You are on page 1of 11

See discussions, stats, and author profiles for this publication at: https://www.researchgate.

net/publication/319998422

Penglibatan Komuniti dalam Pengurusan Sisa Pepejal di Malaysia

Article · September 2017

CITATIONS READS

0 1,451

6 authors, including:

Haliza Abdul Rahman


Universiti Putra Malaysia
69 PUBLICATIONS   39 CITATIONS   

SEE PROFILE

Some of the authors of this publication are also working on these related projects:

public participation in environmental issues View project

All content following this page was uploaded by Haliza Abdul Rahman on 23 September 2017.

The user has requested enhancement of the downloaded file.


Malaysian Journal of Environmental Management 16 (1) (2017): 13-22

Penglibatan Komuniti dalam Pengurusan Sisa Pepejal di Malaysia

HALIZA ABDUL RAHMAN1

ABSTRAK

Sisa pepejal atau sampah secara mudahnya merujuk kepada apa sahaja bahan buangan yang tidak
dikehendaki oleh pemiliknya sama ada kerana rosak, lusuh atau telah sampai jangka hayatnya.
Kewujudan pelbagai masalah berkaitan sisa pepejal telah menyebabkan pengurusan lestari sisa pepejal
telah diberi keutamaan dalam usaha memastikan kesihatan awam terjamin, alam sekitar dilindungi dan
dipulihara, sumber alam terpelihara serta kebersihan persekitaran dan nilai estetik terjaga. Di Malaysia,
pengurusan sisa pepejal merupakan satu masalah besar selaras dengan peningkatan jumlah populasi,
peningkatan taraf hidup dan aktiviti perindustrian. Justeru, pengurusan lestari sisa pepejal amat penting
kerana jika ianya tidak diuruskan dengan sistematik dan berkesan, impaknya akan terkesan kepada
masyarakat dan alam sekitar. Namun, kejayaan utama pengurusan sisa pepejal bersepadu amat
bergantung kepada sokongan dan penglibatan komuniti setempat secara aktif iaitu dengan
menghampirkan diri atau mempunyai hubungan rapat dengan perancangan dan pelaksanaan sesuatu
program berkaitan. Komuniti boleh berperanan antara lain dengan melaksanakan aktiviti kitar semula,
pengkomposan serta pengasingan sisa pepejal di rumah sebagai salah satu langkah paling berkesan
dalam usaha mengurangkan jumlah penjanaan dan penghantaran sisa pepejal ke tapak
pelupusan. Pengalaman dan kejayaan yang ditunjukkan oleh komuniti di negara-negara lain juga boleh
dipraktikkan di Malaysia dalam usaha mengurangkan pelupusan sisa pepejal dan meningkatkan
penyertaan komuniti setempat dalam perkara ini.

Kata kunci: Komuniti, Pengurusan Sisa Pepejal Lestari, Alam Sekitar, Kesihatan

PENGENALAN

Sisa pepejal atau sampah secara mudahnya merujuk kepada apa sahaja bahan buangan yang
tidak dikehendaki oleh pemiliknya sama ada kerana rosak, lusuh atau telah sampai jangka
hayatnya. McDougall et al. (2001) mentakrifkan sisa pepejal sebagai sisa dari rumah (dikutip
dan dihantar), sisa komersial (Kedai, restoran, pejabat) dan sisa institusi (sekolah, kemudahan
riadah, hospital tetapi tidak termasuk sisa klinikal) yang terhasil daripada aktiviti harian. Di
Malaysia, sisa pepejal terdiri daripada peratusan bahan organik (48-64%) dan kertas (12-30%).
Umumnya, sisa pepejal lebih mudah dilupuskan kerana ianya tidak toksik berbanding dengan
sisa klinikal dan sisa buangan terjadual.
Menurut Tchobanoglous et al. (1993), pengurusan sisa pepejal merangkumi enam elemen,
bermula daripada penjanaan sisa, diikuti dengan penyimpanan dan pemprosesan di peringkat
sumber, proses pengumpulan, pemindahan dan pengangkutan, rawatan dan transformasi dan
akhirnya pelupusan. Di Malaysia, pengurusan sisa pepejal merupakan satu masalah besar
dengan peningkatan jumlah populasi, peningkatan taraf hidup dan aktiviti perindustrian
(Rahmah 2011). Justeru, pengurusan lestari sisa pepejal amat penting kerana jika ianya tidak
diuruskan dengan sistematik dan berkesan, impaknya akan terkesan oleh masyarakat dan alam
sekitar. Menurut UNEP (1996), pencemaran sisa pepejal yang disebabkan ketidakberkesanan
sistem pengurusan sisa pepejal membawa kesan langsung kepada kesihatan awam,
kemerosotan kualiti alam sekitar dan masalah estetika secara berperingkat bagi jangka masa
pendek dan jangka masa panjang.
14 Haliza Abdul Rahman

Menurut Sharifah Norkhadijah (2014), salah satu cabaran terbesar dalam pengurusan sisa
pepejal ialah peningkatan penjanaan sisa, yang mewujudkan tekanan kepada kemudahan
pelupusan. Kadar penjanaan sisa pepejal isi rumah atau domestik didapati semakin meningkat
dari hari ke hari selaras dengan perubahan gaya hidup masyarakat dan peningkatan taraf
ekonomi. Pada tahun 2000, penduduk Malaysia secara purata menjana 0.8 kg per kapita
sampah sehari dan dijangka meningkat kepada 1.4 kg sehari per kapita pada tahun 2025 (Lau
2004). Dengan jumlah penduduk Malaysia yang telah menjangkau 30 juta orang, sampah yang
terhasil akan turut meningkat yang mana dijangka mececah 40 ribu tan metrik sehari. Pada
tahun 2014, penduduk di negara ini dianggar membuang sehingga 33,000 tan metrik sampah
setiap hari melibatkan kos berjumlah RM1.2 bilion untuk kerja pengutipan sampah (Sinar
Harian 19 Januari 2014).
Justeru, komuniti perlu sentiasa dididik demi untuk meningkatkan tahap kesedaran dan
peranan mereka dalam isu ini agar sisa pepejal akhir yang dijana dapat diminimumkan
semaksimum mungkin melalui pengamalan berkesan konsep 3R iaitu mengurangkan pembelian
dan pemilikan barangan yang tidak perlu (reduce), mengguna semula barangan (reuse) serta
mengitar semula sesuatu barangan (recycle) demi mengurangkan tekanan terhadap tapak
pelupusan sampah sedia ada.

