You are on page 1of 5

1.

0 PENGENALAN

Budaya didefinisikan sebagai perkara-perkara berkaitan dengan budi dan akal. Istilah budi
membawa maksud asli, pertama, sejati dan dipandang sempurna manakala daya pula
dimaksudkan sebagai akal, jalan fikiran dan ciptaan (Rohana Yusof, 2010). Secara
ringkasnya, budaya dapat disimpulkan sebagai satu cara hidup yang diamalkan oleh sesuatu
kumpulan tertentu dan meliputi sistem sosial, susunan organisasi ekonomi, politik, agama,
kepercayaan, adat resam, sikap dan nilai.

Kepelbagaian sosiobudaya di negara kita ini wujud kerana terdapatnya pelbagai jenis
kaum dan etnik yang mempunyai budaya yang tersendiri. Kepelbagaian budaya juga
merangkumi kepelbagaian latar belakang, pencapaian, budaya, bahasa, dan nilai yang
dipegang oleh murid (Syed Ismail & Ahmad Subki Maskom, 2010). Justeru, laporan temubual
ini dibuat bagi mendapatkan maklumat sejauh mana kefahaman guru di sekolah tersebut
terhadap kepelbagaian sosiobudaya, dan bagaimanakah kepelbagaian sosiobudaya tersebut
mempengaruhi pengajaran dan pembelajaran murid di sekolah.

2.0 DAPATAN TEMUBUAL

Satu sesi temubual telah dilakukan ke atas seorang guru SK Kuala Besut semasa PBS yang
telah dilaksanakan selama seminggu. Responden merupakan guru kelas tahun 3 Lestari dan
mempunyai pengalaman mengajar selama 8 tahun. Berdasarkan temu bual tersebut, Puan
Athirah telah menjelaskan kesan kepelbagaian sosiobudaya yang telah mempengaruhi
pengajaran dan pembelajaran murid di sekolah itu. Beliau telah memperincikan contoh yang
diberikan dengan mengambil seorang murid dari kelas 3 Lestari iaitu Amran (rujuk lampiran).

Amran merupakan murid yang tergolong dalam individu yang memiliki tahap sosio
ekonomi yang rendah berbanding dengan murid lain di dalam kelas tersebut. Ayahnya bekerja
sebagai nelayan manakala ibunya pula ialah suri rumah sepenuh masa. Tahap sosio ekonomi
rendah yang dihadapi oleh Amran sedikit sebanyak telah memberikan kesan ke atas
pencapaian prestasi murid tersebut di dalam kelas. Berdasarkan soal selidik yang telah
dilakukan oleh Puan Athirah ke atas murid tersebut, beliau mendapati Amran lebih banyak
berdiam diri di dalam kelas dan malu sekiranya namanya dipanggil untuk memberikan
jawapan. Selain itu, prestasi pelajaran Amran juga berada pada tahap yang lemah berbanding
rakan-rakannya yang lain. Kesan yang telah dialami oleh Amran telah disokong melalui kajian
Norazlinda Saad (2007) yang menyatakan terdapat pengaruh taraf sosio-ekonomi yang
berbeza ke atas pencapaian akademik pelajar di kalangan masyarakat di Malaysia.
Menurutnya, murid yang terdiri dari kelas sosio ekonomi yang tinggi memperolehi purata
pencapaian yang tinggi berbanding dengan murid yang berasal dari keluarga yang berstatus
sosio ekonomi rendah. Hal demikian kerana, murid yang tergolong dalam kelas sosial rendah
mungkin menghadapi masalah berkaitan rapat dengan pembiayaan, kemudahan belajar,
kurang kelengkapan untuk belajar dan sebagainya. Oleh itu jelas sekali dapat disimpulkan
bahawa taraf sosioekonomi sangat mempengaruhi proses pembelajaran murid terutama di
sekolah ini.

Di samping itu, implikasi sosio ekonomi yang dihadapi oleh Amran juga telah
menyebabkan Amran tidak diberikan peluang pendidikan yang baik seperti rakan sekelas
yang lain. Hal ini demikian kerana, menurut maklumat yang diberikan oleh Puan Athirah,
apabila rakan-rakannya yang lain sudahpun mengikuti kelas tambahan di luar waktu sekolah,
Amran masih lagi tidak diberi peluang pendidikan sehingga ke taraf sedemikian. Tambahan
pula ibu bapa Amran tergolong dalam golongan buta huruf dan langsung tidak tahu menulis.
Hal ini telah mempengaruhi proses pembelajaran Amran secara totalnya sehinggalah Amran
diklasifikasikan sebagai murid pemulihan. Berdasarkan dapatan kajian yang telah dilakukan
oleh Johdi Salleh (2009) ke atas guru berpengalaman dan guru kaunseling di sekolah
mendapati tiada perbezaan yang begitu ketara dalam komitmen ibu bapa antara pelajar lemah
dan cemerlang dari segi memberi galakkan kepada pelajar, akan tetapi dapat dilihat
perbezaan dalam komitmen ibu bapa membantu dalam pencapaian mereka ialah penyediaan
buku rujukan, menghantar anak mereka menghadiri kelas tambahan (tusyen) & mengupah
guru upahan untuk datang ke rumah. Oleh itu, jelas dilihat meskipun ibu bapa memberikan
galakan yang sama kepada dua murid yang berbeza, namun perbezaan taraf sosioekonomi
lebih memainkan peranan dalam memberi kesan terhadap pencapaian seseorang murid.

