You are on page 1of 15

EDUCATUM - Journal of Science, Mathematics and Technology Vol. 1 No.

2 (2014) 41 - 55 41
ISSN 2289-7070

Persepsi Majikan Kejuruteraan Terhadap Kemahiran


Employabiliti Pelajar Kejuruteraan: Satu Kajian Kes
Engineering Employers Perceptions towards the Employability Skills of Engineering
Students: A Case Study

Ramlee Mustapha1*, Mohd Yusof Husain2, Syed A. Malik Syed Mohamad3


dan Seri Bunian Mokhtar4
Fakulti Pendidikan Teknikal dan Vokasional, Universiti Pendidikan Sultan Idris, Tanjong Malim, Perak
1,3

2
Bahagian Pengurusan Sumber Manusia, Kementerian Pendidikan Malaysia, 62200, Putrajaya
4
Politeknik Ungku Omar, Ipoh, Perak
*
e-mail: drramlee@yahoo.com

Abstrak
Kajian ini bertujuan meninjau kemahiran employabiliti pelajar kejuruteraan di politeknik
daripada perspektif majikan. Kajian kes ini menggunakan pendekatan kualitatif. Untuk
mengumpul data, satu set protokol temu bual telah dibina berdasarkan objektif kajian dan
tinjauan literatur. Sebanyak sepuluh elemen kemahiran employabiliti yang telah dikenal
pasti antaranya kemahiran komunikasi, kerja berpasukan, kepimpinan, etika dan moral,
kerohanian, pembelajaran sepanjang hayat dan pengurusan maklumat, pemikiran kritikal
dan penyelesaian masalah, menggunakan teknologi, keusahawanan dan kemahiran sosial.
Seramai sembilan orang majikan di sekitar Lembah Klang, Kota Bharu dan Ipoh telah
dipilih berdasarkan kriteria yang telah ditetapkan. Majikan percaya bahawa kemahiran
employabiliti pelajar kejuruteraan politeknik harus dipertingkatkan. Data temu bual
menunjukkan majikan tidak begitu berpuas hati terhadap penguasaan kemahiran
employabiliti pelajar kejuruteraan politeknik terutamanya daripada aspek komunikasi,
kepimpinan, pemikiran kritikal dan penyelesaian masalah, penggunaan teknologi dan
keusahawanan.
Kata kunci employabiliti, pelajar kejuruteraan, politeknik, Malaysia

Abstract
This study was conducted to explore the employability skills of Polytechnic engineering
students from the employers’ perspective. A qualitative approach was employed in this
case study. To collect the data, a set of interview protocol was developed based on the
objectives of the study and the reviews of the relevant literature. A total of ten elements
of employability skills were identified including communication, teamwork, leadership,
ethics and morality, spirituality, lifelong learning and information management, critical
thinking and problem solving, technology used, entrepreneurship and social skills. Nine
employers in Klang Valley, Kota Bharu and Ipoh were selected based on the predetermined
criteria. In general, the employers believed that the employability skills of the engineering
students should be enhanced. The findings also showed that the employers were not
satisfied with the mastery of employability skills of the engineering students in the areas
42 EDUCATUM - Journal of Science, Mathematics and Technology Vol. 1 No.2 (2014) 41 - 55
ISSN 2289-7070

of communication, leadership, critical thinking and problem solving, technology used and
entrepreneurship.
Keywords employability, engineering students, polytechnic, Malaysia

PENGENALAN
Model Ekonomi Baru (MEB) yang dilancarkan pada tahun 2010 bertujuan untuk
melonjakkan Malaysia menjadi negara maju berpendapatan tinggi menjelang tahun
2020. Bagi mencapai matlamat negara maju berpendapatan tinggi, pembangunan sumber
manusia merupakan elemen yang perlu diambil perhatian yang serius (Unit Perancang
Ekonomi, 2010). Dalam Rancangan Malaysia Kesepuluh (2011-2015), pembangunan
modal insan merupakan elemen yang kritikal dalam mentransformasikan negara.
Keupayaan memanipulasi pembangunan sumber manusia (modal insan) dengan baik akan
membolehkan sesebuah negara mampu bersaing dengan negara maju yang lain walaupun
tidak mempunyai sumber fizikal yang baik (Rahmah, 2000). Maran et al., (2009)
menegaskan firma yang menyediakan latihan, pengetahuan, kemahiran dan pendidikan
kepada sumber manusia akan menyebabkan pencapaian syarikat menjadi bertambah baik.
Sesebuah organisasi yang memiliki sumber manusia (modal insan) yang dapat menangani
perubahan persekitaran seperti k-ekonomi dan globalisasi akan memudahkan matlamat
sesebuah organisasi dicapai (Kamaruddin, 2010). Hakikat ini diperkukuhkan oleh hadis
yang diriwayatkan oleh Abu Daud dan al-Nasa’i menyatakan Rasulullah sallallahu-alaihi-
wasallam bersabda bahawa modal insan (mukmin) yang berkemahiran lebih dicintai oleh
Allah Ta’ala.
Berdasarkan Pelan Strategik Pengajian Tinggi Negara (2011-2015), menjelang tahun
2015, negara memerlukan tenaga kerja berkemahiran tinggi daripada 23% kepada 37%.
Justeru sebagai langkah untuk merealisasi sasaran negara, Pendidikan Teknikal dan Latihan
Vokasional (Technical Education and Vocational Training - TEVT) perlu diarus perdanakan
dan dipertingkatkan keupayaannya termasuk meningkatkan imej TEVT pada pandangan
masyarakat (PSPTN, 2011-2015). Kamaruddin (2010) serta Tan dan Nor Hazwin (2010)
mempersoalkan sama ada graduan-graduan yang dihasilkan oleh institusi pengajian tinggi
dapat memenuhi kehendak majikan pada masa kini.
Oleh itu, untuk menjadi institusi pilihan dalam pendidikan teknikal dan vokasional,
pihak pengurusan politeknik haruslah berusaha untuk menjadikan politeknik sebagai satu
institusi yang ulung dan seterusnya graduan yang dihasilkan memenuhi kehendak majikan
serta juga pasaran kerja pada masa kini. Graduan yang diingini oleh majikan pada masa
kini ialah tenaga kerja yang mempunyai kemahiran teknikal dan kemahiran employabiliti.
Justeru, kajian ini bertujuan untuk menilai kemahiran employabiliti pelajar kejuruteraan
politeknik daripada perspektif majikan.