SEPINTAS LALU PENGURUSAN SISA PEPEJAL DI MALAYSIA

Pengurusan lestari sisa pepejal perlu diberi keutamaan dalam usaha memastikan kesihatan
awam terjamin, alam sekitar dilindungi dan dipulihara, sumber alam terpelihara;serta
kebersihan persekitaran dan nilai estetik terjaga. Di Malaysia, sehingga tahun 2012, terdapat
296 tapak pelupusan sisa pepejal yang mana daripada jumlah ini, 165 tapak masih beroperasi
dengan hanya ada 8 tapak pelupusan sanitari tahap 4 (penimbusan tanah sanitari dengan sistem
rawatan air resapan) di seluruh negara. Selain itu, sejak tahun 2006 telah diperkenalkan satu
lagi kaedah pelupusan sisa yang dikenali sebagai ‘Resource Recovery Centre’ iaitu dengan
menukar sisa kepada bahan api, namun ianya masih dalam fasa percubaan. Loji ini menerima
700 tan/hari sisa daripada Majlis Perbandaran Kajang dan mempunyai jangka hayat selama 30
tahun. Loji ini mengasingkan sisa pepejal untuk dijual sebagai bahan kitar semula atau kompos.
Baki bahan kering ini akan diproses dan digunakan sebagai bahan bakar untuk menjana
elektrik. Loji rawatan ini memproses 28-32% sisa pepejal asal untuk menghasilkan 8 MW
elektrik setiap hari, dengan kandungan abu dari proses pembakaran sekitar 10% dibuang di
tapak pelupusan. Teknologi ini bukan sahaja dapat mengurangkan pelepasan gas rumah hijau
dengan mengelakkan metana daripada sisa pepejal terbakar, malah dapat membekalkan tenaga
elektrik, menggalakkan kitar semula dan kompos (UNFCC 2006).
Pengurusan sisa pepejal yang tidak sistematik dan lestari akan menimbulkan pelbagai
masalah kepada kesihatan manusia dan alam sekitar. Justeru, pada tahun 1988, Kementerian
Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) telah menyediakan satu perancangan untuk
melaksanakan kitar semula sisa pepejal. Rentetan itu pada bulan Januari tahun 1993, Program
Kitar Semula telah dilancarkan yang melibatkan 23 Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) seluruh
negara. Objektif program ini ialah untuk menjimatkan kos pengurusan sisa pepejal melalui
kaedah pengurangan pengeluaran sisa pepejal yang diuruskan oleh PBT, memelihara dan
mengurangkan penggunaan bahan mentah asli yang ada, membantu memelihara kualiti alam
sekitar serta membantu meningkatkan taraf ekonomi penduduk setempat. Setiap majlis
perbandaran dan majlis daerah mempunyai undang-undang kecil tersendiri untuk mentadbir
pengurusan sisa pepejal.
Pada mulanya program ini mendapat sambutan baik daripada golongan masyarakat di
bandar-bandar utama di negara ini. Pada masa itu terdapat kerjasama antara pengilang,
pemungut bahan buangan sisa pepejal, penduduk setempat dan kanak-kanak sekolah.
walaubagaimanapun lama-kelamaan program tersebut tidak mendapat sambutan yang
menggalakkan daripada orang ramai dan penduduk setempat. Daripada 23 PBT yang diminta
Malaysian Journal of Environmental Management 16 (1) (2017): 13-22
Haliza Abdul Rahman 15

melaksanakan program tersebut, hanya 10 PBT sahaja yang masih meneruskan program
berkenaan. Pihak KPKT sedar bahawa untuk menjayakan program kitar semula di Malaysia
adalah sukar tanpa penglibatan yang baik daripada semua pihak khususnya golongan
masyarakat. Pengalaman negara maju juga menunjukkan bahawa satu tempoh yang lama dan
melebihi 10 tahun diperlukan untuk menjayakan program kitar semula (Mohd Nazeri 2001).
Kegagalan kempen kitar semula kali pertama ini ini berpunca daripada ketiadaan sokongan
padu daripada masyarakat serta kekurangan logistik bagi pihak kerajaan. Hal ini ditambah lagi
dengan ketiadaan pengalaman dalam melaksanakan program seumpama ini di Malaysia
sebelumnya.Ini selaras dengan pendapat Hallin (1995) iaitu, antara tiga sebab utama mengapa
pengguna atau komuniti tidak melibatkan diri dalam aktiviti menjaga alam sekitar seperti
pengurusan sisa pepejal disebabkan:
1. Tidak mempunyai masa
2. Tidak menerima sebarang ganjaran
3. Ia meleceh/menyusahkan (inconvenience).
Justeru, pada akhir tahun 2000, kempen yang sama dilancarkan sekali lagi kerana isu
penjanaan sisa pepejal menampakkan trend peningkatan yang membimbangkan. Masalah sisa
pepejal semakin meruncing apabila sistem pengurusan yang diamalkan oleh kerajaan tempatan
dan pihak konsesi swasta dari segi pungutan, penyimpanan dan pengangkutan sehingga ke
tapak pelupusan kurang berkesan. Namun, sehingga tahun 2001, hanya 5 peratus sisa pepejal
dikitar semula berbanding dengan 40 peratus jumlah penghasilan sisa setiap hari (750 tan
daripada 6000 tan) (Berita Harian 2001). Di Malaysia, guna tanah perumahan menjana sisa
pepejal paling tinggi berbanding sektor perindustrian, pertanian, perniagaan dan perdagangan,
klinikal dan pembinaan. Rentetan itu, mulai 1 September 2015, pihak kerajaan telah
mewajibkan pengasingan sisa pepejal di rumah. Pelaksanaan perkara ini berdasarkan Peraturan
di bawah Akta Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam 2007 (Akta 672). Secara
umumnya, pengasingan sisa pepejal di rumah ini adalah mengikut jenis komposisi sisa pepejal
seperti berikut:
a) Kertas – surat khabar , majalah, buku panduan, komik, katalog, kertas komputer,
kertasA4, kertas berwarna, resit, bil , kotak kertas, kadbod, kalender, sampul surat,
poskad, risalah, dan bungkusan pos.
b) Plastik – botol minuman ringan, botol jus, botol minuman air mineral, bekas makanan,
bekas sabun cecair mandian, botol syampu, botol makanan kesihatan/vitamin, bekas
pencuci pakaian/lantai, botol kicap, baldi, beg plastik, bekas ais krim dan lain – lain
jenis plastik
c) Lain – lain bahan yang boleh dikitar semula ialah :-
 Kaca/Seramik - botol kicap, botol sos, botol jem, botol minuman ringan, botol
vitamin, bekas kosmetik, pinggan kaca dan sebagainya.
 Tin aluminium/besi/logam lain - tin minuman ringan, tin makanan dan sos, tin
biskut, tin makanan cecair, alatan dapur seperti sudu, periuk senduk dan
sebagainya.
 Sisa elektrik/barang elektrik kecil – bateri, kalkulator, telefon bimbit, peralatan
elektrik, lampu kalimantang, lampu LED,cerek elektrik, dapur elektrik dan
sebagainya.
 Bahan fabrik/kasut/getah/kulit – kasut, beg tangan, pakaian, sarung tangan dan
sebagainya.
 Sisa berbahaya – bekas penyembur ubat nyamuk,tin cat, bekas racun, bekas
bahan pelarut, bekas ubat anai – anai dan sebagainya.
 Sisa Kebun/Taman – sisa halaman rumah seperti daun kering, ranting,pelepah
pokok, batang pokok, rumput dan sebagainya.
 Sisa Pukal – sisa peralatan rumah yang besar seperti peti sejuk, almari, katil,
mesin basuh, sofa, perabot dan sebagainya.

