You are on page 1of 14

JURNAL PENDIDIKAN SAINS & MATEMATIK MALAYSIA

VOL.3 NO.2 ISSN 2232-0393

Penguasaan Kemahiran Proses Sains Asas


Dalam Kalangan Murid Sekolah Rendah Di Selangor
Berdasarkan Jantina, Lokasi Sekolah dan Aras Tahun
1
Eng Tek Ong, 2Bibi Hazliana Mohd Hassan
Fakulti Pendidikan & Pembangunan Manusia,
1,2

Universiti Pendidikan Sultan Idris


35900 Tanjung Malim, Perak.

Abstrak

Kajian ini bertujuan untuk membanding tahap penguasaan kemahiran proses


sains asas (KPSA) dalam kalangan murid sekolah rendah tahap II berdasarkan
jantina, lokasi sekolah dan aras tahun. Dengan menggunakan Ujian Kemahiran
Proses Sains Asas yang mempunyai kebolehpercayaan dan kesahan yang
sesuai untuk menilai kemahiran memerhati, berkomunikasi, mengukur,
meramal, dan menginferens, instrumen ini ditadbir kepada 337 orang murid
daripada dua buah sekolah rendah kebangsaan bandar dan dua buah sekolah
rendah kebangsaan luar bandar di Perak. Data dianalisis berdasarkan jantina
dan lokasi sekolah menggunakan Ujian-t tak bersandar, dan berdasarkan
aras tahun menggunakan ANOVA. Dapatan kajian menunjukkan (1) murid
sekolah rendah tahap II gagal untuk mencapai tahap dua-pertiga atau 67%
dalam KPSA secara keseluruhan dan merentas kesemua kemahiran spesifik
dalam KPSA; (2) tiada perbezaan jantina dalam KPSA secara keseluruhan
dan merentas kesemua kemahiran spesifik dalam KPSA kecuali mengelas
yang memihak kepada perempuan; (3) murid bandar mencapai lebih tinggi
dan signifikan berbanding dengan murid luar bandar dalam KPSA secara
keseluruhan dan merentas kesemua kemahiran spesifik dalam KPSA kecuali
mengukur; dan (4) tiada perbezaan yang signifikan dalam KPSA secara
keseluruhan dan merentas kesemua kemahiran spesifik dalam KPSA dalam
kalangan murid tahun 4, 5 dan 6 kecuali menginferens yang memihak kepada
murid tahun 6. Sebab-sebab yang mungkin untuk setiap dapatan utama
dibincang.

Kata kunci kemahiran proses sains asas, jantina, lokasi sekolah, aras
tahun, Perak

Abstract

This study aims to compare the mastery level of basic science process skills
among upper primary students by gender, school location, and by grade
levels. Using an established 36-item Basic Science Process Skills (BSPS) test
that assesses the skills of observing, communicating, classifying, measuring,
predicting, and inferring with appropriate reliability and validity, the
instrument was administered to 337 upper primary students from two rural
and two urban national primary schools in Perak. The data were analysed by
gender and by location using an independent samples t-test, and by grade
77
JURNAL PENDIDIKAN SAINS & MATEMATIK MALAYSIA
VOL.3 NO.2 ISSN 2232-0393

level using ANOVA. The findings indicated that (1) upper primary students
failed to achieve the two-third level or 67% in overall BSPS and across all
specific skills in BSPS; (2) there was no gender difference in overall BSPS
and across all specific skills in BSPS except for classifying which favours the
girls; (3) urban students achieved significantly higher than rural students in
overall BSPS and across all specific skills in BSPS except for measuring; and
(4) there was no significant difference in overall BSPS and across all specific
skills in BSPS among years 4, 5 and 6 primary students except for inferring
which favours year 6 students. Possible reasons for each of the key findings
are discussed.

Keywords basic science process skills, gender, school location, year


level, Perak

Pengenalan

Sains mula diperkenalkan di sekolah rendah pada tahun 1968 melalui Kurikulum Sains
Projek Khas yang mensasarkan murid tahun 1 hingga tahun 6 dengan matlamat untuk
menaikkan taraf pengajaran Sains dan Matematik, mengukuhkan pengetahuan Sains
dan Matematik murid, dan meningkatkan minat murid dalam menyiasat dan memahami
dunia. Penilaian yang digunapakai pada masa tersebut menumpu kepada penilaian
tahap pengetahuan murid. Pada tahun 1985, kurikulum sains sekali lagi mengalami
perubahan apabila mata pelajaran Alam dan Manusia diperkenalkan dengan matlamat
untuk membantu murid memperoleh pengetahuan dan pemahaman manusia dan alam
sekitar. Kurikulum Alam dan Manusia hanya mensasarkan murid tahun 4 hingga
tahun 6 sahaja, manakala penilaiannya dalam bentuk aneka pilihan mencakupi aspek
pengetahuan, kemahiran belajar dan nilai murni.
Pada tahun 1994 kurikulum sains sekali lagi mengalami perubahan apabila
Kurikulum Bersepadu Sekolah Rendah (KBSR) diperkenalkan. Matlamat KBSR,
antara lain, adalah untuk meningkatkan taraf pendidikan sains dan mencapai hasrat
yang tersurat dalam Falsafah Pendidikan Kebangsaan (FPK). Mata pelajaran KBSR
Sains diajar kepada murid-murid tahun 1 hingga tahun 6. Pengajaran dan penilaian
KBSR bukan semata-mata menumpu kepada aspek pengetahuan sahaja, malah ia juga
mencapah dan merangkupi aspek pemupukan kemahiran proses sains, kemahiran
manipulatif, sikap saintifik dan penyemaian nilai murni, selaras dengan hasrat FPK
dalam “memperkembangkan potensi setiap individu secara menyeluruh dan bersepadu
untuk mewujudkan insan yang seimbang dan harmonis dari segi intelek, rohani, emosi
dan jasmani” (Pusat Perkembangan Kurikulum, 2003, p.vii).
Pada tahun 2011 terdapat satu lagi perubahan dalam mata pelajaran sains
apabila Kurikulum Standard Sekolah Rendah (KSSR) diperkenalkan. KSSR merupakan
kurikulum modular berasaskan standard. Modul tersebut terdiri daripada Modul
Teras Asas, Modul Teras Tema, dan Modul Elektif. Dunia Sains dan Teknologi, yang
merupakan salah satu daripada Modul Teras Tema, terdiri daripada gabungan elemen
Sains, Reka Bentuk dan Teknologi (RBT), dan Teknologi Maklumat dan Komunikasi
(TMK). Standard pula terdiri daripada Standard Kandungan (misalnya, aspek
kandungan, kemahiran dan nilai yang perlu diketahui dan boleh dilakukan dalam suatu
78
JURNAL PENDIDIKAN SAINS & MATEMATIK MALAYSIA
VOL.3 NO.2 ISSN 2232-0393

