You are on page 1of 21

BAB DUA

SOROTAN LITERATUR

2.1 Pengenalan

Sorotan literatur merupakan salah satu bab penting dalam menjalankan penyelidikan

kerana bab ini dapat menentukan sejauh mana signifikan kajian yang telah mendorong

penyelidik menjalankan kajian ini. Di dalam bab ini, beberapa perkaitan berkaitan

keselamatan di sekolah atau institusi pendidikan dan amalan sekolah selamat

dibincangkan. Selain itu, buku Konsep dan Manual Panduan Pelaksanaan Sekolah

Selamat turut dibincangkan. Seterusnya, bab ini juga akan memaparkan kajian-kajian

yang lepas berkaitan amalan keselamatan yang dilaksanakan di sekolah atau institusi

pendidikan di dalam negara dan di luar negara.

2.2 Model Sekolah Selamat

Stephens (1996) menyatakan bahawa sekolah selamat merupakan tempat pelajar-

pelajar dapat belajar dan guru dapat mengajar dalam suasana yang selesa dan bebas

dari persekitaran yang menakutkan. Ia juga merupakan tempat di mana iklim

pembelajaran dapat menggalakkan penerimaan semangat dan perlindungan bagi setiap

kanak-kanak.

School Guide for State of California dalam artikelnya ”The Safe School Challenge”

mentakrifkan sekolah selamat sebagai tempat yang aman di mana pelajar-pelajar dan

guru bebas untuk belajar dan mengajar tanpa sebarang ancaman fizikal dan

psikologikal.

1
Keselamatan sekolah ditakrifkan sebagai sekolah dan aktiviti berkaitan sekolah di

mana pelajar selamat daripada keganasan, buli, gangguan, dan penggunaan bahan.

(America Institute Research, 2018)

National Association of Psychologists (1991) di Amerika Syarikat menyatakan bahawa

sesebuah sekolah yang selamat bukan sahaja mempunyai langkah-langkah pencegahan

yang proaktif, tetapi mempunyai persekitaran fizikal yang selamat, pasukan krisis

rancangan intervensi, penyeliaan keselamatan dan rangkaian komunikasi yang baik.

Sekolah yang selamat dan efektif ialah sekolah yang menguatkuasakan peraturan yang

jelas dan mempunyai penegasan kepada dasar yang adil, iaitu tiada elemen prejudis

dan diskriminasi dalam apa jua bentuk. Selain daripada itu, peraturan dan dasar

dibentuk oleh pihak sekolah bersama komuniti dan pelajar secara kolaboratif.

Persatuan pelajar memainkan peranan aktif dalam membina peraturan sekolah. (Knoff

dan Batsche, 1995).

Salleh Buang (1996) menegaskan bahawa sesebuah institusi yang di dalamnya

terdapat ahli-ahli yang perlukan perlindungan, keselesaan dan keselamatan, kawalan

dari aspek perundangan tidak harus diabaikan. Oleh yang demikian, sekolah belum

cukup selamat sekiranya aspek peraturan dan undang-undang tidak diambil kira.

Polisi sekolah selamat ialah mewujudkan persekitaran sekolah yang aman, tenteram

dan meyakinkan sesuai dengan tuntutan suasana pengajaran dan pembelajaran yang

kondusif dalam memenuhi aspirasi, inspirasi dan potensi terkini dan masa hadapan.

2
Kunci sekolah selamat pula ialah wujudnya suasana yang mementingka ramah mesra,

persekitaran yang sentiaa memberi sokongan, wujudnya satu garis panduan yang jelas

tentang tingkah laku yang bersesuaian dan ia hendaklah adil serta berterusan (Dick

Young, 1999)

Kementerian Pelajaran Malaysia dalam Surat pekeliling Ikhtisas Bil. 6/2000

menghuraikan sekolah yang selamat sebagai sekolah sentiasa selamat dan bebas

daripada insiden-insiden yang tidak diingini seperti murid diugut, diculik, diperkosa,

penglibatan dalam dadah, perlakuan ala-gangster dan melibatkan diri dalam kegiatan

gangster atau’triad-society’. (KPM, 2000)

Berdasarkan definisi yang dinyatakan di atas, bolehlah difahami bahawa sekolah

selamat merupakan suatu institusi pembelajaran yang selamat dari aspek persekitaran,

infrastruktur, keselamatan dan tingkah laku tidak bermoral. Kesan daripada kewujudan

sekolah yang selamat akan menghasilkan sekolah yang aman dan tenteram bersesuaian

untuk sesi pengajaran dan pembelajaran yang kondunsif. Secara tidak langsung, ia

akan melahirkan insan yang cemerlang dan mempunyai tingkah laku yang positif.

Bagi merealisasikan sekolah selamat, banyak negara yang mengemukakan manual

pelaksaan sekolah selamat sebagai panduan dalam pelaksanaan sekolah selamat di

sekolah-sekolah. Dua negara yang turut mengemukakan manual dan konsep sekolah

selamat untuk diguna di kalangan sekolah di negara mereka ialah Amerika Syarikat

dan Malaysia. Maka, penyelidik akan membincangkan dua model pelaksanaan tersebut

dalam huraian seterusnya.

