You are on page 1of 7

EMBARGO : Hanya boleh diterbit atau disebarkan pada jam 1200, Isnin, 9 Oktober 2017

JABATAN PERANGKAAN MALAYSIA

SIARAN AKHBAR
LAPORAN PENYIASATAN PENDAPATAN ISI RUMAH DAN KEMUDAHAN ASAS 2016
Jabatan Perangkaan Malaysia telah melaksanakan Penyiasatan Pendapatan Isi Rumah dan Kemudahan Asas (PPIR & KA) pada
2016 dan 2017 untuk mengumpul maklumat berkaitan ciri-ciri isi rumah Malaysia yang melibatkan pendapatan isi rumah dan
Kemudahan Asas. Kaedah temu ramah bersemuka telah digunakan dalam Penyiasatan yang dijalankan bermula Mei 2016
sehingga April 2017. Penyiasatan ini dijalankan menggunakan pensampelan berkebarangkalian yang mewakili semua isi rumah
warganegara Malaysia.

PENEMUAN UTAMA

PENDAPATAN ISI RUMAH

Pendapatan Penengah

Pendapatan isi rumah bulanan penengah Malaysia telah meningkat kepada RM5,228 pada 2016 berbanding RM4,585 pada 2014
iaitu tumbuh pada kadar 6.6 peratus setahun pada nilai nominal. Pada nilai benar1, pendapatan isi rumah bulanan penengah
meningkat sebanyak 4.4 peratus. Pendapatan isi rumah bulanan penengah di strata bandar meningkat pada kadar 6.4 peratus
setahun daripada RM5,156 pada 2014 kepada RM5,860 pada 2016. Pada masa yang sama, pendapatan isi rumah bulanan
penengah luar bandar turut bertambah pada kadar 5.3 peratus setahun daripada RM3,123 (2014) kepada RM3,471 (2016).

Pendapatan Penengah Bagi Kumpulan Isi Rumah

Pendapatan isi rumah bulanan penengah bagi kumpulan terendah 40% (B40), kumpulan pertengahan 40% (M40) dan kumpulan
tertinggi 20% (T20) telah meningkat pada 2016 berbanding 2014. Kumpulan isi rumah M40 telah merekodkan pertumbuhan
tertinggi, sebanyak 6.9 peratus setahun diikuti oleh kumpulan isi rumah B40 (6.6%) dan T20 (6.2%).

Carta 1: Pendapatan isi rumah bulanan penengah mengikut kumpulan isi rumah, Malaysia, 2014 dan 2016
Pendapatan Penengah Mengikut Negeri

W.P. Kuala Lumpur mencatatkan pendapatan penengah tertinggi iaitu RM9,073 diikuti oleh W.P. Putrajaya (RM8,275), Selangor
(RM7,225), W.P. Labuan (RM5,928), Johor (RM5,652), Melaka (RM5,588) dan Pulau Pinang (RM5,409). Negeri-negeri lain
merekodkan pendapatan penengah di bawah paras nasional iaitu RM5,228. Terengganu mencatatkan peningkatan tertinggi kadar
pertumbuhan tahunan bagi pendapatan isi rumah bulanan penengah sebanyak 10.9 peratus dalam tempoh 2014 hingga 2016.
Enam negeri lain juga melepasi kadar pertumbuhan penengah di peringkat nasional, iaitu Perlis (9.2%), W.P. Kuala Lumpur
(8.7%), Pahang (8.0%) Selangor (7.5%), Perak (7.5%) dan Pulau Pinang (7.0%).

Carta 2: Pendapatan isi rumah bulanan penengah mengikut negeri, Malaysia, 2014 dan 2016

Pendapatan Purata

Pendapatan isi rumah bulanan purata Malaysia telah meningkat daripada RM6,141 pada 2014 kepada RM6,958 pada 2016 iaitu
peningkatan 6.2 peratus pada nilai nominal. Pada nilai benar, pendapatan isi rumah bulanan purata tumbuh pada kadar 4.2 peratus
setahun. Pendapatan isi rumah bulanan purata di bandar meningkat 5.8 peratus setahun daripada RM6,833 kepada RM7,671
dalam tempoh 2014 hingga 2016. Sementara itu, pendapatan isi rumah bulanan purata di luar bandar pula bertambah pada kadar
6.5 peratus setahun daripada RM3,831 (2014) kepada RM4,359 (2016).
Pendapatan Purata Mengikut Negeri

W.P. Kuala Lumpur merekodkan pendapatan isi rumah bulanan purata tertinggi (RM11,692) pada 2016, diikuti oleh W.P.
Putrajaya (RM11,555), Selangor (RM9,463) dan W.P. Labuan (RM8,174). Negeri-negeri lain merekodkan pendapatan isi rumah
bulanan purata di bawah paras nasional (RM6,958).

