You are on page 1of 4

Outcome Based Education- Pendidikan

Berasaskan Hasil
Posted on January 20, 2016 · Leave a Comment

Outcome Based Education (OBE) merupakan kaedah pembelajaran dan pengajaran


berpusatkan pelajar yang kini mula digunapakai secara meluas. Sistem tersebut telah
beransur-ansur menggantikan kaedah pengajian tradisional bagi tujuan meningkatkan
keberkesanan hasil pembelajaran yang akan diukur berasaskan pengetahuan dan kemampuan
pelajar. Ianya akan melibatkan penggubalan kurikulum pengajian dengan meletakkan sasaran
dan hasil pemahaman tertentu yang perlu dicapai oleh setiap pelajar. Perancangan kurikulum
tersebut akan memperincikan aktiviti pengajaran dan pembelajaran yang membolehkan
pelajar memenuhi jangkaan yang telah ditetapkan.

Penggubalan sesebuah kurikulum berasaskan OBE melibatkan 4 proses berkitar yang


mengandungi elemen perancangan, perlaksanaan, penilaian dan penambahbaikan. Peringkat
yang pertama melibatkan perancangan memerlukan kefahaman asas terhadap gambaran
keseluruhan kurikulum yang akan mementingkan fokus kepada hasil pembelajaran,
penghasilan pelajar yang berkualiti, penggunaan kaedah pengajaran yang berkesan serta
berinovasi terkini, dan mengambilkira kebolehpasaran pelajar berasaskan permintaan industri
dan pihak stakeholder lain. Pembentukan kurikulum dimulakan dengan perancangan
spesifikasi setiap program yang bakal ditawarkan. Ia seharusnya mengandungi maklumat
objektif pembelajaran program PEO, hasil pembelajaran PO dan perkaitan antara PEO dan
PO yang di bina berdasarkan kriteria dan attribut yang perlu diperolehi oleh pelajar. Pencirian
PEO akan dibuat berasaskan keperluan dan aras kompetensi yang seharusnya di punyai oleh
pelajar selepas jangka masa 4-5 tahun selepas bergraduasi, khususnya apabila mereka berada
di alam pekerjaan. Manakala PO dibina berdasarkan kriteria yang perlu dimiliki oleh pelajar
sebaik sahaja bergraduasi. Di sinilah perancangan PEO mahupun PO tersebut perlu
mengambilkira kaitan visi dan misi institusi pengajian, attribut dan niche pelajar institusi
tersebut dan kehendak pihak berkepentingan seperti pihak industri.

Bahagian PO menjadi tanda penting dalam kurikulum berasaskan OBE. PO akan


menggambarkan apa dan sedalam mana sesuatu pengetahuan dan kemahiran perlu diperolehi
oleh pelajar yang akan diukur hasilnya sepanjang proses pembelajaran mereka. Pensyarah
bimbingan juga akan memperolehi gambaran jelas dan teratur berkenaan hasil pembelajaran
yang perlu diperlu diterapkan kepada pelajar masing-masing. Kebiasaannya, hasil
pembelajaran PO dibentuk menggunapakai kriteria umum kompetensi pelajar yang telah
digariskan oleh sesebuah institut pengajian merentas semua program. PO tersebut juga akan
di bina berdasarkan garis panduan yang telah diletakkan oleh pihak Kementerian Pengajian
Tinggi yang bertanggungjawab terhadap urustadbir universiti. Sebagai contohnya, PO yang
dibangunkan oleh Universiti Teknologi Malaysia akan menilai kemampuan pelajar dalam
mendapatkan pengetahuan, kemahiran penggunaan kepelbagaian teknik, mampu melakukan
penilaian dan penganalisaan serta mempunyai kemahiran insaniah meliputi pemikiran kritis,
kemahiran berkomunikasi, mempunyai sikap keusahawanan, kemahiran bekerja dalam
kumpulan, menyediakan pembelajaran sepanjang hayat dan mempunyai daya kepimpinan.

Manakala, perancangan bahagian PEO pula akan mengambilkira keperluan khusus sesuatu
program yang bertujuan melahirkan pelajar yang lebih berdaya saing dan mempunyai
kemahiran professional apabila bekerja dalam bidang berkaitan. Penyediaan PEO yang tepat
boleh dilakukan dengan melakukan dua analisa utama iaitu analisis keberkesanan program
yang mampu membantu kebolehpasaran dan keberdayasaingan alumni , serta analisis
kepuasan majikan terhadap alumni. Dapatan hasil akan memberikan maklumat untuk
penambahbaikan dan penekanan objektif pembelajaran yang perlu dilakukan. Sebagai
contohnya, jabatan kimia fakulti sains meletakkan salah satu PEO untuk melatih graduan
yang mampu menggunakan pengetahuan kimia asas yang diperolehi bagi mengembangkan
pengetahuan kimia baru yang relevan dengan pembangunan negara. Objektif ini digariskan
supaya program yang diikuti oleh graduan dapat menimbulkan rasa minat terhadap
penerokaan ilmu kimia lanjutan yang baru terutamanya apabila mereka terlibat bidang
penyelidikan dan pembangunan R&D yang menjadi teras utama kepada pembentukan
sesebuah negara berdayamaju. Semua kriteria ini akan di hubungkaitkan dengan PO dalam
proses pemetaan mapping bagi penyediaaan dokumen spesifikasi program yang menyeluruh.

