You are on page 1of 2

USUL : PENGIKLANAN PEMBENTUK BUDAYA KEPENGGUNAAN

CELAHAN MENTERI 4 :
Peranan medium pengiklanan dalam menyampaikan mesej moral kepada masyarakat

TYDP, dalam hal ini, pengiklanan berfungsi sebagai medium propaganda yang cukup berkesan.

Misalnya iklan MediaPrima Berhad yang menekankan soal berjimat-cermat dalam penggunaan
sumber air & elektrik dapat menangani masalah pembaziran sumber.

Sewaktu krisis bekalan air di Lembah Kelang pada Mac 2013, iklan-iklan pesanan khidmat komuniti
bukan sahaja menyampaikan maklumat berhubung catuan bekalan air, tetapi turut mengubah
mentaliti masyarakat dalam soal penggunaan sumber tersebut apabila dilaporkan berlakunya
penjimatan sehingga 60% bekalan air – hasil perkongsian maklumat menerusi paparan iklan.

Jelaslah bahawa budaya kepenggunaan yang positif dalam mengoptimumkan penggunaan sumber
dapat dibentuk menerusi peranan berkesan medium pengiklanan.

CELAHAN MENTERI 5 :
Penggunaan medium pengiklanan dalam menggalakkan amalan kitar semula

TYDP, tanggungjawab pengguna dalam membudayakan amalan kitar semula (yakni, reuse, reduce
dan recycle) dapat dipupuk menerusi penyaluran maklumat yang diiklankan. Misalnya, para
penonton iklan boleh mengenalpasti warna-warna tong kitar semula & bahan-bahan buangan yang
perlu diasingkan ke dalam tong-tong sersebut.

Tinjauan atas talian oleh Jabatan Alam Sekitar Malaysia mendapati bahawa lebih 90% pengguna
memperoleh maklumat yang tepat lagi sahih menerusi iklan-iklan kitar semula yang seringkali
diulang-tayang menerusi media. Situasi ini membentuk sikap tanggungjawab pengguna dalam
membudayakan amalan kepenggunaan yang positif terutamanya melibatkan soal memulihara alam
sekitar.

Jelaslah bahawa pengaruh iklan dalam membentuk budaya kepenggunaan cukup signifikan pada
masa kini.
USUL : PENGIKLANAN PEMBENTUK BUDAYA KEPENGGUNAAN

CELAHAN PEMBANGKANG 4 :
Masalah kesahihan testimoni & pengendorsan produk

TYDP, dalam hal ini, pengiklanan berfungsi sebagai medium promosi & publisiti bagi menarik minat
pengguna untuk membuat pembelian. Namun begitu, nilai kebolehpercayaan pengguna terhadap
kesahihan testimoni produk dilihat masih lagi rendah kerana wujudnya unsur-unsur
memanipulasikan fakta semata-mata bagi meraih keuntungan.

Malah, timbul juga masalah pertindihan hak pengendorsan produk sepertimana yang pernah
berlaku dalam satu iklan tudung terkemuka yang menggunakan wajah seorang selebriti wanita
dipaparkan dalam papan iklan gergasi. Selebriti tersebut bertindak menyaman syarikat pengeluar
tudung berkenaan kerana menyiarkan iklan menggunakan imej beliau tanpa keizinan.

Kekangan sebeginilah yang menjejaskan usaha menjadikan pengiklanan sebagai pembentuk kepada
budaya kepenggunaan yang positif.

CELAHAN PEMBANGKANG 5 :
Menggalakkan budaya pembaziran dalam kalangan pengguna

TYDP, daya tarikan pengiklanan yang mempromosikan tawaran hebat bagi buffet berbuka puasa di
hotel-hotel terkemuka ketika bulan Ramadan sebenarnya menggalakkan budaya pembaziran dalam
kalangan pengguna.

Bayangkanlah, pengguna tertarik dengan iklan-iklan promosi yang dipaparkan, membayar dengan
harga yang lebih mahal berbanding biasa kerana ditawarkan kepelbagaian menu makanan. Lebih
buruk lagi, pengguna seolah-olah keliru antara berbuka puasa menurut keperluan dengan berbuka
puasa menurut kehendak hawa nafsu.

Laporan Persatuan Pengguna Islam Malaysia merekodkan berlakunya antara 15 hingga 25%
pembaziran makanan yang diambil kerana pengguna terpengaruh dengan konsep iklan yang
memberi persepsi bahawa ‘kita boleh makan apa sahaja kerana kita sudah membayarnya’. Amalan
pembaziran sebegini amat bertentangan dengan budaya kepenggunaan yang positif.

You might also like