Malaysian Journal of Environmental Management 16 (1) (2017): 13-22


16 Haliza Abdul Rahman

Bagi komposisi sisa pepejal yang telah diasingkan di atas hendaklah dimasukkan dalam
bekas yang sesuai/plastik sampah dan diletakkan di tepi tong sampah pada hari kutipan yang
ditetapkan di sesuatu kawasan. Manakala bagi Sisa Pukal hendaklah diletakkan dengan kemas
di bahu jalan hadapan rumah pada hari kutipan. Kutipan sisa pepejal berkenaan akan dibuat
satu (1) kali seminggu oleh syarikat konsesi yang telah dilantik. Di samping itu, bagi Sisa Baki
pula, sisa berkenaan perlu dimasukkan ke dalam bekas yang sesuai/plastik sampah dan
dimasukkan ke dalam tong sampah. Sisa Baki ini merangkumi sisa makanan, lampin pakai
buang, tisu, sisa–sisa lain yang kotor dan tercemar. Kutipan bagi Sisa Baki ini akan dibuat
kutipan dua (2) kali seminggu oleh syarikat konsesi yang telah dilantik. Namun, pelaksanaan
pengasingan sisa pepejal di rumah ini walaupun baik ianya tidak melibatkan segenap lapisan
komuniti. Hal ini kerana ianya hanya melibatkan negeri-negeri yang menerimapakai Akta 672
iaitu Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, WP Putrajaya, Pahang, Johor, Melaka, Negeri
Sembilan, Perlis dan Kedah sahaja. Justeru, impak lambakan sisa pepejal isi rumah serta impak
negatifnya masih tidak dapat diminimumkan secara menyeluruh di Malaysia khususnya di
negeri-negeri yang padat penduduk dan tinggi penjanaan sampahnya seperti Selangor yang
tidak mewartakan perundangan tersebut.

PENGLIBATAN KOMUNITI DALAM PENGURUSAN SISA PEPEJAL

Komuniti merujuk kepada sekumpulan kecil golongan atau kumpulan dalam sebuah
masyarakat yang besar. Umumnya, komuniti merupakan sekumpulan manusia yang bukan
sahaja tinggal di satu wilayah yang mempunyai sempadan yang tetap, tetapi juga disatukan oleh
persamaan dalam cara hidup dan amalan mereka (Setty 1994) serta mengenali satu sama lain.
Menurut Robinson (1996), ahli-ahli dalam sesebuah komuniti mungkin berbeza dari segi
kumpulan etnik, agama, jantina, tahap pendidikan, peringkat umur dan ekonomi. Perbezaan ini
membawa kepada perbezaan minat, kuasa dan kekayaan. Namun begitu, ahli-ahli komuniti
sering berinteraksi dan berhubungan dalam aktiviti-aktiviti kehidupan mereka dan ini
menimbulkan sentimen komuniti (community sentiment) yang menyatukan mereka. Sentimen
ini menghasilkan semangat kekitaan, kemuafakatan serta perasaan tanggungjawab ke atas apa
yang berlaku di dalam komuniti dalam kalangan ahli-ahlinya. Penyertaan ahli komuniti dalam
sesuatu aktiviti boleh berlaku dalam bentuk sumbangan tenaga, barangan dan wang ringgit.
Berdasarkan pelbagai isu yang timbul dalam pengurusan sisa pepejal, penglibatan
komuniti adalah sangat penting kerana sisa pepejal terjana daripada aktiviti komuniti dan sisa
pepejal yang tidak diuruskan dengan lestari akan mendatangkan impak negatif kepada
komuniti. Menurut Lele (1975), penglibatan merupakan salah satu angkubah penting dalam
membentuk kejayaan sesuatu rancangan dan dianggap sebagai satu strategi dalam proses
tersebut (Oakley dan Marsden 1985). Dalam konteks komuniti, penglibatan dilihat sebagai
kemahuan individu membuat komen atau cadangan, berkongsi pendapat dengan ahli-ahli lain,
mengambil berat serta bertanggung jawab terhadap aktiviti kumpulan (Edwards dan Jones
1976). Menurut Cohen dan Uphoff (1977) pula, penglibatan merupakan proses di mana
individu dapat menghampirkan diri atau mempunyai hubungan dengan perancangan dan
pelaksanaan sesuatu program.
Terdapat tiga bentuk penglibatan komuniti iaitu (United Nations 1981): (i) Penglibatan
yang spontan – idea berkenaan dengan penglibatan komuniti dilakukan secara sukarela tanpa
sokongan atau desakan dari luar. (ii) Penglibatan yang didorong – biasanya bentuk penglibatan
ini melibatkan kumpulan luar untuk mendorong dan memotivasikan seseorang untuk
melibatkan diri. (iii) Penglibatan yang dipaksa – dengan melibatkan sesuatu bentuk desakan
atau paksaan yang mendesak mereka untuk melibatkan diri.
Penglibatan yang bersifat demokratik dan sukarela menjadi asas pembentukan semangat
keyakinan diri sendiri dan akhirnya mampu berdikari (Mukerji 1961). Penglibatan komuniti
dalam pengurusan sisa pepejal melibatkan beberapa tahap iaitu (ubahsuaian dari Sanders 1958):
(i) Proses – menekankan bahawa masyarakat bergerak dari satu tahap ke satu tahap lain yang
Malaysian Journal of Environmental Management 16 (1) (2017): 13-22
Haliza Abdul Rahman 17

