You are on page 1of 4

Perniagaan menuntut sepenuh perhatian, tenaga, masa dan pengorbanan yang seluruh

kerana perniagaan merupakan bidang yang sangat serius. Jika kita berani mengambil
risiko, perniagaan kita akan terus maju. Jika tidak, angan-angan hangat tahi ayam ini
akan berhenti dipertengahan jalan dan maruah diri sendiri yang terpaksa digadai.
Perniagaan boleh diibaratkan sebagai maruah seseorang kerana tiada seorang pun
yang mahu hidupnya gagal dan diperlekehkan pihak lain. Orang yang bijak dalam
perniagaan mampu merasai kehidupan yang sebenar dengan memiliki semua
keinginan dan impian. Seperti memiliki banglo seperti istana, memandu kereta
mewah, mempunyai kewangan yang stabil, bercuti di serata pelusuk dunia dengan
pelbagai kemudahan lain. Menjurus kepada topik asal, perniagaan dengan Orang Cina
adalah sangat sebati dan sukar untuk dipisahkan. Boleh dikatakan bahawa rahsia
kejayaan Orang Cina adalah melalui perniagaan. Disebabkan hal itu, ramai golongan
jutawan Malaysia terdiri daripada golongan Orang Cina. Golongan ini mampu hidup
mewah hasil daripada peluang perniagaan yang diceburi mereka. Lebih jelas lagi jika
kita katakan bahawa sebarang jenis perniagaan di Malaysia dimonopoli oleh golongan
ini. Sejak awal penubuhan Tanah Melayu, golongan ini yang datang berhijrah dari
China telah memegang tampuk pentadbiran dalam urus niaga terutamanya perusahaan
lombong.
Senarai terbaru kedudukan jutawan Malaysia menurut Malaysian Business 2011,
kedudukan tempat pertama ialah Raja Gula Malaysia, iaitu Tan Sri Robert Kouk.
Beliau merupakan seorang Cina yang memegang aset bernilai RM 50.04 billion.
Perniagaan gula yang diusahakannya telah meletakkan statusnya pada tahap tertinggi
hari ini. Tempat kedua disusuli oleh seorang taikun komunikasi, T Anand Krishnan
dengan aset bernilai RM 45.78 billion. Tangga ketiga juga dikuasai oleh Orang Cina
iaitu Pengerusi Public Bank, Tan Sri The Hong Piow dengan aset bernilai RM 12.77
billion. Tangga keempat sehingga tangga keenam turut dimonopoli golongan Cina dan
tangga ketujuh adalah Orang Melayu iaitu Tan Sri Syed Mokhtar AlBukhary daripada
Yayasan AlBukhary dengan aset bernilai RM 8.84 billion. Golongan ini mempunyai
cara yang tersendiri untuk terus maju dan meluaskan lagi empayar perniagaan mereka.
Contoh yang paling rapat dengan kita adalah pembukaan pusat pelancongan terbesar
iaitu Genting Highlands Resort. Kedatangan beliau sebagai seorang yang sangat
miskin menyebabkan beliau berusaha lebih keras untuk membaiki taraf hidup.
Pengasas Genting Group merangkap hartawan Asia, Tan Sri Lim Goh Tong pernah
mendedahkan beberapa tips yang diamalkannya sendiri sehingga berjaya menjadikan
Genting Highlands Resort sebagai pusat hiburan dan percutian terkemuka dunia.
Sebagai rakyat Malaysia, kita patut berbangga dan menjadikannya sebagai inspirasi
untuk terus maju dalam perniagaan. Mendiang Tan Sri merupakan pengasas Genting
Group dan presiden seumur hidup. Beliau meninggal dunia pada tahun 2007 sebagai
orang terkaya Asia Tenggara dengan aset bernilai RM 421.8 billion!
Merendah Diri, Bersopan Santun dan Menghormati Orang Lain
Perasaan rendah diri dan tidak bongkak dengan kemewahan yang dimiliki akan
menjadikan diri seseorang lebih berwaspada dengan usaha yang dilakukan. Serta tidak
pernah lalai dengan wang yang banyak. Jadi, wang yang dikumpul sentiasa
menjanjikan pulangan modal yang dapat digunakan pada masa depan dan wang itu
juga boleh mula disimpan. Amalan merendah diri akan membuatkan ramai orang yang
suka berdamping dan suka berkawan dengan kita. Walaupun kita sudah menjadi
antara usahawan yang terkenal, nilai untuk menghormati orang lain jangan dilupa.
