You are on page 1of 3

Insentif Kepada Guru

Menyelami setiap cabaran yang mesti diharungi oleh guru dalam memenuhi tuntutan
kemajuan negara dan membentuk keperibadian insan yang mulia, saya memahami bahawa
guru sebenarnya memikul amanah yang besar. Melaksanakan amanah ini pula bukanlah satu
tugas yang mudah. Harapan masyarakat terhadap guru amat tinggi dan cabaran yang dihadapi
bukannya sedikit.

Pada masa yang sama, saya juga mendengar pelbagai keluhan dan rintihan guru. Saya
diberitahu guru banyak dibebani dengan tugas sampingan di sekolah; proses kenaikan pangkat
juga mengambil masa lama; tiada insentif khusus menghargai dan mengiktiraf jasa guru
dalam meningkatkan pencapaian murid; dan masalah penempatan serta pertukaran guru
terutama di luar bandar dan pedalaman yang menimbulkan keresahan di kalangan guru.

Saya ingin mengambil kesempatan pada majlis sambutan Hari Guru ini untuk mengumumkan
beberapa inisiatif yang telah dan akan diambil oleh Kementerian Pelajaran. Mengenai isu
beban tugas guru yang telah dikemukakan oleh Kesatuan Perkhidmatan Perguruan
Kebangsaan (NUTP) ketika sesi pertemuan dengan saya pada Mac lalu, saya telah
mengarahkan satu Jawatankuasa Khas Mengkaji Beban Tugas Guru yang dipengerusikan oleh
Ketua Pengarah Pelajaran Malaysia ditubuhkan bagi meneliti isu yang dibangkitkan.
Jawatankuasa ini yang turut dianggotai beberapa orang wakil kesatuan guru telahpun
mengadakan mesyuarat bagi meneliti syor-syor yang dikemukakan serta mencadangkan
penambahbaikan.

Antara beberapa syor jawatankuasa ini yang boleh dilaksanakan dengan segera untuk
meringankan beban tugas guru ialah:

Pertama, mengurangkan bilangan jawatankuasa pada peringkat sekolah kepada jumlah lebih
wajar. Pada masa ini, ada sekolah yang mempunyai hampir 40 jawatankuasa dalam bidang
pengurusan dan pentadbiran, kurikulum, hal ehwal murid serta kebersihan, keceriaan dan
keselamatan murid yang memerlukan curahan masa dan tenaga guru yang bukan sedikit.

Pengecilan jumlah jawatankuasa melalui penggabungan atau pemansuhan bukan saja akan
mengurangkan bebanan tugas guru tetapi juga memberi peluang kepada guru untuk
menumpukan perhatian kepada tugas hakiki. Di samping itu, perlu dipastikan pembahagian
tugas di sekolah diagih secara adil untuk mengelakkan bebanan tugas tertumpu kepada-guru
tertentu saja.

Kedua, mengkaji semula bilangan peperiksaan dan ujian pada peringkat sekolah yang
merupakan salah satu daripada punca pertambahan bebanan tugas guru. Saya dapati ada
sekolah yang jumlah peperiksaan dalamannya saja mencecah hampir 20 tidak termasuk
peperiksaan awam. Jumlah peperiksaan dalaman ini perlu dikaji semula bukan saja untuk
meringankan bebanan guru tetapi mengelakkan sistem persekolahan kita daripada menjadi
terlalu berorientasikan peperiksaan.

Ketiga, menyusun semula tugas-tugas perkeranian di sekolah. Saya tahu bahawa ini adalah
antara keluhan utama guru. Saya bersetuju guru tidak perlu dibebankan dengan tugas
perkeranian yang terlalu banyak sehingga mengganggu tugas hakiki yang lebih penting, iaitu
pengajaran dan pembelajaran di bilik darjah. Apatah lagi, dalam usaha kita untuk
melonjakkan kualiti pengajaran dan pembelajaran, guru perlu diberikan lebih banyak masa
untuk merancang pengajaran yang lebih berkesan dan membuat persiapan mengajar.

Justeru, Jawatankuasa Mengkaji Bebanan Tugas Guru akan menyediakan Garis Panduan yang
lebih terperinci bagi membezakan antara tanggungjawab hakiki guru dengan beban tugas
perkeranian yang tidak sepatutnya dilakukan oleh guru. Garis panduan terperinci ini akan
diumumkan setelah pihak jawatankuasa selesai mengkaji isu ini dan mengemukakan laporan
akhir.

Keempat, kursus penting yang perlu dihadiri oleh guru juga akan diselaraskan di peringkat
Kementerian Pelajaran supaya tidak wujud pertindihan kursus atau keadaan di mana guru
yang sama terpaksa mengikuti pelbagai jenis kursus yang dianjurkan di peringkat Pejabat
Pelajaran Daerah, Jabatan Pelajaran Negeri dan Kementerian Pelajaran.

Dengan adanya penyelarasan yang lebih sistematik, bukan saja guru dapat mengurus masa
dengan lebih cekap, malah merancang untuk mengikuti program pembangunan
profesionalisme dengan lebih baik.

Saya juga ingin mengumumkan inisiatif yang telah diambil oleh Kementerian Pelajaran untuk
menyediakan laluan kerjaya yang lebih baik kepada guru. Buat permulaan, Lembaga
Kenaikan Pangkat Perkhidmatan Pendidikan (LKPPP) telah meluluskan sebanyak 25,289
kenaikan pangkat bagi Pegawai Perkhidmatan Pendidikan Siswazah (PPPS) dan Pegawai
Perkhidmatan Pendidikan Lepasan Diploma atau Bukan Siswazah (PPPLD) sehingga April
2010.

