You are on page 1of 6

Bincangkan Masalah Ekonomi Yang Menjadi Penghalang Kepada Perpaduan Etnik Di

Negara Kita Akibat Daripada Pluralistik Yang Terbentuk Oleh Penjajah British Commented [u1]: Tajuk mesti lengkap. Rujuk KK

1.0 Pengenalan

Malaysia merupakan sebuah negara yang mempunyai rakyat yang berbilang kaum dan
agama dan mengamalkan budaya dan adat resam yang berbeza. Hal ini terhasil daripada
konsep pluraliti dan pluralistik yang wujud sejak zaman Kesultanan Melayu Melaka dan era
penjajahan British lagi seperti yang telah disokong oleh kajian Shaiful Amri (2012). Antara
kesan utama hasil daripada pluralistik yang terjadi ialah isu ekonomi di mana ia banyak
memberi kesan kepada hubungan etnik yang wujud di Tanah Melayu. Pada zaman
penjajahan British, mereka telah memperkenalkan dasar pecah dan perintah yang
menyebabkan setiap kaum dipecahkan mengikut kegiatan ekonomi. Dasar inilah yang pada
akhirnya banyak memberi kesan kepada struktur ekonomi dan sosial terutamanya terhadap
perpaduan kaum sehinggalah ke hari ini.

2.0 Pluralistik Dan Kesannya Pada Ekonomi Setiap Kaum di Tanah Melayu Commented [u2]: ekonomi apa? - done

Pluralistik merupakan perkataan yang berasal daripada pluralis iaitu mengikut Kamus
Dewan Edisi Keempat (2007) merupakan kata yang bersifat majmuk, berasaskan pluralisme
iaitu keadaan masyarakat yang terdiri daripada pelbagai kaum, kebudayaan, kepercayaan,
agama dan sebagainya. Merujuk kepada konsep pluraliti di Tanah Melayu yang
diperkenalkan oleh (Ku Hasnan, 2012), pluraliti merupakan hasil penyatuan atau Commented [u3]: oleh siapa? - done
pertembungan budaya besar dunia yang melahirkan suatu fenomena istimewa dalam
kalangan rakyat di sesebuah kawasan. Pluraliti merupakan suatu yang terhasil secara
semula jadi oleh sesebuah golongan atau kaum. Namun, konsep pluraliti ini sedikit berlainan
dengan pluralistik di mana pluralistik lebih bercirikan pemaksaan apabila kaum imigran
khususnya India dan Cina di bawa masuk dengan menggunakan sistem kontrak dan
kangani untuk bekerja di Tanah Melayu sebagai buruh (Harzidatul, 2015). Buruh-buruh ini
ditempatkan mengikut kaum masing-masing iaitu kaum Cina di kawasan perlombongan
manakala kaum India di kawasan perladangan. Hal ini dikenali sebagai dasar pecah dan
perintah yang diperkenalkan British bagi memastikan buruh-buruh yang dibawa masuk
hanya perlu menumpukan perhatian pada pekerjaan masing-masing tanpa perlunya ada
usaha untuk meningkatkan hubungan sosial dengan kaum berlainan.
Natijah kepada dasar pecah dan perintah ini turut dapat dilihat sehingga selepas
kemerdekaan dengan tercetusnya rusuhan kaum dalam Peristiwa 13 Mei. Dalam peristiwa
tersebut, kaum Cina dan Melayu khususnya saling berbalas-balas kebencian sehingga
terjadinya pembunuhan besar-besaran antara kaum (Ahmad Zaharuddin Sani, 2014).
Antara faktor utama yang menyebabkan peristiwa ini berlaku adalah sentimen politik yang
dipupuk akibat daripada penjajahan Inggeris yang mewujudkan jurang ekonomi dan
pendidikan serta Jepun yang memberikan layanan yang berbeza kepada kaum Melayu dan
Cina. Hasilnya, perpaduan kaum menjadi agak sukar untuk dibentuk pada peringkat awal
dan kesan pada ekonomi jelas dapat dilihat sehingga kini.