Kerana nilai ini menggambarkan sikap secara keseluruhannya. Selain itu, Tan Sri juga
mengamalkan sikap dengan menepati masa yang telah dibuat. Beliau juga akan hadir
10 minit lebih awal dari masa yang telah dijanjikan. Beliau sendiri tidak pernah
memungkiri janji yang telah dibuat. Kerana perkara seperti ini akan menjejaskan
hubungan yang telah dibina. Seboleh-bolehnya, jauhi kelakuan ini untuk menjamin
hubungan yang baik. Tan Sri juga mengamalkan amalan bangun tidur awal dan
kembali ke bilik tidur lambat. Jika mahu berjaya dalam perniagaan, mari kita cuba tips
beliau.
Berkerja Keras & Sedaya Upaya
Orang Cina sentiasa positif dalam dunia perniagaan. Kerana, dunia perniagaan
menjanjikan peluang untuk menikmati kehidupan yang sangat manis. Untuk menjadi
senang kita tidak mempunyai pilihan selain bekerja kuat atas usaha diri sendiri.
Mengikut perkiraan Orang Cina, apabila mereka hidup dalam kemewahan, secara
sendirinya kebahagiaan itu akan hadir. Pemikiran Orang Cina dengan bangsa lain
adalah sangat berbeza. Orang Melayu contohnya hanya berharap untuk berkhidmat
dalam kerajaan selepas menamatkan pengajian di universiti. Hal ini membuatkan
mereka tidak berfikir di luar kotak untuk mencuba sesuatu yang baru atau cuba untuk
membaiki taraf hidup yang lebih selesa. Pemikiran lama ini sering sahaja menghantui
hidup bangsa Melayu dan membuatkan golongan ini gagal untuk berada pada
kedudukan yang selesa setaraf juwatan Malaysia. Rata-rata usahawan Cina yang
berjaya bekerja 18 jam sehari. Mereka hanya ada masa yang terhad untuk merehatkan
diri. Sebab itulah mereka menghargai masa sebaiknya. Jika kaum lain, cukuplah
apabila keluar bekerja pukul 8 pagi dan pulang dari tempat kerja pada pukul 5 petang.
Hanya tunggu hujung bulan apabila gaji boleh dikeluarkan.
Golongan ini juga sentiasa bersikap tamak dan tidak pernah berpuas hati dengan
keselesaan yang sedia dinikmati. Mereka tidak pernah jemu untuk menjadi kaya.
Sikap ini menjadi pembakar semangat mereka untuk berusaha dengan lebih gigih. Jika
hendak dibandingkan dengan kaum lain seperti Melayu sendiri, mereka akan cepat
merasa puas dan selesa dengan apa yang mereka miliki. Mereka kurang berminat
untuk memperbaiki hidup yang selesa untuk menjadi lebih selesa lagi. Itulah
kelemahan kaum Melayu. Mungkin mereka baik dalam bidang lain, bukan dalam
bidang pernigaan. Rata-rata kaum lain tidak berminat untuk menambahkan masalah
sakit kepala apabila beban dan tanggungjawab kerja semakin bertambah. Bagi kaum
lain, orang tamak selalu rugi, tetapi tidak bagi Orang Cina. Semakin tamak, semakin
baik. Orang kaya akan semakin kaya, dan orang yang malas akan terus susah. Orang
Cina bersikap tamak untuk mengumpul aset yang dimiliki dan untuk kesenangan
generasi mereka. Mungkin juga mereka dipengaruhi oleh faktor yang telah diketahui
ramai bahawa Orang Cina sangat bijak dalam selok-belok perniagaan. Disebabkan hal
inilah menjadi faktor pendorong untuk menjadikan mereka terus kaya. Bimbang jika
air muka mereka jatuh.
Amalan Menyimpan Wang
Tan Sri mengamalkan sikap dengan menyimpan wang yang diperolehi bukan untuk
dibelanjakan tetapi untuk dibuat pusingan modal dan pelaburan yang akan datang.
Jika tidak, hanya sekali sahaja kita akan untung, selepas itu hanya kerugian sahaja
yang diterima. Adat berniaga pasti ada untung rugi. Tetapi jika hanya rugi, tandanya
perniagaan itu sudah tidak mampu bertahan lama. Wang modal perniagaan dengan
wang perbelanjaan harian mesti disimpan secara berasingan. Hal ini bagi
mengelakkan masalah pengeluaran perbelanjaan untuk keperluan yang tidak
sepatutnya. Apabila melihat wang yang banyak, tanpa berfikir panjang pasti kita akan
menggunakan wang itu tanpa menyedari itu adalah wang untuk pusingan dan
pelaburan yang seterusnya. Manusia sememangnya mudah alpa, nampak sahaja
kemudahan yang ada, mulalah lupa dunia. Wang yang sepatutnya disimpan silap-silap
habis dibelanjakan pula. Apabila perniagaan semakin maju, modal juga semakin
besar. Apabila mempunyai wang yang besar untuk dilaburkan maka keuntungan juga
semakin tinggi. Mempunyai kedudukan yang kukuh dalam perniagaan adalah harapan
bagi semua peniaga dan usahawan yang berjaya. Dalam kata yang paling mudah,
modal besar untung juga pasti besar.