Latar Belakang Masalah Kajian

Pelan Strategik Pengajian Tinggi Negara (PSPTN 2011-2015) menggariskan tujuh teras
strategik yang didalamnya terdapat beberapa agenda kritikal dalam ketujuh-tujuh teras
tersebut. Salah satu daripadanya ialah kebolehpasaran graduan yang perlu ditangani
oleh pihak institusi pengajian tinggi. Persaingan dalam kalangan graduan bagi mendapat
EDUCATUM - Journal of Science, Mathematics and Technology Vol. 1 No.2 (2014) 41 - 55 43
ISSN 2289-7070

pekerjaan yang diinginkan selepas tamat pengajian memberi kesan kepada kebolehpasaran
graduan kerana majikan memerlukan tenaga kerja yang berkemahiran tinggi dan
berpengetahuan (Ahmad Muhaimin et al., 2008). Data yang diperoleh daripada laporan
pengesanan graduan Kementerian Pengajian Tinggi 2011 (KPTM, 2012) mendapati
kesemua bidang pengajian menghadapi masalah pengangguran bermula dari peringkat
sijil, diploma dan ijazah pertama.
Beberapa kajian mendapati antara masalah yang menyebabkan pengangguran ini ialah
faktor kebolehpasaran yang sering dikaitkan dengan kesesuaian program yang tawarkan
di Institut Pengajian Tinggi dan tahap kemahiran employabiliti yang dimiliki oleh graduan
(Bank Negara 2011, IPPTN 2003; PSPTN, 2011-2015; Wu, 2011; Wan Azlinda & Mime
Azrina, 2009, Mohd Yusof et al., 2014). Kajian lepas menunjukkan majikan tidak berpuas
hati terhadap penguasaan kemahiran employabiliti berbanding kemahiran teknikal (Ashari
et al., 2010; Burgaz, 2008; Mohammad Sattar et al., 2008; Mohamad Zaid et al., 2010;
Ramlee, 1999; Zainudin, 2004; Mohd Yusof, 2014).
Menurut Imran (2010), hasil dialog antara politeknik dengan industri mendapati pihak
industri memberi penekanan yang khusus terhadap kemahiran employabiliti kepada bakal
graduan untuk diambil bekerja. Kajian ke atas lulusan teknikal oleh Ahmad Zaini (2005)
mendapati seramai 80,000 lulusan yang masih menganggur. Kajian tersebut juga mendapati
lulusan politeknik masih kurang kemahiran employabiliti yang diperlukan oleh majikan dan
masih bergantung kepada kelayakan akademik bagi mendapat pekerjaan. Antara kemahiran
employabiliti yang kurang dikuasai oleh graduan ialah kemahiran berkomunikasi,
penguasaan berbahasa Inggeris dan penggunaan teknologi maklumat. Kemahiran
berkomunikasi secara lisan dan bertulis merupakan kemahiran yang kurang diberi tumpuan
oleh graduan (IPPTN 2004). Majikan mengutamakan kemahiran berkomunikasi dan
kemahiran kerja berkumpulan. Justeru, graduan perlu menguasai kemahiran komunikasi,
kemahiran penyelesaian masalah, pengetahuan IT, pengurusan maklumat, kemahiran
pembentangan dan kemahiran berbahasa Inggeris bagi memenuhi keperluan pasaran kerja
pada masa kini (Warraich & Ameen, 2011). Tenaga kerja yang fleksibel, berkemahiran
teknikal dan berkemahiran employabiliti yang tinggi seperti pemikiran kreatif, kemahiran
menyelesaikan masalah serta berkemahiran analitikal diperlukan oleh pihak industri bagi
menghadapi cabaran globalisasi dan ekonomi yang semakin mencabar (2nd International
TT-TVET EU-Asia Link project Meeting, 2005). Graduan yang menguasai kemahiran
employabiliti dan mempunyai daya saing menjadi pilihan majikan masa kini (Mohd Izham
et al., 2011; Azami et al., 2009; Yusoff et al., 2010).
Oleh itu, Institusi Pengajian Tinggi di Malaysia perlu membincangkan isu seperti kualiti
graduan dan kemahiran employabiliti kerana salah satu kriteria kecemerlangan sesebuah
institusi pendidikan diukur berdasarkan kepada modal insan yang dihasilkan memenuhi
permintaan pasaran kerja (Mohamed Khaled, 2008). Modal insan yang dihasilkan institusi
pendidikan perlu berupaya memenuhi permintaan dan persaingan yang berlaku dalam
dunia pekerjaan. (Maclean & Ordonez, 2007; Khaled, 2011; Unit Perancang Ekonomi,
2010). Graduan yang berkualiti dijangka akan berjaya dalam persaingan pasaran kerja
kerana permintaan kepada tenaga kerja lebih rendah berbanding jumlah keluaran graduan
yang dihasilkan oleh institusi pengajian (Mohd Lazim, 2009). Institusi pendidikan perlulah
memberi perhatian yang serius terhadap penguasaan kemahiran employabiliti dalam
kalangan graduan. Keupayaan institusi pendidikan untuk menghasilkan modal insan yang
44 EDUCATUM - Journal of Science, Mathematics and Technology Vol. 1 No.2 (2014) 41 - 55
ISSN 2289-7070

berpengetahuan dan berkemahiran yang akan dapat memberi pulangan yang baik kepada
syarikat dan negara di masa hadapan (Schultz, 1961; 1963).

Tujuan Kajian
Tujuan utama kajian ini dijalankan adalah untuk meninjau kemahiran employabiliti pelajar
kejuruteraan politeknik daripada persepsi majikan industri. Majikan terdiri daripada
majikan yang menyediakan latihan industri kepada pelajar kejuruteraan institusi teknikal.

