You are on page 1of 13

Bab 1 Pendahuluan

Mengikut pembacaan daripada buku terbitan Ishak Saad yang berjudul Politik Suara
Rakyat,perkara yang memainkan peranan utama dalam menaikkan kebangkitan rakyat
menentang penjajahan adalah melalui akhbar. Akhbar merupakan satu media yang
menyalurkan pelbagai maklumat dan menjadi alat komunikasi yang cukup penting pada
ketika itu. Lantaran sistem perhubungan yang agak lambat berkembang dan kurang maju
pada ketika itu di Tanah Melayu, maka akhbar merupakan media cetak yang digunakan pada
ketika itu. Terdapat beberapa jenis akhbar dan majalah pada ketika itu yang aktif seperti Al
Iman, Pengasuh, Warta Malaya, Saudara dan Majlis. Akhbar dan majalah ini bukan sahaja
menyampaikan maklumat berkaitan Tanah Melayu, malah turut melebarkan info-info dan
perkembangan di luar negara. Oleh itu, akhbar dan majalah menjadi begitu penting sekitar
akhir abad ke-19 dan awal abad ke-20.

Selain itu, akhbar juga menjadi platform perkembangan politik tidak kira di Tanah Melayu
dan luar negara. Perkembangan politik dunia pada awal abad ke-20 memperlihatkan
kebangkitan kesedaran rakyat peribumi di seluruh dunia yang dijajah bangkit menyatakan
pendirian mereka. Akhbar menjadi platform dan wadah dalam memaparkan berita-berita
kebangkitan mereka terhadap golongan penjajah. Peranan akhbar dilihat semakin rancak lagi
selepas Perang Dunia Kedua kerana berlaku kebangkitan nasionalisme dalam kalangan
penduduk tempatan dalam memperjuangkan kedaulatan bangsa, agama, dan negara.
Kebangkitan merangkumi seluruh penduduk di dunia termasuklah di Eropah, Timur
Tengah,Kepulauan Melayu dan lain-lain. Salah satu tempat berlaku kebangkitan nasionalisme
adalah di Tanah Melayu. Ketika itu , Tanah Melayu berada dalam cengkaman penjajah barat
iaitu British. Pada masa itu, British menggunakan segala kekuasaan mereka untuk menyekat
akan kebangkitan penduduk tempatan yang menentang pentadbiran British. Namun
begitu,kebangkitan telah menyebabkan pihak British gusar. Media cetak menjadi begitu
penting pada ketika itu kerana menjadi alat seruan kepada penduduk tempatan supaya bangkit
menentang British. Salah satu akhbar yang cukup lantang mengkritik dan menyeru orang
Melayu supaya bangkit adalah Suara Rakyat. Perkembangan semasa memperlihatkan akhbar
ini lebih kehadapan jika dibandingkan dengan akhbar-akhbar lain yang wujud pada ketika itu.
Akhbar Suara Rakyat ini didokong dan diuruskan oleh PKMM. PKMM melaungkan
perjuangan mereka agar penduduk di Tanah Melayu bangkit menuntut kemerdekaan dan
bebas daripada cengkaman kuasa British. Justeru, sekumpulan anak muda di Perak
memulakan langkah berani dengan merampas pejabat pencetakan Perak Shimbum pada Ogos

1
1946 dan dijadikan pejabat akhbar Suara Rakyat. Dengan tindakan itu, terbitlah sebuah
akhbar bagi golongan radikal Melayu di Perak.Maka secara rasmi akhbar Suara Rakyat
ditubuhkan pada 8 September 1945 di Ipoh, Perak.

Sebelum berbicara dengan lebih teliti mengenai akhbar Suara Rakyat, sebaiknya kita selami
dulu latar belakang akhbar-akhbar yang terdapat di Tanah Melayu. Kebangkitan orang
Melayu selaras dengan perkembangan akhbar tempatan dan kebangkitan kesedaran tokoh-
tokoh politik Melayu dari negeri Perak terutamanya. Melalui peranan akhbar, orang Melayu
dapat mengetahui maklumat-maklumat penting dan perkembangan politik berlaku di Tanah
Melayu. Antara akhbar yang aktif dan berperanan pada ketika itu adalah Al Iman, Saudara,
Pengasuh, Majlis, Warta Malaya dan Fajar Asia. Akhbar-akhbar inilah yang menyebar dan
menyampaikan segala maklumat tentang kebangkitan rakyat serta menyeru masyarakat
untuk menentang penjajah. Masyarakat imigran iaitu China dan India pada ketika itu telah
menuntut hak sama rata di Tanah Melayu. Oleh sebab itu, penduduk asal Tanah Melayu telah
bangkit diatas tuntutan yang cuba diperjuangkan itu. Lantaran itu, tokoh-tokoh politik
Melayu memilih untuk menceburi diri dalam bidang penulisan dalam akhbar-akhbar
tempatan yang sedang berkembang pesat. Mereka memilih jalan ini kerana bersesuai dengan
perjuangan mereka untuk menyedarkan orang Melayu yang sekian lama terlena. Antara
mereka yang memilih untuk melibatkan diri dalam penerbitan akhbar ialah Syed Sheikh Al
Hadi, Zainal Abidin Ahmad(ZA’BA), A Samad Ismail, Dato Onn Jaafar, Ahmad Boestamam,
Shamsuddin Salleh, Abdul Majid Salleh, Burhanuddin Al-Helmy dan Zaid Zahari.
Pendekatan penulisan dalam akhbar amat penting dan berjaya menimbulkan kesedaran politik
dalam kalangan orang Melayu di Tanah Melayu.

