You are on page 1of 2

Alhamdulillah, saya bersyukur ke hadrat Allah SWT dengan berkat taufik dan hidayah-Nya,

dapat kita berhimpun dalam Majlis Perutusan Tahun Baharu 2018 Kementerian Pendidikan Malaysia
(KPM) pada pagi yang ceria ini. Pertemuan ini merupakan satu peluang yang baik untuk kita
berkongsi dan berinteraksi sesama kita. Pada kesempatan ini, saya mengucapkan Selamat Tahun
Baharu kepada semua warga KPM dan tidak ketinggalan juga barisan kepimpinan dan ahli kesatuan
guru, wakil Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) serta para hadirin sekalian.

Pertama sekali, saya ingin mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan terima
kasih kepada warga KPM yang telah melaksanakan tugas dengan cemerlang sepanjang tahun 2017.
Sesungguhnya warga KPM mempunyai komitmen yang amat tinggi dalam menjalankan tugas demi
anak bangsa seperti yang tercatat dalam moto Berkhidmat Untuk Negara. Pengorbanan warga KPM
dalam melaksanakan semua aktiviti dan program PPPM dengan jayanya telah menjadikan sistem
pendidikan negara dikagumi di persada antarabangsa. TAHNIAH diucapkan.

Keberkesanan Pembelajaran Abad ke-21 (PAK21) dalam meningkatkan kemahiran berfikir


aras tinggi dan kemahiran insaniah dalam kalangan murid terletak kepada kemahiran strategi guru
dalam mengemblengkan fakta, pengetahuan dan kemahiran yang ingin diterapkan kepada murid
dalam pengajaran dan pembelajaran melalui penggunaan pelbagai alat dalam pendidikan – alat
bukan ICT dan alat ICT. Salah satu kaedah untuk memanfaatkan peralatan ICT sebagai pengupaya
pembelajaran ialah melalui penyediaan Bilik Darjah Pintar.

Program Transformasi Sekolah 2025 (TS25) telah dilaksanakan mulai 2015 dengan matlamat
untuk memantapkan kepimpinan sekolah, memaksimumkan potensi guru dan murid menerusi
peningkatan kualiti pengajaran dan pembelajaran (PdP) serta mengukuhkan pelibatan ibu bapa,
komuniti dan pihak berkepentingan demi kejayaan murid. Sehingga kini, TS25 telah menampakkan
hasil dalam mewujudkan suasana pembelajaran bermakna yang membawa kepada kemenjadian
murid. TS25 diteruskan untuk kohort ketiga bagi tahun 2018 dengan penambahan sekolah baharu
berjumlah 401 buah menjadikan jumlah keseluruhan 600 buah sekolah melaksanakan program TS25
pada tahun 2018.

Sistem pendidikan terbaik menyediakan pendidikan yang terbaik kepada setiap kanak-kanak
tanpa mengira etnik, tempat atau latar belakang sosioekonomi. Pihak Kementerian terus berusaha
gigih untuk meningkatkan kejayaan murid Orang Asli melalui inisiatif Transformasi Pendidikan Orang
Asli agar mereka berpeluang menerima pendidikan berkualiti yang relevan dengan keperluan
mereka. Pelan Hala Tuju Transformasi Pendidikan Orang Asli dan Peribumi juga dijadikan panduan
dan asas untuk memastikan ekuiti pendidikan dapat dicapai bagi masyarakat Orang Asli dan
Peribumi.

Kementerian ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan terhadap sokongan dan


pelibatan ibu bapa dan masyarakat dalam memastikan aspirasi pendidikan negara dapat dicapai.
Sepanjang tahun 2017, kita dapat melihat peningkatan pelibatan ibu bapa di sekolah. Peratus
kehadiran ibu bapa dalam 6 aktiviti utama di sekolah telah meningkat daripada 92.89 peratus pada
tahun 2016 kepada 94.45 peratus bagi tahun 2017. Peratus ibu bapa yang terlibat sebagai
sukarelawan dalam aktiviti PIBG/sekolah juga semakin meningkat daripada 40.11 pada tahun 2016
kepada 82 peratus bagi tahun 2017.

Akhir kata, saya mendoakan semoga tuan-tuan dan puan-puan sekalian terus beristiqamah
dan beriltizam menyampaikan perkhidmatan berimpak tinggi dengan cemerlang dan berintegriti
sepanjang masa. Saya yakin kita semua dapat membina satu pasukan yang mantap dan kukuh
sekiranya kita semua bersatu hati dan sepakat untuk mencapai sasaran yang telah ditetapkan bagi
tahun 2018. Sekiranya kita seia sekata demi mencapai apa yang telah kita gariskan dalam setiap
perancangan, dan berusaha mencapai Petunjuk Prestasi Utama (KPI) Kementerian bagi tahun ini dan
tahun-tahun akan datang, kita insyaAllah akan berjaya. Marilah kita bekerja sebagai satu
Kementerian iaitu secara berterusan menyampaikan perkhidmatan berimpak tinggi dengan
cemerlang, berintegriti dan saling memperkukuh sinergi serta tekad kita demi mencapai Aspirasi
Sistem dan Aspirasi Murid untuk kejayaan anak-anak Malaysia. Semoga segala usaha murni kita
untuk memartabatkan bidang pendidikan mendapat keberkatan-Nya. Wabillahitaufik Walhidayah.
Wassalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh. Sekian. Terima kasih.

You might also like