METODOLOGI KAJIAN
Reka Bentuk dan Peserta Kajian

Kajian ini menggunakan pendekatan kualitatif yang melibatkan pengumpulan maklumat


secara sistematik dan mendalam mengenai tingkah laku individu tertentu, keadaan sosial
atau peristiwa khusus untuk mengetahui bagaimana tingkah laku individu atau perubahan
keadaan sosial berlaku (Chua, 2006). Dalam pengumpulan data kualitatif, sampel diperoleh
dengan mengguna kaedah pensampelan bertujuan. Menurut Creswell (2005) serta Bogdan
dan Biklen (1992), pensampelan bertujuan digunakan untuk memilih beberapa individu
dan lokasi mereka untuk memahami dengan lebih mendalam sesuatu fenomena. Oleh
kerana protokol temubual adalah pengumpulan data secara kualitatif maka pengumpulan
data boleh dihentikan apabila data yang diperoleh telah mencapai tahap tepu (Neuman,
2000; Creswell, 2005).
Peserta kajian terdiri daripada sembilan orang majikan di sekitar Lembah Klang, Kota
Bharu dan Ipoh yang terdiri daripada majikan kejuruteraan awam (3 orang), kejuruteraan
elektrik (3 orang) dan kejuruteraan mekanikal (3 orang). Kesemua majikan terdiri daripada
majikan yang menyediakan latihan industri kepada pelajar kejuruteraan institusi teknikal.
Untuk menjaga kerahsiaan identiti peserta dan untuk memudahkan analisis, kod M1
sehingga M9 digunakan untuk mengganti nama peserta (Nurulhuda & Ramlee, 2009; ).
Bilangan peserta kajian kes iaitu sembilan orang yang sedia ada dikira memadai untuk
tujuan kajian kes berbentuk kualitatif ini. Di samping itu, pemilihan peserta juga adalah
berdasarkan kerelaan dan kesanggupan kesemua majikan ini untuk melibatkan diri
dalam kajian ini. Kajian kes berbentuk kualitatif dengan saiz sampel yang kecil (n = 9)
ini tidak bertujuan untuk menggeneralisasikan hasil dapatan kajian kepada mana-mana
populasi (Mohd Yusof et al., 2014; Vishalache, 2013). Namun begitu, dapatan kajian
yang menggunakan reka bentuk ini dapat memberikan gambaran, maklumat, penerangan,
pentafsiran dan pemahaman yang mendalam bagi menjawab persoalan-persoalan kajian
yang telah dibentuk khusus untuk kajian ini (Nurulhuda & Ramlee, 2009; Vishalache,
2013).

Instrumen Kajian

Protokol temu bual merupakan instrumen yang digunakan untuk mengumpul data kualitatif.
Ia bertujuan untuk memperoleh maklumat yang lebih mendalam mengenai kemahiran
employabiliti pelajar daripada perspektif pelajar, pensyarah dan majikan. Dapatan daripada
EDUCATUM - Journal of Science, Mathematics and Technology Vol. 1 No.2 (2014) 41 - 55 45
ISSN 2289-7070

temu bual tersebut dapat memperkukuhkan lagi dapatan daripada soal selidik. Menurut
McMilan dan Schumacher (1984) temu bual adalah merupakan suatu instrumen kajian
untuk mengukur perubahan tingkah laku pelajar dalam kelas kesan dari pengajaran guru.
Kaedah ini juga dapat menterjemahkan makna yang menyebabkan perubahan tingkah laku
pelajar. Dalam pengumpulan data kualitatif, sampel diperoleh dengan mengguna kaedah
pensampelan bertujuan.
Temu bual merupakan satu kaedah untuk mendapatkan data secara berhubung terus
dengan responden secara bersemuka, menggunakan telefon atau e-mel (Creswell, 2005).
Antara kelebihan data ini adalah pengkaji akan memperoleh data yang lebih mendalam dan
terperinci yang tidak dapat diperoleh daripada soal selidik seperti respons tingkah laku,
menerangkan perkara yang tidak difahami dan memperoleh maklumat luar jangkaan yang
dapat membantu menyelesaikan masalah kajian (Najib, 1999). Dalam kajian ini pengkaji
menggunakan temu bual separa struktur dengan menyediakan soalan dan merakam serta
menulis jawapan yang diberikan oleh responden bagi mengetahui persepsi majikan terhadap
kemahiran employabiliti pelajar. Dalam kajian ini penyelidik menemu bual responden
(majikan) dengan mengajukan soalan-soalan yang khusus kepada responden melalui
pembacaan daripada sesuatu senarai soalan yang telah tersedia. Walau bagaimanapun,
penyelidik tidak hanya terikat dengan soalan-soalan tersebut malah penyelidik boleh
mengemukakan soalan-soalan secara bebas dan relevan semasa sesi temu bual dijalankan
(Kamaruddin, 2010). Penyediaan soalan yang lebih awal akan menjadikan perbualan yang
lebih fokus dan mudah dianalisis.

Analisis Data

Transkrip temu bual dihasilkan berdasarkan temu bual yang dijalankan. Transkrip temu
bual yang dihasilkan disemak oleh responden bagi mengesahkan kandungan transkripsi
tersebut (Ghazali et al., 2012). Data temu bual dianalisis berdasarkan kepada tema-tema
yang terdapat dalam temu bual bagi menjawab soalan yang dikemukakan. Seterusnya
data temu bual dianalisis dengan mengguna pendekatan Bogdan dan Biklen (1992) yang
melibatkan proses pengurangan data, mempamerkan data dan membuat kesimpulan.

