You are on page 1of 2

KENYATAAN AKHBAR

KEMENTERIAN KESIHATAN MALAYSIA

MAKLUMAN KEJADIAN WABAK PENYAKIT DEMAM TIFOID DI LONG


URUN, SUNGAI ASAP, BELAGA, KAPIT, SARAWAK

Kementerian Kesihatan Malaysia ingin memaklumkan bahawa satu kejadian


wabak penyakit Demam Tifoid telah dilaporkan berlaku pada 02 November
2017 di Long Urun, Sungai Asap, daerah Belaga, bahagian Kapit, Sarawak.
Long Urun terletak kira-kira 75km dari Klinik Kesihatan Sungai Asap, Belaga
dan kira-kira 215 km perjalanan darat ke hospital terdekat iaitu Hospital
Bintulu di Bahagian Bintulu.

Sehingga 24 November 2017, sebanyak sembilan (9) kes telah dikesan


termasuk seorang pembawa sihat (carrier). Semua kes telah dimasukkan ke
Hosital Bintulu untuk rawatan. Situasi wabak adalah dalam keadaan
terkawal dan tiada kes kematian dilaporkan.

Siasatan awal di lokaliti wabak mendapati sistem bekalan air paip graviti
tidak berfungsi dengan baik. Jabatan Kesihatan Negeri Sarawak dengan
kerjasama pihak yang terlibat telah merancang kerja-kerja pembaikan yang
akan dijalankan dalam masa terdekat. Survelan demam tifoid termasuk
pengesanan kes secara aktif di Long Urun dan kampung berhampiran
dipertingkatkan. Siasatan masih terus dijalankan bagi mengenalpasti punca
sebenar berlakunya jangkitan kejadian wabak tersebut.

Penyakit demam tifoid adalah satu penyakit yang berjangkit melalui


makanan dan minuman yang tercemar dengan bakteria Salmonella typhi.
Pesakit yang dijangkiti akan menghidap gejala seperti demam tinggi, sakit
kepala, kurang selera makan, loya, muntah, sakit perut, sukar membuang
air besar atau cirit-birit dan segelintir mengalami ruam terutama pada leher
dan perut (rose-colored spots rash). Penyakit ini boleh dirawat dengan
memberikan ubat antibiotik bagi membunuh kuman penyebab penyakit serta
rawatan ke atas dehidrasi yang dialami. Keadaan pesakit boleh menjadi
lebih teruk sekiranya tidak dirawat.

Orang ramai di kawasan terlibat atau yang pergi melawat ke kawasan


tersebut diminta untuk mengambil langkah-langkah pencegahan termasuk
seperti sentiasa menjaga kebersihan diri dengan mencuci tangan sebelum
makan dan selepas ke tandas, makan makanan yang telah dimasak,
menggunakan air yang telah dimasak untuk diminum dan menggunakan air
terawat untuk mencuci peralatan dapur dan bahan mentah memasak. KKM
menyeru penduduk setempat yang mempunyai gejala demam berpanjangan
atau perubahan kepada tabiat membuang air besar agar segera
mendapatkan rawatan di fasiliti kesihatan berhampiran.

KKM akan terus memantau situasi wabak demam tifoid ini dan berharap
penduduk di kawasan terlibat sentiasa mengikuti nasihat kesihatan yang
diberikan bagi memastikan kejadian ini dapat dikawal dengan segera.

Sekian, terima kasih.

DATUK DR. NOOR HISHAM ABDULLAH


KETUA PENGARAH KESIHATAN MALAYSIA

25 November 2017

You might also like