You are on page 1of 5

Bincangkan unsur-unsur tradisi yang terdapat dalam perlembagaan Malaysia.

Pengenalan

Sesebuah negara yang merdeka dan berdaulat pasti didokong oleh suatu perlembagaan
bagi menjamin kesejahteraan dan kerukunan hidup masyarakat di dalamnya. Perlembagaan
merupakan kumpulan undang-undang yang diwujudkan dengan tujuan untuk mengendalikan
kerajaan yang memerintah dengan licin dan saksama (Mohd Ashraf et al., 2018). Dalam
konteks lain, perlembagaan ialah prinsip-psinsip asas yang merangkumi bilai-nilai yang utama
bagi sesebuah negara dan masyarakat tersebut serta diibaratkan tulang belakang sesebuah
negara (Abdul Aziz, 2008). Perlembagaan Malaysia telah melalui proses yang panjang dan
rencam dengan memgambil kira perkembangan sejarah sebelum dan selepas penjajahan. Di
negara kita, perlembagaan menjadi tunjang kepada segala perencanaan dan perlaksanaan
dasar dan undang-undang. Ia turut memainkan peranan dalam memperkasakan hubungan baik
antara etnik di Malaysia (Nurul Janah, 2010).

Unsur-Unsur Tradisi dalam Perlembagaan Malaysia

Dalam Perlembagaan Malaysia, terdapat elemen tradisi yang merupakan unsur-unsur


tempatan dikekalkan (Abdul Aziz, 2013) dan diadun dengan sistem pemerintahan era moden
tinggalan pemerintahan Inggeris untuk membentuk suatu identiti bangsa yang baharu. Oleh itu,
unsur tradisi ini wajar difahami semua masyarakat bagi mewujudkan permuafakatan dan
persefahaman antara pelbagai kaum lantaran terdapat empat daripadanya merupakan asas
kontrak sosial bagi negara berdaulat ini. Unsur tradisi yang dinyatakan dalam Perlembagaan
Malaysia termasuklah bahasa kebangsaan, agama persekutuan, pemerintahan beraja,
kedudukan istimewa orang Melayu dan bumiputera Sabah dan Sarawak serta kedudukan kaum
lain.

Bahasa Kebangsaan

Merujuk kepada Perkara 152(1) dalam PerlembagaanPersekutuan 1957, bahasa


Melayu telah digariskan sebagai bahasa kebangsaan iaitu bahasa yang digunakan bagi tujuan
menyatukan semua kaum melalui satu bahasa tanpa menghalang penggunaan dan
pembelajaran bahasa lain kecuali dalam urusan rasmi. Berdasarkan peruntukan ini juga,
bahasa Melayu digunakan secara meluas sebagai bahasa rasmi dalam urusan kerajaan dan
menjadi bahasa perantaraan di sekolah-sekolah. Hal ini amat signifikan dengan peranan
bahasa Melayu yang sejak dahulu lagi telah menjadi lingua franca di Alam Melayu seperti yang

1
tercatat dalam kitab Sejarah Melayu. Menurut Mior Muhammad Saiful Nizan (t.t.) berkata,
penggunaan bahasa Melayu yang meluas dalam bidang perdagangan dan hubungan diplomatik
pada masa itu telah memperlihatkan para pedagang yang datang dari seluruh dunia bertungkus
lumus mempelajari dan menguasai bahasa Melayu bagi memudahkan urusan mereka dengan
pemimpin dan masyarakat setempat.

Namun begitu, kedatangan penjajah yang kemudiannya menghakis sedikit demi sedikit
penggunaan bahasa Melayu dan memberi kesan terhadap perhubungan serta komunikasi
sama ada rasmi atau tidak. Era penjajahan tersebut telah menjadikan bahasa Melayu sebagai
bahasa kedua, manakala bahasa Inggeris pula yang dijulang sebagai bahasa perantara rasmi
terutamanya di Negeri-Negeri Selat dan Negeri-Negeri Melayu Bersekutu. Oleh hal yang
demikian, sebagai sebuah negara yang merdeka dan berdaulat, sewajarnyalah bahasa Melayu
diangkat semula dalam perlembagaan negara dan menjadi sumber perpaduan rakyat antara
pelbagai kaum yang menggunakan bahasa dalam komunikasi dan kegiatan seharian.