Dapatan dan Perbincangan

Analisis deskriptif telah dijalankan terhadap data daripada menemu bual sembilan orang
majikan di sekitar Lembah Klang, Kota Bharu dan Ipoh: majikan kejuruteraan awam (3
orang), kejuruteraan elektrik (3 orang) dan kejuruteraan mekanikal (3 orang). Hasil temu
bual mengenai kemahiran employabiliti pelajar yang diberikan oleh majikan adalah seperti
berikut:

i. Elemen kemahiran komunikasi

Majikan pelajar kejuruteraan politeknik berpendapat pelajar politeknik boleh


berkomunikasi serta melaksanakan arahan. Namun belum mencapai tahap sebenar kerana
faktor pengalaman, contohnya seperti berikut:
46 EDUCATUM - Journal of Science, Mathematics and Technology Vol. 1 No.2 (2014) 41 - 55
ISSN 2289-7070

... tapi oleh sebab dia tak ada pengalaman mungkin tak sampai tahap. Tapi boleh
lah komunikasi tu. Boleh dengar arahan (M4).
Hasil daripada temu bual ini juga menunjukkan majikan berpuas hati dengan kemahiran
berkomunikasi pelajar politeknik, namun tidak berpuas hati ketika pelajar membuat
pembentangan, contohnya seperti di bawah:
... saya rasa tak ada masalah daripada segi komunikasi. Komunikasi daripada segi
pembentangan kurang memberangsangkan lagi (M7).
Di samping itu, temu bual ini juga menunjukkan kebolehan berkomunikasi dalam kalangan
pelajar bergantung kepada pelajar itu sendiri. Sesetengah pelajar boleh berkomunikasi
dengan baik, namun ada yang pendiam atau malu seperti bukti berikut:
Komunikasi berdasarkan pelajar sebab ada pelajar yang datang boleh berkomunikasi
well, ada yang setengah malu-malu, tidak biasa so dia depends on student (M9).
Ada budak yang pandai bercakap, pandai lah. Kalau budak cakap banyak, dia
mesti boleh, kalau budak yang jenis pendiam sikit, dia itulah (M1).
Sesetengah majikan berpendapat pelajar politeknik boleh berkomunikasi dengan baik serta
berupaya melaksanakan arahan dengan baik. Contoh berikut membuktikannya.
... bila kita berhubung balik dengan bos-bos workshop, macam mana mereka
punya komunikasi, dia orang kata ‘ok, everything is settle, normal, tiada masalah’.
Average ok, tiada masalah (M5).

ii. Elemen kemahiran kerja berpasukan

Kebanyakan majikan bersetuju bahawa pelajar politeknik boleh bekerja sesama rakan. Ini
jelas dinyatakan dalam contoh temu bual di bawah:

Memang tak dinafikan semua bagus. Yang tu boleh saya katakan hampir semua
good. Bekerja dalam pasukan dia orang tiada masalah (M5).

Majikan juga berpendapat bahawa pelajar politeknik juga berkebolehan bekerja dengan
sesiapa saja asalkan diberi panduan seperti bukti berikut:

Tiada masalah sebab dia boleh bekerja dengan sesiapa sahaja asal diberi arahan
untuk membuat sesuatu (M9).

Selain daripada dapat bekerja dalam pasukan dengan baik serta dapat bekerja dengan
sesiapa saja, majikan berpendapat pelajar boleh memberi komitmen kepada majikan dengan
datang bekerja pada hari Sabtu jika ada keperluan, seperti bukti temu bual di bawah.

... kalau saya suruh stay back pun dia orang boleh stay back, kalau ada urgent, hari
sabtu mereka boleh datang kerja (M2).

Walaupun begitu, ada majikan berpendapat pelajar politeknik boleh bekerja sesama rakan
tetapi perlu diperbaiki, contohnya ketika memberi arahan kepada staf bawahan yang lebih
senior, seperti mana hasil temu bual menyatakan:
EDUCATUM - Journal of Science, Mathematics and Technology Vol. 1 No.2 (2014) 41 - 55 47
ISSN 2289-7070

... dia bergerak dalam pasukan. Cuma perlu diperbaiki, perlu ditekankan di pihak
institusi teknikal. Masa dia masuk alam pekerjaan ni, kita kena dedahkan kerana
komunikasi contohnya dia diploma kalau dia masuk KTM dia akan jadi pegawai
bermakna dia akan menjaga ramai kakitangan staf bawahan. Jadi dengan staf
bawahan dia tak boleh nak bagi arahan secara direct, kalau baru bekerja (M6).

iii. Elemen kemahiran kepimpinan

Kebanyakan majikan berpendapat bahawa pelajar politeknik mempunyai ciri-ciri dipimpin


berdasarkan temu bual ini:

... kebanyakan ada ciri-ciri dipimpin sahaja (M7).

Majikan berpendapat antara penyebab pelajar politeknik tidak mempunyai daya kepimpinan
adalah tahap kelayakan akademik. Hasil temu bual ini membuktikannya.

Tak, peringkat diploma ni dia tak boleh lagilah (M2).

Sesetengah majikan berpandangan bahawa pelajar politeknik boleh memimpin untuk


kerja-kerja yang tidak kompleks seperti berikut:

... ada sorang dua yang boleh bila diberikan tanggungjawab memimpin . Kita bagi
kerja yang mudah. (M8).

Majikan juga berpendapat, ada pelajar politeknik yang boleh memimpin tetapi berada pada
tahap sederhana. Pelajar perlu mempamerkan akhlak yang baik kepada kakitangan seperti
bukti berikut.

Saya lihat perlu juga ada perubahan, mungkin penerapan nilai-nilai nak memimpin
pasukan atau team di tempat kerja contoh akhlak yang baik pada kakitangan, itu
yang saya nampak. Tahap memimpin di tahap pertengahan (M6).

Walaupun begitu, ada majikan yang berpendapat bahawa pelajar politeknik boleh
memimpin. Ini jelas dinyatakan dalam contoh temu bual di bawah.

Sebahagian tu ada, contohnya bila kita bagi satu kertas kerja yang kerap kami
lakukan, ‘ you punya kumpulan, I nak you dapatkan information daripada pihak
loco mungkin dari segi sistem kerja elektronik di kawasan bengkel’. Di situ kita
boleh nampak team tu, ‘you lead’ then kita lihat bagaimana dia lead kumpulan itu.
Memang boleh memimpin di situ (M5).

iv. Elemen kemahiran etika dan moral

Kebanyakan majikan mendapati pelajar politeknik boleh mematuhi peraturan, berdisiplin


serta menepati masa seperti hasil temu bual ini:
48 EDUCATUM - Journal of Science, Mathematics and Technology Vol. 1 No.2 (2014) 41 - 55
ISSN 2289-7070

Disiplin tiada masalah, punctual rasa tiada masalah. Boleh ikut peraturan di tempat
kerja (M9).

