You are on page 1of 7

Tajuk : Gigitan Dan Sengata Serangga

Kita sudah sedia maklum apabila sebut sahaja pertolongan cemas, seseorang itu
sudah tahu bahawa pertolongan cemas adalah bantuan atau rawatan awal yang diberikan
untuk orang yang tercedera sebelum mendapatkan bantuan daripada perawat atau pakar
yang bertauliah. Dengan erti kata lain, pertolongan cemas boleh juga menyelamatkan nyawa
seseorang. Menurut Usman, M. (2014), tujuan utama pertolongan cemas adalah untuk
menyelamatkan nyawa seseorang dalam situasi yang mengancam nyawa apabila tiada
bantuan daripada perawat. Menurut Kamus Dewan Bahasa Dan Pustaka Edisi Keempat,
pertolongan cemas ialah pertolongan yang mula-mula dilakukan bagi merawat seseorang
yang mendapat kecederaan. Kebanyakkan orang meninggal disebabkan tidak mendapat
bantuan awal apabila berlaku situasi yang mengancam nyawa.

Mengapakah seseorang yang tercedera itu perlu diberikan pertolongan cemas?


Pertama seseorang yang tercedera perlu diberikan rawatan segera kerana objektif
pertolongan cemas adalah untuk menyelamatkan nyawa seseorang. Sebagai contoh jika
mangsa pengsan, pastikan laluan udara selesa dan yang paling penting pastikan mangsa
masih bernafas. Sekiranya berlaku pendarahan, hentikan pendarahan secepat mungkin bagi
mengelakkan mangsa kehilangan banyak darah dan yang paling penting sebelum
memberikan bantuan awal kepada mangsa, pastikan kenali latar belakang mangsa dahulu.
Selain itu, pertolongan cemas juga dapat melindungi mangsa dan juga dapat mengelakkan
kecederaanya semakin teruk. Sebagai contoh, alih mangsa dari tempat bahaya dan pastikan
mangsa tidak banyak bergerak. Seterusnya ialah mendapatkan bantuan perubatan dengan
meminta seseorang yang terdekat untuk mengambil peti keselamatan dan memanggil
ambulans dengan secepat yang mungkin. Paling penting ialah menunggu bersama mangsa
sehingga bantuan ataupun ambulans sampai. Akhir sekali objektif bantuan awal ataupun
pertolongan cemas adalah untuk membantu pemulihan mangsa.

Pertolongan cemas juga mempunyai prinsip tersendiri supaya bantuan awal yang
diberikan mampu menyelamatkan mangsa ataupun mengelak kecederaannya makin teruk.
Menurut Mohapatra, R. (2004), prinsip yang terbaik dalam pertolongan cemas ialah perlahan-
lahan dalam membuat pemerhatian secara teliti. Seterusnya ialah berfikir secara jelas dan
akhir sekali ialah bertindak secara cepat dengan tenang dan yakin. Pertolongan cemas atau
bantuan awal mempunyai tahap dalam memberikan bantuan. Terdapat enam tahap dalam
pertolongan cemas. Tahap yang pertama ialah untuk memulihkan pernafasan Seterusnya
ialah untuk mengawal pendarahan. Ketiga ialah untuk mencegah dan merawat mangsa
daripada kejutan. Keempat pula ialah untuk mangsa mengalami patah tulang. Kelima ialah
untuk merawat sebarang situasi seperti kebakaran atau keracunan. Akhir sekali ialah untuk
menguruskan pengangkutan (Mohapatra, R. ,2004).

Kanak-kanak dilahirkan secara semulajadi untuk mengeksplorasi alam sekitar di


sekeliling mereka. Hal ini kerana alam sekitar dipenuhi dengan pemandangan, bunyi,
tumbuhan, haiwan dan landskap. Apabila kanak-kanak membesar, mereka akan berubah
untuk mengasah kemahiran yang mungkin diperlukan dalam kehidupan mereka apabila
sudah dewasa kelak. Oleh itu, kanak-kanak terdedah untuk menghadapi risiko seperti gigitan
dan sengatan serangga. Untuk mengurangkan risiko daripada serangan serangga, mereka
sepatutnya sapukan krim penghalau serangga pada kulit. Seterusnya, pastikan keseluruhan
lengan dan kakinya ditutup dengan pakaian dan berkasut. Berikutnya, elakkan kawasan yang
diketahui mempunyai lebah dan penyegat. Perkara ini sekurang kurangnya dapat
mengurangkan risiko daripada digigit atau disengat oleh serangga.