Agama Persekutuan

Sebagai sebuah negara yang berdaulat, agama memainkan peranan yang sangat
penting dan merupakan tunjang kepada rakyat Malaysia keseluruhannya. Hal ini dapat dilihat
melalui pengamalan prinsip Rukun Negara iaitu Kepercayaan kepada Tuhan yang membuktikan
bahawa agama merupakan panduan dalam kehidupan rakyat. Pegangan dan kepatuhan
kepada agama sudah pasti akan melahirkan masyarakat yang bersahsiah mulia dan bermoral
(Mohd Ashraf et al., 2018). Dalam Perkara 3(1) Perlembagaan Persekutuan, agama Islam telah
dinyatakan dengan jelas sebagai agama persekutuan. Menurut peruntukan yang sama juga,
agama lain dinyatakan adalah bebas untuk diamalkan dengan aman dan damai di mana-mana
tempat ni Malaysia. Dalam hal ini, masyarakat perlu jelas bahawa Islam dikatakan sebagai
agama Persekutuan dalam konteks pentadbiran dan struktur kenegaraan yang membolehkan
agama Islam diberikan sedikit kelebihan dalam memelihara kedudukannya walaupun semasa
darurat (Zul Sulung, 2017).

Signifikannya agama Islam dijadikan agama Persekutuan adalah kerana agama Islam
telah pun menjadi agama anutan masyarakat Melayu sejak lebih enam abad yang lalu.
Keistimewaan Islam tetap terpelihara meskipun negara pernah dijajah oleh kuasa Barat seperti
Portugis, Belanda, British dan Jepun dan ternyata peralihan kuasa asing tidak sedikit pun dapat
menjejaskan kepercayaan dan pegangan yang utuh masyarakat Melayu terhadap Islam. Hal ini
dapat dilihat melalui kewibawaan raja-raja Melayu dahulu yang menegaskan bahawa pihak

2
British tidak ada hak untuk menyentuh agama dan adat istiadat Melayu. Oleh hal yang
demikian, kedudukan agama Islam yang mulia dan dipertahankan sejak dahulu kala wajarlah
diangkat sebagai agama Persekutuan dan menjadi lambang identiti negara bangsa kita tanpa
menafikan hak penganut agama lain bagi mengamalkan kepercayaan masing-masing.

Pemerintahan Beraja

Datuk Wira Dr. Khairil Annas Jusoh (2014) dalam bukunya “Dustur Wa Salatin”
menyatakan bahawa negara kita merupakan salah sebuah negara daripada 43 negara yang
masih mengamalkan sistem beraja. Dalam hal ini, sistem monarki di Malaysia boleh dikatakan
antara yang paling unik kerana dapat membuktikan ketahanan sistem beraja walaupun turut
mengalami era penjajahan. Umum mengetahui bahawa negeri-negeri Melayu telah pun
mengamalkan sistem pemerintahan beraja sejak berabad lamanya sebelum kedatangan
penjajah lagi. Kedudukan sultan sebagai pemerintah tertinggi negara pada masa tersebut juga
meletakkan raja sebagai pelindung kepada rakyat yang bernaung dibawahnya serta mempunyai
kuasa mutlak dalam semua urusan pemerintahan dan pentadbiran. Pengiktirafan Raja-raja
Melayu sebagai pemerintah yang berdaulat dan berkuasa penuh ini juga diakui oleh pihak
berkuasa luar dan menggambarkan kekuatan pengaruh konsep daulat iaitu kekuasaan yang
dimiliki oleh seseorang raja di seluruh negeri yang dikuasainya (Mohd Ashraf et al., 2018). Hal
ini turut menunjukkan nilai dan sifat orang Melayu yang sangat menghormati ketua dalam
sistem kehidupan bermasyarakat.

Oleh hal yang demikian, sistem ini dikekalkan di bawah konsep raja berpelembagaan
selepas negara mencapai kemerdekaan. Dalam pemerintahan dan pentadbiran negara yang
berdaulat dan membangun, sistem pemerintahan beraja di negara ini memainkan peranan yang
sangat penting dalam mengimbangi sistem pemerintahan demokrasi yang dikaitkan kepada
kedudukan raja-raja yang berkecuali dalam segala hal terutamanya dalam hal politik, ekonomi
dan dasar negara (Bernama, 2017). Perkara ini dapat dilihat dengan jelas melalui
ketidakwujudan sikap berat sebelah berat institusi raja terhadap mana-mana pihak atau parti
politik. Bersesuaian dengan konsep raja berpelembagaan yang dilaksanakan di negara
demokrasi ini, raja bertindak mengikut lunas perlembagaan yang ditetapkan dan sewajarnyalah
sebagai rakyat yang menghormati pemimpin dan cinta akan negara, institusi ini wajib dihormati
dan dipertahankan.