Berdasarkan dasar pecah dan perintah yang dilaksanakan, kaum Melayu


kebanyakannya bekerja dan tinggal di kawasan kampung dan tidak begitu terdedah dengan
perkembangan ekonomi. Berlainan pula dengan kaum Cina dan India yang ditempatkan di
kawasan perlombongan dan estet getah yang akhirnya berkembang menjadi bandar besar
seperti Kuala Lumpur yang kemudiannya menunjukkan perkembangan ekonomi yang
sangat pesat. Perkara ini turut dinyatakan oleh Ness dalam Hamidah, Muhammad & Norlin
(2009) bahawa kaum bukan bumiputera dibiarkan maju dalam ekonomi moden, iaitu
perniagaan, pembuatan, pengeluaran getah dan perlombongan bijih timah yang memberi
pendapatan yang lebih tinggi, manakala bumiputera dibiarkan bergiat terus dalam ekonomi
pertanian tradisional. Hal ini menjadikan jurang pendapatan atau ekonomi antara kaum
menjadi begitu ketara. Pernyataan ini turut disokong Hamidah et. al. (2009) yang
menerangkan perbezaan purata perbelanjaan isi rumah antara kaum yang pada akhirnya
menunjukkan perbelanjaan isi rumah Cina adalah 1.7 kali ganda daripada Melayu.
Menurutnya lagi, dari segi nilai isi rumah, Melayu membelanjakan RM154.83 ke atas
barangan makanan berbanding dengan isi rumah Cina dan India iaitu RM226.51 dan
RM237.20. Hal ini menunjukkan ketidaksetaraan dalam agihan pendapatan pada waktu
berkenaan iaitu sekitar tahun 1947 sehingga 1957.

Berikutan berlakunya perbezaan yang ketara pada struktur ekonomi setiap kaum
akibat daripada dasar pecah dan perintah pemerintahan British sebelum merdeka tersebut,
kerajaan telah mengambil inisiatif dengan memperkenalkan satu siri rancangan lima tahun
melibatkan Rancangan Malaya Pertama (1956-1960), Rancangan Malaya Kedua (1961-
1965), dan dilanjutkan dengan Rancangan Malaysia Pertama (1966-1970) sehingga
Rancangan Malaysia Kesebelas (2016-2020). Rancangan Malaya Pertama dan Kedua
adalah melibatkan semenanjung Tanah Melayu sebelum penyertaan Sabah dan Sarawak
bagi membentuk negara Malaysia. Rancangan Malaya Pertama tersebut dilaksanakan bagi
membangunkan ekonomi dengan memberikan penekanan yang lebih kepada sektor di luar
bandar dengan cara mempelbagaikan lagi hasil pertanian, pembinaan infrastruktur serta
menyediakan perkhidmatan kesihatan, pendidikan dan perhubungan. Namun begitu,
pencapaian Rancangan Malaya Pertama ini kurang memberangsangkan berikutan
timbulnya ancaman komunis sehingga terdapat sesetengah tempat yang diisytiharkan
darurat. Hal ini memaksa kerajaan memperuntukkan sejumlah pendapatan negara yang
besar bertujuan menjaga keselamatan negara.

Seterusnya, Rancangan Malaya Pertama dilanjutkan kepada Rancangan Malaya


Kedua iaitu masih bermatlamatkan untuk mengurangkan jurang pendapatan antara kaum
yang tinggal di bandar dan di luar bandar. Rancangan ini menekankan peranan Lembaga
Kemajuan Tanah Persekutuan (FELDA) dalam menjalankan projek Johor Tenggara dan
Projek Segitiga Jengka di Pahang bagi membuka tanah baru secara besar-besaran untuk
tujuan pertanian. Peranan Rural & Industrial Development Authority (RIDA kemudiannya
MARA) pula dilihat agak membantu dari segi penyediaan kemudahan bagi membantu
golongan luar bandar iaitu kaum bumiputera khasnya dalam membangunkan ekonomi
berdasarkan pertanian. Hal ini dapat dilihat dalam salah satu strateginya iaitu peminjaman
modal kepada pengusaha pertanian bagi membantu golongan petani memasarkan hasil
pertanian tersebut.

Kemudian, setelah berlakunya penyertaan Sabah dan Sarawak ke dalam


Semenanjung Tanah Melayu yang akhirnya membentuk negara Malaysia, aliran umum
evolusi ekonomi ini diteruskan dengan pelaksanaan Rancangan Malaysia Pertama, Kedua
dan seterusnya. Pembangunan ekonomi bagi merapatkan jurang pendapatan antara
golongan bandar dengan luar bandar menjadi semakin rancak apabila tertubuhnya sebuah
dasar dalam Rancangan Malaysia Kedua (RMK2) iaitu Dasar Ekonomi Baru (DEB). Dasar
ini menjadi strategi serampang dua mata iaitu mengurangkan dan seterusnya membasmi
kemiskinan tanpa mengira kaum dan menyusun semula struktur masyarakat agar tidak lagi
dikenali mengikut ciri ekonomi dan tempat tinggal (Hamidah et. al., 2009). DEB ini juga
dilancarkan serentak dengan Rangka Rancangan Jangka Panjang Pertama (RRJP1) yang
melibatkan empat rancangan pembangunan lima tahun merangkumi Rancangan Malaysia
Kedua (1971-1976) sehingga Rancangan Malaysia Kelima (1986-1990) yang mengambil
tempoh selama 20 tahun.