tempoh persekolahan) dan Standard Pembelajaran (misalnya, penetapan kriteria untuk


memastikan kualiti pembelajaran dan pencapaian bagi setiap standard kandungan).
Ringkasnya, Standard Kurikulum Sains sekolah rendah bertujuan untuk “menyemai
minat murid terhadap sains dan teknologi serta mengembangkan kreativiti murid
melalui pengalaman dan penyiasatan bagi menguasai ilmu sains, kemahiran serta sikap
saintifik dan nilai murni” (Bahagian Pembangunan Kurikulum [BPK], 2012a, p.3).
Dalam Kurikulum Standard Sains sekolah rendah, kemahiran proses sains telah mula
diterapkan mulai tahun 3 walaupun penerapan ini terhad kepada 6 kemahiran proses
sahaja, yakni “memerhati, mengelas, mengukur dan menggunakan nombor, membuat
inferens, meramal dan berkomunikasi” (BPK, 2012b, p.1).
Rentetan perubahan dalam kurikulum sains, daripada 1968 sehingga kini,
sememangnya merupakan gelombang perubahan yang perlu dalam memastikan
sistem pendidikan sains negara bergerak seiringan dengan perubahan zaman dan selari
dengan Falsafah Pendidikan Sains Negara yang menghasratkan pemupukan “budaya
Sains dan Teknologi dengan memberi tumpuan kepada perkembangan individu yang
… dapat menguasai ilmu sains …” (BPK, 2012b, p.v). Untuk menguasai ilmu sains
pula, murid perlu dipupuk dengan kemahiran proses sains yang “membolehkan murid
mempersoalkan tentang sesuatu perkara dan mencari jawapan secara bersistem” (BPK,
2012b, p.8).
Kemahiran proses sains merupakan kemahiran yang digunakan oleh para
saintis untuk mengkaji dan menyiasat sesuatu masalah, isu, persoalan atau fenomena
sains. Lantaran itu, kemahiran proses sains digunakan untuk menjana pengetahuan atau
ilmu sains dan membina konsep sains (Carin & Sund, 1985; Collette & Chiappetta,
1986; Funk, Fiel, Okey, Jaus & Sprague, 1985; Rezba, Sprague, Fiel, & Jaus, 1995;
Sund & Trowbridge, 1973; Wellington, 1994). Kenyataan dalam Dokumen Standard
bahawa “Sains menekankan kaedah inkuiri dan penyelesaian masalah” (BPK, 2012a,
p.8) adalah selari dengan pandangan Cain (2002) tentang kepentingan pemupukan
kompetensi kemahiran proses sains dalam pengajaran ilmu pengetahuan sains dan juga
inkuiri dalam sains. Settlage dan Southerland (2007) menghujah bahawa pemupukan
kemahiran proses sains yang baik merupakan asas kepada kemahiran dalam inkuiri dan
penyiasatan sains.
Kemahiran proses sains boleh dikategorikan kepada kemahiran proses sains
asas dan kemahiran proses sains bersepadu (Carin & Sund, 1985; Collette & Chiappetta,
1986; Padilla, 1990; Wellington, 1994). Kemahiran proses sains bersepadu dianggap
sebagai kemahiran yang lebih tinggi hierarkinya berbanding dengan kemahiran proses
sains asas (Collette & Chiappetta, 1986). Sehubungan itu, murid-murid lumrahnya dapat
menggunakan kemahiran proses sains bersepadu secara berkesan hanya dan jika hanya
mereka sudah menguasai kemahiran proses sains asas (Brotherton & Preece, 1995).
Dalam menilai penguasaan kemahiran proses sains, guru-guru sains melaksanakan
Penilaian Kerja Amali (PEKA). Mengikut Lembaga Peperiksaan Malaysia, PEKA perlu
dilaksanakan sebagai “sebahagian daripada proses pengajaran dan pembelajaran dan
guru-guru boleh menilai sama ada satu kemahiran [proses sains dan/atau manipulatif]
atau beberapa kemahiran [proses sains dan/atau manipulatif] bagi sekumpulan kecil
murid atau seluruh kelas sekurang-kurangnya dua kali setahun dalam setiap tahun dari
Tahun 3 sehingga Tahun 6. Skor tertinggi untuk setiap konstruk boleh diambil daripada
79
JURNAL PENDIDIKAN SAINS & MATEMATIK MALAYSIA
VOL.3 NO.2 ISSN 2232-0393