lebih maju, justeru untuk menjadi maju pengurusan sisa pepejal haruslah dilakukan secara
lestari dan sistematik bagi meminimumkan impak negatifnya. Penekanan diberikan kepada
perubahan bersiri yang berlaku ke atas komuniti daripada aspek sosial dan psikologi untuk
jangka masa tertentu. (ii) Kaedah – memberi penekanan kepada proses dan objektif, iaitu
kaedah bagi mencapai matlamat yang disasarkan misalnya pengurusan sisa pepejal lestari
melalui proses-proses yang terlibat. Melalui pendekatan ini anggota komuniti dididik, diasuh
dan dilatih bagi menggunakan ruang masa dengan betul, memberi kemahiran serta penggunaan
sumber-sumber tempatan sedia ada secara optimum untuk mencapai peningkatan dalam kualiti
hidup. (iii) Program – melibatkan aktiviti atau projek tertentu yang direncanakan seperti
melaksanakan projek kitar semula dalam rangka untuk membangunkan komuniti ke arah
kehidupan yang lebih sihat dan baik. (iv) Pergerakan- menggambarkan komuniti seharusnya
mempunyai komitmen, meletakkan satu nilai yang tinggi, beranggapan baik, menyanjungi dan
menaruh harapan yang tinggi terhadap kesejahteraan komuniti. Unsur-unsur ini akan
mendorong komuniti agar mempunyai dedikasi terhadap sesuatu program seperti dalam
pengurusan lestari sisa pepejal.
Penglibatan komuniti dalam isu berkaitan alam sekitar seperti pengurusan sisa pepejal
sangat penting kerana (Conyers 1982): (i) Ia adalah satu cara mendapatkan maklumat tentang
keadaan, keperluan, dan sikap komuniti tempatan yang tanpa kehadirannya program dan
projek berkaitan berkemungkinan gagal. (ii) Individu akan lebih komited kepada
program/projek sekiranya mereka dilibatkan dalam perancangan dan penyediaannya kerana
mereka lebih mengetahui selok belok projek tersebut. Maka, meraka akan mengaitkan diri
dengannya dan melihat projek itu sebagai projek mereka. (iii) Di kebanyakan negara,
penglibatan komuniti dalam projek/program mereka sendiri dianggap sebagai satu hak asasi
yang demokratik.
Penglibatan komuniti juga bukanlah satu perkara yang baharu, khususnya di negara
membangun seperti India, Mali, Tanzania, Bangladesh dan Vietnam. Namun, di Malaysia,
pelaksanaan kaedah penglibatan komuniti dalam pengurusan sisa pepejal belum lagi popular.
Boyle (1981) menyatakan penglibatan komuniti dapat meningkatkan daya pemikiran seseorang
bagi membantunya membuat keputusan dengan lebih bijak. Ia juga dianggap sebagai suatu cara
untuk mengatasi pelbagai masalah masyarakat. Ini kerana, golongan yang kurang berupaya
diberikan peluang untuk bersuara, terutamnya dalam membuat keputusan yang melibatkan
masa depan mereka. Penglibatan juga membolehkan kumpulan sasaran menyampaikan masalah
yang dihadapi dengan lebih tepat kepada penggubal dasar. Penglibatan sebegini menjadikan
kumpulan sasaran menerima sesuatu projek dengan penuh keyakinan. Selain itu, penglibatan
juga dilihat sebagai matlamat akhir yang ingin dicapai dalam konteks sesuatu projek/program
kerana ia menggalakkan penggunaan sepenuhnya inisiatif, daya cipta dan sikap berdikari
anggota komuniti. Dengan adanya anggapan dan perasaan yang sedemikian, memungkinkan
seseorang itu lebih bertanggungjawab dalam menentukan kejayaan terhadap program yang
disertainya. Keadaan ini selanjutnya akan meningkatkan lagi usaha bekerjasama, tolong-
menolong dan integrasi kalangan komuniti.
Bagi memastikan penglibatan komuniti adalah optimum dalam sesuatu projek/program,
terdapat empat keadaan yang berupaya meningkatkan tahap penglibatan, iaitu (Franklyn 1985):
(i) Desentralisasi kuasa dalam membuat keputusan dan perancangan sumber kepada pihak
bawahan. (ii) Perwakilan yang mencukupi dari pelbagai pihak yang berkepentingan termasuk
badan membuat keputusan tempatan dan peringkat atasan. (iii) Pembentukan satu institusi
sebagai asas penglibatan dalam membuat keputusan. (iv) Pewujudan sifat kepercayaan pada
diri sendiri oleh komuniti tempatan dalam projek/program yang dianjurkan.
Pengalaman dan kejayaan yang ditunjukkan oleh negara-negara lain yang mana
bersesuaian boleh dipraktikkan di Malaysia dalam mengurangkan pelupusan sisa pepejal dan
meningkatkan penyertaan komuniti dalam hal ini. Finland (Helsinki), Jerman (Cologne),
Belanda (Lamsterland), Itali (Greve) dan Jepun (Toyohashi) meruapakan antara contoh terbaik.
Di sini komuniti telah melibatkan pengkomposan dalam konsep kitar semula kalangan mereka
Malaysian Journal of Environmental Management 16 (1) (2017): 13-22
18 Haliza Abdul Rahman