3
National Education Association (NEA) Amerika Syarikat juga telah mengeluarkan

manual berkaitan sekolah selamat iaitu ’Safe School Manual’ pada tahun 1996.

Manual ini mengemukakan Model Sekolah Selamat seperti yang ditunjukkan dalam

rajah di bawah yang mengaitkan sekolah selamat dengan penghasilan pelajar-pelajar

yang merasakan diri mereka selamat di sekolah akan mewujudkan keluarga dan

masyarakat yang sentiasa merasai suasana dan keadaan yang selamat.

Rajah 3 Model Sekolah Selamat

Sumber: National Education Association (1996). Safe School Manual. NEA:US. Hlm

Garis panduan ini bertujuan sebagai satu set cadangan untuk menjadikan kanak-kanak

lebih selamat di sekolah, di antara komuniti dan dalam keluarga mereka. Oleh itu,

sekolah akan lebih selamat, apabila adanya kerjasama yang rapat di antara masyarakat

dan keluarga.

Di Malaysia, program sekolah selamat telah dilancarkan oleh Kementerian Pendidikan

Malaysia pada tahun 2002. Program ini bertujuan untuk mewujudkan budaya selamat

di sekolah dan persekitaran secara berterusan dengan sokongan keluarga dan

masyarakat setempat. Pelancaran program ini adalah satu usaha yang bersungguh-

sungguh dengan persediaan buku ‘Konsep dan Manual Sekolah Selamat’ kepada

4
semua sekolah. Berikut merupakan Model Sekolah Selamat yang diutarakan dalam

buku ’Konsep dan Manual Sekolah Selamat’.

SEKOLAH
SELAMAT

MURID
SELAMAT
KOMUNITI KELUARGA
SELAMAT SELAMAT

Rajah 4 Model Untuk Menjadikan Murid Selamat

Sumber: Kementerian Pelajaran Malaysia (2002). Konsep dan Manual Sekolah

Selamat. Hlm 4

Di antara dua model manual sekolah selamat yang dikemukakan, maka pengkaji telah

membuat keputusan untuk menggunakan Manual Sekolah Selamat dari Malaysia. Ini

adalah kerana ia memang memenuhi kehendak dan bersesuaian dengan persekitaran

sekolah di Malaysia. Maka, penyelidik mengambil keputusan untuk menggunakan

modul ini sebagai panduan dalam menjalankan kajian penyelidik.

2.2.1 Manual Sekolah Selamat

Buku ‘Konsep dan Manual Sekolah Selamat’ merupakan satu panduan pelaksanaan

dalam menjadikan sekolah, komuniti dan keluarga selamat untuk kanak-kanak. Buku

manual ini bukan hanya perlu menjadi rujukan kepada pihak sekolah sahaja, bahkan ia

juga mengetengahkan peranan dan tatacara ibu bapa dalam aspek keselamatan anak-

anak mereka. Buku manual ini mengkategorikan keselamatan kepada lima bidang

5
utama untuk menangani isu keselamatan para pelajar. Lima bidang tersebut ialah

bidang aktiviti murid, bidang bencana alam, bidang fizikal dan bangunan sekolah,

bidang sosial, serta bidang persekitaran dan lokasi sekolah.

Tiga perkara utama dibincangkan di dalam manual ini dalam bidang aktiviti murid

iaitu keselamatan pergi dan balik sekolah, keselamatan menjalankan aktiviti ko-

kurikulum dan keselamatan menjalankan aktiviti luar. Turut dibincangkan dalam

bidang aktiviti murid ini ialah tatacara tindakan apabila berlaku kemalangan. Bidang

aktiviti murid dibincangkan untuk mengekang kecuaian atau kemalangan yang

mungkin akan berlaku kepada para pelajar semasa menjalankan sebarang aktiviti sama

ada di dalam mahu pun di luar kawasan sekolah. Secara tidak langsung, ia akan

membantu menyediakan guru dan pelajar tentang tatacara kesediaan keselamatan dan

tindakan dalam menangani sebarang kemalangan atau kecederaan yang berlaku

termasuk tindakan atau rawatan awal yang boleh dilakukan oleh guru dan pihak

sekolah (KPM, 2002).

Bidang kedua yang dibincangkan dalam buku ‘Konsep dan Manual Sekolah Selamat’

ialah Bidang Bencana Alam. Sejajar dengan iklim di Malaysia yang mengalami iklim

monsun tropika, akan berlaku perubahan-perubahan iklim yang akan menyebabkan

berlakunya bencana alam seperti banjir, jerebu, ribut taufan, kebakaran dan

sebagainya. Maka dalam bidang ini dibincangkan bagaimana pihak sekolah dan ibu

bapa berperanan dalam menangani bencana tersebut. Empat bencana alam yang

dibincangkan dalam bidang bencana alam ialah banjir, kebakaran, perubahan cuaca

dan wabak penyakit termasuk keracunan makanan. Dalam bidang ini juga

6
dibincangkan tatacara dan langkah keselamatan dalam menghadapi bencana alam yang

disebutkan tadi (KPM, 2002).