Majikan juga berpandangan bahawa pelajar politeknik mempunyai moral yang baik serta
memberi komitmen yang tinggi terhadap kerja, walaupun tidak ada kerja yang perlu dibuat
seperti bukti berikut:

Daripada segi moral ok. Daripada segi masa kerja ok. Kalau tak ada kerja pun,
mereka datang (M1).

Menurut sesetengah majikan terdapat segelintir pelajar politeknik yang tidak mematuhi
peraturan. Pelajar telah memberi komitmen jika pemantauan dilakukan, seperti hasil temu
bual berikut:

Datang lambat tu biasa lah. kadang-kadang balik awal, setengah hari. Itu lebih
kepada punctuality lah. Disiplin tu atas kita juga (M2).

v. Elemen kemahiran kerohanian

Kebanyakan majikan memberi pandangan pelajar politeknik boleh mematuhi ajaran agama
dengan baik seperti hasil temu bual di bawah:

... memang kesedaran agama tu memang adalah, sembahyang belaka. Kalau yang
tak sembahyang tu tak adalah (M1).

Selain daripada mendirikan solat, majikan juga berpuas hati dengan pergaulan dan menutup
aurat pelajar politeknik semasa menjalani latihan industri. Pelajar politeknik yang menjalani
latihan industri di firma-firma mengamalkan pergaulan yang baik dan berpakaian yang
menutup aurat. Ini dinyatakan melalui temu bual berikut:

Setakat ini, daripada segi menutup aurat tiada masalah yang datang ke sini (M7).

Pergaulan mereka lebih kepada dengar cakap. Mereka sembang-sembang mengenai


kerja (M8).

Pelajar politeknik juga mengambil bahagian semasa sesi tazkirah dijalankan dengan
menyampaikan hadis. Ini jelas dinyatakan dalam contoh temu bual di bawah.

Kami ada tazkirah dan sebagainya, mereka duduk di hadapan dan mereka diberi
bahagian untuk menyampaikan hadis, dari sudut tu ok, tiada masalah (M9).

Namun, terdapat juga majikan yang tidak berpuas hati dengan segelintir pelajar politeknik
daripada segi pergaulan, solat, cara berpakaian dan percakapan. Bukti pendapat majikan
dinyatakan di bawah:

... hanya segelintir sahaja yang ok, yang kita nampak daripada segi solat, pergaulan
dengan kawan, sembang. Cara cakap dia pun kita boleh tahu, ataupun cara
pemakaian (M6).
EDUCATUM - Journal of Science, Mathematics and Technology Vol. 1 No.2 (2014) 41 - 55 49
ISSN 2289-7070

vi. Elemen Kemahiran Pembelajaran Sepanjang Hayat dan Pengurusan Maklumat

Kebanyakan majikan mendapati pelajar politeknik berminat untuk belajar sesuatu yang
baharu semasa menjalani latihan industri seperti hasil temu bual berikut:

...majoriti amat berminatlah, lebih-lebih lagi kerja-kerja dekat tapak. Ia lebih


kepada perbandingan antara belajar teori dengan yang real situations (M3).

Terdapat pelajar politeknik yang berminat mempelajari sesuatu yang baharu dengan men-
cuba perisian baharu, yang mana perisian ini tiada lagi di institusi teknikal. Pelajar ini akan
bertanya kepada majikan jika terdapat masalah yang tidak dapat diselesaikan seperti temu
bual ini:

…minat belajar bila kita bagi software yang tiada di institusi teknikal. Bila kita
bagi masalah untuk cuba buatkan, memang mereka buatlah. Bila ada masalah
mereka tanya (M2).

Walau bagaimanapun, terdapat majikan yang tidak berpuas hati dengan pelajar politeknik
yang tidak proaktif dan hanya menunggu arahan sahaja. Pelajar politeknik hanya mengharap
dan menerima apa sahaja yang diberi oleh pensyarah serta tiada inisiatif untuk mempelajari
sesuatu yang baharu. Ini dibuktikan dengan temu bual di bawah:

...daripada segi proaktif, fikir out of box tiada. Mereka tidak akan menyatakan
keinginan mereka, mereka hanya mengharapkan arahan dan mereka akan buat itu
sahaja (M9).

...kita di sini tidak mengamalkan strict macam di dewan kuliah. Jadi mungkin
memerlukan masa sedikit penyesuaian untuk mereka mengadaptasi daripada
politeknik sendiri dan ke sini (M7).

...kalau ada apa-apa dia tak faham, sejujurnya dia tak datang, rujuk kepada kitalah.
Dia tengok saja (M4).

Daripada segi pengurusan maklumat berkaitan kerja, majikan berpendapat pelajar politeknik
boleh menguruskannya tetapi perlu kepada tunjuk ajar, seperti ungkapan berikut:

...lebih bagi dorongan dan tunjuk ajar, untuk dia dapatkan sendiri tu mungkin ada
masalah sikitlah, kena melalui tunjuk ajar la (M3).

Dari segi pengurusan maklumat seperti menulis buku log dan laporan latihan industri
kebanyakan majikan berpuas hati seperti hasil temu bual di bawah:

Saya sendiri yang menyemak report-report mereka, dan saya lihat tiada masalah
(M5).

vii. Elemen kemahiran pemikiran kritikal dan penyelesaian masalah

Pendapat kebanyakan majikan agak condong ke arah ketidak upaya pelajar berfikir secara
kritikal bagi menyelesaikan permasalahan semasa menjalani latihan industri, seperti kata
mereka:
50 EDUCATUM - Journal of Science, Mathematics and Technology Vol. 1 No.2 (2014) 41 - 55
ISSN 2289-7070

… masih lagi peringkat kepada akademik, dia masih belajar di Kolej. Bila banyak
masalah dia macam stuck, tak boleh nak buat, dia report kita (M2).

… tak adalah approach kata datang jumpa kita, masalah ni dia ada suggestion nak
bagi idea, so far tak adalah. Tak pernah (M4).

… mereka tidak pernah menyuarakan apa-apa pun. Mungkin mereka takut atau
tidak confident (M9).

Akan tetapi terdapat juga majikan yang menyatakan pelajar politeknik berupaya
menerangkan idea-idea melalui pembentangan. Ini jelas melalui temu bual yang dijalankan
di bawah.