sehingga aktiviti kitar semula meningkat dan pembuangan sisa pepejal ke tapak pelupusan
berjaya dikurangkan (Seow 2016). Di India, apa yang telah dipraktikkan juga mungkin boleh
dilaksanakan di Malaysia dalam usaha meningkatkan tahap penyertaan dan penglibatan
komuniti setempat dalam pengurusan sisa pepejal lestari. Pada Tahun 1988 di Madras, India
program EXNORA telah dijalankan. Program ini dianjurkan oleh NGO dan tidak mendapat
sebarang peruntukan daripada PBT. Program EXNORA telah memotivasi komuniti tempatan
untuk melibatkan diri dalam membaiki keadaan pengurusan sisa pepejal yang sedia ada supaya
tahap hidup mereka dapat ditingkatkan. EXNORA merupakan sat sistem yang melibatkan
komuniti secara kejiranan. Pengutip sisa pepejal dan orang muda yang tidak bekerja telah diberi
peluang untuk membuka perniagaan dalam pengurusan sisa pepejal dengan sokongan daripada
komuniti tempatan. Secara amnya, kejayaan EXNORA telah telah menunjukkan sokongan
daripada pihak berkepentingan dari segi inovatif tetapi dengan penggunaan teknologi rendah,
penggunaan pengutip sisa pepejal untuk mengutip sampah, mengitar semula serta
pengkomposan sampah. Dapatan menunjukkan bahawa 11 peratus sisa pepejal telah berjaya
dikompos dan 3.6 peratus telah dikitar semula (Seow 2016).
Di Malaysia, Majlis Perbandaran Kota Bharu (MPKB) sebagai contoh telah menggalakkan
penglibatan komuniti dalam pengurusan sisa pepejal dan kebersihan awam di MPKB bertujuan:
1. Meningkatkan penyertaan komuniti tempatan khususnya di taman perumahan agar
mereka bertanggung jawab untuk menguruskan sisa pepejal dan kebersihan awam.
2. Menggalakkan komuniti tempatan untuk memberikan perkhidamatan di kawasan
mereka sendiri.
3. Membantu mengurangkan beban dan tanggung jawab MPKB dalam melaksanakan
kerja pengurusan sisa pepejal dan kebersihan awam dengan mengambil alih tanggung
jawab pengurusan. Oleh itu, pihak MPKB dapat menumpukan kerja pengurusan sisa
pepejal dan kebersihan awam di kawasan yang lain.
4. Meningkatkan kesedaran dan sensitiviti komuniti tempatan
5. Memberikan pendedahan dan pendidikan kepada komuniti tempatantentang
pengurusan sisa pepejal dan kebersihan awam.
Penglibatan komuniti di MPKB bertujuan meningkatkan kapasiti dan kepekaran serta
menimba pengetahuan dan pengalaman dalam rangka untuk memainkan peranan secara luas
dan kolektif dalam usaha mempertingkatkan kecekapan dan keberkesanan dalam sistem
pengurusan pepejal. Umumnya, penglibatan komuniti dalam pengurusan sisa pepejal adalah
satu pengalaman baru dan belum meluas dilaksanakan. Projek perintis penglibatan komuniti ini
dilaksanakan di Kota Bharu, Kelantan pada tahun 2002. Pelaksanaan skim pengutipan primer di
Kota Bharu dijalankan atas inisiatif Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) disebabkan
ketidakmampuan mereka untuk menyediakan perkhidmatan pengurusan sisa pepejal secara
cekap, berkesan dan menyeluruh kerana keterbatasan sumber kewangan, kekurangan tenaga
pekerja, kenderaan pengangkut dan peralatan. Namun sebagai PBT, mereka bertanggungjawab
untuk meningkatkan tahap kebersihan bandar dengan menjalankan kaedah penggunaan tenaga
tempatan yakni melibatkan penduduk tempatan terutamanya di kawasan taman perumahan
dalam melaksanakan Agenda Tempatan 21 (Teuku Afrizal dan Abdul Rahman 2013).
Dalam hal ini, penglibatan komuniti menjadi satu kaedah alternatif untuk meningkatkan
tahap kebersihan terutama di kawasan taman perumahan dengan menjadikan komuniti sebagai
partner atau rakan penting kepada PBT. Pelaksanaan di Kota Bharu bermula dengan pihak PBT
mengambil inisiatif mengenal pasti dan memilih taman perumahan sebagai projek contoh
dengan mempertimbangkan dua perkara iaitu (1) kawasan taman perumahan yang terlibat
haruslah membayar cukai bandaran; dan (2) kawasan taman perumahan berkenaan mesti
mempunyai persatuan penduduk yang berdaftar di bawah Akta Pertubuhan 1966. Daripada 144
taman perumahan yang terdapat di Kota Bharu, Taman Guru didapati menepati syarat yang
ditetapkan (Teuku Afrizal dan Abdul Rahman 2013).