Menurut Kamus Dewan Bahasa Dan Pustaka Edisi Keempat, gigitan bermaksud
cengkaman dengan gigi atau kesan digigit manakala sengatan bermaksud hasil daripada
perbuatan menyengat. Antara serangga yang biasa menggigit ialah nyamuk, labah-labah dan
semut manakala serangga yang menyengat ialah lebah. Apabila sebut sahaja mengenai
gigitan dan sengatan serangga, kita sudah semestinya tahu bahawa serangga ini akan
memberikan kesan kepada seseorang. Hal ini kerana gigitan dan sengatan serangga akan
memberi kesan kepada perubahan kulit (medlineplus.gov). Sebagai contoh, gigitan dari semut
api dan sengatan dari lebah paling menyakitkan bagi seseorang manakala gigitan disebabkan
oleh nyamuk dan kutu mungkin hanya menyebabkan kegatalan. Gigitan labah-labah pula
akan menyebabkan kematian hasil daripada tindak balas racun di dalam badan.

Menurut laman web www.nhs.uk antara simpton-simpton utama yang disebabkan


oleh gigitan dan sengatan serangga ialah benjolan kecil dan merah pada kulit yang mungkin
menyakitkan ataupun hanyalah gatal sahaja. Ada sesetengah serangga seperti labah-labah
yang dikenali sebagai ‘black widow’ menyuntik seseorang atau memindahkan racun mereka
melalui air liur serangga tersebut, ianya akan bertindak balas terhadap racun atau protein
dalam badan seseorang (www.healthline.com). Namun begitu, ia sukar untuk dikenal pasti
sama ada seseorang itu digigit ataupun terkena sengatan jika seseorang itu tidak melihat apa
yang berlaku kerana simpton gigitan atau sengatan serangga adalah lebih kurang sama dan
yang paling penting rawatan untuk kebanyakan gigitan dan sengatan serangga adalah sama.
Rasional seseorang itu untuk melakukan bantual awal jika mengalami gigitan ataupun
serangan serangga kerana apabila dibiarkan ianya akan memberi kesan buruk bergantung
kepada jenis serangga yang menggigit atau menyengat seseorang. Hal ini kerana sesetengah
orang akan mengalami tindak balas alahan yang sangat teruk jika tidak diberikan bantual awal.
Antara contoh reaksi alergi yang teruk boleh menyebabkan kejang perut, pening dan muntah,
bengkak pada muka, bibir ataupun tekak dan akhir sekali ialah masalah pernafasan
(www.healthline.com).

Antara prosedur pertolongan cemas yang boleh diberikan kepada mangsa adalah
bergantung kepada jenis serangga. Jika seseorang itu terkena gigitan ataupun sengatan
serangga, pertama, segeralah mencari kawasan yang jauh daripada serangga yang
menyengat ataupun menggigit. Bagi serangga seperti lebah, ia akan menyedarkan lebah lain
untuk lebih cenderung untuk menyengat. Kedua, ialah dengan menyuruh mangsa supaya
tenangkan diri dan tidak banyakkan pergerakan. Hal ini kerana pergerakan yang banyak akan
meningkatkan penyebaran racun dalam aliran darah. Ketiga, jika mangsa telah disengat oleh
lebah dan bisa masih berada di dalam kulit, keluarkannya secepat yang mungkin. Keluarkan
bisa dengan mengikis belakang kad atau objek lurus yang tajam untuk menghiris kawasan
yang mempunyai bisa (medlineplus.gov). Jika mangsa telah disengat pada lengan dan kaki,
turunkan anggota badan untuk melambatkan penyebaran racun. Selepas beberapa jam, jika
tempat yang telah disengat telah bengkak, mangsa boleh naikkan balik anggota badan untuk
membantu mengurangkan bengkak. Bagi mangsa yang bersentuhan dengan ulat bulu,
keluarkan duri pecah dengan meletakkan pita selofan di atas kawasan yang disentuh dan
tarikkannya. Sekiranya mangsa telah disengat oleh kala jengking ataupun labah-labah seperti
‘black widow’, segera berjumpa dengan doktor. Hal ini kerana bias bagi kedua-dua serangga
ini mampu menyebabkan mangsa itu lumpuh ataupun boleh menyebabkan kematian jika tidak
berjumpa doktor dengan segera (www.webmd.com).

