You are on page 1of 4

Faktor tercetus nya peperangan

1. MASALAH PELARIAN ORANG-ORANG ARAKAN

Hubungan antara Inggeris dan Myanmar mula mengalami krisis sejak pemerintahan Raja Bodawpaya
(1782-1819) apabila baginda menakluki wilayah Arakan yang bersempadan dengan wilayah British di
India pada tahun 1784. Baginda telah bertindak kejam ke atas penduduk Arakan iaitu harta benda
penduduk dirampas, membunuh ramai penduduk, menjadikan mereka buruh paksa dalam pembinaan
saliran, pagoda dan menjadi tentera menentang Siam.

Akibatnya penduduk Arakan telah bangun menentang kekuasaan Myanmar. Bagi mengelakkan serang
balas daripada tentera Bodawpaya, pemberontak Arakan telah melarikan diri ke Chittagong yang
merupakan wilayah Inggeris. Ini telah mencetuskan ‘masalah sempadan’ antara kedua-dua kuasa iaitu
Myanmar dan Inggeris di India yang mengakibatkan ketegangan hubungan antara Inggenis-Myanmar.

Hubungan antara Inggeris dan Myanmar semakin tegang akibat tercetusnya Pemberontakan Chin Byan
pada tahun 1811. Chin Byan telah melancarkan beberapa serangan ke atas wilayah Myanmar dan
berjaya menawan Meo Haung. Tentera Myanmar telah cuba menangkap Chin Byan tetapi gagal.
Sebaliknya tentera-tentera Chin Byan berjaya melarikan diri dan memasuki Chittagong dengan mudah.

Oleh itu Raja Bodawpaya telah menuduh Inggeris memberi perlindungan dan membantu Chin Byan
menyerang Myanmar walaupun Inggeris menafikannya. Ini telah menyebabkan hubungan kedua-dua
pihak semakin rumit.

2. KEENGGANAN MYANMAR MENGADAKAN HUBUNGAN DIPLOMATIK

Inggeris ingin menjalinkan hubungan baik dengan Myanmar atas kepentingan perdagangan kerana
Inggeris berminat untuk menguasai perdagangan di Myanmar terutama kayu jati, ingin menjadikan
Myanmar sebagai pasaran barangan kilang mereka dan Inggeris berhasrat untuk menggunakan
Myanmar sebagai jalan darat ke China.

Pada masa yang sama, Perancis iaitu musuh Inggeris juga sedang berusaha untuk meluaskan pengaruh
di Myanmar. Pada tahun 1783, Perancis telah menghantar utusannya ke Istana Ava bagi
membincangkan mengenai hak perdagangan dengan Raja Bodawpaya. Perancis telah berjaya
mendapatkan tapak di Pulau Mergui untuk dijadikan pangkalan membaiki kapal-kapal mereka di Asia
Tenggara.
Ini membimbangkan pihak Inggeris dan untuk menyekat perluasan pengaruh Perancis di Myanmar,
Gabenor Jeneral Inggeris di India iaitu Sir John Shore telah menghantar Kapten Michael Symes ke Istana
Ava pada tahun 1795 untuk berunding dengan Raja Bodawpaya. Beliau telah berjaya memujuk Myanmar
menerima seorang Residen Inggeris. Walau bagaimanapun, baginda keberatan untuk menutup
pelabuhannya kepada Perancis.

Pada bulan Oktober 1796, Kapten Hiram Cox telah dihantar sebagai Residen Inggeris di Myanmar.
Kemudian Inggeris menghantar John Canning sebagai Residen Inggeris kedua. Kedua-duanya tidak dapat
bertugas lama di Myanmar kerana dilayan dengan buruk oleh pemerintah Myanmar. Keadaan ini telah
menyebabkan hubungan antara Inggeris dan Myanmar bertambah merosot dan akhirnya membawa
kepada peperangan.

3. DASAR CAMPUR TANGAN MYANMAR DI ASSAM, CACHAR DAN MANIPUR.

Pada tahun 1817, Raja Bodawpaya telah campur tangan dalam hal ehwal di Assam. Semasa
pemerintahan Raja Bagyidaw (1819-1837), Myanmar semakin giat melancarkan dasar perluasan
wilayahnya di bawah panglima perangnya iaitu Maha Bandula. Pada hari pertabalan Bagyidaw sebagai
pemerintah Myanmar, Raja Manipur tidak menghadirkan diri. Maha Bandula menggunakan alasan ini
untuk menyerang Manipur.

