You are on page 1of 2

Musa dikejarkan ke IJN kerana sesak nafas

Kenderaan pelbagai guna (MPV) yang membawa bekas Ketua Menteri Sabah, Tan Sri Musa
Aman keluar dari ibu pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pada jam 2.10
petang tadi. - UTUSAN ONLINE/ZAKI AMIRUDDIN

PUTRAJAYA 6 Sept. - Bekas Ketua Menteri Sabah, Tan Sri Musa Aman dikejarkan ke Institut
Jantung Negara (IJN) pada pukul 6.30 petang tadi kerana mengalami sesak nafas.

Menurut sumber, Musa gagal meneruskan sesi soal siasat bersama Suruhanjaya Pencegahan
Rasuah Malaysia (SPRM) sebelum dibawa ke Hospital Putrajaya bagi mendapatkan rawatan.

“Musa terlebih dahulu dibawa ke Hospital Putrajaya untuk rawatan awal selepas gagal
meneruskan sesi soal siasat bersama SPRM dan pada pukul 6.30 beliau dikejarkan ke IJN kerana
sesak nafas.

“Ekoran situasi itu pasukan siasatan SPRM belum menyelesaikan sesi mengambil keterangan
daripada Musa kerana masalah kesihatan yang dihadapi bekas Pengerusi Barisan Nasional (BN)
Sabah itu," katanya.

Kira-kira pukul 2.10 petang tadi, Musa dilihat meninggalkan ibu pejabat SPRM di sini selepas
lebih dua jam memberi keterangan kepada SPRM berhubung isu rasuah pada Pilihan Raya
Umum Ke-14 (PRU-14) lalu.
Beliau meninggalkan ibu pejabat SPRM dengan menaiki sebuah kenderaan pelbagai guna
(MPV) jenis Toyota Vellfire berwarna perak menggunakan nombor pendaftaran WRJ65.

Jumaat lalu, Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Datuk Seri Azam Baki
memaklumkan pihaknya tidak tergesa-gesa untuk mengambil keterangan bekas Ketua Menteri
Sabah itu berhubung dakwaan rasuah pada PRU-14.

Tujuan SPRM memanggil Musa untuk mengambil keterangan dipercayai mempunyai kaitan
dengan siasatan terhadap Presiden Parti Solidariti Tanah Airku (Star), Datuk Dr. Jeffrey Kitingan.

Selepas PRU-14 lalu, Jeffrey bekerjasama dengan Barisan Nasional (BN) dalam usaha
membentuk kerajaan negeri dan beliau disiasat oleh SPRM berhubung dakwaan menerima
RM20 juta daripada pihak tertentu.

Semalam, Musa merangkap bekas Pengerusi BN Sabah selesai mengangkat sumpah sebagai Ahli
Dewan Undangan Negeri (ADUN) di hadapan Speaker, Datuk Syed Abas Syed Ali pada pukul
3.30 petang. - UTUSAN ONLINE

You might also like