Seterusnya, untuk meningkatkan kefahaman kepelbagaian sosiobudaya antara guru


dan juga murid, Puan Athirah telah menggariskan kepentingan seorang guru dalam
menyediakan satu fail lengkap mengenai profil murid dan yang paling penting keputusan-
keputusan murid-murid dalam setiap peperiksaan. Hal ini bagi memudahkan para guru untuk
membuat penilaian terhadap murid yang mempunyai potensi dan kurang berpotensi dalam
akademik yang kemudiannya akan diasingkan bagi mengetahui punca berlakunya perbezaan
status akademik mereka. Kesemua ini adalah perlu untuk dilaksanakan oleh guru supaya
murid-murid ini mendapat hak sama rata dalam belajar walaupun mereka berbeza dari segi
latar belakang keluarga mereka. Bagi murid pula, guru hendaklah menjelaskan kepada murid
tentang kewujudan kepelbagaian sosio budaya dalam kalangan mereka supaya mereka tidak
memandang serong terhadap budaya individu lain (Azizi Yahaya, Abd. Majid & Nurfaizah,
2011). Contohnya, guru menerangkan kepada murid bahawa setiap apa yang berbeza di
dalam kelas tersebut mempunyai sebab-sebab yang tertentu supaya murid tidak menghakimi
seseorang secara langsung. Bagi Puan Athirah, cara beliau untuk membantu murid yang
mempunyai kelas sosial yang rendah adalah dengan sentiasa mengingatkan kepada murid-
murid supaya berkongsi apa-apa sahaja yang mereka ada seperti makanan kepada rakan-
rakan yang lain supaya murid yang tidak berkemampuan tidak berasa terasing dan malu
apabila diajak untuk berkomunikasi di dalam kelas

3.0 PENUTUP

Secara kesimpulannya, adalah penting bagi seorang guru untuk mengetahui bahawa setiap
individu murid adalah berbeza dari aspek budaya, latar belakang keluarga, dan tahap
sosioekonomi yang mana sedikit sebanyak memberi kesan kepada gaya dan corak
pembelajaran mereka (Ishak Sin & Nor Asikin Salleh, 2003). Dengan itu, guru hendaklah
memberi layanan yang adil tanpa mengira kaum atau status sosial seorang murid dengan
mewujudkan kumpulan pelbagai kategori supaya murid-murid yang tercicir tidak merasa
tersisih. Oleh itu, secara tidak langsung guru telah membantu murid ke arah memperkembang
potensi mereka secara optimum selaras dengan aspirasi yang termaktub dalam Falsafah
Pendidikan Kebangsaan.
4.0 LAMPIRAN
5.0 RUJUKAN

Azizi Yahaya, Abd. Majid & Nurfaizah. (2011). Hubungan antara budaya formal sekolah dan
gaya pembelajaran pelajar dengan pencapaian akademik pelajar sekolah
menengah. Journal of Educational Psychology and Counseling, 2 (4). pp. 78-112.
ISSN 2231-735X

Ishak Sin & Nor Asikin Salleh. (2003). Era globalisasi: Pendidikan dan cabaran. Jurnal
Pengurusan dan kepemimpinan 13. 14-28

Mohamad Johdi Salleh, Che Noraini Hashim, Ismael Hassanaen &Amir Hasan Dawi. (2009).
Satus sosio ekonomi dan komitmen ibu bapa terhadap pencapaian pelajar dalam
Penilaian Menengah Rendah, Malaysia. In: 14th International Conference on
Education (ICE 2009), 21 - 24 May 2009, University Brunei Darussalam

Norazlinda Saad. (2007). Meritokrasi: Faktor sosio ekonomi dan peluang pendidikan tinggi.
In: The 5th ASEAN Symposium on Educational Management and Leadership
(ASEMAL 5), 18-19 August 2007, Legend Hotel, Kuala Lumpur. (Unpublished)

Rohana Yusof. (2010). Asas Sains Sosial: Dari Perspektif Sosiologi. Kuala Lumpur: Dewan
Bahasa dan Pustaka

Syed Ismail Syed Mustapha, & Ahmad Subki Maskom. (2010). Budaya dan pembelajaran.
Puchong, Malaysia: Penerbitan Multimedia.

You might also like