mana-mana tahun” (Lembaga Peperiksaan Malaysia, 2008, p.6). Namun, dalam


amalan sebenar pengajaran sains, guru mengalami pelbagai aral melintang dalam
melaksanakan PEKA di peringkat sekolah sebagaimana yang didokumentasikan dalam
dapatan kajian yang lampau (misalnya, Abdul Rahim & Saliza, 2008; Filmer & Foh,
1997; Noorasykin, 2002; Siti Aloyah, 2002; Wan Noraine, 2010). Abdul Rahim and
Saliza (2008, p.8) mendapati bahawa guru mengalami masalah seperti ketidakpastian
dalam penskoran berdasarkan bukti daripada kerja amali, terlalu banyak kemahiran
yang perlu dinilai, kekurangan bahan dan peralatan makmal, bebanan tugas-tugas lain,
terlalu ramai murid yang perlu dinilai, sikap negatif murid terhadap pelaksanaan PEKA,
dan kekangan masa dalam melaksanakan PEKA. Dalam pada itu, Siti Aloyah (2002)
melaporkan bahawa guru-guru mengeluh dan merintih tentang ketidakpastian dalam
penggunaan rubrik penskoran, kekangan masa, dan bebanan serta kekusutan tugas
penilaian kerja amali. Wan Noraine (2010) pula melaporkan tentang masalah yang
dihadapi oleh guru-guru sains, khasnya dalam memilih dan mengurus aktiviti untuk
PEKA. Masalah sedemikian timbul kerana Lembaga Peperiksaan Malaysia (LPM)
tidak menentukan secara spesifik aktiviti penilaian; hanya garis panduan dan kriteria
penskoran diberikan oleh LPM dan para guru sains mempunyai kebebasan untuk
memilih dan menggunakan mana-mana aktiviti yang difikirkan sesuai untuk PEKA,
daripada kerja lapangan, eksperimen makmal, sehingga kepada laporan projek.
Ramai guru yang menghadapi masalah dalam pelaksanaan PEKA mencurahkan
perasaan mereka di laman-laman sosial. Misalnya, seorang guru sains sekolah rendah
dengan nama samaran Yusmainor (2010) yang menguruskan satu blog, merintih bahawa
“masalah yang selalu timbul ialah [guru] tak tau nak bagi markah ... aku rasa semua
guru terlibat [dalam PEKA] akan hadapi masalah ni”. Lantaran itu, ketidakpastian,
ketidakyakinan dan ketidaktepatan dalam sistem pemarkahan PEKA merupakan
rintihan yang lumrah diluahkan oleh para guru sains. Masalah ini pula diburukkan lagi
dengan tekanan ketidakcukupan masa untuk melengkap atau menghabiskan penilaian
kerja amali dalam suatu tempoh masa yang tertentu. Misalnya, terdapat surat pekeliling
daripada LPM bertarikh 10 Januari 2011 yang mewajibkan semua guru sains untuk
melaksanakan penilaian kerja amali daripada bulan Februari sehingga Julai pada
tahun tersebut, dan seterusnya memasukkan semua markah ke dalam pangkalan data
peperiksaan pada bulan Ogos. Walaupun PEKA merupakan satu kaedah yang baik
dalam menilai kerja amali murid, namun penilaian sedemikian masih subjektif kerana
ia bergantung kepada kepakaran dan kebolehan seseorang guru untuk menilai kerja
amali berdasarkan konstruk kemahiran proses sains. Salah satu cara alternatif, ataupun
sebagai pelengkap kepada PEKA, sebagaimana yang dicadangkan oleh Dillashaw
dan Okey (1980) adalah dengan menggunakan format ujian pen-dan-pensil secara
berkumpulan untuk mengukur kompetensi kemahiran proses sains yang dianggap
“boleh ditadbirkan secara berkesan dan objektif” (p. 602) tanpa memerlukan sumber
yang mahal. Memang tidak boleh dinafikan bahawa penilaian tahap penguasaan
kemahiran proses sains adalah penting kerana ia akan memaklumkan guru tentang
sama ada murid sudah mencapai tahap atau standard yang sepatutnya, dan jikalau
belum, langkah pemulihan dapat dirancang dan dilaksanakan. Di samping itu, kerajaan
berhasrat untuk mencapai ekuiti dalam pendidikan (Kementerian Pelajaran Malaysia
[KPM], 2012) khasnya dalam merapatkan jurang pencapaian antara murid bandar dan
80
JURNAL PENDIDIKAN SAINS & MATEMATIK MALAYSIA
VOL.3 NO.2 ISSN 2232-0393

luar bandar, dan juga antara jantina di mana dilaporkan bahawa jurang jantina semakin
melebar. Maka, seruan untuk memenuhi hasrat kerajaan untuk mencapai ekuiti dalam
pendidikan seterusnya menyediakan satu justifikasi untuk mengukur tahap penguasaan
kemahiran proses sains, khasnya dalam kalangan murid tahun 4, 5 dan 6 merentas
jantina dan lokasi sekolah. Lantaran itu, kajian ini bertujuan untuk menentukan tahap
penguasaan kemahiran proses sains berdasarkan jantina, lokasi sekolah, dan aras
tahun. Secara spesifik, kajian ini bertujuan untuk mendapat pencerahan kepada empat
persoalan kajian berikut:-

1. Apakah tahap penguasaan kemahiran proses sains asas secara keseluruhan dan
secara spesifik dalam kalangan murid sekolah rendah tahap II?
2. Adakah terdapat perbezaan yang signifikan dalam penguasaan kemahiran proses
sains antara lelaki dan perempuan dalam kalangan murid sekolah rendah tahap
II?
3. Adakah terdapat perbezaan yang signifikan dalam penguasaan kemahiran proses
sains antara murid bandar dan luar bandar?
4. Adakah terdapat perbezaan yang signifikan dalam penguasaan kemahiran proses
sains asas dalam kalangan murid sekolah rendah Tahun 4, 5, dan 6?