Bidang ketiga pula membincangkan Bidang Keselamatan Fizikal dan Bangunan

Sekolah. Ia membincangkan tentang aspek keselamatan fizikal sekolah termasuk

bangunan dan kantin, sistem perparitan, pendawaian dan peralatan elektrik, kelas,

tandas, asrama, gelanggang, padang, kebun sains pertanian dan bilik-bilik khas seperti

pusat sumber atau perpustakaan, stor, makmal sains, dan bengkel. Turut diberi

penekanan pada keselamatan peralatan seperti cermin tingkap, pemegang besi tangga

dan kerosakan perabot dalam kelas. Dalam bidang ini juga dibincangkan manual

keselamatan di kawasan sunyi dan gelap serta manual keselamatan bangunan dalam

kawasan sekolah (24 jam) yang menekankan langkah-langkah menghindari

pencerobohan kawasan sekolah (KPM, 2002).

Bidang seterusnya ialah Bidang Sosial yang membincangkan isu-isu sosial seperti

gangguan seksual, gangguan emosi, keharmonian kaum di sekolah, membuli/pelacoan,

peras ugut dan sumbang mahram. Isu-isu sosial yang diketengahkan dalam manual ini

merupakan isu-isu yang melibatkan perasaan malu dan takut, emosi dan jiwa pelajar

atau mangsa. Malu dan takut dengan apa yang dialami oleh mangsa menyebabkan

mereka enggan melaporkan masalah dan seterusnya mengakibatkan mangsa terpaksa

memendam rasa. Oleh yang demikian, manual telah membincangkan peranan pelajar,

guru, pihak pentadbir sekolah, kaunselor dan ibu bapa serta tatacara tindakan yang

perlu diambil untuk menghindar dan menangani permasalahan ini. Bidang ini juga

dilihat sebagai salah satu bidang yang penting kerana ia boleh mengancam nilai-nilai

agama dan nilai-nilai murni yang diterapkan dalam sistem pendidikan kita. Jika tidak

7
dibanteras di peringkat sekolah takut akan merebak ke dalam masyarakat di luar

sekolah (KPM, 2002).

Bidang terakhir yang dibincangkan dalam manual tersebut ialah Bidang Persekitaran

dan Lokasi Sekolah. Terdapat sekolah di kawasan luar bandar dan terdapat sekolah

yang terletak di bandar. Lokasi persekitaran sekolah juga berdekatan dengan sungai,

lombong, jalan/lebuh raya dan sebagainya. Oleh yang demikian, Kementerian

Pelajaran Malaysia melalui manual ini membincangkan tatacara sebagai panduan

sebelum, semasa dan selepas sesuatu masalah berkemungkinan berlaku disebabkan

oleh persekitaran dan lokasi sekolah yang pelbagai (KPM, 2002).

Rasional program ini ialah dalam banyak keadaan keselamatan di sekolah

kerap diabaikan dan jarang dijadikan asas utama pertimbangan selain daripada

warga sekolah yang terdedah dengan isu-isu keselamatan fizikal sekolah, keselamatan

sosial, emosi dan teknikal sekolah. Selain itu, kurang kerjasama daripada keluarga dan

masyarakat dengan institusi pendidikan dari segi keselamatan, dan keupayaan

sekolah dalam menangani isu-isu keselamatan amat terbatas, tanpa sokongan

keluarga dan komuniti (KPM,2002).

Berdasarkan Manual Sekolah Selamat ini juga, sesebuah sekolah yang selamat akan

memiliki ciri-ciri seperti sensitif dan rasa hormat kepada warga sekolah, bebas dari

sebarang ganguan, kebolehan menjangka tingkahlaku pelajar dengan jelas, dasar

disiplin yang konsisten, pelajar mencintai sekolah, menyokong dan mengiktiraf

tingkahlaku positif, proaktif tentang prosedur-prosedur keselamatan sekolah, warga

sekolah mempunyai kesedaran komuniti terhadap kawasan sekolah, respon segera

8
terhadap kecemasan, penyenggaraan yang menepati masa, amalan kebersihan, serta

bilik darjah yang bersih dan tersusun.

Kesanggupan warga sekolah dan disokong dengan warga masyarakat sememangnya

akan menghasilkan sebuah sekolah yang selamat untuk murid-murid belajar dengan

kondusif dan selamat. Bukan itu sahaja, komitmen yang diberikan oleh semua pihak

menjadikan sekolah tersebut sekolah yang cemerlang dan terbaik seterusnya menjadi

pilihan utama bagi ibu bapa menghantar anak-anak mereka belajar.

