You are on page 1of 2

i) Pencemaran udara dan bunyi

Udara merupakan salah satu keperluan asa semua hidupan di muka Bumi. Tanpa
udara, semua hidupan akan mati. Isu pencemaran udara perlu diatasi dengan
mengenalpasti punca dan langkah mengatasi bagi tindakan yang boleh membawa
kepada pencemaran udara. Pencemaran udara merujuk kepada kehadiran lebihan
bahan pencemar dalam ruang atmosfera seperti gas, habuk, zarah dan debu sehingga
ianya boleh mengubah kualiti, kuantiti dan sifat atmosfera. Pencemaran udara ini
sering dikaitkan dengan kejadian jerebu. Jerebu terjadi apabila terdapat banyak
partikel yang terampai di ruang atmosfera dengan kepekatan yang tinggi. Partikel
terampai ini boleh menyerak dan menyerap cahaya matahari dan menyebabkan
keadaan sekeliling menjadi kabur.
Kejadian jerebu disebabkan oleh kegiatan pembakaran terbuka, asap daripada
kenderaan dan kegiatan perindustrian dan pembangunan manusia tanpa kawalan.
Setiap kegiatan ini menghasilkan gas dan membebaskan zarah-zarah ke udara. Oleh
itu, pihak kerajaan perlu melaksanakan langkah perundangan bagi membentung
masalah ini. Misalnya, melalui Ordinan Lalu Lintas Jalan Raya, kerajaan
mengehadkan jumlah pelepasan asap kenderaan dalam sehari iaitu ketumpatan asap
tidak melebihi 50 unit asap Hartridge. Malah dendaan juga perlu dilaksanakan
terhadap pengilang yang melanggar Akta Kualiti Alam sekitar dan mewajibkan
pemasangan penapis udara pada corong asap.
Pencemaran bunyi yang berlaku pula akan mengganggu ketenteraman dan
keselesaan penduduk setempat. Pencemaran bunyi merupakan bunyi bising yang
keterlaluan dan boleh memekakan telinga. Bunyi yang kuat hasil daripada aktiviti
manusia seperti aktiviti pembangunan kawasan industri, kenderaan dan aktiviti
masyarakat. Pembangunan kawasan industri dengan bunyi yang dihasilkan oleh kren,
bunyi hon serta kegiatan memasang televisyen dan radio dengan tahap kelantangan
yang tinggi akan menganggu keselesaan manusia.
Bunyi bingit ini akan memberikan kesan kepada manusia seperti membawa
kepada masalah pendengaran. Individu yang sentiasa terdedah dengan tahap bunyi
80 dB ke atas selama 15 minit berisiko tinggi untuk mejadi pekak. Selain daripada
mengganggu keselesaan, bunyi yang bising juga akan memberi kesukaran kepada
proses komunikasi. Bunyi bising di kawasan sekolah misalnya akan mengganggu
proses pengajaran dan pembelajaran yang berlangsung dalam bilik darjah.
Oleh itu, antara langkah yang boleh dilaksanakan untuk mengatasi
pencemaran bunyi selain daripada penguatkuasaan undang-undang ialah,
melaksanakan inovasi getah penyerap bunyi. Getah penyerap bunyi atau Green
Rubber Sound Insulator (GRSI) berfungsi untuk memencilkan gelombang bunyi
daripada luar. Penggunaan bahan ini amat sesuai di dalam bilik kuliah atau di dalam
rumah khususnya rumah-rumah di kawasan bandar untuk menyekat bunyi daripada
luar untuk masuk ke dalam rumah. Dalam masa yang sama, kempen kesedaran yang
berkaitan dengan rukun tetangga untuk menjaga ketenteraman sesama jiran juga
perlu dilaksanakan melalui media massa menerusi televisyen untuk memberikan
kesedaran kepada umum agar tidak memasang radio atau televisyen dengan
kelantangan suara yang tinggi sehingga mengganggu jiran tetangga.

You might also like