Metodologi

Reka bentuk kajian

Memandangkan bahawa kajian ini bertujuan untuk mengenal pasti tahap penguasaan
kemahiran proses sains asas dalam kalangan murid sekolah rendah dan membandingkan
tahap penguasaan berdasarkan jantina, lokasi sekolah (misalnya, antara bandar dan luar
bandar) dan aras tahun (antara murid Tahun 4, 5 dan 6) dalam keadaan semula jadi tanpa
mengusik ekologi persekolahan murid, maka reka bentuk kajian yang paling sesuai untuk
digunakan, menurut Mertler dan Charles (2011), ialah reka bentuk kajian perbandingan
sebab (causal-comparative research design). Dalam kajian ini, skor murid dalam ujian
kemahiran proses asas merupakan pembolehubah bersandar manakala jantina, lokasi
sekolah, dan aras tahun pula merupakan pembolehubah-pembolehubah tidak bersandar.

Persampelan

Satu persampelan mudah yang bertujuan (purposive convenience sampling) digunakan


memandangkan bahawa bukan sahaja pengkaji mempunyai akses kepada sekolah di
Kawasan Gombak, bahkan pemilihan melibatkan dua buah sekolah rendah di kawasan
bandar dan dua buah lagi di kawasan luar bandar serta melibatkan murid-murid tahun
4, 5 dan 6. Memang diakui bahawa terdapat kritikan dalam penggunaan persampelan
mudah yang bertujuan atas faktor ketidakwakilan (non-representativenes), namun teknik
persamplean ini mempunyai manfaat dalam memperoleh data awal untuk memahami
tahap penguasaan kemahiran proses sains dalam kalangan murid sekolah rendah tanpa
komplikasi menggunakan persampelan rawak. Jadual 1 memberikan pecahan sampel
berdasarkan jantina, lokasi, dan aras tahun.
81
JURNAL PENDIDIKAN SAINS & MATEMATIK MALAYSIA
VOL.3 NO.2 ISSN 2232-0393

Jadual 1 Pecahan sampel berdasarkan jantina, lokasi dan aras tahun


Lokasi
Jantina Jumlah
Bandar Luar Bandar
Tahun 4 30 21 51
Tahun Tahun 5 23 25 48
Lelaki
Tahun 6 35 22 57
Jumlah 88 68 156
Perempuan Tahun 4 32 31 63
Tahun Tahun 5 38 24 62
Tahun 6 25 31 56
Jumlah 95 86 181

Instrumentasi

Ujian Kemahiran Proses Sains Asas (KPSA) yang mempunyai 36 item yang dibina oleh
Padilla, Cronin, dan Twiest (1985) dan telah diterjemahkan ke dalam bahasa Melayu
serta digunakan dalam kajian lepas (misalnya, Lay, 1999; Yeam, 2007) dipilih sebagai
instrumen dalam kajian ini. Namun, terdapat beberapa adaptasi dibuat terhadap Ujian
KPSA, misalnya dari segi penggunaan nama seperti Upin dan Ipin, supaya item-item
tersebut menjadi lebih bermakna dan berteraskan kenegaraan. Ujian KPSA menilai
kemahiran memerhati (6 item), berkomunikasi (6 item), mengelas (6 item), mengukur
(6 item), meramal (6 items), dan membuat inferens (6 item). Pembinaan atau penjanaan
Ujian KPSA telah dibuat dengan memberikan perhatian yang serius terhadap kesahan
dan kebolehpercayaan sebagaimana yang dilaporkan dalam Padilla, Cronin, dan
Twiest (1985). Di samping itu, instrumen asal didapati mempunyai kebolehpercayaan
keseluruhan KR-20 sebanyak 0.82 (Padilla, Cronin, & Twiest, 1985), instrumen
terjemahan yang diadaptasi ini yang menggunakan sampel kajian seramai 337 orang
murid sekolah rendah mempunyai kebolehpercayaan KR-20 yang dikira pada 0.80.

Prosedur Pengumpula Data

Ujian KPSA ditadbirkan kepada murid tahun 4, 5 dan 6 di setiap kelas di bawah
penyeliaan dan pengawasan guru sains masing-masing bagi tempoh selama satu jam
atau bersamaan dengan dua waktu pengajaran sains. Sekiranya seseorang murid tidak
memahami mana-mana satu perkataan atau ayat semasa menjawab ujian tersebut,
maka guru sains akan cuba menerangkan maknanya kepada murid berkenaan. Dalam
memastikan kadar penglibatan yang optimum, guru-guru sains memastikan yang setiap
kertas jawapan dikutip pada akhir sesi ujian.

Prosedur Penganalisisan Data

Data yang dikumpul akan dianalisis berdasarkan pencapaian dari segi kemahiran proses
sains asas secara keseluruhan, dan juga secara kemahiran spesifik dengan mengira skor
min (purata), peratus min, dan sisihan piawai (untuk peratus min). Bagi menentukan

82
JURNAL PENDIDIKAN SAINS & MATEMATIK MALAYSIA
VOL.3 NO.2 ISSN 2232-0393

perbezaan tahap penguasaan kemahiran proses sains asas (keseluruhan dan juga setiap
kemahiran spesifik) secara statistik berdasarkan jantina dan juga lokasi sekolah,
ujian-t tak bersandar digunakan. Sementara itu, dalam menentukan perbezaan tahap
penguasaan proses sains berdasarkan aras tahun (yakni, Tahun 4, 5, dan 6), analisis
varians sehala (one-way ANOVA) digunakan.

Dapatan Kajian

Soalan Kajian 1: Apakah tahap penguasaan kemahiran proses sains asas secara
keseluruhan dan secara spesifik dalam kalangan murid sekolah rendah tahap II?