Malaysian Journal of Environmental Management 16 (1) (2017): 13-22


Haliza Abdul Rahman 19

MENINGKATKAN PENGLIBATAN KOMUNITI KE ARAH KELESTARIAN


PENGURUSAN SISA PEPEJAL

Dewasa ini, tumpuan masyarakat dunia telah beralih kepada penerapan aspek kelestarian dalam
semua aspek kehidupan. Namun, pembangunan lestari merupakan cabaran kepada manusia
sejagat dalam usaha untuk meyeimbangkan penggunaan sumber asli, produk perindustrian,
tenaga, makanan, pengangkutan, tempat berlindung dan pengurusan sisa dengan tuntutan
memelihara dan melindungi kualiti alam sekitar dan sumber asli untuk pembangunan masa
hadapan. Menurut Wiles (2008), terdapat tiga unsur dalam konsep kelestarian:
1. Alam sekitar – isu-isu alam sekitar seperti pemanasan global dan inisiatif-inisiatif
dalam mengurangkan dan penyesuaian kepada isu-isu tersebut.
2. Ekonomi – penonjolan dasar-dasar pembangunan, strategi-strategi dan pengamalan
perkara yang akan membolehkan pertumbuhan ekonomi berterusan tetapi pada masa
yang sama memastikan sumber-sumber yang ada tidak berkurangan.
3. Sosial – penonjolan pertumbuhan penduduk dunia, gaya hidup, penggunaan sumber-
sumber, ekologi tapak karbon, karbon dan air.
Justeru, pembangunan lestari merupakan satu strategi berterusan ke arah memelihara,
memulihara serta meningkatkan kualiti persekitaran setempat dan kualiti hidup masyarakat. Hal
ini kerana pembangunan lestari akan membolehkan kemajuan ekonomi dan kualiti alam
sekeliling mencapai matlamat kesejahteraan manusia secara berterusan. Strategi-strategi
pembangunan lestari jika dipraktikkan dengan serius akan dapat memelihara alam sekeliling,
menjimatkan sumber, meningkatkan pertumbuhan ekonomi dan menjadikan masyarakat kurang
terdedah kepada ancaman pencemaran (Mohd Nazaruddin dan Kamarudin 2014). Konsep ini
merupakan keperluan jangka panjang manusia tetapi ianya akan menjadi mustahil, melainkan
keadaan fizikal semula jadi bumi, kimia dan sistem-sistem biologi dipelihara dan dipulihara.
Penglibatan komuniti merupakan aspek penting dalam pengurusan sisa pepejal lestari.
Pengurusan sisa pepejal berasaskan komuniti merupakan satu sistem pengurusan sisa pepejal
yang secara operasionalnya dilaksanakan oleh komuniti tempatan. Faktor ini disebabkan sistem
pengurusan pepejal haruslah sesuai dengan keadaan setempat dan munasabah dari perspektif
teknikal, alam sekitar, sosio budaya, kewangan dan merujuk pada penggunaan sumber yang
digunakan dan sumber berkenaan sesuai dengan konteks komuniti setempat.
Berkaitan isu pengurusan sisa pepejal yang lestari, sikap, tingkah laku, kesedaran dan
pengetahuan yang rendah kalangan orang awam menyebabkan berlakunya ketidakcekapan dan
ketidakberkesanan sistem pengurusan sisa pepejal di Malaysia. Hal ini kerana, orang awam
berpandangan bahawa kerja pengurusan sisa pepejal dan menjaga kebersihan ialah tugas dan
tanggungjawab Pihak Berkuasa Tempatan. Oleh itu, masih ramai dalam kalangan ahli komuniti
membuang sisa pepejal di merata-rata tempat ataupun meletakkan sisa pepejal di tempat yang
tidak sepatutnya tanpa rasa bersalah. Komuniti juga dilihat masih kurang pengetahuan dan
kesedaran mengenai kesan perbuatan mereka itu (Kementerian Perumahan dan Kerajaan
Tempatan 1999). Rentetan itu, komuniti perlu diserta dan dilibatkan secara aktif kerana
penglibatan golongan ini merupakan prasyarat untuk kejayaan perlaksanaan sebarang
projek/program berkaitan. Matlamat ini boleh dicapai melalui pendekatan ‘bawah-atas’
(bottom-up). Pendekatan ini memberi tumpuan kepada aspek gagasan keperluan untuk
melakukan perubahan bermula dari sudut pandangan komuniti tempatan yang berasaskan
kepada masalah dan keperluan dalam lingkungan komuniti mereka (Muhammad Fadhil 1995).
Selain itu, pendekatan ‘bawah-atas’ ini berpotensi meluaskan kebebasan dan hak komuniti
membuat keputusan bagi menentukan masa depan mereka. Pengalaman di beberapa negara
membuktikan pendekatan berbentuk ‘bawah-atas’ telah berjaya menarik perhatian dan minat
ahli komuniti untuk terlibat sama dalam projek/program yang dirancang dan dianjurkan. Hal ini
kerana, melalui pendekatan berbentuk ‘atas-bawah’: (i) Kumpulan sasar iaitu komuniti
mempunyai keinginan untuk berubah ke arah yang lebih baik. (ii) Pelaksanaan aktiviti
projek/program yang dilaksanakan adalah berasaskan keperluan kumpulan sasar. (iii) Masalah
Malaysian Journal of Environmental Management 16 (1) (2017): 13-22
20 Haliza Abdul Rahman

