You are on page 1of 5

Teks Pidato Bahasa Melayu Tonggak Perpaduan Bangsa Malaysia.

Bismilahhiramannirahim…

Kalau tidak kerana bintang,


Tak akan bulan kelihatan tinggi ,
Kalau tidak kerana pidato,
Tak akan saya berada disini.

Datang bahtera dari Medan ,


Singgah sebentar di laluan Kerai,
Salam satu Malaysia saya hulurkan ,
Kepada warga dewan pembuka tirai.

Assalamualikum W.B.H
Yang dihormati Tuan Pengerusi Majlis ,barisan panel Hakim yang arif lagi
bijaksana yang sedang menjunjung mahkota keadilannya ,penjaga masa yang
sentiasa peka dengan detak jamnya, para perserta yang saya kagumi serta hadirin
dan hadirat yang saya hormati.

Jauh berlayar si pedagang Cina ,


Singgah di Melaka menjual sutera .
Bahasa melayu bahasa perantara ,
Tonggak utama perpaduan negara
Hadirin dan hadirat yang dihormati
Cogan kata ‘Hidup Muafakat Membawa Berkat’ merupakan antara cogan kata
yang dicipta untuk menyedarkan orang ramai akan peri pentingnya muafakat dalam
kehidupan masyarakat yang berbilang kaum seperti di negara kita. Kata orang,
permuafakatan bererti perpaduan. Situasi ini dapat dihuraikan oleh bidalan bersatu
teguh bercerai roboh. Keadaan ini membawa kebaikan dan kejayaan kepada seluruh
anggota masyarakat berkenaan. Sesungguhnya, negara yang memiliki masyarakat
majmuk seperti Malaysia berpaksikan pada perpaduan untuk meneruskan
kelangsungan keharmonian di dalam negara. Saya yakin bahawa perpaduan penting
dalam sesebuah negara. Dalam usaha melonjak status negara berpendapatan tinggi
dan bagi merealisasikan dasar transformasi kerajaan, soal perpaduan tidak boleh
dipandang enteng kerana bukan mudah untuk membina identiti bangsa dan
mendaulatkan maruah bangsa. Usaha membina negara bangsa yang bersatu padu
ini sebenarnya boleh dilakukan jika setiap rakyat mengerti akan kepentingan bahasa
kebangsaan sebagai tonggak perpaduan setiap rakyat di Malaysia. Oleh itu, izinkan
saya untuk menjelaskan dengan lebih terperinci tentang wacana ilimiah kita pada
hari ini yang bertajuk Bahasa Melayu Tonggak Perpaduan Bangsa Malaysia.

Hadirin yang dirahmati,


Sebagai pembuka tirai perbincangan yang pertama, adalah baik jika kita
menelusuri akar-akar cerucuk sejarah sebelum terbentangnya hamparan indah
negara Malaysia. Apabila memorabilia ini membawa kita ke ratusan tahun yang
lampau, nyatalah bahawa Bahasa Melayu sudah berfungsi sebagai lingua franca
yang didefinisikan sebagai bahasa perantaraan antara masyarakat pada zaman
itu.Hal ini dapat dibuktikan dengan jelas apabila kita meneliti catatan ilmuwan
Inggeris seperti R.O. Winsted yang menunjukkan bahawa Bahasa Melayu telah
digunakan sebagai bahasa perdagangan yang mengeratkan hubungan masyarakat
yang berkunjung ke Melaka ketika itu. Daripada golongan pendeta sehinggalah ke
golongan biasa, setiap insan di Melaka ketika itu berkomunikasi dengan bahasa
tercinta kita yang tidak lapuk dek hujan tak lekang dek panas. Tidak lain dan tidak
bukan,sudah tentulah Bahasa Melayu. Nah, apa lagi yang kita pertikaikan tentang
kemampuan bahasa kebangsaan kita sebagai wadah perpaduan? Berdasarkan
perkara ini, jelaslah bahawa hamparan sejarah jelas membuktikan bahawa bahasa
Melayu mampu menjadi bahasa perpaduan yang cemerlang di dunia.