Jadual 2 Skor min dan peratus min bagi kemahiran proses sains secara spesifik
dan secara keseluruhan
KPSA N Skor Maksimum Skor Min Peratus Min SP
Keseluruhan 337 36 21.04 58.45 16.46
Spesifik
Memerhati 337 6 3.69 61.42 24.61
Mengelas 337 6 3.65 60.88 23.22
Mengukur 337 6 3.24 53.96 19.27
Menginferens 337 6 3.37 56.18 25.40
Meramal 337 6 3.62 60.34 21.04
Berkomunikasi 337 6 3.47 57.91 24.77

Jadual 2 memaparkan skor maksimum (yakni bilangan item dalam Ujian


Kemahiran Proses Sains Asas), skor min, peratus min, dan sisihan piawai bagi tahap
penguasaan kemahiran proses sains asas (KPSA) dalam kalangan murid sekolah rendah
tahap II berdasarkan KPSA secara keseluruhan dan secara spesifik berdasarkan setiap
kemahiran dalam KPSA. Peratus min yang dicapai oleh murid sekolah rendah tahap
II adalah 58.45%, dan angka ini adalah di bawah 67.00%, iaitu penanda aras dua-
pertiga yang diperlukan untuk menunjukkan suatu penguasaan KPSA yang diterima.
Di samping itu, murid sekolah rendah tahap II juga mencapai kurang daripada penanda
aras dua-pertiga merentas enam kemahiran proses sains asas. Secara spesifik, murid
sekolah rendah tahap II mencapai, dalam turutan menurun, 61.42% untuk kemahiran
memerhati, 60.88% untuk kemahiran mengelas, 60.34% untuk kemahiran meramal,
57.91% untuk kemahiran berkomunikasi, 56.18% untuk kemahiran menginferens, dan
53.96% untuk kemahiran mengukur.

83
JURNAL PENDIDIKAN SAINS & MATEMATIK MALAYSIA
VOL.3 NO.2 ISSN 2232-0393

Soalan Kajian 2: Adakah terdapat perbezaan yang signifikan dalam penguasaan


kemahiran proses sains antara lelaki dan perempuan dalam kalangan murid sekolah
rendah tahap II?

Jadual 3 Keputusan yang diperoleh daripada Ujian- t tak berpasangan untuk KPSA secara
spesifik dan secara keseluruhan berdasarkan jantina
Kemahiran Lelaki Perempuan
Proses Sains P
Asas N Min SP N Min SP t
(2-tailed)
Memerhati 156 59.40 26.58 181 63.17 22.70 1.39 .167
Mengelas 156 58.12 23.38 181 63.26 22.89 2.04 .043 *
Mengukur 156 53.95 18.17 181 53.96 20.21 0.003 .998
Menginferens 156 56.84 23.94 181 55.62 26.66 0.439 .661
Meramal 156 59.94 20.89 181 60.68 21.22 0.324 .746
Berkomunikasi 156 56.94 25.47 181 58.75 24.19 0.666 .506
Keseluruhan 156 57.53 16.42 181 59.24 16.50 0.949 .343
* signifikan pada p < .05

Jadual 3 menunjukkan hasil keputusan yang diperoleh daripada Ujian-t tak
berpasangan untuk kemahiran proses sains secara spesifik dan juga kemahiran proses
sains secara keseluruhan berdasarkan jantina. Daripada Jadual 3, didapati bahawa
hanya terdapat perbezaan yang signifikan secara statistik dalam kemahiran proses
mengelas (t = 2.04, p = .043 < .05), di mana murid perempuan menunjukkan tahap
penguasaan kemahiran proses mengelas yang lebih tinggi dan signifikan secara statistik
berbanding dengan murid lelaki. Untuk kemahiran proses sains memerhati, mengukur
dan menggunakan nombor, menginferens, meramal, dan berkomunikasi, tidak terdapat
perbezaan yang signifikan (p > .05) antara lelaki dan perempuan dalam kalangan murid
sekolah rendah tahap II. Begitu juga dalam penguasaan KPSA secara keseluruhan,
didapati bahawa tidak terdapat perbezaan yang signifikan antara lelaki dan perempuan
dalam kalangan murid sekolah rendah tahap II.

84
JURNAL PENDIDIKAN SAINS & MATEMATIK MALAYSIA
VOL.3 NO.2 ISSN 2232-0393

Soalan Kajian 3: Adakah terdapat perbezaan yang signifikan dalam penguasaan


kemahiran proses sains antara murid bandar dan luar bandar?

Jadual 4 Keputusan yang diperoleh daripada Ujian-t tak berpasangan untuk KPSA secara
spesifik dan secara keseluruhan berdasarkan lokasi sekolah
Kemahiran Bandar Luar Bandar
Proses Sains p
Asas N Min SP N Min SP t
(2-tailed)
Memerhati 183 67.03 21.82 154 54.76 26.11 4.628b .000
Mengelas 183 65.85 20.91 154 54.98 24.49 4.336b .000
Mengukur 183 54.37 16.46 154 53.46 22.20 0.420 b
.675
Menginferens 183 62.02 24.04 154 49.24 25.30 4.745a .000
Meramal 183 65.30 20.06 154 54.44 20.70 4.880 a
.000
Berkomunikasi 183 63.11 24.17 154 51.73 24.13 4.311a .000
Keseluruhan 183 62.95 14.41 154 53.10 17.17 5.638 b
.000

Jadual 4 menunjukkan hasil keputusan yang diperoleh daripada Ujian-t tak


berpasangan untuk kemahiran proses sains secara spesifik dan juga kemahiran proses
sains secara keseluruhan berdasarkan lokasi sekolah. Sebagaimana yang dipaparkan
dalam Jadual 4, Ujian-t tak berpasangan untuk KPSA secara keseluruhan menghasilkan
satu nilai t bersamaan dengan 5.638 yang signifikan secara statistik (p = .000 < .001).
Ini menunjukkan bahawa peratusan min yang diperoleh oleh murid sekolah rendah
tahap II di bandar (62.95) adalah lebih tinggi dan signifikan secara statistik berbanding
dengan peratusan min yang diperoleh oleh murid sekolah rendah tahap II di luar bandar
(53.10). Tambahan pula, dari segi kemahiran proses sains asas secara spesifik, murid
sekolah rendah tahap II di bandar menunjukkan suatu penguasaan kemahiran proses
sains asas yang lebih tinggi dan signifikan secara statistik dalam memerhati (t = 4.628,
p < .001), mengelas (t = 4.336, p < .001), menginferens (t = 4.745, p < .001), meramal
(t = 3.880, p < .001), dan berkomunikasi (t = 4.311, p < .001) berbanding dengan murid
sekolah rendah tahap II di luar bandar.