Berdasarkan sumber Unit Perancang Ekonomi, Jabatan Perdana Menteri dalam


Mohamad Asrol Arpidi, Ishak & Khairi (2014) bagi tahun 1970, kadar kemiskinan etnik
Melayu adalah paling tinggi dengan kadar 64.8% dibandingkan dengan etnik Cina (26.0%),
India (39.2%) dan lain-lain etnik (44.8%). Hal ini ditunjukkan dalam purata pendapatan Commented [u4]: mesti dibandingkan dgn akhir DEB pada
1990 dan pencapaian ekonomi pada masa kini 2017 atau
keluarga di mana bagi purata pendapatan keluarga Melayu didapati dua kali ganda jauh 2018
lebih rendah sebanyak RM172.00 berbanding kaum Cina (RM394.00) dan India
(RM304.00). Sementara itu, majoriti orang Melayu yang terlibat dalam sektor pertanian
mempunyai daya pengeluaran yang rendah berbanding kaum Cina yang terlibat dalam
sektor galian, pembuatan dan perdagangan, mempunyai daya pengeluaran yang tinggi
sehingga dua atau tiga kali ganda. Justeru, bagi mengimbangkan penggunaan daya tenaga
setiap etnik, pemindahan buruh di antara sektor dilakukan dengan cara menambahkan lagi
peluang bagi orang Melayu menyertai kegiatan ekonomi di sektor perlombongan,
perdagangan serta sektor profesional.

Lanjutan daripada DEB tersebut, pencapaian yang memberangsangkan telah dapat


dilihat walaupun tidak secara menyeluruh melibatkan pengurangan dalam kadar kemiskinan
seperti yang dinyatakan dalam Ringkasan Rancangan Malaysia Keempat 1981-1985, iaitu
sebanyak 20.1% sehingga tahun 1980 melibatkan penurunan angka sekurang-kurangnya
125,700 orang. Peningkatan dalam agihan guna tenaga iaitu pekerjaan mengikut sektor juga
berlaku peningkatan bagi penyertaan bumiputera dalam sektor kedua iaitu perlombongan,
pembuatan, pembinaan dan pengangkutan di mana ia meningkat sebanyak 7.7% daripada
tahun 1970 kepada 1980. Corak yang sama juga berlaku dalam sektor ketiga iaitu
perniagaan borong dan runcit, bank, pentadbiran awam, pelajaran, kesihatan, pertahanan
dan kemudahan awam. Dalam sektor ketiga ini, bahagian guna tenaga bumiputera
bertambah sebanyak 4.4% daripada 42.6% pada tahun 1970. Peningkatan yang sama juga
boleh dilihat dalam pemilikan harta bagi bumiputera serta keterlibatannya dalam bidang
perdagangan dan perindustrian hasil bantuan dan latihan yang diberikan agensi-agensi
kerajaan seperti Majlis Amanah Rakyat (MARA), Pusat Daya Pengeluaran Negara dan
Bahagian Khidmat Nasihat (PERNAS) dan sebagainya.

Secara keseluruhannya, pelaksanaan DEB selama 20 tahun banyak membawa


perubahan kepada struktur ekonomi negara di mana jurang pendapatan antara golongan
bandar dan luar bandar serta etnik khususnya menjadi semakin rapat yang secara tidak
langsung memberi kesan yang positif terhadap perpaduan kaum. Golongan bumiputera dan
bukan bumiputera lebih banyak terlibat secara langsung dalam program ekonomi yang
dilaksanakan sehingga membawa kepada interaksi sosial yang lebih maksimum berbanding
sebelumnya iaitu dipecahkan mengikut kegiatan ekonomi.

Dengan berakhirnya Rangka Rancangan Jangka Panjang Pertama (RRJP 1) dan


Dasar Ekonomi Baru (DEB), bermula pula Rangka Rancangan Jangka Panjang Kedua
(RRJP 2) pada tahun 1991 hingga 2020 dengan pengenalan dasar baru iaitu Dasar
Pembangunan Nasional (DPN) yang diperkenalkan oleh Perdana Menteri Malaysia ke-4
Y.A.B. Dato' Seri Tun Dr. Mahathir Mohamad. Matlamat utama DPN ialah bagi menjadikan
Malaysia sebuah negara maju menjelang tahun 2020 di samping meneruskan matlamat dan
strategi asas DEB yang menyumbang kepada pengukuhan perpaduan negara. Namun,
seperti yang dinyatakan dalam kajian Wan Nor Azriyati, Faizah, Noor Rosly & Wang (2011),
beberapa peralihan pendekatan telah dilaksanakan bagi usaha pembangunan, antaranya
penekanan lebih kepada strategi menyusun semula masyarakat dan pembasmian
kemiskinan terhadap golongan termiskin (daif) selain kemiskinan relatiff.