Mereka buat dengan baik...kita nak penyelesaian masalah itu dibuat secara slide
presentation dan kita kerap buatlah. Dan kita lihat bagaimana mereka menjelaskan
idea-idea tu melalui presentation (M5).

Daripada segi penyelesaian masalah, majikan berpendapat pelajar politeknik tidak


berupaya menyelesaikan masalah di tempat kerja. Antara faktor-faktor penyebab adalah
tiada pengalaman, tidak dapat mengaitkan antara teori dan praktikal serta polisi syarikat.
Ini ditunjukkan dengan temu bual berikut:

... mereka masih lagi baru. Benda ni dia first time kalau ikutkan dia kerjakan, jadi
dia tak boleh nampak apa nak kait dengan apa yang dia belajar dengan kerja. Dia
tak boleh nampak (M1).

…dia tak involve secara terus dengan proses kerja dekat sini sebab kalau dia buat
kerja , jika berlaku kecederaan kita takut…jadi nak involve secara terus mungkin
tak boleh (M6).

Terdapat sesetengah majikan berpendapat pelajar politeknik boleh menyelesaikan sesuatu


permasalahan jika di beri panduan seperti temu bual ini.

Kita perlu guard contoh you kena buat A, B, C… so everything for that kind of
instructions (M9).

Majikan juga memberi pujian kepada pelajar politeknik kerana berupaya memberi input
kepada syarikat. Ini dibuktikan dengan temu bual di bawah:

...dia orang sendiri yang kena buat survey dan dia akan buat presentation pada
saya macam mana dari segi pandangan orang luar, iaitu bukan staf kereta api,
menyelesaikan masalah dalaman kereta api. So far, so good lah. Kita dapat extra
idea daripada orang luar (M5).

viii. Elemen kemahiran menggunakan teknologi

Keupayaan menggunakan teknologi dalam kalangan pelajar politeknik perlu dipertingkatkan


dengan memberi tunjuk ajar, seperti kata majikan berikut:
EDUCATUM - Journal of Science, Mathematics and Technology Vol. 1 No.2 (2014) 41 - 55 51
ISSN 2289-7070

Penggunaan teknologi kalau di guard mereka boleh, tetapi masalahnya mereka


tidak fikir ‘why’, ‘how’, mereka cuma spoon feed (M9)

Terdapat juga majikan yang berpandangan pelajar politeknik kurang yakin, takut-takut
dan tidak mahir sepenuhnya dalam menggunakan teknologi. Ini dinyatakan oleh majikan
melalui temu bual berikut:

kebanyakan masih ada takut-takut atau kurang keyakinan. Mahir belum


sepenuhnya, masih average (M7).

Majikan berpendapat penggunaan teknologi seperti penggunaan software bergantung


kepada minat pelajar. Pelajar yang berminat untuk mendalami sesuatu teknologi lambat
laun akan mahir menggunakan teknologi tersebut seperti kata-kata berikut:

...kalau jenis yang kurang berminat tu, memang dia akan slow. Semua bergantung
kepada minat seseorang (M3).

Terdapat juga majikan yang berpuas hati terhadap pelajar politeknik dalam menggunakan
teknologi terutamanya dalam penggunaan perisian aplikasi dalam komputer. Ini dibuktikan
melalui temu bual ini.

Mereka ada kemahiran, jadi dia boleh buat. Sebab dia access kita, kita bagi dia
buat format ke apa, apa-apa perisian komputer (M4).

ix. Elemen kemahiran keusahawanan


Majikan mendapati pelajar politeknik tidak menunjukkan minat dalam perniagaan, seperti
mana pandangan majikan di bawah:

Mereka minat bekerja, tapi mereka tidak nampak untuk menjadi usahawan (M8).

...berdepan dengan kontraktor dan sebagainya tidak pernah ada kata nak jadi
kontraktor atau engineer, tidak pernah. Kami suruh dia buatkan sebut harga, dia
tak pernah tanya. Jadi keusahawanan tu mereka tidak fikir (M9).

Terdapat juga majikan berpendapat, pelajar politeknik berkebolehan menjadi usahawan


jika kerajaan memberi bantuan seperti modal, seperti kata-kata berikut:

...lebih kepada ingin tahu macam contohnya punca mana-mana dia memang ambil
tahulah, cuma bila kita cakap-cakap ni, modal. Mungkin kalau kerajaan bagi
dorongan modal, mungkin bolehlah (M3).

Kemahiran keusahawanan dalam kalangan pelajar politeknik boleh menjadi kenyataan


jika pelajar berkeupayaan mengenali orang-orang yang berkecimpung dalam bidang
keusahawanan. Menurut majikan kerja di tapak pembinaan mempunyai potensi yang besar
untuk berjaya dalam bidang keusahawanan seperti hasil temu bual ini:

...dia boleh bina dia punya konteks, lebih banyak dia belajar lagi-lagi duduk di site.
Kerja di site tu potensi kerja sendiri tu lebih besar (M2).
52 EDUCATUM - Journal of Science, Mathematics and Technology Vol. 1 No.2 (2014) 41 - 55
ISSN 2289-7070

x. Elemen kemahiran sosial

Melalui temu bual seterusnya, kajian ini mendapati pelajar politeknik boleh berhubung dan
bergaul dengan rakan. Ini jelas melalui temu bual majikan ini:

...kira rapat dengan staf-staf yang lain. Tak ada masalah (M2).

Terdapat sesetengah majikan yang menyatakan ada pelajar politeknik kurang mahir
bersosial seperti hasil temu bual ini:

...tapi still depends on people yang datang. Ada yang datang takut-takut, jenis tak
bersosial sangat (M9).

Kebanyakan majikan berpuas hati dengan kemahiran sosial pelajar politeknik. Pelajar ini
berkebolehan bergaul dan berkomunikasi dengan kakitangan dan orang luar dengan baik.
Ini dinyatakan oleh majikan melalui temu bual di bawah:

Boleh bergaul dengan kakitangan, boleh berkomunikasi dengan orang luar (M6).