85
JURNAL PENDIDIKAN SAINS & MATEMATIK MALAYSIA
VOL.3 NO.2 ISSN 2232-0393

Soalan Kajian 4: Adakah terdapat perbezaan yang signifikan dalam penguasaan


kemahiran proses sains asas dalam kalangan murid sekolah rendah Tahun 4, 5, dan
6?

Jadual 5 Hasil keputusan yang diperoleh daripada ANOVA sehala berdasarkan Aras Tahun
untuk kemahiran proses sains asas secara spesifik dan secara keseluruhan
Jumlah Kuasa
Df F Sig.
Kuasa dua dua Min
Antara Kump 154.21 2 77.10 .127 .881
Memerhati Dalam Kump 203362.11 334 608.87
Jumlah 203516.32 336
Antara Kump 218.72 2 109.36 .202 .817
Mengelas Dalam Kump 180997.90 334 541.91
Jumlah 181216.62 336
Antara Kump 1103.34 2 551.67 1.491 .227
Mengukur Dalam Kump 123621.36 334 370.12
Jumlah 124724.70 336
Antara Kump 10580.64 2 5290.32 8.567 .000
Menginferens Dalam Kump 206262.42 334 617.55
Jumlah 216843.06 336
Antara Kump 1452.73 2 726.37 1.647 .194
Meramal Dalam Kump 147264.71 334 440.91
Jumlah 148717.44 336
Antara Kump 1149.60 2 574.80 .937 .393
Berkomunikasi Dalam Kump 204971.40 334 613.69
Jumlah 206121.00 336
Keseluruhan Antara Kump 1476.55 2 738.28 2.754 .065
Dalam Kump 89552.91 334 268.12
Jumlah 91029.463 336

86
JURNAL PENDIDIKAN SAINS & MATEMATIK MALAYSIA
VOL.3 NO.2 ISSN 2232-0393

Jadual 6 Ujian post hoc untuk Menginferens


Menginferens
Tahun N Min SP
4 114 54.82 24.36
5 110 50.00 26.33
6 113 63.57 23.84
Jumlah 337 56.18 25.40
Perbandingan Pasangan Perbezaan Min p
Tahun 4 – Tahun 5 4.82 .442
Tahun 4 – Tahun 6 -8.74 .025*
Tahun 5 – Tahun 6 -13.57 .000**
Signifikan pada p < .05
*

Signifikan pada p < .001


**

Hasil keputusan yang diperoleh daripada analisis varians sebagaimana yang


dipaparkan dalam Jadual 5 menunjukkan bahawa kesan utama aras tahun adalah
signifikan secara statistik hanya untuk kemahiran proses menginferens [F (2, 334) =
8.567, p = .000 < .001]. Sebagaimana yang dipaparkan dalam Jadual 6, ujian post hoc
selanjutnya menunjukkan bahawa terdapat perbezaan dalam penguasaan kemahiran
proses sains menginferens antara murid Tahun 6 dengan Tahun 4 (perbezaan peratus
min = 8.74, p < .05), dan Tahun 6 dengan Tahun 5 (perbezaan peratus min = 13.57, p <
.001) yang berpihak kepada murid Tahun 6.

Kesimpulan dan Perbincangan

Inti pati hasil kajian ini menunjukkan bahawa (1) murid sekolah rendah tahap II
mencapai peratusan min di bawah penanda aras dua-pertiga atau 67% bagi kemahiran
proses sains asas (KPSA) secara keseluruhan, dan juga enam KPSA secara spesifik;
(2) tiada perbezaan dalam pencapaian KPSA secara keseluruhan dan juga secara
spesifik berdasarkan jantina, kecuali dalam kemahiran proses mengelas yang berpihak
kepada murid perempuan; (3) murid bandar mendapat pencapaian lebih baik daripada
murid luar bandar dalam kemahiran memerhati, mengelas, menginferens, meramal,
dan berkomunikasi. Namun, dalam kemahiran mengukur, tiada perbezaan antara
murid bandar dan luar bandar; dan (4) tiada perbezaan dalam pencapaian dalam
setiap kemahiran proses sains asas berdasarkan aras tahun, kecuali dalam kemahiran
menginferens di mana murid Tahun 6 mencapai lebih tinggi dan signifikan secara
statistik berbanding dengan murid Tahun 4, dan 5.
Dapatan kajian yang menunjukkan kegagalan dalam mencapai penanda
aras oleh murid sekolah rendah Tahap II mungkin disebabkan oleh sains yang diajar
di sekolah rendah melalui kaedah didaktik dengan menggunakan buku teks dan
buku latihan sambil melaksanakan aktiviti secara teori. Kajian oleh Alexander dan
87
JURNAL PENDIDIKAN SAINS & MATEMATIK MALAYSIA
VOL.3 NO.2 ISSN 2232-0393

