You are on page 1of 3

1.

Kepemimpinan profesional

Ciri ini menekankan kepemimpinan sekolah yang tegas dan bertujuan. Sekolah-sekolah harus
mempunyai pentadbir proaktif yang menekankan permuafakatan dan persamaan tujuan yang mengusaha
dan mengekalkan proses memajukan sekolah. Seterusnya, ialah sama ada sekolah mengamalkan
pendekatan musyawarah, berkongsi tanggungjawab serta melibatkan guru dalam membuat keputusan
dan menekan(kan kepemimpinan ketua jabatan atau panitia. Ciri ini juga menekankan sama ada
pengetua sekolah sebenarnya seorang profesional dan berilmu yang dapat menawarkan kepemimpinan
kurikulum, merancang strategi kurikulum, memantau kemajuan pelajar, serta sedar dan tahu apa yang
berlaku di dalam bilik darjah dan dapat membantu membaiki amalan dan kualiti pengajaran dan
pembelajaran.

2. Perkongsian wawasan dan tujuan

Ciri ini bermaksud warga anggota sekolah mempunyai persamaan nilai dan tujuan sekolah serta dapat
berfungsi sebagai sebuah organisasi yang mantap. Ciri ini juga merujuk pada pentadbiran sekolah yang
mengamal tindakan pengurusan secara konsisten, iaitu berdasarkan piawai disiplin yang ditentukan oleh
sekolah, atau guru menjadi model contoh. Ciri ini juga bermaksud tentang kewujudan kesetiakawanan
dan kerjasama antara warga sekolah serta penglibatan guru dalam proses membuat keputusan.

3. Persekitaran pembelajaran

Ciri ini bermaksud iklim sekolah ditentukan oleh wawasan, nilai dan tujuan. Iklim sekolah yang baik
sebenarnya dipengaruhi oleh suasana pembelajaran dan keadaan sekolah yang tertib dan teratur dengan
persekitaran kerja yang menarik, tenang dan harmonis dalam suasana berorientasikan tugas, di samping
wujudnya disiplin kendiri dalam kalangan pelajar yang merupakan prasyarat bagi pembelajaran berkesan.

4. Tumpuan kepada proses pengajaran dan pembelajaran

Ciri ini menampakkan tujuan utama sekolah, iaitu pengajaran dan pembelajaran kerana keberkesanan
sekolah bergantung kepada keberkesanan pengajaran di dalam bilik darjah. Kajian menunjukkan ada
perkaitan yang rapat di antara tumpuan kepada pengajaran dan pembelajaran sekolah dengan
keberkesanan guru. Kajian juga menekankan sekolah patut memfokus pada kuantiti dan kualiti
pengajaran dan pembelajaran. Rumusan pelbagai kajian oleh Mortimore menunjukkan bahawa sekolah
harus memaksimumkan masa belajar, meningkatkan penggunaan masa belajar, mengagih masa untuk
mata-mata pelajaran prioriti secara seimbang. Sebahagian besar masa guru ditumpukan pada
pembelajaran murid dan guru sangat prihatin dengan pelajaran dan pembelajaran kognitif murid. Sekolah
mengamalkan ketepatan masa belajar dan mengurangkan gangguan dari luar bilik darjah. Sekolah juga
begitu menitikberatkan aspek-aspek ilmiah, mempunyai guru yang berpengetahuan mendalam dalam
kurikulum, dan bertumpukan penguasaan kemahiran-kemahiran asas.

5. Pengajaran yang bertujuan

Mortimore mendapati kualiti pengajaran sebagai inti pati sekolah berkesan, di samping memiliki guru
yang berkualiti. Ciri pengajaran bertujuan pula bermakna perlu mempunyai organisasi yang efisien,
tujuan yang jelas, pengajaran yang berstruktur, dan amalan yang fleksibel.

6. Jangkaan kejayaan yang tinggi

Ciri ini bermaksud sekolah mempunyai jangkaan kejayaan yang tinggi dalam semua bidang terhadap
murid-murid mereka kerana rumusan kajian Mortimore menunjukkan ada kaitan yang rapat di antara
jangkaan kejayaan yang tinggi dan keberkesanan pelajar. Guru didapati sangat aktif dalam membantu
pelajar dan yakin dengan pencapaian murid-murid. Guru juga sentiasa menzahirkan jangkaan mereka
serta berkeyakinan terhadap pelajar yang merangsang mereka untuk berjaya. Rangsangan ini diberi
melalui kata-kata pujian yang tekal.
7. Pengukuhan yang positif

Mortimore mendapati pengukuhan positif dalam bentuk hadiah dan insentif menjadi faktor penting bagi
meningkatkan motivasi pelajar. Pentadbiran disiplin perlu bersih dan adil. Disiplin yang baik berpunca
daripada iklim sekolah yang teratur, yakni yang berasaskan rasa kepunyaan dan keterlibatan. Disiplin
yang berkesan dapat mengekalkan suasana damai di sekolah. Di samping itu, guru juga harus mendapat
maklum balas segera tentang setiap tindakan yang dijalankan, sementara kepada pelajar pula ganjaran
atau hukuman perlu disegerakan selepas setiap kebaikan atau kesalahan dilakukan.