Pengurusan dan perancangan PEO dan PO akan diselaraskan di peringkat fakulti bagi
menggambarkan aspirasi keseluruhan fakulti yang bertepatan dengan matlamat sesebuah
institut pengajian. Di peringkat jabatan yang merupakan pemilik kepada sesuatu program,
proses perincian program yang seterusnya berdasarkan kursus-kursus dalam program tersebut
perlu dilaksanakan. Kursus perlu dirancangkan berdasarkan kepada piawai panduan kursus
Course Outline yang akan mengandungi maklumat utama hasil kursus CO, masa
pembelajaran pelajar dan rangka pembelajaran kursus. Hasil kursus CO yang dihasilkan akan
memperlihatkan sumbangan sesuatu kursus kepada hasil program PO utama. Penyataan hasil
kursus perlu melibatkan penggunaan domain pembelajaran kognitif, psikomotor dan afektif
yang bersesuaian. Kemahiran untuk mengenalpasti domain yang tepat adalah diperlukan, di
mana domain psikomotor sebagai contohnya perlu diberikan perhatian dalam kursus-kursus
yang melibatkan praktikal dan amali. Selain itu, hasil kursus CO tersebut dirancang
berasaskan kepada hasil yang perlu diperolehi pelajar melalui pelbagai aras taksonomi bloom.
Penetapan aras akan bergantung kepada tahun pengajian dan sasaran kemahiran yang perlu
mereka miliki. Sebagai contohnya, pelajar di tahun akhir pengajian perlu disasarkan untuk
mempunyai kompetensi di peringkat aras sintesis dan analisis dalam bahagian domain
kognitif. Manakala, keperluan penilaian dan pentaksiran setiap hasil kursus CO perlu
dikenalpasti dan medium penilaian perlu diwujudkan samaada melalui penilaian terus,
formatif, sumatif, dan sebagainya. Rubrik setiap penilaian juga perlu disediakan terutamanya
dalam penentuan kompetensi kemahiran insaniah. Sebagai contohnya, penilaian untuk
pembentangan tugasan boleh dinilai dari segi kepelbagaian dan kedalaman isi pembentangan,
teknik penyampaian ataupun kreativiti yang digunakan.

Di akhirnya, pembinaan hasil kursus CO untuk setiap kursus akan dihubungkaitkan


sumbangannya kepada hasil program PO melalui proses pemetaan matriks kursus. Proses
pemetaan menjadi penting bagi memastikan wujud keseimbangan antara hasil kursus CO
pelbagai kursus dan bagi memenuhi tuntutan hasil program PO. Terdapat beberapa pemetaan
kursus yang telah ditetapkan meliputi pemetaan kursus dengan hasil pembelajaran PO,
pemetaan kursus dengan aras taksonomi bloom, pemetaan kursus dengan peringkat
kemahiran insaniah dan pemetaan kursus dengan masa pembelajaran pelajar. Dalam
perancangan kursus, masa pembelajaran pelajar yang bersesuaian perlu diletakkan. Ianya
akan bergantung kepada jumlah kredit matapelajaran yang diambil dan merangkumi masa
pertemuan berdepan pensyarah-pelajar, tempoh masa tugasan, ujian dan persediaan-
persediaan yang perlu dilakukan. Oleh itu, setiap pensyarah kursus perlu memahami
keperluan kursus masing-masing di samping tugasan wajib dalam menyediakan nota
pembelajaran dan jadual pembelajaran mingguan.