Kulikowich (1994) menunjukkan bahawa pembelajaran yang pasif dan yang melibatkan
penghafalan serta pengingatan fakta adalah membosankan, mudah dilupa dan tiada
nilai aplikasi. Maka, dicadangkan supaya pengajaran sains di sekolah rendah haruslah
bermakna dan aktif dengan pelbagai aktiviti yang melibatkan gerakan tangan dan
cabaran minda serta berasaskan inkuiri. Mengikut National Research Council (1996),
pembelajaran berasaskan inkuiri dapat memupuk pemahaman yang lebih mendalam.
Tiada perbezaan dalam pencapaian KPSA secara keseluruhan dan juga secara
spesifik (kecuali dalam kemahiran mengelas) antara murid lelaki dan perempuan
menunjukkan bahawa murid lelaki dan perempuan di Malaysia menerima pendidikan
secara holistik tanpa membezakan jantina. Namun, dalam Pelan Pembangunan
Pendidikan Malaysia (KPM, 2012), dinyatakan bahawa murid lelaki semakin
dipinggirkan menyebabkan jurang jantina melebar dan memihak kepada kaum hawa.
Terdapatnya perbezaan jantina dalam kemahiran proses mengelas dalam kajian ini
menunjukkan bermulanya jurang jantina dalam pencapaian kemahiran proses sains.
Adakah jurang jantina dalam pencapaian KPS dalam konteks pendidikan sains
di Malaysia akan terus mencapai status quo, dirapatkan, atau dilebarkan, apabila
murid meningkat dewasa dan melalui transisi alam persekolahan daripada rendah ke
menengah? Kebimbangan ini dilontarkan kerana kajian Burns (2013) menunjukkan
bahawa walaupun tiada perbezaan dalam pencapaian berdasarkan jantina di peringkat
sekolah rendah, perbezaan dalam pencapaian berdasarkan jantina semakin ketara dan
signifikan di sekolah menengah dan ia memihak kepada murid perempuan manakala
murid lelaki semakin dipinggirkan. Sehubungan itu, kajian lanjutan perlu dilaksanakan
bagi menentukan sebab musabab yang menyebabkan jurang jantina semakin melebar
dan langkah intervensi yang sewajarnya dirancang dan dilaksanakan bagi mengelakkan
pelebaran jurang jantina.
Dapatan bahawa pencapaian KPSA murid bandar yang lebih tinggi dan
signifikan berbanding dengan murid luar bandar dalam kalangan murid sekolah rendah
tahap II sememangnya harus membunyikan “penggera kebakaran” yang memerlukan
tindakan wajar daripada kesemua pihak yang berkepentingan seperti pihak guru sains,
panitia sains sekolah, pihak pengurusan sekolah, pejabat pendidikan daerah, jabatan
pendidikan negeri, dan juga Kementerian Pendidikan Malaysia. Kajian Bank Dunia
(World Bank, 2010) menunjukkan bahawa perbezaan pencapaian antara bandar
dan luar bandar akan terus melebar apabila murid meneruskan tahun persekolahan,
dan pelebaran ini menjadi semakin runcing di negeri yang lebih miskin. Terdapat
banyak faktor penyumbang yang menyumbang kepada pelebaran dalam pencapaian
antara bandar dan luar bandar. Antaranya ialah kualiti guru, infrastruktur asas, dan
status sosio ekonomi. Namun, jikalau diteliti penempatan guru, memang tidak dapat
dinafikan bahawa lumrahnya, kebanyakan guru yang baharu keluar daripada Institusi
Pengajian Tinggi dan juga Institut Perguruan ditempatkan di kawasan luar bandar dan
apabila sudah memperoleh pengalaman mengajar, mereka akan berpindah ke kawasan
bandar. Dengan menganggap bahawa pengalaman mengajar mempunyai hubungan
positif dengan kualiti pengajaran, ini seterusnya membawa implikasi bahawa kualiti
pengajaran di sekolah rendah secara umumnya adalah lebih rendah berbanding dengan
kualiti pengajaran di bandar. Lantaran itu, syor pengekalan guru berpengalaman di
kawasan luar bandar atau penempatan semula guru yang berpengalaman ke kawasan
88
JURNAL PENDIDIKAN SAINS & MATEMATIK MALAYSIA
VOL.3 NO.2 ISSN 2232-0393

luar bandar harus dijadikan agenda pihak Kementerian Pendidikan.


Di samping itu, tiada perbezaan dalam pencapaian KPSA secara keseluruhan
dan juga secara spesifik (kecuali dalam kemahiran menginferens) antara tahun 4, 5,
dan 6 menunjukkan tiada peningkatan dalam penguasaan kemahiran proses sains
merentas tahun persekolahan di tahap II. Adakah ini berpunca daripada keghairahan
guru dalam menyediakan murid untuk Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR)
sehinggakan pemupukan kemahiran proses sains diabaikan? Lantas, dicadangkan
pemupukan kemahiran proses sains yang lebih eksplisit dan terancang, bermula
dengan pemupukan secara beransur-ansur dengan beberapa kemahiran proses sains
asas sehinggalah melibatkan penyiasatan sains yang memerlukan penggunaan kesemua
kemahiran proses sains asas dan bersepadu harus didokumenkan sebagai panduan dan
adaptasi guru sains. Penghasilkan Modul Kemahiran Proses Sains: Dunia Sains dan
Teknologi Tahun 3 (BPK, 2012b) oleh pihak Kementerian Pendidikan merupakan satu
langkah yang harus dipuji. Dicadangkan modul-modul Kemahiran Proses Sains untuk
Tahun 4, 5 dan 6, dan juga Tingkatan 1 hingga 5, dapat juga disediakan untuk dijadikan
panduan, rujukan dan sumber pengajaran untuk guru dalam memahami hierarki aktiviti
dan juga kesesuaian aktiviti yang berpadanan dengan setiap aras persekolahan.