Bermula dari Bawah
Beliau bekerja dari peringkat yang paling bawah. Beliau bekerja sebagai tukang kayu
sebelum membuka syarikat pembinaan Kien Huat dan bergelar kontraktor kelas A.
Tan Sri sendiri merupakan seorang budak miskin semasa mula berhijrah ke Tanah
Melayu. Kemudian, usaha gigih beliau membuahkan hasil yang lumayan. Pelbagai
pekerjaan yang dilakukan sebelum bergelar jutawan. Orang Cina berharap untuk
menjadi terkenal sejak awal pembabitan dalam dunia perniagaan. Harapan adalah
satu, tidak mahu kaum dan keturunan mereka terus susah. Beliau sendiri pernah
dikatakan gila apabila mengatakan hasrat untuk membagunkan Gunung Ulu Kali.
Lihat, sekarang impian itu telah menjadi kenyataan. Gunung Ulu Kali telah bertukar
menjadi Genting Highlands. Setiap titik peluh yang mengalir telah memberikan kita
keselesaan sehingga dikenali seluruh dunia. Secara tidak langsung, penubuhan
Genting Highlands juga telah memberikan peluang pekerjaan kepada semua kaum.
Tidak Bermain Kotor dalam Perniagaan
Berikutnya, beliau sentiasa berpesan agar tidak bermain kotor dalam perniagaan.
Jangan mengambil jalan pintas jika mahu perniagaan yang diusahakan bertahan lama
sehingga boleh diwariskan kepada generasi yang berikutnya. Beliau sentiasa
mengingatkan Orang Cina dan semua orang yang mahu terjun ke dunia perniagaan
agar tidak membuat helah. Kerana tiada jalan pintas untuk berjaya selain dengan
usaha diri sendiri. Minat yang mendalam akan menjadi pendorong dan pembakar
semangat dalam pekerjaan yang dilakukan. Minat merupakan ubat yang paling
berkesan untuk memajukan perniagaan. Peniaga harus sentiasa sedar diri dan percaya
pada kawan sekeliling dan juga percaya kepada Tuhan dan memohon berkat
daripadanya. Hendak memulakan perniagaan bukan suatu perkara yang mudah, jika
mempunyai musuh, kelak perniagaan itu tidak mampu bertahan ekoran ada musuh
yang menikam dari belakang. Pendek kata, berbuat baik pada semua orang adalah
kuncinya.
Berani Menanggung Risko
Sebarang kemungkinan untuk jatuh mesti kita sedia terima dengan tabah dan
menjadikannya sebagai batu loncatan untuk terus membina masa depan yang cerah.
Jika tidak berani, hasrat untuk memulakan perniagaan harus dilupakan. Kemunculan
pusat perlancongan bertaraf dunia itu adalah hasil idea seorang lelaki Cina yang
pernah dilabel sebagai gila suatu ketika dahulu. Ejekan yang diterima dijadikan
pembakar semangat untuk maju. Orang pernah mengatakan bahawa idea itu tidak
akan kemana dan pelaburannya tidak menjanjikan pulangan modal berikutan tiada
siapa yang berminat dengan perniagaan seperti itu. Beliau telah menyahut cabaran itu
dengan bekerja 2 syif sepanjang minggu bagi menjimatkan kos. Beliau dan kawan-
kawannya terpaksa tinggal di dalam hutan dan gua bedekatan. Beliau merupakan
orang pertama yang bekerja mengikut syif 24 jam sehari sepanjang minggu untuk
memastikan cita-cita itu tercapai. Beliau juga akan menjadi orang yang pertama
sampai ke tempat kerja dan menjadi orang yang terakhir untuk pulang dari tempat
kerja. Beliau sentiasa menjaga pekerja-pekerjanya dan beranggapan bahawa semua
pekerjanya adalah aset yang paling berharga. Kini, First World Hotel merupakan
antara hotel terbesar di dunia.
Secara kesimpulannya, semua orang mempunyai hak untuk berjaya dan mereka wajar
diberi peluang untuk mencuba nasib. Kerana semua manusia itu mempunyai cita-cita.
Mereka boleh menjadikan mana-mana tokoh sebagai inspirasi untuk berjaya. Usaha
keras akan membuahkan hasil dalam setiap pekerjaan yang hendak dilakukan.
Sesungguhnya setiap cita-cita dan impian menagih sepenuh perhatian dan
pengorbanan yang paling tinggi. “cerita saya”

You might also like