KESIMPULAN
Beberapa kesimpulan boleh dibuat daripada kajian ini. Secara keseluruhannya tahap
penguasaan kemahiran employabiliti pelajar kejuruteraan politeknik perlu dipertingkatkan.
Antara elemen-elemen kemahiran employabiliti yang perlu diberi penekanan adalah
kemahiran komunikasi, kepimpinan, pemikiran kritikal dan penyelesaian masalah,
penggunaan teknologi dan keusahawanan. Berdasarkan temu bual dengan responden,
antara perkara-perkara yang perlu diperbaiki oleh pelajar politeknik bagi mencapai tahap
berkomunikasi yang baik, adalah semasa membuat pembentangan serta membuang sifat
malu dan pendiam. Bagi elemen kepimpinan pula, majikan berpandangan pelajar politeknik
kurang berkebolehan memimpin disebabkan oleh kelayakan akademik yang dimiliki oleh
pelajar dan hanya mampu memimpin pada tugas-tugas yang mudah sahaja. Bagi elemen
pemikiran kritikal dan penyelesaian masalah, majikan berpandangan ada pelajar politeknik
tidak berupaya menjana idea-idea bagi menyelesaikan masalah berkaitan kerja.
Pelajar politeknik berkebolehan dan mahir menggunakan teknologi kalau diberi tunjuk
ajar. Bagi elemen keusahawanan pula, majikan berpandangan pelajar politeknik tidak
berminat menceburi bidang keusahawanan berbanding dengan kerja makan gaji. Hanya
segelintir yang berminat menjadi usahawan dengan syarat perlu diberi tunjuk ajar, modal
dan juga berkeupayaan membina kenalan dalam bidang keusahawanan. Pihak pengurusan
politeknik perlu memantapkan persekitaran politeknik (kemudahan prasarana, interaksi
pensyarah dan interaksi rakan) serta latihan industri. Faktor-faktor penyumbang terhadap
pembangunan kemahiran employabiliti di institusi teknikal termasuklah persekitaran
politeknik dan latihan industri.

RUJUKAN
Abu Daud & al-Nasa’i. (n.d.). Sabda Rasulullah s.a.w (140 - 141). Dalam: Dr. Zulkifli Mohamad
al-Bakri (2007), Himpunan hadis modal insan. Kuala Lumpur: Telaga Biru Sdn Bhd.
EDUCATUM - Journal of Science, Mathematics and Technology Vol. 1 No.2 (2014) 41 - 55 53
ISSN 2289-7070

Ahmad Muhaimin, M., Jamaluddin, H. & Baharudin, A. (2008). Kelemahan penguasaan kemahiran
di kalangan pelajar: pedagogi dan teknologi sebagai pendekatan penyelesaian. Dalam:. Seminar
Penyelidikan Pendidikan Pasca Ijazah 2008, 25 - 27 November 2008. Universiti Teknologi
Malaysia.
Ahmad, Z. (2005). Students and Employers as Customers of Multimedia College.Dalam:.
Proceedings of National Seminar “The Development of Technology And Technical-Vocational
Education And Training In An Era of Globalization: Trend and Issues”. Kuala Lumpur.
Ashari, S., Nurul Asmida, M. R., Razali, H & Ahmad Rizal, M. (2010). Penguasaan kemahiran
insaniah dalam kalangan pelajar Politeknik Kota Bharu. Dalam Ahamd Esa dan Muhamad
Zaid Mustafa. Kemahiran Insaniah: Kajian di Institusi - institusi Pengajian. hlm 125 - 152.
Batu Pahat: Universiti Tun Hussein Onn.
Azami Zaharim, Yuzainee Md Yusoff, Mohd. Zaidi Omar, Azah Mohamed, Norhamidi Muhamad
& Ramli Mustapha. (2009). Employers Perception towards Engineering Employability Skills
In Asia. WSEAS TRANSACTIONS on ADVANCES in ENGINEERING EDUCATION, 306-315.
Bank Negara Malaysia. (2011). Annual Report 2010. Kuala Lumpur: Bank Negara.
Bogdan, R. C., & Biklen, S. K. (1992). Qualitative Research for Education (2nd ed.). Boston: Allyn and Bacon.
Burgaz, B. (2008). Employability competences of vocational secondary school. Egitim Arastirmalari-
Eurasian Journal of Educational Research, 31, 17-34.
Chua Y. P. (2006). Asas statistik penyelidikan Buku 2. Kuala Lumpur: McGraw Hill.
Creswell, J. (2005). Educational Research - Planning, conducting, and evaluating quantitative and
qualitative (2nd Ed). University of Nebraska - Lincoln: Pearson Education International.
Ghazali, Y., Nik Mohd Rahimi, Parilah, M. S., Wan Haslina, W. & Ahmed Thalal, H. (2012).
Penggunaan strategi belajar bersama rakan dalam kalangan pelajar Kursus Bahasa Arab di
Universiti Teknologi Mara (UiTM). Asia Pacific Journal of Educators and Education, Vol. 27,
37-50.
Imran, I. (2010). Amanat Tahun 2010. Seri Kembangan: Jabatan Pengajian Politeknik, Kementerian
Pengajian Tinggi Malaysia.
Institut Penyelidikan Pendidikan Tinggi Negara (IPPTN). (2003). Kurikulum universiti dan literasi
tempat kerja.
Institut Penyelidikan Pendidikan Tinggi Negara (IPPTN). (2004). Daya saing graduan lepasan
tempatan dengan graduan lepasan luar Negara Institusi Pengajian Tinggi (IPT).
Kamaruddin, M. T. (2010). Penilaian pembangunan kemahiran generik dalam kalangan pelajar
tahun akhir Kolej Komuniti Kementerian Pengajian Tinggi Malaysia. Tesis PhD: Universiti
Kebangsaan Malaysia.
Kementerian Pengajian Tinggi Malaysia. (2012). Kajian Pengesanan Graduan KPT. Putrajaya:
Kementerian Pengajian Tinggi Malaysia.
Kerajaan Malaysia. (2010). Rancangan Malaysia Kesepuluh 2011-2015. Putrajaya: Government
Press.
Khaled, N. (2011). Meneraju kegemilangan ilmu. Putrajaya: Kementerian Pengajian Tinggi.
Maclean, R. & Ordonez, V. (2007). Work, skills development for employability and education for
sustainable development. Educational Research for Policy and Practice, 6, 123-140.
Maran, M., Lawrence, A. & Maimunah, I. (2009). Human capital development and its impact on
firm performance:Evidence from development economics. The Journal of International Social
Research, 2(8), 265-272.
McMillan, J. H. & Schumacher, S. (1984). Research in Education. Boston: Littel, Brown &
Company Limited.
Mohamad Sattar Rasul, Md Yusof Ismail, Napsiah Ismail, Muhammad Rashid Rajuddin, & Rose
Amnah Abdul Rauf. (2008). Pembangunan Standard Pengukuran Kemahiran Employabiliti.
Jurnal Teknologi, 49(E) Dis. 2008:, 15–30.
54 EDUCATUM - Journal of Science, Mathematics and Technology Vol. 1 No.2 (2014) 41 - 55
ISSN 2289-7070

