You are on page 1of 1

Malaysia (Tulisan Jawi: ‫ )مليسيا‬ialah sebuah negara raja berperlembagaan persekutuan di Asia Tenggara

yang terdiri daripada tiga belas negeri dan tiga wilayah persekutuan, yang menduduki bumi berkeluasan
329,847 kilometer persegi (127,350 bt2).[13][14] Malaysia terbahagi kepada dua kawasan yang
mengapit Laut China Selatan, iaitu Semenanjung Malaysia dan Borneo Malaysia (juga Malaysia Barat dan
Timur).[13] Malaysia berkongsi sempadan darat dengan Thailand, Indonesia, dan Brunei[13] dan juga
sempadan laut dengan Singapura dan Filipina.[15] Ibu negara Malaysia ialah Kuala Lumpur, manakala
Putrajaya merupakan pusat kerajaan persekutuan. Pada tahun 2009, Malaysia diduduki 28 juta orang[6]
dan pada tahun 2017 dianggarkan telah mencecah lebih 30 juta orang.

Malaysia berakar-umbikan Kerajaan-kerajaan Melayu yang wujud di wilayahnya dan menjadi taklukan
Empayar British sejak abad ke-18. Wilayah British pertama di sini dikenali sebagai Negeri-Negeri Selat.
Semenanjung Malaysia yang ketika itu dikenali sebagai Tanah Melayu atau Malaya, mula-mula disatukan
di bawah komanwel pada tahun 1946, sebelum menjadi Persekutuan Tanah Melayu pada tahun 1948.
Pada tahun 1963, Tanah Melayu bersatu dengan negeri Sabah, Sarawak, dan Singapura. Pada tahun
1965, Singapura keluar dari persekutuan untuk menjadi negara kota yang bebas. Semenjak itu, Malaysia
menikmati antara ekonomi yang terbaik di Asia, dengan purata pertumbuhan keluaran dalam negara
kasarnya (KDNK) kira-kira 6.5% selama 50 tahun pertama kemerdekaannya.[16] Ekonomi negara yang
selama ini dijana oleh sumber alamnya kini juga berkembang dalam sektor-sektor sains, pelancongan,
perdagangan dan perubatan.

Ketua negara Malaysia ialah Yang di-Pertuan Agong, iaitu raja elektif yang terpilih dari kalangan
sembilan raja negeri Melayu. Ketua kerajaannya pula ialah Perdana Menteri.[17][18] Sistem kerajaan
Malaysia banyak berdasarkan sistem parlimen Westminster[19], dan sistem perundangannya juga
berasaskan undang-undang am Inggeris.

Malaysia terletak berdekatan dengan khatulistiwa dan beriklim tropika,[13] serta mempunyai
kepelbagaian flora dan fauna, sehingga menjadi salah satu daripada 17 negara megadiversiti.[20] Di
Malaysia terletaknya Tanjung Piai, titik paling selatan di seluruh tanah besar Eurasia. Malaysia ialah
sebuah negara perintis Persatuan Negara-Negara Asia Tenggara dan Pertubuhan Persidangan Islam, dan
juga anggota Kerjasama Ekonomi Asia-Pasifik, Negara-Negara Komanwel, dan Pergerakan Negara-
Negara Berkecuali.

You might also like