Di negeri Perak, perkembangan akhbar turut berlaku seperti terbitnya akhbar Warta Perak,
Warta Kinta dan juga Berita Perak. Pusat operasi bagi akhbar-akhbar ini adalah di Ipoh.
Terdapat perbezaan isi yang disampaikan diantara akhbar Warta Kinta dengan Berita Perak.
Dimana Warta Kinta memuatkan kisah kemunduran masyarakat Melayu yang perlu dibela
manakala Berita Perak pula lebih kepada akhbar propaganda Jepun yang banyak memuja-
muja kehebatan Jepun. Akhbar tempatan Melayu pada waktu itu pula banyak membicarakan
tentang kepincangan dasar pentadbiran British yang tidak membela nasib orang Melayu dan
lebih mengutamakan orang luar seperti orang China dan Barat. Malah campur tangan British
dalam adat resam Melayu, pentadbiran dan juga menggunakan bahasa Inggeris sebagai
bahasa rasmi di Tanah Melayu telah membimbangkan orang Melayu. Oleh itu, masyarakat
Melayu perlu bangkit dan sedar akan kepincangan yang mereka hadapi ini. Slogan Asia

2
untuk Asia mula berkumandang bagi menyedarkan orang-orang Melayu untuk
mempertahankan diri sendiri tanpa dibantu oleh pihak lain. Slogan itu bukan sahaja
menyedarkan rakyat di Tanah Melayu , malah turut memberi kebangkitan kepada masyarakat
seluruh Asia. Ahmad Boestaman, Abdul Samad Ahmad dan lain-lain merupakan individu
yang menerbitkan akhbar tempatan di Perak. Mereka juga adalah ahli Gerakan Kiri Tanah
Air(KITA). Mereka telah berjaya merampas pusat percetakan akhbar Perak Shimbum.
Pengambilalihan pejabat percetakan itu telah memudahkan mereka untuk menerbitkan akhbar
sendiri. Maka dengan inilah akhbar Suara Rakyat ditubuhkan di Ipoh,Perak. Bagi
memantapkan lagi penerbitan akhbar Suara Rakyat, Ahmad Boestaman telah menjemput
beberapa individu seperti Dahari Ali dan lain-lain untuk memantapkan lagi penerbitan akhbar
ini. Ahmad Boestaman telah menegaskan bahawa tujuan utama penerbitan akhbar Suara
Rakyat adalah untuk memberikan kesedaran kepada rakyat tentang kepentingan bernegara,
menjelaskan hak dan tanggungjawab orang Melayu dalam segala pemerintahan di Tanah
Melayu. Bagi memperkasakan dan mengembangkan platform media bercetak ini, satu
perjumpaan diantara semua persatuan telah diasakan di Padang Kelab Golf Ipoh. Tujuannya
adalah untuk mengumpulkan semua maklumat yang berkaitan dengan kebajikan rakyat yang
perlu diajukan kepada pihak British.

Selain itu, dari segi pengisian mesej akhbar Suara Rakyat adalah lebih bersifat terbuka dan
meluas walaupun pada awalnya hanya bertujuan untuk mengkritik penjajahan Jepun dan
menyeru rakyat umum agar berusaha memerdekakan Tanah Melayu. Dalam penulisan akhbar
Suara Rakyat juga telah menyarankan kepada penjajah British agar Malaya diberikan
kemerdekaan dengan segera bersama-sama Indonesia. Akhbar ini juga menegaskan agar
kemerdekaan diberikan dengan kaedah demokrasi dan berhak memerintah sendiri negara
ini.Peranan akhbar dilihat cukup penting terhadap penyebaran kesedaran dalam masyarakat
dan terbukti berjaya memberi kesedaran kepada orang-orang Melayu. Dengan adanya akhbar
Suara Rakyat ini juga telah membantu PKMM untuk terus berjuang dalam membela Tanah
Melayu ini supaya tidak dipermainkan dan dijajah lagi. Dapat disimpulkan bahawa peranan
akhbar ini berjaya membangkitkan orang-orang Melayu supaya menentang segala bentuk
penjajahan yang di Tanah Melayu.