Perancangan bagi mewujudkan sekolah selamat akan memberi peluang dan ruang

kepada sekolah dan masyarakat sekitar membentuk dan membaca strategi untuk

mengatasi isu keselamatan setempat. Bagi melicinkan pelaksanaan sekolah selamat,

sekolah hendaklah menubuhkan Jawatankuasa Sekolah Selamat (JKSS) yang

keahliannya terdiri daripada wakil sekolah, ibu bapa, agensi-agensi kerajaan dan bukan

kerajaan.

Jawatankuasa ini berfungsi sebagai ahli masyarakat yang menjalankan beberapa tugas

penting dalam membantu pihak sekolah. Antaranya ialah menyediakan kod etika dan

tanggungjawab semua warga sekolah. menyediakan kod etika dan tanggungjawab

pihak lain (komuniti, keluarga), mempromosi secara aktif kod dan etika kepada semua

warga sekolah dan komuniti setempat, mendidik dan melatih guru, kakitangan sekolah

dan ahli komuniti akan prosedur keselamatan yang ada, memastikan wujud kesedaran

di kalangan semua pihak akan isu sekolah selamat, dan yang terakhir melaksana,

menilai dan mengkaji semula semua dasar dan prosedur sekolah selamat dari semasa

ke semasa (KPM, 2002).

9
Peranan yang besar dan penting perlu dimainkan oleh setiap ahli Jawatankuasa

Sekolah Selamat dalam merealisasikan Sekolah Selamat. Menurut buku Konsep dan

Manual Sekolah Selamat, antara peranan yang boleh dimainkan oleh pihak sekolah

ialah menyediakan prasarana yang selamat dan kondusif untuk proses pengajaran dan

pembelajaran, memastikan semua warga sekolah sentiasa selamat semasa pergi dan

balik sekolah termasuk selamat semasa menjalankan aktiviti ko-kurikulum dan lain-

lain aktiviti luar bilik darjah, dan mempamerkan semua polisi, peraturan dan tatacara

yang berkaitan dengan Amalan Selamat di tempat yang sesuai (KPM, 2002).

Komuniti juga turut berperanan untuk menjadikan sekolah tempat yang selamat.

Peranan yang dimainkan bukan hanya di dalam sekolah bahkan di luar sekolah. Antara

peranan mereka di dalam sekolah ialah menyokong semua polisi, peraturan dan

panduan yang disediakan oleh pihak sekolah, memberi sumbangan material, idea dan

kepakaran dalam perkhidmatan mengawal keselamatan murid di sekolah, dan menerap

nilai-nilai kerohanian. Manakala peranan ahli komuniti di luar sekolah pula antaranya

ialah mewujudkan sistem pemantauan kawasan sekitar sekolah bagi mencegah

jenayah,mengelola dan menganjurkan aktiviti-aktiviti yang boleh menimbulkan

kesedaran kepada keselamatan sekolah, serta membimbing, menasihati dan menegur

golongan muda agar Budaya Selamat sentiasa diutamakan (KPM, 2002).

Dengan penglibatan semua pihak dalam mewujudkan sebuah sekolah yang selamat,

diharapkan semua warga sekolah berasa yakin untuk melakukan semua aktiviti mereka

dengan selamat setiap masa. Sekolah dilihat oleh ibu bapa dan komuniti sebagai

tempat yang selamat untuk anak-anak mereka menimba ilmu tanpa gangguan fizikal

10
dan emosi. Selain itu, setiap individu yang terlibat perlu bersikap positif terhadap

orang lain, memberi kerjasama, bebas dari sentimen perkauman dan diskriminasi

jantina, dan jangan mendera fizikal, mental dan emosi.

Walaupun Kementerian Pelajaran Malaysia telah mengeluarkan ’Konsep dan Manual

Sekolah Selamat’ sebagai panduan pelaksanaan dalam menjadikan sekolah selamat

untuk kanak-kanak belajar, namun masih berlaku peristiwa-peristiwa yang

menyedihkan hingga ada yang mendatangkan kecederaan, kemalangan dan kematian.

Oleh itu, beberapa prinsip dalam pengurusan polisi sekolah selamat perlu dipatuhi.

Antaranya ialah setiap aduan hendaklah diambil perhatian serius, setiap aduan

hendaklah diambil tindakan serta merta, perasaan setiap orang yang terlibat harus

diambil kira, semua pihak yang terlibat dengan aduan hendaklah dilayan secara

adil/saksama dan tidak ada pihak yang teraniaya, sesuatu kes tidak dianggap selesai

selagi kedua-dua pihak tidak berdamai dan diterima semula oleh warga sekolah,

maklumat tentang dasar dan tatacara seharusnya mudah dirujuk, dan tatacara

seharusnya boleh difahami oleh semua pihak yang terlibat (KPM, 2002).

Bagi individu yang ingin membuat aduan pula, terdapat beberapa tatacara yang perlu

diikuti bagi memudahkan prosedur pengurusan aduan dilaksanakan dan tindakan dapat

diambil dengan cepat dan teus. Antaranya ialah berbincang terus dengan pihak yang

terlibat, dapatkan khidmat orang tengah yang sesuai seperti kaunselor ataupun

berjumpa dengan pengetua/guru besar atau wakilnya untuk memastikan aduan itu

disiasat. Jika aduan itu terbukti maka hukuman yang setimpal dikenakan dan

dimaklumkan kepada pengadu (KPM, 2002).

