You are on page 1of 2

Usaha-usaha mewujudkan perpaduan kaum di Malaysia.

Karangan
Bahagian B. SPM

Isu perpaduan kaum merupakan satu usaha berterusan yang perlu dipikul dan dijunjung
bersama-sama oleh semua pihak. Sekiranya terlerai ikatan silaturahim dan musnah perpaduan dalam
masyarakat, nescaya pelbagai impak negatif akan menimpa masyarakat khususnya dan negara
amnya. Oleh sebab itu, pelbagai usaha perlu diambil bagi memupuk dan membaja agar perpaduan
terus subur dan mewangi dalam kehidupan masyarakat sekali gus mengelakkan peristiwa hitam 13
Mei 1969 daripada berulang kembali.

Antara usaha yang boleh dilakukan dalam untuk mewujudkan perpaduan dalam kalangan
masyarakat adalah dengan mengadakan aktiviti gotong-royong. Aktiviti gotong-royong merupakan
saluran dan peluang kepada masyarakat di sesuatu kawasan perumahan untuk bertemu dan
mengenali antara satu sama lain. Di samping itu, aktiviti ini dapat memupuk semangat bekerjasama
untuk membersihkan dan mengindahkan kawasan persekitaran tempat kediaman mereka sesuai
dengan slogan “Negara Bersih Rakyat Sihat”. Sebagai contoh, aktiviti gotong-royong yang boleh
dijalankan ialah kerja-kerja membersihkan kawasan perumahan, taman permainan, tanah perkuburan
dan sebagainya. Seterusnya, aktiviti gotong-royong dapat meringankan serta memudahkan kerja
yang sukar dilakukan ibarat kata peribahasa yang berat sama dipikul, yang ringan sama
dijinjing serta ke bukit sama di daki, ke lurah sama dituruni.

Selain itu itu, perpaduan kaum di Malaysia boleh dicapai dengan meraikan sambutan
perayaan kaum-kaum di Malaysia secara bersama-sama. Melalui amalan kunjung-mengunjung yang
dilakukan akan dapat mengeratkan ikatan silaturahim antara jiran serta rakan daripada pelbagai
kaum. Sebagai contohnya, sambutan Hari Raya Aidilfitri, Tahun Baru Cina, Deepavali, Hari Gawai
dan Hari Krismas merupakan perayaan utama yang boleh diraikan oleh seluruh masyarakat yang
terdiri daripada pelbagai kaum. Melalui kunjungan sambutan perayaan sesuatu kaum dapat
menerbitkan perasaan hormat-menghormati terhadap adat dan kepercayaan kaum lain. Di samping
itu, budaya ini dapat mengukuhkan perpaduan apabila kurangnya syak wasangka antara kaum di
Malaysia. Sekiranya perkara ini dapat dipraktikkan nescaya masyarakat Malaysia akan mampu
menghadapi apa-apa sahaja cabaran yang datang dari luar atau masyarakat antarabangsa, ibarat
kata peribahasa bulat air kerana pembetung, bulat manusia kerana muafakat serta bersatu kita teguh,
bercerai kita roboh

Seterusnya, aktiviti sukan dan permainan yang dijalankan juga boleh mewujudkan perpaduan
kaum di Malaysia. Sukan dan permainan yang dijalankan dapat dijadikan tali penghubung atau
gelanggang pertemuan pelbagai kaum di Malaysia. Dalam hal ini, satu perkara yang perlu
diselesaikan adalah dengan memecahkan monopoli sukan dan permainan yang dikuasai oleh
sesuatu kaum sahaja seperti permaian bola keranjang, ping pong, sepak takraw dan sebagainya. Kita
berharap pada suatu masa nanti pasukan bola keranjang negara misalnya, mampu diwakili pelbagai
kaum di Malaysia dan bukan sahaja dimonopoli oleh kaum Cina sahaja. Dalam konteks ini, sukan
bola sepak, badminton, hoki dapat dijadikan contoh dan teladan. Dengan bermain bersama-sama
dalam sesuatu sukan dan permainan serta seterusnya mewakili pasukan kebangsaan di peringkat
antarabangsa, akan dapat menanamkan semangat cinta akan negara. Usaha ini tentu dapat
mengharumkan nama negara sekali gus meningkatkan imej negara di peringkat antarabangsa.

Sebagaimana yang semua telah ketahui tanggal 31 Ogos 1957 merupakan tarikh keramat
kemerdekaan negara. Sambutan Hari Kebangsaan sesungguhnya membuka satu lagi jalan dalam
usaha memupuk perpaduan di Malaysia. Pada kebiasaannya, pelbagai kaum akan menyertai
upacara sambutan tersebut pada setiap tahun. Melalui pelbagai aktiviti yang dijalankan nescaya
dapat menambahkan permuafakatan antara masyarakat pelbagai kaum di Malaysia. Di samping itu,
penghayatan tema sambutan Hari Kebangsaan, misalnya Keranamu Malaysia diharap dapat
menanam semangat cinta akan negara sekali gus mengukuhkan amalan peribahasa di mana bumi
dipijak, di situ langit dijunjung. Sesungguhnya, semua kaum di Malaysia perlu memahami bahawa
kemerdekaan yang digapai pada hari ini perlu dijaga kerana Malaysia hanya satu, dan tiadak ada
duanya. Peribahasa hujan emas di negeri orang, hujan batu di negeri sendiri, baiklah di negeri
sendiri perlu direnungi oleh setiap warganegara Malaysia agar perpaduan bukanlah menjadi duri
dalam daging dalam usaha negara mencapai Wawasan 2020.

Intihanya, semua pihak perlu sedar akan pentingnya memupuk dan menjaga perpaduan
masyarakat di negara kita. Sesungguhnya, sekali kita leka dan lali serta memandang enteng akan
perpaduan kaum, nescaya kita akan menyesal untuk selama-lamanya kerana terlajak perahu boleh
diundur, terlajak kata dan tindakan buruk padahnya. Kini, kita berada dalam era globalisasi dan
liberalisasi. Pelbagai usaha dijalankan adalah demi menuju ke arah membentuk sebuah masyarakat
majmuk yang bersatu padu. Walaupun terdapat beberapa cabaran, tetapi dengan adanya
perancangan yang teliti, usaha yang gigih dan strategi yang lebih berkesan dan dilaksanakan pula
dengan penuh tanggungjawab dan bersifat proaktif oleh semua pihak sudah pasti keharmonian,
perpaduan kaum dan integrasi nasional akan tercapai.

You might also like