3
Bab 2 Perjuangan Suara Rakyat Dan Politik Melayu Perak

Ulasan yang dapat dibuat selepas pembacaan mengenai bab 2 iaitu perjuangan suara rakyat
dan politik Melayu Perak adalah berkaitan dengan politik di Perak serta peranan akhbar Suara
Rakyat. Perak merupakan salah sebuah negeri yang menerima dasar pemerintahan British
yang awal diantara negeri-negeri di Tanah Melayu. Kehadiran penjajah British telah
mengubah dasar pemerintahan di Perak yang mana sebelum itu dikuasai oleh golongan
kesultanan Perak dan para pembesar tempatan. Hal ini juga telah mengubah dasar politik di
negeri Perak. Dilihat pada latar belakang politik Melayu di Perak, kesedaran nasionalisme
wujud seawal abad ke-17 lagi dimana telah berlaku beberapa peristiwa yang menunjukkan
penentangan orang-orang Melayu terhadap penjajahan barat. Peristiwa itu juga telah
menyebabkan termetrainya Perjanjian Pangkor pada 20 Januari 1874.

Antara tokoh yang mengetuai penentangan menentang kuasa British ialah Sultan Abdullah,
Dato’ Maharajalela, Dato’ Sagor dan lain-lain. Mereka ini merupakan wira Perak dalam
menjaga kedaulatan negeri Perak sehingga ada yang dihukum mati dan dibuang negeri akibat
menentang British. Kebangkitan orang Melayu di Perak dan di negeri-negeri lain tidak
berjaya sepenuhnya kerana waktu itu kebangkitan mereka tidak serentak kerana masalah
komunikasi. Dasar-dasar yang dijalankan oleh British di Tanah Melayu telah melemahkan
orang Melayu terutamanya terhadap sistem ekonomi, institusi istana dan sebagainya. Dasar
yang dijalankan oleh pihak British ini adalah beracuan sistem barat tidak kira dari segi
ekonomi, pendidikan, politik dan lain-lain. Hal ini telah menyukarkan orang-orang Melayu
untuk menyesuaikan diri dalam kancah pemerintahan bercorak barat. Walaupun jejas berlaku
penentang orang Melayu terhadap kuasa British, namun golongan bangsawan pula lebih
selesa dengan pemerintahan British kerana golongan ini diberi layanan yang istimewa.
Golongan bangsawan dan istana mula yakin terhadap pemerintahan British setelah British
menjaga keistimewaan orang Melayu dengan mengekalkan kawasan penempatan seperti
rizab Melayu. Oleh itu, segala bentuk penentangan orang Melayu sukar mendapat restu oleh
golongan istana dan bangsawan. Namun sebaliknya, British bersikap mengekalkan hak dan
ekonomi orang Melayu tanpa membuat pembangunan dan perubahan.

Di Perak, perjuangan jelas dilakukan melalui dua media cetak iaitu akhbar Suara Rakyat dan
juga Voice of The People. Akhbar ini adalah cetusan oleh golongan PKMM yang
memperjuang dan menyedarkan orang-orang Melayu supaya bangkit menentang British.
Mereka menuntut hak kemerdekaan daripada British supaya Tanah Melayu ini ditakbir oleh

4
masyarakat Melayu sendiri. PKMM juga meminta agar pihak British menyelaraskan aspek
pendidik mengikut kehendak semasa dan bukannya mengikut kepentingan British. Akhbar
Voice of The People menegaskan bahawa sistem pendidikan yang dijalankan oleh British
hanya bertujuan untuk melahirkan pekerja dan pegawai British yang bekerja untuk
melancarkan sistem pentadbiran penjajahan British di Tanah Melayu. Bangsa Melayu di
Tanah Melayu haruslah sedar bahawa kesedaran bangsa lain sudah berlaku di dunia
khususnya Indonesia yang tidak bergantung kepada sistem pendidikan barat. Gagasan
Malayan Union yang cuba dilakukan oleh British tidak berjaya kerana masyarakat telah sedar
akan tipu helah mereka dan PKMM sendiri tidak bersetuju dengan rancangan Bristish itu.
Sebaliknya PKMM dan orang Melayu inginkan Tanah Melayu diperintah oleh mereka sendiri
tanpa ada unsur campur tangan kuasa asing lagi terutamanya British. Ketika ini akhbar seperti
Suara Rakyat dan Majlis mula memainkan peranan masing-masing dalam menyedarkan
orang-orang Melayu untuk tidak menyokong gagasan British itu. Raja-raja melayu dan
golongan bangsawan juga menentang gagasan yang cuba dilakukan oleh British kerana
bimbang gagasan itu mampu mengugat kuasa mereka. Namun begitu,orang-orang Melayu
sudah tidak menyukai dengan raja-raja Melayu dan golongan bangsawan yang hanya
bersuara saat mereka berasa tergugat sahaja dan berdiam diri pada ketika orang-orang Melayu
terbeban pemerintahan British ini.