11
Berdasarkan huraian di atas, dapatlah difahami bahawa keselamatan di sekolah sering

diabaikan hingga berlakunya kejadian atau kemalangan yang tidak diingini. Ditambah

pula dengan kurangnya pendedahan maklumat dan kerjasama keluarga dan

masyarakat. Maka, berdasarkan rasional yang dinyatakan maka Kementerian Pelajaran

Malaysia mewujudkan Manual Sekolah Selamat yang diguna pakai di semua sekolah

hingga sekarang.

Berteraskan rasional pembentukan manual, ciri-ciri sekolah selamat, fungsi

Jawatankuasa Sekolah Selamat, prinsip sekolah selamat serta peranan yang dimainkan

oleh sekolah, komuniti dan keluarga diharapkan dapat meletakkan semua sekolah di

Malaysia ini dalam keadaan selamat bukan sahaja dari aspek fizikal sekolah, malahan

emosi dan mental warganya.

2.2.2 Sistem Penarafan Keselamatan Sekolah

Untuk menilai keberkesanan dan sejauh mana tahap keselamatan sesebuah sekolah,

Kementerian Pelajaran Malaysia telah mewujudkan Sistem Penarafan Keselamatan

Sekolah (SPKS) yang telah dilaksanakan bermula tahun 2002 selaras dengan

Peruntukan 130 Akta Pendidikan 1996 iaitu menerusi Subseksyen 2(n) yang

menjelaskan tentang piawaian termasuklah piawaian mengenai keselamatan. SPKS

bertujuan untuk membuat penilaian dan piawaian tahap keselamatan yang hendak

dinilai di sekolah bagi mewujudkan persekitaran sekolah yang selamat. Selain itu,

output yang dihasilkan daripada sistem ini juga membolehkan warga sekolah sentiasa

sedar dan peka terhadap kemungkinan yang boleh menyebabkan berlakunya kejadian

yang tidak diingini ke atas diri mereka termasuklah langkah-langkah proaktif yang

dapat menjamin keselamatan warganya.

12
Sistem Penarafan Keselamatan Sekolah menggunakan satu mekanisme penarafan

keselamatan kendiri yang standard iaitu Piawaian Keselamatan Sekolah (PKS). Maka,

instrumen yang digunakan merupakan penarafan kendiri yang terdiri ialah 5 aspek

utama yang mengandungi 70 item. 5 aspek utama tersebut ialah pengurusan

keselamatan aktiviti murid, pengurusan keselamatan infrastruktur sekolah, pngurusan

keselamatan dalam menghadapi krisis dan bencana, pengurusan keselamatan dalam

menangani gejala sosial serta pengurusan keselamatan dalam menghadapi risiko

ancaman. Namun begitu, penambahbaikan dilakukan oleh pihak berkenaan dalam

menaik taraf sistem penarafan tersebut. Daripada 5 aspek yang dinilai, kementerian

telah menambah satu lagi aspek menjadikannya kini 6 aspek iaitu pengurusan

perkhidmatan pengawal keselamatan sekolah yang memberi fokus kepada tatacara

mengurus dan menyelia perkhidmatan yang diberikan oleh pengawal keselamatan

(KPM, 2002).

Setiap aspek diperlihatkan melalui senarai item. Setiap item perlu diberi skor yang

telah ditetapkan. Terdapat 4 pilihan skor yang perlu dipilih oleh sekolah. Ianya ialah 0

yang bererti tiada, skor 1 bererti sebahagian kecil arahan-arahan keselamatan dapat

dilaksanakan, dan skor 2 pula bererti sebahagian besar arahan-arahan keselamatan

dapat dilaksanakan. Manakala skor keempat ialah Tidak Berkaitan bererti item tersebut

tiada kaitan dengan sekolah berkenaan. Skor yang dipilih oleh sekolah hendaklah

berasaskan kepada data dan maklumat yang betul dan tepat. Ini adalah kerana

instrumen ini bukan sahaja digunakan oleh pihak sekolah bahkan ia juga diguna pakai

oleh Kementerian Pelajaran Malaysia, Jabatan Pelajaran Negeri dan Pejabat Pelajaran

Daerah semasa menjalankan pemantauan keselamatan di sekolah (KPM, 2002).

13
Selepas pemilihan skor, pengiraaan skor perlu dibuat bagi mendapatkan Penarafan

Piawaian Keselamatan Sekolah berdasarkan Peratus Pencapaian. Penentuan piawaian

sekolah yang dipantau dikategorikan berdasarkan peratusan pencapaian seperti dalam

jadual di bawah.

