You are on page 1of 12

SULIT

SEKOLAH MENENGAH KEBANGSAAN ALANG ISKANDAR


JALAN SIAKAP, 34300 BAGAN SERAI, PERAK

PEPERIKSAAN AKHIR TAHUN 2017 1103/2


TINGKATAN 4
BAHASA MELAYU
Kertas 2
Oktober
2½ jam Dua jam tiga puluh minit

JANGAN BUKA KERTAS PEPERIKSAAN INI SEHINGGA DIBERITAHU

1. Kertas peperiksaan ini mengandungi empat soalan.


2. Jawab semua soalan.
3. Jawapan bagi Soalan 2(b), Soalan 2(c), Soalan 2(d) dan Soalan 4 berdasarkan Teks
Komponan Sastera Melayu Tingkatan 4.
4. Jawapan anda hendaklah ditulis di dalam kertas jawapan.
5. Jawapan boleh ditulis dalam tulisan Rumi atau Jawi.

Kertas peperiksaan ini mengandungi 12 halaman bercetak


[Lihat halaman sebelah

1
SULIT

Soalan 1 : Rumusan
[30 markah ]

Baca petikan di bawah dengan teliti, kemudian buat satu rumusan tentang punca-punca
kemerosotan kualiti alam sekitar dan langkah-langkah menanganinya. Panjangnya rumusan
hendaklah tidak melebihi 120 patah perkataan.

Isu kemerosotan kualiti alam sekitar telah hangat dibicarakan sejak beberapa dekad
yang lalu. Hasil kajian yang dilakukan menunjukkan bahawa terdapat banyak faktor yang
menyebabkan berlakunya penurunan kualiti alam sekitar di negara kita. Penurunan ini
berkait rapat dengan pencemaran alam yang disebabkan oleh aktiviti manusia yang dilihat
semakin rakus.

Punca pencemaran udara yang utama di negara kita ialah pelepasan asap kenderaan
dan asap daripada sektor perkilangan. Dari setahun ke setahun, bilangan kenderaan bermotor
di negara kita terus meningkat sama ada kenderaan bermotor untuk kegunaan individu
ataupun komersial. Pertambahan ini menyebabkan semakin banyak asap dilepaskan ke udara.
Pelepasan asap daripada sektor perkilangan turut menyebabkan bacaan Indeks Pencemaran
Udara (IPU) meningkat menyebabkan kualiti alam sekitar semakin tenat. Selain itu,
pembakaran terbuka tanpa kawalan juga menjadi punca pencemaran udara di negara kita.
Kejadian jerebu yang melanda negara pada tahun 2014 dan 2015 kerana pembakaran hutan
di negara jiran menyebabkan keseluruhan ruang udara mencatatkan IPU yang tidak sihat,
malah mencapai paras kritikal. Fenomena ini menyebabkan gangguan kepada aktiviti
seharian rakyat Malaysia khususnya golongan pelajar.

Masalah pembuangan sisa toksik ke dalam sistem saliran seperti sungai dan parit
menyebabkan berlakunya pencemaran air. Hal ini ditenatkan lagi oleh sikap pemilik kapal
dagang dan bot nelayan yang membuang minyak kotor ke dalam laut. Pencemaran laut yang
keterlaluan akan menyebabkan hidupan semula jadi di dalam dan pinggir laut musnah secara
perlahan-lahan. Lebih menyedihkan terdapat segelintir pengusaha sektor perladangan
membuang baja kimia dan racun rumpai ke dalam sungai. Pencemaran alam sekitar juga
dikaitkan dengan sikap individu yang membuang sampah sarap dan bahan buangan ke dalam
sungai atau sistem saliran. Kajian mendapati bahawa 9 peratus atau 43 batang sungai di
negara ini telah tercemar. Kebanyakan sungai yang tercemar terletak di kawasan bandar.
2
SULIT

Pembinaan taman perumahan yang semakin pesat turut menjadi penyebab kualiti alam
sekitar semakin merosot. Kawasan bukit yang dahulunya subur menghijau ditarah dan
diratakan untuk digantikan dengan bangunan konkrit. Pembangunan dan proses
pembandaran yang tidak terancang ini menyebabkan kejadian banjir kilat dan tanah runtuh
semakin kerap berlaku.