Peranan akhbar cukup hebat pada ketika itu kerana mampu menghalang penjajahan British
untuk terus menjajah Tanah Melayu. Akhbar-akhbar yang wujud pada ketika itu menjadi
penyalur kepada maklumat dan bantahan golongan PKMM dan orang Melayu terhadap
British. Akhbar Suara Rakyat merupakan media cetak yang telah mengubah pemikiran orang
Melayu untuk sedar dari tidur yang lena dibuai oleh tipu helah penjajah British. Pada awal
abad ke-20, perkembangan dan gerakan nasionalisme Melayu bertambah meluaskan selepas
Perang Dunia Kedua tercetus. Hal ini dikatakan sedemikian kerana wujudnya golongan
radikal yang anti-British. Antara golongan radikal yang wujud ialah (AWAS), (PNI), (PETA)
dan sebagainya. Namun pengakhirannya, parti-parti golongan radikal ini dihapuskan kerana
British berjaya menghidu tujuan ianya ditubuhkan.

Kesimpulannya,akhbar tempatan berperanan mengerakkan pertubuhan politik di Tanah


Melayu. Maklumat yang disampaikan melalui akhbar-akhbar ini berjaya menggugat
pemerintahan penjajah British sehingga tercapainya kemerdekaan. Jelaslah bahawa akhbar
memainkan agendanya tersendiri dan mampu menyedarkan orang-orang Melayu untuk sama-
sama berjuang menuntut hak dan kemerdekaan.

5
Bab 3 Akhbar Dan Kesedaran Politik Melayu

Ulasan untuk bab 3 adalah menceritakan tentang matlamat dan fokus ahli PKMM iaitu untuk
menyedarkan orang Melayu supaya bangkit menentang British serta menyemai semangat
nasionalisme. Di Kepulauan Melayu, sememangnya telah sebati dengan ajaran Islam yang
merupakan agama rasmi dan utama bagi orang-orang Melayu. Kebangkitan kesedaran Islam
dan juga lahirnya gerakan nasionalisme yang dipelopori oleh golongan yang berpendidikan
Barat telah membuatkan perjuangan bangsa Melayu menjadi hebat dan menarik. Satu institusi
yang berkefahaman sekularisme iaitu Maktab Perguruan Sultan Idris(SITC) diperkenalkan.
Institusi pendidikan berjaya melahirkan golongan guru yang berjiwa rakyat,sedar akan
kepentingan dan kebajikan orang Melayu serta menjadi pembela bangsa. Orang-orang sudah
lama terseksa dengan corak pemerintahan British tidak kira aspek ekonomi,sosial dan lain-
lain. Oleh sebab itu,beberapa individu telah bertegas dengan menyuarakan ketidakpuasan hati
diatas pentadbiran British lebih-lebih kepada orang-orang Melayu. Penyuaraan itu dilakukan
oleh beberapa kesatuan termasuklah Kesatuan Melayu Muda(KMM) yang diketua oleh
Ibrahim Haji Yaakub. Namun persatuan ini dihapuskan oleh British dan telah memaksa para
pendukung (KMM) memilih untuk menaja dan menubuhkan parti politik baharu seperti
Kesatuan Rakyat Indonesia Semenanjung(KRIS), (PKMM), Hizbul Muslimin dan
sebagainya. Kebanyakkan parti di Indonesia dibawah pemerintahan Jepun. Parti-parti
memperjuangkan kemerdekaan melalui konsep satu rumpun bangsa. Perbincangan telah
dibuat di Taiping ,Perak pada 13 Ogos 1945 untuk membincangkan mengenai kemerdekaan
Tanah Melayu dengan Indonesia di bawah konsep Melayu Raya. Wakil Tanah Melayu ialah
Ibrahim Haji Yaakub, Dr Burhanuddin Al-Helmy dan wakil dari Indonesia ialah Sukarno dan
Hatta serta sorang wakil dari KRIS iaitu Onan Siraj. Penghujung tahun 1944,penguasaan
Jepun di Indonesia mula lemah dan perjanjian untuk mendapat kemerdekaan bersama antara
Tanah Melayu dan Indonesia musnah.

Selepas Indonesia di isytihar merdeka pada tahun 1945,ramai golongan radikal Tanah Melayu
telah berpindah ke Indonesia dan menyertai Parti Nasionalis Indonesia(PNI). Walaupun
Indonesia telahpun merdeka,tetapi saki baki penjajah masih ada. Pada 27 Disember 1949,
penjajah Belanda secara rasmi pula menyerahkan kedaulatan dan memberikan kemerdekaan
kepada rakyat Indonesia di bawah kepimpinan Presiden Sukarno dan timbalanya Drs
Mohammad Hatta. Telah terbukti bahawa semangat pemuda adalah satu inspirasi yang
membawa kearah menuntut kemerdekaan di Tanah Melayu dan juga Indonesia disamping
peranan-peranan akhbar yang cukup berkesan. Indonesia dan Tanah Melayu sememangnya

6
satu rumpun yang hebat. Hal ini kerana , kedua-dua buah negara ini saling bekerjasama
dalam membebaskan tanah air daripada cengkaman penjajah barat.

