You are on page 1of 3

MAJLIS PERSARAAN PN HAJAH LATIFAH BT. HASSAN.

UCAPAN KETUA MURID, SK TELOK KEMANG

Assalamualaikum wbth,

Sekalung ucapan terima kasih buat Tuan Pengerusi Majlis.


Yang Berusaha Guru Besar Puan Fuziah bt. Mohd. Nor
Yang Berusaha Guru Penolong Kanan Pentadbiran, Pn. Haizy bt. Mustapa
Yang Berusaha Guru Penolong Kanan Hal Ehwal Murid, En Azmi b. Salleh
Yang Berusaha Guru Penolong Kanan Kokurikulum, En. Ayub b. Mat Dahan
Yang Dipertua PIBG En. Shahrul Kamil b. Yunus
Yang diraikan Yang Berbahagia Pn. Hajah Latifah bt. Hassan , seterusnya guru-guru dan
rakan-rakan yang dikasihi sekalian.

Pertamanya, saya ingin memanjatkan sepenuh kesyukuran ke hadrat Allah SWT kerana
dengan limpah dan izin-Nya kita dapat bertemu dalam Majlis Persaraan Puan Hajah
Latifah. Terlebih dahulu, saya mengucapkan terima kasih dan berbesar hati kerana pihak
majlis sudi menjemput saya untuk menyampaikan sepatah dua kata dalam majlis yang
indah dan nyaman ini. Hari ini bolehlah dikatakan sebagai hari terakhir bagi kita dapat
bersama-sama Bonda Hajah Latifah dalam majlis rasmi seperti ini.

Majlis persaraan yang diadakan pada pagi ini amat bermakna, bukan sahaja kepada
guru-guru bahkan juga kepada murid-murid Sek. Keb. Telok Kemang. Sesungguhnya
seluruh warga sekolah amat menghargai segala jasa bakti serta keringat yang dicurahkan
oleh Puan Hajah Latifah selama berkhidmat di sekolah ini. Perkhidmatan, pengorbanan
dan sumbangan beliau yang tidak pernah mengenal erti penat lelah telah membawa SK
Telok Kemang ke satu tahap yang lebih baik dan membanggakan pada hari ini. Dalam
hal ini, kami amat terhutang budi terhadap perkhidmatan , pengorbanan dan kejayaan
yang telah disumbangkan oleh Puan Hajah Latifah sepanjang berkhidmat di sini.

1
Majlis ini menjadi medan terakhir bagi kita untuk beramah mesra di samping beliau.
Melunaskan rasa rindu kita kepada bonda kita sebelum pemergian beliau. Bercakaplah
dan bersapalah dalam majlis ini sepuas-puasnya dengan beliau selagi ruang masih ada.
Di sini juga kita dapat berpeluang mendengar amanat terakhir daripada bonda yang
dikasihi. Sudah tentu ada kata-kata hikmah dan pesanan yang akan menjadi ingatan dan
panduan kepada kita untuk menjadi murid yang berjaya dan berkarisma seperti beliau.
Percayalah, setiap kebaikan yang ditinggalkan pastinya akan menjadi ikutan dan
pendorong semangat kepada kita yang ditinggalkan di sini.

Setiap pertemuan pasti ada perpisahan, yang pastinya setiap perpisahan amat
menyedihkan dan menyakitkan. Apabila mengenangkan kembali saat-saat ketika
bersama, pasti ia akan menjadi detik kenangan paling manis yang tidak dapat dilupakan.
Hari ini kita berasa terharu akan detik perpisahan Pn. Hajah Latifah yang kita amat
sayangi. Bagi kami, murid-murid Sek Keb. Telok Kemang, Pn. Hajah Latifah bukan sahaja
sebagai guru bahkan juga sebagai bonda kami dalam keluarga besar Sek Keb. Telok
Kemang. Sesungguhnya, kami merasai satu kehilangan besar di sini, Beliau umpama
sebutir permata di lautan luas, walaupun tenggelam di dasar selut yang hitam, beliau
tetap bersinar walaupun hanya bekas yang ditinggalkan. Jauh di sanubari, setiap
sentuhan sifat-sifat keibuan, dan penuh kasih sayang serta penuh rasa empeti amat
terkesan di hati kami. Walaupun begitu dalam berlembut tetap ada tegasnya.
Sehubungan dengan itu teguran dan nasihat yang Pn. Hajah Latifah lontarkan akan
senantiasa kami ingati.

Begitulah perasaan yang kami rasai sekarang. Berat sungguh bagi kami untuk
melepaskan pemergian Pn. Hajah Latifah. Saya mewakili semua murid, mengucapkan
jutaan terima kasih kepada beliau. Kami menghargai segala usaha dan jasa cikgu. Kami
berjanji akan belajar bersungguh-sungguh agar impian dan cita-cita kami tercapai. Kami
juga meminta ampun dan maaf daripada cikgu jika terdapat sebarang kesilapan yang
telah kami lakukan sepanjang cikgu mendidik kami. Marilah sama-sama kita berdoa,
semoga Allah SWT akan melimpah rahmat dan peliharaan kepada Pn. Hajah Latifah dan
seisi keluarga agar dipanjangkan usia diberikan kesihatan tubuh badan dan ditambahkan

2
ilmu pengetahuan bagi manfaat agama dan bangsa. Saya juga berharap agar hubungan
silaturrahim cikgu dengan warga SK Telok Kemang akan terus terjalin erat.
Sesungguhnya jasa dan budi yang ditabur tidak dapat dibalas dan tentunya akan
dikenang sampai bila-bila.

Limau manis dimakan manis


Manis sekali rasa isinya
Dilihat manis dipandang manis
Manis sekali hati budinya

Tuai padi antara masak


Esok jangan layu-layuan
Intai kami antara nampak
Esok jangan rindu-rinduan

tenang-tenang air di laut,


sampan kolek mudik ke tanjung,
hati terkenan mulut menyebut,
budi yang baik rasa nak junjung.

patah dahan bunga kemboja,


pucuk paku subur di titi,
budi cikgu kami tak lupa,
sudah terpaku di dalam hati.

Sekian,terima kasih.

You might also like