Jadual 1 Jadual Piawaian Sekolah

PERATUS
BIL. KATEGORI PIAWAIAN SEKOLAH
PENCAPAIAN

1 80 – 100 I Sekolah Selamat


2 50 – 79 II Memerlukan Peningkatan Tahap
Keselamatan Sekolah
3 0 – 49 III Memerlukan Perhatian Khusus Terhadap
Keselamatan Sekolah

Penarafan kendiri oleh pihak sekolah dan pemantauan yang dijalankan oleh pihak

PPD, JPN atau KPM ini akan menjadi penentu kedudukan sekolah berada pada tahap

keselamatan yang mana. Dengan erti kata lain, pihak pentadbir dapat mengenalpasti

taraf keselamatan sekolah yang ditadbirnya. Secara tidak langsung, pihak sekolah akan

menambahbaik pengurusan keselamatan di sekolah mereka dari semua aspek yang

dikemukakan.

2.3 Kajian Lepas Di Dalam Negara

Kajian berkaitan dengan sekolah selamat amat sedikit dijalankan di Malaysia. Namun

begitu, terdapat kajian-kajian lepas yang melibatkan keselamatan di sekolah dan pusat

pengajian tinggi. Maka, penyelidik telah memilih untuk meneliti kajian-kajian yang

dijalankan oleh Mohd Muzakir (2015), Nur Fazreen (2013) dan Norlia & Sufean

(2006).
14
Kajian yang dijalankan oleh Mohd Muzakir (2015) ialah berkenaan Peranan

Pengurusan Pengetua Sekolah Agama Bantuan Kerajaan Terhadap Dasar Sekolah

Selamat. Kajian ini mengkaji peranan yang dimainkan oleh pengurusan pengetua di

Sekolah Agama Bantuan Kerajaan (SABK) terhadap dasar sekolah selamat. Menurut

pengkaji, pengetua berperanan sebagai penjaga (in loco parentis), penyelesai masalah

dan penghubung. Maka, kajian juga bertujuan mengenal pasti hubungan antara setiap

peranan pengurusan dengan tahap keselamatan sekolah. Kajian ini juga menggunakan

soal selidik yang disesuaikan daripada Sistem Penarafan Keselamatan Sekolah,

Kementerian Pelajaran Malaysia.

Dengan menggunakan responden seramai 217 orang yang terdiri daripada guru,

kakitangan sekolah dan ahli jawatankuasa Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG)

mendapati bahawa terdapat hubungan yang signifikan antara peranan pengurusan

pengetua terhadap tahap keselamatan sekolah berdasarkan aspek pengetua sebagai

penjaga, penyelesai masalah dan penghubung iaitu sebanyak 22.2 peratus.

Kajian kedua yang dibincangkan ialah Kesedaran Terhadap Amalan Keselamatan

Dalam Kalangan Pelajar di Makmal Kejuruteraan Universiti Tun Hussein Onn

Malaysia (UTHM) yang dijalankan oleh Nur Fazreen (2013). Pengkaji mengkaji tahap

kesedaran terhadap amalan keselamatan di makmal kejuruteraan dalam kalangan

pelajar yang meragkumi tiga aspek utama iaitu penguasaan pengetahuan amalan

keselamatan, sikap pelajar terhadap amalan keselamatan dan penguasaan kemahiran

pelajar terhadap amalan keselamatan semasa bekerja di makmal kejururteraan. Selain

15
itu, kajian juga melihat perbezaan tahap kesedaran terhadap amalan keselamatan di

makmal kejuruteraan dalam kalangan pelajar mengikut jantina.

Seramai 368 orang responden terlibat dalam kajian ini dan kajian ini berbentuk

kuantitatif. Responden diberikan instrumen kajian berbentuk soal selidik yang

mengandungi 40 item. Hasil kajian mendapati tahap kesedaran terhadap amalan

keselamatan makmal kejuruteraan dalam kalangan pelajar berada di tahap yang positif.

Dapatan kajian juga menunjukkan tidak terdapat perbezaan yang signifikan di antara

pelajar lelaki dan pelajar perempuan terhadap tahap kesedaran amalan keselamatan

semasa bekerja di makmal kejuruteraan.

Kajian seterusnya ialah kajian yang dijalankan oleh Norlia & Sufean (2006). Dengan

mengemukakan kajian bertajuk Dasar Sekolah Selamat: Tinjauan Di Satu Zon Bandar

Raya Kuala Lumpur. Pengkaji telah mengkaji taraf keselamatan sekolah dalam aspek

keadaan bangunan dan persekitaran, kebersihan sekolah, dan disiplin dan budaya

hormat di sekolah. Selain itu, kajian ini juga mengkaji sejauh mana tindakan dan

kegiatan yang dijalankan dapat meningkatkan keselamatan sekolah.