kumpulan sasar dikenal pasti dan diselesaikan secara konsensus untuk tindakan bersama
selanjutnya. (iv) Kepentingan majoriti lebih diutamakan daripada kepentingan peribadi. (v)
Kewujudan semangat tolong menolong antara kumpulan sasar. (vi) Penyertaan secara sukarela
kumpulan sasar dalam program yang dilaksanakan. (vii) Mempunyai maklumat tentang
keadaan hidup kumpulan sasar. (viii) Program dilaksanakan dalam jangka masa panjang.
Penyertaan dan penglibatan aktif komuniti dalam memastikan pengurusan sisa pepejal
yang lestari dan sistematik melalui pendekatan ‘bawah-atas’ perlu diberi perhatian serius
kerana, di Malaysia, tanggung jawab yang dikenakan terhadap pengguna atau komuniti adalah
terlalu mudah iaitu mereka hanya perlu meletakkan sampah di tempat yang telah ditetapkan,
sebab itulah ahli komuniti tidak terpanggil atau berasa bertanggung jawab untuk turut serta
dalam melestarikan pengurusan sisa pepejal. Sepatutnya komuniti perlu dididik bagaimana
untuk menguruskan sisa pepejal dengan lebih teratur seperti mengajar pengguna mengasingkan
sampah atau mengaplikasikan sistem ‘deposit-refund’ bagi meningkatkan tahap penglibatan
mereka. Malahan, undang-undang tentang pengurusan sisa pepejal hanya bertumpu kepada
pungutan sisa sahaja di mana bahan buangan yang dipungut itu akan dihantar ke tapak
pelupusan sampah. Tiada peruntukan yang mewajibkan guna semula atau kitar semula.
Rentetan itu, pelaksanaan Peraturan seperti pengasingan sisa pepejal di rumah telah
diusahakan oleh pihak Kerajaan untuk meningkatkan kadar kitar semula yang juga akan
mengurangkan penghantaran sisa pepejal ke tapak pelupusan sedia ada yang semakin kehabisan
ruang. Pengasingan sisa isi rumah akan membantu mengurangkan jumlah sisa pepejal yang
dihantar ke tapak pelupusan, justeru, membantu meningkatkan jangka hayat tapak pelupusan
tersebut. Aktiviti amalan 3R dan pengasingan sisa di punca juga telah dikenalpasti sebagai
salah satu langkah paling berkesan dalam usaha mengurangkan jumlah penjanaan dan
penghantaran sisa pepejal ke tapak pelupusan. Melalui penerapan dan pembudayaan amalan 3R
dan pengasingan sisa pepejal isi rumah ini adalah diharapkan komuniti akan menghargai sisa
pepejal sebagai satu sumber baru yang dapat digunakan sebagai alternatif kepada sumber bahan
mentah asli dalam pembuatan sesuatu produk. Ini secara tidak langsung akan dapat memastikan
sumber – sumber alam semula jadi diuruskan secara bijal dan lestari demi kebaikan generasi
masa hadapan dan alam sekitar. Lanjutan daripada perkara tersebut, khususnya dalam
memastikan segala maklumat dan informasi berkaitan pengasingan sisa pepejal isi rumah
disebarkan secara meluas dan berkesan kepada semua lapisan komuniti, Perbadanan
Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) telah merangka Pelan Tindakan
Kesedaran Awam Pengasingan Sisa Pepejal Di Punca 2015 yang bertujuan untuk mendidik dan
membudayakan amalan pengasingan sisa pepejal di kalangan masyarakat Malaysia ke arah
mewujudkan komuniti yang menghargai sisa pepejal sebagai satu sumber, menjaga kebersihan
persekitaran dan memelihara kelestarian alam sekitar. Pelan ini juga mengariskan 3 strategi dan
beberapa tindakan yang dijangka mampu untuk merealisasikan aspirasi di atas iaitu: a)
Meningkatkan penyebaran maklumat dan promosi tentang pengasingan sisa di punca melalui
pelbagai medium:- Promosi melalui pelbagai saluran TV; Promosi melalui pelbagai saluran
radio; Hebahan melalui artikel yang diterbitkan melalui akhbar harian; Hebahan melalui media
sosial seperti facebook, twitter, instagram dan blog; Edaran panduan pengasingan sisa di rumah
dalam bentuk brosur kepada setiap premis; Penyediaan risalah, poster dan sebagainya.b)
Mewujudkan kolaborasi strategik dengan pelbagai pihak iaitu Kolaborasi dengan Kementerian
Pendidikan Malaysia berkaitan pembinaan kurikulum dan ko-kurikulum berkaitan pengasingan
sisa di punca dan amalan 3R di peringkat prasekolah/tadika, sekolah rendah, menengah dan
IPT; Kolaborasi dengan komuniti setempat seperti JKKK, Persatuan Penduduk dan
Jawatankuasa Rukun Tetangga melalui program 3R; Kolaborasi dengan Badan Bukan Kerajaan
(NGO) melalui program pendidikan dan kesedaran awam serta dan program 3R; c)
Mewujudkan pengiktirafan berkaitan Amalan Pengasingan Sisa Pepejal seperti mengadakan
pengiktirafan kepada pihak yang mengamalkan pengasingan sisa pepejal terbaik bagi kategori
suri rumah, komuniti dan agensi kerajaan.

Malaysian Journal of Environmental Management 16 (1) (2017): 13-22


Haliza Abdul Rahman 21

Selain itu, untuk meningkatkan pengurusan sisa pepejal, dasar yang digubal perlu
merangkumi tiga kumpulan terbesar iaitu pengeluar/pengilang, pengguna yang merangkumi
komuniti dan kerajaan tempatan. Perkembangan yang berlaku di Jerman dan Amerika Syarikat
boleh dijadikan panduan (Rahmah 2011). Di Amerika Syarikat misalnya, kerajaan persekutuan
akan memberikan insentif dari segi teknikal dan kewangan kepada kerajaan tempatan yang
mengemukakan pelan pengurusan sisa pepejal yang memuaskan.
Semua faktor ini perlu dipertimbangkan dengan serius kerana, menurut Moisandar (2000),
pengguna atau komuniti kebiasaannya berasa kurang perlu untuk lebih bertanggungjawab
dalam melindungi alam sekitar dan kurang berkesanggupan untuk menghadapi sedikit
ketidakselesaan dalam usaha ke arah pemuliharaan alam sekitar seperti dalam isu pengurusan
sisa pepejal kerana kurang insentif psikologi seperti kurang perasaan yang mendalam terhadap
kemusnahan alam, pencemaran dan sebagainya. Justeru, penekanan harus diberikan terhadap
meningkatkan pengetahuan, menyemai nilai dan etika kehidupan lestari dalam setiap individu
di samping menerapkan budaya kepenggunaan lestari kalangan komuniti agar ianya menjadi
amalan dan gaya hidup masyarakat seluruhnya. Antara kaedah yang paling berkesan untuk
dilaksanakan ialah dengan meningkatkan pendidikan dan kesedaran awam dalam usaha
menerap dan memperluas kesedaran berkaitan kepentingan memelihara dan memulihara alam
sekitar kalangan masyarakat

KESIMPULAN

Pengurusan sisa pepejal di Malaysia yang dipraktikkan kini adalah kurang efektif dan tidak
membawa kepada pengurusan sisa pepejal yang lestari. Selain itu, sambutan dingin terhadap
program kitar semula oleh golongan komuniti tempatan telah menambahkan masalah kepada
sistem pengurusan sisa pepejal sedia ada. Justeru, komuniti setempat mesti dilibatkan dalam
usaha melestarikan pengurusan sisa pepejal melalui pelbagai kaedah berbentuk ‘bawah-atas’
misalnya melalui pendidikan, seminar, dialog, kempen, ceramah dan pelbagai saluran lain bagi
memupuk kesedaran kalangan mereka dalam usaha memulihara dan memelihara alam sekitar
serta mengurangkan impak terhadap kesihatan kesan pengurusan sisa pepejal yang tidak lestari.
Hal ini kerana, penglibatan komuniti dianggap sebagai aspek penting dan merupakan salah satu
strategi penting yang diberikan penekanan oleh kerajaan dalam kerangka meminimumkan
permasalahan alam sekitar seperti sisa pepejal.

