemudiannya telah pergi ke serata dunia untuk berjumpa dengan ketua-ketua bank negara dan
memberitahu mereka bagaimana ciri-ciri yang terdapat dalam dunia ekonomi Islam. Perbankan
secara Islam yang mendapat sokongan mufti besar, Sheikh Abdul Aziz Bin Baz ini kemudiannya mula
diterima di mata dunia dan dilaksanakan di negara Arab dan juga di kota London.

Terkini, Bank Al-Rajhi telah mempunyai sebanyak 570 cawangan di seluruh dunia. Pada Oktober
2006, Bank Al Rajhi telah membuka cawangannya di Malaysia dan sebanyak 25 cawangan bank nya
sudah dibuka sehingga kini, 15 di Lembah Kelang, satu masing-masing di Johor Bahru, Melaka,
Penang, Ipoh, Kota Bharu, Kuantan, Kuching, Sg. Petani dan Kota Kinabalu. Bank Al Rajhi juga telah
dianugerahkan beberapa anugerah di peringkat antarabangsa.

Pusat Penternakan Ayam al-Watania

“Dan janganlah kamu makan daripada apa (daging haiwan) yang ketika disembelih tidak disebut
nama Allah, perbuatan itu benar-benar suatu kefasiqan..” – Surah Al-An ‘am ayat 121.

Sulaiman Al Rajhi seorang yang amat sensitif dalam etika penternakan haiwan ternakan. Ketika
beliau mengadakan lawatan ke ladang ternakan di luar negara, beliau telah melihat dengan matanya
sendiri proses penternakan yang ada. Beliau merasakan proses yang dilakukan pada ketika itu adalah
salah dari segi syariah. Beliau kemudiannya memutuskan untuk menceburi bidang ternakan dengan
menubuhkan Pusat Penternakan Ayam al-Watania yang terletak di Bandar Qassim, Arab Saudi.
Ayam-ayam di ladang ternakannya ini diternak dengan baik, diberi makan dengan sempurna dan
disembelih secara halal mengikut undang-undang syariah. Kini syarikat ini telah berjaya
mengeluarkan setengah juta ayam dan satu juta telur setiap hari dan menguasai 40% pasaran di
Arab Saudi dan merupakan ladang binatang ternakan yang terbesar di Timur Tengah.

Pusat Pertanian Al-Watania

Sulaiman Al Rajhi juga telah melabur lebih USD 250 juta dalam pertanian secara organik untuk
memastikan masyarakat dapat makan makanan yang bebas daripada bahan kimia berbahaya.
Syarikat Pertanian Al-Watania yang ditubuhkan pada tahun 1982 kini telah menjadi salah satu
syarikat pertanian terkemuka di Arab Saudi. Syarikat ini telah banyak melakukan penyelidikan
terhadap tanaman secara organik dan berbangga dengan produk pertanian nya yang menggunakan
baja organik sepenuhnya. Beribu pejabat di kota Riyadh, syarikat ini mempunyai ladang yang
terletak di utara, tengah dan selatan Arab Saudi.

Universiti Sulaiman Al Rajhi

Selain itu, Sulaiman Al Rajhi juga telah menubuhkan Universiti Sulaiman Al Rajhi yang fokus
utamanya adalah untuk melahirkan pelajar-pelajar dalam pelbagai bidang antaranya kesihatan dan
perbankan Islam. Kelahiran pelajar daripada universiti yang terletak di daerah Qassim, Arab Saudi ini
juga dilihat dapat memenuhi keperluan tenaga kerja yang diperlukan oleh negara Arab Saudi.

Keperibadian Sulaiman Al Rajhi

Kejayaan sentiasa berpihak kepada Sulaiman Al Rajhi, tak kira apa jua bidang yang diceburinya.
Namun beliau juga tidak pernah terlepas daripada dugaan Allah S.W.T., antaranya apabila kilang
ternakan beliau hangus terbakar dijilat api. Peristiwa ini berlaku bukan sekali tetapi dua kali kilang
yang berlainan menghadapi masalah kebakaran. Apabila diberitahu perihal kejadian itu oleh
kakitangan syarikatnya, beliau tampak sabar dan tabah dan hanya mengucapkan ‘Alhamdulillah’.
Beliau kemudiannya meminta agar pengurusan syarikat kilangnya itu berpindah ke tempat lain dan
membersihkan segala kerosakan yang dialami sehingga semuanya dapat dibaiki.

Sulaiman Al Rajhi bersifat suka merendah diri dan turut memiliki pegangan saham syarikat
penerbangan namun tidak berminat untuk memiliki jet peribadi. Katanya beliau lebih suka menaiki
penerbangan kelas ekonomi, baginya Allah tidak memberikannya harta untuk ditunjuk-tunjuk
kepada orang ramai. Beliau juga seorang yang sangat suka bersedekah dan baru-baru ini telah
membuat amal dengan memberi makan kepada hampir 3 juta jemaah haji yang mengerjakan wuquf
di Arafah. Sulaiman Al Rajhi tidak hanya menyediakan wang dan mengupah orang memasak
hidangan itu, tetapi beliau sendiri telah ‘turun padang’ dan terlibat secara aktif bersama-sama lebih
daripada 800 tukang masak yang diupah untuk penyediaan hidangan itu.
Sesuatu yang dipelajarinya pada awal pembabitannya dalam urusan perniagaan, ialah untuk
menepati masa. Pernah katanya temu janjinya untuk berjumpa dengan seorang pegawai di Eropah
dibatalkan hanya kerana beliau terlewat beberapa minit untuk temu janji itu. Sejak daripada
peristiwa itu, beliau telah mendisiplinkan dirinya untuk lebih menepati masa. Beliau juga sering
membawa buku nota kecil untuk mencatatkan aktiviti harian beliau dan akan sentiasa merujuk buku
nota nya untuk memastikan beliau tidak lupa apa-apa aktiviti atau temu janji yang telah dijadualkan.

Ketegasannya dengan prinsip Islam amat digeruni, pernah beliau keluar daripada satu majlis makan
malam apabila mengetahui terdapat program hiburan di majlis makan malam itu. Setelah
pembatalan program hiburan tersebut, dan setelah dijemput semula oleh menteri yang terbabit
barulah beliau menyertai semula majlis makan malam itu.

Kerajaan Arab Saudi juga telah menganugerahkan beliau Anugerah Antarabangsa Raja Faisal 2012
dalam satu acara gilang gemilang yang telah diadakan di Riyadh. Beliau telah dipilih untuk menerima
anugerah ini atas jasa dan peranan besar beliau dalam mewujudkan perbankan Islam yang terbesar
selaras dengan ajaran Syariah. Beliau juga diiktiraf atas segala jasa beliau seperti sokongan
kewangan yang diberikan, mencetak ratusan ribu salinan Al-Quran dan mengedarkan nya secara
percuma ke seluruh dunia, terutamanya di Afrika, pembinaan masjid dan sumbangan tak terkira
beliau dalam pembangunan sosio-ekonomi.

Semoga jasa dan bakti yang telah beliau taburkan diingati selalu. Marilah kita sama-sama berdoa
agar usianya dipanjangkan dan hidupnya diberkati Allah dunia dan akhirat.
SULAIMAN AL-RAJHI
”jutawan islam yang kaya dunia dan akhirat “

You might also like