Sebagai masyarakat yang bertanggungjawab dan berpendidikan serta terdedah kepada


penyebaran maklumat melalui pelbagai media, kita seharusnya sedar bahawa kita sama-sama
menggalas obligasi untuk menjaga kelestarian alam ini. Alam ini perlu diwariskan kepada
generasi akan datang untuk memastikan mereka dapat menikmati keindahan dan kelebihan
yang dianugerahkan Maha Pencipta.

Dipetik dan diubahsuai daripada


‘Kemerosotan Kualiti Alam Sekitar’
Oleh Nizar Parman
Dewan Siswa, Julai 2016.

3
SULIT

Soalan 2 : Pemahaman
[35 markah ]

Soalan 2 (a) – Petikan Umum

Berdasarkan petikan soalan 1, jawab soalan-soalan yang berikut dengan menggunakan ayat
anda sendiri.

(i) Berikan maksud rangkai kata paras kritikal [2


markah]

(ii) Pengarang mengemukakan beberapa kesan yang timbul disebabkan oleh


kemerosotan kualiti alam sekitar.
Nyatakan kesan-kesan tersebut. [3 markah]

(iii) Masyarakat terus melakukan pencemaran alam sekitar walaupun pelbagai


kempen
kesedaran telah dilaksanakan.
Pada pendapat anda, mengapakah berlakunya kegagalan kempen-kempen
tersebut?
[4 markah]

4
SULIT

Soalan 2 (b) – Petikan Cerpen

Baca petikan cerpen di bawah ini dengan teliti, kemudian jawab soalan-soalan yang berikutnya
dengan menggunakan ayat anda sendiri.

Sebenarnya, duitku cuma tinggal USD70 selepas aku membeli jaket kulit kijang (aku
mengetahui jenisnya setelah Encik Yuksel meneliti jaket tersebut). Aku memandang jaket
yang kini terletak di atas katil. Aku hanya membayar USD100 kepada Shahmeem. Dia
mengurangkan USD20 daripada harga pasaran gelap sebagai tanda terhutang budi.
Aku tidak nampak praktikalnya jaket itu untuk kegunaan harian di Malaysia.
Memakainya pasti akan membuat diri berasa panas dalam keadaan cuaca terik di tanah air.
Jika keluar negara, jaket itu cuma sesuai dipakai pada musim sejuk.
Menjaganya pasti memerlukan kerapian. Tidak boleh dibasuh. Tidak boleh dilipat
sembarangan. Walaupun harganya mahal, jaket kulit bukannya sesuatu yang tahan lasak.
Kainnya mudah carik dan jika koyak, tidak dapat dijahit dengan benang.
Lebih penting lagi, seekor atau lebih daripada seekor kijang telah dibunuh untuk
mendapatkan sehelai jaket kulit. Sebab itu, tidak ada jaket kulit yang murah. Harganya mahal
disebabkan ada nyawa yang terpaksa dikorbankan! Aku merasakan bahawa jaket kulit
sebenarnya lambang kemegahan dan kemewahan. Jaket kulit itu seperti lambang pendewaan
dan pemujaan diri.

Dipetik daripada cerpen ‘ Jaket Kulit Kijang dari Istanbul ’


Oleh Maskiah Haji Masrom
Dalam Antologi Jaket Kulit Kijang dari Istanbul
Dewan Bahasa dan Pustaka.

(i) Berdasarkan petikan cerpen di atas, mengapakah jaket kulit kijang tidak praktikal
untuk kegunaan harian di Malaysia?
[2 markah]

(ii) Pada pandangan anda, apakah langkah-langkah yang boleh dilakukan untuk
mengelakkan kepupusan haiwan?
[3 markah]

5
SULIT

(iii) Huraikan satu latar masyarakat yang terdapat dalam petikan dan satu latar
masyarakat lain daripada keseluruhan cerpen ini yang tidak terdapat dalam petikan.
[4 markah]

6
SULIT

2 (c) – Petikan Prosa Tradisional

Baca petikan prosa tradisional dibawah dengan teliti, kemudian jawab soalan-soalan berikut dengan
menggunakan ayat anda sendiri.