Akibat kegagalan untuk mencapai kemerdekaan bersama-sama Indonesia telah membuatkan


para pejuang Melayu merancang gerakan dan strategi selanjutnya demi untuk mendapatkan
kemerdekaan Tanah Melayu. Parti PKMM ditubuhkan dibawah kepimpinan Mokhtaruddin
Lasso, Dr Burhanuddin Al-Helmy, Ishak Haji Muhammad dan Ahmad Boestaman. Negeri
Perak menjadi pusat gerakan radikal di Tanah Melayu. Segala perbincangan dan mesyuarat
kebanyakkan diadakan di sekita negeri Perak. Namun begitu, PKMM telah cuba diresapi oleh
beberapa tokoh pendukung aliran komunisme dalam kalangan orang Melayu, antara mereka
waktu itu ialah Mokhtaruddin Losso, Rashid Maidin dan lain-lain. Kehadiran pejuang-
pejuang radikal pada ketika itu berjaya menghalang pengaruh komunisme ini merebak dalam
kalangan orang-orang Melayu di Tanah Melayu. Menurut tokoh radikal Melayu iaitu Ishak
Haji Muhammad dalam Memoir Pak Sako Putera Gunung Tahan, mereka menubuhkan parti
PKMM ini demi menyahut cabaran dan memenuhi tuntutan perjuangan membela bangsa
Melayu. Kehadiran PKMM dalam persada politik Tanah Melayu tidak direstui oleh pihak
penjajah. Dengan itu juga, ramai pemimpin PKMM meringkuk di dalam penjara atas tuduhan
mengancam keselamatan negara. Selepas keluar penjara, mereka juga tetap aktif dalam
perjuangan mereka dan telah menyertai pelbagai pertubuhan politik yang ada pada waktu itu
seperti Parti Islam SeMalaya(PAS), Parti Rakyat Melayu/Malaya(PRM) dan PKM.

Selain itu, Firdaus Haji Abdullah dalam bukunya Radical Malay Politics, turut menegaskan
bahawa kedua-dua buah institusi iaitu SITC/MPSI dan Maahad II Ihya As-Sharif
sesungguhnya telah menyumbang peranan penting dalam menjadi penggerak kearah
kebangkitan semangat nasionalisme Melayu dan penjana gerakan politik Melayu Perak.
Kesimpulannya, semangat juang amatlah penting dalam menentang penjajah demi
memartabatkan tanah air yang tercinta.

Bab 4 Pengaruh Politik Dunia Kepada Gerakan Politik Melayu

Sememangnya , perkembangan politik dunia telah banyak memperngaruhi gelombang politik


di Tanah Melayu tidak kira di sekitar benua Asia , Eropah, Afrika dan lain-lain. Dilihat pada
senario politik iaitu berkaitan dengan perkembangan isu kebangkitan perjuangan
nasionalisme di India, perjuangan nasionalisme di China dan juga kebangkitan semangat

7
nasionalisme di Indonesia. Keadaan yang politik dunia yang berlaku itu sedikit sebanyak
telah membakar semangat pemuda-pemuda terutamanya di negeri Perak. Pemuda-pemuda itu
telah berjuang untuk membela nasib orang-orang Melayu serta berjuang untuk mencapai
kemerdekaan di Tanah Melayu. Masyarakat Melayu hidup tertindas akibat oleh sistem
pemerintahan yang dijalankan oleh British di Tanah Melayu. Rakyat Melayu diketepikan
dalam aspek ekonomi, pendidikan dan sebagainya. Oleh sebab itu, pelbagai usaha telah
dilakukan oleh kaum muda terutama golongan PKMM yang terus membela dan
mempertahankan kedaulatan negara sehingga terpaksa dikenakan hukuman yang berat kerana
dituduh menggugat keselamatan negara. Oleh itu, dapat dilihat bahawa banyak faktor yang
mempengaruhi dan menjadi pemangkin kepada perjuangan politik di Tanah Melayu. Faktor-
faktor telah menyumbangkan pengaruh yang besar dalam perjuangan berbentuk politik
bangsa Melayu.

Selain bertujuan untuk berjuang menentang penjajah British, orang-orang Melayu juga
berjuang untuk mencapai kemakmuran masyarakat antara kaum di Tanah Melayu. Dimana
kita ketahui, masyarakat di Tanah Melayu bukan terdiri dari orang Melayu sahaja, tetapi
bangsa lain seperti China dan India juga menetap di Tanah Melayu. Oleh hal yang demikian,
PKMM telah berkerjasama dan berbaik-baik dengan bangsa lain yang menetap di Tanah
Melayu untuk mendirikan perpaduan penduduk Malaya(Malayan United Front) bagi
menjadikan Malaya Merdeka makmur dan berbahagia sebagai satu anggota Republik
Indonesia Raya. Namun, langkah PKMM itu tidak berjaya di bawah kepimpinan
Mokhtaruddin Losso kerana jelas diresapi fahaman Komunis. Selepas itu, Dr Burhanuddin
berusaha membersihkan PKMM daripada dipengaruhi fahaman komunis. PKMM telah
menjalinkan kerjasama yang erat dengan PAS untuk terus berjuang membela nasib Tanah
Melayu ini. Keberkesanan PKMM mengembangkan sayap perjuang mereka dibuktikan
dengan pembukaan beberapa cawangan baru di sekitar negeri Perak. Jelaslah,perjuangan parti
politik yang berasaskan fahaman kebangsaan Melayu mudah diterima oleh masyarakat
Melayu kerana semangat cintakan bangsa dan tanah air sendiri yang menebal di dalam diri
masyarakat Melayu.