RUJUKAN

Berita Harian. 2001. 2 April.


Boyle, P.G. 1981. Planning better programs. New York: Mc Graw-Hill Book Company.
Cohen, J.M & Uphoff, N.T. 1977. Rural development participation: Concept and measures for the
Project Design, implementation and evaluation. Rural Development Monograph No. 2. New York:
Rural Development Committee Center for International Studies, Cornell University.
Conyers, D. 1982. An introduction to social planning in the third world. New York: John Wiley and
Sons.
Edward, A.D. dan Jones, D.G. 1976. Community and development. The Hague: Monton & Co.
Franklyn, L. 1985. Popular participation in planning for basic needs: Concept, methods and practices.
Aldershot: Grower Publishing Company Ltd.
Hallin, P.O. 1995. Environmental Concern and Environmental Behavior in Foley, A Small Town in
Minnesota. Environmental and Behavior 27 (4): 558-579.
Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan. 1999. Annual Report, Section 4-Local Government.
Kuala Lumpur: Technical Section of the Local Government Division.
Lau, V.L. 2004. Case study on the management of waste materials in Malaysia. Forum Geookol 15 (2):
7-14.
Lele, U.J. 1975. The design of rural development: Lessons from Africa. Baltimore: The John Hopkins
University Press for World Bank.

Malaysian Journal of Environmental Management 16 (1) (2017): 13-22


22 Haliza Abdul Rahman

McDougall, F., White, P.R., Franke, M. & Hindle, P. 2001. Integrated solid waste management: A
lifecycle inventory. Oxford: Blackwell Science.
Mohd. Nazaruddin Yusoff & Kamarudin Mohd Nor. 2014. Pemanasan global dan pembangunan lestari
alam bina. Sintok: Penerbit Universiti Utara Malaysia.
Mohd Nazeri Salleh. 2011. Pengurusan sisa pepejal di kawasan Pihak Berkuasa Tempatan di Malaysia.
Dlm. Chamhuri Siwar, Hasnah Ali, Abd. Rashid Ahmad & Mohd Zahir Abdul Hamid (pnyt.).
Dasar memperbaiki pengurusan sisa pepejal perbandaran, hlm.1-6. Bangi: Penerbit Universiti
Kebangsaan Malaysia.
Moisandar, J. 2000. Complexity and Multidimensionality of Ecologically Responsible Consumer
Behavior. Helsinki: School of Economics and Business Administration.
Muhammad Fadhil Nurdin. 1995. Strategi pembangunan masyarakat dalam kelompok swadaya: Kajian
kes di Desa Blanakan, Jawa Barat, Indonesia. Tesis M.A. Kuala Lumpur: Universiti Malaya.
Mukerji B. 1961. Community development in India. Calcutta: Orient Longmans.
Oakley, P. & Marsden, D. 1985. Approaches to participation in rural development. Geneva:
International Labour Office.
Rahmah Ismail. 2011. Dasar untuk meningkatkan mutu pengurusan sisa pepejal: Peruntukan undang-
undang serta perubahan yang diperlukan. Dlm. Chamhuri Siwar, Hasnah Ali, Abd. Rashid Ahmad
& Mohd Zahir Abdul Hamid (pnyt.). Dasar memperbaiki pengurusan sisa pepejal perbandaran,
hlm. 13-18.Bangi: Penerbit Universiti Kebangsaan Malaysia.
Robinson, J.G. 1996. Searching for the ‘community’ in community-based conservation: A case study of
a Zimbabwe CAMPFIRE project. Unpublished Masters thesis. Toronto: School of Environmental
and Resource Studies, Dalhousie University.
Sanders, L.T. 1958. Theories of community development. Rural Sociology 23 (1): 1-12.
Seow Ta Wee. 2016. Senario pengurusan sisa pepejal di Malaysia. Batu Pahat: Penertit UTHM.
Setty, E.D. 1994. Participatory rural development in Asia: A critical analysis. New Delhi: Inter-India
Publications.
Sharifah Norkhadijah Syed Ismail. 2014. Mengurus sisa pepejal di rumah. Serdang: Penerbit Universiti
Putra Malaysia.
Sinar Harian. 19 Januari 2014. Rakyat buang 30,000 tan sampah setiap hari.
Tchobanoglous, G. Thiasendan, H & Vigil, S. 1993. Solid waste. Engineering, principle and
management issues. New York: Mc Graw-Hill.
Teuku Afrizal Teuku Anwar & Abdul Rahman Embong. 2013. Komuniti dan pengurusan persekitaran:
Beberapa pengalaman Malaysia, Bangladesh, Zambia dan Vietnam. Kajian Malaysia 31 (2): 65-86.
UNFCC. 2006. Clean development mechanism project design document form (CDM-PDD) version 03.1
RRC, United Nations Framework Convention on Climate Change.
United Nations. 1981. Popular participation as a strategy for promoting community-level action and
national development. New York: Center for Social Development and Humanitarian Affairs.
Wiles, J. 2008. Green architecture. Koln: Taschen.

1
Jabatan Kesihatan Persekitaran dan Pekerjaan (JKPP),
Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan (FPSK),
Universiti Putra Malaysia (UPM),
43400 Serdang, Selangor,
MALAYSIA.
E-mail: dr.haliza@upm.edu.my

Malaysian Journal of Environmental Management 16 (1) (2017): 13-22

View publication stats

You might also like