You are on page 1of 7

TEKS UCAPAN

YANG HORMAT PROFESOR DATO’ DR. DAING NASIR IBRAHIM


NAIB CANSELOR UNIVERSITI MALAYSIA PAHANG
SEMPENA
MAJLIS PENYAMPAIAN WATIKAH PELANTIKAN
PENGAWAS SEKOLAH MENENGAH KEBANGSAAN TENGKU ABDULLAH
PADA HARI JUMAAT, 2 MAC 2012, PUKUL 9:00 PAGI
DI DEWAN TERBUKA,
SEKOLAH MENENGAH KEBANGSAAN TENGKU ABDULLAH, PEKAN

SALUTASI

Saudari Pengacara Majlis;

Yang Berusaha Encik Abdul Jalil Abdul Rani,

Pengetua Sekolah Menengah Kebangsaan Tengku Abdullah;

Yang Berusaha Tuan Haji Wan Mohd Zain Wan Mahmood,

Yang Dipertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru

Sekolah Menengah Kebangsaan Tengku Abdullah;

Ahli-ahli Jawatankuasa PIBG;

Guru-guru Penolong Kanan dan guru-guru;

Warga Kelab In-Smartive Universiti Malaysia Pahang;

1
Pengawas-pengawas yang diraikan;

dan para pelajar yang dikasihi;

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh,

Salam Sejahtera dan Salam 1Malaysia.

KATA PEMBUKA

1. Alhamdulillah, saya bersyukur ke hadrat Allah Ta’ala kerana dengan

limpah rahmat, kurnia dan izin-Nya, maka saya berpeluang untuk

bersama warga Sekolah Menengah Kebangsaan Tengku Abdullah

dalam majlis yang bermakna ini.

2. Terlebih dahulu, saya ingin merakamkan ucapan terima kasih kepada

Pengetua SMK Tengku Abdullah, Encik Abdul Jalil Abdul Rani kerana

telah sudi menjemput saya untuk menyempurnakan pentauliahan

para pengawas pada pagi ini.

2
3. Kunjungan Abdullah pada pagi ini mengeratkan lagi jalinan antara

Universiti Malaysia Pahang dengan SMK Tengku Abdullah. Sebelum

ini, kedua-dua belah pihak telah bekerjasama erat dalam

penganjuran program kayuhan basikal dari Pekan ke Putrajaya. Kali

ini, kerajasama tersebut dilebarkan lagi kepada aspek pembangunan

potensi dan kepimpinan para pelajar sekolah ini.

4. Saya amat sukacita kerana para pengawas yang bakal ditauliahkan

secara rasmi pada hari ini telah terlebih dahulu melalui program

kepimpinan khas yang dikendalikan oleh Kelab In-Smartive UMP

pada 24 hingga 26 Februari 2012 iaitu seminggu yang lalu.

5. Saya turut difahamkan bahawa dengan Kem Interaksi Pemimpin

Muda kendalian Kelab In-Smartive tersebut telah berjaya membina

semangat kerja berpasukan, keyakinan dan kepimpinan dalam

kalangan para pengawas.

3
AMANAH DAN KEBERTANGGUNGJAWABAN

6. Tuan-tuan dan puan-puan,

Falsafah “satu untuk semua, semua untuk satu” (One For All, All For

One) yang diterapkan sepanjang Kem tersebut merupakan kualiti

penting untuk ditekuni dan dijiwai oleh warga pengawas untuk

berperanan secara efektif dan efisien sebagai individu kepercayaan

para guru dalam konteks penyeliaan disiplin pelajar secara

keseluruhannya.

7. Justeru, cabaran utama yang perlu ditangani oleh pengawas sekalian

ialah untuk membuktikan bahawa anda sememangnya layak untuk

memikul tanggungjawab tersebut, sekaligus mengekalkan

kepercayaan pihak sekolah kepada organisasi pengawas.

8. Sekiranya amanah kepimpinan tersebut disempurnakan dengan

penuh kesedaran dan kebertanggungjawaban, tidak mustahil

pengawas sekalian mampu mencetuskan iklim yang positif, sihat dan

selamat di sekolah ini. Dengan iklim tersebut, maka pengajaran dan

4
pembelajaran dapat berlangsung dalam suasana kondusif, sekaligus

menatijahkan pengalaman yang bermanfaat kepada warga pelajar

sekolah ini.

9. Dalam hubungan tersebut, para pengawas turut bertanggungjawab

untuk memelihara interaksi yang harmoni dengan para guru. Jawatan

dan gelaran sebagai pengawas bukanlah suatu kemegahan, tetapi

merupakan medan latihan kepada anda untuk menghadapi cabaran

kepimpinan yang jauh lebih besar pada masa hadapan.

10. Sehubungan dengan itu, ikrar yang dilafazkan dalam majlis ini

merupakan pernyataan rasmi ikatan kontrak anda dengan pihak

sekolah untuk menyempurnakan amanah jawatan pengawas tersebut

dengan penuh integriti dan akauntibiliti.

5
KATA PENUTUP DAN LAFAZ PERASMIAN

11. Tuan-tuan dan puan-puan,

Adalah menjadi harapan saya dan pihak pengurusan bahawa

hubungan antara UMP dan SMK Tengku Abdullah dapat terus

dilestarikan dengan meliputi lebih banyak bidang bantuan dan

kerjasama.

12. Dengan kepakaran dan sumber yang ada di UMP, Insya-Allah,

aspek-aspek seperti peningkatan pencapaian akademik,

pemerkasaan kompetensi dan peranan guru, motivasi dan

kepimpinan pelajar serta kesedaran sains dan teknologi dalam

kalangan warga SMK Tengku Abdullah boleh diberi penekanan

selepas ini.

6
13. Sebelum mengakhiri ucapan ini, saya ingin mengucapkan syabas

dan tahniah kepada para pengawas yang bakal menerima watikah

pelantikan sebentar lagi. Saya berdoa ke hadrat Allah Ta’ala mudah-

mudahan anda sekalian dikurniakan kekuatan untuk

menyempurnakan amanah tersebut dengan bimbingan para guru dan

pihak pentadbiran sekolah.

14. Dengan harapan dan doa tersebut, saya dengan lafaz

Bismillahirrahmanirrahim merasmikan Majlis Penyampaian Watikah

Pelantikan Pengawas Sekolah Menengah Tengku Abdullah pada

pagi ini.

Sekian, wabillahi taufiq walhidayah,

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.

You might also like