You are on page 1of 2

PERNYATAAN PROFESIONAL

SEBELUM

Internship merupakan satu program latihan di lapangan yang bertujuan untuk mengaitkan
pengetahuan, kemahiran dan pengalaman sedia ada dengan amalan sebenar tugas guru
permulaan. Guru pelatih dikehendaki merancang, melaksana dan menilai projek atau aktiviti
yang berkaitan dengan pengajaran dan pemudahcaraan atau aktiviti rutin yang telah menjadi
amalan dan budaya sekolah. Pada peringkat ini, guru pelatih perlu menunjukkan sifat
kepemimpinan dalam pengurusan pelbagai aktiviti sekolah dengan bimbingan mentor.

Pada 23 Januari 2019 (Rabu), saya telah menghadiri taklimat Internship yang
disampaikan oleh En Kamarauzaman bertempat di Dewan Ungku Omar (DUO). Berdasarkan
taklimat tersebut, saya didedahkan dengan tanggungjawab atau tugasan yang perlu
dilaksanakan sepanjang menjalani internship tidak lama lagi. Antaranya ialah kami
dikehendaki melaksanakan satu projek atau aktiviti berinovasi secara individu dengan
berbantukan pelbagai sumber dan teknologi yang berkaitan dengan kurikulum atau
kokurikulum yang dijalankan di sekolah dan mempunyai nilai-nilai komersial.

Proses pelaksanaan projek inovasi juga perlu dirakam dengan durasi antara 10 hingga
20 minit dan disertakan bersama laporan bertulis untuk dinilai oleh mentor sebelum
diserahkan kepada pensyarah penyelia sebaik tamat tempoh internship. Saya perlu menjalani
internship selama 4 minggu di sekolah yang sama saya menjalani praktikum fasa kedua iaitu
Sekolah Kebangsaan (SK) Tanjung Gelam, Kuala Nerus, Terengganu. Selain projek inovasi,
guru pelatih juga diberikan waktu mengajar dengan minimum 2 waktu dan maksimum 4 waktu.
Dalam usaha menyempurnakan projek inovasi dan sesi PdPc, saya juga perlu bersedia
dengan tugasan lain yang akan diberikan oleh pihak sekolah. Pada masa yang sama, saya
juga perlu memastikan senarai semak internship yang telah diberikan oleh Unit Praktikum
dilengkapkan sepenuhnya.

Oleh sebab saya bakal menjalani internship buat pertama kalinya, saya berasa agak
risau. Sehubungan itu, saya telah mengambil langkah membuat perancangan awal projek
inovasi dengan menyediakan pelan tindakan. Untuk minggu pertama, saya bercadang untuk
menyiapkan kertas kerja projek inovasi sebelum melaksanakannya pada minggu kedua dan
ketiga. Pada minggu terakhir iaitu minggu keempat pula, saya perlu menyiapkan laporan
terhadap projek inovasi yang telah dilaksanakan. Selain itu, saya turut mengadakan
perbincangan bersama dua rakan internship iaitu Nurul Aimuni binti Ab Malik dan Nur Sabila
binti Muhammad Nawi tentang perancangan projek inovasi masing-masing supaya kami
dapat bekerjasama antara satu sama lain dengan lebih padu.
Sebagai bakal guru, saya sedar bahawa saya perlu menjalin hubungan yang mesra
dengan setiap lapisan warga sekolah termasuklah tukang kebun dan pekerja kantin.
Memandangkan saya pernah menjalani praktikum selama tiga bulan di SK Tanjung Gelam
sebelum ini, saya yakin hubungan yang telah sedia terjalin mampu dipereratkan lagi. Hal ini
penting dalam memastikan budaya sedia ada sekolah yang penyayang, positif dan saling
menghormati antara satu sama lain mampu dilesatarikan lagi. Sejujurnya, saya percaya
bahawa persediaan mental dan fizikal perlu dilakukan memandangkan internship dan
praktikum merupakan dua perkara yang berbeza. Oleh itu, saya sangat berharap agar setiap
urusan yang bakal dihadapi nanti akan dipermudahkan oleh Allah SWT.

Pada masa yang sama, saya juga berharap agar dapat melakukan yang terbaik dalam
setiap perkara yang saya lakukan. Saya juga sentiasa bersedia untuk menerima tunjuk ajar,
nasihat dan teguran dari warga sekolah sekiranya tersilap langkah atau tersalah bicara. Setiap
kritikan membina yang diberikan akan saya semat kukuh di dalam hati sebagai panduan dan
pedoman pada masa akan datang. Semoga setiap perkara yang saya lakukan tidak sia-sia
sebaliknya mendatangkan manfaat, sekurang-kurangnya untuk diri sendiri.

You might also like