Daripada jumlah itu, 15,320 jawatan adalah bagi PPPS, manakala seramai 9,969 jawatan bagi
PPPLD. Pecahan Kenaikan pangkat ini meliputi tiga kategori iaitu Time-based, Guru
Cemerlang dan kenaikan secara hakiki kategori DGA32, DGA34, DG44, DG48, DG52 dan
DG54.

Kenaikan pangkat ini merangkumi pegawai perkhidmatan pendidikan yang bertugas di


Kementerian Pelajaran, Jabatan Pelajaran Negeri, Pejabat Pelajaran Daerah, pensyarah Institut
Pendidikan Guru Malaysia dan guru-guru. Selain itu, LKPPP juga meluluskan 3,205 jawatan
pemangkuan gred DG44, DG48, DG52 bagi PPPS.

Untuk mempercepatkan proses kenaikan pangkat, Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) juga
bersetuju urusan kenaikan pangkat secara Time-based Gred DG44 dan DG48 bagi Pegawai
Perkhidmatan Siswazah dilaksanakan Kementerian Pelajaran. Di samping itu, sejajar dengan
matlamat Kementerian meningkatkan kualiti guru, pegawai perkhidmatan siswazah yang
memperoleh ijazah Doktor Falsafah akan menikmati kenaikan satu gred jika memenuhi
kriteria dan syarat yang akan ditetapkan oleh Kementerian Pelajaran.

Pelaksanaan kenaikan gred bagi pemegang ijazah Doktor Falsafah dilaksanakan pada tahun
ini. Saya berharap agar proses kenaikan pangkat dan pengesahan pemangkuan bagi mereka
yang telah memenuhi syarat kelayakan yang ditetapkan dapat diurus dengan kadar segera.

Selaras dengan konsep mengutamakan pencapaian dan keberhasilan, sukacita saya


mengumumkan new deals atau Tawaran Baru kepada pengetua, guru besar dan guru. Di
bawah Tawaran Baru ini, ganjaran kewangan akan diberikan kepada pengetua, guru besar dan
guru yang berjaya melonjakkan prestasi sekolah masing-masing melepasi sasaran Skor
Komposit 92 peratus bagi sekolah menengah dan 84 peratus bagi sekolah rendah.
Ganjaran juga akan diberikan kepada pengetua, guru besar dan guru-guru yang berjaya
melonjakkan kedudukan sekolah dalam ranking Skor Komposit, iaitu lonjakan sebanyak
2,500 tempat bagi sekolah rendah dan 300 tempat bagi sekolah menengah. Skor Komposit ini
dikira berdasarkan Gred Purata Sekolah (GPS) dan Standard Kualiti Pendidikan Malaysia
(SKPM). Pengetua dan Guru Besar yang mencapai sasaran KPI ini akan menerima ganjaran
kewangan sebanyak RM7,500.

Guru di sekolah berkenaan yang berada dalam kumpulan lima peratus teratas berdasarkan
tahap penilaian prestasi tahunan juga akan menerima ganjaran RM1,800 dan 95 peratus guru
berikutnya akan menerima ganjaran RM900.

Tawaran Baru yang merupakan satu bentuk insentif berasaskan pencapaian ini diharap akan
dapat menyuntik semangat baru kepada guru-guru untuk bekerja dengan lebih gigih bagi
meningkatkan prestasi sekolah dan keberhasilan murid.

Kerajaan juga sedang menimbang pelaksanaan beberapa inisiatif kenaikan pangkat berasaskan
pencapaian lebih cepat kepada mereka yang benar-benar menunjukkan kebolehan.
Mewujudkan laluan kerjaya yang lebih baik untuk guru adalah satu daripada langkah kerajaan
memartabatkan profesion keguruan di samping menarik lebih ramai best brain untuk
menyertai kerjaya ini.

Untuk mengatasi masalah penempatan di pedalaman yang sering menimbulkan keresahan


guru, saya telah mengarahkan sistem pemantauan penempatan guru yang lebih cekap dan adil
diwujudkan. Maklumat mengenai tempoh perkhidmatan guru di kawasan pedalaman perlu
dikemas kini secara online untuk memastikan mereka yang telah lama berkhidmat di kawasan
pedalaman diberi peluang untuk berkhidmat di bandar pula. Dengan adanya sistem
pemantauan yang lebih cekap dan adil ini, kita akan dapat menjamin bahawa guru-guru yang
ditempatkan di luar bandar tidak akan disisih dan diabaikan.

Sempena majlis yang penuh bermakna ini, saya ingin merakamkan ucapan setinggi-tinggi
penghargaan dan tahniah kepada bekas pendidik yang dinobatkan sebagai Tokoh Guru
Kebangsaan dan Tokoh Kepimpinan Pendidikan Kebangsaan bagi tahun ini. Anugerah ini
adalah tanda penghargaan dan pengiktirafan negara terhadap jasa serta pengorbanan tokoh
guru yang tidak ternilai.

Guru itu umpama lautan luas,


Menghampar ilmu tak terbatas;
Bagai hempasan keras
gelombang,
Kepada murid mendamai tenang.

Guru itu laksana gunung agung,


Tinggi berbukit sabar iktibar;
Persis batu dan pasir terdampar,
Tugasnya mulia mendidik
mengajar.

You might also like