Di samping itu, kelantangan akhbar rasmi parti kebangsaan Melayu Malaya menjadi punca
kepada kebangkitan orang-orang Melayu di Tanah Melayu. Akhbar Suara Rakyat adalah
media cetak yang terang-terangan menentang penjajah British di Tanah Melayu.
Perkembangan Suara Rakyat amat menggalakkan dan mendapat sambutan yang baik di
negeri Perak kerana jumlah keluarannya yang sentiasa meningkat. Perkembangan ini telah

8
mendorong penulis akhbar untuk menerbitkan akhbar berbahasa Inggeris demi untuk menarik
minat kaum asing dan golongan elit Melayu di bawah parti UMNO. Dengan itu terbitlah
akhbar ‘Voice of The People’. Akhbar ini merupakan terjemahan dari akhbar Suara Rakyat.
Idea, pemikiran dan kritikan yang diutarakan melalui akhbar Suara Rakyat dan Voice of The
People terhadap penjajah British dan para bangsawan Melayu membuka mata masyarakat
Melayu umumnya. Selepas itu, parti PKMM terus berkembang dengan adanya bendera dan
logo tersendiri iaitu Sang Saka Merah Putih. Kongres Kebangsaan Melayu(KMM) SeMalaya
telah diadakan di Johor Bharu,Johor. Dato’Onn Jaafar telah dipengerusikan dalam kongres itu
demi menyatukan seluruh pergerakan bangsa Melayu. Namun ada percanggahan diantara
golongan kiri dengan golongan kanan menyebabkan kata sepakat itu tidak tercapai. Oleh itu
pada hari persidangan KMM, wakil-wakil PKMM telah bertindak memulau dan
meninggalkan majlis tetapi persidangan tetap diteruskan. Maka dengan itu lahirlah
Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu(PEKEMBAR) atau UMNO dengan presiden
pertama yang dilantik ialah Dato’ Onn Jaafar. Dengan itu, wujudlah dua parti besar di Tanah
Melayu iaitu UMNO dan PKMM tetapi UMNO lebih diterima oleh penjajah British
berbanding PKMM. Lantaran kerana tidak bersefahaman antara UMNO dan PKMM, maka
berlaku dalam sejarah politik bangsa Melayu, iaitu perpecahan secara rasmi orang Melayu.
Waluapun PKMM mendapat tempias dari golongan elit dan British, mereka tetap tekad dan
terus berjuang dengan perjuangan mereka. Mereka terus memperkuatkan gerakan mereka
dengan menyeru kaum wanita menyertai perjuangan mereka untuk membela nasib bangsa
Melayu. Perjuangan PKMM terus didokong oleh masyarakat sehingga ada yang menulis puisi
untuk membela nasib pejuang PKMM iaitu Dr Burhanuddin Al-Helmy.

Kesimpulanya, penyebaran berita-berita politik dari seluruh dunia berjaya dan mampu
membangkitkan kesedaran dalam kalangan orang Melayu agar turut sama bangkit membela
nasib bangsa sendiri. Seterusnya memperjuangkan kemerdekaan Tanah Melayu daripada
terus dijajah oleh British. Peranan akhbar jelas terbukti sehingga mampu mengancam
kedudukan penjajah British untuk terus bertapak di Tanah Melayu.

Bab 5 Hala Tuju Politik Melayu.

Ulasan yang dapat dibuat melalui pembacaan untuk bab 5 iaitu hala tuju politik Melayu ialah
berkaitan dengan perjuangan politik bangsa Melayu yang berjuang untuk membebaskan
Tanah Melayu daripada cengkaman British. Parti politik yang cukup jelas dalam

9
perjuangannya ialah PKMM. Jelas terbukti dengan tertulis dalam Rang Undang-Undang 1946
PKMM yang diluluskan dalam kongres pertama di Ipoh iaitu PKMM ini ditubuhkan
bertujuan menuntut kemerdekaan bangsa dan tanah air. Pergerakan politik radikalisme ini
umumnya bergerak kea rah menjayakan gagasan Melayu Raya di bawah kepimpinan Dr
Burhanuddin Al-Helmy dan Ahmad Boestaman. Namun, ada sesetengah orang-orang Melayu
yang tidak bersetuju dengan gagasan itu termasuklah parti UMNO. Kedua-dua parti ni
sememangnya berlainan kefahaman dan pendapat. PKMM telah ditohmah menyokong
perbentukan Malayan Union dan menyokong British. PKMM mempunyai hubungan baik
dengan golongan raja. Jadi tidak mungkin PKMM akan menyokong gagasan Malayan Union
yang bersyaratkan menghapuskan kedudukan raja-raja Melayu. Jadi tuduhan dan tohmahan
dari parti UMNO itu tidak berasas sama sekali. Penubuhan sayap pemuda dan wanita PKMM
menjadi pemangkin untuk mendapatkan sambutan daripada kalangan bangsa Melayu. Parti
bawah PKMM iaitu API dan AWAS telah banyak membantu mereka dalam meneruskan
perjuangan.

