You are on page 1of 2

Persoalan makanan halal,

haram tidak boleh diambil mudah

HALAL membawa maksud luas mengenai tatacara hidup orang Islam


yang menitikberatkan aspek halalan thoyyiba iaitu kesucian, amalan
kebersihan dan kehidupan sihat. Dari sudut pandangan Islam,
makanan yang baik lagi halal mampu membentuk ketrampilan
peribadi seseorang yang akhirnya menyumbang kepada pembentukan
ummah.
Sebagai umat Islam kita wajib memastikan sumber makanan dan
minuman adalah halal dan memenuhi panduan pemakanan syariat
Islam.
Firman Allah SWT yang bermaksud: “Wahai sekalian manusia!
Makanlah dari apa yang ada di bumi, yang halal lagi baik, dan
janganlah kamu ikut jejak langkah syaitan; kerana sesungguhnya
syaitan itu ialah musuh yang terang nyata bagi kamu.” (Surah al-
Baqarah, ayat 168)
Ibn kathir dalam kitabnya Tafsir Ibn Kathir menyatakan, perkataan
toyyiba itu membawa maksud baik, bermanfaat serta elok dari segi
tabiat dan syarak. Thoyyiba merangkumi dua perkara iaitu soal fizikal
dan kerohanian.
Ia mestilah selari dengan syariat, tidak bercanggah dan disertai
keikhlasan kepada Allah SWT. Makanan halal di sisi syarak adalah
makanan bersih zatnya, suci kaedah perolehannya serta bebas dari
sebarang kemudaratan, sebaliknya makanan haram sekalipun lazat
tetap keji di sisi Allah SWT.
Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: “Wahai orang yang beriman,
makanlah barang yang bersih daripada apa yang kami kurniakan
kepada kamu.” (Hadis riwayat Muslim)
Oleh itu, seorang Islam sama ada pengusaha makanan halal dan
individu hendaklah mengambil kira setiap perkara dari segi modal
perniagaan, pelaburan, hasil pendapatan serta hendaklah dijauhi
unsur haram seperti judi, riba atau rasuah.
Ajaran Islam amat menitikberatkan persoalan makanan halal dan
bersih kerana makanan haram yang dimasukkan ke dalam tubuh
seseorang akan membawa kepada kesan mendalam terhadap tingkah
laku, budi pekerti, kejernihan hati serta penerimaan doa kepada Allah
SWT.
Panduan pemakanan dalam Islam adalah berlandaskan konsep
memberi kemudahan, menjaga nyawa, menjamin kesihatan tubuh
badan dan akal. Kerana itu setiap makanan yang memberi manfaat
kepada tubuh badan dan akal fikiran dibenarkan oleh syarak.
Firman Allah yang bermaksud: “Oleh itu, makanlah dari apa yang
dikurniakan Allah kepadamu dari yang halal lagi baik, dan
bersyukurlah akan nikmat Allah, jika benar kamu menyembah-Nya.
Sesungguhnya Allah hanya mengharamkan kepada kamu memakan
bangkai, darah, daging babi, dan binatang yang disembelih tidak
kerana Allah maka sesiapa terpaksa sedang ia tidak dianiaya dan tidak
melampaui batas; sesungguhnya Allah Maha Pengampun, lagi Maha
Mengasihani. Manakala yang haram dan memudaratkan fikiran serta
badan diharamkan dan ditegah.” (Surah al-Nahl ayat 114-115)
Syed Qutb dalam Tafsir Fi Zilalil Quran menyatakan, sama ada ilmu
manusia dapat mengetahui hikmah pengharaman sesuatu perkara
atau tidak, namun yang pasti, Allah Maha Mengetahui dan amat
mengatasi keupayaan kita untuk mengetahui sesuatu perkara. Allah
tidak mengharamkan sesuatu, kecuali pasti perkara itu mempunyai
bahaya dan kemudaratannya.
Ulama terkenal, Abdullah Sahl al-Tusturi berkata, sesiapa yang makan
makanan haram, maka akan bermaksiatlah anggota tubuhnya sama
ada atas kehendaknya atau tidak, sama ada dia tahu atau tidak dan
sesiapa makan makanan yang halal, maka seluruh anggota tubuhnya
akan tunduk taat dan mudah melaksanakan kebajikan. Berdasarkan
kepada pandangan ini menunjukkan pemakanan halal mempunyai
kedudukan penting dalam kehidupan di dunia ini dan berkait rapat
dengan balasan hari akhirat.
Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: “Mana-mana hamba,
dagingnya itu tumbuh dari perkara yang haram dan amalan riba, api
nerakalah yang patut (untuk membakar dan menghilangkan) daging
itu.” (Hadis riwayat Ibn Marduiah)
Dalam mengharungi perkembangan semasa di era global dunia hari
ini, banyak makanan dan minuman ditawarkan kepada kita perlu
diperiksa dan diteliti sebaiknya. Perkara yang halal lagi baik
hendaklah menjadi keutamaan manakala yang haram dan tidak baik
semestinya dihindari.
Kita juga dituntut menjauhi barang syubhah yang mengelirukan dan
tidak jelas hukumnya. Kita sepatutnya berwaspada supaya tidak
mengambil atau mencubanya melainkan setelah dipastikan halal dan
kebaikannya kerana makanan dan minuman syubhah boleh mengheret
kepada penggunaan barangan haram secara tidak disangka-sangka.
Ada peniaga yang tidak bertanggungjawab memperdayakan pengguna
seperti memalsukan logo halal atau menggunakan logo halal pada
produk haram. Walaupun matlamat perniagaan untuk mencari rezeki
dan mendapat keuntungan, namun soal keberkatan dan keikhlasan
tidak boleh diketepikan atau dipandang remeh.
Mereka yang melakukan penipuan ini sebenarnya telah mengkhianati
masyarakat Islam dan melakukan amalan syaitan yang menyesatkan.
Akta Perihal Dagangan 2011 diharap dapat membantu mengatasi
masalah ini dan semua pihak perlu mematuhi akta yang berkuat kuasa
mulai 1 Januari 2012.

You might also like