Tahap kedua selepas perancangan ialah elemen perlaksanaan yang cukup kritikal bagi
memastikan tujuan pembentukan kurikulum berasaskan OBE akan tercapai. Proses
implementasi kurikulum tersebut akan melibatkan dua bahagian pelaksana utama; universiti
serta fakulti; dan jabatan serta individu pensyarah. Di peringkat universiti mahupun fakulti,
program yang bertujuan memberikan pendedahan kepada pensyarah berkenaan sistem OBE
perlu dianjurkan bagi memastikan mereka mempunyai pengetahuan dan kemahiran dalam
mengendalikan kursus. Pensyarah perlu mengetahui bagaimanakah proses pembinaan hasil
kursus dilakukan serta memahami sasaran yang telah ditetapkan untuk setiap kursus. Dalam
mewajibkan pensyarah memahami kandungan OBE, mekanisme penerapan kefahaman boleh
dilaksanakan melalui pembentukan silibus dalam kursus seperti Sijil Pengajaran Pengajian
Tinggi (SPPT) dan Penilaian Tahap Kecekapan (PTK). Manakala, program-program bersifat
khusus bagi pembinaan kemahiran pengajaran pensyarah boleh dilaksanakan oleh bahagian
sumber manusia institusi masing-masing. Contoh program tersebut adalah kaedah pengajaran
berasaskan masalah, pengajaran menggunakan teknologi, kursus pembentukan portfolio
pengajaran dan kursus kaedah pengajaran berkesan. Di peringkat individu pensyarah, mereka
perlu bersedia untuk mengubah kaedah konvensional pengajaran kepada kaedah
pembelajaran aktif. Mereka juga perlu memperuntukkan masa untuk menerapkan kemahiran
insaniah dalam pengajaran kepada pelajar. Penggunaan teknologi seperti e-Learning juga
telah dikenalpasti sebagai bahan tambah untuk memudahkan komunikasi pengajaran dan
pensyarah seharusnya memanfaatkan kaedah tersebut.

Elemen ketiga dalam pembentukan kurikulum berasaskan OBE adalah penilaian yang
melibatkan proses kajian keberkesanan dan muhasabah keseluruhan kurikulum. Terdapat
pelbagai mekanisme penilaian boleh dilaksanakan bagi pengumpulan data untuk tujuan
analisis. Antara lainnya tinjauan dan culaan boleh dilakukan terhadap data kebolehpekerjaan
graduan berdasarkan tempoh masa pelajar mendapatkan pekerjaan dan kerelevenan
pekerjaan dengan program yang diambil. Manakala, tinjauan kepada pihak majikan boleh
dilaksanakan melibatkan analisa kompetensi graduan yang menjadi pekerja masing-masing.
Majikan perlu menilai tahap pengetahuan dan kemahiran teknikal pelajar, kemampuan pelajar
untuk bekerja dengan penyeliaan yang minima, kemahiran pelajar untuk berkomunikasi dan
dalam melakukan kerja berpasukan serta adaptasi pelajar dengan perubahan dan tekanan di
persekitaran kerja. Bagi graduan pelajar pula, analisa penilaian boleh dilakukan terhadap
pandangan mereka terhadap keberkesanan kurikulum dalam pembentukan kemahiran dan
membantu daya saing mereka. Di samping itu, dokumen lengkap kurikulum juga boleh
dikemukakan kepada pihak yang berkenaan bagi penilaian keseluruhan program. Antaranya
melibatkan panel pemeriksa dalaman dan luaran audit akademik yang berpengalaman, panel
penasihat akademik luar, professor pelawat terutamanya daripada peringkat antarabangsa,
badan professional yang berkaitan dengan program dan rangkaian akademik peer.
Diperingkat jabatan pula, penilaian berterusan boleh dilakukan sepanjang pengajian melalui
pertemuan rasmi di antara pelajar dan kakitangan.

Bahagian terakhir melibatkan elemen penambahbaikan kualiti yang berterusan CQI.


Proses peningkatan kualiti akan melibatkan pengenalpastian kembali sasaran yang diletakkan
dalam pembinaan kurikulum termasuk merangkumi objektif program dan hasil kursus untuk
dibandingkan dengan data pencapaian yang diperolehi melalui proses penilaian sebelumnya.
Pendekatan yang terbaik akan digariskan bagi mengatasi masalah yang telah dikenalpasti dan
keputusan yang diperolehi daripada anjakan yang dilaksanakan akan dikongsi bersama semua
pihak berkepentingan.

Secara kesimpulannya, 4 elemen yang dinyatakan di atas merupakan satu proses yang akan
berkitar terutamanya dalam memastikan kurikulum pengajian terus kekal releven dengan
perkembangan semasa. Perlaksanaan kurikulum berteraskan OBE dilihat mampu menjana
nilai kelahiran graduan pelajar yang lebih tinggi dan bermakna. Walaubagaimanapun,
perlaksanaannya tetap menuntut komitmen yang padu daripada semua pihak terutamanya
memerlukan sokongan daripada pengurusan universiti ataupun fakulti kerana ia akan
melibatkan banyak peruntukan kewangan dan masa. Individu pensyarah juga perlu
mempunyai paradigma baru dalam melihat kepentingan untuk mereka menggunakan
pendekatan dan kaedah proses pengajaran dan pembelajaran yang lebih terkini. Kurikulum
berteraskan OBE ini juga dilihat akan mampu memenuhi keperluan pihak industri dan
meningkatkan kebolehpasaran graduan pelajar. Seterusnya, ia dapat menjamin kualiti
program akademik yang ditawarkan untuk memenuhi keperluan akreditasi dan pengauditan
dan mendapat pengiktirafan di peringkat antarabangsa

You might also like