Tindakan British menangkap dan memenjarakan tokoh-tokoh politik radikal Melayu tidak
berjaya menbendung kebangkitan rakyat. Malah, gelora politik itu terus membara dalam
banga Melayu. Perjuangan politik bangsa Melayu mempunyai hubungan yang cukup akrab
dengan pergerakan-pergerakan yang sealiran dan yang tidak sehaluan dengan pihak penjajah
British. Dato’Onn Jaafar di bawah parti UMNO telah membidas PKMM yang bersekongkong
dengan Hizbul Muslimin dengan mengeluarkan kenyataan dalam persidangan UMNO di
Dewan Sekolah Kebangsaan Francais Light, Pulau Pinang. Dalam pada itu, UMNO
merupakan parti Melayu yang berideologikan kebangsaan Melayu dan menggunakan kaedah
perundingan dengan pihak British dalam perjuangannya. Pendekatan ini menyebabkan
berlakunya pertembungan dengan Hizbul Muslimin yang memperjuangkan Islam dan anti-
British. Kemudian, pada tahun 1951 PAS ditubuhkan dan dianggap sebagai pengganti parti
Hizbul Muslimin yang telah dibubarkan. Kehadiran juga telah berjaya menggerunkan pihak
penjajah kerana tiadanya tokoh berkaliber yang memimpin PAS pada tahun itu. Walau apa
jua tohmahan yang dibuat oleh pelbagai pihak terutamanya golongan British dan UMNO, tapi
perjuangan golongan radikal tidak pernah terpadam dalam memperjuangkan matlamat dan
tujuan mereka demi membela nasib bangsa Melayu dan Tanah Melayu.

Kesimpulannya, bermula dengan maklumat yang disiarkan secara meluas oleh akhbar Suara
Rakyat berjaya membangkitkan kesedaran dalam kalangan orang Melayu. Kebangkitan
kesedaran ini membolehkan orang Melayu menentukan hala tuju perjuangan mereka. Namun

10
dalam mengharungi perjuangan kemerdekaan pelbagai cabaran dan rintangan terpaksa
ditempuh oleh mereka yang bergelar pejuang. Peranan akhbar rasmi PKMM iaitu Suara
Rakyat dan peranan PKMM sendiri memberikan kesan yang mendalam dalam arena politik di
Tanah Melayu.

Bab 6 Impak Perjuangan Suara Rakyat.

Selepas Perang Dunia Kedua, perjuangan politik Melayu terus berkembang dan bergerak
sehingga pengenalan Akta Darurat 1948 telah mematikan perjuangan politik orang Melayu.
Pejuang-pejuang radikal pada masa itu telah ditangkap oleh pihak British dan dipenjarakan.
Pada tahun 1955, golongan radikal yang ditangkap itu telah dibebaskan dan mereka tetap
meneruskan perjuangan asal mereka selepas itu. Walaubagaimanapun, perjuangan golongan
radikal ini dianggap hanyalah gimik politik semata-mata kerana beranggapan Ahmad
Boestaman tidak konsisten dalam perjuangannya. Penyataan itu telah disangkal oleh Rashid
Maidin kerana beliau kenal dengan keperibadian Ahmad Boestaman yang merupakan seorang
individu yang cukup konsisten dan setia dalam perjuangan. Sesungguhnya, perjuangan
golongan radikal Melayu sentiasa mendahului zaman kerana sukar difahami akan matlamat
akhirnya. Sememangnya, semangat golongan radikal tidak dapat dipadamkan walaupun
British memperkenal dan menguatkuasakan Akta Darurat 1948. Oleh itu, ramai golongan
radikal telah dipenjarakan dan ditempatkan di kem-kem tahanan politik penjajah. Namun
begitu, demi untuk meneruskan perjuangan radikal ini, sisa golongan radikal yang tinggal
telah menyertai PKM di dalam hutan. Rejimen ke-10 telah ditubuhkan di Pahang oleh
Abdullah CD, Musa Ahmad dan Rashid Maidin. Gerakan gerila ini bergerak aktif seluruh
negeri Pahang. Kemuncak gerakan radikal Melayu berserta sokongan PKM berjaya
menggangugy-gugat kedudukan Kerajaan Persekutuan British sehingga memaksa British
menganjurkan rundingan meja bulat. Satu kenyataan telah dikeluarkan oleh Abdullah CD
bahawa perjuangan mereka di bawah PKM tidak akan sesekali menyerah atau mengaku
kalah dalam menentang British.