Selain itu, pembangunan sebuah masyarakat Perdagangan dan Perindustrian


Bumiputera (MPPB) juga lebih ditumpukan sebagai satu strategi penting ke arah
meningkatkan seterusnya mengekalkan penyertaan bumiputera dalam kegiatan ekonomi.
DPN juga lebih memberikan penekanan kepada sektor swasta untuk melibatkan diri dalam
proses penyusunan semula masyarakat selain memberi lebih tumpuan kepada
pembangunan sumber manusia termasuk sistem nilai dan etika bagi mencapai matlamat
pertumbuhan ekonomi dan pengagihan yang saksama. DPN juga menyaksikan lahirnya
Wawasan 2020 bagi menjadikan Malaysia sebuah negara maju yang mempunyai kegiatan
ekonomi berasaskan sektor kedua dan ketiga. Hasilnya, negara Malaysia menjadi sebuah
negara perindustrian yang memacu pertumbuhan ekonomi menjadi dengan pengurangan
kadar inflasi, harga yang stabil serta kadar guna tenaga yang penuh.

Melalui dasar yang dilaksanakan, dapat dilihat ia bukan sahaja meningkatkan taraf
hidup warganegara malah secara tidak langsung menangani punca kepada masalah
perpaduan kaum akibat jurang ekonomi dan penempatan yang sangat berbeza. Keterlibatan
setiap kaum dalam setiap aktiviti ekonomi juga semakin kerap berikutan kadar guna tenaga
yang digunakan lebih seimbang.

3.0 Penutup Commented [u5]: Kesimpulan


- perlu masukkan penyataan pakar ekonomi/ pemimpin /
pakar sejarah dll bagi menyokong hujah anda.

Kesimpulannya, masalah ekonomi boleh memberi kesan yang mendalam kepada struktur
sosial dan perpaduan kaum. Hal ini disebabkan ia berkait secara langsung dengan interaksi
sosial setiap kaum dalam membina hubungan baik dan positif sebagai rakyat yang tinggal di
negara multi budaya. Justeru, dapat dilihat peranan banyak pihak diusahakan bagi
mencapai matlamat tersebut. Sebagai seorang rakyat yang baik, segala jurang dan
perbezaan yang wujud antara kaum tidak perlu difokuskan malah titik persamaan perlu
dicari agar wujudnya hubungan yang harmoni. Hal ini penting bagi melahirkan sebuah
negara yang kekal aman dan makmur dalam menyediakan kehidupan yang berkualiti untuk
generasi seterusnya.
RUJUKAN

Ahmad Zaharuddin Sani Ahmad Sabri. (2014). Paksa raya Malaysia. Kuala Lumpur: Institut
Terjemahan & Buku Malaysia Berhad.

Hamidah Ab Rahman, Muhammad Daud & Norlin Ahmad. (2009). Pembangunan ekonomi
dalam hubungan etnik. Dalam Kassim Thukiman & Hamidah Abdul Rahman,
Hubungan etnik di Malaysa: Perspektif teori dan praktik (185-198). Skudai: Penerbit
Universiti Teknologi Malaysia.

Harzidatul ‘Aini Bohari. (2015). Dasar Ekonomi Baru: Kesan sosioekonomi di daerah
Manjung, Perak (1970-1990). Tesis Master, Universiti Sains Malaysia.

Kamus Dewan Edisi Keempat. (2007)

Ku Hasnan Ku Halim. (2012). Membugar harapan pemersatuan atau menanti masa


ditalkinkan atas nama bernegara? Dimana bahasa melayu dalam pemupukan jati diri
bangsa setelah 55 tahun merdeka. Dalam: Persidangan Kebangsaan Bahasa
Melayu Setelah 55 Tahun Merdeka, 26-27 November 2012, Pulau Pinang.

Mohamad Asrol Arpidi Mamat, Ishak Saat & Khairi Ariffin. (2014). Impak Dasar Ekonomi
Baru ke atas peningkatan ekonomi bumiputera selepas tragedi 13 Mei 1969. Jurnal
Perspektif, 6 (3). pp 138-151.

Mohd Irman Mohd Abd Nasir & Abdul Qayuum Abdul Razak. (2016). Analisis jenis bahasa
masyarakat India Muslim di Malaysia. Jurnal Peradaban, Jil. 9, 32-50.

Ringkasan Rancangan Malaysia Keempat 1981-1985 dan Kemajuan 10 Tahun 1971.


(1980). Kuala Lumpur: Unit Perancang Ekonomi, Jabatan Perdana Menteri.

Wan Nor Azriyati Wan Abd Aziz, Faizah Ahmad, Noor Rosly Hanif & Wang Hong Kok.
(2011). Pembasmian kemiskinan bandar ke arah bandar inklusif dan sejahtera:
cabaran Kuala Lumpur. Journal of Surveying, Construction & Property Vol. 2, Issue 1,
107-124.

You might also like