Rujukan

Abdul Rahim, H., & Saliza, A. (2008). Tahap penguasaan guru dalam melaksanakan
pentaksiran kerja amali (PEKA) sains menengah rendah. Paper presented at the
Seminar Kebangsaan Pendidikan Sains dan Matematik, 11-12 October 2008, Johor.
Alexander, P., & Kulikowich, J. (1994). Learning from physics text: A synthesis of recent
research. Journal of Research in Science Teaching, 31, 895-911.
Bahagian Pembangunan Kurikulum [BPK]. (2012a). Kurikulum Standard Sekolah
Rendah Dunia Sains dan Teknologi Tahun 3. Putrajaya: Kementerian Pelajaran
Malaysia.
Bahagian Pembangunan Kurikulum [BPK]. (2012b). Modul kemahiran proses sains:
Dunia Sains dan Teknologi Tahun 3. Putrajaya: Kementerian Pelajaran Malaysia.
Brotherto, P.N., & Preece, P.F.W. (1995). Science process skills: Their nature and
interrelationships. Research in Science and Technological Education, 13, 5-11.
Burns, J. (2013). Girls “beat boys” in skills-based science subjects. Accessed on July
29, 2013, from http://www.bbc.co.uk/news/education-23181672?print=true.
Cain, S. (2002). Sciencing. (4th ed.). Upper Saddle River, NJ: Pearson Education.
Carin, A.A., & Sund, R.B. (1985). Teaching Modern Science (4th ed.). Columbus:
Charles E. Merrill Publishing Company.
Collette, A.T., & Chiappetta, E.L. (1986). Science instruction in the middle and secondary
school (2nd. ed.). Columbus: Charles E Merrill Publishing Company.
Dillashaw, F.G., & Okey, J.R. (1980). Test of Integrated Science Process Skills for
Secondary Students. Science Education, 64, 601-608.
Filmer. I, & Foh, S. H. (1997). Penilaian amali sains sekolah rendah: Satu kajian perintis.
Jurnal Pendidik dan Pendidikan USM , 15, 33-45.
Funk, H.J., Fiel, R.L., Okey, J.R., Jaus, H.H., & Sprague, C.S. (1979). Learning Science
Process Skills. Iowa: Kendall/Hunt.
89
JURNAL PENDIDIKAN SAINS & MATEMATIK MALAYSIA
VOL.3 NO.2 ISSN 2232-0393

Kementerian Pelajaran Malaysia. (2012). Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia


2013-2025. Putrajaya: Kementerian Pelajaran Malaysia.
Lay, Y.F. (1999). Pencapaian kemahiran proses sains asas dan bersepadu di kalangan
guru sains sekolah rendah. (Unpublished master’s thesis). Universiti Malaysia
Sarawak, Sintok, Sarawak.
Lembaga Peperiksaan Malaysia. (2008). Assessment Guide. Science Practical Work
Assessment (PEKA). Ujian Pencapaian Sekolah Mulai 2008. Putajaya: Lembaga
Peperiksaan Malaysia.
Mertler, C.A., & Charles, C.M. (2011). Introduction to educational research (7th ed.).
Boston, MA: Pearson Education.
National Research Council. (1996). National Science Education Standards. Washington
D.C: National Academic Press.
Noorasyikin, K. (2002). Masalah Guru Dalam Pengendalian Penilaian Kerja Amali
(PEKA) Biologi Di Daerah Muar. (Unpublished master’s thesis). Universiti
Teknologi Malaysia (UTM), Skudai, Johor.
Padilla, M. J. (1990). The science process skills. Research Matters…to the Science
Teacher, No. 9004, National Association for Research in Science Teaching. (ERIC
Document Reproduction Service No. ED 266 961).
Padilla, M., Cronin, L., & Twiest, M. (1985). The development and validation of the
test of basic process skills. Paper presented at the annual meeting of the National
Association for Research in Science Teaching, French Lick, IN.
Pusat Perkembangan Kurikulum [PPK]. (2003). Kurikulum Bersepadu Sekolah Rendah.
Huraian Sukatan Pelajaran Sains Tahun 6. Kuala Lumpur: Kementerian
Pelajaran Malaysia.
Rezba, R.J., Sprague, C., Fiel, R. L., & Jaus, H. H. (1995). Learning and Assessing
Science Process Skills (3rd. ed.). Dubuque, Iowa: Kendall/Hunt Publishing
Company.
Settlage, J., & Southerland, S. A. (2007). Teaching science to every child: Using culture
as a starting point. New York: Routledge.
Siti Aloyah, A. (2002) Penilaian pelaksanaan program PEKA Biologi. (Unpublished
master’s thesis). Universiti Kebangsaan Malaysia, Bangi, Kuala Lumpur.
Sund, R.B., & Trowbridge, L.W. (1973). Teaching science by inquiry in the secondary
school (2nd. ed.). Columbus: Charles E Merrill Publishing Company.
Wan Noraine, W.M.N. (2010). Kesediaan guru dalam melaksanakan PEKA PMR di
sekolah menengah Kuala Trengganu. (Unpublished master’s thesis). Universiti
Teknologi Malaysia, Skudai, Johor.
Wellington, J. (1994). Secondary science. Contemporary issues and practical
approaches. London: Routledge.
World Bank. (2010). Malaysia Economic Monitor, Inclusive Growth. Bangkok,
Thailand: The World Bank.
Yeam, K.P. (2007). Tahap pencapaian dan pelaksanaan kemahiran proses sains dalam
kalangan guru pelatih. (Unpublished M.Ed thesis). Universiti Sains Malaysia,
Penang.
Yusmainor. (2010). Panduan PEKA Sains UPSR. Accessed on July 29, 2013, from
http://usemyknow.blogspot.co.uk/2010/08/panduan-peka-sains-upsr.html.
90

You might also like