Hadirin yang dihormati,


Melalui bahasa Melayu, sebarang konfrantasi, buruk sangka dan salah faham
antara kaum dapat dikikis dengan mudah. Saya suka untuk meminjam kata-kata
pujangga pendeta Zaa’ba yang berbunyi ‘bahasa menunjukkan bangsa’. Apabila kita
melihat masyarakat bertutur dalam bahasa Melayu, sudah terang lagi bersuluh
bahawa mereka ialah bangsa Malaysia. Daripada kata-kata hikmat tersebut, saya
sangat percaya bahawa bahasa Melayu sedikit sebanyak akan mengurangkan
semangat ‘kecinaan’, kemelayuan’ ataupun ‘keindiaan’.
“Haiya, ini balang mana ada halga, dia punya bau saya macam mau pengsan
ah”
“Tambi, itu worang mau roti satu, kari ikan kapla satu”
Pelatlah dengan pengaruh bahasa natif,asalkan
setiap kaum di Malaysia dapat bermesra dan bertukar-tukar maklumat dan fikiran
hanya dengan menggunakan bahasa Melayu. Langkah Dewan Bahasa memasukkan
entri perkataan baharu setiap kali edisi baharu terbit merupakan langkah yang patut
dipuji kerana perkataan pinjaman daripada bahasa Cina dan India yang mengalami
proses ‘kemalaysiaan’ sememangnya dapat mewujudkan perpaduan. Apa yang
penting, setiap kaum di Malaysia tidak akan kekok untuk berbicara dalam bahasa
kebangsaan. Apabila tidak kekok berbicara, sudah tentulah juga tidak kekok untuk
bermesra. Apabila sudah bergaul mesra, nyatalah bahawa perpaduan dalam
kalangan masyarakat majmuk itu akan terbina kukuh di bawah payung Satu
Malaysia. Berdasarkan hujah ini, nyatalah bahawa bahasa Melayu itu merupakan
medium untuk mewujudkan perpaduan dalam kalangan masyrakat di Malaysia.

Hadirin yang dikasihi,


Dalam lautan ilmu yang memenuhi pustaka di Malaysia, sudah tentulah
bahasa Melayu turut menjadi bahasa penyebaran ilmu pengetahuan. Berdasarkan
data yang saya peroleh daripada Arkib Negara, saya amat kagum dengan
pencapaian bahasa Melayu kerana hampir 800 buah buku ilmiah ditulis dalam
bahasa Melayu oleh rakyat Malaysia sendiri. Untuk pengetahuan hadirin, ilmu
pengetahuan merupakan perkara yang sangat penting untuk memupuk perpaduan.
Masarakat yang tidak berilmu ibarat masyarakat yang tidak bertamadun. Apabila
tidak bertamadun, sudah tentulah masyarakat bertindak membuta-tuli mengikut hati
dan naluri. Oleh itu, sudah tentulah kucar-kacir akan menodai keamanan sesebuah
negara. Saya juga ingin mengambil kesempatan di sini untuk mengucapkan ribuan
terima kasih dan segunung pernghargaan kepada Kementerian Pelajaran Malaysia
kerana mengembalikan mandat kepada bahasa Melayu dalam pengajaran Sains dan
Matematik. Sesungguhnya, langkah ini dapat merapatkan jurang pendidikan antara
murid-murid di luar bandar dan di kawasan bandar. Dalam soal keharmonian, sudah
tentulah kita tidak mahukan sebarang jurang bertatah di dalam kehidupan
masyarakat. Pada pendapat saya, jurang itu boleh memecahbelahkan perpaduan.
Apabila bahasa Melayu kembali dalam pengajaran subjek kritikal ini, sudah tentulah
jurang itu dapat dirapatkan. Ketika jurang pendidikan itu dirapatkan, sudah tentulah
perpaduan dapat dipupuk dari alam persekolahan lagi. Selain dasar baharu itu,
usaha Kementerian Pelajaran Malaysia melaksanakan program Memartabatkan
Bahasa Melayu, memperkukuh Bahasa Inggeris (MBMBMI) dilihat sebagai wahana
yang sangat utama untuk menjadi tonggak perpaduan. Pengisiannya jelas
menunjukkan bahawa betapa prihatinnya pihak kerajaan terhadap kedaulatan
bahasa Melayu dan betapa arifnya kerajaan tentang peranan bahasa Melayu sebagai
tonggak perpaduan.

Hadirin yang dirahmati,


Sebagai penutup tirai wacana ilmu kita pada hari ini, saya suka ingin
mengingatkan kepada khalayak hari ini bahawa rakyat yang memperlekehkan
bahasa kebangsaan akan merosakkan perpaduan yang kita kecapi selama ini. Tidak
keterlaluan saya katakan bahawa insan inilah anasir yang menodai kebahagiaan kita
di bawah berkat Satu Malaysia. Oleh itu, sayangilah bahasa Melayu kita, hormatilah
bahasa kebangsaan kita kerana bahasa Melayu tonggak perpaduan bangsa.

Sekian, terima kasih.

You might also like