Maka segala orang yang kehilangan itu pun semuanya berhimpun masuk ke dalam
pergi mengenal segala harta, seorang pun tiada tinggal. Maka kata seorang, “Ini harta patik,
tuanku.”
Maka seorang , “Ini pun ia harta patik, tuanku.”
Maka kata seorang, “Ini tuanku benda patik.”
Kata seorang, “Ini bantal patik, tuanku.”
Setelah habislah dikenalinya segala yang empunya, maka titah raja, “Hai segala kamu
sekalian, hendaklah segala harta ini dibahagi tiga, dua bahagi akan Laksamana, Sebahagi
akan orang yang empunya harta, kerana harta ini sudahlah hilang beroleh akan Laksamana.”
Maka sembah orang itu, “Daulat tuanku, mana titah patik junjung.”
Maka sembah Laksamana, “Ya tuanku, jika demikian, sahaja aniayalah duli yang
maha mulia dan dukacitalah sekalian empunya harta. Yang sebahagi itu akan patik. Dalam
pada itu pun, mana kasih hatinya hendak memberi akan patik.”
Maka titah baginda, “Hai segala kamu, sukakah seperti kata Laksamana ini?”
Maka sembah mereka itu, “Sukalah patik sekalian memberikan Laksamana. Demi
Allah dan Rasul-Nya, dengan tulus ikhlas hati patik sekalian.” Masing-masing pun
memberikan segala hartanya akan Laksamana.

(i) Berikan maksud mengenal segala harta [2 markah]

(ii) Apakah titah raja setelah habis segala harta dikenali oleh empunya harta?

[3 markah]

(iii) Pada pendapat anda, apakah langkah keselamatan yang boleh diambil bagi

mengelakkan kejadian rompakan berlaku di kawasan tempat tinggal kita?

[4 markah]
7
SULIT

Soalan 2(d) – Sajak

Baca sajak di bawah dengan teliti, kemudian jawab soalan-soalan yang berikutnya dengan
menggunakan ayat anda sendiri.

GELANGGANG

Ini gelanggang kita


yang diwariskan oleh pendekar-pendekar datuk moyang lebih
lima dekad yang lalu
satu persepakatan kaum untuk diturunkan kepada anak cucu
di kemudian hari.
Hari ini kitalah pewaris gelanggang yang terbina dari keringat
dan air mata
dengan gelanggang inilah negara aman makmur rakyat
berpadu
kita pelihara gelanggang ini dengan kejap sepenuh hati
kita mempertahankan kedaulatan watan dari anasir jahat
kerana telah terbukti dapat menyatupadukan pelbagai
keturunan.

Para pendekar kita harus berani berjuang menangkis tohmahan


demi mempertahankan maruah gelanggang keramat suci ini
suara-suara momokan sumbang memperlekehkan menyentuh
hati nurani
kita sanggah nyah tanpa kompromi dari menggugah
gelanggang
jangan sekali bermain api kelak membinasakan diri sendiri.

Marilah pahlawan setia kita kukuhkan ukhuwah


elakkan pertelingkahan sesama sendiri.

Kitalah pewaris abadi yang menjunjung amanah ini


agar kecemerlangan tercerna di persada arena
terus memacu kejayaan demi maruah harga jati diri
membina sebuah negara bangsa yang harmoni dan dihormati
kita junjung dan taat hingga ke akhir hayat.

Onn Malini
Pohon Tradisi, 2012
Gapeniaga Sdn. Bhd

8
SULIT

Marilah pahlawan setia kita kukuhkan ukhuwah


elakkan pertelingkahan sesama sendiri.

(i) Apakah yang hendak disampaikan oleh penyajak melalui petikan sajak
diatas?
[2 markah]

(ii) Pada pendapat anda, apakah aktiviti-aktiviti yang boleh dijalankan oleh
kerajaan untuk meningkatkan perpaduan dalam kalangan rakyat?
[3 markah]

(iii) Huraikan dua persoalan yang terdapat dalam petikan sajak


[4 markah]

9
SULIT

Soalan 3 : Pengetahuan dan Kemahiran Bahasa


[30 markah]
Jawab semua soalan.