Pendapatan isi rumah bulanan purata bagi semua negeri telah meningkat di mana lima negeri melebihi kadar purata pertumbuhan
nasional iaitu 6.2 peratus. Terengganu mencatatkan kadar pertumbuhan tertinggi iaitu sebanyak 9.1 peratus, diikuti oleh Perak
(8.6%), Pahang (7.2%), Selangor (6.8%) dan Kelantan (6.3%).

Carta 3: Pendapatan isi rumah bulanan purata mengikut negeri, Malaysia, 2014 dan 2016

Pendapatan Purata Mengikut Kumpulan Isi Rumah

Pendapatan isi rumah bulanan purata bagi semua kumpulan isi rumah mencatatkan peningkatan dalam tempoh 2014 kepada 2016.
Kumpulan M40 merekodkan kadar pertumbuhan tahunan tertinggi sebanyak 6.9 peratus daripada RM5,662 pada 2014 kepada
RM6,502 pada 2016.
Carta 4: Pendapatan bulanan purata mengikut kumpulan isi rumah, Malaysia, 2014 dan 2016

Pendapatan Isi Rumah Peringkat Daerah Pentadbiran

Daerah pentadbiran Sepang (RM8,174), Petaling (RM7,904), Gombak (RM7,903), Hulu Langat (RM7,851), Klang (RM6,724)
dan Johor Bahru (RM6,518) mencatatkan Pendapatan bulanan isi rumah penengah tertinggi daripada 140 daerah pentadbiran pada
tahun 2016. Trend yang sama juga ditunjukkan dalam pendapatan bulanan isi rumah purata. Kedudukan dalam kumpulan enam
tertinggi ini adalah tidak berubah berbanding 2014. Tujuh belas daerah mencatatkan nilai pendapatan isi rumah penengah
melebihi paras penengah nasional iaitu RM5,228 dan 11 daerah mempunyai nilai pendapatan isi rumah purata melebihi paras
purata nasional iaitu RM6,958.

Jadual 1: Pendapatan bulanan isi rumah penengah dan purata mengikut 20 daerah pentadbiran 2016
KETIDAKSEIMBANGAN MENGIKUT STRATA

Pekali Gini menurun kepada 0.399 daripada 0.401 (2014). Ini menunjukkan pengagihan pendapatan isi rumah rakyat Malaysia
bertambah baik. Taburan pendapatan isi rumah strata bandar menurun kepada 0.389 daripada 0.391 (2014), manakala pengagihan
pendapatan strata luar bandar meningkat kepada 0.364 daripada 0.355 (2014).

INSIDEN KEMISKINAN

Insiden kemiskinan keseluruhan bertambah baik daripada 0.6 peratus pada 2014 kepada 0.4 peratus pada 2016. Pada masa yang
sama, insiden kemiskinan di bandar dan luar bandar turut mencatatkan penurunan masing-masing kepada 0.2 peratus dan 1.0
peratus. Kesemua negeri mencatatkan penurunan dalam insiden kemiskinan dengan perubahan ketara di Sabah daripada 4.0
peratus pada 2014 kepada 2.9 peratus pada tahun 2016.

Nota:1 Pengiraan nilai benar adalah merujuk kepada harga malar iaitu menggunakan Indeks Harga Pengguna dengan tahun asas 2010 sebagai
deflator

Dikeluarkan Oleh:

DR. MOHD UZIR BIN MAHIDIN


KETUA PERANGKAWAN MALAYSIA
JABATAN PERANGKAAN MALAYSIA
9 Oktober 2017

Pegawai dihubungi:
Ho Mei Kei
Pegawai Perhubungan Awam
Bahagian Korporat & Khidmat Pengguna
Jabatan Perangkaan Malaysia
Tel : +603-8885 7942
Faks : +603-8888 9248
Emel : mkho[at]stats.gov.my

You might also like