You are on page 1of 1

Faedah dari Skim Takaful Keluarga

Takaful keluarga merupakan satu skim Takaful yang menyediakan perlindungan dan simpanan
kewangan jangka panjang kepada peserta. Skim ini memainkan peranan penting dalam kehidupan harian
bagi menjamin kehidupan seseorang individu dan ahli keluarga. Terdpat beberapa faedah utama yang
boleh diperolehi daripada penyertaan dalam skim takaful keluarga.

Pertama sekali, skim takaful keluarga mampu membebaskan umat Islam dari unsur haram.
Sebagai sebuah alternatif kepada sistem insurans konvensional, skim takaful keluarga memberi jaminan
perlindungan kewangan berlandaskan prinsip-prinsip islam. Oleh sebab yang demikian, skim ini bebas
daripada unsur-unsur yang bercanggah dengan kehendak syarak seperti gharar, maisir dan riba. Bukan itu
sahaja, pelaburan dana yang dilakukan hanyalah melibatkan instrumen yang patuh syariah sahaja
tertakluk kepada Akta Takaful 1984. Melalui Akta ini, pengendali takaful akan menjalankan operasi
berlandaskan kepada prinsip hukum syarak dalam semua aspek dan tidak terhad kepada pengurusan,
pentadbiran dan urusniaga sahaja.

Seterusnya, skim takaful keluarga turut bertindak sebagai sebuah gantian pendapatan. Skim
Takaful keluarga memastikan kebebasan kewangan peserta dan membantu mereka meneruskan hidup
setelah ketiadaan punca pendapatan tetap. Melalui pelan takaful anuiti, pendapatan tetap akan diberikan
kepada peserta setelah persaraan sehinngalah peserta tersebut meninggal dunia supaya mampu menyara
kehidupan dengan kewangan yang mencukupi sepanjang tempoh baki usia mereka. Skim takaful ini juga
memberi perlindungan kepada ahli keluarga dengan cara meninggalkan sejumlah wang kepada waris
sekiranya berlaku kematian atau kehilangan upaya kekal kepada pencari nafkah utama dalam keluarga.
Secara tidak langsung, kehidupan waris apabila peserta meninggal dunia akan turut terjamin.

Akhir sekali, skim takaful keluarga boleh menjadi penyelamat daripada hutang bagi seseorang
individu. Pelan takaful gadai janji akan melindungi baki pembiayaan perumahan peserta semasa tempoh
pembayaran secara ansuran kepada pembiaya. Melalui pelan ini, beban kewangan yang timbul daripada
kematian atau kehilangan upaya kekal akan dilindungi berasaskan jangka masa panjang. Manfaat Takaful
akan dibayar daripada dana risiko sepadan dengan jumlah baki pembiayaan rumah peserta. Manfaat
khairat kematian juga akan dibayar kepada waris peserta untuk tujuan perbelanjaan pengebumian.
Natijahnya, skim jenis ini menjadi satu platform bagi peserta untuk menyelamatkan diri dan waris mereka
daripada hutang.

You might also like