Prosedur yang seterusnya ialah memberikan pertolongan cemas untuk


mengurangkan kesakitan dan kegatalan. Pertama, letakkan ais pada kawasan yang telah
digigit ataupun disengat selama 15 hingga 20 minit setiap sejam pada enam jam yang pertama.
Apabila tidak lagi menggunakan ais, gunakan kain yang sejuk dan basah pada kawasan yang
telah digigit dan disengat sehingga 6 jam. Jangan letakkan ais lebih daripada 15 hingga 20
minit. Kedua, tinggikan kawasan gigitan ataupun sengatan bagi mengurangkan kesan
bengkak. Ketiga, sapukan krim, gel atau losyen ke kawasan yang cedera. Gunakan krim yang
mengandungi bahan seperti hydrocortisone, pramoxine atau lidocaine untuk membantu
mengurangkan kesakitan. Bagi kulit yang gatal akibat digigit, gunakan krim seperti losyen
calamine atau yang mengandungi oatmeal koloid atau baking soda (www.mayoclinic.org).
Keempat, selepas 6 jam yang pertama, jika kawasan yang telah digigit dan disengat tidak
mengalami kesan bengkak, cuba biarkan untuk memberikan keselesaan untuk mangsa
(www.webmd.com).
Bagi seseorang yang digigit oleh sengkenit iaitu sejenis serangga kecil berbentuk
bulat yang mengigit untuk menghisap darah. Serangga ini amat sukar untuk dikesan pada
badan manusia kerana ianya sangat kecil. Namun apabila ia mula menghisap darah, kawasan
yang digigit akan membengkak sehingga sebesar kira-kira 1 cm panjang dan ketika ini lebih
mudah untuk melihatnya (www.babycenter.com.my). Oleh itu, prosedur untuk buangkan
serangga ini ialah gunakan penyepit untuk menyepit serangga itu dan lindungi tangan dengan
tisu atau sarung tangan bagi mengelakkan tersentuh dengan serangga ini. Seterusnya, Tarik
keluar perlahan-lahan sehingga kesemua bahagiannya keluar. Semasa menarik serangga ini
keluar, jangan pusingkan serangga ini kerana bahagian badan boleh terputus dan tertinggal
pada kulit. Selepas mengeluarkan semua sengkenit ini, cuci tangan dengan menggunakan
sabun dan air bagi memastikan serangga ini tidak melekat pada kulit. Akhir sekali, bersihkan
kawasan yang digigit serangga ini dengan antiseptic untuk mengurangkan kawasan
membengkak. Jangan sesekali keluarkan serangga ini dengan menggunakan alkohol, jeli
petroleum atau api kerana kesemua cara ini tidak berkesan. Kesan gigitan sengkenit
sepatutnya sembuh dalam masa dua atau tiga minggu. Namun begitu, semasa mangsa dalam
proses penyembuhan, gigitan sengkenit mampu menyebabkan penyakit yang digelar Lyme,
iaitu sejenis jangkitan bakteria yang amat serius. Jika kawasan digigit serangga ini semakin
merebak, segerelah untuk berjumpa dengan doktor.

Jika seseorang mengalami alahan akibat gigitan ataupun sengatan serangga,


pertama ialah cuba untuk memastikan mangsa dalam keadaan tenang. Kedua, buang cincin
ataupun barang yang mengikatnya kerana kawasan yang terjejas kemungkinan akan
membengkak. Jika mangsa mengalami sesak nafas, bengkak pada bibir, kelopak mata atau
tekak, pening atau pengsan, denyutan jantung laju dan akhir sekali berasa mual, kejang atau
muntah segeralah berjumpa dengan doktor. Sementara menunggu bantuan, tanya kepada
mangsa sekirannya mangsa ada membawa penyuntik ‘auto epinephrine’ untuk merawat
serangan alahan. Seterusnya, jika mangsa mengatakan bahawa perlu untuk menggunakan
‘auto epinephrine’, tanyakan kepada mangsa sama ada perlu ataupun tidak untuk membantu
mangsa menyuntik ubat tersebut. Perkara ini biasannya dilakukan dengan menekan ‘auto
epinephrine’ terhadap peha mangsa dan memegangnya selama beberapa saat. Berikutnya,
tanggalkan pakaian yang ketat dan tutup mangsa dengan menggunakan selimut. Jangan
berikan mangsa sebarang minuman sebelum mendapatkan rawatan daripada doktor.
Seterusnya, mengiringkan mangsa bagi mencegah daripada mangsa tersedak jika muntah
ataupun mulut mangsa mengeluarkan darah. Akhir sekali, jika mangsa itu tidak bernafas
ataupun bergerak segeralah lakukan C.P.R (Cardiopulmonary Resuscitation).
Pertolongan cemas atau bantuan awal jika digigit atau disengat oleh serangga
boleh dirawat di rumah kecuali seseorang itu mengalami alahan. Jika bantuan awal diberikan
kepada mangsa, tanda atau simpton akibat digigit atau disengat oleh serangga akan hilang
dalam masa sehari atau dua tetapi bagi serangan serangga sengkenit akan mengambil masa
selama 2 atau 3 minggu. Namun jika kesan sebaliknya, maka segeralah berjumpa dengan
doktor kerana kemungkinan akan menyebabkan tahap kecederaan menjadi lebih serius.