Sememangnya, perjuangan politik Melayu radikal yang inginkan kemerdekaan sepenuhnya


berkonsepkan Melayu Raya tidak tercapai. Tetapi golongan radikal ini terus berjuang
walaupun Tanah Melayu sudahpun merdeka. Hal ini kerana matlamat mereka yang ingin
memartabatkan Ketuanan Melayu, yang mana seluruh Nusantara disatukan agar menjadi
sebuah kesatuan besar di Asia Tenggara. Menyingkap sejarah Pilihan Raya Umum tahun

11
1959, Ramlah Adam mencatatkan bahawa kejayaan PAS dalam mengharungi pilihan raya
yang pertama selepas merdeka merupakan satu kejayaan besar sebagai sebuah parti
pembangkang. Pada pascamerdeka, kerajaan Perikatan di bawah kepimpinan Tunku Abdul
Rahman Putra Al-Haj mengusulkan pembentukan gagasan Malaysia pada tahun 1961 namun
ditentang oleh golongan radikal yang berada dalam Dewan Rakyat. Golongan radikal ini
berpendapat bahawa gagasan Malaysia itu tidak menepati konsep Melayu Raya yang
diperjuangkan oleh mereka sebelum merdeka dahulu. Selepas merdeka, nada golongan
radikal ini tetap sama mengatakan bahawa Tanah Melayu dan masyarakat Melayu umumnya
masih terjajah dari segi mental. Masih banyak cacat cela yang harus ditutupi akibat daripada
penjajahan British ini. Golongan radikal tetap memahukan Kepulauan Melayu berada
dibawah Ketuanan Melayu kerana itu adalah yang sebenar-benarnya. Perjuangan mereka
akhirnya terkandas setelah ramai golongan radikal seperti Ahmad Boestaman ditahan setelah
dituduh bermacam-macam tuduhan oleh Parti Perikatan. Perjuangan tokoh-tokoh politik
radikal Melayu melalui parti politik dan penggunaan media cetak terutamanya merupakan
suatu sumbangan yang amat bermakna kepada agama, bangsa dan negara. Kesetiaan mereka
dalam perjuangan yang mereka yakini sehinggakan terpaksa menempuh ranjau dan duri.

Dimana kita ketahui, pelbagai halangan dan dugaan yang dihadapi oleh golongan radikal
Melayu dalam perjuangan mereka menuntut kemerdekaan tanah air daripada terus dijajah
oleh British. Dugaan yang paling hebat mereka hadapi adalah ditanggap dan dipenjarakan
kerana dituduh menggugat keamanan di Tanah Melayu. Selain itu, mereka juga memilih
untuk mengangkat senjata dalam menempuh cabaran dan dugaan. Antara golongan radikal
yang terpaksa menerima pelbagai hukuman semasa perjuangan mereka ialah Abdullah CD,
Abdul Majid Salleh dan lain-lain. Kesimpulannya, perjuangan golongan politik radikal
Melayu ini sering kali ditohmah serta dilabelkan sebagai golongan ekstremis, bahaya dan
komunis. Tohmahan ini turut menjadi bukti bahawa impak perjuangan mereka ini cukup
berkesan sehingga ditohmah dengan pelbagai tuduhan. Malahan mereka tetap beristiqomah
bersama dalam gerakan politik radikal Melayu sejak mula ditubuhkan hinggalah ke akhir
hayat. Malah, kecekalan mereka dalam berhadapan dengan pelbagai tindakan British seperti
ditangkap dan dipenjarakan merupaka bukti kekuatan dan tribulasi perjuangan politik
Melayu.

12
Bab 7 Kesimpulan

Akhbar sememangnya menjadi punca kebangkitan orang-orang Melayu berjuang menentang


penjajah British disamping peranan golongan radikal itu sendiri. Peranan akhbar ini cukup
jelas kerana berjaya membuat anjakan paradigm dalam kalangan orang Melayu.
Perkembangan akhbar juga berjaya memberikan kefahaman dan kesedaran terhadap isu-isu
semasa khususnya berkaitan dengan politik orang Melayu. Akhbar Suara Rakyat dan Voice
of The Pople merupakan senjata media cetak yang telah mengubah segala-galanya. Pengaruh
politik terutamanya menerusi akhbar Suara Rakyat amat berpengaruh secara meluas kerana
berjaya memberikan kesedaran dalam kalangan orang Melayu dan mengajak rakyat
keseluruhannya turut serta dalam perjuangan kemerdekaan. Dua belas tahun kemudian
selepas penubuhan Suara Rakyat dan PKMM, iaitu tanggal 31 Ogos 1957 Tanah Melayu
mencapai kemerdekaan dan tidak dinafikan bahawa asas perjuangan kemerdekaan ini adalah
hasil daripada perjuangan golongan yang dilabelkan sebagai radikal Melayu dan peranan asas
Suara Rakyat yang menuntut kemerdekaan sebuah kerajaan demokrasi. Benarlah apa yang
dikatakan bahawa suara rakyat adalah suara keramat.

13

You might also like