3
Kedudukan Istimewa Orang Melayu dan Bumiputera Sabah dan Sarawak

Sejarah negara tidak pernah berubah dan apabila ditelusurinya, sudah tentulah kita
mendapati bahawa orang Melayu telah menjadi tunjang pembentukan negara Malaysia sejak
sekian lama dan merupakan penduduk asal Tanah Melayu ini. Oleh itu, melalui Perkara 153
Perlembagaan Persekutuan, telah termaktub di bawah peruntukan ini bahawa Yang di-Pertuan
Agong bertanggungjawab dalam memelihara kedudukan istimewa orang Melayu dan kaum
Bumiputera di Sabah dan Sarawak serta kepentingan hak yang sah bagi bagi kaum lain.
Merujuk kepada peruntukan ini juga, masyarakat plural ini mempunyai hak yang mutlak untuk
mentadbir sebuah negara dan menerima hak istimewa seperti yang terkandung dalam perkara
tersebut (Mohd Ashraf et al., 2018). Antara hak keistimewaan yang diberikan ialah peruntukan
kadar bilangan jawatan dalam perkhidmatan awam, permit dan lesen menjalankan perniagaan
dan perdagangan, perizaban biasiswa, bantuan keistimewaan pelajaran serta dana bagi tujuan
pendidikan. Keistimewaan ini pada asalnya tidak disebut sehinggalah Perjanjian Persekutuan
Tanah Melayu 1948 kerana beranggapan bahawa negeri ini ialah sebuah negeri Melayu.

Namun, setelah British mula melaksanakan dasar buka pintu yang membabitkan
kemasukan orang asing secara beramai-ramai ke Tanah Melayu untuk aktiviti perlombongan
dan perladangan serta memaksa Raja-raja Melayu menurut nasihat British dalam semua
perkara, kedudukan orang Melayu sebagai penduduk asal tanah ini mula dirasakan terjejas.
Selain itu, dasar pecah dan perintah yang dilaksanakan British juga memburukkan lagi keadaan
dan kedudukan orang Melayu pada ketika itu. Orang Melayu telah dibiarkan kekal di luar bandar
dan tidak diberikan peluang dalam pentadbiran serta pembangunan negara, manakala
pendatang luar terus menguasai ekonomi. Oleh hal yang demikian, hak istimewa ini dikekalkan
bagi memberi peluang untuk masyarakat Melayu dan Bumiputera turut bersaing dalam memacu
ekonomi dan pendidikan selain sebagai tanda penghargaan apabila orang Melayu sudi untuk
berkongsi Tanah Melayu (Malaysia) dengan kaum India dan Cina yang datang ke sini pada
zaman dahulu (Noraini Zulkifli, t.t.).

4
Kedudukan Kaum Lain

Dalam usaha mempertahankan kedudukan dan hak penduduk asal Tanah Melayu
(Malaysia), kedudukan kaum lain turut dipelihara dan diperuntukkan dalam Perlembagaan
Persekutuan. Hal ini membuktikan bahawa hak bukan bumiputera juga tidak diketepikan
bahkan mereka juga mempunyai hak yang sah di negara ini sebagai warganegara
sebagaimana yang telah diperuntukkan oleh undang-undang (Mohd Ashraf et al., 2018). Fasal
2 Perlembagaan Persekutuan menyebut mengenai hak asasi individu yang dikelaskan kepada
kebebasan mutlak dan kebebasan terhad. Dalam hal ini, setiap warganegara Malaysia
mempunyai hak yang sama menurut undang-undang iaitu sekiranya ditahan, individu tersebut
berhak mengetahui sebabnya dan dibenarkan membela diri mengikut pilihan sendiri.

Di samping itu, fasal yang sama juga memperuntukkan bahawa seseorang warganegara
itu tidak boleh didiskriminasikan atas sebab agama, kaum, keturunan atau tempat lahir yang
tertentu. Secara umumnya menurut perlembagaan juga, setiap warganegara berhak menganut
dan mengamalkan agama masing-masing selain turut diberikan kebebasan bercakap,
berhimpun dan menubuhkan persatuan yang tidak menggugat ketenteraman awam atau moral.
Setiap warganegara bebas menjalankan aktiviti harian termasuklah bergerak, berniaga,
berpolitik dan berpersatuan dengan berpandukan peraturan yang telah termaktub dalam
perlembagaan. Secara keseluruhannya, rakyat bumiputera mahupun bukan bumiputera
perlulah hidup saling membantu, hormat-menghormati dan melengkapi antara satu sama lain
sebagai sebuah bangsa bagi menjamin kesejahteraan dan pembangunan negara
bertunjangkan Perlembagaan Persekutuan.

Rumusan

Kesimpulannya, Perlembagaan Malaysia telah memperlihatkan keseimbangan dalam


pembentukannya dengan menggabungkan unsur-unsur tempatan dengan unsur luar bagi
menghasilkan suatu identiti Malaysia yang unik. Oleh itu, unsur-unsur tradisi yang terdapat
dalam perlembagaan ini wajar difahami, dihormati dan dipertahankan oleh semua rakyat
Malaysia dalam menjamin kesejahteraan dan keharmonian dalam negara kita.

You might also like