Kajian dijalankan ke atas 100 orang guru dari 3 buah sekolah menengah di satu zon di

Kuala Lumpur. Sekolah-sekolah yang dipilih merupakan sebuah sekolah yang

didirikan oleh mubaligh Kristian di Brickfields yang bererti tidak ditaja penuh oleh

kerajaan dan dua buah sekolah lagi merupakan sekolah kerajaan biasa. Sekolah-

sekolah yang dipilih ini juga merupakan sekolah-sekolah yang telah dibina melebihi

30 tahun dan terletak di kawasan yang berstatus sosioekonomi yang rendah. Sekolah-

16
sekolah tersebut dipilih bertujuan untuk melihat sejauh mana sekolah yang kurang

dananya mampu untuk menyelenggara dan baik pulih sekolah.

Dapatan kajian telah menunjukkan bahawa sekolah-sekolah yang dikaji belum

mencapai tahap keselamatan yang memuaskan terutama pada keadaan bilik darjah,

makmal dan tandas. Keputusan analisis daripada dapatan kajian juga mendapati

bahawa 60% menyatakan berpuas hati dengan tindakan dan aktiviti yang dijalankan

dalam memastikan keselamatan di sekolah.

Berdasarkan ketiga-tiga kajian tersebut, tahap kesedaran terhadap keselamatan sekolah

masih kurang memuaskan. Namun begitu, bagi bilik khas seperti makmal kejuruteraan

seperti dalam kajian di atas, menunjukkan bahawa pelajar telah mempunyai kesedaran

tersebut. Ini mungkin disebabkan oleh kematangan para pelajarnya di peringkat

universiti berbanding pelajar-pelajar di peringkat sekolah. Walaupun warga sekolah

mengetahui kepentingan dan amalan sekolah selamat, namun tanpa kerjasama pihak

luar seperti komuniti dan masyarakat menyukarkan pelaksanaan dan amalan terhadap

murid-murid. Pihak pentadbiran sekolah atau institusi pendidikan perlu sering

menjalankan aktiviti yang akan menerapkan nilai-nilai murni sejajar dengan konsep

Sekolah Selamat supaya amalan sekolah selamat dapat memberi impak yang positif di

kalangan warga sekolah.

2.4 Kajian Lepas Di Luar Negara

Sekolah selamat bukan sahaja menjadi salah satu isu penting di Malaysia, tetapi juga

di luar negara. Kajian lepas dari luar negara yang yang dibentangkan di dalam kajian

ini merupakan kajian yang dibuat di Filipina, Afrika Selatan dan Amerika Syarikat.

17
Kajian-kajian yang dipilih ialah kajian-kajian yang telah dijalankan oleh Finley

(2002), Mwale (2006) dan Glariana & Solar (2015).

Finley (2002) dalam kajiannya bertajuk ’Teachers’ Perceptions Of School Safety,

Safety-Based Changes, And Their Resultant Impact On School Climate: A Case Study’

membincangkan mengenai persepsi guru tentang keganasan di sekolah. Kajian

dijalankan di sebuah sekolah di pedalaman Midwest, Michigan.

Menurut Finley (2002), beliau cuba merungkai sejauh mana suara guru didengari

dengan mengkaji tentang maklum balas guru terhadap keganasan di sekolah, serta

pemahaman mereka tentang kesan keganasan di sekolah dan perubahan terhadap iklim

sekolah. Beliau juga melihat sejauh mana kerjasama antara guru dan pentadbir

sekolah, guru dan guru serta guru dan murid dalam menangani keganasan di sekolah.

Menggunakan kaedah kumpulan berfokus, Laura L. Finley telah membahagikan

persepsi guru terhadap keganasan di sekolah ini untuk dilihat melalui perbezaan

jantina dan perbezaan bilangan tahun mengajar.

Hasil kajian beliau merumuskan bahawa terdapat kurangnya kerjasama di antara guru

dan pentadbir, guru dan guru serta guru dan murid. Ini menyebabkan bilangan

keganasan di sekolah menjadi tinggi kerana tiada jalan penyelesaian dibincangkan dan

di ambil tindakan. Dari aspek jantina pula, pengkaji mendapati guru wanita lebih

bersikap positif dalam menangani isu keganasan di sekolah berbanding guru lelaki.

Pengkaji juga mendapati guru yang lebih berpengalaman itu lebih positif memberikan

komitmen mereka untuk menangani isu tersebut.

18
Kajian kedua ialah kajian yang dijalankan oleh Mwale (2006) yang bertajuk Safe

School for Teaching and Learning: Developing a School-wide, Self-study Process.

Kajian dijalankan ke atas 28 orang guru sekolah rendah awam di Malawi, Afrika

Selatan untuk melihat persepsi guru terhadap faktor-faktor yang menyumbang kepada

persekitaran sekolah selamat. Kajian adalah berbentuk kuantitatif dan kualitatif.

Instrumen yang digunakan ialah soal selidik yang mengandungi 69 item dan task force.

Melalui soal selidik, penyelidik cuba mendapatkan jawapan mengenai faktor-faktor

yang menyumbang kepada persekitaran belajar yang selamat dan tidak selamat. Ia juga

merupakan pra ujian dalam kajian tersebut. Melalui task force pula, perbincangan dan

temubual dengan guru serta penyertaan penyelidik dalam aktiviti guru di dalam kelas

dapat merungkai persepsi guru tentang aktiviti-aktiviti di dalam kelas yang

menyumbang kepada pembelajaran persekitaran yang selamat. Penyelidik juga

bersama-sama dengan guru menjalankan aktiviti pengajaran dan pembelajaran selama

5 minggu.