8. Memantau kemajuan

Berdasarkan maklumat kajian yang dikumpul oleh Mortimore, sekolah berkesan sentiasa melakukan
pemantauan terhadap kemajuan dan prestasi pelajar secara teratur. Guru dapat menentukan sejauh
mana tujuan sekolah telah dicapai. Sekolah perlu memberi tumpuan kepada pelajar, ibu bapa dan tujuan
persekolahan. Sekolah juga hendaklah sentiasa berusaha untuk meningkatkan pengetahuan dan
kemahiran guru dalam aspek-aspek penilaian dan kaedah mengajar yang terkini. Di samping itu, sekolah
perlu menegaskan kepada pelajar dan guru supaya mengambil berat tentang kemajuan pelajaran.

9. Hak dan tanggungjawab pelajar

Rumusan kajian Mortimore turut mendapati sekolah berkesan menekankan usaha meningkatkan harga
diri pelajar. Pelajar sepatutnya mengambil bahagian secara aktif dalam pelbagai kegiatan di sekolah.
Sehubungan itu, sekolah harus merancang dan meletakkan tanggungjawab yang sesuai kepada mereka.

10. Hubungan rumah-sekolah

Mortimore seterusnya menekankan tentang pentingnya hubungan rumah-sekolah bagi meningkatkan


keberkesanan sekolah. Kajian-kajian menunjukkan pentingnya penglibatan ibu bapa dalam membantu
anak-anak untuk menyelesaikan kerja-kerja sekolah. Hubungan ini seterusnya dieratkan melalui lawatan
ibu bapa ke sekolah untuk berbincang tentang kemajuan anak-anak dengan guru di dalam bilik khas
yang disediakan, sementara pengetua pula mengukuhkan lagi hubungan ini melalui dasar-dasar yang
terbuka.

11. Organisasi Pembelajaran

Rumusan kajian Mortimore seterusnya menunjukkan sekolah-sekolah berkesan mempunyai organisasi


pembelajaran yang menggalakkan guru dan staf am terus meningkatkan ilmu profesional. Ke arah
sekolah berkesan, pengurusan sekolah harus mengadakan program perkembangan staf pada peringkat
sekolah untuk membantu guru dan staf meningkatkan mutu pengajaran di dalam bilik darjah.

Kesimpulan

Sebahagian besar rangka rujukan dengan sebelas ciri sekolah berkesan yang dikemukakan oleh
Mortimore didapati sesuai dan relevan dengan struktur dan organisasi sekolah-sekolah formal di
Malaysia. Walau bagaimanapun, Teddlie dan Reynolds (2000) dalam buku mereka, "The International
Handbook of School Effectiveness Research" telah memberi peringatan kepada penyelidik bahawa
terdapat faktor-faktor penting lain yang perlu diambil kira dalam menafsir keberkesanan sekolah.
Antaranya ialah faktor "konteks" yang harus diberi perhatian supaya penafsiran kita tentang
keberkesanan sekolah dapat dibuat secara holistik dan adil.

Sepuluh daripada sebelas ciri sekolah berkesan yang dikemukakan oleh Mortimore ialah ciri dalaman
sekolah (in-school factors) yang lebih bertumpukan proses daripada konteks. Cuma ciri penyelidikan
hubungan sekolah-rumah merupakan ciri luaran sekolah. Jadi, penyelidikan keberkesanan sekolah
menunjukkan lebih banyak varian keberkesanan dijelaskan oleh faktor dalaman sekolah. Justeru, bagi
tujuan pembaikan sekolah kita harus menumpukan tindakan yang lebih ke atas faktor-faktor dalaman
berbanding dengan faktor konteks.
Walau bagaimanapun, Ramaiah (1995) berpendapat dalam konteks Malaysia beberapa kriteria
pengukuran keberkesanan sekolah harus dterapkan secara berhati-hati kerana ada ciri-ciri tertentu
seperti faktor "tusyen persendirian" dan konteks "bandar" atau "luar bandar" yang sangat mempengaruhi
kriteria keberkesanan, terutamanya jika prestasi peperiksaan awam dijadikan ukuran mutlak. Kita juga
diingatkan oleh Mortimore (1991) yang memberi definisi sekolah berkesan sebagai "tempat pelajar
menunjukkan kemajuan lebih besar daripada yang biasanya diharapkan pada tahap kemasukan awalnya
ke sekolah". Justeru, perbezaan prestasi antara sekolah akibat defisit awal ketika kanak-kanak memasuki
sekolah harus juga diambil kira.

Namun, sebelas ciri sekolah berkesan rumusan Mortimore yang berasaskan ratusan kajian
keberkesanan sekolah dapat diguna sebagai rangka rujukan untuk kita bandingkan kedua-dua jenis
sekolah dalam dua tahap persekolahan, iaitu SK / SMK dengan SRJK (C) / SMJK (C). Hasil
perbandingan dapat menunjukkan persamaan dan perbezaan ciri utama untuk digunakan sebagai
panduan dalam program memajukan sekolah di Malaysia.

You might also like