Mohamad Zaid, M., Nordiana, M. N., Ali, S. & Rosnee, A. (2010). Kemahiran soft skills di
Politeknik Kementerian Pengajian Tinggi Malaysia. Dalam Ahmad Esa dan Muhamad Zaid
Mustapha. Kemahiran Insaniah: Kajian di Institusi-Institusi Pengajian. hlm 21 - 44. Batu
Pahat: Universiti Tun Hussein Onn Malaysia.
Mohamed Khaled Nordin. (2008). Mengubah Senario Global Dalam Pengajian Tinggi. Seminar
pengurusan akademik IPT 2008. Bella Vista, Langkawi.
Mohd Izham, M. H., Juriah, L., Khalid, A., Zaini, M., Hamidah, Y., Zarin, I. & Rosima, A. (2011).
Dalam: Zamri Mahamod, Jamalul Lail Wahab & Mohammed Sani Ibrahim Transformasi dan
Inovasi dalam Pendidikan. Bangi: Universiti Kebangsaan Malaysia.
Mohd Lazim, A. (2009). Identifying the generic skills amongst Malaysian undergraduate students:
An analysis of gender differences. Jurnal Teknologi, 50(E), 11-20.
Mohd Najib, A. G. (1999). Penyelidikan Pendidikan. Johor: Penerbit Universiti Teknologi Malaysia.
Mohd Yusof, H. (2014). Penilaian Kemahiran Employabiliti dalam Kalangan Pelajar Kejuruteraan
Politeknik di Semenanjung Malaysia. Thesis Doktor Falsafah: Universiti Pendidikan Sultan
Idris.
Mohd Yusof, H., Ramlee, M., Syed A. Malik, S. M. & Seri Bunian, M. (2014). Persepsi Pensyarah
Kejuruteraan Terhadap Tahap Kemahiran Empolyability Pelajar Kejuruteraan Institusi Teknikal
: Satu Kajian Kes. First Technical and Vocational Education International Seminar 2014
(TVEIS 2014) (pp. 157-169). Skudai: Universiti Teknologi Malaysia.
Neuman, W. (2000). Sosial research methods: Qualitative and Quantitative approaches. Needham
Heights: Allyn and Bacon.
Nurulhuda, C. A. & Ramlee, M. (2009). Kajian Kes Usahawan Tani Industri Kecil Sederhana
(IKS) Bumiputera di Negeri Terengganu (A Case Study of SMI Bumiputera Agropreneurs in
Terengganu). Jurnal Pendidikan Malaysia 34(2), 143 - 165.
Pelan Strategik Pengajian Tinggi Negara (PSPTN). (2011 - 2015). Pelan Tindakan Pengajian Tinggi
Negara Fasa 2. Kementerian Pengajian Tinggi Malaysia.
Rahmah, I. (2000). Situasi semasa pembangunan sumber manusia di Malaysia. Dalam Hashim
Fauzy Yaacob. Pembangunan sumber manusia di Malaysia. hlm 27 - 59. Skudai Johor:
Universiti Teknologi Malaysia.
Ramlee, M. (1999). The Role of Vocational and Technical Education in the Industrialization of
Malaysia as perceived by Educators and Employers. Purdue University: Tesis Doktor Falsafah.
Schultz T.W. (1961). Investment in Human Capital. (pp. 1-16). American Economic Review.
Schultz T.W. (1963). The economic value of education. New York: Columbia University Press.
Tan, K. H. & Nor Hazwin Solehah, A. H. (2010). Profil Kemahiran generik untuk graduan hospitaliti:
perspektif pensyarah politeknik. Dalam:. 2nd World Congress on teacher education for TVET
2010 (pp. 126-137). Batu Pahat: Universiti Tun Hussein Onn.
Unit Perancang Ekonomi. (2010). Rancangan Malaysia Kesepuluh (2010 - 2015) Ringkasan
Eksekutif. PutraJaya: Jabatan Perdana Menteri.
Vishalache, B. (2013). Penilaian Program Latihan Khidmat Negara dari Perpektif Pelatih: Satu
Kajian Kes. Asia Pacific Journal of Educators and Education, Vol. 28, 69-80.
Wan Azlinda, W. J., & Mime Azrina, M. (2009). Using cooperative learning to improve generic
skills among university students. Dalam: International Conference on Teaching and Learning
in Higher Education 2009 (ICTLHE09), 23-25 November 2009. Kuala Lumpur.
Warraich, N. F. & Ameen, K. (2011). Employability skills of LIS graduates in Pakistan: needs and
expectations. Emerald Library Management , 32(3), 209-224.
Wu, C. C. (2011). High graduate unemployment rate and Taiwanese undergraduate education.
International Journal of Educational Development , 31, 303-310.
Yusoff, Y., Omar, M., Zaharim, A., Mohamed, A., Muhamad, N. & Mustapha, R. (2010). Enhancing
Employability Skills through Industrial Training Programme. Engineering Education, 398-403.
EDUCATUM - Journal of Science, Mathematics and Technology Vol. 1 No.2 (2014) 41 - 55 55
ISSN 2289-7070

Zainudin, H. (2004). Penerapan kemahiran generik dalam pengajaran kejuruteraan di Sekolah


Menengah Teknik di Kuala Terengganu. Thesis Ijazah Sarjana Pendidikan: Universiti Teknologi
Malaysia.

You might also like