Bantual awal yang diberikan kepada mangsa serangan serangga mampu untuk
menyelamatkan nyawa seseorang walaupun hanya serangga yang menggigit ataupun
sengatan mampu untuk memberhentikan denyupan jantung. Hal ini kerana, sesetengah bisa
yang ada pada serangga mampu untuk membunuh sekiranya tidak diberikan bantuan awal
disebabkan bisa yang sudah merebak dalam badan mangsa. Bantuan awal ini juga dapat
mengurangkan kesakitan terutama kanak-kanak kerana badan kanak-kanak tidak seperti
badan seseorang yang sudah dewasa. Kesan jika bantuan awal tidak diberikan akan
memberikan kesan yang buruk kerana bakteria ataupun virus sudah merebak masuk ke dalam
badan mangsa yang akan menyebabkan mangsa akan menderita sama ada dalam masa
yang pendek ataupun panjang. Oleh yang demikian, bantuan awal ataupun pertolongan
cemas amatlah penting bukan sahaja untuk mangsa yang terkena serangan serangga malah
pelbagai lagi kecederaan yang lain.

Oleh itu, masyarakat haruslah berlatih untuk menjaga daripada diri sendiri cedera,
mahupun orang lain tidak kira sama ada di rumah, tempat kerja ataupun di mana-mana sahaja.
Menurut Donavin (1990), Pengetahuan dalam pertolongan cemas mampu menarik perhatian
majikan untuk bekerja di atas faktor keselamatan. Hai ini demikian, risiko untuk seseorang itu
untuk cedera amat tinggi tidak kira waktu ataupun tempat terutama di kawasan yang
mempunyai risiko yang tinggi terutama di kawasan kilang. Namun begitu, pengetahuan
mengenai pertolongan cemas seharusnya semua masyarakat perlulah untuk mengambil berat
dalam isu ini. Pertolongan cemas ini bukan sahaja mampu untuk menyelamatkan nyawa
seseorang malah mampu untuk mengurangkan kesakitan yang dialami oleh mangsa. Pihak
kerajaan haruslah menggesa rakyatnya supaya menuntut ilmu berkaitan dengan pertolongan
cemas. Pihak sekolah juga haruslah berikan didikan mengenai bantuan awal supaya apabila
kanak-kanak keluar daripada sekolah mampu mengaplikasikan apa yang telah diajar di
sekolah ketika di luar sekolah mahupun dalam sekolah. Hal ini kerana pengetahuan akan
digunakan sampai ke tua. Pihak ibu bapa juga mestilah mengajar anak-anak mereka
mengenai bantual awal kerana risiko untuk berlakunya kecederaan bukan sahaja di luar
rumah malah di dalam rumah juga. Kepentingan pertolongan cemas mampu untuk
menyelamatkan banyak nyawa sebelum bantuan sampai. Kesimpulannya, masyarakat
sepatutnya mengetahui prosedur pertolongan cemas dengan betul kerana perkara ini
merupakan ilmu asas yang patut dipelajari oleh semua masyarakat di seluruh pelusuk dunia.
RUJUKAN

Donavin (1990). First aid book. Place of publication not identified: Diane Pub Co.

Gigitan serangga. (n.d.). Dicapai pada 4 Julai 2017, daripada


https://www.babycenter.com.my/a25011535/gigitan-serangga

Hepler, L. (25 Julai 2016). First Aid for Bites and Stings. Dicapai pada 4 Julai 2017, daripada
http://www.healthline.com/health/first-aid/bites-stings#insects2

Insect bites and stings - Symptoms. (n.d.). Dicapai pada 4 Julai 2017, daripada
http://www.nhs.uk/Conditions/Bites-insect/Pages/Symptoms.aspx

Insect Bites and Stings and Spider Bites - Home Treatment. (n.d.). Dicapai pada 4 Julai
2017, daripada http://www.webmd.com/first-aid/tc/insect-bites-and-stings-and-
spider-bites-home-treatment#1

Insect bites and stings. (n.d.). Dicapai pada 4 Julai 2017, daripada
https://medlineplus.gov/ency/article/000033.htm

Insect bites and stings: First aid. (20 Februari 2015). Dicapai pada 4 Julai 2017, daripada
http://www.mayoclinic.org/first-aid/first-aid-insect-bites/basics/art-20056593

Kamus Dewan Edisi Keempat (2005).Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur

Mohapatra, R. (2004). First aid for you and me. Kolkata, India: Academic Publisher.

Usman, M. (2014). First aid for the beginner: the basics of first aid. Mendon, UT: JD-Biz
Publishing.

You might also like