Daripada dapatan kajian melalui kaedah soal selidik, menunjukkan bahawa terdapat 3

faktor utama yang menyumbang kepada persekitaran pembelajaran yang selamat. 3

faktor tersebut ialah penyelenggaraan sekolah, tingkah laku guru dan tingkah laku

murid, dan keselamatan dalam sekolah. Analisa menunjukkan bangunan dan padang

tidak diselenggara dengan baik. Murid-murid sering bergaduh sesama mereka dan

begitu juga terdapat guru yang tidak mempercayai sesama mereka.

Dapatan kajian daripada kaedah task force pula menunjukkan bahawa 3 kategori yang

dapat disimpulkan iaitu perubahan tingkah laku guru, perancangan yang efektif untuk

pengajaran yang efektif, dan perubahan tingkah laku murid-murid. Pemerhatian dan

19
temubual yang dijalankan oleh penyelidik mendapati terdapat perubahan dari aspek

tingkah laku murid-murid begitu juga dengan guru. Tiada lagi pergaduhan berlaku di

antara murid dan rasa selamat ketika di sekolah. Begitu juga dengan para guru yang

semakin mesra sesama mereka. Tingkah laku yang positif mewujudkan keseimbangan

mental dan emosi hingga menggalakkan guru-guru merancang sesi pembelajaran yang

efektif. Penyelidik dapat melihat perubahan yang jelas terhadap tingkah laku murid

apabila sesi pengajaran dan pembelajaran dijalankan dengan efektif ditambah pula

dengan pelbagai teknik dan kaedah pengajaran digunakan.

Pilihan kajian terahir yang dikaji ialah Status of School Safety and Security among

Elementary Schools in the Fifth Class Municipality yang disediakan oleh Glariana &

Solar (2015). Kajian ini dijalankan di sekolah rendah di Libertad, Misamis Oriental,

Filipina. Penyelidik telah membuat kajian untuk menentukan status keselamatan dari

aspek kedudukan sekolah, padang, perkhidmatan kantin, keselamatan air, keselamatan

kebakaran, kawalan keselamatan sekolah, keselamatan bangunan dan kemudahan

kebersihan. Kajian kuantitaif digunakan dengan mengedar soal selidik dan dapatan

kajian di analisa untuk menentukan status sekolah selamat. Soal selidik diambil

berdasarkan 2010 Educational Facilities Manual.

Dapat kajian mendapati 8 buah sekolah yang dikaji tidak memenuhi standard yang

telah ditetapkan oleh manual 2010 Educational Facilities Manual di mana status

mereka berada pada below standard. Terdapat juga beberapa aspek keselamatan yang

tidak dijalankan dan diabaikan. Sebagai contoh, dalam aspek kemudahan kebersihan,

didapati indikator kemudahan sinki membasuh tangan di setiap kelas ada di semua

sekolah yang dikaji tetapi 5 buah sekolah menunjukkan bahawa ianya tidak berfungsi.

20
Penyelidik memaklumkan bahawa murid-murid menggunakan air yang terdapat

daripada shallow well sebagai sumber air. Ini akan mengundang bahaya penyakit dan

kemalangan.

Maka, penyelidik telah membuat rumusan bahawa hipotesis status sekolah selamat

terhadap ke lapan-lapan sekolah yang terlibat tidak diterima. Ini adalah kerana

sekolah-sekolah terlibat tidak selamat untuk murid-muridnya berdasarkan 2010

Educational Facilities Manual.

Berdasarkan ketiga-tiga kajian di atas, aspek keselematan di sekolah bukan hanya

tertumpu kepada infrastruktur bangunan dan persekitaran sekolah sahaja. Ia juga

melibatkan perasaan dan emosi serta rasa selesa warga sekolah ketika berada di dalam

kawasan sekolah. Dua kajian di atas menunjukkan masalah disiplin di kalangan para

pelajar. Secara tidak langsung akan menjejaskan pembelajaran mereka. Oleh yang

demikian, perlu wujud keseimbangan dari aspek keselamatan persekitaran sekolah,

emosi dan sahsiah warga sekolah bagi menjamin sesebuah sekolah itu selamat.

2.5 Rumusan

Dalam bab ini telah dibincang mengenai model pilihan penyelidik mengenai sekolah

selamat. Model yang digunakan tentulah yang dikeluarkan oleh Kementerian Pelajaran

Malaysia kerana ianya sangat bersesuaian dengan persekitaran dan budaya masyarakat

Malaysia. Turut dibincangkan tentang kajian-kajian yang telah dijalankan oleh

pengkaji-pengkaji yang lain di Malaysia dan negara-negara luar. Selepas ini dalam bab

seterusnya, akan dibincangkan mengenai metodologi kajian ini.

21

You might also like