Akibatnya Raja Manipur melarikan diri ke Cachar. Tentera Myanmar telah memburu mereka hingga ke
Cachar. Raja Cachar cuba mendapatkan bantuan Inggeris di India kerana bimbang keselamatannya.
Inggeris telah mengisytiharkan Cachar sebagai wilayahnya dan ini telah menyebabkan Myanmar marah
dan mencetuskan perang.

4. PENAWANAN PULAU SHAHPURI

Pada tahun 1823, tentera-tentera Bagyidaw telah menyerang Pulau Shahpuri. Tindakan Myanmar ini
mencetuskan kebimbangan Inggeris yang telah menggangap pulau tersebut kepunyaannya kerana
terdapat sebuah kubu pertahanan mereka. Ekoran itu, pihak Inggeris mendesak agar tentera Myanmar
segera meninggalkan wilayah tersebut. Meskipun Pulau Shahpuri dapat ditawan semula oleh Inggeris,
namun kedegilan Maha Bandula yang meneruskan usaha menyerang Chittagong telah menimbulkan
kemarahan Inggeris.
Akhirnya, Gabenor Jeneral Lord Amherst telah mengisytiharkan perang ke atas Myanmar pada 5 Mac
1824. Dengan pengisytiharan tersebut maka bermulanya Perang Inggeris-Myanmar Pertama.

PERJANJIAN YANDABO, 1826

Kematian Maha Bandula telah melemahkan tentera Myanmar dan memberi peluang kepada Inggeris
menguasai Prome dengan mudah dan mara ke Amarapura tanpa sebarang tentangan. Raja Bagyidaw
yang mulai berasa kedudukannya terancam telah bersetuju untuk menyerah kalah dan mengadakan
rundingan. Akhirnya kedua-kedua pihak telah bersetuju untuk berdamai dengan menandatangani
Perjanjian Yandabo pada 24 Februari 1826.

Antara syarat-syarat Perjanjian Yandabo ialah:

(a) Myanmar bersetuju menyerahkan Arakan, Assam, Tenasserim, Manipur dan Cachar kepada Inggeris.

(b) Myanmar berjanji tidak akan campur tangan dalam hal ehwal Assam, Jaintia, Cachar dan Manipur.

(c) Myanmar bersetuju tidak akan berperang dengan Siam.

(d) Myanmar bersedia membayar ganti rugi perang kepada Inggeris berjumlah £1 juta bersamaan 10
juta rupee atau 5 juta ringgit.

(e) Seorang residen Inggeris akan ditempatkan di ibu kota Myanmar di Amarapura.

(f) Seorang wakil Myanmar akan ditempatkan di Calcutta.

(g) Kedua-dua pihak bersetuju membincangkan perjanjian perdagangan kemudian secara berasingan.

KESAN-KESAN

PERANG INGGERIS-MYANMAR PERTAMA

Perang Inggeris-Myanmar Pertama telah mengorbankan sejumlah besar tentera Myanmar. Dianggarkan
lebih 15,000 orang tentera Myanmar telah terkorban dalam peperangan tersebut. Kekalahan mereka di
tangan Inggeris membuktikan kelemahan tentera Myanmar.

Perjanjian Yandabo yang ditandatangani bagi menamatkan perang ternyata memihak kepada Inggeris.
Perjanjian ini dianggap menjatuhkan maruah orang Myanmar kerana terpaksa menerima konsep
persamaan taraf.
Melalui perjanjian ini juga, Inggeris telah berjaya mengambil alih wilayah Myanmar Hilir yang kaya
dengan hasil beras iaitu Tenassenim dan Arakan. Penguasaan ini membolehkan Inggeris bergerak secara
aktif untuk menguasai perdagangan kayu jati dan wilayah ini juga dijadikan sebagai tapak untuk
meluaskan kekuasaan mereka di seluruh Myanmar tanpa gangguan daripada kuasa Perancis di
Indochina.

Perjanjian ini telah mencetuskan sentimen anti-Inggeris di kalangan masyarakat Myanmar. Ia telah
melahirkan kesedaran nasionalisme di negara itu.

You might also like