(a) Tulis satu ayat bagi setiap pasangan perkataan di bawah untuk menunjukkan bahawa anda
faham akan maksud dan penggunaannya. Anda tidak boleh menambahkan imbuhan atau
menggunakan perkataan itu sebagai peribahasa atau nama khas.

i. air – air mata


ii. wang – wang saku
iii. minyak – minyak masak
[6 markah]

(b) Cerakinkan ayat majmuk dalam perenggan di bawah ini kepada enam ayat tunggal tanpa
mengubah maksud asalnya.

Kerajaan menyarankan agar pengaplikasian teknologi maklumat kepada pelajar dan


kepada pendidik. Langkah ini termasuklah penggunaan perisian dan rekabentuk komputer
terkini yang dihasilkan oleh pakar-pakar dalam bidang tersebut.

[6 markah]

(c) Dalam setiap ayat dibawah ini, terdapat satu kesalahan ejaan dan satu kesalahan
penggunaan imbuhan. Senaraikan dan betulkan kesalahan-keslahan itu. Bagi setiap ayat anda
tidak boleh menyenaraikan lebih daripada satu kesalahan ejaan dan satu kesalahan penggunaan
imbuhan. Anda tidak perlu menyalin petikan itu semula.

i. Dalam baget tahun ini, kerajaan telah menyediakan peruntukkan yang banyak
untuk memajukan sektor pertanian. [2 markah]

ii. Pelajar lepasan kolej vokesyenal berpeluang melanjut pelajaran ke politeknik


dan institusi teknikal yang lain. [2 markah]

iii. Kanak-kanak itu perlu menjalankan rawatan menggunakan anti-biotik untuk


mengelakkan penyakitnya itu berlarutan. [2 markah]

10
SULIT

(d) Dalam setiap ayat di bawah ini, terdapat satu kesalahan penggunaan kata atau istilah
dan satu kesalahan tatabahasa. Kenal pasti dan betulkan kesalahan-kesalahan itu. Bagi setiap
ayat, anda tidak boleh menyenaraikan lebih daripada satu kesalahan penggunaan kata atau istilah
dan satu kesalahan tatabahasa. Anda tidak perlu menyalin ayat itu semula.

i. Krisis ekonomi memberi kesan yang ketara kepada rakyat bila kadar
kemiskinan terus meningkat dan menambah bilangan golongan miskin teruk
di bandar kerana taraf hidup yang tinggi.
[2 markah]

ii. Pengguna yang tidak berhati-hati lebih mudah diperdaya oleh para peniaga-
peniaga yang mahu mengorek keuntungan yang berlipat ganda.
[2 markah]

iii. Amalan nilai murni dalam kalangan masyarakat adalah di antara usaha yang
paling lengkap untuk mengekalkan perpaduan masyarakat.
[2 markah]

(e) Berikan peribahasa yang mempunyai maksud yang sama dengan peribahasa di bawah.
i. Bagai cincin dengan permata
ii. Berat sama dipikul ringan sama dijinjing
iii. Masuk telinga kanan keluar telinga kiri

11
SULIT

Soalan 4 : Novel
[15 markah]

Jawab soalan-soalan di bawah ini berdasarkan novel-novel yang berikut :

i. Jendela Menghadap Jalan karya Ruhaini Matdarin

(a) Berdasarkan sebuah novel yang anda pelajari jelaskan dua pengajaran yang berkaitan
dengan kasih sayang.

[7 markah]

(b) watak utama dalam sesebuah novel sering dikaitkan dengan pelbagai cabaran.
Berdasarkan sebuah novel, huraikan dua cabaran yang dihadapi oleh watak utama dalam
novel yang anda kaji.

[8 markah]

Kertas Peperiksaan Tamat

Disediakan oleh Disemak oleh, Disahkan oleh,

……………….. ………………….. ………………….

12

You might also like