You are on page 1of 3

1.

Ciri-ciri Jati Diri Remaja Cemerlang


Era globalisasi yang sarat dengan pelbagai cabaran zahir dan maya ini, terbit
satu persoalan yang sering menjadi topik perbualan masyarakat pada hari ini,
iaitu ciri-ciri sebenar remaja cemerlang. Mantan presiden Indonesia, Seokarno
pernah berkata, "berikan saya sepuluh orang belia waja, nescaya saya akan
gegarkan dunia ini". Kata-kata beliau jelas membuktikan bahawa remaja
yang merupakan insan kerdil ciptaan Tuhan mampu melakukan anjakan
paradigma terhadap masyarakat, negara dan dunia. Menyedari hakikat ini,
pihak kerajaan dengan kerjasama badan-badan bukan kerajaan giat
melaksanakan pelbagai langkah demi membentuk remaja yang dapat
memberi impak saujana terhadap negara pada masa hadapan. Tamsilnya,
pihak kerajaan telah memperkenalkan program Rakan Muda yang
bermatlamat untuk melahirkan remaja yang sempurna dan seimbang dari
segi intelek, rohani, emosi dan jasmani. Lebih-lebih lagi, mereka turut
menganjurkan Himpunan Jutaan Belia pada setiap tahun untuk
menghimpunkan remaja dari seluruh negara dan melibatkan diri dalam
pelbagai aktiviti secara sihat. Setiap langkah ini dilaksanakan demi melahirkan
remaja yang cemerlang dengan ciri-ciri tertentu.
Pertama sekali, remaja cemerlang merupakan remaja yang sentiasa
menunjukkan ketaatan yang utuh terhadap negara. Tunas yang baru sahaja
mengenali dunia ini dapat disifatkan sebagai individu yang cemerlang jika
mereka sentiasa sudi memberi sumbangan kepada tanah air mereka. Remaja
cemerlang patut bergiat secara aktif dalam pelbagai pertandingan di
peringkat antarabangsa demi mengharumkan nama Malaysia. Umpamanya,
remaja harus mencontohi Pandalela Rinong yang baru sahaja berumur 19
tahun tetapi telah berjaya meraih satu pingat gangsa dalam Sukan Olimpik
yang lalu sekali gus menyebabkan Malaysia mendapat tumpuan masyarakat
di seluruh dunia. Pada masa yang sama, remaja perlu mengelakkan diri
daripada kegiatan yang mampu menjejaskan keharmonian negara. Mereka
tidak patut menjadi duri dalam daging sehingga mudah dipengaruhi oleh
pihak tertentu untuk kepentingan peribadi mereka. Contohnya, remaja
seharusnya tidak terlibat dengan perhimpunan haram yang jelas
memburukkan negara pada pandangan mata dunia. Maka, remaja yang
sentiasa sudi memberi sumbangan kepada negara serta tidak melakukan
onarlah yang dikatakan sebagai remaja cemerlang yang taat kepada
negara.
Di samping itu, remaja cemerlang juga merupakan golongan muda
yang berfikiran positif. Selain mempunyai kesihatan fizikal, mereka juga
sentiasa menjaga minda dan emosi diri daripada dipengaruhi oleh unsur
negatif di sekelilingnya. Dalam konteks remaja, berfikiran positif merujuk
keadaan remaja tersebut menggunakan kebijaksanaan mereka untuk
menangkis perkara yang boleh menjadi penghalang kepada kemajuan diri.
Pemikiran positif ini mampu untuk menjadi perisai kepada remaja daripada
ancaman penjajahan minda yang boleh merosakkan diri mereka. Remaja
yang sihat mindanya lebih banyak mendengar daripada bercakap kerana
mereka akan berfikir terlebih dahulu, menganalisis, dan mengetahui sesuatu
isu tersebut sebelum memberikan sebarang tindak balas
Selain itu, sebagai golongan rakyat yang bakal menjadi pemimpin
negara pada masa hadapan, remaja cemerlang harus mempunyai
semangat inkuiri yang tinggi. Hal ini demikian kerana tanpa semangat untuk
mencuba sesuatu perkara yang baharu, remaja tidak akan dapat
memajukan diri dan negara. Tamsilnya, remaja mestilah melibatkan diri dalam
penyelidikan dan pembangunan serta berani untuk menerokai sesuatu
bidang yang baharu. Remaja patut mencontohi individu-individu yang
berjaya dalam hidup mereka pada usia yang muda. Umpamanya, seorang
pelajar berumur 16 tahun di Nepal telah berjaya mencipta sebuah alat yang
dapat menghasilkan kuasa elektrik daripada rambut. Kisah kejayaannya
mendapat perhatian seluruh dunia sehingga dia ditawarkan biasiswa untuk
melanjutkan pelajarannya di Amerika Syarikat. Individu seperti inilah yang
dikatakan sebagai remaja cemerlang. Walau bagaimanapun, remaja
haruslah berfikir secara rasional dan mengelakkan perkara-perkara yang
mampu memudaratkan diri mereka dan orang lain. Secara ringkas, semangat
inkuiri yang dimiliki oleh remaja mestilah digunakan secara positif untuk
pembangunan masyarakat. Situasi ini sudah tentu melahirkan remaja
cemerlang yang mampu menyumbang kepada masyarakat dan negara.
Seterusnya, kita perlu sedar dan ingat bahawa remaja cemerlang juga
perlu mempunyai ilmu keagamaan yang lengkap dalam diri mereka.
Golongan muda tidak patut bersikap materialistik tetapi haruslah
mengamalkan amalan harian yang selari dengan pegangan agama mereka.
Seseorang remaja masih akan dipandang rendah dan dihina oleh masyarakat
walaupun dia berjaya dalam hidup tetapi tidak mempercayai kewujudan
Tuhan sehingga sering melakukan perkara-perkara yang bertentangan
dengan ajaran agama. Contohnya, remaja yang cemerlang dalam
akademik dan aktif dalam sukan akan tetap dicela jika tidak menunaikan
kewajipannya sebagai seorang penganut agama tertentu. Oleh sebab itu,
remaja cemerlang perlu sentiasa berpegang kepada ajaran agamanya.
Misalnya, sebagai seorang penganut agama Islam, remaja harus menunaikan
solat lima kali pada setiap hari. Setiap penganut agama Buddha dan Hindu
pula perlu mempercayai hukum karma yang menekankan bahawa setiap
tindakan manusia pasti ada balasannya. Keadaan ini seterusnya akan
melahirkan remaja yang sentiasa mempunyai satu pegangan hidup yang
kukuh.
Tuntasnya, sememangnya terdapat pelbagai ciri remaja cemerlang.
Oleh itu, pihak kerajaan, badan-badan bukan kerajaan, pihak sekolah dan
ibu bapa perlu mengenal pasti dan melaksanakan langkah-langkah yang
dapat membantu remaja membina keperibadian diri mereka secara positif
dan holistik. Kita perlu sentiasa ingat bahawa masa hadapan Malaysia terletak
pada tangan remaja. Malah, gambaran masa hadapan negara dapat dilihat
melalui remaja pada hari ini. Maka, remaja cemerlang sememangnya
mustahak jika kita mahu melihat Malaysia terus membangun dan mencapai
status negara maju. Sekiranya remaja cemerlang dapat dibentuk, sudah tentu
negara kita yang tercinta dapat berdiri sama tinggi, duduk sama rendah
dengan negara-negara maju seperti Jepun, Singapura dan Amerika Syarikat
sekali gus menzahirkan Wawasan 2020.

You might also like